Penaja

30.8.09

Puisi Bersama Abuyon

Sapaanku suaranya... Abuyon
iDAN said...

angin tulisan itu terkadang hanya angin
daun rasa tidak pun bergoyang
malahan kita tidak pun nampak ianya berkembang
kaku & pengap

angin tulisan itu terkadang bagaikan ribut
memecah semua batu rasa & resah impian
tetapi sekadar angin berhembus pergi

angin tulisan di alam maya semakin banjir
sampaikan kita tak larat lagi merenanginya
kita makin berkelompok terkadang kita lihat
sesama kita bagaikan ombak yang bertamparan
pecah di pantai pecah di dasar pecah di tengah lautan.

aku masih mencari nilai Nur yang terbit dari dunia penulisan kita...
namun terkadang terasa sifar
alam maya memang lebih bebas & terbuka
namun terkadang ianya amat tersembunyi...

alam media masa arus perdana
kita tahu & pasti makin dibolot oleh penulis mapan & satu kelompok...
memang aku lebih selesa jadi pemblok
biar punya hanya seorang dua membacanya.
abuyon said...

salam Idan,

Memang sahabat penyair
orangnya

Bila ingat waktu dulu-dulu,
dan sekarang - nyata
istiqamahmu

Moga sahabat menulis, terus-terus
biar sampai tembus-tembus

Sajakku Kalam Penyair, yang pertama
untukmu sahabat - masih
ingatkah


Sapaan iDAN

Sebut sahaja Abuyon
masakan petah suara puisi akan terhenti
sebenarnya dalam diri
bagaikan ada unggun api
memarakkan cahaya puisi
untuk berpinar bersama
berkongsi saksi hidup
di bungkah igauan semalam

aku rindu amat menjadi aku dulu
duduk dengan Pyanhabib di senjakala
di padang merbuk melafazkan kata jiwa
yang meresap dengan nada tali gitar
& serak basah ucap setia...mendeklamasikan puisi tanpa tajuknya!

aku rindu amat menjadi aku dulu
berteater bersama Meor Hashim
Sani Sudin & Abg Hisham
melihat detik ambang merdeka
aku perasan Pyanhabid amat rapat dengan Meor
aku sekadar agas-agas kecil
yang hilang dengan cahaya neon semalam
desakan hidup mengetepikan erti akrab
lalu semua rakan dulu tidak lagi menyapa
malahan jauh sekali mengenal aku.

Sendiri:ô↑╕... sepi amat!

Aku nampak bayang Arwah Abg Sabtu
bayangan Zain Yahya semakin hilang
dengan celoteh S Azli...

Lalu benang puisi ini mengikat kita
sampai bila-bila aku akan
hampir denganmu rakan-rakanku
Abuyon, Terima Kasih lantaran memberi respon
setiap tulisanku...

28.8.09

Langkahan

Langkahanku semakin kecil tidak sepanjang lalu
kerikil di jalanan pun bagaikan penghalang
menarik urat menaikkan debar dada
sungguh aku tidak sesegak dulu
jauh sekali kuat melangkah
bagaikan meniti deru
Sagamihara
kelu.

Sementelah telah aku buangkan segala rindu
ke dalam jantung hatimu yang keliru
mana mungkin kita masih leka
mengucapkan kelu janji
dalam tasbih setia
sengsara
makna.

Aku belum sempat pun mengundangmu
lantaran dikau bagaikan sangsi
dengan segala pengertian
berbelah bagi
& sepi.

22.8.09

Sajak... LIDAH DAN HATI dll

LIDAH DAN HATI

Lidah di sebalik hati
faham dan mengerti
tingkah manusiawi
tidak bertutur jujur.

Hati di sebalik lidah
mengalir ibadah
pada kata dan tingkah
terngadah mujahadah.

Tika kata-kata
menjadi panah fitnah
lidah selalu berhelah
meletak alasan.

Tika fitnah
menjadi busung nanah
masyarakat punah
tanpa akal hemah.

Bersatulah lidah
dan hati penuh ibadah
di padang
istiqamah.

AMI MASRA
UKM, Bangi, Selangor

SETERU@TETAMU


Barangkali mereka mahukan seteru durjana
menjadi tetamu paling istimewa
di rumah sejarah merdeka?

Barangkali kad undangan sudah diutuskan
kiriman e-mel sudah disusulkan
jemputan khas ke rumah perpaduan?

Barangkali mereka sudah mengaturkan
majlis sambutan besar-besaran
kepulangan kemarahan?

