Mingguan Malaysia
Penaja
29.9.09
BAH@BANJIR (Puisi iDAN di Utusan Malaysia)
Mingguan Malaysia
MILIK SIAPA
sering melata
cinta Dia
kekal abadi.
Di mana hati mahu dibawa
kalau tak siapa sudi menyapa
di mana rasa mahu diucapkan
kalau tak siapa sudi mendengarnya
namun Dia Nan Esa sentiasa ada
makin rapat jika kita mahu merapati
semakin akrab jika memang kita insaf diri.
Seyogia itu sejak nafas ini lepas bebas
kita asyik terlupa Nur nan menerangi kita.
Nadi masa bergerak dalam kelukaan diri
hinggalah kita terperangkap ke jalan mati.
Kita bagaikan menghulur benang cinta di carikan usia.
Tak siapa kenal cinta kita
tak siapa akur impian kita
tak siapa pasrah harapan kita
kecuali Dia kembali ke diri murni.
Cinta ini milik siapa?.
12:07 PM, September 28, 2009
Puisi ini teruntuk YangManis
26.9.09
LUKA (Puisi iDAN)
Luka itu di mana mana
hinggakan terkadang
salam itu jadi amat hambar
damai itu jadi amat sengsara.
Parut itu berbekam
hingga bila-bila
payah ditafsirkan
payah dilukiskan
payah dinyatakan
payah dimaafkan.
cuai siapa angkara siapa
kenapa mesti kita
dilemparkan derita
seyogia percikan perang dunia
perang nafsu-nafsi dalam diri.
iDANRADZi
Jenaris Kajang
Sabtu, September 26, 2009
25.9.09
HATI & PERASAAN
Salah itu apakah sengaja atau terleka
Salah itu apakah dendam atau kepuraan
Maka kita sering amat asyik bermain api
asyik merampas yang bukan hak
asyik tak cukup segala rahmat
asyik menuding & bersangka buruk
asyik melupai asal kejadian
asyik berbangga dengan keturunan
Maka kita sering amat asyik bermain api
(Kali berkali melakukan kesilapan sama)
Seyogia kita juga sering salah menggunakan hati & perasan.
Hingga hilang hati perut, kalut & tanpa kenal lagi apakah namanya Mengenal Untung.
Sesama kita semakin berjarak.
Seolah lemas & resah.
Menangani musuh dalam selimut
jiwa raga semakin gurur.
iDANRADZi
Jenaris Kajang.
21.9.09
Perangkap Bait Puisi (Puisi iDAN)
Bait ini sesungguhnya terus berbisik
dalam diri bagaikan meresapi asyik
di aliran dedarah waktu yang kelabu
lagi badan ini sakit lagi bait ini ranggit
lagi jiwa ini resah lagi bait ini pasrah.
Tak kan kering alir bahasa mengalir
tak kan putus untaian kata bertaut.
Ada bait yang terlepas bebas
ada bait yang dapat ku rebas
ada bait tirus dibawa arus
ada bait lekat diselat deras.
Aku kian terkepong di rimba rasa
leka mengutip kumtum-kumtum setia
kekasih yang hilang di celah bayang
aku semakin lugu berlagukan puisi sendu.
(Terkesima dengan rangkap perangkap puisi
melayari kata ke makam pendita tanpa nama)
iDANRADZi
Jenaris Kajang
Puisi ini teruntuk Sahabatku Abuyon
16.9.09
TANGISAN DUNIA KEPADA LELAKI PENGUBAT LUKA dll
Hari ini dunia melihatmu
dengan tangisan dan terharu
selepas bertahun-tahun menanti
seorang lelaki yang perkasa jiwa
memeluk anak-anak Afrika
mencium anak-anak derita
Iraq dan Palestin
yang tidak berdosa.
