Oleh Md Nizar Parman
1.
BUNYI dua ledakan berturut-turut itu benar-benar menggegar hingga ke tangkai jantungnya. Dia segera berlari ke muka pintu bahagian dapur rumahnya. Dikuaknya luas-luas. Kelihatan kepulan asap berbaur debu-debu halus terawang-awang di ruang udara Bukit Hijau.
"Ya, Tuhan! Mereka benar-benar melakukannya," kalimat itu meluncur dari bibirnya.
Tidak lama kemudian, Miskiah, isterinya dan Munazah, anaknya yang ragil turut menyelit di muka pintu itu. Riak daripada wajah kedua-duanya seperti orang tongong. Mulut mereka melongo.
"Mereka letupkan bungkah-bungkah batu besar di bukit itu, Kiah. Usaha aku dan seluruh penduduk kampung ini sia-sia," ujar Masduki dengan bibir terketar-ketar. Jelas kekesalan terpancar di mukanya yang kian mengendur dan mengedut.
Beberapa bulan lalu, sebagai ketua penduduk di Kampung Bukit Hijau, dia dan beberapa orang jawatankuasa penduduk telah pergi menemui Yang Dipertua Majlis Daerah untuk menyatakan bantahan penduduk-penduduk Kampung Bukit Hijau tentang cadangan pembinaan sebuah kawasan perumahan mewah di lereng bukit itu.
"Kesannya sangat buruk, tuan. Kami bimbang kalau pembinaan kawasan perumahan mewah itu akan menjadi malapetaka pula kepada kami," jelas Masduki.
|
Md Nizar Parman
|
"Tidak bolehkah projek pembinaan perumahan mewah itu dipindahkan ke tempat lain?"
Lelaki yang memakai kemeja biru muda dan berdasi serta memakai baju kot berwarna gelap itu duduk menyandar di kerusi empuknya sambil memutar-mutarkan penanya. Dia tidak menafikan akan kebenaran kata-kata Masduki.
"Beginilah tuan-tuan, perkara ini akan saya majukan kepada pihak pemaju perumahan dalam mesyuarat kami bulan depan. Tuan-tuan tidak perlu risau, jika projek itu diteruskan pihak kami akan mengadakan pemantauan yang ketat untuk memastikan perkara yang buruk tidak akan berlaku," kata Yang Dipertua Majlis Daerah itu.
"Tidak bolehkah dipindahkan ke tempat lain, tuan?" desak Masduki lagi.
Lelaki itu sekadar menggeleng. "Projek ini telah diluluskan dan membabitkan kos puluhan juta Ringgit Malaysia, Encik Masduki. Segalanya telah dipersetujui dan melibatkan proses mahkamah."
Masduki sekadar terangguk-angguk walaupun perasaan jengkel kian menyelimuti hatinya.
"Ya, saya faham, tuan. Rumah-rumah yang bakal dibina itu bernilai jutaan ringgit, bukan seperti reban ayam di belakang rumah. Boleh dipindahkan ke tempat yang lebih jauh, jika jiran di sebelah rumah marah."
2.
Saban pagi, Masduki paling gemar duduk di bangku kayu di belakang rumahnya yang menghadap bukit itu sambil menghirup teh susu. Melihat matahari terbit dari belakang Bukit Hijau merupakan suatu panorama yang sangat indah. Hatinya benar-benar tenang dan damai. Melihat matahari yang tersembul dari belakang bukit itu, dia akan tersenyum sendirian.
Adakalanya dia akan menghabiskan masa dengan Miskiah di situ dari tengah malam hingga dini hari setiap kali tanggal 14 atau 15 dalam bulan Islam untuk melihat purnama mengambang penuh keluar dari belakang Bukit Hijau. Ayunya purnama itu persis si puteri yang keluar daripada persembunyiannya sambil ditemani bintang-bintang yang menjadi pengawalnya.
Dia dan Miskiah tidak pernah jemu. Hampir dua puluh tahun mereka berdua mengulangi perkara yang serupa setiap kali tibanya tanggal itu; menantikan kemunculan purnama penuh di situ.
Masduki teringat akan Muiz, anak sulungnya yang kini sedang menuntut dalam bidang kesenian di sebuah universiti di Berlin, Jerman. Muiz dan Bukit Hijau mempunyai suatu hubungan yang cukup mesra.
"Bukit Hijau itu inspirasi buat saya, ayah. Lihat sahaja lukisan-lukisan yang saya hasilkan, semuanya ada kaitan dengan bukit itu," kata Muiz, seminggu sebelum berangkat ke Jerman.
