Puisi Khas
Duka Sang Pengeran
“Ada sesuatu yang rosak di negeri Denmark.”
Pembunuhan, sumbang mahram, arak dan
konspirasi.
“ Bertindak atau tidak?”
Hamlet ragu-ragu antara dendam dengan
dosa.
Baha Zain
Tengku Mandak
Setelah tiba anak Bugis lima saudara
inilah titih baru berkuasa di Riau Lingga
oleh Raja Kecil menuntut kuasa
sejak Bendahara Tun Habib mengambil
takhta
bergelar Sultan Abdul Jalil
dipindah kuasa ke Raja Sulaiman pula
maka dinikahlah Daing Chelak
dengan Tengku Mandak.
Siti Zainon Ismail
Bangi
3 Disember 2010
Puisi Pilihan
Ibrahim Ghaffar
Kembara: Dari Dar ke Daksina
(Menemui pertanyaan dalam sekian jawapan)
I
Terang yang gelita dalam suatu perjalanan
kembara dan Vatican City1 ke negeriku Selatan
setelah singgah membasuh titik-titik keaiban.
Langit terpalit noda di mimbar pengabsahan
antara tawaduk dengan rencam kejantanan.
Cermin wajah kealiman jadi semakin pudar
retak seribu; khusyuk pun menjadi tawar
dan umat tenat terjerat, dibakar nanar
setelah Dar kesucian tidak lagi bersandar
kepada benarnya kebenaran yang Maha benar.
Bukit Kapar
22 Mac 2010
Mendakap Rinduku
(Kembara; kembali dan dalam diri)
I
Aku menghitung daun-daun waktu
yang bergantungan di embun rindu
setelah munajat di pintu syahdu,
sesungguhnya aku cinta kepada-Mu …
Ya Kekasih yang Satu.
Puncak Adam’s, Sri Lanka.
Di ambang Ramadan 1432H.'
Kesaksian: Bulan Bahasa Kebangsaaan
(Demikian majmuk kerelaan)
I
Hari ini; berjanji hadir kita di sini
menjadi saksi takdir sebuah diksi
terciptalah sejarah, tertunailah janji …
Yang merah saga,
Yang kurik kundi;
Yang indah bahasa,
Yang baik budi
Pelancaran BBK peringkat Negeri Selangor
13 Oktober 2009
Munafik Bahasa: Sia-sianya Akta 152 III
(Mengingati menteri yang berjanji)
I
Masih lidah yang sama menabur janji
dua dekad dulu, kelmarin dan kini
pernah diulang beberapa kali …
munafi k bahasa; PIBG itu berdemonstrasi
mendesak PPSMI dijadikan sistem dwi.
Menteri mendusi; Janji mansuh belum ditepati
dan sampai bila kami (GMP) perlu menanti.
Masjid Negara Kuala Lumpur
18 Februari 2011
Iktibar: Kubur Besar Sebenar
(Buat teman-teman yang masih di perjalanan)
I
Kota Padang; Ketika 7.6 skala ritcher melanda
bergegar bumimu selingkar Barat Sumatera
seakan takdir mengambus konfrantasi di Jakarta,
padamkah marah mereka “Ganyang Malaysia”
yang maraknya telah tumpah di laut rasa
sedang sebenarnya kita jiran tetangga
cubit paha kiri, kanan turut terasa… .
Subang-Padang
30 September 2009
Titip Kelahiran: Bersama-sama Harapan Zaman
(Hijrah ini, lahir Alyaa Irdina seorang puteri)
I
Bila nanti; Tertunai ijab sebuah janji
uri tembunimu kesetiaan kembali semadi
di bumi pertiwi empunya leluhur kita ini,
keberanian; berdiri di sisi diri sendiri
menyatu wujud menemani sukma sanubari
depanilah anasir yang menghunus sangsi
bagai riwayat pertiwinya seorang puteri …
yang berjuang dengan rupawan lagi bestari
negeri; menjadi sepotong syurga di muka bumi.
