Penaja

26.7.09

Puitis Pawana Pawitera

ARKIB : 26/07/2009

ita, manusia. Memang sukar untuk puas. Apatah lagi berterima kasih." Sinis Rifqi. Kemudian melihat temannya. Asing. Seakan meletakkan diri dalam kuarantin yang panjang. "Tidak cukup dengan apa yang dapat dilihat? Dan berterima kasih dengan setiap nafas itu?" Tanya Rifqi, lembut dalam nada hairan. Melihat temannya yang keras dan tegas menguja.

Dia memalingkan durja, angkuh. Sedikit berbaur angkuh.

"Tidak," dia menjawab dengan mendatar, persis ada sesuatu yang memisahkan. Statik. Seperti ada gaung jurang menghalang. Sambil mengerling. Tajam hujung matanya dihunjam menembus kabus emosi dan perasaan Rifqi.

"Benar, dirimu mahu jawapannya?" Rifqi menyambung dengan pertanyaan yang sopan. Mengetatkan sedikit jaket tebal berbulu, sambil membetulkan kedudukan zip. Suhu sejuk 4 hingga 8 darjah celcius seperti kembali dihangatkan dengan perubahan sikap temannya itu.

Dia mengangguk, pasti. "Tunjukkan buktinya. Saya mahu lihat. Kenapa terlalu sukar mentafsirkan?" Dia seakan belum berpuas hati. Benar, dia masih tidak selesa dengan jawapan(?) Rifqi.

"Kerana jika saya terus membalas dengan keras dan kaku menjelaskan, ini akan membangkitkan kemarahanmu, sahabatku." Tenang Rifqi membalas pertanyaan sahabat akrabnya yang sering membangkitkan pertanyaan beradun kemarahan itu, sejak akhir-akhir ini. Rifqi pula tidak mahu langit biru dan sejuk persahabatan mereka bertukar kepada merah api dan panas petir gejolak hubungan akrab itu. Rifqi tidak sekejam itu.

Tetapi kali ini, entah. Dia seperti sangat mencabar; dalam pencarian yang katanya terlalu benar samar. Mengeraskan suara. Mengangkat kening. Kedua-dua tangannya tidak henti-henti berpropaganda. Riak kata-katanya berprovokasi. Dia benar mengubah sikap, sifat dan perwatakan seorang sahabat yang santun kepada persis seorang seteru yang menyemai benih serta bibit-bibit kesumat. Dia terlalu jauh ke sasar dan berubah. Tidak sepatutnya dia.

Dia memang rapat bersahabat dengan Rifqi. Jarang sekali dalam persahabatan itu, dia dan Rifqi menimbulkan subjek-subjek yang sensitif begitu. Rifqi sendiri tidak mahu menyentuh dan membuka-baca buku-buku aliran serta fahaman hidup masing-masing di kutub khanah jiwa dan roh diri. Kerana Rifqi khuatir ia akan memadam norma-rona sutera berwarna-warni; sebuah hubungan yang terlalu tinggi dan mulia nilainya.

Dan memang itulah yang telah dididik kepada Rifqi sedari kecil lagi. Namun, apakah yang harus dilakukan jika dicabar keras begini? Oleh seorang sahabat yang akrab. Yang sepatutnya lebih memahami garis sempadan. Gadis gebu putih itu; malah kadangkala berlari-lari di halaman hati Rifqi. Gadis gebu putih itu; seringkali berdiri di muka pintu hati Rifqi sambil memegang kunci. Gadis gebu putih itu; anehnya acapkali menukarkan jerebu hitam dan asap kelabu dalam lembar diari Rifqi kepada selaut urna mawar dan wangi lavender! Gadis gebu putih itu; mungkin tidak mengerti sesuatu di sebalik jendela fikiran Rifqi.