Pada awalnya, dia memang agak keberatan untuk melepaskan Muiz. Apatah lagi kos untuk melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti tersohor di dunia itu amat tinggi. Pendapatannya sebagai peniaga mi kawah di pasar malam tidak menentu pula.
"Ini peluang untuk saya, ayah. Peluang bukan datang setiap masa dan sesekali peluang itu datang, saya akan merebutnya. Soal biaya saya di sana, ayah tidak perlu khuatir. Permohonan pinjaman saya telah diluluskan dan wang simpanan saya hasil jualan lukisan saya sudah memadai. Cukuplah untuk keperluan saya di sana," jelas Muiz.
Ada air jernih yang merembes di pipinya mendengar kata-kata Muiz. Dia benar-benar terharu akan kesungguhan dan kegigihan Muiz. Siapa sangka, seorang anak kecil yang dahulunya banyak menghabiskan masanya di Bukit Hijau mampu merealisasikan impiannya.
Detik yang paling tidak dapat dilupakannya ialah semasa Muiz berusia 15 tahun. Ketika itu dia dan keluarganya berkhemah di Bukit Hijau di samping berkelah di sebuah air terjun yang ada di situ. Tidak ramai yang tahu akan kewujudan air terjun di Bukit Hijau. Hanya masyarakat setempat sahaja yang mengetahuinya.
Muiz berlari-lari mendapatkannya dengan nafas yang tercungap-cungap.
"Kenapa, Muiz?" soalnya kebingungan. "Kamu nampak harimaukah?"
"Tak� tak, ayah! Saya nampak rusa. Rusa dengan anaknya sedang minum di atas tu," jawab Muiz dengan nafasnya yang masih lagi naik turun.
Kemudian dia, Miskiah, Munawarah dan Munazah membuntuti Muiz untuk melihat rusa itu dengan mata kepala mereka sendiri dan memang benar, Muiz tidak berbohong. Malah bukan dua ekor, tetapi ada beberapa ekor rusa lagi sedang minum di sebatang alur air di atas puncak bukit itu. Mereka mengintai sekawanan rusa itu dari belakang pokok-pokok kayu yang terdapat di situ.
Masduki dapat melihat betapa Muiz cukup teruja pada saat itu.
"Hajat saya untuk melihat rusa di bukit ini sudah tercapai, ayah," bisik Muiz ke telinganya.
Sebaik sahaja pulang dari perkhemahan itu, Muiz segera melukis peristiwa yang dilaluinya itu dan sehingga kini, lukisan itu dijadikan salah satu karya peribadinya.
"Saya akan meletakkan Bukit Hijau di mata dunia, ayah. Saya akan kembali."
Itulah janji Muiz dan janji itu disematkan dalam ingatan dan dadanya.
3.
Pagi yang damai dikejutkan dengan bunyi deruman jentera berat melalui jalan Kampung Bukit Hijau. Masduki dan beberapa orang penduduk kampung segera keluar. Kelihatan beberapa buah lori mengangkut jengkaut menyusur garang melalui di atas jalan kampung itu. Di belakangnya ada beberapa buah jentolak sedang bergerak perlahan.
Masduki hanya mampu berdiri di bahu jalan yang sempit itu sambil melihat kenderaan itu perlahan-lahan bergerak menuju ke arah Bukit Hijau. Apalah kudratnya untuk menghalang jentera-jentera itu.
Seminggu selepas itu, lereng-lereng Bukit Hijau mulai gondol diasak oleh jentera-jentera berat itu. Jalan kampung yang sempit itu mulai menjadi laluan keluar masuk lori-lori pengangkut tanah. Jalan berturap yang dibina kira-kira lima tahun lalu mulai pecah dan berlubang. Jika hari panas, jalan itu akan menjadi berdebu. Kalau hari hujan pula, air akan memenuhi lopak-lopak di atas jalan itu.
Keselamatan penduduk kampung mulai terancam kerana permukaan jalan yang semacam itu. Apatah lagi kebanyakan penduduk di kampung itu menunggang motosikal yang menjadi kenderaan utama mereka.
Sekali lagi Masduki pergi menemui Yang Dipertua Majlis Daerah itu. Kali ini mengadukan hal jalan kampung yang semakin buruk keadaannya.
"Saya sangat khuatir tentang keselamatan penduduk-penduduk Kampung Bukit Hijau, tuan. Terutama anak-anak sekolah. Tidak bolehkah dibina satu jalan alternatif untuk kenderaan-kenderaan berat itu?" Masduki meluahkan perasaan bimbangnya.
Lelaki yang berbadan agak gempal dan bermisai tipis itu menghela nafas. Entah apa pula yang bersarang di benaknya kali ini.