13 Disember 2009
Ramadan: Merdeka Rumah Kita Terbuka
(Tafsiran culas dan kita semakin cemas)
I
Setelah sejumlah umat pada hadir
isyarat alam pun diutus takdir
dan bulan seakan tega menjadi cair,
Ramadan; baiah kita tersipu dibalik kelir.
Segala janji telah menjadi mimpi.
Tidak lagi sesuci embun pagi
tidak lagi seseri sinaran mentari
tidak lagi setinggi langit naungan bumi,
tidak lagi setiap janji mesti ditepati
tidak lagi setia, hidup mesti berbakti.
Bukit Kapar, Selangor
7 Oktober 2010
Tergempar: Kalung Selipar
(Demikian telah tersurat yang tersirat)
I
Syabas; ucap buat Tun Dr. Mahathir
telah tabah dihunjam kecam dan sindir
tajalli adi negara itu berjiwa besar
tegar benar, berhemah dan sabar
rela:
“Tiba-tiba saya jadi popular”.
M. Sukumaran; “Minta maaf tak apa,
tak minta maaf pun tak apa.
Bagi saya tak rugi apa-apa.
yang sedih bila orang parti saya,
orang yang duduk dalarn kabinet
saya sendiri kecam saya”.
Bukit Kapar, Selangor
20 September 2009
Pasir Salak: Kita Bertindak Demi Hak
(Barangkali jemba mengulangi sejarah bangsa)
I
Jemba lembaran sejarah kembali terselak
suara darah penjajah tumpah di Pasir Salak
rejaman lembing Pandak Indut tepat terpacak
pantas libas Si Puntung membunuh jejak.
JWW Birch mati; Sang Ratu tersentak
Residen dibunuh anak negeri yang diinjak,
para pejuang bangsa bangkit di bumi Perak
menentang penjajah; tabah mengalah tidak
2 Nov. 1875 bukti Melayu berani bertindak.
Pasir Salak, Perak
1 Januari 2009
Setia: Sempurnanya Seorang Wira
(Balasungkawa buat Tan Sri Mohamed Rahmat)
I
Daun waktu ; 2010 membuka pintu hari
dengan ceritera dukaku meruntun hati
seorang wira telah berlalu pergi,
kembali ke negeri abadi …
menemui hakiki, Ya Muhsi.
Pusara Abadi, Bukit Kiara
1 Januari 2010
Sahabat: Syuhada Itu Pun Berangkat
(Buat 16 orang anak yatim, korban tanah runtuh)
I
Hari itu; Demikianlah suatu ketentuan… .
Petang Sabtu 21 Mei 2011 alam tiba-tiba menjadi
rawan dan langit kehidupan kita sendu diliputi
awan.
Alunan zikir yang merdu bersahut-sahutan
dengan suara suci sekudus itu melagukan
lafaz lagu-lagu nasyid dan puji-pujian.
Kumpulan sahabat kami; Ah tragis tiba-tiba mati
tanah runtuh itu berlaku … benar terjadi …
menimbus kambus seakan tidak ada lagi simpati.
Bukit Kapar, Selangor
22 Mei 2011
Kebarangkalian: Menanti Janji Itu Menjadi… .
I
Setelah dua dekad sela-sela keresahan …
menjengah pasang surutnya laut harapan,
janji diberi:
“PPSMI akan dimansuhkan”
yang GMP tahu sekadar penangguhan
sebelum kata dikotakan
sebelum janji ditunaikan
sebelum “rakyat didahulukan”
dengan ijab dan kabul yang
dibuktikan.
Kg. Bukit Kapar, Selangor
15 Februari 2011 (Hari Pejuang Bahasa)
Pangkor: Ternyata Mereka Tidak Jujur
(Hati-hati tragedi Teriti itu sampai kini)
I
Andai nanti air mata ayahanda; atas
nama sasterawan
tidak lagi upaya memadamkan kebakaran.
Izinkan sekalian kami ini …
waris bernasab yang punya pertiwi
menimba air semangat Tasik Paujanggi
di Beting Beras Basah tempat leluhur semadi
yang kelmarin baru saja kami singgahi.