Doa dunia padamu, Obama
usah membina lagi sejarah
bagaimana menguasai keganasan
tetapi binalah empayar dirimu
bagaimana memanjai wajah sayu
mereka yang sengsara derita
kaubebaskan burung kemanusiaan
menginjak bumi Amerikamu
yang lama mencakar kedamaian
benua-benua indah.
Obama
kauubatilah maruah bumimu yang hancur
bahawa warna kulit
bukan penjara pemisah
terimalah tangisan dunia padamu
mendengar suara-suara harap
lesu dan daif
dalam kasih sayangmu
agar kau menjadi lelaki pengubat luka
melakar wajah jagat
berdaulat di pangkuan rakyat.
IHSAN NOORZALI
Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.
SELENDANG PAGI ii
1.
Bangunlah dari ranjang lena panjang
yang penuh jutaan angan mimpi
lalu segeralah membasahi diri
sambut selendang pagi dengan tawakal
rahmat dan berkat daripada Pencipta
dalam pengabdian seorang abid.
2.
Sukar amatkah seorang kita
untuk bangun pada dingin pagi
hindari geletek tidur lena
pada dada waktu paling singkat
sebelum suria menjengok diri
campakkan cebisan salam benci
pada para warga yang alpa
menyirat selendang pagi yang cerlang?
3.Wahai yang empunya diri
sedarlah dalam iman
selendang pagi akan pergi
bersama ngilu angin kesal
jika kita tidak menghadirkan
untuk menjahit ropol-ropol yang koyak
pada musim asin atau manis
sebuah monokrom hayat!
RIA ASMIRA
Pinggiran TBNP, Ipoh
21 Oktober 2008.
PERJALANAN DARI SEBUAH KANCIL
Perjalanan dari sebuah kancil
yang bergerak dan meluncur
bersimpang-siur
ayam, itik, kijang, rimau, gajah
memburu dan diburu waktu
mengulang saujana perjalanan
dalam sebuah kancil
destinasi semakin jauh
walau terasa sama laju
menjejak setiap lorong
di rimba konkrit yang kelabu
dibalik topeng kemanusiaan
berasap oleh kapitalis jalang.
Kerdil berlari di tengah medan
ada gajah tidak kenal isyarat
ada rimau ganas menciluk
ada kijang tak henti menyibuk
ada ayam melintas terbang
ada itik terhegeh-hegeh merewang
tidak sedar diburu dan memburu
terlontar atau terpenyek
sama sahaja status
apabila tersadai
sebagai mangsa keadaan
pada kemelut kitar semula peradaban
korban yang tidak ditangisi
sekadar mati katak.
Biarkan sahaja persaingan
dalam sebuah perlumbaan
di lebuh raya kehidupan
mengganas mencekik emosi
selagi kancil bukan kehinaan
imej dari kebendaan
walau sekadar penonton
dan tertinggal di belakang
sebagai penumpang yang asyik
memintas perjalanan turun naik
warna-warna dunia tanpa sempadan
berebut menuju ke satu noktah!
FUDZAIL
Dubai, UAE
CERITA BELANTARA 1
Belantara terbakar lagi
tatkala pepohon kebenaran
rebah menyembah kepalsuan
akar-akar ketulusan
terbongkah dari bumi keaiban.
Gajah-gajah berderum
memecah keheningan
belantara
najisnya berserakan
dijilat kerdil pelanduk.
Mengangkat belalai kuasa
gading keakuan mencengkam
menusuk keangkuhan.
Bertempur gajah
mati pelanduk tanpa pembelaan.
Maruah warga belantara terbakar
lagi.
ZULKIFLI MOHD TOP
SBPI Gombak
Puisi iDAN Mata di Berita Harian.
Mata itu tumbuh di dasar hati
lalu dinamakan mata hati
pemerhati yang tajam
mengarah pesan yang baik
penentu tindak yang cerdik
mata hati yang celik.
