Penaja

14.2.10

Senja Sudah berlalu (Cerpen)

Oleh Julia Nazri

PINGGAN yang berisi nasi, sedikit sayur kubis dan sepotong ikan kayu yang digoreng garing dipandang tanpa nafsu. Hanya sirap dingin yang menerobos masuk ke kerongkongnya. Sepotong tembikai kuning dicucuk-cucuk menggunakan garpu. Hatinya terasa pedih. Ironinya di hadapan dia saat ini hanya sepotong tembikai; bukan hatinya.


“Makan cepat, masa makan sudah hampir tamat.” Seorang lelaki separuh umur menegur sambil menepuk perlahan bahunya.

Dia mengangkat wajah. Lelaki itu diamati lama. Berkaca mata seperti bingkai gambar di kedai foto, lebih banyak kulit kepala kelihatan berbanding helaian rambutnya, perutnya seperti wanita mengandung lima bulan, atau tujuh bulan agaknya (dia sendiri kurang pasti), berbaju dan berseluar putih, namun dia tertarik dengan gigi lelaki tersebut; putih dan tersusun cantik.

Dia kemudian bangun. Nasi yang masih belum terusik dipandang sayu. Lagak seperti pejuang memandang isteri tersayang sebelum ke medan tempur. Halkumnya turun naik menelan liur. Selera yang hilang entah ke mana membuatkan tekaknya seakan mahu menunjal keluar andai dia memaksa untuk menelan. Dia mula melangkah.

“Pergi masuk ke bilik, jangan merayau. ” Suara lelaki tadi agak lantang. Dia hanya mengangguk. Saat ini dia terbayangkan katilnya yang bercadar putih bersih. Dia mahu berehat. Langit mendung seolah-olah memahami derita hatinya. Guruh berdentum, kilat sabung-menyabung. Titik-titik hujan mula membasahi bumi. Bertempiaran lari semuanya. Dia kehairanan. Bukankah hujan satu rahmat? Bukankah hujan satu keindahan? Pohon dan alam akan bertasbih memuji kebesaran Pencipta. Hujan juga lambang kesenian; bagi pencinta seni.

Dia masih di situ. Tubuhnya kian lencun dek deraian hujan yang kian menggila. Titik-titik hujan ini mengingatkan dia tentang dosa semalam. Biarlah air suci ini membasuh noda di tubuhnya. Irama yang lahir daripada dentuman guruh dan rintik yang menimpa bumi membuai jiwanya. Damai dan mengasyikkan.

“Kamu ini manusia hipokrit! Berpura-pura di balik topeng kemanusiaan!” Suaranya keras. Namun tiada sesiapa yang mendengar. Masing-masing sibuk mencari tempat untuk berlindung.

“Cuba kamu tanya pada diri. Kehadiran kamu di atas muka bumi ini untuk apa? Adakah kamu boleh merubah sebuah kesengsaraan? Boleh memberi harapan pada sebuah kehidupan? Bolehkah? Manusia bodoh!” Herdiknya lagi.

Guruh berdentum lagi bagai mengiringi kata-katanya. Umpama sebuah pentas opera yang lengkap dengan simfoni orkestranya. Ironinya saat ini dia sedang melakonkan watak dari pentas kehidupan yang nyata. Bukan ilusi fatamorgana. Matanya dikerdipkan. Jemarinya meraup wajah yang kebasahan. Bukan kerana deraian hujan. Namun dek air mata yang laju menuruni pipi. Sesekali tersekat dek jerawat batu yang meliar di wajahnya. Titis-titis kemudian berakhir di hujung janggutnya yang separas dada.

“Manusia macam kamu semua ni ibarat enau dalam belukar! Memijak dan menindas. Kamu tidak fikir nasib orang-orang yang kamu dagangkan. Pergi jahanam dengan manusia yang berakarumbikan haloba. Kamu umpama mengunyah daging saudaramu sendiri! Manusia keparat! ” Bibirnya dijuihkan. Tanda kebencian yang amat sangat. Matanya dicerlangkan. Bagai harimau mahu membaham mangsa.

Digagahinya menghayun langkah yang kian tidak bermaya. Bibirnya kebiruan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Kakinya yang telanjang tanpa disalut secebis apapun sesekali terdengkot-dengkot. Kepedihan dek kerikil tajam yang tanpa simpati merobek kulitnya. Sedikit pincang caranya melangkah.

Dia menyanyi lagi. Kali ini lebih nyaring, lebih lantang. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kehadirannya tidak diendahkan. Dunia ini bukan milik sesiapa. Dia anak merdeka. Bukan lagi hidup dalam belenggu angkara. Mereka itu yang sebenarnya masih terjajah hati dan minda. Terkurung di bawah kaca, nampak di mata, namun tidak tercapai dek tangan. Sanggup bertopeng untuk mencapai maksud dan cita. Sering terpesona dengan ilusi fatamorgana. Sedang realiti tidak seindah yang disangka.

‘Aku juga pernah seperti kamu’ Dia bermonolog sendiri.

Hujan mula teduh. Manusia yang tadinya bagai takut-takut untuk melata di bumi, kini kembali memenuhi ruang. Ada yang menekup hidung dan ada yang berjalan terjengket-jengket. Yang menekup hidung; Loya dengan haruman ‘asli’ yang terbit dari longkang-longkang tersumbat. Yang terjengket-jengket; bimbang andai kasut atau pakaian berjenama mahal terkena kotoran dek limpahan air longkang.

Sampah sarap yang berbagai rupa tenggelam timbul menunjuk diri. Bukti pada kedangkalan dan kedaifan insan yang bernama manusia. Semua membutakan mata dengan apa yang terhidang. Ada yang berbisik-bisik. Tidak kurang yang menggeleng. Konon suci. Tidak terlibat langsung dengan apa yang terjadi. Manusia hipokrit! Bentaknya.

Bukankah manusia yang terbenih daripada generasi yang kononnya berilmu, berkualiti, berwawasan dan bakal menjadi peneraju negara sepatutnya boleh membuat keputusan tentang ‘baik’ dan ‘buruk’? Membuang sampah merata-rata; baikkah itu? Hujan yang menyimbah disalahkan bila banjir besar berlaku. Tunding-menunding mula berlaku. Tidak sedar yang satu jari ke arah orang lain, empat lagi jari menunding ke arah diri sendiri. Lagak seperti meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Dasar manusia hidung tinggi. Bangga dengan kebodohan sendiri. Bolehkah mereka ini bersatu? Bolehkah?

Dia berjalan ke arah pondok menunggu bas yang kosong. Dia melabuhkan duduk. Tapak kakinya terasa pedih. Bekas luka dek tujahan botol kaca kembali berdarah. “Kerana terpijak kerikil tadi agaknya.” dia mengeluh sendiri. Dia menyumpah manusia yang sembarangan membuang botol kaca yang pecah.

Terpandang longkang yang membuak busuk membuatkan jiwanya makin sakit. Semalam dia terbaca tentang pembinaan terowong untuk mengelak banjir. Dia hanya tersenyum sumbing. Walau berjuta terowong atau tangki tadahan yang dibina, jika pemikiran dan jiwa manusia masih berada di takat lama, semuanya tidak bererti. Bukit ditarah, hutan digondol, kononnya membina pembangunan. Namun hasilnya tetap kemusnahan. Dia bukan antikerajaan. Bukan juga pembenci kemasyhuran. Dia hanya pemerhati. Entah esok atau lusa dia akan kembali ke alam yang sebenar. Alam yang tiada wasangka.

Dia benci dengan manusia yang berbolak-balik. Dia muak dengan manusia yang tidak mahu mengakui kesalahan diri. Things do not happen. Things are made to happen: Kata-kata John F Kennedy ada benarnya.

Dia ingin memberontak. Dia mahu menentang. Bila difikirkan kembali; Apa yang diperjuangkannya? Apa yang dituntutnya? Dia menekur. Lama. Berfikir sebenarnya. Mencari jawapan pada persoalan yang dia sendiri masih kabur untuk memahami. Dia bingung. Diramas rambut yang kebasahan. Perit dirasakan hingga ke kulit kepala. Dia ingin melempar jauh perasaan gundah yang bertandang. Namun terselit satu rasa di benaknya; untuk apa ketidakpuasan hati ini andai tidak dilontarkan?

Dikeluarkan buku nota kecil berwarna hitam dari bundutan yang berwarna biru tua (sehelai kot lama yang diikat menjadi bundut) hampir lunyai kerana kebasahan. Tekun dia menyelak satu persatu helaian yang kelusuhan. Dia bukan pendeta. Jauh sekali seorang ahli falsafah atau pujangga. Dia tidak mampu membuai perasaan bagi yang membaca baitannya. Dia hanya seorang pemuja. Dia mencari pedoman buat mengharungi badai kehidupan.

Hidup ini satu perjuangan. Kalau tidak berjuang menggunakan senjata, berjuanglah menggunakan akal atau pena : Amir Shakib Arselan.

Dia berpegang pada kata-kata itu. Kerana itu dia suka menulis. Meluahkan apa yang dirasakan. Baginya cinta tidak semestinya bersatu. Namun dia tetap mengagungkan kalimah keramat itu. Hidup tanpa cinta seperti unggun api yang tidak pernah menyala; entah di mana dia pernah mendengar kata-kata ini.

Retinanya memerhati seekor katak hitam yang terlompat-lompat tanpa arah. Sesekali menguak. Tidak puas agaknya bermandi hujan. Nasib dia dan nasib si katak serupa. Tiada teman, tiada haluan, tempat mereka bukan di sini. Bukan di tengah kota raya ini. Bas berbelang biru yang datang laju tanpa kasihan menggelek si katak yang hampir menjadi temannya. Dia bangun. “Hei! kenapa kaulanggar kawan aku ha? Manusia keparat! ” Pekiknya.

Dia sedar yang dia menjadi perhatian. Manusia memang begitu. Kain orang dijaga, kain sendiri berlubang seolah dibangga. Dia mencebik. Si katak sudah tiada. Perutnya pecah. Kuakannya juga sudah tidak kedengaran. Dia sendiri lagi. Manusia di sekeliling hanya menggeleng. Mungkin kehairanan. Mungkin kasihan. Mungkin kebencian. Ah! persetankan itu semua! Dia membentak.

Tekaknya sedikit perit. Dahaga. Dari celahan bundut dia menarik botol plastik yang berisi air kosong. Tidak sampai suku botol. Dia meneguk rakus. Cukup sekadar membasahkan tekak. Cebisan karipap yang berbungkus plastik dicapai. Lahap kunyahannya. Masih belum hilang dahaganya. Perutnya mula berkeroncong. Dia meraba saku bajunya. Hanya dentingan syiling yang kedengaran. Dia mendengus kuat. Seingatnya dia masih punya wang. Hampir tiga puluh ringgit. Namun kerana panas hati, dia telah melempar kesemua duitnya ke muka peniaga gerai. Marah kerana layanan buruk yang diterimanya. ‘Mereka sangka aku tidak punya duit agaknya’ bentaknya kasar. Mereka menilai dia hanya kerana wajahnya hodoh dan pakaiannya compang-camping. Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia di hadapan : Kong Hu Chu. Hari ini dia terlupa pada falsafah yang selalu dibacanya. Dia menggeleng. Mudah benar dia dibuai bisikan iblis. Amarah mengatasi kewarasan akal. Dia tewas hari ini. Raqib dan Atid sudah menuliskah agaknya?

Di hadapannya tersergam rangka bangunan yang masih dalam pembinaan. Manusia yang lain benar bahasa pertuturannya mula mengerumuni pondok bas. Ini pun salah satu daripada kebanjiran. Dia mencebik lagi. Bukan membenci. Namun jelak dengan segelintir yang tidak tahu menghargai budi. Mengambil kesempatan di atas kebaikan kerajaan. Bunuh, rogol, rompak dan peras ugut terlalu banyak membabitkan pendatang seperti mereka. Mungkin tidak semua. Dia bangun. Tidak betah dia berlama-lama di situ.

Matanya meliar mencari pili air. Tekaknya masih dahaga. Dia menyeberang ke kiri jalan. Mencari tandas awam. Tekaknya makin mual dengan bau yang mencemar rongga. Manusia bodoh! Bentaknya. Tandas yang sepatutnya dijaga, sebaliknya dirosakkan. Memang manusia tidak bertamadun! Sumpahnya lagi. Pintu yang terkopak, sinki dan cermin yang dipecahkan, dinding penuh dengan luahan perasaan dan yang paling jijik; najis yang dibiar tanpa dicuci. Memang manusia keparat! Hinanya lagi. Niatnya mahu mengambil air untuk diisi ke dalam botol dibatalkan. Kembang tekaknya.

Harga setiap manusia adalah kebaikan yang dilakukannya: Saidina Ali

Manusia yang tidak punya iman tidak akan pernah memahami kata-kata hikmah sahabat Rasulullah. Walau agama apa pun yang dianuti, kebersihan adalah tunggak utama. Tidak ada agama yang suka kepada kekotoran dan kemusnahan. Memang manusia zaman ini sudah tidak lagi mampu berfikir dengan baik. Manusia bodoh! Ulangnya lagi.

Dia melangkah keluar menuju ke paip di depan surau. Botol yang kosong diisi penuh. Warna air yang kekeruhan tidak menghalangnya daripada meneguk rakus. Menyeringai apabila kepayauan mula bersatu dengan rongga rasanya. Dicepakkan mulutnya. Serasa mahu dimuntahkan kembali.