Benar seperti yang kami yakini …
teriti itu tidak pernah terjadi di sini.
Festival Puisi Antarabangsa, Pangkor
1 Januari 2011
Bertandang Sebentar: Wuzhen Jawapan Sebenar
(Setelah Mencari Wajah di Bumi Sendiri)
I
Seketika menghela pegun di hujung menung
waktu tandang mendatangi lorong dan kolong
berkolek di sungai kecil yang terapung,
“Wuzhen” namamu terukir di gerbang sebuah
kampung
galaksikah, atau kegelapan yang mendorong
hingga kini kampung kecil ini menjadi agung.
Memerhati; susunan batu pejal dan gunung
sejajar di tebing sungai bagai pembentung
membebat raut rindu 7000 tahun menanggung.
Wuzhen, China
Ujana Klasik Pilihan
Mahaya Mohd. Yassin
Pantun Insan Mulia
Bunga siantan bunga dahlia,
masa kembang cantik terserlah;
kitalah insan yang mulia,
setiap masa mentaati Allah.
Shiga, Jepun
16 Mei 2010
Pantun Menurut Perintah
Burung tekukur terbang ke lembah,
mencari makan hingga ke malam;
panjatkanlah syukur kepada Allah,
kita dilahirkan beragama Islam.
Menuntut di Luar Negara
Meriah menuntut di luar negara,
perbelanjaan sendiri atau ditaja;
dengan debaran bersarang di dada,
jauh di kalbu rasa teruja.
Shiga, Jepun
24 April 2010
Pantun Ketetapan-Nya
Warna jingga nampak ceria,
dalam dada terasa sebati;
sedang kita mengecap bahagia,
ujian melanda mengguris hati.
Rumah Rindu
11 September 2011
Pantun Kenang-kenangan
Berarak mega beriring-iringan,
sebelah Utara langit kelabu;
meriah sakura menyimpul senyuman,
Bunga Raya terpahat di kalbu.
Kasayama, Jepun
14 April 2010
Gurindam Kesedaran
Bijaklah menguruskan masa lapang,
pelbagai kegiatan dapat disempurnakan.
Bestarilah merancang semasa muda,
kejayaan dikecapi hingga ke tua.
Pandailah memelihara kesihatan,
kehidupan kita dalam kebahagiaan.
Puisi Bulan Ini
Kesilapan Lalu
Kalau kita marah
Rasulullah kata ambillah wuduk
kerana wuduk itu membunuh syaitan
penghasut.
Kalau kita bersedih
bangunlah solat malam
mohon keampunan dan mengadu
esak tangis tumpah air mata keinsafan
kepada Tuhan Maha Pencipta
Lagi Maha Pengampun.
Kalau kita bahagia
tadahlah tangan sujudlah syukur
tanda kita berterima kasih kepada Tuhan
Maha Pemberi Lagi Mengetahui.
Noraini Rashid
KTM Tanjung Pagar, Singapura
Dilema Orang Melayu
Bangkitnya Hang Tuah
Pahlawan Melaka
berdirinya Hang Jebat
penderhaka generasi
dalam suara-suara
meningkah angin
raja yang adil bertakhta
raja zalim pasti disanggah.
Zakiah Bahari
Alor Setar
Bengkoka
Kuraut mata batin di hadapanmu, Bengkoka
tampak kau masih mengulum duka
dahaga akan bersita hujan bahagia
bagai si kecil tak henti merengek
haus akan susu ibunya.
Jair SulaiBengkoka, Sabah
3 Januari 2011
Kereta Api Malam
Kereta api malam membawa harapan
meluncur membawa guni-guni kesungguhan
angin bagai bersiul memburu masa hadapan.
Raymond Majumah
Arena Belia, Kapayan,
Kota Kinabalu
27 – 29 Mei 2011
Durian
Di bawah para,
terserlah haruman sejahtera,
sebiji buah berduri,
rasanya enak sekali,
anugerah tuhan dihargai.