Namun, barangkali belum tiba untuk dia mengetuk pintu hati dan membukanya sendiri. Melihat ke dalam rumah hati Rifqi yang kosong dan sunyi itu. Rifqi sepatutnya bercerita panjang lebar kepada dia. Supaya segalanya jelas dan nyata. Bukan lagi absurb atau abstrak. Rifqi benar memilih masa yang sesuai dan jujur ranumnya. Atau tepatnya, Rifqi memang mahu benar agar segala jawapan kepada soalan demi soalan yang ditimbulkan itu terjawab dengan sendiri. Secara alamiah. Secara natural.

"Satu hari saya akan khabarkan kepada pawana. Untuk bercerita kepadamu, sahabat akrabku." Rifqi lambat mencelah. Setelah lelah jeda fikirannya menakluk masa. Rifqi rimas. Mematikan soalan dengan jawapan ringkas.

"Ah, kamu mahu berdalih lagi." Dia seperti tidak percaya. Rifqi tidak mengendahkan. Rifqi senyum sambil melihat cuka durjanya berlalu. Rifqi optimis kepada keajaiban yang akan diutuskan pawana kepada sahabatnya itu. Pawana pawitera.

RANCU.

Untuk seketika mereka membiarkan beberapa detik sunyi menjajah ruang dan celah bicara. Sengaja. Masing-masing menyorot fikiran ke dalam kamar idealisme. Mencari fail-fail pegangan yang perlu untuk dibuka, disusun menjadi bahan-bahan bicara dan hujahan di dalam premis fikiran. Agar masing-masing ditakluk atau menakluk(?).

"Cuba lihat rambut yang terbang menutupi kening dan mata senyummu, sahabat akrabku." Rifqi memecah belon-belon sunyi sambil duduk santai di bibir taman di bawah lengkungan besi hiasan yang sebaris tersusun cantik. Batu-batu kecil tempat pejalan kaki disusun rapi dan sangat teratur seperti sebuah mesin refleksologi. Rifqi duduk di kerusi batu - dan canda bersama dia yang masih meninggalkan baki-baki cuka di durja. Kerana, katanya kepada Rifqi, 'saya masih mahu jawapan jelas'.

Sambil menyelak helaian rambut halusnya yang lurus panjang ke celah telinga kanan, dia pantas berkata, "Ya, mengapa? Rambut saya hitam, lurus dan cantik." Dia cuba untuk tersenyum, tapi sengaja ditahan-tahan menampakkan marah yang tersisa.

"Bagaimana rambutmu yang ringan itu boleh terbang hingga menutupi kening dan matamu?" Rifqi mengukuhkan pasak tanya di premis jiwa dia.

"Soalan mudah begini, masih ditanya? Jawapan kepada soalan saya, masih bermain sorong-tarik. Belum diberi jawapan pasti." Dia mendakap helai gugur tanya dengan pertanyaan juga. "Angin," tegas dia, keras dan sangat statik.

"Kabut. Yang memuput kabut dalam damai dan dingin begini itu, apa sahabatku?" Sambil Rifqi cepat menghala ibu jari kanan ke arah kabut @ kabus yang bergerak perlahan. Menyelimuti sejuk Daerah Linyi yang kaya dengan rencam industri ringan - tekstil, logam, emas dan porselin.

"Angin jua." Dia menjawab; tidak berganjak dengan jawapan pertama. Mata senyumnya sesekali dikerdip; menahan tiupan angin@pawana yang menyapa.

"Dedaun kering itu?"

"Angin juga. Lalu mengapa?" Dia seperti diselimuti dengan satu jawapan yang sama - pawana.

"Mengapa dikatakan angin? Di manakah angin itu?" Rifqi melepaskan busur demi busur anak panah pertanyaan ke dinding resa seorang dia; teman akrabnya yang tampak telah berubah. Zahirnya.

Dia terdiam sebentar. Seolah-olah terperangkap di dalam jaring-jaring perangkap yang samar dan sengaja direka. Gadis bermata senyum dengan kelopak tiram matanya sentiasa mengumpul butir-butir mutiara jernih setiap kali ketawa. Meski tawanya sangat santun, menguja hati menjadi runtun; tutur bicaranya sangat sopan, meletak perasaan dalam harapan. Tetapi, hari ini dia menyimpan segala yang manis itu jauh di Gunung Mengshan. Menyusun segala kata-kata yang indah itu bersembunyi di Tasik Lying Dragon. Dia seperti bukan yang Rifqi kenali pada pertemuan pertama itu.