Mata itu muncul di arus niaga
lalu dinamakan mata duitan
pemodal yang tamak
meladeni laba pelanggan
lintah darat yang rawan
mata duitan yang gerladangan
Mata itu terbit di medan iman
lalu dinamakan mata batin
pengabadi yang setia
memayungi takwa jiwawi
panduan sukma yang suci
mata batin yang sakti.
Mata: melihat segalanya.
iDANRADZi
Jenaris, Kajang
Posted on 7.15.2009 at 1:05 PM
12.9.09
Sajak... BEGITU dll
Sajak...
BEGITU
Begitu tekun
sabar bernaung di rumah tabah
ia menyemaikan benih
di kebun bangsa
di dusun nusa
agar tumbuh nanti
pepohon hidup yang rendang
memberikan teduh bahagia
pepohon hidup yang subur
meranumkan buah nikmat
waktu lapar
meranumkan buah berkat
waktu sukar.
Begitu iltizam
gigih memperkukuh buana azam
ia menaburkan usaha budi
saujana luas terbentang
sawah ladang
membekalkan padi iman
membekalkan buah kemahiran
buat anak-anak watan.
Tekun sabar
tabah iltizam, ia
guruku yang cemerlang
guruku yang terbilang
di kota pedalaman
di desa pembangunan
Mencemerlang wangikan buana anak-anak warisan
Chai Loon Guan,
PKG Bota, Bota Kanan.
SANG PENARI II
Tika lagu ini dimainkan
melagukan rentak; tersenyum manis
hipokrit semata
menutup angin ammarah.
Jari-jemari mengalun lembut
menyusun lenggok-lenggok tarian
tarian ditari penuh berambi
mengatur kecekapan diri walau dihambat kepiluan.
Begitulah langkah sang penari
tiada mengadun emosi
saat lagu didendangkan.
Nur Asilah Jamil,
SMK Sultan Ismail, Kemaman,
Terengganu.
BEBURUNG SENJA
Ke mana beburung senja
berterbangan bebas
melewati mentari bersaga.
Beburung senja
usah tergoda
pada purnama palsu
usah terbuai
pada bintang-bintang kepuraan.
Beburung senja
pulanglah ke sarangnya
sebelum malam menjamah segalanya.
Yusdi Md Yusoff
SMK Seri Perak,
Parit Buntar.
RUMPUN FAMILI, AKAR REMAJA
i
Di rumpun rebung
miang melapis buluh
lentur remaja
tanggal kelubung bisa
memulusi rohani.
ii
Rumpun lembayung
melawan arus sungai
akar famili
serapkan kasih-sayang
menahan pancaroba.
Aliff Mustakim
Pulau Pinang KEMATIAN
Pandanganku gelap gelita
hatiku tidak berkata
otakku tertanya-tanya
apa yang terjadi pada jiwa yang lara
jiwaku melayang di awang-awangan
melayang ke langit ketujuh tanpa sempadan
sehinggalah tiba hari perbicaraan
menyingkap hasil usaha dan amalan
bertawakallah kepada Ilahi
agar aku ditempatkan bersama orang yang dikasihi.
MERKIA
3 Ogos 2009
BILAKAH AKUKAN SAMPAI
Bilakah akukan sampai di padang berasa ketenangan
membisukan pencarian ini
sudah sekian musim cerita duka bertiup mengirimkan sejuta tikam
ke jantung; segumpal kemiskinan bersuara
memperjorok corak nasib di langit yang memberi isyarat hujan
resah membuncah di kolam yang tak menemukan ke mana jalan keluar!
Oh! siapakah yang ingin dan menyebut-nyebut nama hidup begini
tidak ada sama sekali, melainkan semuanya pada berlari
ke hujung bukit terhindar.
Ketika membaca surat-surat-Mu yang menawan
yang tampil selalu muda dan bertenaga
(ampunkanlah aku, Tuhan
kerana lama sudah kutinggalkan)
tiba-tiba angin berhembus lembut sekali
seribu ketenangan paling dalam tak terkata
saling berebut-rebut mengisi ranjang di hati.