Masih ada mata-mata yang memandang. Seolah jijik dengan keadaan dirinya. Dia menekur. Kaki yang tidak bersepatu. Penuh dengan kudis dan kuku yang panjang kehitaman. Seluar yang compang-camping, baju kemeja yang dulunya putih bertukar kehitaman, rambut yang berombak kasar tidak bersikat; penuh dengan kutu, wajah yang berjerawat batu, jambang yang meliar, tubuh yang hanya terbonjol tulang berbanding isi. Dia senyum. Terlihat tunggul gigi yang kekuningan. Masih ada lendir saki-baki karipap yang tidak terhadam oleh giginya. Memualkan sesiapa yang terpandang.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan bentuk tubuh kamu, tetapi dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu: Sabda Rasulullah saw.

Mereka kata dia gila. Sebab itu dia tidak mementingkan kebersihan diri. Gilakah dia? Tubuhnya tiba-tiba bergoyang (lebih tepat seperti digoyangkan).

“Bangun. Pergi mandi. Dah petang ni.” Matanya masih berat untuk dibuka. Seorang lelaki berjambang nipis memandangnya tajam. Dia tersentak. Bingkas dia terduduk. Dia meraba wajahnya. Tidak ada lagi janggut dan jambang meliar, rambutnya tidak lagi berombak; dicukur botak, kukunya juga telah dipotong bersih. Pakaiannya juga putih bersih. Matanya melingas memerhati sekeliling. Yang ada hanya katil yang tersusun kemas. Dia bingung. Lama dia diam. Dia baru tersedar; semalam adalah senja terakhir dia sebagai pengembara. Masih terbayang wajah bengis abang-abang berbaju biru yang memaksanya menaiki trak hitam gelap. Kerana itu dia di sini. Dia bukan lagi seorang pengembara. Tidak ada lagi suara sumbang yang akan mengganggu keheningan senja, tidak akan ada lagi suara sayu yang melagukan senandung kehidupan, tidak akan ada lagi. Yang ada hanya kebisuan. Yang tinggal hanya sebuah penyesalan. Senja yang dulu sudah berlalu.

Profil Penulis:


JULIA Nazri yang dilahirkan pada 2 Julai 1982 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Beliau pernah mengikuti bengkel kursus penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah bimbingan Saudara Zaharah Nawawi. Juga pernah mengikuti bengkel Penulisan Skrin anjuran Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah bimbingan Saudara Martias Ali. Berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Tenaga Nasional Berhad Petaling Jaya. Anak jati perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Mimbar (Cerpen)

Oleh Amiza Khusyri Yusof

ANGIN Subuh yang berpuput masuk melalui jendela masjid seperti bahang bara menerpa batang tubuhku. Bunyi kicauan burung semacam memerli-merli dan damai pagiku seperti dihempap gelisah yang berbongkah-bongkah.

Aku tidak tahu kenapa. Sejak naik ke mimbar tempoh hari, aku seperti tidak dihiraukan oleh Haji Salleh dan dia sentiasa mengelak daripada bertembung mata. Bukan tidak pernah dia tersenyum menyalamiku sebelum ini, malah dia selalu bertanya khabar dan memandangku dengan tunak mata kasih.

Puas aku mengesyaki diri. Acap kali melihat tampang di hadapan cermin, takut-takut ada yang tidak bagus pada penglihatannya. Kadang-kadang asyik menghidu sana sini, bimbang sekiranya ada bau kurang menyenangkan. Ataupun, meneliti susuk tubuh dan bahasa badan, risau sekiranya ada perilaku yang menyinggung.

Namun, aku bukanlah manusia sempurna, yang lengkap serba-serbi. Tuhan juga telah menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian walaupun senget rupanya, panjang sebelah tangannya, besar sebelah kakinya. Dan aku kekal meyakini, bahawa semua orang yang mempunyai kelemahan, pasti ada kelebihan. Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?


Aku sebenarnya sudah terdengar kasak-kisik yang Haji Salleh ingin meletakkan jawatan sebagai imam masjid. Aku juga ada mendengar cakap-cakap atas angin yang ahli jawatankuasa masjid sedang menimbang-nimbang untuk memilih imam baharu. Dan baru saja dua hari lalu, pihak masjid mengumumkan Haji Salleh tidak sihat. Dek sebab itulah beliau tidak dapat mengimami solat beberapa hari ini.

Barangkali kerumitan tentang imam masjid sudah terungkai, tapi bagaimana pula masalahku dengan Haji Salleh?

"Barangkali dia terasa hati dengan kau." Komen Bidin, kawan sekolahku yang sejak dulu buncit perutnya.

"Mungkin dia ada masalah." Kata Ngah Leman, penoreh getah yang matanya selalu terkedip-kedip bila bercakap.

"Agaknya imam tak sihat." Tebak Hashim, guru bahasa Inggeris berhidung mancung yang selalu menang pertandingan puisi Melayu.

Dan sesungguhnya hatiku kini begitu dilambung walang. Ada gempa dalam jiwa yang tidak mahu surut. Apakah kehadiranku kembali ke kampung beberapa bulan ini mengganggu Haji Salleh, guru mengaji Quran yang begitu kuhormati dan segani itu? Apakah dia merasakan kehadiranku ini menggugat kedudukannya sebagai imam masjid?

Tidak. Tidak sama sekali. Tiada meski sebesar zarah dalam hatiku untuk memegang jawatan yang maha berat itu. Menjadi imam bukan sahaja memimpin jemaah dalam sembahyang, tapi memimpin masyarakat supaya mengenali Islam sebagai manhaj kehidupan melalui akidah yang sahih, ibadah yang betul dan muamalah yang sebenar.

Aku mula memuhasabah diri. Apakah aku ada melakukan kesalahan yang meski sebesar biji sawi kepadanya sejak pulang ke kampung? Apakah terdapat kekhilafan ketika aku berkhutbah tempoh hari?

Rasanya peluang berkhutbah itu telah aku gunakan sebaik mungkin. Lima rukun khutbah seperti memuji Allah, membaca selawat ke atas nabi, wasiat bertakwa, membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dan membaca doa untuk kaum Muslimin telah aku laksanakan dengan baik. Sekiranya tidak, pasti ada jemaah yang telah datang menegur kesalahan itu dan ini. Aku meyakini itu.

Bezanya barangkali ialah aku bukan membaca khutbah, tetapi berkhutbah. Aku tidak menggunakan teks, hanya mencatat beberapa isi penting sebagai panduan untuk mencapai objektif khutbah pada hari itu.

"Bagus ustaz, berkhutbah tanpa teks. Pembaharuan yang baik. Dan cara ustaz menyampaikan pun kena nada turun rendahnya." Komen Sulaiman, cikgu bahasa Melayu yang hidungnya tercatuk itu.

"Berkhutbah tanpa teks bukan pembaharuan cikgu, Rasulullah dan para sahabat dah lama buat, malah di negara-negara Arab pun kebanyakan khatibnya tidak menggunakan teks." Aku melempar senyum kepadanya.

"Seronok dengar khutbah ustaz, semua orang boleh tumpu dan dapat maklumat-maklumat baru." Kata Midun, pengembala lembu yang memiliki banglo besar dua tingkat itu.

"Alhamdulillah. Itulah yang kita harapkan daripada perkumpulan seminggu sekali seluruh kaum Muslimin." Nada suaraku lembut dalam harap.

Dan orang yang bernama Haji Salleh itulah yang sedang berada di hadapanku kini. Dia sedang duduk bersila di saf pertama mengadap mimbar berzikir dan memetik tasbih. Tidak lama kemudian aku perasan dia bangun dan kelihatan ingin keluar masjid. Aku yang sedang duduk di saf keempat segera bingkas dan terus menuju kepadanya dan bertembung di pintu sambil memberi salam dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Haji Salleh kelihatan seperti rusa masuk kampung dan aku lekas-lekas menggenggam tangannya. Dia tidak mengangkat pandangannya menatap wajahku seperti dulu, bahkan kemudian menarik tangannya daripada genggaman sambil buat-buat tersenyum dan terus berlalu menuruni tangga masjid.

Aku di ambang pintu bagai kucing kehilangan anak sejeda dan kembali duduk beriktikaf lalu memandang mimbar. Mimbar itulah yang menjadi permulaan segalanya ini. Mimbar yang diperbuat daripada kayu jati dan kelihatan seperti gapura berkaligrafi itu barangkali menjadi sebab utama Haji Salleh menjauhkan diri.

"Imam tak sihat hari ni. Boleh ustaz naik jadi khatib?" Wajah Haji Muluk bersinar harap di hadapanku.

Pagi Jumaat. Kipas berputar laju di ruang tamu. Ayam itik bising-bising di luar.

"Tak apakah saya jadi khatib? Apa kata Haji Salleh?" Wajah Haji Muluk kutatap tunak.

"Haji Salleh ke hospital. Kami tak sempat berjumpanya untuk bertanya. Tapi nazir masjid dan semua jawatankuasa dah setuju. Lagipun bila lagi kita nak beri peluang kepada orang muda." Haji Muluk tersenyum manis di hadapanku, lalu mengurut-urut janggutnya yang santak ke pangkal dada.

Dan pada waktu itu perasaanku begitu berbelah bagi dan dalam masa yang sama berat rasa ingin menolak.

Aku menggunakan peluang itu sebaik mungkin menyampaikan khutbah. Sebelum Jumaat, sempat aku melakar beberapa isi penting untuk disampaikan, dan rukun-rukun khutbah kusemat kemas dalam kepala. Aku memilih untuk mengajak jemaah jumaat bermuhasabah dengan mengenal diri sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi. Agar mereka mengetahui bahawa semua manusia adalah sama, tidak kira tua atau muda, berpangkat atau tidak, yang dinilai di sisi Allah hanya takwa dan amal soleh. Bagiku, perkumpulan seminggu sekali inilah peluang dan ruang untuk mengajak seluruh kaum Muslimin membuat koreksi terhadap Islam, tentang diri dan amalan masing-masing.

Pagi itu juga selepas dhuha, dengan dipacu semangat yang menjulang-julang, aku terus menonong ke rumah Haji Salleh. Salam sekali dua tidak berjawab. Masuk kali ketiga memberi salam, dan ketika aku sudah mula berpaling ingin pulang, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Namun, tidak kedengaran apa-apa pula daripada Haji Salleh yang terus masuk membiarkan pintu terbuka luas. Jawapan salam pun tidak kedengaran, menjemput masuk pun tidak.

Aku yang terpinga-pinga berjalan perlahan dan memberanikan diri melangkah masuk ke dalam rumah itu. Di depan pintu rumah aku berdiri seperti tiang telefon, tegak dan hilang punca. Kemudian aku terdengar suara berdengung dari dalam rumah. Entah dari jihat mana, aku pun tak pasti.

"Duduklah."

Dada yang sudah mula berombak, terasa semakin kencang. Kaki melangkah dan punggung dihenyak di sofa. Mata memandang meja. Ada timbunan akhbar di atasnya. Hati semakin tidak selesa. Juga, sudah mula mengutuk keberanian yang datang entah dari mana selepas Subuh tadi.

Ada bunyi sudu berlaga dengan kaca. Dan tidak lama selepas itu, Haji Salleh keluar dari dapur menatang dulang dengan jag kaca dan dua cawan beralas.

Haji Salleh duduk di posisi hadapanku. Dia menuang teh. Kemudian bersandar dan tidak memandang langsung tampangku. Tidak lama selepas itu dia menjemput kuminum.

Aku agak terkejut juga dengan layanannya yang sebegitu. Hatiku kini dilanda taufan persoalan. Kencang.

"Pak cik, saya cuma nak tahu, pak cik marah dengan saya?" Akhirnya aku bertanya setelah melalui tempoh jeda yang agak lama. Taufan di hati sedikit reda.

Haji Salleh tidak menjawab. Hanya bunyi kipas berpusing perlahan. Angin menderu masuk melalui jendela yang terbuka.

"Adakah sebab saya berkhutbah? Pak cik tak setuju dengan cara saya itu?"

Bungkam.

"Khilaf itu rahmah pak cik. Bukankah bila berlaku khilaf kita kena elakkan dikuasai hawa nafsu dan berlapang dada dengan kritikan?"

Aku memanggung kepala memandang wajahnya yang putih bersih. Ada janggut putih melebat di dagu. Dan aku ketika itu begitu gentar, tapi menguatkan hati demi menjulang kebenaran. Pantang datuk nenek aku berkata-kata di belakang. Apatah mengutuk-ngutuk dan mencerca tanpa hujah, itu bukan sifat seorang Muslim.

"Jika tak sependapat, kita mesti memilih diksi terbaik apabila berkata-kata dan tidak boleh menuduh-nuduh apatah menyakiti orang. Kita juga tidak boleh memaksa orang menerima pendapat kita dan hendaklah kita menghormati pandangan orang lain. Kita perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh ulama terdahulu, pak cik." Saya bersuara penuh yakin.

Tiba-tiba aku melihat Haji Salleh mengangguk. Sungguh, reaksinya itu membuatkan hatiku kini kembali dihempuk pertanyaan.

"Aku menghormati pandanganmu, ustaz muda. Sebenarnya ...." Tiba-tiba aku terlihat tenggoroknya turun naik menelan liur.

"Aku malu denganmu. Aku rasakan, sudah tiba masanya untuk aku memberi ruang kepada orang muda sepertimu. Masjid perlukan tenaga orang muda dan pembaharuan yang baik." Dan terungkaplah nada sebak dalam kata-katanya itu.