Barangkali silam noda dan dosa
bertukar menjadi pahala
dek kerana agenda sengaja?

RIDZUAN KAMIS
Sanggar Kayangan, Perlis

PETUALANG


DIA tetamu musim silam
dari tanah besar Assuwa
merentasi samudera masa
dihanyut arus takdir
tersanggat di Tanah Rumbia
kubelai seperti saudara
teman sepanjang usia.

Dia sahabat akrabku
bersama membangun mandala
disapa panas mentari
katanya, "lebih baik begini
bertualang di hujung bumi
dari dibunuh saudara sendiri."

Seabad berbeza tara
terukir arca pesona
serigala, durja barunya
fana makna setia
lidahnya api bernyala
membara unggun sengketa
atas nama merdeka.

Dia tetamu musim lalu
berkubu di rimba hana
mencari kebenaran
atau ghairah kuasa?
Mandala terbakar
aku terluka
dibunuhnya saksama
demi dogma sirenta
dari utara Assuwa
berlindung di sebalik puri purba.

Sedekad penuh larat
episod malang perjuangan
temanku tersesat di rimba anarki
menuruti falsafah pemuda
dari lembah sungai warna
harmoni lemas di laut curiga
merdeka ingin diperkosa.

Lalu kusimpul dosa teman
kulontar jauh di rimba gelora
kubawa teman bertualang
menyusur sungai kesepakatan
untuk sampai ke tebing merdeka.

Hari ini sejarah telah ditulis semula
tapi aku tidak lupa
menilai makna setia
dan sukarnya mentafsir erti merdeka.

PHARO ABDUL HAKIM
20 Mac 2009

SEBUAH LUKISAN KEMEGAHAN


Sebuah lukisan kemegahan
semakin pudar warnanya dalam lipatan,
parut luka dihiris belati curang petualang
dan gambar kelam kenangan
tersimpan dalam kotak hati tidak berkunci,
ada waktunya terusik bayangan kejam

semalam
ketika petualang membakar sejarah wangi
bakti
dengan api khianat yang marak menyala
sambil menghirup darah merah dari luka
terkelar
lalu menyembur hampas duka
ke dada damai yang lesu.

Sebuah lukisan kemegahan
adalah lorek warna gusar
dari percikan darah luka benteng maruah,
menutup gambaran hati budi petualang
yang bijak menutur kata
sewaktu meninggalkan kawan menahan
seksa
dihambat musuh dari semua arah -
Harapkan pagar menjaga padi
belum pun sempat hasil berbudi
kepuk segudang dibawa lari.

Sebuah lukisan kemegahan
adalah corak kemarahan
dari muntah peluru dan ikrar pembela -
Melanggar sumpah jangan diajar
biar melelas tumit mengejar
tak dapat tengkuk, telinga dilelar.

Sebuah lukisan kemegahan

adalah potret keasyikan
dan kelu lidah selepas sengsara.

BAHA WAHAB
Kulai Jaya, Johor.

DI SEBALIK AIR MATA


Teriakan garang meresah
melihat si bapa tidak endah
kapar-kapar tangan
kasar menghempas ke bumi
perhatian untuk disentuh
kelabu langit kian keluh.

Dentuman menggegar sejenak
teriakan sama
terpancar di wajah tirai kaca
segugus tanah hancur berselerak
bom, darah, raungan
punca angkara
malapetaka yang diendah bapa
langitnya cerah
namun buminya resah.

Kaulihat anakku
bumi di seberang sana
sedang jenuh teriakan harapan
kau di sini tangiskan keadilan
carilah kau wahai anakku
segulung ilmu kekuatan
jangan kaukejar nafsumu
ada resah di sebalik air matamu.

Lirih mengesat air mata
si anak kian lembut
esakan penuh keinsafan
dunia kian keras
ketawa tidak lagi berasas
langit malap menghujah
seribu kerakusan.