MOHD ADID AB RAHMAN
SMK Selandar, Melaka
SI BURUNG BERKUMANDANG DI RANGGAS TINGGI
Baharulah boleh kaupandang
si burung nyaring berkumandang
bertengger di senja terang
ranggas pepohonan tinggi.
Leo AWS
Pustaka Dewan Puisi
ISTERI
Tanpa dompet tanpa wang
bukan sayang bukan malang
seorang isteri bukan kepalang
tanpa wang tanpa walang
ragu ragam bimbang
segala terasa sempit
sakit
perit.
Tanpa sayang tanpa wang
bukan
seorang isteri segala-galanya
harapan
bukan kepalang!
Marzuki Ali
Cendering
MENAFSIR DIRI
Jika diri
mampu keluar dari
sarung peribadi
dengarkan
mersik-jelik
suara sendiri.
Jika kita
mampu keluarkan mata
yang terlekat pada muka
lihatlah
senyum-masam
ekspresi duka.
Sayangnya,
kita enggan
menafsir diri
daripada pandangan
peribadi.
Huzaifah Zulfakar
Seremban Parade
10.9.09
WAHYU SUCI (Puisi iDAN)
-
Ramai pintar membaca kalam-Nya
namun tidak semua baitnya dihalusi
berkurun ianya menyuluhi hati
namun nur-Nya bagaikan lesi
& masih leka dengan nafsu nafsi.
Wahyu itu kekuatan Nabi namun kenapa
sering menjadi perbalahan insani
apakah jiwa tidak dapat menjiwainya
apakah kalbu terbiasa amat dikaburi
apakah impian asyik tidak kesampaian
malahan sampai sanggup mengatakan
"Wahyu itu silap diturunkan kepada Muhammad SWT
Saidina Ali RA lebih utama & perlu dimuliakan!"
- Yang lebih parah di tanah airku ada yang
akur wahyu turun kepada Rasul Melayu.
Jenaris Kajang
September 10, 2009 10:41 AM
- puisi ini teruntuk sahabatku Abuyon
8.9.09
NUR-NYA
anak nan rawan bikin jiwa gusar
Melentur buluh dari rebungnya
namun setelah menjadi buluh
ribut dunia ada ketika mematah
& meranapkan keliatannya
Jati diri sebenarnya kena sentiasa
dipupuk keimanan & diurus amalan
Taubat akur diri doa rahmat munajat
biarlah basah lenjum sinar nur-Nya.
iDANRADZi
Jenaris Kajang
September 8, 2009
5.9.09
Sajak LIDAH BANGSA dll
Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.
Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.
A AZIZ DERAMAN
Kuala Lumpur
AKU INGIN BERBEKA-BEKA DENGAN-MU
Basah aku
dalam sumur kasih-Mu.
Berpeluh aku
dalam sahara kekuasaan-Mu.
Tersihir aku
dalam samudera wilayah-Mu.
Terlempar aku
dalam cakrawala semesta-Mu.
Aku malu
bermuka-muka dengan-Mu.
Aku rindu
bantal peraduan hidayah-Mu.
Tuhan
Aku ingin berbeka-beka dengan-Mu.
SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Batu Pahat, Johor
RAMADAN GURU KITA
Saban Ramadan menggurui kita
antara aksara ukhrawi
dan abjad duniawi
antara resam haiwani
dan resmi insani.
Ramadan telah menggurui kita
bagaimana mempelajari nikmat
iman itu manis cinta
tapisan ujian dan duga
hamba menyaring hikmah
di celah himpitan mazmumah
dan kekangan mahmudah.
Tanda murid yang cintakan guru
ketika menghadap wajahnya
kita merendah dan hormat
tetapi seriau malu
jauh di belakang matanya.
