(Dedikasi Buat Ayahanda)
Kala rindu bertamu
lirik mata merenung
sebuah potret berbingkai terukir
menatap indahnya seraut wajah
padanya garis kedut menjalar
menyimpan nostalgia semalam
suka duka sejarah pengorbanan
dari sebuah diari kehidupan.
Memori lalu mengimbau lagi
saat bening pagi membisu
garau suaramu
mengalun syahdu kalimah suci
membangkit sedar dari mimpi
untuk menyahut seruan Ilahi.
Bising koleh dikacau
bersama cebis rezeki semalam
mengisi lapar yang mencengkam
sebelum langkah diteruskan
sekadar kudrat diizinkan tuhan
demi kecukupan sebuah kehidupan
buat insan penyeri harapan.
Lirik senyumnya tiada hilang
walau payah hukuman alam
senandung cintanya tiada pudar
walau nakal menilai sifat
ungkapan nasihat menjadi tabiat
resmi padi sebagai syafaat.
Walau diri jauh di mana
walau setinggi darjat dunia
tanpa jemu
akan kukalung cinta ini
mengabdi diri seikhlas budi
buat insan yang kusayangi
bila patah tidak tumbuh
hilang pasti tiada pengganti.
Mohd Zamri Abdul Hamid
15 Jun 2009, Chuping.
KITA MESTI MEMILIH
Dalam memilih kita menyaring
batu butir pasir di dalam beras
gunakan dulang tampilah perlahan
dibantu angin yang sederhana
dalam memilih kita menarik
rambut di dalam tepung
telunjuk ditemukan ke ibu jari
dikapit rapat ditarik cermat.
Jaga usah berselerak
butir beras debu tepung
ada kala terpaksa dibuang semua
apabila ada bangkai cicak
kita mesti memilih sekalipun kejam
pada nafsu sendiri bagai
mencari wanita sebagai isteri
bukan wanita misteri
yang mengandar api.
Muhammad Ali Atan
Seri Sentosa, KL
KEKASIH BAHARU
Saat sahaya ditinggalkan
sahaya teresak-esak, sendirian
tanpa ada yang sudi beri ihsan.
Sepurnama kemudian
saya ketemu kekasih baharu
dari celah-celah aturan buku
pada helai-helai halaman ilmu
serta pada jalin-jalin kisah berpadu.
Lalu sahaya pun mafhum
puisi titipan Sang Kekasih
yang benar-benar pengasih itu
yang katanya, "Iqra'!"
Aidil Khalid
Sunway � Shah Alam, Selangor
USAH PERCAYA
Usah percaya riuhnya ayam
lalu menyangka bertelur ia
usah percaya guruh menderam
lalu menyangka hujan nak tiba.
Usah percaya gemuruhnya kompang
lalu menyangka dah tiba mempelai
usah percaya hebohnya orang
lalu menyangka YB yang sampai.
Usah percaya si jalak berkokok
lalu menyangka hari nak siang
usah percaya teriak si pungguk
lalu menyangka bulan mengambang.
Usah percaya buah di pokok
lalu menyangka dapat dimakan
usah percaya gahnya tepuk
lalu menyangka hebatnya sokongan.
Usah percaya padanya orang
kerana manusia zaman sekarang
yang jujur terlalu kurang
yang banyak kaki temberang.
Aliff Mustakim
Permatang Rambai, Penaga
ORANG-ORANG DI BENDANG
Orang-orang di bendang
tidak lagi menggenggam renggam
tidak lagi memukul-mukul padi
tidak lagi menampi-nampi rezeki
tidak lagi tercari-cari tuahnya
tidak lagi menangguk sukar.
Orang-orang di bendang semakin bijak
menajak kemiskinan membajak keyakinan
membuang batas-batas percaya
menanam padi politik
menabur beras saham.
Orang-orang di bendang
tidak lagi menabur benih malang
mereka menambat kerbau keluhan
melepaskan ikatan tradisi
ada padi ada pilihan pada hujung musim.