AMNI JAGAT
Tampoi Johor Bahru Johor

SERUMPUN


Tanah subur
mengubukah takbur
langit Khatulistiwa
hujan lejang
sesekali merimaskan
antara pohon
pohon pelbagai rupa
merendang sembunyi walang
menyusur beradab akar
tebing bertaut kukuh
zikir mawar mewangi seluruh
kehijauan daun
kesamarataan
nikmat buah rasa bersama
kicauan burung kesyukuran
bulan bintang berdoa
alam kemanisan
manisnya berpanjangan
telah tertanam
pohon-pohon akrab
merentasi sempadan curiga
kerana selama berkebun di sini
semua bangga
berpadu tenaga
membara cinta
julang setia
tak ternilai harga

DZULKIFLI DZIN
SK Pak Badol, Bachok

19.8.09

TuTor ooo TuTor (Cerpen iDAN)

||| TuTor ooo TuTor |||

Date: Thu, 04 Apr 2002 21:36:49 +0800
From: iMBAUAN
To: berita@eng.upm.edu.my

Cerpen Rekaan Tiada Kena Mengena Yang HidupAtau Yang Telah Tiada.


Surat Tawaran Jawatan Tutor.

2. (c) Sebagai Tutor, tuan/puan dikehendaki mengikuti kursus pengajian yang diluluskan oleh Universiti bagi memperoleh ijazah Ph.D di sebuah universiti di dalam atau di luar negara sebagaimana yang diluluskan oleh Universiti ini. Aku amat terkilan, syarat-syarat yang selalu berubah telah memerangkap aku dalam suasana serba salah. Kalau dulu bilamana seorang Tutor setelah selesai penyiapkan Master secara automatik layak dipertimbangkan untuk menjadi seorang pensyarah.

Sekitar tahun 2001 ada kalangan sahabatku telahpun menjadi pensyarah tanpa memiliki Ph.D.Mereka amat bernasib baik!!!! Minat dan cita-citaku untuk mendidik anak bangsa kekinian amatlah tercabar lantaran aku dipaksa tunduk dengan arahan Dekanku. Aku kena menyiapkan Ph.D di luar negara, itupun bergantung pada pemilihan Universiti yang Dekanku mahukan. Biarpun dalam syarat penerimaan jawatan Tutor 2 (c) tidak memaksa aku ke luar negara.

Fakultiku nampaknya terlalu ghairah inginkan Fakulti Kejut tersohor seantero dunia. Rata-rata mahukan semua pensyarah di fakulti ini bergelar Dr. dari universiti ternama dunia. Aku begitu sedih melihat ibu ayahku yang begitu banyak berkorban untuk aku sejak aku dibangku sekolah rendah. Sepatutnya bilamana aku telah memiliki master sebegini keluarga aku akan berbangga memiliki seorang anak bergelar pensyarah. Aku terlalu ingin membantu adik-adikku belajar, tapi nampaknya harapanku tidak dapat ku capai sepenuhnya lantaran dalam usiaku yang ke25 tahun ini memerlukan aku menabung untuk berumahtangga. Aku baru saja membuat pinjaman di sebuah bank tempatan lantaran gajiku yang segini telah memaksa aku terus dibebani hutang berhutang. Hutangku semasa aku membuat ijazah dulupun masih belum langsai berbayar.

Jika aku lambat berumahtangga, aku risau anak-anakku nanti tiada siapa akan menguruskan majlis nikah kawin mereka. Bayangkan jika umurku 30an baru bernikah, dapat pula anak lelaki semuanya. Jika mereka mengikut jejakku bernikah dalam usia30an.... jatuhnya aku akan menerima menantu pada umur lewat 60an.. emm!.. berdayakah aku menyambut tetamu dalam umur sedemikian.

Begitu juga kalangan rakan tutor perempuan, kasian mereka ada yang telah pergi menyiapkan Ph.D di luar negara yang masih tiada jodoh. Rata-rata usia mereka 23 jika belum buat master, malahan yang telah ada master 25 lebih usia mereka......23+4=27. Usia 27 sudah dikira andartu, 25+3 emmm... lagilah usia 28 sepatuhnya telahpun menimang cahayamata. Kasihan mereka sudahlah terpaksa memerah otak untuk belajar dengan imbuhan Tutor; jika ganjaran mereka bergajikan pensyarah, pasti menjangkau ke seribu ringgit bedanya. Siapakah nanti yang sudi menjadi jodoh mereka, masihkah setia kekasih mereka menanti mereka pulang jika mereka telah bercinta sebelum belajar ke luar negara??. 3 atau 4 tahun itu amat tercabar cinta mereka. Apakah mereka nanti terima seadanya tanpa mengira siapa yang sudi meminang!!! siapapun okey asalkan jangan terusan menjadi andartu. Sanggupkah ibu dan ayah mereka yang telah perabih duit dipandang serong oleh masyarakat lantaran memiliki andartu.

