Penaja

1.4.07

Kreatif : Tanpa Gerak Bibir Terakhir

Oleh Zawan Baba




SAMAD mendongak melihat langit gelap yang ditaburi aneka lambang dan diboboti bintang-kemintang, sembari resap rasanya buyar ditiup prahara malam. Ini, hanyalah gesaan naluri dan perlakuan tandus rasa - cuba memimik cara pandang seorang penyair demi melupakan seketika aliterasi kerak-keruk di pojok perutnya.

Buat pertama kali, ya, buat pertama kali dalam tiga bulan ini, dia terpaksa akur dengan kehendak alam. Tidak, tidak, kehendak Tuhan sebenarnya. Kehendak manusia tidak dapat mengubah kehendak Tuhan, seperti para astronomi tidak dapat mengubah garis edar bintang-kemintang yang direnungnya tadi.

Garis-garis temaram cahaya bulan yang menyorot di antara bukaan daun tingkap dan labirin atap itu menyuramkan lagi hatinya. Cahaya dari bulan berbatang-batang menimpa perutnya yang sejak tengah hari tadi tidak diisi apa-apa - tembolok dengan kesonderannya!

Dipejamkan kedua-dua kelopak mata rapat-rapat sambil kerangka fikirannya dibuka seluas-luas pada alam yang selalu bersimpati. Paksi rasionalnya menyemak debar jantung dan tutur hatinya yang menghadapi dua macam hambatan - soal perut sendiri dan perut isterinya. Seperti wap yang bangkit menyatukan dirinya dengan awan dan turun semula sebagai titis-titis hujan, kelopak matanya kini basah mengenangkan belenggu yang merantai nasib keluarga. Nafasnya bergerak turun naik. Samad menekup muka dan wajah menekur ke bumi seperti melindungi mata daripada kenangan silam.

“Zaman mewah memesan makanan segera sudah berlalu,” suara batinnya berbisik sambil kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Samad merenung tajam ke arah gerobok makanan di dapur, seolah-olah gerobok itu sasaran bidikan busur yang direntangnya. Panahan mata melesat jauh, cuba menjejaki ruang masa lalu yang ditimbuni kemewahan. Di mata batin terbayang tika gerobok itu penuh dengan sajian yang melebihi ukuran kewajaran tembolok manusia. Paparan penuh ambisi mata batin dikejutkan lagi dengan suara perutnya yang berkerak-keruk, sayugia menyedarkan Samad dari alam bawah sedar yang dijejaki.

“Esok, 1 Mei. Bagus. Aku nekad ke Dataran Seni bersama kau Layla. Aku sudah jemu dengan rentetan kelaparan dan belenggu undang-undang ciptaan manusia munisipal itu,” ujar Samad sekonyong-konyong memecah kebisuan dinihari. Bola matanya lesu melihat satu susuk kecil di sebalik kegelapan, betul-betul di sebelah gerobok nihil itu. Imbas susuk kecil itu meragukan hati Samad, tetapi amat diyakini matanya. Dikecilkan bukaan sudut mata supaya menumpu pada satu figura berupa seorang hawa dan hatinya kini yakin seperti matanya.

Zawan Baba

Samad menyambung ujaran, “Hai sobat mistik, esok kita berdua akan berdiri laksana mercu suar di sana, vibrasi magis daripada paduan nuansa suara kita tentunya akan memberi imbalan supaya dapur rumahku berasap kembali.” Suara Samad lunak dan sayu, seolah-olah memujuk seorang anak kecil agar jangan menangis. Kebisuan figura itu merimaskan. Dengan perlahan Samad melangkah lemah ke arah figura yang terus membisu tanpa bahasa. Derap kaki ditambah dengan helaan daya seretan ke pusat cakerawala membuatkan lantai papan rumah berkeriut. Tersentak dengan talaan keriutan lantai, langkah dimatikan. Lalu diketap bibir yang kering sambil memandang ke satu lagi susuk yang begitu dicintai - susuk seorang hawa yang dianggapnya mentari jasmani dan sakralnya. Samad membongkok cermat dan mengusap perut isteri yang lena berkerekot di muka lantai.

“Mariam, sebagaimana panas mentari yang menghidupkan sawah dan dengan panasnya juga ia mematikan, semacam itulah apa yang kau tamsilkan kepada wadah fitri aku,” tutur Samad lembut kepada isteri yang sedang diresapi mimpi indah, seindah roman muka miliknya. Masih segar dalam benak Samad, dua hari lalu ketika dia dan Mariam berkongsi menjamah kepingan-kepingan roti yang direbutinya di bandar. Memang inilah keruwetan dan ciri keasingan yang terpaksa diramahinya. Bersama getaran bibir Mariam yang kelaparan, begitulah hati Samad bergetar apakala Mariam berujar tentang ‘anak di dalam rahimnya’. Seingatnya dia hanya mengangguk-angguk supaya perbualan itu tidak melarat. Dia tidak berselera untuk berbicara soal itu kerana waktu itu seleranya lebih terarah kepada kepingan roti yang membezakan antara orang yang masih mampu bertahan untuk hidup atau mati kebuluran.