RENTET.

Melihat gelagatnya melayan kerenah anak-anak beruang panda di Pusat Penyelidikan Beruang Panda Wolong, Sichuan. Dan dia begitu asyik, tekun dan bersungguh-sungguh memastikan anak-anak beruang panda itu sihat, dengan rutin harian seperti seorang kanak-kanak - bergurau, bermain-main dan akhirnya keletihan sambil bersandar di tepi batu dan menghisap botol susu. Rifqi benar teruja melihat situasi dan melalui pengalaman manis itu.

"Saya dari selatan tanah emas, hujung tanah - Malaysia." Sapa Rifqi sejurus selepas gadis bermata senyum dan sepet itu keluar dari papan-papan lembut yang memisahkan anak-anak panda dengan pengunjung.

Dia mengangguk. Kemudian membuka penutup mulut yang berwarna biru cair, menjadi penghadang habuk dan bulu-bulu halus panda. "Saya ada asma. Tapi, sangat berminat dengan kerja-kerja ini."

"Syabas, atas kesungguhan! Luar biasa sekali. Saya Rifqi." Rifqi tunduk sedikit.

"Terima kasih. Oh, ya! Saya Zhi Yang. Bekerja atau melancong di sini?" Dia menyua tanya tanpa cabar curiga atau lapis prasangka.

"Bekerja, sebelum ke Shandong. Sebenarnya saya memang gemar @ pencinta panda. Sehingga sanggup mencuri masa kerja ke mari." Rifqi ketawa pada perkataan 'mencuri'. Dia juga ketawa. Matanya benar memujuk naluri Rifqi. Sungguh. Rifqi tidak percaya pada keajaiban pertemuan pertama. Tapi, kini? Benar, bintik-bintik halus dan jernih seperti renyai di tasik permai - ada di mata senyumnya. Barangkali, begitu juakah emosi yang membuak dalam dasar tasik tenang perasaan Zhi Yang?

"Shandong?" Persis menjungkil destinasi di sebalik kata Shandong.

"Oh, di Linyi." Jawab Rifqi mengerti pertanyaan ringkas Zhi Yang.

"Ah-haa. Seperti dirancang. Linyi, desa damai keluarga saya." Jujur Zhi Yang. Kemudian, menggesekkan kedua-dua tapak tangannya menyingkir debu-debu.

Rifqi menyingkap pertemuan dengan sahabat akrabnya, Zhi Yang. Setelah kembali semula ke kampung halaman, Linyi. Dan kontrak bersama pusat penyelidikan beruang panda itu tamat. Zhi Yang dan Rifqi saling serta sering berkongsi pengalaman dan pandangan.

"Tidak." Jawapan dia - Zhi Yang menyentap lamunan Rifqi.

"Mengapa mengatakan angin yang bertiup? Mengapa mengatakan angin yang menggerakkan?" Rifqi meminta penjelasan daripada Zhi Yang.

Dia lantas meninggalkan Rifqi keseorangan. Menuju ke arah gerai-gerai menjual cenderamata. Di sisi gerai itu, sebuah gerai menilik masa hadapan. Rifqi mengekori dia.

"Mahu menilik masa hadapan?" Rifqi berseloroh, mencelah perlahan ketika dia menghampiri gerai menilik itu, yang jelas terpampang gambar tapak tangan. Zhi Yang menggeleng seperti memikirkan sesuatu yang maha berat.

"Baiklah, kita lupakan sebentar tentang angin@pawana. Nanti, saat sudah reda kita sambung semula bicara." Zhi Yang mencair dalam kata-kata lembut Rifqi yang jelas memujuk itu. Yang meredakan kemarahan kepada jawapan seharusnya Rifqi berikan, bukan dia - Zhi Yang - yang menyatakan.