Merantau di negara orang dengan kejutan budaya dan perbagai rintangan. Sememangnya boleh hidup dan cukup makan, tapi risikonya bukan sedikit. Apatah lagi jika mengenangkan dasar kerajaanku kini, yang lebih ke arah pinjaman bukan lagi biasiswa seperti pensyarah dulu-dulu. Bermewah seperti dulu jauh sekali!!!.

Aku masih ingat dulu-dulu, pensyarah di fakultiku ramai membawa kereta mewah pulang ke negara sendiri telah penat menimba ilmu. Nampaknya impianku jauh sekali tersasarnya. Yang pasti akan terusan dibebani hutang piutang biarpun aku akan menjadi seorang yang berilmu.

Aku berdoa agar usia ibu ayahku panjang, ayah tahun hadapan dah nak pencen, ibu memang telah lama berhenti kerja lantaran faktor tua.

Sepatutnya fakulti tidak mendesak sangat, jika kembali seperti dulu dengan menawarkan jawatan pensyarah sebelum aku membuat Ph.D ku rasanya itu lebih baik. Untuk apalah kita mendera anak bangsa sendiri sampai membelakangkan orang tua-tua. Rasanya mereka telah bergadai bergolok dan saat umur mereka beginilah mereka amat memerlukan bantuanku. Terutama adik-adikku yang kian ramai melangkah ke universiti. Lagipun masalah kekurangan pensyarah di fakulti amat meruncing.

Apalah gunanya kita terlalu ghairah mengambil pensyarah luar, sedangkan penduduk tempatan ramai yang berwibawa. Lagipun bilamana aku amati, kalangan pensyarah yang ada di fakulti ini pun ada yang telah mendapat. Prof. biarpun tanpa Ph.D, tapi mereka dikagumi dunia juga. Apakah fakulti aku ini akan membunuh semangat aku untuk mendidik anak bangsaku sendiri.

Atau!!! apakah aku jugak akan mengikut jejak sebahagian dari rakan tutorku, yang telah hilang ghaib begitu sahaja!!! lantaran terlalu kecewa dengan pra syarat yang tidak tetap, asyik berubah-ubah... atau seperti rakanku yang belumpun sampai 3 bulan di luar negara untuk membuat Ph.D tiba-tiba kembali ke Malaysia.

Lagi aku simpati pada pensyarah yang dulunya dikenakan syarat 3 tahun menjawat jawatan baru boleh membuat Ph.D ataupun bilamana telah tetap jawatan pensyarah. Hinggakan ada yang bersungguh-sungguh untuk membuat Ph.D terpaksa meletakkan jawatan pensyarah... memohon tutor... agar tidak terikat dengan syarat pelik oleh fakulti@universiti. Lagilah sedih bilamana lagi sebulan dua memenuhi syarat untuk tetap jawatan... tiba dipaksa pulak buatPh.D baru boleh tetap taraf jawatan pensyarahnya!!!

Rasanya terlalu banyak opsyen yang boleh kita rangka untuk memudahkan kalangan tutor atau pensyarah membuat Ph.D, memang ada kalangan kita yang begitu ghairah ingin cepat mendapat Ph.D berilah mereka peluang dan bukan sedikit yang ada masalah untuk mereka terpaksa menangguhkannya Ph.D janganlah kita paksa!!!.

Pun, bagaimana pula pensyarah yang telah hampir 3 tahun dalam taraf kontrak!!! terpaksa juga buat Ph.D, risiko mereka amat tinggi, jika terjadi sesuatu yang tidak dirancangkan fikirkan betapa hutang pinjaman belajar mereka apakah jadinya taraf kontrak mereka??

Aku masih terfikir-fikir, lagi ku fikir lagi bungkam dan buntu....di dinding fikiranku entah berapa banyak tanda tanya!!!. Yang pasti aku kini telah kehilangan ramai rakan yang memang berwibawa. Ada kalangan mereka telah menjadi pensyarah tetap lagi stabil di universiti lain. Aku pulak!!! tidak dapat tidak terpaksa memerah otak lagi!!! meninggalkan negara tercinta ini lagi!!!

Kasihan melihat mata redup adik-adikku!! apatahlagi ibu dan ayahku!!!.