“Huuuhhhhh ....” dalam helaan nafas seolah-olah menyesali jungkir reaksi tempoh hari. Kepala digeleng ke kiri dan kanan sebagai gerak tindak mencemuh, serentak mencela diri.

Kerangka sakral terhantar kembali ke lindapan memori. Ya, memang mata rantai sebuah rumah tangga permulaannya hanya daripada sebuah pandangan, lalu akhirnya campuran keharuman itu menciptakan jiwa ketiga. Sekali lagi Samad menekup muka seolah-olah dia malu benar dengan kelakuan keanak-anakkannya dua hari lepas.

Dalam pelat desis yang bertunda-tunda, Samad berbisik, “Esok, aku dan Layla akan kembali melipur dengan kata-kata manis... dengan percakapan tanpa kata... dengan nyanyian kebisuan. Ya, memang hujan tidak akan dapat menakutkan orang yang sudah basah kuyup, kita tidak akan lapar lagi Mariam.”

Dia lantas berdiri tegak dan menyeluk poket kanan seluar denimnya yang lusuh. Sehelai sapu tangan bercorak petak catur dikeluarkan dan dikibas-kibas. Takzim Samad merapati Layla; figura patung hawa yang sudah berhabuk dan sedikit cobak. Ditatapnya roman Layla yang menyalin raut wanita tua yang aneh, hidung mancung kemerahan, berambut kerinting halus, kulit pipi berjeragat dan sedikit kedutan di bawah mata, berkaca mata bingkai bulat serta rahang di bawah pipi yang besar. Layla disarungkan dengan jubah mini sulaman hitam dan merah dengan taburan manik-manik kilat - cukup membuatkan figura itu memancing pandangan sesiapa yang melihat. Samad tersenyum sedikit apabila dia cuba membandingkan susuk tubuh dan roman muka Layla dengan Mariam. Sesungguhnya Layla adalah antonim kepada Mariam. Dia terus berlamun sambil membersihkan habuk pada figura yang sudah tiga bulan dibiarkan tersadai.

“Dunia sekarang ini semua berkehendakkan disertasi dan gulungan sijil, ventriloqouist seperti aku terpaksa berjerih demi mengisi perut,” bebel Samad kepada Layla yang dipangku di atas riba. Tangan kiri pula dipaut pada rongga dalaman figura itu.

Mulut Layla bergerak dan ternganga-nganga, “Hey Samad, kamu fikir semua yang ada disertasi itu bijak? Memang rata-ratanya bijak, namun ada juga yang selalu tenggelam ditimbun buku-buku, kamu tahu? Buku-buku yang tidak pernah selesai ditelaah lembarannya.” Samad terkebil-kebil. Tangan kanan digawang-gawang seperti meminta penjelasan.

“Heh, kamu jangan tak tahu, sarjana-sarjana kita sekarang hanya mengulangi apa yang tidak difahami dari buku-buku, bunyinya seperti burung kakak tua. Cuma mengulang ajuk kata tuannya.”

Kali ini kepala Samad diangguk-angguk. Dia tersenyum buat kali kedua pada dinihari itu. Seni suara dari rongga badannya sendiri yang keluar, tanpa sedikitpun menggerakkan bibir ternyata masih mampu dikawal. Sebentar dia membuat latihan tahan nafas, sebentar dia menyemak tutur dan menghafal bait dialog, sebentar berolok-olokan di hadapan cermin ditemani Layla sehingga fajar pertama menerpa kening tajam atap rumahnya. Kidung pujian burung-burung kepada yang Maha Kuasa dan isapan madu pertama kumbang dari cangkir bunga di laman rumah Samad menghantar isyarat jelas kepadanya - alam sebenarnya terlalu banyak memberi.

“Abang, tolong jangan pergi lagi ke Dataran Seni. Bukankah Datuk Bandar sudah mengharamkan permainan ventriloqouist? Kalau tertangkap munisipal, tentu abang akan dihumban ke penjara,” Mariam merayu dalam bauran emosi resah-gelisah dan buyar kerisauan. Namun Samad hanya mengambil jalan diam sebagai jawapan.

“Kononnya mahu memperbaiki masyarakat, tapi Abang sendiri menipu penonton, terutama anak-anak kecil itu. Abang seolah-seolah memberi nyawa kepada patung sehingga lupa kepada batas-batas agama.” Suara Mariam sedikit tergetar apakala menyebut perkataan ‘agama’ itu dan jawapan Samad hanyalah berupa tarikan nafas yang dalam. Dia dan Mariam terpisah oleh pegangan berbeza, tetapi disatukan pula dengan denyut baka di dalam rahim Mariam. Ternyata percakapan bukan satu-satunya cara untuk saling mengerti antara dua jiwa.

“Mariam, jangan biar haluan kita dituntun orang buta. Itu semua sangkaan karut marut yang mereka anut. Ini soal perut, soal kelangsungan hidup!” Samad merengus kuat sambil menyelak helaian akhbar kelmarin dan menunjal-nunjal paparan gambar di segmen Jendela Dunia.