RINDU.

"Tentang perasaan dan emosi," Zhi Yang bersuara, lembut.

"Saya sudah maklumkan dahulu, bukan?" Rifqi mengukuh-ampuhkan diksi-diksi Zhi Yang dengan pertanyaan kecil.

"Tentang keanehan perasaan." Sambung Zhi Yang, melihat Rifqi dengan hujung mata senyumnya. Seperti menyembunyikan keanehan perasaan yang disebutkan.

"Bukan keanehan. Tapi keindahan dan ketakjuban milik Pencipta, sahabat akrabku. Tidak nampak, tapi dapat dirasakan. Begitukan?" Rifqi mengukuhkan pasak perasaan Zhi Yang yang goyang. Dengan tenang Rifqi menyurutkan gejolak jiwa Zhi Yang yang meninggi dan menghempas pantai perasaannya.

"Saya takut dan khuatir. Kadangkala bimbang, dan sangat resah. Tidak tahu sama ada harus berterus terang tentang perasaan dan ingatan saya terhadap awak." Zhi Yang tunduk. Dia mula membuka jendela emosinya perlahan-lahan. Puitis pawana pawitera di sekililing masih setia berbahasa. Sesekali menembusi jendela emosi dan langsir jiwa Zhi Yang.

"Maksud awak?" Rifqi menguji.

"Saya khuatir dengan perasaan baru saya yang sudah lama ini. Saya perlukan kekuatan daripada awak - sama ada menerima atau menolak." Jelas Zhi Yang. "Saya tidak pernah merasai mengingati seseorang seperti ini sebelum ini. Aneh." Zhi Yang menyusun konkrit kata penuh debar, separa dakar dan bertekad sabar.

"Aneh?" Rifqi sengaja.

"Tentu ada sesuatu di mata awak yang cahayanya seperti di mata saya." Zhi Yang berlapik menyampai maksud. "Saya khuatir." Zhi Yang mengulangi kesangsian yang kian bersarang di rimba jiwa dan belukar perasaannya yang kemarau.

"Masih khuatir? Dan resah? Kerana kita tidak nampak warna, rupa, bentuk atau mungkin aroma perasaan itu." Rifqi mula menyirami gersang padang dan sahara fikiran Zhi Yang dengan salju kata-kata persis seorang pemikir.

"Saya khuatir, awak perlu membantu saya." Telus Zhi Yang mendambakan bantuan seorang Rifqi.

"Sudah lama saya ingin membantumu, sahabatku. Tetapi, api tidak boleh disimbah dengan minyak untuk memadam. Saya menunggu ketika yang sangat sesuai, mencari air." Pantas Rifqi menyambut hemah harapan dalam perasaan Zhi Yang.

"Saya sering memikirkan sama ada semuanya sudah ditentukan, atau bagaimana?" Tanya Zhi Yang. Lembut durja Rifqi melihat temannya dengan penuh simpati. Apatah lagi setelah melihat Zhi Yang mengeluarkan dan menggunakan ventolin evohaler - alat bantu pernafasan untuk pesakit asma - nyatalah, Zhi Yang tidak boleh berhadapan terus-menerus sesuatu stres atau tekanan.

Sebelum membalas, "Di buku takdir - benar. Tapi, kita harus berusaha, berdoa, dan bertawakal. Mencari jawapan kepada segala kesangsian. Seperti yang dirimu lakukan ini."

Zhi Yang menghulurkan plak kaca berbentuk warkah bertulis, 'pawana seperti juga rindu dan perasaan yang tidak nampak kehadirannya tapi kita merasai kewujudannya.' Terima kasih Rifqi, kerana mengajar saya tentang keagungan-Nya.' Dalam bahasa kebanggaan Rifqi; Bahasa Melayu dan dalam warna kekayaan Zhi Yang - merah. "Untuk awak, Rifqi." Mewakili hati dan perasaan Zhi Yang.