Ramadan adalah kiai
yang setia menggurui kita
padanya wibawa
padanya pemurah
tidak hormati kemuliaannya
ertinya kita memilih derhaka
tidak pedulikan tawarannya
ertinya kita memilih papa.
ABD RAZAK @ REZEKI OTHMAN
SMKTIP 1, Gua Musang
GERIMIS SUBUH
Jangan lepaskan jemarimu
daripada merindukan takdir
usaplah rerambut usia dengan
manis senyuman
kala jasad itu berada di kaki langit kesal
pada suatu Subuh gerimis itu
yang menyembunyikan rahsia.
Pagi itu semuanya beku
laksana air di kutub hidup
mengatur nafas dengan lidah kelu
hanya bayangan puisi Ramadan
akhir untukku
dengan suara lunak merdu.
Pagi itu semua kelu
akar tidak lagi merindu butiran baja biru
Zamzam di alir ke jalur mulut membisu
untuk dikejut daripada lamunan itu.
Bertanya lagi dengan soalan-soalan
menjawab lagi dengan jawapan jawapan
agar pagi itu tidak sejuk membeku
matahari itu tidak mahu lagi muncul di situ.
Sejenak mengingat
mari melihat dengan fikiran jernih
Kuasa-Mu yang boleh meruntuh
gunung dan bukit
ini insan kerdil yang mudah reput
cuma menjadi gila di dunia fana ini.
MOHAMED TAHIR SHAHDAN
Persiaran Citra Delima, Kluang
KANVAS RAMADAN
Melukis di kanvas Ramadan-Mu
ikhlas putih mewarnai ketenangan
lorekan pelangi keredaan
syahdu memercik di serata
kelembutan atma.
Dan bingkai takwa itu
teguh memenuhi iman.
ZULKIFLI MOHD TOP
SBP Integrasi Gombak
PADAMKAN API ITU (4)
Aduh, panasnya api ini
membakar ke segenap tangkai hati
bagai virus membara kanser
menanti saat perpisahan
antara kita yang bersaudara
satu bangsa nasional
satu bicara bahasa.
Tolong, mari selamatkan diri
usahlah berlengah lagi
membiarkan api ngeri itu
kian marak di hati kita
padamlah dengan air iltizam
siramlah dengan nur iman
biar baranya semua hilang.
Ingat, janganlah bermain lagi
api ini sengketanya berbisa
syaitan tercipta daripadanya
adalah lebih baik kita berbicara
bagaimana membina memacu negara
bagaimana berusaha menjadi kaya
inilah sebenarnya mencari bahagia!
D J DOLASOH
Batu 19, Badak, Bachok
MENCABAR KEPAYAHAN
Krisis ekonomi baru virus baru
muncul pantas tanpa diduga
itu tembok berduri minta disapa
rugi jika tidak berani mencuba
malu jika tidak bereksperimen
mencabar akal mencari yang murni
di alam semesta diatur selesa
sedangkan langit belum runtuh
matahari masih terbit di Timur
murai merbah terus bernyanyi
rambutan pulasan ranum di dusun
setiap yang wujud berfungsi
sederap langkah akan ditanya
kenapa murung berputus asa?
Mari mendaki si Gunung Tahan
gunung yang hendak ditakluki
juga semangat diri sendiri
sama sukarnya menakluki Everest
tiada emas di puncak sana
pulangnya tanpa janji duit seguni
cuma emas lain dimiliki
lulus ujian mencabar kepayahan.
KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur
Berita Harian.
4.9.09
Hutan Persahabatan ~ T. Alias Taib & lain-lain
Hutan Persahabatan ~ T. Alias Taib
Mac 27, 2008Berkawan denganmu
Ialah berkawan dengan ilmu,
Dengan akal yang selalu di raut,
Renung yang selalu dikikir
Dan hujah yang selalu diasah.
Berkawan denganmu
Ialah bermusuh dengan musuhmu,
Dengan si fitnah yang beraja
Pada api perasaan,
Dan si dengki yang bersedia
Membentesmu dari belakang.