Ya Tuhan, hatiku diserkup haru yang bukan kepalang. Sungguh, aku belum cukup mengenali orang tua ini. Dan sesungguhnya kini aku mengetahui, betapa mulia hatinya, begitu lapang jiwanya.

Aku bingkas dan mencapai tangan Haji Salleh. Kukucup tangan guru Quranku itu lalu memeluknya erat. Betapa hatiku kini terasa amat akrab dengannya.

"Pak cik, ayuh, kita lakukan tugas ini bersama-sama!" Kataku rapat di telinganya dalam keharuan dan manik-manik air mata yang sukar dibendung.

Biodata:

AMIZA Khusyri Yusof, dilahirkan di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan, pada 30 Ogos 1981, mula berkarya secara serius pada 2003 ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dan pernah mengemudi Kem Latihan Penulis (Kelap) di sana. Pernah memenangi kategori karya eceran melalui cerpen Salju Jabal Musa pada Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 (ASNS) dan dua karya eceran ASNS 2007 melalui cerpen, Ibtisam Syawal dan Salehuddin 21. Terkini memenangi hadiah ketiga kategori cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui cerpen, Kasad. Cerpennya dipilih sebagai judul antologi Salju Jabal Musa yang turut memuatkan karya Ghafirah Idris, Nimoiz TY, Ida Munira Abu Bakar dan Fahd Razy yang dilancarkan di Kelantan Darul Naim dengan kerjasama DBP dan e-Sastera, pada 10 Jun 2005 . Novel sulungnya, Menjadi Bintang, diterbitkan DBP pada 2008. Graduan Universiti al-Azhar, Mesir, yang mendapat ijazah kepujian dalam Jurusan Tafsir al-Quran, kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh. Aktif mengadakan motivasi remaja dan ibu bapa dengan Imtiyaz Training dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen). Ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) boleh dicapai di http://amizakhusyri.blogspot.com.

Berita Harian

Kepompong (Cerpen)

Oleh Fudzail


HUJUNG minggu kembali. Hanya sedikit lagi kerja rumah yang perlu disiapkan. Seperti biasa, Najwa akan sedaya mungkin, menangguhkan. Tabiat sejak kecil yang sukar dilupuskan. Sudah menjadi sebati dengan dirinya. Menangguhkan apa sahaja yang berkaitan dengan pelajaran.


Projek Biologi masih pada peringkat mukadimah. Masih mencari idea lagi untuk meneruskan. Proses Fotosintesis? Membosankan. Masih belum pada tahap mengenal organ manusia.

Matanya memandang jauh ke kerlipan neon. Pemandangan dari tingkat dua puluh apartmen menghala ke creek. Kota Dubai kencang berdenyut. Kesesakan jalan di mana-mana. Itupun dalam dunia kegawatan, mengingatkan Najwa pada ayahnya yang bertangguh untuk membeli komputer riba baru. Yang ada sudah mencecah lima tahun, sudah tidak canggih lagi.

Alasan ayah, ekonomi merudum dan perlu bersabar, perlu menyimpan duit, kalau-kalau ayahnya juga akan dibuang kerja seperti beberapa pak cik kawan-kawan ayah yang dikenalnya. Najwa menerima alasan itu dengan berat hati kerana ramai-ramai kawannya sudah memiliki komputer riba baru yang canggih.

Tiba-tiba ada kerlipan dari kotak e-mel. Najwa melompat kembali ke katilnya. Gangguan pertama dalam mencari idea projek Biologi sejak SMS yang diterima, tidak sampai dua minit sebelum itu. Gangguan seperti ini memang dinantikan. Malam minggu bersendirian adalah membosankan.

Ya, Facebook!

Terpampang mesej. "Kamu ada permintaan kawan baru. Klik di sini untuk melihatnya."

Najwa teruja. Jumlah kawan Facebook akan bertambah lagi. Sudah mencecah seratus orang.

Mungkin permintaan ini dari seseorang yang dikenalinya. Lantas diklik alamat URL.

Berdebar Najwa dalam mengharapkan imej seorang remaja yang kacak di skrin. Remaja lelaki berpotongan rambut yang rapi dengan senyuman mengancam. Imaginasi terus membawa bayangan manis.

Foto pun dimuat turun.

Namanya, Bishrun.

Najwa terkejut. Melucukan juga. Dia tidak kenal sesiapa bernama Bishrun yang mahu menjadi rakan itu. Namanya juga bukan nama biasa. Dari foto, lelaki bernama Bishrun itu mungkin sama usia dengan ayahnya sendiri.

Najwa klik pada profil. Keliru. Melihat dengan lebih teliti.

Rambutnya juga sudah ada uban. Alamak! Buku kegemaran ialah autobiografi Nelson Mandela dan The Confession of the Economic Hitman.

Wau! Status, berkahwin. Apa dia?

Najwa berfikir pantas dalam mencari petunjuk. Mungkin ada penjelasan. Ada sesuatu yang tidak kenal. Najwa tidak kenal lelaki bernama Bishrun yang nampak sebaya dengan ayahnya. Kenapa dia mahu jadi rakan Facebook?

Tahun graduan dari universiti. 1988. Sama dengan tahun ayahnya menjadi graduan.

Mungkinkah ayahnya menyamar sebagai Bishrun yang mengaku seorang pengarah sumber manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan? Atau mungkin salah seorang kawan ayahnya menyamar sebagai pengarah sumber manusia yang mahu mengintip pergerakan serta aktivitinya secara online?

Najwa bergegas ke ruang tamu. Ayahnya sedang asyik menaip di komputer riba. Manakala ibunya sedang menonton siri 'Desperate Housewife' yang diulang tayang berkali-kali dan tetap ibunya setia menonton. Sudah menghafal skrip dan babak adegan. Sudah menjadi sebahagian daripada karektor siri popular yang tidak digemari Najwa. Siri itu terlalu lucah bagi Najwa yang masih menggemari Disney dan Nickolodeon.

Ayahnya memang sentiasa bekerja dengan penuh kusyuk. Najwa merasakan ayahnya tidak perasan yang Najwa sedang memerangkap skim licik ayahnya sendiri. Tidak sangka ayahnya meragui kejujuran anak perempuan tunggalnya sendiri.

"Pak cik Bishrun. Ayah kenal siapa dia?"

Najwa bertanya dengan manja.

Ayahnya mengalihkan pandangan dari skrin. Nampak terkejut dan terkeliru. Bukan sahaja Najwa mengganggu penyiapan kertas kerja, tetapi juga bertanya sesuatu yang mengejutkan.

"Apa dia Najwa? Pak cik Bishrun?"

"Ya, Pak cik Bishrun yang ayah menyamar dalam Facebook!"

"Facebook? Apa dia Facebook?" Suara ayahnya agak tinggi, sehingga ibunya sama berpaling dari skrin TV.

Ternyata ayahnya memang tidak tahu menahu langsung mengenai Facebook. Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kesibukan ayah dengan kerja dan aktiviti persatuan menjadikan dia ignoran tentang banyak perkara dalam trend teknologi. Ayahnya hanya kenal emel, blog sosio-politik dan laman web akhbar harian serta yang berkaitan dunia kerjayanya.

Dalam rasa bersalah kerana bersangka buruk terhadap ayahnya sendiri, ada sesuatu yang disyukuri Najwa. Biarlah ayahnya buta Facebook. Juga ibunya, Kehidupan onlinenya belum dieksplorasi sepenuhnya. Najwa tidak mahu gangguan. Selain Facebook, Najwa sibuk dengan friendsters, myspace, twitter, selain blog peribadi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup remajanya. Blog yang membongkar banyak perkara mengenai perjalanan remaja yang dipenuhi kekeliruan.

"Maaf! Sahaja menduga ayah!"

Najwa kegirangan dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Kedua ayah dan ibunya terpinga-pinga. Berpandangan sebelum kembali kusyuk kepada skrin masing-masing.

Sebaik kembali menatap profil Bishrun di Facebook, Najwa terasa lega. Bishrun bukan ayahnya. Ayahnya tidak menyamar sebagai Bishrun.

Tetapi persoalan lebih besar menerojah. Siapakah sebenarnya Bishrun? Bagaimana dia kenal dirinya. Mengapakah dia mahu menjadi rakan? Apakah ada udang di sebalik batu? Ramai orang jahat dalam dunia siber yang mahu mengambil kesempatan, begitu kata ayahnya.

"Berhati-hati! Tiada privasi dalam dunia Internet. Jangan terlalu mendedahkan butiran peribadi. Berbahaya. Lebih baik menyamar daripada berterus-terang!"

Kata-kata ayahnya masih segar. Najwa tidak menyamar dalam facebook. Hanya dalam blog.

Najwa menghela nafas yang ayahnya bukan Bishrun dan tidak tahu mengenai Facebook. Jaringan Facebook sudah dianggotai lebih 150 juta manusia. Bishrun mungkin daripada golongan empat puluhan yang sama menjadi penagih fenomena jaringan sosial siber bernama Facebook.

"Mereka ini kadang-kala sekadar pengacau. Facebook adalah jaringan buat anak-anak muda. Golongan yang masih banyak masa untuk di sia-siakan. Golongan yang tidak mempunyai banyak tanggungjawab. Bujang. Ceria!"

Begitu kata Dina, kawan baik yang mempunyai lebih ramai rakan Facebook kerana memang Dina seorang yang glamor. Memang ada persaingan antara mereka, penagih Facebook mengenai jumlah rakan-rakan. Kalau lebih ramai bermakna lebih popular.

Begitulah juga perspektif Najwa yang baru mencecah usia 17 tahun. Dia hanya menerima kawan-kawan yang sebaya dan dikenalnya. Bukan pak cik dan mak cik. Apalagi cikgu-cikgu. Bukan orang dewasa yang mungkin berniat serong.

Kerana itu jumlah rakannya juga terhad dikalangan rakan-rakan sekolah dan saudara mara. Najwa cukup berhati-hati. Dengan pelbagai cerita jenayah dan gangguan seksual melalui siber, Najwa mengambil berat semua berkaitan privasi.

"Kenapa Najwa?"

Tiba-tiba suara lembut ibunya mengejutkan Najwa. Cepat-cepat menutup skrin komputer bimbit. Cuba mencari jawapan yang tidak membongkar sesuatu yang ingin dirahsiakan. Kehidupan online melalui Facebook.

"Tiada apa-apa!"

Ibunya tersenyum sinis. Mendekati Najwa. Duduk di birai katil.

"Ibu terdengar pasal Facebook!"

Najwa memandang ibunya dengan kejutan. Berkerut muka yang sedikit berjerawat. Memang sesuatu yang tidak disangka. Ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah mengikut ayah untuk bekerja di Dubai. Bukan tidak mahu bekerja seperti di Malaysia, sekadar mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga. Tidak perlu bersusah payah mengejar masa dan berdepan dengan politik pejabat, selain pelbagai cabaran lain dalam dunia kerjaya.

"Ibu tahu tentang Facebook?"

Ibunya terus tersenyum. Menatap wajah anak kesayangan yang membesar dalam kehidupan kosmopolitan. Dalam dunia siber. Dalam dunia moden sebuah negara Arab yang masih berpegang pada tradisi dan Islam. Bersyukur berhijrah di Dubai yang masih membuka ruang untuk belajar agama daripada masyarakat majmuk.

"Tentu! Ibu tidak sekadar tahu tentang siri Desperate Housewife, Oprah atau Dr Phils!"

Najwa terdiam. Ibunya tidak mempunyai komputer. Sekadar telefon mudah alih. Rakan-rakannya juga terhad di kalangan ekspatriat Malaysia. Tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang agak tertutup.

"Kawan-kawan ibu memperkenalkan ibu pada Facebook, kami guna komputer di kafe Internet kat tingkat bawah ... memang seronok, bukan sekadar berkomunikasi untuk sesama kawan di Dubai, malah melalui Facebook, ibu dapat menjejak kawan-kawan lama ... merata dunia, berkongsi cerita, permainan dan foto keluarga!"

Najwa makin berdebar mendengar lantunan suara ibunya yang teruja. Selama ini dia memandang rendah keupayaan ibunya terhadap teknologi. Sekali lagi, dia mempunyai persepsi salah terhadap ibu bapanya sendiri.

Tiba-tiba ada lintasan menyambar minda. Prasangka bertalu.

Apakah ibunya menyamar sebagai Bishrun? Apakah ibunya termasuk golongan berusia empat puluhan yang mengacau ketenteraman Facebook? Mahu menjejak aktiviti dirinya secara online?

Tetapi Najwa tidak berani untuk meluahkan prasangka yang menyelimuti minda.

"Wow! Ibu pun sudah jadi ahli Facebook?"

Ibunya membuka skrin komputer riba Najwa.

"Sekarang ibu tahu akaun Facebook Najwa. Nanti ibu akan buat permintaan untuk menjadi rakan Najwa, rakan kepompong Facebook ibu yang ke-200!"

INFO

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

Perutusan Teja buat Hang Tuah (Cerpen)

Oleh Zulfazlan Jumrah




"KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah. Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda. Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab menjaga kemakmuran negeri Melaka.

Kekanda,

Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada. Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja. Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari Majapahit kepada Baginda Sultan.

Duhai Kekanda,

Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda. Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali kebijaksanaan Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita yang membenarkan adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi, sebagai srikandi Melaka yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini, adinda yakin segala-galanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam rindu adinda terhadap kekanda.

