Oleh Azman Ismail
SESUNGGUHNYA sastera dalam semua genre sejak era Plato hingga kepada pengkritik Anthony Giddens adalah kekuatan keilmuan sesebuah bangsa. Ia sentiasa berkembang untuk mengisi seluruh pemikiran masyarakatnya.
Karya-karya sastera termasuk puisi dalam konteks kotemporari berkembang sejajar dengan penemuan kerangka ilmu-ilmu sosial ataupun kebudayaan.
Gagasan daripada aktiviti-aktiviti kesusasteraan kotemporari turut mempengaruhi produksi gagasan-gagasan dalam pemikiran para ilmuwan. Aspek stilistik dalam sastera untuk menemukan format ideal persembahan karya.
Jean Baudrillard, salah seorang pemikir pascamoden paling provokatif pada dasarnya mewarisi idea-idea serta pandangan penulis Argentina, Jorge Luis Borges. Pengaruh karya Luis Borges, The Garden of Forking Path (1941) terhadap Baudrillard sangat ketara.
Kesimpulan yang paling mudah, sastera sentiasa berkembang dengan mewarisi ‘penemuan’ generasi sebelumnya sebagai asas penulisan atau setidak-tidaknya rujukan.
Pengaruh besar Luis Borges tersebut menjadi landasan kepada penghasilan karya Bondrillard, Simulacra and Simulation (1981).
Begitu juga dalam konteks sastera Melayu. Genre puisi misalnya merupakan sebuah warisan teras hati budi masyarakat Melayu yang penuh kesantunan dan nilai-nilai luhur.
Pengaruh daripada puisi tradisional seperti nazam, seloka, syair dan gurindam menggabungkan antara estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai budi serta kesantunan orang Melayu.
Pengertian paling mudah ialah budi mewakili tempat perasaan, kesedaran, keyakinan dan dorongan manakala budi pula ialah akal atau daya fikir yang memahami untuk memahami sesuatu. Sesuatu yang kongkrit atau abstrak, yang praktikal ataupun teoritikal.
Menurut Pensyarah Sastera, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Dr. Hashim Musa, puisi-puisi Melayu lama merupakan contoh terbaik tentang akar budi Melayu yang tersembunyi di sebalik ketinggian bahasa.
Puisi-puisi Melayu lama dengan jelas menyatakan komponen teras hati budi Melayu sebagai paksi dan panduan perlakuan kepada anggota masyarakat demi menjaga kerukunan, kesejahteraan dan kejayaan dalam masyarakat.
“Puisi Melayu lama yang diolah secara berentak dan berirama dengan pemilihan kata yang memikat hati budi sehingga mudah melekat dalam ingatan, merupakan khazanah warisan Melayu sejak zaman berzaman dalam bentuk sastera lisan seperti pepatah, pantun, gurindam dan peribahasa.
“Penciptaannya oleh golongan bijak pandai Melayu secara anonimus, kolektif dan akumulatif dalam deretan perjalanan sejarah dan perkembangan masyarakat itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada seminar Antarabangsa Psikolinguistik di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau berpendapat, ketinggian akal budi Melayu pada dasarnya tidak dapat dipisahkan daripada dimensi alam, budaya, pengalaman-pengalaman praktikal dan ilmu warisan turun-temurun nenek moyang mereka.
Memukau
Ketinggian nilai cerapan terhadap unsur-unsur tersebut membolehkan karya-karya sastera Melayu tradisional mempunyai falsafah serta keupayaan akal budi yang memukau.
Sarjana-sarjana Melayu membahagikan 26 teras ketinggian akal budi Melayu berdasarkan pantun, simpulan bahasa, gurindam, syair, seloka dan nazam.
Hashim berkata, antara dapatan kajian tersebut ialah hidup berteraskan agama Islam, pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi dan bertakwa serta taat kepada ibu bapa.
Unsur lain yang turut ditekankan ialah setia kepada ketua yang adil, halus berbudi bahasa, sentiasa bermufakat, tolong menolong dan mengutamakan kebajikan umum.
Masyarakat Melayu tradisional juga menekankan menanam budi, menghormati hak dan milik, berdikari, amanah, berbaik-baik sesama makhluk, tidak membuang masa, bersifat kasih sayang dan mensyukuri nikmat Allah.
Kekuatan dan pegangan teguh kepada nilai-nilai akal budi tersebutlah yang menjadi inti kepada kekuatan tamadun Melayu di Nusantara sejak lebih 1,000 tahun lalu.
Bagaimanapun kolonialisme dengan pelbagai unsur budaya Barat secara bertahap turut mempengaruhi nilai-nilai itu hingga kejatuhan sepenuhnya alam Melayu pada sejak awal abad ke-20.
“Kerangka hati dan budi Melayu mengandungi tiga komponen utama iaitu epistemologi, pandangan alam semester (worldview) dan komponen nilai serta akhlak atau faham nilai,”tambahnya.
Hashim berkata, dalam konteks epistemologi, ilmu mengikut pandangan orang Melayu ialah ilmu pencarian akal budi manusia serta ilmu ilham dan wahyu.
