Penaja

16.3.14

MH370: M'sia berulang kali tolak bantuan Interpol

Polis Malaysia dilaporkan beberapa kali menolak bantuan polis antarabangsa Interpol bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)  MH370.

Seorang pegawai kanan penguatkuasaan  undang-undang Barat dipetik oleh ABC News yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai berkata, Interpol menawarkan bantuan beberapa kali tetapi ia ditolak setiap kali oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Ia pendekatan sebelum (tragedi) 9/11: maklumat dipegang erat, tidak berkongsi apa-apa,” pegawai itu dipetik sebagai berkata.

ABC juga menyebut, pegawai penguatkuasaan undang-undang kini bimbang masa yang kritikal terbuang begitu sahaja dan sumber maklumat mungkin sudah hilang minggu lepas.

“FBI juga tidak diundang oleh kerajaan Malaysia untuk membantu di lapangan,” kata sumber.

Pesawat MH370 terbang dari Kuala Lumpur pada 128 Mac, jam 12.40 pagi. Ia sepatutnya sampai di Beijing pada 6.30 pagi tetapi hilang secara misteri daripada radar awam pada jam 1.21 pagi.

'Ya, juruterbang ahli PKR, tapi jangan spekulasi'

PKR mengaku juruterbang MH 370  merupakan ahli parti itu tetapi meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan penerbangan tersebut.

Ketua PKR Cabang Subang Sivarasa Rasiah berkata beliau menang mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah (kiri) sejak beliau menyertai parti tersebut 23 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, tidak adil sekiranya pihak media mengaitkan perkara itu dengan parti kerana ia “tidak relevan”.

Sivarasa merujuk kepada laporan akhbar tabloid Uniter Kingdom Daily Mail semalam yang membuat spekulasi bahawa Zaharie seorang 'fanatik politik' dan 'aktivis sosial yang lantang'

"Media tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi.

"Akhbar Daily Mail ialah sebuah tabloid, mereka langsung tidak merujuk mana-mana sumber," kata beliau dalam sidang media hari ini.


Menurut Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang, akhbar tabloid itu mengaitkan Zaharie dengan mengetengahkan dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta.

Pertama, akhbar itu mendakwa Zaharie hadir ke keputusan kes liwat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan pesawat.

Dan kedua, beliau dilapor lantang bersuara hal-hal sosial walaupun tiada sebarang bukti menunjukkannya.

"Beliau (Zaharie) seperti sejuta ahli parti politik di luar sana.

"Dua fakta itu digunakan untuk panggil beliau 'political fanatic'. Kesimpulan tak boleh dibuat kerana fakta yang tidak terbukti," kata Sivarasa.

Sivarasa turut berkata Zaharie seorang yang disenangi dan baik malah membantu cabang Subang ketika kempen pilihan raya umum dan terlibat dalam acara sosial anjuran cabang berkenaan.

Beliau berkata hanya mengetahui Zaharie merupakan juruterbang pesawat malang itu pada hari Ahad minggu lalu dan ada menghubungi keluarga Zaharie untuk menyampaikan kata-kata semangat.

"Jika pihak polis mahu berjumpa saya untuk bertanya latar belakang beliau (Zaharie) saya sedia membantu tapi ini bukan soal parti," kata beliau.

Tian Chua: Polemik tuding jari

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua berkata PKR tidak mahu parti terheret dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa kes ini ke mana-mana.

Beliau berkata tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu itu.

"Setakat ini kita harapkan semua pihak terutamanya media dan pihak parti-parti dalam parti pemerintah untuk menghormati keluarga dan penumpang MH370.

"Jangan membuat terlalu banyak andaian yang ini akan menjejaskan siasatan dan juga menyinggung perasaan ahli keluarga, bagi kami kita tidak mahu termasuk dalam polemik siapa yang salah dan siapa yang patut bertangggungjawab," kata beliau.

'Bomoh bubu' mahu tampar, saman KJ


Seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain mengancam untuk menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana menggesa agar beliau ditangkap.

Ibrahim, yang mencetus kontroversi susulan upacara perbomohan yang dijalankannya di lapangan terbang KLIA bagi mengesan pesawat MH370, mengancam demikian kerana marah dengan kenyataan menteri tersebut di Twitter.

"Biar saya cakap terang-terang pada Khairy Jamaluddin hari ini. Saya cabar dia.

"Letak jawatan jadi menteri dan saya letak jawatan sebagai mahaguru. Kita berlawan.

"Saya tampar dia macam (semudah menampar) buaya nanti, baru dia tahu," katanya.

Katanya, beliau juga akan mengemukakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya ketua Pemuda Umno itu mengulangi kenyataan tersebut.