Kekanda Hang Tuah,

Apakah perkhabarannya dengan Hang Jebat sekarang? Hampir sepurnama adinda tidak bersua dengannya, ketika keramaian perkahwinannya dengan Dang Baru menjadi sua terakhir antara kami. Kanda, sudahkah kalian berdua berdamai setelah Jebat bermati-matian menyanggah hasrat kekanda untuk melarikan adinda dari Pahang dahulu? Berpeganglah kepada resmi air. Dicincang lumat tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak serius atma biarlah kudus. Usah kerana adinda yang seorang ini, kekanda berdua berhunus keris dan mencipta rangkai sengketa bersaudara. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap kemakmuran bumi Melaka.

Kesuma jiwaku,

Usai bersantap bersama paduka Baginda Sultan selepas terbit fajar siddiq tadi, dinda telah menerima selayang perutusan berlagu pilu daripada adinda Tun Zainal. Adinda bongsu dinda yang seorang itu menyampaikan perkhabaran bahawa ayahanda adinda, Bendahara Seri Amar Diraja sudah hampir sepurnama gering. Santap dan minumnya tidak lagi sering. Puas diorak pawang-pawang seluruh negeri dan tabib alim dari negeri Arab sana, namun kegeringan ayahanda tetap tidak mahu kebah. Kanda, Tun Zainal merafak sembah kepada adinda agar pulang untuk mencemar duli untuk menjenguk ayahanda, akan tetapi adinda bimbang sekiranya hasrat adinda ini dipanjangkan kepada Baginda Sultan, adinda akan dimurkai oleh baginda. Bukankah sejak kekanda melarikan adinda dahulu Pahang dan Melaka sudah hampir-hampir saja mencipta perang sengketa, namun oleh kerana kebesaran daulat duli Tuanku serta betapa gagahnya armada pendekar-pendekar di Melaka, maka hasrat ayahanda untuk menyerang Melaka terpaksa dibatalkan, sementelah baginda Sultan Terengganu pula mula memusuhi Pahang kerana dikatakan memungkiri janji kerana membiarkan adinda terlepas ke tangan baginda Sultan Melaka. Seperti yang pernah kekanda nyatakan kepada adinda dahulu, “ Terengganu, Terengganunya, Pahang, Pahangnya. Dengan kebesaran daulat yang dimiliki oleh Baginda Sultan Melaka, maka usahlah kita rakyat marhaen ini berhajat menggaris murka di hati baginda.”

Kanda,

Hati adinda tidak keruan lantaran berbelah bahagi sama ada menjalankan tanggungjawab adinda sebagai seorang anak yang tidak pernah menggarit garis luka, atau menumpahkan taat setia kepada suami tercinta yang hakikatnya tidak pernah sekali pun adinda serahkan cinta ini kepadanya. Cinta kepada ayahanda dan bonda adalah jambatan ke syurga, tetapi andai kepada suami ditumpahkan taat setia, maka kasturi syurgalah juga aroma amalan kita. Apakah yang perlu adinda lakukan kanda? Kolek cinta teroleng-oleng di muara jiwa, sedang di lubuk hati hanya arus kasih kekanda yang masih deras bergelora. Adakah ini yang dikatakan cinta? Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan mulia.

Satria Hatiku,

Ketahuilah, erti perutusan ini sangat mendalam. Perutusan ini adalah nukilan rasa hati adinda yang tidak keruan ketika ini. Terperangkap dan terjerlus di dalam beting perasaan yang terselut antara kekeliruan cinta setia kepada suami dan cinta sejati terhadap arjuna yang bertakhta di hati. Kanda, pada hakikatnya, bukanlah adinda mahu benar menjadi permaisuri. Bertakhta di singgahsana emas, sedangkan bahtera perasaan dinda sendiri semakin lemas. Percayalah kanda, hanya kanda raja di hati, dan selama-lamanya bersultan di sanubari. Akan tetapi, inilah takdir yang tidak dikarang. Berkasih dan bersayang, berkorban apa saja meski kelak nyawa sendiri pipih melayang. Adinda tidak bisa menyesali apa yang sudah terjadi kini. Kerana adinda sendiri yang memilih jalan berliku ini. Kasih di hati buat sang marhaen arjuna, tetapi setia dicurahkan buat baginda yang mendaulati segala-galanya.

Kekandaku Hang Tuah, Satria Bumi Melaka,

Saat ini, adinda terkenangkan pelayaran sandera kita dahulu. Pelayaran yang cukup manis dan meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat adinda. Kolek, pinisi, layar dan lancang Melayu Terengganu membawa kita meredahi lautan duga sambil menggenggam erti seraut cinta. Ya, adinda membuat keputusan untuk merelakan kekanda melarikan adinda kerana adinda yakin pada tulus cinta kita, meski ketika itu adinda sudah pun ditunangkan dengan raja muda Paduka Sultan Terengganu. Ketahuilah kekanda, pada mulanya adinda menyangka bahawa hasrat kekanda mahu melarikan adinda dari negeri Pahang adalah kerana cinta dan hasrat kekanda untuk memperisterikan adinda. Kedaulatan bumi Melaka dan seisinya menarik minat adinda untuk mengikut kekanda walau adinda sendiri tidak pasti apakah bentuk kepayahan yang bakal adinda tempuhi sepanjang pelayaran kita nanti. Namun, apabila kekanda menyatakan bahawa tujuan kekanda melarikan adinda adalah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, adinda mula terfikir kewajaran adinda menuruti kekanda.

Kanda,

Demi cinta adinda terhadap kekanda, adinda turuti segala-galanya. Ketika itu, meski luluh jiwa dan perasaan adinda lantaran terasa dikhianati oleh kepercayaan yang diberikan atas nama cinta, adinda turuti jua kehendak kekanda. Kanda, ketika kanda memberikan sirih jampi kepada adinda dengan niat agar adinda dapat melupakan kanda keesokan hari, ketahuilah bahawa adinda tidak sedikit pun menjamah sirih jampi itu. Adinda tahu, jika adinda memakan sirih jampi itu, seluruh ingatan, rasa cinta dan gelora rindu adinda terhadap kekanda akan lenyap sama sekali. Adinda tidak mahu kehilangan kanda, arjuna yang pertama dan selama-lamanya bertakhta di lubuk sukma adinda.

Kekanda,

Beberapa waktu kebelakangan ini juga, adinda mencurigai tingkah Tun Lading, pengawal turus kanan yang menjaga gerbang utama laut Melaka. Beliau kelihatan sangat akrab dengan pedagang Benggali Putih yang mahu berdagang di Melaka. Bukanlah adinda mencurigai kesetiaan Tun Lading, tetapi adat Melayu santun berbahasa, musuh di selimut haruslah waspada. Adinda gusar melihat keakraban Tun Lading bersama pedagang Benggali Putih yang dikenali sebagai De Squera itu kerana khuatir kalau-kalau semua ini adalah pakatan muslihat mereka untuk mengkucar-kacirkan kemakmuran negeri Melaka. Seperti pesan orang-orang tua: “pukul gendang bermain rebab, jangan sampai mulut menguap, ungkal anak nakal tersilap, baik musuh merangka musabab.” Adinda bimbang kalau-kalau semua ini adalah helah muslihat sang dedalu luar yang mahu menguji kemakmuran dan kedaulatan negeri Melaka.

Aduhai Kesuma Jiwaku,

Saat ini adinda terkenangkan saat pertemuan pertama kita dahulu. Siapa sangka, suatu hari nanti adinda akan bertemu dengan Laksamana Hang Tuah yang sebelum itu hanya adinda penuhi hati ini dengan hanya memuja kebentaraannya. Serasanya agak lucu, apabila teringatkan keletah Dayangku Sita yang telah terlupa untuk bertanyakan nama kekanda, sedangkan pada sebelah petang sebelumnya, Dayangku Sita telah bersetuju untuk mengambil kekanda sebagai anak angkatnya setelah kekanda hanya bermodalkan nasib anak dagang Melaka yang terbuang. Sehinggalah pada sebelah malam keesokan harinya, kita bersua empat mata di pesta Joget Pahang, dan saat itulah hati adinda telah tertawan dengan kesantunan dan kerendahan diri kekanda. Ingat lagikah kanda, pada keesokan malamnya kita berkisah tentang erti cinta dan rindu? Berkisah bahawa setiap cinta itu memerlukan pengorbanan yang jitu? Bahawa setiap rindu itu harus diuji getarnya. Bahawa bahtera kasih itu perlu diuji layar percayanya, dan yang lebih manis semestinya minhaj bahawa cinta itu belum tentu perlu bersatu jasadnya. Ingatkah lagi kekanda?


Satria Hatiku,

Fahamilah bahawa perutusan ini adalah perutusan rindu yang tiada lagi bisa bersatu. Fahamilah bahawa takdir cinta kadangkala tidak tertulis untuk kita. Andai lara rasa yang bakal menyusul, biarlah. Andai seksa rindu yang berkunjung, biarlah. Biarlah andai setia ini goyah setelah diuji resah dan gelisah yang parah. Serahkan segalanya kepada sejarah. Agar di situ tertulis riwayat dan hikayat berdarah yang menjadi saksi pengorbanan cinta Tun Teja buat Hang Tuah.

INFO

ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit dalam genre cerpen, puisi dan novel. Karya

penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti Putra Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis diterbitkan Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.

Semerah Senja (Cerpen)


Oleh Malim Ghozali PK

AKU tidak mengerti kenapa harus lagi berada di desa terpencil ini. Seolah-olah aku dipertanggungjawabkan mengawal selia segala sisa-sisa kenangan yang masih tertinggal di sini. Sebenarnya aku tidak perlu menjadi penunggu semua itu. Kenangan telah senam di segenap tempat: terpahat di batu-batan, terukir di setiap pepohonan, di lurah dan bukit, tersangkut di suara unggas dan mergastua, terperangkap bersama rimbun aur di tebing kali, dijinjing semilir angin pagi dan petang dan terlukis di mega jauh di kaki langit. Aku sepatutnya sudah terbang lama dulu, mencari kehidupan baru, kalau tidak pun cinta baru. Melupakan semua kesayuan dan kepedihan. Sesungguhnya desa ini adalah lambang sebuah kesepian yang teramat sangat!

Dan kesepian amat menyakitkan.

Ketika bulan empat belas bersimpuh di permukaan danau di hujung desa, ia seperti mahu mengintip rahsia masa silamku. Sang pungguk di pinggir danau pula tak lepas-lepas menyanyikan lagu pilunya. Cepat-cepat kutinggalkan danau. Aku tidak mahu berkongsi wajah bulan di danau serta keindahan masa silam dengan sesiapapun, kecuali Alang.

Dan sudah lama kutahu cinta adalah sebilah pisau bermata dua: ia sangat perlu, namun mampu pula menikam bagai sembilu.


"Pergilah, cari kehidupan baru ada padang yang lebih hijau dari yang terdapat di desa ini ...." Ayah Alang yang pragmatik selalu saja mengacum fikiranku. Dia tahu penantian adalah petanda paling kejam. "Hatimu sudah tidak di desa ini lagi," ayah Alang membuat prognosisnya.

"Tapi ayah salah ..." mahu saja kata-kata itu kulucutkan kepada ayah Alang. Tapi aku tidak sampai hati. Ayah Alang orang baik. Aku sendiri pun bukanlah dari jenis yang suka membentak-bentak. Jauh sekali berlaku kurang sopan terhadap orang tua.

- Di luar sana dunia menantimu, Merah.

- Tapi ayah, aku seorang perempuan dan aku masih isteri yang sah kepada Alang.

Alang juga bukan orang jahat. Aku menyayangi seluruh desa ini: warganya, keindahannya, dan sudah tentulah teruna kebanggaan desa - Alang. Aku dan Alang dilahir dan dibesarkan di sini. Kami bersekolah di sini, kami bercinta di sini. Bukankah kami telah berjanji mahu berakhir di sini? Ah, kesepian boleh membangkitkan rindu dari laut dan membuatkan dedaunan menggetarkan lagu-lagu rawan.

- Cukuplah, kalian telah lama mahu menafikan cintaku terhadap Alang! Dengar sini, aku cintakan Alang, selamanya .

Walaupun ada kata-kata Alang yang tidak kusenangi, namun aku sudah mencintai lelaki itu sejak pertemuan kali pertama. Ketika hitam anak mata Alang menyikat tangkai jantungku ketika berselisih di titi berhampiran sawah, aku telah serta merta menjadi milik lelaki itu. Dan pada saat itu juga Alang telah menjadi kepunyaanku. Alang menyambung pelajaran di bandar, aku menantinya dengan tabah. Dia tidak pernah mengecilkan hatiku lagi. Alang bekerja di bandar sementara menantikan tawaran yang lebih lumayan. Aku menantinya kerana tidak pernah meragukan kesetiaannya padaku. Alam dan burung-burunglah yang mengisi kekosonganku ketika menanti kepulangan Alang pada hujung minggu. Sebagai seorang kekasih pluit Senandung Malam dari balik bukit menuju ke arah selatan di puncak-puncak malam sering saja menambah kerinduanku.

- Cinta terhebat bukan untuk pelaminan!

Aku tidak tahu kenapa Alang membuat pengumuman sebegitu sekembali dari bandar pada rembang suatu petang. Kalau kau sudah tidak lagi menyintaiku, katakanlah Alang, aku boleh menerimanya, walaupun aku akan merana seumur hidup. Ternyata kata-kata Alang melukakanku, sementelahan dia baru saja ditawarkan jawatan yang lebih lumayan jauh di ibu kota. Katanya dia sedang memikirkan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak.

Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. Aku tidak dapat menerima kata-kata itu. Aku fikir dia sengaja mahu menguji kesetiaanku. Memang, aku merajuk beberapa hari lantaran kenyataan Alang. Tapi lelaki itu juga pandai memujuk, dan segala kebekuanku cair juga akhirnya.

Alang bercerita tentang ciak jantan saban hari tekun mengutip jerami padi untuk dijadikan sarang kerana pasangannya akan bertelur tak lama lagi.

Menurut nenek Alang, dulu-dulu pesawah tidak menganggap ciak, pipit tuli, dan pipit uban sebagai musuh. Mereka saling tolong-menolong. Burung-burung itu membantu pesawah dengan menghapuskan ulat dan benah berang. Upahnya mereka boleh ambil sebanyak mana padi yang diidamkan. Lagipun pada waktu itu sawah yang sesayup mata memandang luasnya itu belum lagi diganggu-gugat oleh estet kelapa sawit dan tapak industri.

- Ooo sekarang?

- Racun serangga meracun setiakawan yang sudah wujud sejak lama. Selebihnya orang sudah berajakan duit tanah sawah pun dah semakin susut.

- Kesian, lepas tu .

- Sambil menggonggong jerami ciak jantan tak henti-henti menyanyi . Ciak! Ciak! Ciak!

- Kau tahu maksud nyanyian itu, Alang?

Alang mengalihkan pandangan ke arahku dan dengan legun merenung ke dalam anak mataku. "Maksud ciak jantan tu: kau cantik, kau cantik, kau cantik !" Dan Alang ketawa.

- Kau miang, Alang!

Aku menduga sepasang mata hitam Alang menyembunyikan kesungguhan dan cita-cita yang tinggi.

Alang menyambung ceritanya; sebaik saja sarang itu terbangun, ciak jantan tidak kembali menemui pasangannya lagi. Hilang lesap entah ke mana. Aku merasakan aneh benar cerita itu.

- Ke mana hilangnya si ciak jantan?

- Entah.

- Apa kesudahan cerita tu?

- Entah.

- Kenapa entah? Kaubuat cerita sendiri ya?

- Aku belum terfikir bagaimana mahu mengakhirkannya.

- Hmm geramnya aku .

Alang ketawa lagi. Tapi dia kurang bernasib baik. Dia terlepas umbang dan terjatuh dari titi batang mahang ke dalam tali air di pinggir sawah.

Lelaki yang diimpikan oleh semua gadis di desaku mengotakan janjinya. Alang naik pelamin bersamaku. Pak cik mengadakan kenduri ala kadar. Tak mengapalah, Almarhum ayah dan ibu tidak meninggalkan banyak harta, selain kebun getah sekangkang kera berhampiran sungai dan serelung sawah yang bersempadan dengan sawah milik ayah Alang.

"Yang lebih penting, kau bahagia," kata pak cik. "Nanti bila sudah ada anak sebagai penambat kasih sayang, tentu kalian akan mengecapi nikmat kebahagiaan berumahtangga." Kata-kata pak cik meniupkan semangat kepadaku. Lebih-lebih lagi sejak malam pertama Alang sudah membayangkan kemungkinan dia menerima tawaran kerja di ibu kota. Lebih memeranjatkanku Alang ingin mengembara dan belajar hingga ke luar negara!

"Tapi kebun getah, tanah sawah dan sedikit dusun peninggalan ayahku boleh kita majukan. Hasilnya tentu lumayan, bang ."

Alang tidak menjawab sarananku.

Malam itu buat kesekian kali tidurku menghidangkan mimpi ngeri yang benar-benar terjadi. Alang meninggalkanku, tanpa sebarang pesan, tanpa sepatah kata. Suatu petang minggu, Alang tidak pulang dari kerja. Aku tidak mengesyaki apa-apa. Hingga larut malam kutunggu, tapi dia tidak juga menjelma. Keesokannya aku dan ayah Alang menjejakinya di tempat kerja. Ternyata Alang tidak datang bertugas pada hari dia tidak pulang ke rumah. Alangkah hampanya kami. Lama aku berkurung di bilik hingga merisaukan pak cik dan ayah mentuaku. Mataku bengkak dan tubuhku tidak lagi terurus. Aku cuba mewaraskan apa yang terjadi.

Sekiranya cinta boleh muncul dengan tiba-tiba, tentulah cinta boleh hilang bila-bila masa!

"Jangan sampai merosakkan kesihatan, nanti boleh keguguran," kata teman karibku, yang kebetulan adik Alang.

"Aku tidak bunting," kataku.

Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada pasangan ciak betina yang dikisahkan Alang lama dulu. Hanya Alang yang mampu menyudahkannya, kerana itu adalah cerita bikinannya. Kata adik Alang dia dan ayahnya juga tidak pernah dihubungi.

Agaknya Alang sudah terbang bersama ciaknya, sebaris ayat nakal melintasi fikiranku.

"Kenapa tak kahwin, kau cantik, usia dah semakin lanjut," pernah kutanyakan kepada adik Alang.

"Entah," jawabnya, lalu mengangkat kedua-dua bahunya. "Saya takut jadi macam Kak Merah."

Apakah dunia ini penuh dengan 'entah' dan semua manusia menggunakan kata itu untuk mewaraskan semua fenomena?

"Entahlah kak agaknya belum jodoh," jawab adik Alang pada ketika yang lain.

"Destini kita tak serupa " nasihatku kepadanya. Spontan kudongak ke angkasa apabila terdengar siulan burung. Seekor balam terbang sendirian menuju entah ke mana.

Hingga suatu petang yang lanjut ketika berbasikal melintasi halaman rumah ayah mentuaku, kemunculan sebuah kereta mewah cukup mendebarkan hati kecilku. Hingga tersirap darah gemuruhku.

Tentulah bukan kereta Alang?

Ayah Alang tidak pernah memberitahu tentang kepulangan anak lelakinya. Tapi aku harus bergegas ke pasar tani yang terletak berhampiran jalan besar. Di kejauhan bunga senja yang kuning kemerah-merahan sudah mula mendandan kaki langit. Adik Alang memintaku datang lebih awal untuk mengambil hasil jualan buah-buahanku di gerainya. Dia mahu terus ke bandar, katanya. Begitulah yang kulakukan sejak beberapa tahun kebelakangan. Semua buah-buahan itu adalah hasil tanamanku di pinggir sawah, tak jauh dari ladang kelapa sawit dan kebun getah; kebanyakannya jambu madu, rambutan, nangka dan mata kucing. Beberapa biji mata kucing yang dibawa Alang dari bandar suatu waktu dulu kusemaikan. Sehingga ke hari ini pohonnya tidak putus-putus mengeluarkan buah yang lebat dan manis saban musim.

Aku tersentak sebaik tiba di gerai adik Alang. Seorang gadis Inggeris berambut perang tercegat di situ. Aku tambah gemuruh apabila gadis itu menghulurkan tangannya yang lembut kepadaku.

"Assalamualaikum Mak Cik Merah ."

"Walaikumussalam ." jantungku semakin berdebar. Ada bayangan wajah seseorang yang sangat kukenali di tampang gadis sunti.

Dugaanku tepat sekali apabila adik Alang berbisik ke telingaku. "Anak tiri kakak ibunya orang putih, baru meninggal. Khabarnya abang Alang selalu sakit-sakit sekarang."

"Haa?"

"Hmm, nampaknya penantian Kak Merah dah berakhir. Kata anaknya, Alang ada di rumah. Dia tentu rindukan kak Merah. Saya tak jadi ke bandar kak, sekejap lagi pulang."

Kukayuh basikal laju-laju ketika melintasi halaman rumah ayah mentuaku. Kulihat seperti ada seseorang terdiri di beranda. Aku tidak menoleh tapi terus pulang ke rumah kecil yang kubina di pinggir sawah. Aku sudah lama tidak tinggal di rumah ayah mentuaku. Biarlah aku tinggal sendirian di rumah kecilku. Di situ aku tidak jauh dari kenangan. Sejak di atas basikal, air mataku sudah mula merembas.

Sesampai di rumah kulihat ayah mentuaku mengelamun di atas tangga.

"Kau tentu sudah tahu, Alang sudah pulang. Katanya dia datang untuk meminta maaf. Dia nak bawa Merah bersamanya ke ibu kota. Ayah tak boleh memaksa ayah tahu perasaan Merah. Sekejap lagi suamimu akan ke sini. Katanya dia mahu berlutut dan mencium tanganmu," kata ayah mentuaku sebelum dia beredar.

Aku tidak mampu bersuara lagi. Kurasa air mataku tak dapat ditahan-tahan lagi. Sejak di gerai buah adik Alang aku sudah kehilangan suara. Benakku berkecamuk dan tubuhku bagaikan terapung. Ada adik Alang menyebutkan nama anak gadis abangnya, tapi aku tidak ingat. Semua itu sudah tidak penting.

Air mata: kau mengalir kerana gembira dengan kepulangan abang Alang?

Kenapa sekarang Alang? Kenapa? Kenapa harus begini?

Aku tidak marah sekiranya Alang berterus terang. Tapi kini hatiku benar-benar luluh.

Sebentar lagi adik Alang akan sampai. Dia sudah berjanji menghantarku ke stesen kereta api dan merahsiakannya. Kuhantar pandangan ke arah tali air buat kali terakhir. Walaupun titi batang mahang sudah digantikan dengan titi kayu yang lebih cantik, namun kenangan-kenangan masih terkunci di situ buat selamanya. Tali air kelihatan sebu dan sepasang burung ciak bertenggek di ranting aur. Tak lama lagi pesawah akan turun menyemai pada musim yang baru. Kulihat kaki langit masih seperti tadi. Walau sebak di dadaku semakin menjadi-jadi, namun terasa ada semangat baru yang menyala-nyala - semerah senja itu.

INFO:

MALIM Ghozali PK, nama pena bagi Mohd Ghozali Abdul Rashid yang dilahirkan di Malim Nawar, Perak, pada 1949. Terbabit dalam genre puisi, cerpen, novel dan karya bukan fiksyen. Lulusan Antropologi Sosial (Universiti Malaya) dan Undang-undang Perkapalan (Universiti Wales, UK) serta Pentadbiran Tanah (NIPA) ini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 21 tahun sebelum bersara pilihan pada 1994. Kumpulan puisi, Gemaruang (1987) dan Hujan Di Limun Pagi (2008); kumpulan cerpen Usia (2006) dan Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! (2008) serta novel, Redang (1988), Janji Paramaribo (1991) dan Daun (2008). Karya bukan fiksyen, Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan dan The Profound Truth Understanding Perfection (2006), selain turut menterjemah karya cereka dan bukan cereka Melayu-Inggeris-Melayu. Pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984 - 1987 (puisi dan cerpen) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Sayembara Esso-Gapena. Menghadiri program Felo Virginia Centre for Creative Artists (1989) dan felo penulisan Program Penulisan Iowa (2007) di Amerika Syarikat, selain pernah mewakili negara ke Bengkel Mastera di Bogor, Indonesia (2008) sebagai pembimbing genre cerpen.

Dia, seorang geisha (Cerpen)

Oleh Hafizul Osman

DIA, seorang geisha. Pelayan wanita yang melayan lelaki di Gaikan, sebuah pusat layanan di Jepun. Dia sering memakai kimono sambil obi dijadikan bekung yang meliliti pinggang. Sesekali mengindahkannya dengan nape, seperti sebuah reben yang dikembarkan dengan obi yang melilit pinggangnya.

Dia adalah ratu di Gion, perdaerahan kecil di dalam Kyoto Prefektur, bandaraya penuh tradisi di negara Matahari Terbit. Dia adalah seorang geisha terulung yang masih belum dicabar mana-mana geisha mahupun geiko, geisha remaja yang dalam proses pembikinan. Dia menjadi legenda di daerah Bunga, nama timangan daerah Gion.

Tetapi sekarang, dia lebih selesa mengenakan baju kurung putih, lengkap dengan tudung dibaluti kemas pada wajahnya. Menutupi apa yang perlu dilakukan sebagai seorang Muslimah. Dia benar-benar berubah.

“Nama saya Moriyama Aishah!”

Dengan penuh tertib, dia membongkokkan badannya ke bawah. Pengaruh budaya Jepun masih belum lekang daripada jiwanya. Hanya hati dan fizikalnya sudah bertaut pada kemanisan Islam. Dia tidak lagi penganut agama Kristian mahupun agama Buddha-Shinto yang menjadi ikutan daripada nenek moyang di negara asalnya. Dia hanya menyembah Yang Maha Esa.

Simposium Wanita Islam Sedunia sesak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Saudara dijemput sebagai tetamu, lewat tugas saudara sebagai Presiden Bekas Mahasiswa Islam Malaysia. Sekadar memeriahkan acara yang julung-julung kali diadakan di Malaysia. Setiap negara menghantar wakil. Dan tidak disangka, wanita ini mewakili suara wanita Islam di Jepun yang rata-rata adalah golongan minoriti. Kehadirannya memeriahkan hati saudara yang ketandusan melihat wajahnya dalam sanggar waktu yang panjang. Saudara dalam kebalauan.

