Sajak...
LUKA HATI BANGSA
Masa berganjak sejarah bertukar
benarkah bijaksana Melayu nanar?
Menipu berani kurang ajarnya
lemah lembut budi bahasanya
dari adat setia tunduk mengalah
tidak kulihat ikhlas kejujurannya
kasih sayang pada persaudaraannya
watak meninggi merendah dirinya
sanggahi musuh bertikam lidahnya
kulihat hilang hikmah cara berpencak
luka di gelanggang tidak terbebat
luka baru ditetak dalam khianat
merah maruah terpercik membuak.
Hitung berhitung siasah pertiwi
kekalkah Melayu menafsir maknawi?
Tatangi hak asasi digelut kebebasan
ingatkah diri sewaktu di lembah hina
silih berganti para pembina negara
dukungi apakah itu hasrat pengisian
susuni kerangka kukuh setiap siratan
dalam kuat kita lembut berhitung
dalam sopan kita santun berkampung
akrab sesama sendiri teguh jati diri
akrab warga meneguh akal budi
benih sabar subur di bumi sendiri
tumbuh pepohon bakti sejati.
Jika simpang siur tidak diwaspadai
suara pendusta akan membelah bumi
apa pun saja ditolak ke tepi.
Sedikit calar derhaka
parah luka hati bangsa
di perjalanan keliru nusa.
A Aziz Deraman
DBP, Johor Bahru
5 Februari 2006
RUMAH BANGSA - 1MALAYSIA
Kita mulakan langkah baru
mengiringi visi tak terbatas
dari mata jiwa seorang wira bangsa
demi tanah tumpah darah,
mendukung misi ke martabat tertinggi dunia
dengan tapak teguh perpaduan,
dipandang hormat kawan dan lawan.
Ini tugas kita,
hasrat membina rumah bangsa
dengan kudrat pengalaman
terhimpun berdekat lama,
azam tak terpadam,
semangat panas membara.
Lapan pasak kukuh,
menunjang jauh di setiap sudut
berhimpun segala tenaga
mengagih beban dengan saksama.
Lapan mata tangga,
lurus bertingkat diukur sama
berganding bahu melangkah sempurna.
Lapan pintu terbuka,
menyambut girang warga setia
ikhlas bertindak, rendah jiwa,
mengukuh wasilah setiap masa.
Lapan jendela bertabir mesra,
membiar semilir jujur menyapa
dada sarat menakung janji,
menyirat ikatan penuh percaya
hati menerima penuh rela.
Lapan penjuru berlantai rata,
bersimpuh tenang menyingkap rahsia
membuka luas mata dan minda,
mencari landasan menakluki dunia
jangan bangsa mudah terpedaya.
Lapan tiang berdiri sempurna,
walau diterjah badai sengsara
tabah bertahan meredah masa
semangat tak luntur setapak tak undur
berjuang bagai seorang satria.
Kita bumbungkan rumah ini
dengan impian gemerlapan
kita palitkan warna damai perpaduan
kita terangi dengan kerlipan cahaya ilmu
kita bukakan pintu biar tetangga bertamu
kita hidang segala bakti untuk yang perlu
kita hiasinya segala termampu
kita namakan 1Malaysia,
terhimpun di dalamnya
segala amanah menuntut keringat semua.
Di bahu kitalah segalanya tersirat
memikul lapan tiang utama
visi dan misi wira negara.
Cemerlang bertindak, usaha berganda,
tepat sasaran tinggi nilainya.
Ketabahan dipupuk menahan dugaan,
sabar mendaki liku rintangan.
Menyusur reba tunduk berisi,
rendah hati menambat mesra.
Mengukur hajat biar sepadan,
menerima dengan lapang dada.
Setia bertempat bijak mentafsir,
jauhkan diri mengikut hati.
Keupayaan dijulang, meritokrasi dilaksana,
adil bertindak menegak yang hak.
Ilmu ditimba menambah khazanah,
jalan utama dipandang mulia.
Jujur mengatur lidah,
berani kerana benar, integriti teras jati diri.
Mari kita pelihara rumah ini,
kita suburkan halamannya
dengan bunga janji mekar mewangi
biar ia bertambah seri,
warisan penentu generasi muka
1Malaysia lestarikan dijiwa,
sepanjang hayat membangun nusa.
Baha Wahab
Kulai Jaya Istana Budaya.
TIGA KALI MENCINTAI
Kau mencintaiku
seperti matahari yang hangat
setia menerangi seturut waktu
malah selalu berikan aku bulan
kala bintang-bintang sunyi mengerdip.
Kau mencintaiku
seperti sungai yang mengalir
tenang dan damai menemani
sekalipun sering kulontarkan
batu-batu kecil mendecurmu.
Kau mencintaiku
seperti angin yang menderu
mesra mengelus resah kalbu
telus menyentuh sukma rindu
sering bisikan suara nan syahdu.
Ibu nyatanya juga kumahu
tiga kali mencintaimu
setulus sabda kekasih yang Satu.
Rosnani Hiplee
Mei 2009
Kuching
SEKUNTUM KEMBANG UNTUKMU GURU
Guru
hari ini kuberikan padamu
sekuntum kembang
dari taman hatiku
terimalah kasih
harum budi jasamu
mewangikan hidup ini
mekar suci.
Guru
namamu kubawa berlari
bersama seribu musim
kehidupanku sarat luka
dalam pencil waktu
aku meneguk bahagia
hingga kukenal angka
dan memesrai huruf
untuk kucatat wajah dunia
hingga redup mata-mataku
menanti waktu pulang
abadi.
Guru
tanganmu yang mendidikku
tangan itulah menadah doa
memohon anak didikmu
memimpin diri mengingati selalu
wajah ayah bonda
menafsir erti damai
tanah air.
Ihsan Noorzali
BHKA, Upsi
2009
KE MANA SELEPAS ITU
Tatkala awan hitam songsang berarak
bakal menghamburkan jelaga dan keladak
ke mana agaknya kita akan berginjak
sebelum kehitaman mengotori pundak?
Tatkala bayu melintang berhembus laju
tiada lagi kebiasaan menderu
sepoi-sepoi bahasa seperti dahulu
ke mana agaknya kita akan berlalu
sebelum halilintar ganas menuju
dan puting beliung menerjah bertalu?
Agaknya ke mana kita selepas itu
jika rumah sendiri telah terkunci dan terkatup
penghuni lain telah berkuasa di pintu
dan mereka tak diundang itu
tidak pernah kita kenal dan tahu.
Dan kita yang tiada apa-apa lagi
terpaksa berlalu dan pergi
sekadar memberontak dalam diri
lewat penyesalan bersilih ganti
dan kecewa menanti pasti.
Mazemie Maz
Seremban.
KOTA CINTA MAHSURI
Lembing yang menghunjam tubuh
tak mampu menikam semangat
tali yang membelit dada
tak terdaya menjerat jati diri
terpana dengan bahasa indah
si peniup seruling jadi bumbu fitnah.
Mahsuri,
seperti engkau yang mengkhabarkan rahsia
tubuhmu mengizinkan keris pusaka cuma
aku diikat pada pokok keyakinan yang sama
merelakan tubuhku ditusuk keris bangsa.
Kusambut sumpahmu kiriman angin kerinduan
biar urat dan daging yang merasa tikaman ini
dengan setiap desah nafas tersisa
kusongsangkan sumpahmu menjadi doa:
Lekas sedar daripada alpa!
Lekas sedar daripada alpa!
Huzaifah Zulfakar
12 April 2009
Kota Mahsuri,
Langkawi