Keindahan, kehalusan dan kesenian dalam bentuk bahasa dan reka cipta dalam bidang seni sastera. seni tampak dan seni persembahan Melayu juga membentuk sebahagian daripada epistemologinya.
Sementara itu, dalam aspek komponen pandangan alam semesta masyarakat Melayu boleh disimpulkan kepada enam prinsip. Antaranya, meletakkan Allah sebagai sumber atau pusat panduan tertinggi dalam pemikiran serta aktiviti.
Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu meletakkan segala ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran teknologi, peralatan dan prasarana kehidupan di dunia.
Aspek komponen nilai, moral, etika dan akhlak pula berkaitan erat dengan pandangan orang Melayu tentang apa yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan.
Nilai-nilai serta makna moral tersebut dikaitkan dengan Islam yang mula menjadi inti utama kekuatan peradaban di Nusantara sejak abad ke-12.
Kemurnian nilai, moral, etika dan akhlak yang dibawa oleh Islam tersebut memberi pengaruh yang sangat besar kepada keududkan akal dan budi Melayu hingga ke hari ini.
Ia sekali gus mempengaruhi bentuk-bentuk, isi, tema dan cara penyampaian genre-genre kesenian tradisional Melayu yang digabungkan dengan pemahaman lengkap tentang unsur alam dan warisan.
Pengetahuan yang luas
Teks-teks puisi tradisional walaupun mengandungi unsur-unsur imaginatif atau fantasi, namun ia tetap empiris dan rasional kerana disokong oleh pengetahuan yang luas para pengarangnya.
Dapat disimpulkan secara umum, para pengarang Melayu berjaya menemukan satu kaedah dalam puisi-puisi mereka untuk menyebarkar nilai akar dan budi tanpa mengetepikan aspek estetika.
Sesuai dengan nilai-nilai dalam Islam, keindahan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Pandangan-pandangan itulah yang terus dipegang kukuh dalam puisi-puisi tradisional Melayu.
Keberadaan puisi-puisi Melayu lama sesunggunya sesuatu yang unik. Ia sama sekali berbeza dengan mana-mana karya klasik di seluruh dunia.
Faktor Islam, epistemologi, pengalaman dan warisan budaya menjadikan puisi-puisi Melayu lama sama sekali berbeza dengan karya-karya dalam tradisi kepenyairan Barat.
Misalnya, jika puisi Divine Comedy oleh Dante Alighieri atau Goethe dalam naskhah drama Faust dikaji, banyak memperlihatkan ‘penyimpangan’ tentang realiti dunia dengan alam sesudah mati.
Namun, puisi-puisi Melayu lama sebaliknya melontarkan suatu imej pendidikan dan pembinaan manusia dan kemanusiaan yang berasaskan Islam melalui epistemologi melalui pintu-pintu puitik.
Di taman puisi itu, tumbuh berbatang dan bertangkai gaya. Semuanya berpadu secara harmoni. Tidak ada kontradiksi yang atau bahkan dieksploitasi secara hagemoni antara pengarang dan masyarakatnya.
Memang diakui, fobia dan ketakutan kontradiksi telah berabad-abad menghantui dalam pemikiran rasional bangsa-bangsa Barat mulai daripada Aristoteles sampai Anthony Giddens.
Ini kerana kebudayaan mereka dibangun dalam proses rasional tersebut yang akhirnya membuahkan puisi-puisi kolonialisme yang menyokong penjajahan terhadap bangsa Timur.
Puisi-puisi Melayu lama? Pandangannya sama sekali berbeza. Setiap baris mengutarakan keharmonian dan kedamaian sejagat tanpa membezakan keturunan atau bangsa.
Pemahaman yang mendalam terhadap Islam di kalangan pengarang-pengarang Melayu meletakkan puisi-puisi mereka tidak ada nilai hagemoni dan ancaman terhadap kebudayaan mana pun.
Ia lahir di atas pandangan bahawa setiap kebudayaan di muka bumi ini berhak untuk hidup secara merdeka, mengembangkan puncak potensi kreatifnya.
Usman Awang permata Melayu yang sukar diganti
Februari 12, 2008Oleh: AZMAN ISMAIL
USMAN Awang. Nama ini tidak hanya sebahagian daripada khazanah keilmuan Melayu. Tetapi ia juga merupakan permata intelektual yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam sejarah kepengarangannya, Allahyarham berkarya bukan hanya di atas nama kaum Melayu semata-mata tetapi juga merentas sempadan etnik dan sistem kepercayaan – atas nama kemanusiaan serta kesejagatan.
Persoalan besar yang sentiasa diutarakan olehnya ialah bagaimana pengarang menjadi lidah masyarakat dalam menyuarakan hak, rasa, pandangan dan kepentingan mereka kepada kelompok yang berkuasa.
Bagaimanapun, Allahyarham tidak meletakkan ‘perjuangan’ masyarakat bawahan dalam wacana konflik. Sebaliknya ia disampaikan melalui ketajaman pena dan kehalusan kata.