17.8.09

Semangat dalam gelap

KETIKA masih di peringkat sekolah rendah, aku kerap membayangkan sesuatu yang aneh terjadi di sekolah. Imaginasi ini datang daripada novel detektif yang aku baca, filem detektif yang pernah aku tengok, nilai-nilai yang terkandung dalam buku, permainan yang pernah aku main bersama adik, menyebabkan aku percaya bahawa selain apa yang biasa didapati di sekolah seperti guru tingkatan, meja kerusi, pekerja sekolah, kawan-kawan aku, papan hitam, guru besar, di suatu sudut sekolah, terdapat benda-benda yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar aku. 'Mereka' yang terlepas dari dunia imaginasi aku kerap menghilangkan diri selepas melakukan kejahatan di suatu sudut sekolah. Daya sensitiviti yang lembap menyebabkan aku lambat mengesan perkara ini dan hanya mengetahui tahap keseriusannya pada saat-saat yang terkemudian.

Kapur yang lesap dari bilik darjah, pensel mekanikal murid yang hilang secara tiba-tiba, misteri-misteri seperti ini berkait rapat dengan 'mereka'.

Sedia maklum akan bahaya yang wujud di sekolah, aku terpaksa bersikap skeptis. Kawasan belakang koperasi sekolah yang penuh dengan puntung rokok akan dianggap sebagai tempat persembunyian 'mereka'. Dan di pertengahan aktiviti kokurikulum, aku akan mengunjungi tempat tersebut untuk mengumpulkan sebarang maklumat terbaru. Atau menunggu sasaran terjerat dalam perangkap yang dipasang.

Ketika bermain bola sepak di padang pada sebelah petang, aku mengesyaki ada raksasa sedang menghampiri sekolah disebabkan bunyi hentakan dari jauh dan gegaran yang terasa pada bumi. Tiba-tiba aku berasa gerun. Tetapi pada usia yang lebih lewat, tahu juga semua itu diakibatkan oleh kerja-kerja memantakkan cerucuk.

Sebelum pembelajaran di darjah enam tiba ke penghujungnya, kawan menguji aku, 'Tahu tak kamu bagaimana kita tiba ke dunia ini?', dia seperti mengetahui rahsia besar yang menggemparkan. Pada saat itu, dunia imaginasi aku tiba-tiba menyusut. Aku menyesal kerana asyik melayani dunia imaginasi aku dan mengabaikan persoalan asas sebegitu. Aku mula menggeruni fakta bahawa orang dewasa melakukan perkara sebegitu di sebalik tabir kesopanan dan kesusilaan mereka.

Dunia imaginasi terus bermaharajalela selepas aku memasuki peringkat menengah. Ketika ini, aku boleh membayangkan kejadian yang berlaku dalam sekolah dan di luar sekolah pada masa yang sama. Misalnya di pertengahan pengajaran guru yang membosankan, fungsi imaginasi akan diaktifkan secara automatik, dan penglihatan yang menghala ke luar tingkap (kerap kalinya fokus jatuh pada delta yang menghijau di seberang sungai) akan cepat menangkap bayang-bayang imaginatif - biasanya alam dinosaur (babak-babak daripada dokumentari dinosaur) - yang wujud tidak jauh dari sekolah.

Pada masa yang sama, aku sedia maklum akan kes pembunuhan yang telah terjadi dalam kawasan sekolah dan sedar betapa perlunya diri membongkar fenomena ini. Berbeza dengan peringkat rendah, unsur keganasan telah mewarnai dunia imaginasi aku. Atas sebab itu, aku kerap menyamar sebagai detektif, mencatat sesuatu dan mendapatkan keterangan daripada saksi dalam banyak tempat kejadian yang berbeza - babak ajukan: mengeluarkan buku catatan, mencatatkan segala bahan ajaran yang tertulis pada papan hitam.

terhibur

Meskipun kelajuan pengajaran guru begitu ketara sekali, tetapi aku masih boleh terhibur dalam dunia ciptaan aku: Raksasa di seberang sungai semakin menghampiri sekolah, pembunuh yang identitinya belum terbongkar mencari sasaran seterusnya, watak aku sebagai detektif, dunia imaginasi yang penuh dengan kejadian pelik - kegilaan yang semakin menjadi-jadi dalam otak aku.

Ada kalanya aku meragui tujuan aku menghadirkan diri di sekolah. Aku bertungkus-lumus membentuk imej 'budak baik' pada kaca mata orang tua aku, dan 'pelajar cemerlang' pada tanggapan guru, tetapi sebaliknya fikiran meronta-ronta hendak melepaskan diri daripada setiap proses pengajaran dalam kelas. Pada kala segala-galanya berjalan seperti yang dimahukan, aku percaya diri merupakan pelajar yang dapat membolot kedudukan teratas dalam kelas tanpa usaha yang sungguh-sungguh. Aku percaya diri memiliki kebolehan istimewa.