Ah, kawan, lupakan mereka.
Mari teruskan perburuan kita
Di hutan persahabatan kekal ini.
Aku tidak memerlukan kata-kata indah
Tetapi tangan ikhlasmu
Apabila terjatuh di perburuan ini.
Aku hanya ingin menemanimu
Di perjalanan yang penuh halangan
Dan perburuan yang menyukarkan.
Aku tidak memerlukan mereka,
Mari teruskan persahabatan kita.
T. Alias Taib
Ingatan Kecil ~ T. Alias Taib
Mac 26, 2008Semak basah sepanjang denai ke sekolah
Menggigil menyambut kami di pagi lecah.
Kami berhenti di selekoh pohon gajus
Memungut embun berjuntai ke dalam botol
( embun, kata guru kami,
baik sebagai pelembut papan batu ).
Kami rukuk pada daun rimbun
Memenuhi botol dengan pesanan guru.
Ibu membekalku dan adikku
Papan batu, kalam batu, dan sebuah buku
Yang ku panggil “buku pasu bunga”.
Ibu juga membekalkan kami
Keledek rebus dan syiling lima sen
( duit ini, berkali-kali pesan ibu,
hanya penguat semangat
pulangkan kembali tengah hari nanti ).
Entah berapa lama ku kelek semangat ibu
Berulang-alik ke sekolah dengan botol embun.
T. Alias Taib
1950-an
Godot ~ T.Alias Taib
September 28, 2007Beckett mencipta debu jemu
dan dilepaskannya mundar-mandir
ke tengah omong yang bertele-tele
ke gelisah yang mulai mengerut
di wajah Vladimir dan Estragon
di bawah pohon kelabu itu
di pinggir jalan kelu itu
Beckett mencipta angin ragu
dan ditiupkannya ke gelisah mereka
sambil menunggu Godot
mereka dikelirukan oleh Pozzo
yang datang bersama Lucky
di bawah pohon bosan itu
di pinggir jalan sepi itu
Beckett mencipta teka-teki
sekitar kehadiran Pozzo dan Lucky
di tangan Pozzo sebuah cemeti
di leher Lucky terjerut tali
sementara di tanganya pula
sebuah kopor yang berat,
stool, bakul dan kot
di tengah jemu, ragu dan keliru
seorang budak lelaki muncul
katanya dia seorang sembala kambing
bekerja untuk Godot
katanya Godot akan tiba esok
bukan senja ini
dia pun hancur dihadam malam
Godot tidak jua muncul keesokannya
jemu menebal dan terganutung di pohon
anging menajam dan meruncing di tengah
percakapan Vladimir dan Estragon
yang berakhir dengan nol
Godot tidak jua muncul
yang muncul ialah Pozzo
tiada siapa yang tiba
tiada siapa yang berlalu
T.Alias Taib
Penggali Kubur ~ T.Alias Taib
Ogos 28, 2007Badai mengangkat mayat, kilat, guntur
dan angin ke sebuah gubuk di pinggir hutan.
jendela tersentak; beberapa bilah kilat
memacak engselnya. atap gementar digegar
guntur. ketukan menderu di daun pintu;
lebih tajam daripada kilat, lebih bergegar
daripada guntur, lebih kencang daripada angin.