Orang-orang di bendang
mula bersuara lantang.
Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
MENGINGATIMU MUALIM
Gelambir wajahmu kulihat mekar
meski pikunmu mula menyapa
dan usiamu mengorak di tubir senja
selaut keringat tabahmu
masih kurasa basah lenjunnya
detak suaramu mengeja kata
masih geming bergema setia
setitis tintamu melakar rindu
terpalit siaga di catatan dewasaku.
Kala lingkaran subuh
segeluk doa kuhampar di sejadah fajar
dari kelopak hati ini namamu bergetar
dirimu adalah mualim segenap manusia
dalam denyut bangsa dirimu bernyawa
bersama deraman nafas perjuangan agama.
Shahkang
Banting, Selangor
KERAMAT PERPADUAN
Setiap kali melangkah membawa perpaduan
ada jambatan terbakar di hadapan
di kiri ada iri, di kanan ada igauan
dan kumulus retorika menyungkup pandang
pepohon ego bergelimpangan menghalang
ditumbangkan ribut paranoid dan taufan bimbang
dibersit deru ragu dan kabus kelabu
destinasi perjuangan.
Kerana perpaduan itu
seperti sejenis syahdu yang bertiup lalu
tak tergapai oleh tangan-tangan tergenggam
daripada hati yang tak sanggup memberi
atau oleh tangan-tangan yang terbuka seluas-luasnya
untuk gelojoh menerima.
Seperti sejenis persahabatan yang tak terungkapkan
dengan perkataan, senyuman, lambaian dan kunjungan
tetapi bercambah di dalam kalbu
membesar menjadi rimbun, berbunga, berbuah
bukan untuk satu, tetapi buat semua merasa
redup kesejahteraan, meriah keamanan
dan manis kehidupan.
Kerana perpaduan itu
seperti sejenis ikatan dengan tali pengorbanan
tak teruraikan oleh jari-jari haloba
dan adu domba
tak terungkaikan dengan runtunan dan gigitan
luaran, kecuali digunting oleh pengkhianatan
dan oleh dendam dari dalam.
Seperti sejenis kekuatan yang tertanam di jantung
kudratnya mengalir bersama darah dan limfa
keramatnya tertancap di tulang-temulang
kuasanya bersemarak di perdu hati
yang setia dan berani.
Kerana perpaduan itu kelangsungan
dan perjuangan
sepanjang zaman.
Ramlan Abd Wahab
Kg Rantau Panjang, Klang,
LELAKI DI PENJURU MATAHARI
Lelaki di penjuru matahari
sentiasa menerkam
bersama perginya bebayang sunyi.
Di lantai impian yang semakin runtuh
di papak harapan yang semakin rapuh
di mozek wawasan yang semakin ampuh
lelaki di penjuru matahari
adalah lelaki yang telah lama mati.
Lelaki di penjuru matahari
adalah lelaki yang telah lama mati
kerana dia lelaki
adalah egois yang tidak pernah mengakui
kelemahan sebatang peribadi.
Di haraf diri
mencari manusia dan manusiawi
dia lelaki telah lama mati
nurani dan emosi terpotong
di penjuru matahari
kerana janji dan bakti
telah lama songlap
ditelan kepentingan diri.
Nimoiz TY
Gual Ipoh, Tanah Merah
SALING BELUM MENGERTI
Setiap halaman hubungan menjadi taman rama-rama
kerana telah lama membaca kitab akrab bersama;
di dalam bab beza, susun diksi aksara pandangan -
antara gerobok pengalaman dan almari usia
antara muram kecewa dan ledak ketawa
sering mentafsir manuskrip khuatir
di atas helai-helai kertas perjuangan, atau
di sisi renda-renda pentas yang sama - meski -
telah lama membaca kitab akrab bersama
kita saling belum mengerti, sejujurnya.
WB Rendra
Johor Bahru