“Wanita Jepun terikat dengan budaya dan tradisi nenek moyang kami. Mereka hilang hak untuk bersuara sekalipun mereka adalah penduduk majoriti di negara itu. Apabila sudah berkahwin, mereka rela membiarkan sang suami bersuka-sukaan dengan perempuan lain atas dasar kesetiaan. Isteri hanya menjadi tempat menghasilkan anak, tetapi bukan tempat untuk menjadikan suami sejahtera. Remaja Jepun pula berpaksikan pada kebaratan. Seks bebas rancak berjalan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Ini membuatkan masalah sosial semakin meruncing dengan perempuan mengandung anak luar nikah. Jangan terkejut apabila mendengar cerita seorang wanita berumur 14 tahun telah melahirkan anak.”

“Kerana itu, kehadiran saya dalam dunia Islam adalah dengan tekad untuk mengubah fenomena ini, selagi saya masih bernyawa di atas muka bumi Allah ini!”

Ucapannya menerima tepukan yang gemuruh daripada semua perwakilan, walaupun Bahasa Inggerisnya sedikit pelat. Namun, itu bukan ukuran tetapi yang penting adalah intinya. Dia mahukan kesejahteraan. Dia mahukan perubahan.

Michiko. Ah, sebetulnya Aishah. Dia adalah bunga sakura yang sedang berkembang mekar. Yang menjadi peneman di hati pasangan kekasih, hati sang tua yang lara ketika menikmati pesta Hanami, langsung setiap penghujung Mac dan awal April. Sakura yang berkelopak lima cantik dengan warna merah hatinya. Indah nian.

“Tetapi sakura hanya bertahan beberapa hari. Hidupnya bermusim. Saya tidak mahu begitu. Menjadi Islam bukanlah mengikut musim. Islam mesti istiqamah.”

Begitulah kata-katanya sewaktu saudara dan dia leka berbual di salah sebuah restoran di Hotel Nikko, lokasi penginapannya. Dia menerima pelawaan saudara untuk bergebang sebentar cuma untuk bertanya khabar malahan melepaskan rindu di hati.

Dia comel dengan bersarungkan pakaian serba putih sebegitu. Tampak suci dan bersih seperti bayi yang baru dilahirkan. Wajahnya sentiasa berseri disulam lesung pipitnya ketika menguntum senyuman. Dia indah serba-serbi pada fizikalnya. Moga-moga dalamannya begitu.

“Bila Aishah mengucapkan kalimah syahadah?” tanya saudara setelah lama berbasa-basi. Dia yang sedang mencicip secawan kopi susu pantas mengembalikan cawan ke atas piring. Matanya beralih kepada mata saudara.

Dia membalas, “Lama setelah awak menemui saya di tengah landasan kereta api itu. Hari yang sering kali membuatkan saya berfikir, apa yang saya dapat jikalau saya menamatkan riwayat dengan membiarkan diri digelek kereta api? Tetapi, awak hadir tepat pada waktunya sambil menitipkan pesanan bahawa hidup kita di dunia ini ada matlamat. Islam tidak menggalakkan umatnya berputus asa. Sejak dari itu, saya mula tertarik dengan agama yang suci ini.”

Saudara diam sahaja. Panorama petang itu sedikit mendung. Kemalapan cuaca diatasi dengan suasana segar di dalam restoran itu. Lagu-lagu tiupan seksofon Kenny G menjadi halwa telinga yang mengasyikkan dengan aroma Lavender yang dipakai gadis Jepun depan saudara membuatkan fikiran terlayang.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya, Michiko! Allah tidak akan menguji umat-Nya melainkan atas kemampuannya sendiri.”

Inti pati surah al-Baqarah ayat 286 saudara sisipkan sedikit untuk memberikan motivasi kepada Michiko. Ah, sekali lagi saudara tersasul. Aishah! Ayat itu jualah yang terkeluar dari mulut saudara ketika saudara menemui dia buat kali pertama, ketika dia masih belum mengenal siapakah yang menciptakan dirinya. Kisah lampau melatari perbualan saudara dan dia buat seketika. Dan saudara lihat dia termenung panjang.

“Tapi, agak sayang. Saya lambat mengenali Islam. Hanya apabila saya telah dipergunakan oleh seorang lelaki Jepun, melebihi tugas saya sebagai seorang geisha, saya hilang arah. Memang benar, lelaki Jepun hanya tahu bersuka-sukaan di luar lingkungan ikatan yang sah. Saya kehamilan. Lelaki itu tidak mahu bertanggungjawab lantaran statusnya sebagai suami kepada wanita yang lain. Malangnya nasib saya dan nasib wanita itu. Ketika itu, saya memilih mati kerana saya fikir itulah jalan penyelesaiannya. Ditambah dengan status saya sebagai seorang geisha yang hilang dek perut yang semakin membesar, saya kehilangan punca rezeki. Saya mula berfikir, apa yang ingin disuapkan pada anak ini setelah ‘dia’ melihat dunia nanti? Saya dilanda kerunsingan. Saya benar-benar kerugian,” ucap Aishah dengan sedu-sedan. Air matanya murah sekali pada petang itu. Saudara membungkam diri. Sapu tangan saudara hulur. Lembut sekali dia menyambutnya.

“Memang benar, Aishah! Manusia itu benar-benar dalam kerugian kerana masa. Tapi, tiada apa yang hendak dirugikan apabila ada orang menyampaikan kebenaran dan erti kesabaran. Sabar pada segala musibah yang berlaku, besar hikmahnya.”

Saudara panjangkan surah al-Asr dalam ucapan. Sekadar memberi peringatan untuk saudara baru ini yang barangkali telah mendengar bacaan ayat ini beberapa kali. Dia terus menangis. Di luar hujan turut menangis. Dunia menjadi basah lagi untuk hari ini.

“Saya tiada siapa lagi di dunia ini. Ibu bapa saya meninggal ketika usia masih mentah lagi. Mak cik saya yang membawa saya ke dalam dunia geisha, sudah membuang saya dari jiwanya, dari fikirannya sebaik sahaja saya ketahuan memilih kebenaran. Dia mencerca dan menggelarkan saya anak sial. Saya tahu bukan sebab itu dia mencerca saya. Anak di dalam inilah yang menjadi puncanya. Saya membawa anak sial. Mak cik saya pasti tidak sukakannya.”

Air matanya tidak mahu kering. Sedu-sedannya mengganggu rentak percakapannya. Dia berhenti seketika untuk menarik nafas.

“Saya tiada saudara lagi. Hanya kepada-Nya saya pertaruhkan nasib. Hari-hari saya selepas itu banyak yang dihabiskan di Pusat Perkembangan Islam di Tokyo. Syukur, anak saya selamat dilahirkan sepeninggalan saya di situ. Hati saya yang luka dirawat di situ,” dia menyambung ceritanya dengan saki-baki kekuatan yang masih ada.

Sebetulnya saudara tersentuh. Tapi ego saudara mengekang daripada merembeskan air mata. Saudara tidak mahu tenggelam dan karam bersama-sama dengan derita yang dihadapi wanita tabah ini. Pipinya yang selama ini ditempek dengan bedak tebal dengan bibir comelnya merah digincu bulat, basah disirami air mata.

Sore itu benar-benar suram. Dia hanya menangis dan menangis. Ibarat menyesali membunuh 1000 orang Islam di muka bumi ini. Saudara hanya terpaku dan terpaku kerana saudara adalah lelaki! Menyentuhnya bagaikan menyentuh api neraka di akhirat kelak.

“Sudahlah, Aishah! Perkara yang lepas jangan dikenang lagi. Kita ada masa hadapan yang harus dituju. Mungkin cabarannya lebih besar yang kita perlu lebih tabah menghadapinya. Semua yang berlaku atas kehendak-Nya. Qada dan qadar!”

Ucapan saudara yang lembut itu seperti ubat tangisannya. Walaupun masih bersedu-sedan, tetapi air matanya mulai kering. Saudara menguntum senyum paling manis untuk dirinya. Perlahan-lahan senyumannya pecah. Manis sekali.

“Terima kasih! Moga-moga pertemuan kita tidak terhenti di sini. Semenjak awak pulang setelah pelajaran tamat di Jepun, saya sentiasa teringatkan awak. Rindukan suara awak. Saya tidak tahu kenapa. Diri awak bagaikan jiwa saya yang baru. Diri awak seperti awan yang sentiasa memayungi seorang wanita yang amat memerlukan perlindungan daripada sinaran mentari yang tidak pernah hilang. Saya harap awak sudi untuk bersama dengan saya mengharungi cabaran mendatang.”

Saudara termanggu seketika mendengar kata-kata itu. Lamban-lamban, senyuman saudara tadi merekah. Ada kegalauan yang dapat saudara rasakan di hati. Lama saudara berteleku. Sehingga pertemuan itu usai, saudara hanya termenung panjang di tempat duduk. Bibir saudara bagaikan terkunci. Rapat sekali.

Esoknya, saudara ke simposium itu lagi. Hari ini adalah peluang terakhir untuk menatap wajahnya. Dia berdiri lagi di hadapan pentas. Dia berpidato penuh bersemangat. Entah apa yang merasuk dirinya tapi ucapannya bagaikan ada roh.

“Saya terkesan dengan Surah an-Nisa dan surah Maryam di dalam kitab suci al-Quran. Lama saya membaca kedua-dua surah suci itu sewaktu saya mula merapatkan diri dengan nur Islam. An-Nisa mengangkat martabat wanita di mata Islam. Surah Maryam menceritakan ketabahan seorang ibu membesarkan seorang anak tanpa ayahnya. Kedua-duanya berkenaan wanita. Kisah seorang ibu. Nabi Muhammad saw menyebut ibu sebanyak tiga kali apabila ditanya oleh sahabat siapa yang harus diberi bakti dahulu. Wanita Jepun tidak begitu. Maruah dicalar oleh keegoan seorang lelaki. Lelaki ada hak yang total kepada wanita di sana. Kami wanita bagaikan dihina meskipun dilakukan secara halus oleh adat yang tidak sepatutnya wujud pada zaman dahulu!”

Roh ucapannya meresap kepada setiap hadirin termasuk diri saudara sendiri.

Sebelum dia meninggalkan kota ini, saudara sudah nekad. Bulat. Kata-katanya yang penuh tersirat semalam telah saudara rungkaikan siratannya. Saudara akan menyambut permintaannya.

Dia bakal menjadi suri hidupku, bisik saudara. Dan anaknya itu bakal berayah.

Suasana pecah dengan gemuruhnya tepukan. Dia tersenyum di atas pentas. Senyuman yang paling manis pernah saudara lihat.

Biodata:

HAFIZUL Osman yang dilahirkan di Sungai Buluh, Selangor, pada 21 April 1986, adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Karya penuntut Jurusan Kejuruteraan Mekanik, Universiti Malaya (UM), ini mendapat empat dalam majalah Tunas Cipta, Dewan kosmik, E@Siswa dan Berita Harian. Pernah memenangi hadiah dalam Sayembara Cerpen Remaja 2000 dan 2001. Beliau yang menjadikan karya Faisal Tehrani, Nisah Haron, Dr Rahmat Haroun Hashim dan Azizi Abdullah sebagai bahan bacaan wajib boleh dihubungi di e-mel pjun06@gmail.com ATAU hafizul_osman@yahoo.com.

4 (Cerpen)

Oleh Fudzail




(1)
SEMUANYA bermula dari kemas kini status Dina di Facebook. “Membayangkan saya, 1 isteri dan 4 suami!”

Berderet komen-komen daripada rakan-rakan Facebook Dina yang mencecah dua ribu orang. Ada yang menyokong dan ada yang memperolok-olok Dina sebagai gila. Pelbagai komen mereka yang majoriti berusia 30-an. Variasi yang membayangkan perubahan generasi dengan kepelbagaian pendidikan, pemikiran, pemahaman dan pendirian warga Malaysia setelah 53 tahun merdeka.

Ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Ramai rakan-rakannya tentu mereka yang mengaku sebagai Muslim. Membentuk kumpulan masyarakat majmuk di dalam kepompong jaringan sosial global yang menjadi cerminan kehidupan realiti.

Ada komen-komen yang keras sekali. Menuduh Dina telah murtad kerana menyanggah hukum agama dan tidak sepatutnya menjadi gurauan, walau sekadar bayangan, sekadar imaginasi. Tidak sepatutnya dijadikan bahan humor walau pada kurun ke 21.

Kurun di mana kebebasan bersuara dan hak-hak wanita menjadi sebahagian daripada manifesto asas dalam demokrasi. Kurun yang semakin gila dengan pelbagai isu alam, pemanasan global dan penipisan ozon.

“Kau gila Dina, memang gila!” Itulah kata-kata pertama sebaik saya bertemu Dina kemudiannya. Seperti biasa pertemuan di luar Facebook dan telefon mudah alih. Bersantai di sebuah kafe tempat para profesional melepak dengan alat-alat komunikasi canggih sambil mengulang pelbagai gosip mengenai apa saja yang digosipkan dalam Facebook.

Fudzail

Dina tergelak. Kami telah lama berkawan, lama sebelum Facebook, mahupun Internet menjadi alat perhubungan yang tidak kenal sempadan dan masa. Lama sebelum kami mengenal lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh untuk pelajar perempuan. Intim. Akrab dan saling mempercayai.

Dia Dina yang menjadi rakan paling rapat dalam semua keadaan. Turun naik kehidupan.

