Penaja

3.5.11

CATATAN AWAL MUSIM


Jika tiba-tiba malam ini kau terdengar daun kelapa
bergeser di tengah padang saujana
ketahuilah hai anak mentadak
bahawa inilah malamnya
kau buktikan kedewasaanmu
mencabar keupayaan kumbang-kumbang malam yang
tidak berhenti-henti merengek
maafkan aku, tidak dapat membantumu
kau harus bertahan dengan kaki-kaki kerdilmu
kerana duri-durinya menandingi bisa parah seri rama
dan sayap-sayapmu yang nipis
adalah teguh, agung sebenarnya
seutuh perisai sang rawana
maafkan aku, tidak dapat membantumu
di awal musim ini segalanya bersusun bertindih
menungggu masa untuk dipunggah diteliti
kemudian diatur semula menurut abjad sejarah
banyak keindahan ruwet, antaranya kau, terpaksa kulupakan
maaf, aku terlalu sibuk untuk melayanimu
sendirian kau harus ke medan lestari dengan semangat padu.

RUBIZA MOHD. MOKHTAR
Kuala Lumpur
2 Jan '90

Aku MeGah DenGanmu


Pernah satu ketika
aku mengunjungi teman lamaku
di pelosok bandaraya
dan dibawanya aku
mematahkan sekuntum anggerik
yang mewangi di sebuah kedai
menjual bunga
di menara Kowloon.

Lantas aku terkenangkan janjiku
Untuk menyuburkan tanah
yang pernah aku bajak
dengan keringat dan darah duka
dari seorang tua di hujung permatang.

Teringatkan itu
aku segera berlari pulang
menyuburkan sepohon anggerik desa
yang sedang meimbun subur
di tanah pajakan
yang tengah berseri
dan hampir berbunga lagi.

SAM
Universiti Malaya
Mac'90.

DI SEBUAH UNIVERSITI

Waktu itu cuma ada kita bertiga
kau mesti belum lupa. Waktu aku duduk
menterjemahkan hanyir tasik
kau menawarkan sebuah senyuman
kupetik dengan hati terbuka
dan menawarkan sebuah hukuman
kau memetik dengan hati terbuka
dan kita saling tawar-menawar
harga sebuah kebudayaan.

HAZMAN ABDULLAH
Feb '90.