Ahmad Syahrul Wahid
15 Disember 2010
Serumpun Bahasa
Serumpun bahasa melambangkan budaya
membenihkan ilmu seikat kata
membuahkan ranum bahasa ibunda.
Wadiassofi Jaafar
Sebutir Gula
Berapakah harganya
sebutir gula
yang gugur di atas meja?
Hilmi Rindu
Kuala Terengganu
26 November 2010
Nasib Bahasaku
Sejak berkurun ia dituturkan dengan pekerti
murni
mengangkat hati budi kemegahan sebuah
bangsa
tersohor lagi bijaksana menjadi lingua franka
sedunia
M. Ashikin
Bandar Kinrara
Januari 2009
Berdiri
Seberangilah laut
tabunglah garamnya tabung
seberangilah maut
tabunglah rohnya tabung
seberangilah bumi
tabunglah tanahnya tabung
Suhaimi Haji Muhammad
2009
Kekasihku Betapa Indahnya Dia
Malam ini pun kembali sunyi
mendakapku
lalu memujukku
dengan kata-kata indah
biarpun kehidupan sama hitamnya
dengan diriku
bukankah segalanya
A. Ghafar Bahari
Aku yang Kau Burungkan
Aku yang kau burungkan
meninggalkan utara kenangan
menuju halaman selatan
andai ribut datang membadai
singgahlah aku di timur
di sana padi sedang menguning
bertanyalah aku kepada pipit
Abdul Hadi Yusoff
Mei 2011
Aku Ingin Menatap Tidurmu
Aku ingin menatap tidurmu
kerana kau kelihatan cantik ketika tidur
tentunya tidurmu selalu nikmat
aku tak jemu menatapnya.
Norawi Haji Kata
Taman Nikmat, Kota Belud
19 Julai 2011
Kemanisan Iman
Mengecap nikmat; mencari lazat
pada rasa kemanisan
cinta kepada tuhan
menyerah pasrah keabadian.
Ami Masra
Ukm, Bangi, Selangor
Puisi ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.
Penaja
23.5.12
Zahari Hasib: Penyair Kreatif, Bersahaja dan Kaya Pengalaman
Oleh AMINUDIN MANSOR
Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.
KEINDAHAN BAHASA di
tangan penyair adalah kata-kata yang penuh bermakna. Walaupun kata-kata
biasa ia masih membawa makna secara tersurat dan tersirat. Kata-kata
yang jernih dari jiwa memancarkan seribu makna, memberikan panduan dan
pengajaran kepada manusia. Adunan pengalaman dijadikan bahan penulisan
untuk tatapan pembaca. Melalui pemerhatian dan penelitian yang tajam,
sebuah karya seperti puisi akhirnya dapat digarap.
Seperti slogan “seni untuk masyarakat”,
begitulah seni itu sebati dengan hasrat dan cita-cita penyair
Allahyarham Zahari Hasib. Menurut Allahyarham, sajak merupakan sebuah
saluran terpenting bagi menyampaikan teguran, pandangan dan kritikan
terhadap apa-apa juga yang berlaku di sekeliling kita.
Lantaran itu, bagi Allahyarham, sajak
tidak sekadar harus berdiri sebagai sebuah permainan bahasa atau
pembinaan kata-kata bombastik sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu,
sajak sewajarnya dapat menerapkan pemikiran positif yang boleh
direnungkan secara lebih hakikat dan mendalam.
Penglibatan Allahyarham dalam penulisan
sajak bermula pada tahun 1965, iaitu pada saat keresahan serta kesepian
seorang anak muda. Pada peringkat awal, Allahyarham memang banyak sekali
membaca, menghayati serta menyimpan keratan karya orang lain untuk
ditatap serta dihayati. Bertolak daripada minat yang mendalam itulah,
Allahyarham mencuba pula menulis sendiri. Bagi Allahyarham,
selepas membaca serta menghayati orang lain, barulah Allahyarham
mendapat kekuatan bahasa dan teknik pengolahan yang baik.