Tetapi kemudiannya menyedari kebolehan sebegini berpunca daripada kegusaran. Untuk melepaskan diri daripada kegusaran yang terbawa-bawa dari dunia realiti, aku menyembunyikan diri dalam dunia imaginasi selama yang mahu tanpa rasa perlu untuk kembali memikul tanggungjawab pada hari-hari mendatang.

Selepas menamatkan pengajian di universiti, aku didatangi suatu perasaan pelik. Jati diri aku terkurung pada masa-masa lampau. Kematangan dan keghairahan aku tidak berjalan seiring dengan peredaran masa. Perkembangan dua ciri ini dibekukan pada detik lampau yang sudah luput. Dan waktu-waktu mendatang hanya akan melebarkan jurang antara aku dan persekitaran, menyebabkan diri semakin sengsara diseksa kejanggalan sedemikian.

Dalam dunia realiti, aku mengharungi proses temu duga yang berterusan untuk memperoleh pekerjaan; aku berusaha keras dalam setiap temu duga (aku membenci penonjolan diri yang hipokrit), semata-mata untuk melarikan diri daripada pekerjaan setelah berjaya mendapat tawaran (aku menggeruni pandangan masyarakat, menggeruni cara hidup berkelompok; aku mengalami kekurangan dari segi mental, justeru terpaksa memilih kehidupan yang berlainan daripada orang kebanyakan). Ini mendatangkan kekecewaan yang amat sangat kepada ibu aku.

Dalam tubuh aku, seolah-olah wujud satu jasad pendua. Aku tidak dapat mengesan kedudukan sebenarnya dalam badan aku. Tetapi tatkala diri pasrah didatangi kesakitan kepala yang merekah serta gejala mental yang menyeksa, sungguh-sungguh dapat aku merasai kewujudan jasad pendua yang keparat itu. Seksaan'nya' terhadap aku tidak pernah lekang pada bila-bila masa - ketika membualkan topik yang berbeza untuk orang yang berasingan dalam banyak situasi yang berlainan; membeli buku dan majalah di kedai buku dalam plaza; mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di kedai yang menjadi kunjungan aku sejak satu dekad yang lalu; melepak di pekan yang penuh dengan rombongan pejalan kaki yang tergesa-gesa dan deretan kereta yang berhimpit-himpit di jalanan; menyaksikan rancangan televisyen; bergaduh dengan adik demi perkara yang remeh-temeh; dirungut ibu kerana tabiat aku yang suka berjaga hingga lewat malam; berkumpul di restoran mewah bersama kawan, menjamah hidangan mewah, keghairahan semua orang untuk berborak tentang asam garam yang jarang sekali dapat dikaitkan dengan kehidupan aku; bertelingkah dengan ibu demi masa depan aku. Semua ini memperlihatkan kedegilan, kebodohan dan keangkuhan diri. Manifestasi gangguan mental hanya memburukkan keadaan.

Jasad

Di malam-malam yang berbeza, jasad pendua dalam tubuh tidak henti-henti muncul dalam mimpi aku.

"Nama aku Hei ." 'Dia' memperkenalkan dirinya.

Melewati usia dua puluh, kebolehan imaginasi aku semakin sirna. Sebetulnya Hei merupakan entiti yang berjaya melarikan diri sebelum dunia imaginasi aku lenyap sepenuhnya. 'Ia' merupakan entiti keparat yang terselamat daripada bencana sedemikian dan merasuk aku setelah dunia imaginatif kiamat sepenuhnya. Ini merupakan hipotesis aku.

Tetapi jauh di sudut hati, aku lebih memahami nasib sendiri: kehidupan selepas peringkat menengah, kesukaran dalam hidup, suka duka aku, semua yang aku lalui semata-mata untuk membuahkan akibat pada hari ini, seolah-olah jodoh antara aku dan Hei sudah ditakdirkan, kami terpaksa hidup sebagai satu kesatuan pada saat yang ditentukan ini.