Ancaman tersebut disiarkan melalui dalam satu rakaman video di satu blog dinamakan suara.tv.

"Saya bagitahu Khairy, kalau dia buat lagi saya nak saman dia RM100 juta. Menjatuhkan imej Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zain.

"Anak murid saya seramai beberapa juta orang akan sanggup ke depan ke mahkamah," katanya lagi.

Menteri itu pada 12 Mac lalu menulis, "bomoh permaidani sakti" itu perlu ditangkap kerana "memalukan" negara.

Ibrahim pada hari Isnin lalu mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas KLIA dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka melaungkah takbir beberapa kali.

PM: MH370 mungkin menuju ke dua arah

Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah dirampas, demikian menurut satu laporan berita.

Menurut agensi berita AP, seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata rampasan itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.

Pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.

Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada.

Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar pada tengahari.

LAPORAN LANGSUNG

[Kenyataan media penuh PM]

2.32pm: Sidang media berakhir. Wartawan diminta mengemukakan soalan untuk dijelaskan dalam sidang media teknikal jam 5.30pm.

2.30pm: PM sahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat ialah #MH370.

Katanya, ia berdasarkan kerja-kerja forensik oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas mengenai laporan didakwa mengesahkan MH370 dirampas, Najib berkata beliau maklum dengan laporan media.

"Namun kita masih menyiasat semua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan MH370 melencong dari laluan penerbangan asalnya," kata Najib.

Berdasarkan perkembangan ini juga, siasatan kini ditumpukan semula ke atas anak kapal dan penumpang.

Katanya, pencarian diteruskan di dua koridor. Pertama: Dari utara Thailand hingga ke Kazakhstan. Kedua: Dari Indonesia ke Lautan Hindi.

Operasi di Laut China Selatan dihentikan dan pihak berkuasa sedang menilai semula usaha untuk menugaskan semula aset yang digunakan untuk mencari dan menyelamat, katanya.

2.23pm: Najib mengumumkan kronologi peristiwa kehilangan MH370 yang disahkan setakat ini.

2.20pm: Najib berkata dia mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua maklumat MH370 dengan semua pihak berkuasa terlibat.

2.19pm: PM memulakan sidang medianya.

1.55pm: Seorang pegawai Jabatan Penerangan Jagjit Singh mengumumkan PM hanya akan membuat satu kenyataan berhubung perkembangan terbaru.

"Namun beliau tidak akan menjawab apa-apa soalan," katanya.

Beliau meminta para wartawan mengemukakan soalan kepada pusat media.

Soalan berkenaan akan dijawab dalam sidang media harian jam 5.30pm, katanya yang tidak memberikan sebarang alasan.

Ini adalah kali kedua Najib muncul dalam sidang media khas berhubung isu pesawat MH370, yang hilang sejak Sabtu lalu.

1.41pm: Wartawan semakin gelisah menunggu PM memulakan sidang media dan mengisi masa dengan berbual-bual dan bertukar maklumat.

Suasana dalam dewan tersebut kembali senyap beberapa kali apabila pintu utama auditorium dibuka. Namun masih belum ada kelibat Najib.

1.30pm: Duta China ke Malaysia Huang Hui Kang turut hadir dalam sidang media hari ini. Turut kelihatan wakil kedutaan Rusia.

1.10pm: Wartawan memasuki dewan sidang media dan membuat persedian untuk persidangan.

Kira-kira 200 orang para petugas berkenaan memenuhi hampir setiap inci ruang lantai auditorium Sama-Sama Hotel.

12.33pm: PM Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan sidang media pada jam 1.30pm di Hotel Sama-Sama, KLIA.

Pasukan keselamatan membuat pemeriksaaan ketat di bilik sidang media dan para petugas media diminta beredar sehingga operasi tersebut selesai.

Informer Al-Qaeda dedah plot rampas pesawat

Pendedahan pemberi maklumat  Al-Qaeda bahawa dia pernah bertemu dengan pengganas Malaysia berhubung rancangan merampas pesawat menimbulkan kebimbangan sama ada ia berkaitan dengan kehilangan MH370.

Informer kelahiran British itu Saajid Muhammad Badat (kanan) membuat dakwaan itu di Mahkamah New York.

Ia berkata demikian ketika memberi keterangan melalui pautan video dalam perbicaraan kes Sulaiman Abu Ghaith, menantu Osama Laden, menurut Sunday Telegraph, United Kingdom.

Ketika memberi keterangan, Saajid berjata, lima lelaki Malaysia merancang mengawal pesawat menggunakan bom tersembunyi dalam kasut untuk meletupkan pintu kokpit.

Katanya, beliau ada bertemu dengan rakyat Malaysia itu, salah seorangnya juruterbang, di Afghanistan dan kasut bom itu diberikan pada mereka.