“Gila yang dihalalkan!” Jawab Dina sambil matanya mengekori langkah seorang lelaki tampan yang lalu berhampiran. Perangainya yang tidak berubah, apalagi setelah bergelar janda muda yang tidak mempunyai anak. Bercerai hanya selepas dua tahun berkahwin. Bercerai kerana suaminya bermain kayu tiga dengan sekretari sendiri dan kena tangkap basah.

“Susahnya ada yang tidak dapat membezakan antara humor dan serius! Aku pun hanya mengutip apa yang ditulis oleh penulis wanita Saudi, Nadine al-Bedair ... kau tahu bukan?”

Saya mengangguk. Tulisan Nadine mengenai saranan membolehkan wanita berkahwin empat, seperti lelaki mengamalkan poligami mencetuskan polemik di Saudi dan beberapa negara Arab. Dengan Facebook dan Internet, Nadine menjadi wira baru di kalangan wanita Muslim lain yang sekian lama menentang poligami. Malah pendapat songsang Nadine turut diterima beberapa ulama yang menyatakan tulisan Nadine sekadar mengutarakan masalah kaum wanita yang hidup berpoligami. Ketidakadilan suami dalam memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri-isterinya.

Sesuatu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan saya ketika ini. Sesuatu yang sensitif, tabu dan penuh kelukaan dalam diri. Sesuatu yang membakar dalam bara-bara keredaan. Melakonkan kebahagiaan untuk para penonton yang mengikuti drama rumah tangga kami.

Hidup sebagai isteri pertama, dengan dua anak membesar. Tentunya sudah tidak lagi muda dan menawan. Siapa yang lebih memahami daripada hati yang menanggung semuanya.

(2)
“Kau ni macam sudah sama masuk aliran Wahabi sahaja!” Selamba Dina berkata kepada Aida, seorang lagi rakan Facebook yang kami terserempak pada sebuah seminar hak-hak wanita dalam perundangan syariah. Sama-sama mahu mendalami bidang yang selama ini diambil ringan. Tidak tahu hak-hak sendiri dalam keadaan yang tidak menyebelahi dan penuh hipokrasi.

Kami tergelak. Lucu sekali mendengar ungkapan sebegitu, terutama daripada Dina yang kadang-kadang kelihatan sebagai Islam liberal, walau definisi itu dia sendiri tidak dapat menjelaskan secara tepat. Sekadar kononnya dia tidak termasuk golongan kolot dan jumud.

Diskusi kami menyentuh mengenai isu semasa antara seorang mantan mufti dan jabatan agama negeri. Ditangkap kerana berceramah tanpa kebenaran. Juga mengenai pelbagai amalan orang-orang Melayu yang diperkatakan oleh mantan mufti sebagai tidak termasuk dari sunnah.

Aida, seperti saya juga mengakui tertarik dengan apa yang dibaca di laman web mantan mufti muda itu. Apa yang dilontarkan sesuai dengan apa yang ada dalam pemikiran. Ada logik dan rasionalnya. Dengan kupasan dari al-Quran dan hadis-hadis.

“Kau tahu puak Wahabi ini cukup fundamental, bidaah sana, bidaah sini, semua bidaah!”

Dina membuat ulasan selari. Kata Dina dia banyak membaca maklumat dari laman web pertubuhan wanita Islam Kosmopolitan (PWIK) yang diikutinya, belum lagi menjadi ahli, sekadar penyokong, termasuk dalam Facebook.

Pemikiran Dina agak selari, malah zahirnya sama seperti pendukung PWIK yang tidak bertudung. Antara rakan-rakan daripada alumni, hanya beberapa orang sahaja yang masih tidak bertudung dalam usia senja sebegini. Walau hampir semua kami siswazah universiti Barat, sebaik bersuami dan mempunyai anak, perlahan-lahan bertudung.

“Banyak perkara yang kita tidak tahu, kena belajar lagi walau tua-tua begini, urusan dunia berkait dengan urusan akhirat. Kena faham betul-betul, jangan sekadar ikut-ikutan, nanti apa yang dikerjakan sekadar perbuatan sia-sia!” Sambung Aida yang semakin banyak mendalami ilmu agama, semuanya daripada pembacaan. Tiada ustazah antara kami untuk merujuk.

Mungkin kami bertiga seperti tiga orang buta yang masih dalam perjalanan ke satu destinasi. Mencari kebenaran dalam kekeliruan dari pelbagai asakan yang datang menerojah pemikiran. Mencari berpandukan maklumat yang bertindih-tindih.

Mengharapkan suami sendiri, seperti saya dan Aida, jauh sekali. Mereka masih dalam dunia perlumbaan. Dengan golf, kerjaya dan tentunya isteri-isteri kedua yang lebih muda. Seperti saya, Aida juga bermadu dalam kelab isteri pertama yang belum didaftarkan seperti kelab poligami yang khabarnya mendapat sambutan ramai.

Bezanya, Aida tidak mampu mempunyai zuriat atas sebab-sebab kesihatan. Dia merelakan takdir kehidupannya. Membenarkan suaminya berkahwin lagi atas pilihannya sendiri.

Tiba-tiba Aida ditegur oleh seorang wanita.

“Ini rakan Facebook saya, Naseem, pelajar sarjana Iran di universiti sini!”

Kami berpelukan.

“Inikah Dina yang hangat dengan empat suami dalam Facebook?”

Tanya Naseem sebaik diperkenalkan pada Dina. Kami ketawa. Nampaknya Dina kian dikenali dengan kenakalannya mengusik minda. Cepat merebak ke rangkaian rakan-rakan lain dalam Facebook.

“Itu imaginasi sahaja, tidak kena-mengena dengan yang hidup atau mati!” Jawab Dina mengenyit mata.

Sambil mengerling ke arah beberapa kumpulan bersembang lain, perlahan Naseem berbisik.

“Jangan terkejut, saya sudah ada tujuh suami!”

Kami memandang Naseem dari atas ke bawah. Memang terkejut. Tidak percaya wanita semuda itu sudah berkahwin tujuh kali! Cantik dan anggun. Sama pula dengan Elizabeth Taylor. Tujuh suami, masya-Allah.

“Saya kan Shiah.....itu semua boleh dalam nikah muta’ah!”

(3)
Sekali lagi, suami sekadar menghantar SMS memberitahu yang dia tidak dapat pulang. Sudah biasa dengan kiriman SMS begitu. Sekali lagi saya sendiri menyambut ulang tahun perkahwinan. Kali ini ulang tahun kali ke-15. Kali ini juga alasannya yang isteri kedua mengadu sakit, mungkin berbadan dua. Sesuatu yang dinanti-nantikan mereka berdua. Sesuatu yang saya harapkan juga.

Anak-anak sudah mengerti dengan apa yang terjadi. Mereka dilahirkan sebagai perempuan yang mempunyai ayah berpoligami. Bukan sahaja biasa dengan seorang ayah yang selalu kesibukan dengan urusan kerja. Ayah yang pulang ke rumah mengikut hari-hari tertentu.

Kami berterus-terang dengan perkahwinan kedua ayah mereka dua tahun lalu. Kejutan yang hampir membinasakan perkahwinan. Demi anak-anak, akhirnya saya reda. Apa lagi datang daripada keluarga yang mengamalkan poligami. Semuanya adalah suratan yang memerlukan pengorbanan.

Mulanya janggal dan keliru, tetapi untuk apa dirahsiakan dan merasa malu dengan keadaan. Dunia sudah berubah dengan keterbukaan. Maklumat bukan lagi komoditi. Biar mereka membesar dengan suasana yang terbuka. Di bawah perlindungan seorang lelaki bergelar ayah.

Cuma lelaki tetap lelaki. Walau berjanji akan adil dan sama rata, tentunya nafsu melebihi kewarasan. Poligami dihalalkan sekiranya menepati syariat. Sekiranya dapat berlaku adil. Alasan mahu berkahwin lagi kerana mahukan anak lelaki. Katanya tertekan dengan perasaannya tanpa zuriat lelaki.

Bukan kami tidak mencuba dengan pelbagai ikhtiar. Begitulah ketentuan yang diterima sebagai dugaan. Tetapi bukan kebetulan yang isteri keduanya jauh lebih muda dan cantik!

Sekali lagi juga, Dina menjadi teman pada hari ulang tahun. Dina yang menjanda sejak 10 tahun lalu. Bukan dia tidak mempunyai perhubungan lain, tetapi jodohnya masih belum tiba. Dan hampir kesemua lelaki yang mendekati adalah suami orang. Sesuatu yang tidak akan menjadi pilihan Dina untuk bermadu. Pantang buat Dina yang kuat dengan pegangan, menentang poligami. Baginya, poligami adalah kekejaman terhadap wanita. Biarpun mungkin dia tidak melihat dari perspektif wanita yang memerlukan suami apabila lebih ramai wanita daripada lelaki, sesuatu yang menjadikan saya lebih insaf.

Sehingga idea gilanya mengenai polyandry menjadi polemik hebat dalam Facebook. Menambahkan bilangan ‘rakan-rakannya’ hampir ke empat ribu.

Dina datang dengan komputer mudah-alih, segera menulis kemas kini status di Facebook.

“Pada malam ulang tahun seorang rakan tanpa suami poligaminya, bayangkan ada suami pertama untuk cinta, suami ke-2 untuk wang & kemewahan, suami ke-3 untuk seks & suami ke-4 untuk perbualan intelektual yang santai, apakah itu syurga?”

Sebaik Dina mencatat, kami ketawa. Memecah malam yang dipenuhi berita mengenai lontaran bom di sebuah gereja. Berkaitan daripada isu kalimah ‘Allah’ yang menjadi polemik besar. Berita sensasi yang menenggelamkan kemelut pelbagai isu semasa politik. Dunia realiti yang tidak habis dengan prasangka, prejudis dan dendam. Kehidupan di luar Facebook yang sama dipenuhi paradoks dan antiklimaks.

Kami ketawa bukan sahaja kelucuan. Ketawa yang meraikan kebebasan bersuara dalam Facebook yang kalau sebuah negara adalah negara yang ke empat terbesar di dunia.

Ketawa untuk melupakan sebentar keresahan yang mengulit hati-hati wanita dalam pelbagai situasi berbeza. Mencari sesuatu yang lebih bermakna daripada kegelisahan meniti hari-hari tua yang semakin mencabar. Sesuatu yang bernama hidayah dan tentunya berada di mana-mana kalau mencari dengan ketulusan.

Kami terus ketawa dengan pelbagai komen yang mencurah. Membiarkan para ‘rakan-rakan’ bergelumang dengan emosi, bertekak dengan kata-kata kesat, selain merapu dengan pendapat yang songsang, tanpa rujukan sahih. Mereka meraikan kebebasan bersuara yang mungkin boleh menikam diri. Yang boleh membawa ke penjara, kalau tidak ke balai polis.

Tiba-tiba anak sulung saya muncul dari biliknya. Dengan wajah yang terpinga-pinga. Sesuatu yang tidak lucu lagi buat dua rakan yang terlupa mengenai cepatnya spekulasi dan gosip merebak melalui elektronik. Melalui Internet. Terlupa yang maklumat merebak secepat kilat. Maklumat yang kekadang di sebalik humor, membawa bencana daripada kekeliruan.

Pertanyaan yang menenggelamkan ketawa kami. Sepi suasana seketika. Kami berpandangan.

“Betulkah mak cik Dina berkahwin 4?”

Biodata: Penulis

Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah.

Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi "Waikato' diterbitkan oleh DBP dalam tahun 2001 dan antologi cerpen 'Dotkomania' diterbitkan oleh DBP dalam tahun 2009. Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

Kreatif: Tung Kuo dan Serigala Chungsan

Oleh Rahimah Muda

KELDAI kurus yang sedang ditungganginya berjalan perlahan-lahan memijak tanah Chungsan. Tubuh penunggangnya sama kurus dengan keldai. Di hadapan sana puncak gunung Chungsan yang berbanjar berkeluk-keluk macam belakang tubuh naga.

Sudah dua hari Tung Kuo di jalanan. Dia mahu segera sampai ke biara. Mahu menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga besar para sami. Dia percaya, di mana-mana pun ceruk di serata dunia, hati orang-orang Cina sama sepertinya: sedang menguntum riang menunggu tahun baru. Pasti reranting willow sedang menanti waktu paling tepat untuk menguntumkan putiknya menjadi kelopak-kelopak indah.

Tung Kuo merindui sahabat-sahabat seperjuangan di tokong.

Sebagai pengikut Motse, dia keluar ke merata-rata tempat sambil mengkuduskan diri ke alam kemiskinan, mengorbankan jiwa raga untuk membantu dan menggembirakan manusia lain. Pada musim 1001 Masihi ini, pengikut Motse memang dikenali. Dia mengajar prinsip kerukunan sejagat, berusaha menukarkan pendirian raja-raja, orang bangsawan dan orang kebanyakan kepada yang lebih bermakna.

Jauh di hadapan sana, matanya terlihat beberapa lelaki menunggang kuda. Lembing bercerancang di tangan, panah dan busur tergantung di bahu mereka. Helang pemburu berlegar-legar di udara mengirai-ngirai kepak. Ah, pemburu yang rakus.

Biara masih jauh. Lolongan serigala kuat menerjah gegendang telinga. Pemburu melepaskan anak panah dari busurnya. Serigala berlari pantas. Lolongan sayu bertukar lengkingan kuat. Para pemburu mengejar serigala.

Kasihan, serigala tu pasti luka. Tung Kuo memerhati dari jauh.