"Dulu suasana di kampung kami amat tenteram, tuan. Tapi kini keadaannya sudah berubah. Setiap hari kami bergelut dengan debu. Kalau hujan lebat, jalan itu becak dan berlumpur pula. Cubalah tuan fikirkan masalah kami ini," tambah Masduki lagi. Merayu.
"Baiklah, Encik Masduki. Pihak kami akan mengambil perhatian yang serius tentang aduan yang dibuat. Dalam masa yang terdekat ini, saya akan mengarahkan pihak pemaju segera memperbaik jalan yang rosak itu," ujar Yang Dipertua Majlis Daerah itu.
"Tidak bolehkah dibina jalan alternatif lain, tuan?" soal Masduki.
Lelaki itu menggeleng seraya berkata, "Urusan itu akan memakan masa dan pastinya akan merugikan pihak pemaju kerana kos membina jalan baru pastinya menelan jutaan ringgit."
"Kami juga tidak untung, tuan," balas Masduki. Dia keluar dari pejabat Yang Dipertua Majlis Daerah itu dengan wajah yang agak murung. Hatinya benar-benar dipaliti kekecewaan.
Beberapa hari selepas itu, pihak pemaju kawasan perumahan mula mengambus jalan yang berlubang-lubang itu dengan batu kasaran. Bahagian bahu jalan itu ditambah dengan batu merah dan diratakan supaya jalan itu menjadi agak luas.
Namun kelegaan Masduki dan penduduk Kampung Bukit Hijau hanya seketika. Beberapa minggu selepas itu, jalan itu menjadi semakin sibuk apabila lori-lori mengangkut bahan pembinaan mulai keluar dan masuk; lori-lori besar dan dipandu agak laju pula. Pastinya keadaan itu menggusarkan Masduki dan penduduk-penduduk Kampung Bukit Hijau.
Sudahlah hatinya dirundung rawan apabila melihat Bukit Hijau diratah rakus sedemikian rupa, kini dia berhadapan dengan dilema baharu yang dialami oleh penduduk-penduduk kampungnya.
"Kita juga yang menjadi mangsanya, Kiah. Hujan lebat turun sahaja, mulalah berlaku banjir kilat dan banjir lumpur di kampung kita ini. Dulu tidak macam ini," luah Masduki kepada Miskiah pada suatu petang. Ketika itu mereka duduk di belakang rumah melihat Bukit Hijau yang telah berubah wajahnya. Tiada lagi kehijauan. Sekawanan rusa dan haiwan-haiwan liar lain entah ke mana larinya.
"Apa yang boleh kita buat, bang? Kita tidak ada kuasa pun untuk menghalang mereka. Abang juga yang penat naik turun pejabat majlis daerah. Tapi projek itu tetap jalan juga," ujar Miskiah.
"Sekurang-kurangnya abang berusaha, Kiah. Nampaknya, Bukit Hijau hanya tinggal nama saja. Kadang-kadang, abang tak faham. Pokok-pokok ditebang, bukit-bukit ditarah, simen dan batu pula yang ditanam. Kenapa mesti di lereng-lereng bukit?"
Pertanyaan Masduki tidak berjawab. Miskiah masuk ke dalam rumah bagi menyiapkan keperluan untuk mereka berniaga malam ini. Hidangan makan malam biasanya disiapkan oleh Munawarah, anak keduanya yang kini belajar dalam Tingkatan 6 Atas. Munazah yang akan menghadapi peperiksaan PMR sebentar lagi pulanglah ia dari sekolah kerana ada aktiviti kokurikulum.
Masduki duduk melangut di beranda rumah. Barang-barang keperluan untuk perniagaannya sudah dimuatkan ke dalam vannya. Miskiah pula masih bersiap di bilik. Entah mengapa petang itu hatinya kurang enak. Serba-serbinya tidak kena. Paling jelas apabila dia ditegur isterinya kerana memakai kelambi terbalik.
Beberapa kali dia melihat jam di tangannya. Sudah hampir pukul 6 petang, tetapi Munazah masih belum pulang. Tidak pernah Munazah selewat ini. Dalam dia ternanti-nanti akan kepulangan Munazah, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang anak muda masuk ke perkarangan rumahnya. Wajah anak muda kelihatan cemas.
"Pak cik! Pak cik! Munazah!" Jerit anak muda itu tanpa turun daripada motosikalnya.
"Kenapa dengan Munazah?" bingkas Masduki, seolah-seolah seluruh darahnya telah berkumpul dan berhenti di rongga jantungnya.
"Munazah kemalangan, pak cik. Basikalnya dihimpit lori di baruh. Orang kampung sudah menghantarnya ke hospital," jelas anak muda itu.