“Cuba kaulihat, tiga bilion rakyat tidak cukup makanan. Di Haiti lima orang mati kerana mogok lapar. Di Cameroon 40 warganya yang kelaparan mati sebab berebut roti. Ini pula, di Mesir, keganasan memuncak kerana manusia sudah mula menyalin sifat haiwan, siapa yang kuat akan dapat mengisi tembolok. Kebuluran di mana-mana, di Bolivia, di Mexico, di Bangladesh dan kini di negara kita sendiri. Mengerti?” nyala rasa Samad meluap-luap, semacam ada dandang api membakar dada. Linangan air mata Mariam seolah-olah menjadi bibir yang menjawab pertanyaan suaminya itu. Dia hanya bungkam dan diam, seperti kakunya figura Layla. Dengan berhati-hati Samad merapati Mariam dan memegang pundak isterinya.

“Kelaparan akan membuatkan moral insan susut dan dacing diri luput sehingga lupa cara menyantuni insan lain. Hari ini getar suara dan peran Layla akan aku tukar ganti dengan semangkuk nasi.”

Kata-kata Samad cuba ditelan resap sakral Mariam, tetapi termengkelan di batin kerongkongnya. Dicuba pula meludah kata-kata tersebut, namun tidak berupaya untuk keluar. Ujaran Samad itu seumpama sungai yang terlupa jalan atau liku, dan secara tiba-tiba pula ia sampai di lautan sehingga Mariam terkapai-kapai lemas di situ. Mariam hanya mampu menghantar Samad dan Layla ke Dataran Seni dengan pandangan lesu seorang hawa, seperti Ratu yang lesu berteleku di atas puing-puing kota dan runtuhan istana kemahsyurannya.

Hati Samad mulanya agak ragu dengan tindak daripada gesaan naluri. Naluri yang penuh dengan ambiguiti. Kesamaran memungkinkan dua atau tiga imbalan, mendesaknya menyemak debar jantung sendiri berkali-kali. Dalam keraguan batin hati itu, kaki tetap patuh melangkah ke Dataran Seni. Layla yang dikepit di celah ketiak terkadang-kadang meliuk terkejut-kejut mengikut rentak lenggang dan kaki Samad. Keringat bermanik-manik di serata tubuh ketika dia terhendap-hendap di satu pojok Dataran Seni, “Kalau-kalau ada penguat kuasa munisipal mencari mangsa di Hari Buruh ini,” getus batin hatinya. Seperti kapal saudagar penuh muatan, hanya menunggu air pasang untuk mengembangkan layar ke dada lautan, Samad menyeluruhi ruang pentas menanti tika yang sesuai. Di sekitar pentas itu dilihat hanya dua tiga kelompok rakyat jembel mundar-mandir menanti sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti.

“Kebarangkalian keinginan mengisi perut dan kecelaruan fikiran membuatkan manusia yang nasibnya tidak ubah seperti aku menjadi gelandangan di sini.” Riak batinnya itu seolah-olah memberi keyakinan kepada Samad untuk memulakan persembahan. Persembahan berupa paparan suara penuh tamsilan, tetapi menghiburkan - demi mencari sedikit wang untuk mengisi keperluan.

Kolam hati yang tenang tiba-tiba berkocak kuat. Terpaan gelendangan yang disangkanya ‘rakyat jembel’ - rupa-rupanya penguat kuasa munisipal yang berbusana preman. Saraf yang membawa darah dan pesan isyarat ke paksi rasionalnya mengucur laju. Layla yang dipangku terhenyak ke lantai pentas. Samad terkepung. Dia tidak mampu lolos. Kenyataan bahawa ‘dibicarakan di mahkamah’ dan ‘dihumban ke penjara’ terngiang-ngiang di resap rasanya. Telinga batin cepat dijelang kudus hantaran pesan isterinya tadi.

“Aku tak bersalah! Aku tak bersalah! Lepaskan aku!” pekik Samad. Rontaan kasarnya menyebabkan penguat kuasa munisipal terus membelenggu pergelangan tangannya. Dia sempat menoleh. Pandangannya dibidik ke lantai pentas di belakangnya. Di antara ambang cemas dan rasa radang, Samad melihat bola mata Layla sayup menatap langit. Tangan kanan figura itu terkulai ke arah mentari terbenam. Dan Samad pitam di situ!

Biodata penulis:

ZAWAN Baba atau nama sebenarnya Mohd Nazwan Hafeez Hashim dilahirkan pada 4 April 1981 mula berkarya sejak 2008. Cerpennya pernah mendapat tempat dalam akhbar dan media arus perdana. Mengikuti beberapa bengkel penulisan cerpen pada tahun lalu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Marin), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini, kini berkhidmat sebagai jurutera di laut.

Glosari
Sonder -
tiada, tanpa.
Ventriloqouist -
orang yang pandai bercakap tanpa gerak bibir
Sakral - rohani, suci, kudus.