Sebagai pembaca, kita jangan mengharapkan pemikiran Allahyarham diterapkan dalam karya-karya berbau penentangan dan kekerasan. Sebaliknya, keadilan dituntut melalui kejernihan akal rasional.
Sesekali bila membaca karya-karya Allahyarham sama ada genre puisi, novel mahupun drama pentas, ia akan mengingatkan kita pada Justice is Conflict, karya Stuart Hampshire.
Dalam erti kata, sama seperti Hampshire, Usman berpandangan bahawa kejernihan akal rasional dalam memperjuangkan keadilan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat.
Oleh itu, karya-karya Allahyarham setia mendukung semangat persahabatan sebagaimana jiwa kemelayuan itu sendiri. Menikam dalam kelembutan kata-kata dan kepetahan bermain bahasa.
Seperti yang diungkapkan oleh penulis, Zaen Kasturi, Allahyarham merupakan permata intelektual Melayu yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya.
“Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya. Keterpesonaannya tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya.
“Jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen. Cintanya tidak mengenal batas. Daripada nelayan dan buruh kasar
sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut dan menusuk,” katanya.
Zaen berpendapat, membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah atau terhina akan tegurannya itu.
Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri.
Oleh hal yang demikian itu, karya-karya Allahyarham akan tetap subur sebagai khazanah bangsa yang begitu berharga. Memang Allahyarham adalah sebutir permata di dalam kesusasteraan tanah air yang sukar dicari ganti.
Hari ini, setelah enam tahun pemergiannya, perjuangan dan idealismenya dalam memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan sentiasa hidup dan mekar mewangi.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata, ‘kekuatan’ utama Allahyarham ialah unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya.
Allahyarham dalam beberapa karyanya melontarkan kritikan terhadap kepincangan-kepincangan dalam birokrasi serta terhadap segelintir pemimpin yang tidak jujur.
Namun, teguran tersebut dilontarkan dalam kerangka pemikiran Melayu yang sentiasa berlapik dan bersopan. Kehalusan kata sentiasa menjadi keutamaan kepada Allahyarham.
“Semangat untuk membela nasib orang Melayu dalam karya-karya Allahyarham cukup kuat. Ia ditulis dalam bahasa yang mudah tetapi memadai untuk menyedarkan semua pihak.
“Inilah kelebihan yang ada pada beliau. Dengan bahasa yang mudah, ringkas tetapi padat, karya-karyanya mampu menegur banyak pihak secara halus serta berlapik,” katanya.
Di sisi lain, Mohamad Mokhtar berpendapat karya-karya Usman membuktikan Allahyarham berfikiran jauh dalam melihat pelbagai isu khususnya berkaitan dengan masa depan orang Melayu.
Kebanyakan isu yang diutarakan tidak hanya menggambarkan situasi semasa. Sebaliknya juga idealisme untuk memajukan orang Melayu pada masa depan.
“Pandangan-pandangan seperti ini tidak banyak ditemukan dalam penulis-penulis Melayu yang sezaman dengan Allahyarham. Apa yang diutarakan adalah isu semalam, hari ini dan masa depan.
“Saya rasa ini kekuatan utama dalam karya-karya Allahyarham. Ia membuktikan Usman seorang pengarang yang berpandangan luas meskipun tidak mempunyai pendidikan tinggi,” tambahnya.
Pandangan-pandangan Zaen dan Mohamad Mokhtar sebenarnya hanyalah contoh kecil daripada segudang jasa Allahyarham dalam memartabatkan bahasa, sastera dan masa depan orang Melayu sendiri.
Bagaimanapun, berapa ramai barangkali antara penyanjung, peminat dan pengagum Usman yang terus mengingati makna sebenar 29 November dalam erti kata `pergi sebutir permata keilmuan Melayu?’
Usman tidak hanya sekadar pengkarya besar yang pernah dilahirkan oleh sebuah negara bernama Malaysia tetapi juga seorang pemikir agung yang merentasi zamannya.
Ketika meletus peristiwa permogokan Utusan Melayu pada Oktober 1961, Allahyarham dan teman-teman seperjuangan menunjukkan harga diri yang tinggi demi masa depan bahasa dan orang Melayu.
Di Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), suara Allahyarham begitu lantang memperjuangkan maruah bahasa Melayu. Begitu juga ketika Peristiwa Keranda 152. Peranannya telah membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan itu.
Ketika kampus universiti di negara ini bergolak, Allahyarham turut meletakkan dirinya dalam peristiwa berkenaan. Beliau menunjukkan keprihatinan sebagai seorang manusia yang hidup dan sedar kepada persekitarannya.
Kesimpulan ringkas, pengkaryaan dan perjuangan Allahyarham sentiasa dekat dengan dunia nyata, dan di mana perlu menyatakan pendirian melalui tulisan yang beralas tetapi tetap mengesankan.
Kini sudah beberapa tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, ketajaman pena dan kehalusan bahasa beliau tidak pernah mengikuti jasadnya. Ia terus subur, sesubur jasanya yang ditabur demi kelangsungan bangsa Melayu dan negara Malaysia.