Dan petang itu juga dia, Miskiah dan Munawarah segera bergegas ke hospital. Perkara yang dibimbanginya benar-benar telah terjadi. Jika diturutkan hatinya, mahu sahaja dikerahnya seluruh penduduk kampung membakar lori-lori yang tidak mempedulikan keselamatan penduduk-penduduk kampung itu.
Keadaan Munazah agak kritikal kerana mengalami kecederaan yang agak serius di kepala selain kedua-dua belah tangannya patah. Munazah masih dalam keadaan koma. Menurut doktor yang merawatnya, dalam dua atau tiga minggu lagi mungkin Munazah akan sedar.
4.
Masduki membaca kandungan surat yang dikirimkan oleh Muiz dengan perasaan yang sangat hiba. Entah bagaimana harus dikhabarkan kepada Muiz tentang Bukit Hijau sebaik sahaja Muiz pulang hujung tahun ini setelah hampir dua tahun dia tidak pulang. Bukit itu sudah tidak ada apa-apa lagi. Yang ada hanyalah tiang-tiang konkrit yang akan menjadi rumah mewah yang agam di lereng-lereng bukit seperti cendawan tumbuh di busut.
"Hujung tahun ini Muiz pulang, Kiah," kata Masduki. "Cuti panjang. Kebetulan dia ada wang lebih hasil jualan lukisannya di sana."
"Syukurlah...," ucap Miskiah. "Dia pulang sendirian?"
"Tidak. Dia akan pulang bersama tiga orang temannya dari Jerman. Katanya, teman-temannya itu begitu teruja untuk melihat keunikan Bukit Hijau seperti yang dilukisnya," terang Masduki.
"Abang tidak pernah ceritakan?"
Masduki sekadar membungkam. Memang dia ada menyuruh Munawarah menghubungi Muiz tentang kecelakaan yang menimpa Munazah, tetapi dia juga melarang anaknya itu menceritakan tentang Bukit Hijau kepada Muiz. Dia sangat bimbang emosi Muiz akan terganggu. Yang paling dibimbangi ialah kalau Muiz akan menjeruk rasa dan enggan pulang ke tanah air semula.
Apalah malang nasib Bukit Hijau. Usianya yang mencecah ribuan tahun, akhirnya tumpas di tangan manusia yang membawa payung bernama pembangunan dalam masa beberapa bulan sahaja. Dan siapalah pula dia untuk mempertahan bukit itu? Dia tidak punya wang untuk menebus bukit itu dan tidak mempunyai kuasa untuk menahan projek itu daripada diteruskan.
Biarlah! Ratahlah bukit itu semahu-mahunya. Dia sudah terlalu penat untuk menghadap Yang Dipertua Majlis Daerah, mengadukan hal itu dan ini. Dia masih ingat lagi kata-kata yang keluar daripada mulut lelaki itu sewaktu dia mengadukan hal anaknya yang ditimpa kecelakaan.
"Bersabarlah, Encik Masduki. Pihak pemaju telah berjanji untuk membayar ganti rugi kepada Encik Masduki dan akan membina semua jalan yang telah rosak setelah projek itu siap kelak."
"Soalnya berapa lama, tuan? Setahun? Lima tahun? Sepuluh tahun?" bentaknya. "Atau setelah kami semua mati?"
Lelaki itu hanya mendiamkan diri seperti bongkah batu. Barangkali sudah kematian akal untuk menjawab pertanyaannya. Agak lama, baharulah lelaki itu berkata dan mengulangi ayat yang sama. "Bersabarlah, Encik Masduki�.. Bersabarlah."
5.
Berita utama dalam sebuah stesen televisyen tempatan.
"Satu kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur telah berlaku di kawasan pembinaan rumah mewah di Bukit Hijau ekoran hujan lebat yang luar biasa yang turun sejak beberapa hari lalu. Kejadian ini yang dianggap sebagai salah satu kejadian tanah runtuh yang terburuk di negara ini telah memusnahkan sebuah perkampungan yang terletak di kaki bukit itu. Sehingga kini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum dapat dijalankan kerana hujan lebat masih lagi berterusan dan beberapa runtuhan masih berlaku."
Glosari:
Ragil (Jawa) - anak bongsu
Kelambi (Jawa) - baju
INFO: Penulis cerpenMD NIZAR Parman adalah guru di Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, Kluang, Johor. Beliau mula berkarya pada 1995. Sajak dan cerpen pernah terbit dalam beberapa akhbar dan majalah tempatan. Karyanya memenangi hadiah sagu hati Sayembara Cerpen Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007, hadiah utama Sayembara Cerpen Guru DBP-BPG 1998 dan johan Sayembara Sastera Hari Guru Negeri Perak 1995 Kategori cerpen.