Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
TULISAN Ku Seman Ku Hussain Belasungkawa Zahari Hasib: Penyair yang terpinggir" (Mingguan Malaysia, 4 Mac 2012), membuahkan pelbagai persoalan. Antaranya, benarkah ada kelompok dalam sastera? Atau dalam bahasa yang agak kasar, benarkah ada kasta dalam sastera?
Ku Seman menyatakan, Allahyarham Zahari Hasib tidak pernah ditonjolkan sebagai salah seorang penyair yang kita miliki. Dia penyair agak terpinggir. Benarkah demikian?
Apatah lagi ditambah lagi dengan kenyataan berikut: Ada sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Kata mereka, bahasanya terus terang, tidak mendalam dan nipis pemikiran.
Jika disusur sejarah Zahari Hasib sebagai penulis, sebuah sajak Zahari bertajuk Pelita telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia. Sehubungan itu, ini menyokong pandangan Ku Seman yang menyatakan bahawa dia seorang yang sangat memerhati kemudian dipindahkan menjadi puisi dengan suntikan pemikiran dan kritikan. Maknanya puisi-puisi yang dihasilkan oleh Zahari mempunyai nilai estetika dan falsafah seperti yang dikehendaki oleh panel hadiah sastera.
Justeru, adakah keterpinggirannya dalam peta puisi Malaysia membuat Zahari merajuk membawa diri ke Teluk Intan? Sedangkan di Kuala Lumpur adalah tempat nadi penulis atau penyair mengembangkan bakat. Ini adalah andaian semata namun mungkin menepati pandangan Ku Seman yang menyatakan bahawa Zahari sangat sedar duduknya dalam dunia puisi, kerana itu tidak pernah diluah keterpinggirannya dalam peta puisi Malaysia.
Apakah nasib Zahari Hasib ini boleh disamakan dengan nasib penulis Allahyarham Azizi Hj. Abdullah? Sehingga ke akhir hayat, Anugerah Sasterawan Negara tidak diberikan kepada Azizi. Apakah Azizi juga disenaraikan dalam kelompok dalam sastera? Dengan memenangi pelbagai hadiah dan anugerah yang diiktiraf oleh negara ini dan negara luar, apakah kehebatan Azizi dinafikan kerana kecenderungan politiknya yang berbeza?
Seperti kata Zainal Rashid Ahmad dalam tulisannya "Pulangnya seorang sasterawan rakyat" (Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2011), Azizi Hj. Abdullah akan sentiasa dikenang sebagai sasterawan besar, meskipun tidak menerima Anugerah Sasterawan Negara. Sejarah membuktikan, kehebatan seorang sasterawan sejati bukan terletak pada anugerah - namun sebaliknya, sejauh mana karya-karyanya mampu terus "hidup" merentas zaman ke zaman. Malah tambah Zainal Rashid Ahmad lagi, zaman dan bangsa ini, saya rasa tidak mungkin lagi mampu melahirkan sasterawan-sasterawan besar, dan Azizi antara susuk tubuh yang dipinjamkan Allah pada bangsa ini untuk menjadi sebahagian dari nadi perjalanan sastera bangsa.
Begitu juga dengan anugerah sasterawan negara yang masih tidak diberikan pada wanita? Apakah wanita juga termasuk kelompok dalam sastera? Walhal terdapat sebaris nama penulis wanita yang sudah diiktiraf oleh hadiah dan anugerah. Nama-nama seperti Siti Zainon Ismail, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Azmah Nordin, Zurinah Hassan, Khadijah Hashim adalah penulis wanita yang telah menerima Anugerah S.E.A Write Awards.
Sebagai contoh, penulis Siti Zainon Ismail. Beliau seorang sasterawan, budayawan, seniman, penyair, pelukis dan ahli akademik yang prolifik. Senarai penerbitan buku-buku beliau mencakupi karya kreatif, ilmiah, budaya, sudah cukup menjelaskan bahawa Siti Zainon adalah seorang seniman yang mencintai seni.