Untuk itu, aku menjadi kutu embun, kerap kali menunggang basikal merayau-rayau di kejiranan setelah daerah ini ditelan kegelapan malam, dengan harapan untuk menemukan sesuatu, tetapi tabiat ini lebih kepada kecenderungan untuk menyembunyikan diri dalam kegelapan; aku minum kopi, mengharapkan kesan kafeina untuk menyekat gejala gangguan mental; aku mula berjoging, mengharapkan perembesan serotonin dalam badan untuk menangkis gejala Hei; ketika merayau dalam gelap dan melangkaui pasar awam yang lengang, aku akan mara ke arah kawasan anjing liar di lorong belakang bagi menguji kejantanan diri; aku berbuat amal dengan memberi sedekah kepada pengemis, tetapi keadaan pahit getir peminta sedekah yang kecacatan anggota di pasar malam kerap mendatangkan komplikasi kepada aku; aku bercadang untuk tidak memiliki kereta, atas sangkaan bahawa resolusi sedemikian dapat mengurangkan kadar pencemaran udara sebanyak 0.000...1 peratus, sekali gus memakbulkan impian aku untuk menjadi penunggang selama-lamanya, umpama hero penunggang Baja Hitam yang menjadi pujaan aku sejak dari zaman kanak-kanak; aku menyaksikan opera Cina, walaupun tidak faham sangat dengan apa yang dipertuturkan di atas pentas, tetapi terpesona dengan solekan para pelakon yang nampak garang.

Perhimpunan

Banyak kali menjelang malam, aku sengaja menghindarkan perhimpunan keluarga dengan melepak di luar. Merayau-rayau di malam hari yang semakin bertambah kegelapannya, dengan harapan menemukan bayangan yang menghantui daerah ini sama seperti aku. Aku meminggirkan keharmonian perhimpunan keluarga dan memilih untuk menemukan kebahagiaan yang kabur dalam gelap, tetapi tabiat ini lebih kepada usaha untuk menyingkirkan kegelisahan dan kekesalan dalam diri. Aku meminggirkan keseronokan melancong dan berkumpul bersama kawan, dan memilih untuk menjalani kehidupan yang bosan. Aku memilih untuk merayau dalam gelap kerana aku pernah melalui saat-saat gembira sebagai kutu rayau malam. Setiap kali daerah ini dilitupi kegelapan, aku akan dapat merasai sesuatu - kepercayaan sewaktu kecil, memori yang samar, jejak dari zaman kanak-kanak - mula melimpahi tempat-tempat tertentu. Sekiranya aku dapat meloloskan diri daripada kongkongan keluarga dan merayau di luar bagi memburu bayangan sedemikian dengan harapan 'mereka' muncul semula dalam mimpi aku, keamanan akan terasa dalam diri seolah-olah kekosongan dan kekesalan diri telah dikambus dengan kemurnian diri yang lepas.

Umpamanya menyelamatkan anak kucing yang terperangkap dalam parit di tepi kebun pokok kelapa sewaktu kecil, Nilai Murni Pertama: Jujur, Nilai Murni Kedua: Kebersihan (Jangan buang sampah di merata tempat!), memberi sedekah kepada pengemis, pergaduhan aku dengan teman sepermainan; pada ketika daya imaginasi semakin menyusut dan diri semakin sesat ditenggelami arus dunia realiti, aku bermati-mati mempercayai memori lapuk yang menumpang dalam gelap umpama jembalang ini mampu mendatangkan kemandirian pada saat-saat diri dilanda kesengsaraan yang amat sangat.

Ada kalanya aku melangkah keluar pada waktu tidur.

"Dah pukul berapa ni, masih nak keluar?" Ibu akan bersungut.

Aku tergila-gilakan tabiat merayau dalam gelap. Sewaktu para penghuni dalam daerah ini nyenyak dibuai mimpi, aku masih teruja menelusuri lorong belakang kediaman, lerengan di tepi tokong, denai pasir dalam kebun pokok kelapa, bagi mengejutkan entiti memori yang lena di sudut gelap. Membangkitkan semangat-semangat ini. Membebaskan 'mereka' daripada kekangan yang mengongkong. Bumantara malam kelihatan hidup dengan kehadiran semangat-semangat ini umpama panorama yang mengharukan.

