Sajak...
PERMINTAAN KECIL SEORANG BONDA
Aku tidak meminta wang berjuta-juta
untuk kuhimpunkan menjadi bukit harta
tidak sesekali kuimpikan
mengibarkan bendera bangga di puncaknya
cukuplah sekadar sesuap makan dan minum
buat aku sempat melihat suatu hari lagi
bernama esok.
Aku tidak meminta rumah yang raya
pun yang indah laksana istana
kerana kemewahan dunia hanya sementara
apabila sampai waktunya pasti tinggal semua.
Cuma yang aku pinta
adalah secebis cinta
daripada seorang anakanda yang berjaya
di tengah kota
untuk kuisikan di dada tua
buat kuusir segala kesunyian
yang semakin hari semakin pekat terasa
dan menggelinjang ke seluruh jiwa raga
bergetaran di urat nadi yang terasa lelahnya.
Anakanda yang kurindui sentiasa
sukarkah kau penuhi
permintaan kecil seorang bonda
janji penuh nafsumu tatkala remaja
untuk kutiti hingga ke hujung usia
yang amat terkilan aku nantikan
dalam remang senja?
Peter Augustine
Yishun Avenue 9
DEDAUN MENYULAM MALAM
i.
Langkah-langkah terhenti
pada daun maple berserakan
di jalanan
warna menyulam usia
wajah di kaki horizon
larik pelangi.
ii.
Pohon maple
menjulang udara malam
menghirup angin semilir
batu-batan pencakar langit
melampaui kerimbunan
sejarah warisan
dinasti paksi agung.
iii.
Di lembah Pudong
kusaksikan
kehidupan modenasasi disanjung
perkasa warisan dikendong
replika sebuah keunggulan
tamadun zaman
sketsa lestari bangsa.
Ismas Saring
Road 90 & Wuzhen,
Shanghai �China.
RIMBA KEANGKUHAN
I
Dan kini di tengah rimba keangkuhan
aku terasak datang bersama anai-anai
mencari persoalan yang sudah ada jawapan
tentang diri dan bumi
tentang hati dan erti sunyi
dengan gagah aku meredah rimba hidup
perkasa memaut tanah yang lembut
bermegah di bumi yang kian jelas usianya
aku bertarung dengan ular dan lipan
lalu menjadi sahabat kepada segala sengsara.
II
Masihkah belum terlewat
untukku merawat kesombongan dan kebongkakan diri
sedangkan masih belum kutemui penawar hati
atau aku yang berbangga diri
dan engkau yang diam sendiri?
Tidakkah aku terlewat
mencari titik mula cerita ini
sedang akhirnya telah lama berlalu
atau mencari titik akhirnya
ketika cerita ini baru bermula?
III
Aku percaya alam pun berbahasa
ada makna di balik semua petanda
firasat ini rasa rindukah
atau tanda bahaya
aku tak peduli
aku terus berlari.
Lestari hidup sengaja aku alpa
persoalan yang aku cari
mungkin kian tersembunyi.
IV
Aku berkawan dengan sang puaka
menjadi durjana dalam keangkuhan
yang mengheretku ke lembah dosa yang curang
lalu aku membersih jubah dan sejadah
menyembah bumi yang pernah aku pijak
sujud di tanah yang pernah aku lewati.
Mungkin masih belum terlewat
menamatkan cerita kemegahan ini di sini
aku akur dengan bahasa alam
sebelum sangkakala membelah samudera
aku rebah di sisi-Mu.
Ratna Kesuma
Rantau Alam
21 Januari 2008
REPUBLIK KORUPSI
Puas kita bertikam
dengan angin yang mati
hanyalah titik-titik azali.
Pada hari yang semakin tenat
apalah yang ada
cuma cecer-cecer doa
diapungkan ke lengkung dusta.
Vonis hukuman apa
yang kauhentam
dengan sabitan paling laju
mencabik-cabik jantung bangsa mulia.
Di Republik korupsi
batil adalah kebenaran
dan kebenaran adalah boneka mainan.
Marilah kita bina wilayah palsu
dengan kondominium janji
supaya nanti tanpa tangga dan lif
kita bisa untuk sama-sama
bergantungan di tali-tali.
Nanti - di sana
kita bisa sama-sama terjun
ke lurah paling zalim.
NIMOIZ TY
UTM, Skudai
MENCARI SYURGA SEORANG IBU
Andainya dapat kuungkapkan
rimbunan bahasa kesyukuran
akan aku persembahkan seluruh taat setia
kerana betapa dari berjuta benih
aku telah dipilih-Nya
menuai tangkai hayat
di rimba rahim seorang ibu.
Andainya dapat kusimpul
aura bahasa pengorbanan
akan aku perhambakan seluruh kudrat
kerana betapa dari degup nadi persenyawaan
aku telah dilimpahi-Nya segala keberkatan
pada takhta hati seorang ibu
meletakkan aku di daerah hijau kehidupan.
Andainya dapat kutenun
fajar musim yang berlalu
akan aku pohonkan takzim
flora bahasa keampunan
kerana walau seluruh perkebunan nurani
mengalir zikrullah dan mujahadah
namun lazatnya syurga
hanya pada ladang bakti
untuk seorang ibu.
ABD RAHIM OMAR
Angkatan Sasterawan Nasional Kedah.