Penaja

28.6.09

Sajak PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT dll

Sajak...

PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT

Letak ubi di atas akhbar
wahai YB apa khabar?

Orang Petani pergi ke JB
pantun ini untuk YB.

Sambil baring pandang awan
YB sering sibuk di dewan.

Ajak kawan naik rakit
kisah di dewan teruk sikit.

Datuk Penghulu beli senangin
mengapa selalu naik angin?

Sakit bahu tenyeh halia
B tahu dewan tu mulia.

Di celah tingkap cicak terbunuh
mengapa bersikap tidak senonoh?

Tuan doktor makan timun
cakap kotor maki hamun!

Anak China pergi ke Taiwan
sampai kena keluar dewan!

Tidak perlukah lobi-melobi?
Tidak malukah wahai YB?

Bakar jerami di Kampung Jabi
takkan kami nak nasihat YB?

Terubatkah sakit menonton TV?
Sedarlah sikit wahai YB!

ISMAIL RESTU
Kg. Bujang, Kedah.


PASAR SYURGA


Jual beli berbeza
tiada serupa
di dunia
tukar barang
nilai harga.

Semua barang
di syurga
dibeli ingin sahaja
ingat waktu dunia
dapat ganti semula
ada di pasar syurga.

JUSOH AHMAD
Darul Aman Utama, Kedah.


SELEPAS HUJAN

Di hujung ranting kering
setitis harap berbaring.

Di pucuk daun kuning
setitik degap hening.

Di puncak gunung kontang
sejalur pelangi petang.

WB RENDRA
Citra Larkin Perdana, Johor Bahru.

MELAYUKU BERANI


i. Tak dinafikan
di ambang kemerdekaan
terakam sejarah tumbang Malayan Union
Melayuku berani lawan.

Di Baling menang rundingan
Chin Peng vs Tunku Abdul Rahman
komunis kecundang
Melayuku berani perang.

Rombongan ke London
tuntut kemerdekaan
diketuai Tunku Abdul Rahman
Melayuku berani berdepan.

ii. Setelah merdeka
Melayu hilang maruah nak cepat kaya
masuk parti siasah
10 peratus agihan diserah.

Tunai haji rukun kelima
sebut Labaiqallah Hummalabaiq
dari Jeddah hingga Arafah
sampai KLIA semua berubah
rezeki di kamar melempah ruah
syukurillah ... Alhamdulillah.

Saban tahun tunai umrah
kucup batu Hajarul Aswad
mohon keampunan di Safa dan Marwa
kaki berlari tangan menadah
berdoa: kurniakan lebih hasil rasuah
nasib: Tuhan takkan ubah
mengucap: syukur kepada Allah
Melayuku: sungguh amat bertuah.

ISMAS SARING
Pekarangan Masjid Nabawi
Madinah - Arab Saudi

BUKAN MEDAN LAGA


Di sini berkumpulnya suara
di sini berkumpulnya harapan
dari lembah dan sungai
dari paya dan pinggiran
dari desa dan kota kemanusiaan.

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara
suara hati rakyat kebanyakan
suara hak dan pembelaan
suara terlaung jerit rintihan.
(Suara tertimbus kerana percakaran!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya harapan
harapan hati rakyat kebanyakan
harapan perjuangan dan pembangunan
harapan terlaung jerit rintihan.
(Harapan terkambus kerana perbalahan!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara dan harapan
kaubawa amanah rakyat kebanyakan
yang pernah kaujanji mahu tunaikan
dalam getir menjelang pengundian.
(Mungkinkah sudah engkau kotakan?)

Di sini satukanlah suara
dalam perjuangan
membela kebenaran
dalam debat melahir keputusan
biar bertingkah berbeza pendapat
hasrat nan satu mencapai matlamat.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol , NS.

MEREKA SEBENARNYA TERLUPA


Mereka sebenarnya terlupa
bahasa Melayu itu ada penuturnya
152 pengukuh susur galurnya
tetapi mereka buat-buat lupa
apa yang kami ada, malah
sebuah keranda telah tersedia.

Sering mereka melupakan
wujudnya diasak kiri dan kanan
seakan kehilangan ketajaman
bila terlalu banyak ragam
dan aturan, bahasa Melayuku
dituturkan oleh si lidah berbelang.

Janganlah mereka terus terlupa
jika suatu ketika nanti
anak-anak muda payah berbahasa
andai semua mahu pantas ke pentas
globalisasi, ilmu dihadam terus
dari sumber aslinya dan sampai bila pun
kita tidak akan membangunkan
ketamadunan ilmunya.

Mereka sebenarnya terlupa
hilang bahasa hilanglah jiwa
tanpa bahasa maruah tiada
kewujudan kita hanya serpihan
semata, kitalah yang harus
mempertahankannya.

KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.

SETELAH AKALNYA DIKUDUNGKAN


Dia seorang teoritikus
yang bisa bermanis dalam bermadah
dan berdusta dalam menegah.

Dia pengagum kepada intelektual wajar
tetapi pemujuk yang melulu membidas waras
dan pemain retorik yang janggal.

Dia juga juragan dalam kapal revolusi

merentas lautan dangkal
tetapi bukan dengan tenaga radikal.

Kini, setelah akalnya dikudungkan
parang teorinya kian berkarat
dan dia pemuja intelektual di kebunan lalang.

MJ
Saratok, Sarawak

SIRNA KELAHIRANMU


Terpercik dari kejoraku di tengah lautan rahmat
sirnamu terpancut menikam jiwa-jiwa
alam terbentang menjadi saksi pasti
menyelinap wajah-wajah buram
cahayanya tumpah ke datar sepi
yang kosong dan tak berpenghuni.

Laut tenang dan tak berolak
seakan sirnamu melayar bahtera zaman
angin mati tiba-tiba seakan pelayaran terhenti
tak berhaluan
pohon tunduk dan terdiam lesu
seakan redup menyelubung alam
sirna kelahiranmu adalah rahmat melimpah
mengisi kontang doa mustajab para ambia.

Kita laungkan azan membelah benua
ratib dan selawat memunggah sirna
kelahiranmu adalah permulaan zaman
ya Rasulullah al-Amin segala jiwa
sirna kelahiranmu yang utuh dan waja.

EZANI DAUD
Kota Bharu