Pada peringkat awal, Allahyarham hanya
menyimpan sajak sendiri dalam sebuah fail peribadi. Allahyarham mendapat
galakan yang kuat daripada saudara Atondra (Datuk Nordin Haji Abdul
Rahman) yang menjadi pengarang majalah Pemimpin. Pada bulan Mei 1969, sajak pertama Allahyarham berjudul Hakikat tersiar dalam majalah Pemimpin.
Pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1970, 1971 dan 1972, nama
Allahyarham mula mendapat tempat di akhbar terkemuka seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan majalah popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Mastika. Sajak Allahyarham juga mendapat tempat di Pelita
Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Wanita, Jelita, Sinar
Zaman, Nona, Media Hiburan, Mingguan Warta Perdana, Kisah Cinta, Bacaria,
Mingguan Famili, Keluarga Harmoni dan majalah serta akhbar yang ada menyediakan ruangan sajak.
Allahyarham pernah berhasrat untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan tetapi disebabkan syarat
kemasukan ke universiti sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Hasrat
ini pernah diluahkan dalam Antara Saya dan dalam antologi Debu di Kaca (DBP, 1995).
Allahyarham menulis cerpen, rencana dan
skrip drama radio tetapi sajak adalah penulisan yang terpenting dan
diminati. Allahyarham pernah memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan
menulis cerpen anjuran Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana
Menteri pada tahun 1978. Pada April 1987, Allahyarham memenangi hadiah
penghargaan dalam Sayembara Remaja anjuran Esso-Gapena.
Pada November 1988, Allahyarham memenangi hadiah Sastera Malaysia (bidang puisi) dengan judul Pelita.
Pada Mac 1989 pula, Allahyarham memenangi dua hadiah serentak dalam
Sayembara Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (bidang puisi dan
cerpen). Empat antologi sajak Allahyarham telah diterbitkan setakat
ini, iaitu Bunga-Bunga Terbuang (1989), Menyorot Kisah dan Ilham (Penerbitan Bernas, 1989) dan Kuntum Harapan – Kumpulan Puisi Remaja (DBP, 1992); Debu di Kaca
adalah antologi puisinya yang menampakkan kekuatan dari segi kreativiti
dan nilai estetik, memuatkan 83 sajak yang menyentuh pelbagai tema dan
persoalan.
Seperti katanya, “Saya akui, sememangnya
saya tidak mendapat pendidikan atau pembelajaran formal sama ada
melalui kursus penulisan di universiti. Saya hanya sekadar mempunyai
kelulusan LCE. Kelayakan tersebut, tentunya tidak mengizinkan saya untuk
memasuki mana-mana kursus atau pengajian penulisan di Universiti Malaya
atau Universiti Sains Malaysia, yang kelayakan memasukinya minimum SPM
atau STPM”.
Penyair Zahari Hasib lahir pada 15 Jun
1947, di Kampung Seleboh, Parit, Perak Darul Ridzuan. Mendapat
pendidikan di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, hingga tamat LCE pada tahun
1963. Mula menulis sejak tahun 1965. Berkat semangat dan kegigihan
Allahyarham berjaya sebagai penyair dalam kelasnya yang tersendiri.
Tanpa menghiraukan semua itu, disebabkan
minat yang mendalam, bersama-sama kekuatan dan daya usaha Allahyarham
sendiri, iaitu dengan banyak membaca majalah, akhbar dan buku, serta
selalu menghayati karya orang lain, Allahyarham terus menulis tanpa
berasa jemu hingga ke akhir hayatnya. Selepas bersara, Allahyarham terus
giat menulis walaupun menetap di Taman Intan Mas, Jalan Padang Tembak,
Teluk Intan, Perak. Allahyarham pernah berkhidmat dengan Pasukan
Perubatan Angkatan Tentera Malaysia selama lima tahun. Pada tahun 1970
hingga 1973 bertugas sebagai Pengawal kampus Universiti Malaya. Pada
tahun 1974 menjadi Pegawai Kerani di Unit Keselamatan Bank Negara, Kuala
Lumpur, dan bersara.