“sudah kaubina rumahku?” Tanya mayat sambil
menerjang pintu bagai badai yang menerjang
gubuk tua itu. pintu remuk, palangnya
terpelanting, mayat masuk menyeret badai
mengamuk. “rumahmu? tapi…” kata isteri
penggali kubur yang tinggal sebatang kara.
pelita di sisinya berguling. “suamiku,
penggali kubur itu, baru saja mati dan
baru saja menggali kuburnya.” sambung si
sebatang kara.
dalam gelap, kilat sempat melepaskan tiga
empat bilah cahaya tepat ke wajah pucat
mayat. mayat mengapung di laut ribut.
seperti sehelai selendang putih, ia me-
layang keluar melalui jendela, mencari
tukang rumah
T.Alias Taib
Rat Race (Potret Kuala Lumpur) ~ T.Alias Taib
Ogos 21, 2007Apabila wisel ditiupkan
berjuta tikus bertempiaran
ada yang tergelek dengan perut berburai
ada yang tergolek di tepi sungai
ada yang lapar
ada yang menelan ibunya sendiri
ada yang kenyang
ada yang mati kekenyangan
ada yang putus ekornya
ada yang menyambung ekor yang putus
ada yang memanjat kepala teman
ada yang kepalanya dipanjat
ada yang meraung
ada yang termenung
ada yang mabuk di timbunan beras
ada yang gila di timbunan sampah
ada yang pulang dipeluk kekasih
ada yang hilang jalan pulang
berjuta tikus berkeliaran
menyambut cabaran wisel
T. Alias Taib (1983)
Dewan Masyarakat, Mac 1984
Duniaku ~ Tengku Alias Taib
Ogos 17, 2007Kusimpan duniaku di dalam saku seluar
duniaku menyimpan seluruh perbatasan hidupku
kugolek duniaku melalui pintu hari
duniaku tiba-tiba bertukar
menjadi guli batu yang besar
kalau dipecah guliku
akan nampak peta seribu diri
terbentang sawah terbentang lembah
terbentang sungai menyerupai darah
mengalir di pinggir bukit gelisah
terbentang rimba purba tempat bercinta
segala haiwan segala kehijauan
terbentang juga malam yang hening
yang sekian lama menghilang
dari mataku
jauh di tengah kota debu kering
dan angin keras bergulingan
jauh di tengah kota kehidupan menggelepar
tercekik di dalam
tembok luka
kalau dipecah guliku
akan kelihatan serpihan diri bertaburan
Tengku Alias Taib ( T.Alias Taib)
Pertemuan ~ T. Alias Taib
Julai 13, 2007Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru
Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu
T.Alias Talib
Kuala Terengganu, 1974
Pengemis ~ T. Alias Taib
Jun 19, 2007Dari tubuhnya
merangkak kehidupan
bagai seekor siput
mencari sehelai daun.
Dari peluhnya
terpercik harapan
bagai sekelopak bunga
menanti fajar pagi.
Dari keluhnya
terkumpul debaran
bagai gemuruh jeram
menangisi kabut hutan.
Dalam matanya
berkocak keharuan
bagai perahu tua
kematian angin.
Dalam suaranya
mengalir kesedihan
bagai anak sungai
kehilangan muara.
Dalam dadanya
menetes kesalan
bagai mendung hitam
ketibaan hujan.
Nukilan: T.Alias Taib
3.9.09
KALAM MURNI
sahut bersahut kalam-Mu
mematah redah ranting iman
menjadi saksi rimbun jemaah
akur sepanjang arus zaman.
Ianya adalah panduan insan
penawar hiba di segala rawan
lekat likat jelaga di panjut suruhan
alpa nestapa susut di igau bunian.
Jiwa gurur meratah leka lara
wajah suci imam teguh maknawi
impi malam sakti seribu rahmat
milik mutlak jiwa nan ikhlas.
Inspirasi suci kalam murni
lekatlah di batin manusiawi.
iDANRADZi
Jenaris Kajang
September 3, 2009 11:01 PM
KALAM-MU MILIK SIAPA
bukan bahasaku
aku cuma damai
tika (Ia) dilafazkan
Sejak kecil aku sekadar
diajar membaca
& mengenal tafsiran-Nya
di sekolah diasuh
bahasa penjajah
bangga ilmu duniawi
penuh di dada.
Seyogia milik siapa?.
iDANRADZi
Jenaris Kajang
September 3, 2009 1:18 pagi