Kaki Gunung Chungsan yang senyap sunyi kini bertukar riuh. Salakan anjing pemburu bertalun ke serata hutan dan padang datar. Debu-debu menggerbak naik dari muka tanah. Serigala yang dikejar hilang antara debu. Kuda menjerit nyaring. Pemburu terperangkap dalam debu.

Tung Kuo terus menunggang keldai. Karung yang tergantung di belakang keldai terhinggut-hinggut. Bunyi bising kian dekat. Serigala meluru ke arahnya dengan sebatang panah tercacak di tubuhnya. Di belakang serigala, tujuh pemburu mengejarnya. Serigala meluru ke arahnya, menderam dengan mata sayu. Tung Kuo membawa keldainya bersembunyi di sebalik rimbunan semak. Serigala mengekorinya.

Jangan takut. Aku Tung Kuo. Mari aku cabutkan anak panah tu. Tung Kuo melompat turun dari keldai. Lelaki tinggi rincing itu memujuk seolah-olah serigala faham akan maksudnya. Serigala mendekatinya. Tung Kuo mencabut panah lalu membuka karungnya. Dia mengeluarkan lima helai baju dan lima buah buku dari dalam karung lalu mengangakan mulut karung.

Mari masuk. Cepat!

Dengan cepat Tung Kuo memasukkan kepala serigala ke dalam karung, namun kaki belakang dan ekornya terkeluar. Suara pemburu kian jelas.

Kalaulah leher kau boleh dipatahkan, tentu lebih mudah dimuatkan ke dalam karung. Cepat-cepat serigala merebahkan diri, membiarkan Tung Kuo menekan-nekan lantas mengikat karung ke belakang keldai. Darah menitis ke tanah. Tung Kuo menyepak pasir dengan hujung kakinya hingga titisan darah hilang dari mula tanah. Sempat dia mengelap percikan darah yang terpalit di dagunya. Tung Kuo meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan bunyi tapak kuda di belakangnya.

Lelaki pemburu menghampiri Tung Kuo. Nampak serigala luka?

Serigala haiwan bijak. Takkan dia ke sini. Tentu bersembunyi di hutan.

Sambil mengacu pedang ke arah Tung Kuo, lelaki menjerit, Kalau ada sesiapa tolong serigala tu, aku pancung dia.

Bunyi tapak kuda kian sayup. Akhirnya senyap.

Lepaskan aku! Suara itu melengking nyaring.

Tung Kuo menoleh. Karung bergoncang. Dia pasti suara itu memang datang dari dalam karung. Tung Kuo terperanjat. Serigala boleh bercakap?

Nafas saya sesak! Belum sempat dia bertanya, serigala meraung-raung.

Segera Tung Kuo melepaskan serigala lalu melihat lukanya. Sakit?

Tidak sangat. Boleh tolong saya? Serigala merenung sayu.

Apa yang boleh saya akan tolong? Saya pengikut Motse yang memegang prinsip kerukunan untuk menyelamatkan dunia. Apa yang mampu, akan saya tolong.

Serigala tersenyum-simpul. Saya lapar. Dah tiga hari saya tak makan. Awak sungguh-sungguh selamatkan saya. Kalau saya mati, sia-sialah usaha awak tadi. Awak pengikut Motse; patut berkorban untuk saya. Bukankah awak mengajar prinsip kerukunan satu negara? Tidak memilih bangsa dan fahaman?

Dahi pengikut Motse itu berkerut. Berkorban macam mana?

Pada akhir ujaran Tung Kuo, serigala tersenyum mengulum sambil mendongak seakan-akan dialah makhluk paling budiman lagi bijaksana. Bagaikan dialah makhluk lebih mulia daripada segala makhluk lain.

Saya minta pengorbanan kecil saja sesudah pengorbanan besar tadi.

Sebaik sahaja selesai berujar, serigala mengangakan mulut, mempamerkan dua taring yang tajam. Benarkanlah saya makan awak.

Serigala menerkam. Tung Kuo mengelak, berlindung di sebalik keldai yang kurus. Serigala yang tak mengenang budi. Cerita Tung Kuo berisi kepedihan.

Tung Kuo bertanya kepada diri. Apakah Tahun Baru Cina musim lalu adalah raya terakhir baginya? Terbayang-bayang wajah sahabat yang bakal meratapi kematiannya. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan haruman teh hijau yang menyegarkan. Dia teringin makan kuih bakul telur asin yang paling digemarinya sebelum dibaham serigala.

Kenapa pula tuan marah? Serigala merenung tajam.

Aku baru saja selamatkan kau. Kalau kau berjaya mengoyakkan tubuhku kau pasti puas, tapi apa gunanya kalau batin kau tersiksa menanggung rasa bersalah?

Aku lapar sangat. Bosan bertengkar macam ni.

Mengikut adat Dinasti Sung, kita kena tanya pendapat tiga orang tua yang banyak pengalaman hidup. Mereka berhak buat keputusan. Aku takkan menyerah.

Manusia dicipta untuk dimakan serigala. Bangsa kami lebih kuat daripada bangsa kau. Lihatlah taringku ini. Serigala menyeringai.

Serigala menoleh, menuding ke arah sebatang tunggul tua.

Mari kita tanya dia. Dia pun tua juga. Aku lapar sangat ni.

Dia cuma sebatang pokok. Apa yang dia tahu? Tung Kuo membantah.

Sekonyong-konyong pohon berdehem. Suaranya gemuruh. Hampir sahaja Tung Kuo jatuh tersembam. Jantungnya berdegup kencang memukul dada. Hari ini benar-benar mengejutkan. Namun akhirnya Tung Kuo sedar; kalau sudah kehendak Tuhan, segala-segalanya bukan mustahil lagi. Tuhan itu maha berkuasa. Keajaiban dikurniakan kepada sesiapa sahaja; apatah lagi dia tidak pernah lupa berdoa.

Biar saya ceritakan kisah saya. Dulu saya muda, banyak berbudi kepada tuan saya, kepada kawan-kawannya. Lebihan buah saya pula dijual. Buah saya juga dijadikan hidangan sempena Tahun Baru Cina setiap tahun.

Pohon aprikot kata, sesudah dia tua, tuannya mengoyakkan daun, mematahkan ranting dan menggergaji dahannya. Tak lama lagi saya akan dikapak untuk dijual. Beberapa titis air jernih menitis ke bumi.

Melihat pohon tua itu, Tung Kuo teringatkan seorang politikus tua di kotanya. Dahulu dia muda dan berpengaruh, diiringi ramai pengikut. Sekarang dia tua, merayau-rayau seorang diri. Tanpa kuasa politik, dia tidak berguna kepada sesiapa pun.

Itu resam dunia. Kenapa pula serigala tak boleh makan tuan?

Ho ho ho! Kau bijak. Serigala menatap pohon aprikot lalu berseru girang. Sambil berpaling dia menerkam. Pantas Tung Kuo mengelak.

Tunggu. Kita dengar pandangan dua orang lagi. Tung Kuo tercungap-cungap. Terdetik dalam hati, apakah bacaan matra sempena Tahun Baru Cina musim lalu adalah mantra terakhir dalam hidupnya? Perutnya berkeriut-keriut.

Baiklah. Hmm ... Hidung serigala kembang-kempis, menghidu-hidu.

Bau tubuh kau sungguh sedap. Serigala tertawa mengekek sambil melirik pada Tung Kuo. Dia menjelirkan lidah lantas menjilat bibirnya sendiri.

Tung Kuo menjeling. Mata sepetnya merah. Mereka berjalan lagi. Tung Kuo sentiasa berwaspada. Nampak seekor kerbau tua bersandar di tepi pagar. Matanya terkebil-kebil, nampak rimpuh dan sedih. Hujung jari serigala menuding kerbau.

Tanya dia, serigala berteriak nyaring.

Dalam mengah yang masih bersisa, Tung Kuo pun menceritakan kisahnya dengan serigala. Kerbau diam mendengar. Dia menjilat lidah sebelum membuka mulut.

Dulu aku muda, sihat dan kuat bekerja di sawah.

Kata kerbau, waktu itu peladang memeliharanya dengan baik, malah dialah kerbau kesayangan. Kerbau membajak, bergelumang dengan lumpur. Sesudah menuai, menggerakkan jentera di kilang memproses padi. Tenaganya sama dengan tenaga tiga manusia. Peladang kaya kerana usaha kerasnya.

Peladang mahu menyembelihku tidak lama lagi. Dagingku akan digaram dan dikeringkan. Belulangku akan dilapah. Tanduk dan kuku dijadikan sudu dan garpu. Air mata genang di sudut mata kerbau. Dia menoleh ke wajah Tung Kuo.

Aku setuju dengan cakapan pohon aprikot. Itulah resam hidup. Kenapa pula kau tak boleh dimakan serigala? Memang manusia makanan serigala.

Wo, ho, ho! Kerbau yang bijak! Tangkas serigala menerkam.

Tung Kuo mengelak. Belum lagi. Tinggal seorang lagi.

Aku lapar, cepatlah!

Nampak seorang tua. Kelopak mata lelaki tua rebeh, menutupi sebahagian matanya. Janggutnya putih, bertongkat dan berjubah panjang. Tung Kuo bercerita.

Tolong saya, tuan. Dalam jerih nafas, Tung Kuo merayu.

Mata orang tua bersinar tajam. Wajahnya mencuka, merah padam.

Serigala yang tidak mengenang budi. Dia berkorban nyawa untuk kau. Beri kau tempat berlindung tapi kau mahu baham dia pula. Mata orang tua merah.

Kau tahu, makhluk yang tidak bersyukur akan dikurniakan anak yang juga tidak mengenang jasa. Pengorbanan kau akan sia-sia. Anak kau akan sama kasar dengan perangai kau. Berambus kau! orang tua menghunus pedangnya yang berkilat-kilat dipanah sinar mentari.

Tapi tuan belum dengar cerita saya. Serigala merayu dengan mata sayu. Ekornya tergedik-gedik ke kanan dan ke kiri.

Cerita apa pula? Dahi orang tua berkerut-kerut.

Tung Kuo menganiaya saya. Dia ikat saya ketat sangat. Siksa saya duduk dalam karung sempit tu. Hampir saja leher saya patah kerana perbuatan kejamnya.

Orang tua berpaling ke arah Tung Kuo. Kau pun bersalah, Tung Kuo.

Wo, ho, ho! Tuan yang bijaksana. Serigala menerkam, Tung Kuo pantas mengelak, berlari lalu berlindung di belakang keldai. Bahu Tung Kuo turun naik. Mengah.

Orang tua mengeluh. Susah betul. Aku tak percaya sesiapa pun antara kau berdua. Kau kata kau selamatkan serigala. Serigala pula kata kau menganiayanya. Nanti, biar aku tengok kau berdua lakonkan semula bagaimana cerita ini bermula. Lebih mudah untuk aku buat keputusan. Campakkan semula diri kau ke dalam karung.

Serigala melompat masuk ke dalam karung. Perutku berisi sebentar lagi.

Tekan serigala kuat-kuat. Ikat betul-betul macam yang kau buat tadi.

Orang tua datang lebih dekat, mengerling sambil menyendengkan kepala ke arah Tung Kuo lantas berbisik. Ada pisau?

Ada. Tung Kuo mengeluarkan pisau dari ikatan pinggangnya.

Tuan tak suruh saya bunuh serigala ni kan? Tung Kuo teragak-agak.

Lelaki tua mengangkat kedua-dua telapak tangan ke paras dada. Bahunya terangkat, bibir memuncung. Terpulang.

Kau pilih. Mahu bunuh dia atau dia bunuh kau.

Lelaki tua tertawa, mengeluarkan pisau dari kocek kanan jubahnya, menikam serigala. Tung Kuo terpegun sebentar sebelum turut menikam serigala berkali-kali hingga darah terpercik ke mukanya. Tanah Chungsan menghirup darah serigala yang melembak-lembak.

Pertengkaran sudah berakhir. Orang tua membersihkan tangannya.

Ada pengajaran yang dikutip hari itu. Tung Kuo berazam, dia mahu menjadi manusia yang bersyukur kepada orang yang melindungi dan berjasa kepadanya.

Kalaulah aku masih berbantah-bantah dengan orang-orang yang berjasa atau dengan pemerintah, tarafku sama sahaja dengan serigala Chungsan yang tidak tahu bersyukur itu.

Kebaikan dan kesabaran ada hadnya. Selamat Tahun Baru, Motse.

Tung Kuo terdiam memerhatikan orang tua berlalu. Terbayang di mata Tung Kuo akan bunga-bunga mei hua berkembangan di laman tokong. Cepat-cepat dia melompat ke atas keldai. Tidak sabar-sabar dia mahu menatap ranting-ranting willow coklat menguntumkan kelopak kecil merah jambu pada hari Tahun Baru Cina tahun ini.

Cerpen ini diadaptasi daripada cerita rakyat Negeri China dengan pengubahsuaian mengikut pemikiran penulis dan suasana perayaan.

BIODATA:

RAHIMAH Muda dilahirkan di Endau, Pahang. Bekas guru dan mantan wartawan, baru empat tahun serius menulis dalam genre puisi, cerpen, esei, novel, skrip pentas serta filem. Pernah memenangi pelbagai genre sastera peringkat negeri dan kebangsaan termasuk pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Negeri Johor 2006, Johan Sayembara Penulisan Cerpen Johor 2006, Penulis Skrip Terbaik Pertandingan Monodrama Johor 2007, Pemenang Ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor kali ke 2 (2008) dan Anugerah Penulis Johor 2007.