Kecintaan Allahyarham terhadap sastera
sangat mendalam. Sehubungan itu, Allahyarham sering berpegang kepada
kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang, “Bilakah agaknya kita akan
dapat melihat setiap orang di Malaysia ini akan menerima dan membaca
puisi itu sama seperti pentingnya seperti kopi, teh, roti atau nasi
lemak yang semestinya menjadi hidangan sewaktu bersarapan.”
Sajak Allahyarham istimewa kerana
menggunakan bahasa yang mudah difahami dan dapat menyampaikan apa-apa
yang tersurat dan tersirat meliputi persoalan kehidupan manusia,
masalah kepincangan sosial, ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat,
falsafah, keagamaan, ketuhanan dan kecintaan terhadap pemuliharaan alam
sekitar. Persoalan begini kerap ditemui dalam sajak Allahyarham.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang
mesra dan mudah meresap ke jiwa pembaca. Penggunaan bahasa yang kreatif
dan bersahaja dapat menyampaikan persoalan biasa yang diangkat untuk
renungan masyarakat. Kejujuran dan kejelasan makna menjadikan sajak
Allahyarham dapat dihayati oleh semua peringkat pembaca.
Pertalian Allahyarham dengan sajak
terlalu akrab, setiap kali membuka majalah dan akhbar pasti halaman
puisi yang terlebih dahulu Allahyarham tatap dan baca. Allahyarham
sering mengucapkan tahniah kepada rakan penulis apabila sajak mereka tersiar dalam
mana-mana akhbar dan majalah. Kadang-kadang Allahyarham mengetahui lebih
awal daripada penulis. Begitu juga sebaliknya, penulis mengucapkan
tahniah apabila sajak Allahyarham tersiar dalam mana-mana akhbar dan
majalah. Pernah Allahyarham tidak mendapat beberapa akhbar Mingguan Warta Perdana
dan Allahyarham meminta editor mengirimkan tiga keluaran, tanpa menduga
Allahyarham mengirimkan RM10 sebagai bayaran, tetapi malangnya wang
tersebut telah hilang dalam sampul yang bersetem biasa.
Ilham daripada sajak Allahyarham banyak
bersumberkan inspirasi anak Allahyarham, iaitu Zarina, Zanariah,
Aminudin dan Rafidah serta isterinya, Teheran Abdullah. Selain itu,
tema dan persoalan keluarga dalam sajaknya juga menyentuh hal-hal biasa
yang terlepas pandang oleh kebanyakan orang seperti “Seorang Anjing
Seekor Manusia”, “Esok Saya Mati”, “Kaki Lima”, “Senyum kekasih”, “Sajak
di Rumah Orang Mati”, “Durian”, “Gasing, Layang-layang dan Golf”,
“Orang dan Kambing” dan “Bunga dan Tukang Kebun”, semua ini termuat
dalam antologi Debu di Kaca.
Allahyarham pernah menjadi Bendahari
Karyawan PK serta terlibat dalam banyak aktiviti persatuan termasuk
menjadi hos Majlis Gebang di Pasir Salak pada 11 Disember 1994.
Menurut Mohamad Daud Mohamad, dalam Debu di Kaca, “Zahari Hasib
menampakkan teknik peran dan gaya yang tersendiri. Bahasanya mudah
dicerna dan mantap. Penyair menampakkan kejujuran dan kesungguhan
mencernakan setiap objek yang diolah dan dirakamkan kembali. Dari segi
irama (ritma dan rima), ternyata penempatan asonansi, aliterasi dan
konsonan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berlandaskan
kekuatan intelektual dan pengalaman empiris yang mantap”.
Allahyarham yang meminati Tan Sri
P.Ramlee sangat menghargai semangat setia kawan. Menurutnya, galakan,
tunjuk ajar, bimbingan serta perhatian mereka atas segala usahanya
selama ini amat dihargai. Antaranya, para editor majalah dan akhbar
seperti Atondra, A.R. Kamaluddin, Usman Awang, Ibrahim Omar, Raja Ahmad
Niza, Wahba, A. Rahim Abdullah, Johan Jaafar, Kemala, Hassan Alias, Dr.