Pengiktirafan yang diterima oleh Siti Zainon bukan sahaja di dalam negara, malah luar negara turut menghargai sumbangan beliau. Siti Zainon pernah menerima anugerah Gelar Cut Nyak Fakinah (Lembaga Adat Aceh) dan Profesor Luar Biasa (Universitas Jabal Ghafur).
Malah jika diperhatikan, penulis di negara kita banyak didominasi oleh penulis wanita. Ini amat ketara pada pesta / pameran buku yang dianjurkan, buku-buku yang dipamerkan terdiri daripada penulis wanita. Trend terkini pula buku-buku karya kreatif (khususnya novel) yang laku (best seller) di pasaran adalah buku-buku yang ditulis oleh wanita.
BersaingFenomena mengadaptasi buku novel ke filem seperti Ombak Rindu telah melonjakkan jualan novel-novel cinta di pasaran. Novel-novel cinta yang lain turut merasai tempias Ombak Rindu. Ini satu perkembangan yang sihat dan mendorong penulis wanita bersaing secara baik. Jika dilihat senarai novel yang terlaris yang dikeluarkan oleh penerbit melalui Internet atau di poster yang ditampal di kedai-kedai buku ternama, nama penulis wanita yang banyak tersenarai.
Demikian juga pada majlis acara sastera khususnya deklamasi puisi. Apakah majlis acara sastera turut termasuk kelompok dalam sastera? Jika diteliti, pada majlis acara sastera, hanya nama-nama yang dipilih menghadirinya. Sebagai contoh, jika majlis itu dianjurkan oleh pihak A, para penonton sudah mengetahui siapakah penulis atau sasterawan yang akan hadir. Yang jelas antara pihak A dan pihak B, semacam sudah dikelompokkan siapakah penulis dan sasterawan yang patut dijemput. Benarkah dalam kalangan penulis dan sasterawan wujud golongan elit, intelek dan marhaen?
Apakah kelompok dalam sastera ini merupakan satu virus yang memang sudah lama ada dan diwarisi turun temurun? Adalah amat malang jika virus ini terus merebak, kelompok dalam sastera akan menjadi anutan dan fahaman setiap penulis. Fahaman ini akan membina perasaan yang boleh merosakkan minda setiap penulis dan sasterawan. Secara tidak langsung jurang pemikiran di kalangan penulis dan sasterawan akan terpecah-pecah kerana kelompok dalam sastera ini. Apakah dalam sastera juga perlu ada tranformasi minda?
Justeru, apakah dengan adanya kelompok dalam sastera bermakna adanya ketidakjujuran dan ketidaktelusan dalam dunia sastera? Andaian ini bukan menuduh mana-mana pihak kerana tanpa bukti yang kukuh ia akan dianggap omong-omong kosong sahaja.
Jika diamati secara teliti tulisan Ku Seman, memang dapat dikesan terdapat kelompok dalam sastera. Ku Seman menyatakan secara berlapik supaya pembaca berfikir dan mencari bahawa budaya memperlekehkan pemikiran seseorang harus dibuang daripada mentaliti seorang penulis dan sasterawan khususnya penulis dan sasterawan yang berilmu dan beriman.
Ini dapat dikesan pada ayat: Ada sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Di Malaysia, budaya mempelekehkan orang semacam sudah menjadi darah daging dan ia berlaku dalam semua situasi. Setiap penulis dan sasterawan ada kelebihan masing-masing. Samada kecil atau besar pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulis, 'kelompok dalam sastera' tidak akan mematahkan semangat penulis dan sasterawan untuk menghasilkan karya yang bermutu.
Namun begitu, kita tidak mahu kerana kelompok dalam sastera ini, kita akan merasa terkilan apabila permata berharga dalam sastera pulang ke negeri abadi dan kita menyimpan sesalan yang berpanjangan. Dalam sastera, kita mahu memiliki karya agung yang menjadi khazanah sastera bangsa dan negara.