Talib Samat, Adnan Abdul Majid, Mohammad Daud Mohamad, Wahid Kasran,
Salbiah Ani, Ku Seman Ku Hussain, Nor Asmah Zakaria, Mat Piah Teh Deris,
Padilah Haji Ali, Rozninah Abd. Azib, Armin Azahari Salleh, dan Zaidi
Ismail.
Dalam kalangan kawan-kawan dan sahabat
handai, Allahyarham selalu mengunjunginya dengan menaiki bas dari Teluk
Intan, sama ada di Berita Harian atau Dewan Bahasa dan Pustaka, malah ke
Utusan Melayu dan beberapa penerbitan lain dengan menghadiahkan
gula-gula sebagai ingatan tulus ikhlas dan tanda persahabatan langsung
mengeratkan hubungan silaturahim. Kini Allahyarham telah kembali ke
rahmatullah pada 26 Februari 2012, kira-kira jam 7.30 petang dalam usia
65 tahun akibat serangan angin ahmar ketika azan maghrib setelah sering
sakit sejak dua minggu sebelumnya. Allahyarham meninggalkan seorang
isteri, empat orang anak dan 10 orang cucu serta ribuan mutiara bahasa
iaitu sajak, cerpen, drama dan rencana agama yang penuh makna untuk
renungan dan pengajaran kepada kita.
Al-Fatihah.
Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.
Kasyaf di Hyde Park
(Berita Minggu 21 Ogos 2011)
Suara dari dedaun pagi
melontar setiap yang pergi
menembus ke ruang pagi
bersama angin yang tidak henti
menghembus serakan mimpi
ke saujana buana realiti
dalam denyutan nadi
dan elektronik tak bertepi
Imej dari warna-warna fajar
terus menjadi penawar
pada perjalanan hambar
setelah musim terdampar
di antara jatuh bangun jasmani
menyusun memori dalam emosi
dan melukiskan keindahan refleksi
abstrak usia di penghujung hari
Kabur ilusi dari bayang-bayang
menghurai jejak-jejak kecundang
di sana, tiada jalan pulang
di sini, waktu tidak berulang
walau pandangan terus merentas
seribu kasyaf yang mencantas
liku-liku kehidupan berlalu
sambil menghitung esok yang keliru!
Fudzail
Hyde Park, London
13 Julai 2011
Ada apa…
Madah apa merentap jiwa
Mengaduh tanpa malu
Kerana dunia ini bukan lagi seperti kala dulu
Emosi dijarah terus mendedah
Akhlakmu, akhlakku
Apakah hanya pada tinta dakwat
Bacul mulut mengesat
Atau amalan yang berkonsistensi
Malu ku, malu mu amat
Bangsa dan agama ternoda bahkan dinoda
Tanpa mampu
Anak watannya mendengus tegap
Ini hak agama kami!
Ini hak sang pertiwi!
Agama melapik kehormatanmu
Disisih agama tersisihnya bangsa
Melayu itu bukan apa tanpa agama
Sedarlah
Agama melangkaui jenayah
warna, kulit dan juga rupa
Hatimu
Nuranimu
Fitrahmu
Fikir dan zikirkanlah
Zahiruddin Zabidi
3 Disember 2009
Wangsa Maju, Kuala Lumpur
Di Bawah Pohon
Politikus sedang menunggang sesama sendiri
Perempuan mengangkat sepanduk realiti
Sasterawan mengurut-urut kerongkongnya yang tercekik
Orang-orang filem bertengkar soal idealisme
Mereka berhimpun dan suara-suara mengapung udara
Berhadapan rumah hantu
Di bawah pohon
Aku hanya mahu menulis puisi
yang bersahaja tanpa apa-apa
Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Rumah Pena
Langgan:
Catatan (Atom)