Di rumah, ibu tengah runsing dengan sakit pinggang dan kaki yang telah lama menghantuinya, pada masa yang sama merungut tentang beban kehidupan yang berat; di lorong belakang, terletak kereta (kereta Mitsubishi Lancer keluaran tahun 1980) cabuk kesayangan ayah yang sering kali mendatangkan masalah; di siang hari, penyakit gangguan jiwa aku tiba-tiba menyerang (impuls otak tidak henti-henti menduplikasi dirinya, kuantitinya semakin banyak sehingga mendatangkan kesesakan, fungsi penafsiran otak jadi lumpuh, proses sedemikian terus-menerus berulang sehingga otak mencapai keadaan tepu), dengan segera aku memandikan diri, kemudian mendedahkan diri di bawah kepanasan suria tengah hari dalam keadaan suhu badan yang lebih rendah, bagi mendapatkan kesan kejutan elektrik yang mampu memulihkan aku buat seketika; di rumah, kewibawaan adik semakin meningkat berbanding dengan aku; di kedai nombor ekor, ayah masih menghabiskan duit untuk pertaruhan yang amat tipis peluang kemenangannya.

Di malam-malam yang berasingan, aku berulang kali melewati deretan-deretan rumah bagi menerawang keadaan dalam rumah menerusi pintu besi berkekisi. Ketika terlihat ahli-ahli keluarga yang bahagia berkumpul di ruang tamu, menonton rancangan televisyen sambil berborak-borak, satu ilusi mendatangi aku: kesengsaraan, pertelingkahan dan kesedihan yang dialami oleh para penghuni di siang hari semata-mata untuk diadaptasi sebagai babak yang harmoni pada sebelah malam. Imej keluarga mula meligat ganas dalam kepala. Basikal melewati kedai runcit yang aku kenal benar sejak kecil.

Kebahagiaan yang samar mula menyelubungi kalbuku pada saat terfikirkan cara letak dalam kedai masih serupa sewaktu kunjungan pada sebelah pagi. Atas desakan yang amat sangat, aku mencepatkan kayuhan, dengan harapan membawa pulang kebahagiaan keparat ini sebelum ia lenyap menjelang dinihari.

Utusan Malaysia

16.8.09

Tingkat penghayatan sastera

SASTERA

ARKIB : 16/08/2009

idang kesusasteraan di negara ini belum berada di tahap yang selayaknya dalam senarai keutamaan masyarakat. Kedudukan kesusasteraan masih jauh dari memuaskan walaupun di negara maju sastera berada di tahap tinggi," demikian tegas Sasterawan Negara Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan (Anwar Ridhwan).

Beliau membandingkan kedudukan kesusasteraan dan kesenian rakyat di negara-negara maju seperti Jepun yang membuktikan sastera menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara.

Anwar Ridhwan percaya bahawa keupayaan memberikan penghayatan yang tinggi kepada bidang kesusasteraan akan melahirkan warga yang berfikiran kritis dan mempunyai nilai peradaban yang tinggi.

"Secara peribadi, apabila anugerah Sasterawan Negara diadakan tahun ini selepas enam tahun, ini memberikan keyakinan kepada rakan-rakan dalam bidang ini bahawa sastera masih ada tempat dalam masyarakat," kata Anwar Ridhwan ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara) Khamis lalu. Beliau yang telah merentasi 40 tahun pengalaman dalam kesusasteraan menganggap kegembiraannya bukan kerana dipilih sebagai Sasterawan Negara tetapi anugerah itu masih wujud.

Anwar Ridhwan kini adalah Dekan Fakulti Penulisan Aswara yang sebelum ini adalah Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Baginya, gerakan untuk meletakkan bidang kesusasteraan di tempat yang penting dalam masyarakat wajar dilangsungkan walaupun negara ini menjadi sebuah negara maju.

Pengalaman tiga tahun menjadi Profesor pelawat di Jabatan Kajian Malaysia, Tokyo University of Foreign Studies di Jepun membuktikan masyarakat moden dan maju di negara itu tetap mempunyai penghayatan yang tinggi terhadap kesusasteraan.

"Saya melihat penghayatan terhadap kesusasteraan di Jepun digerakkan sejak kanak-kanak lagi. Buktinya kesenian kabuki tetap diminati walaupun ada banyak alat hiburan moden," kata Anwar Ridhwan yang menghasilkan novel Naratif Ogonshoto (2001) yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Rusia.

Dalam konteks tempatan, beliau mengesyorkan pengajian sastera di peringkat rendah dan menengah di sekolah-sekolah perlu ditambah dan dimantapkan. Walaupun dalam sistem pendidikan tempatan sudah diwujudkan subjek sastera tetapi untuk meletakkan sastera sebagai di tempat yang selayaknya sastera perlu diberi penekanan yang lebih khusus.

Anwar Ridhwan memulakan langkah dalam kesusasteraan menerusi novel pertamanya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan antologi cerpen pertama, Parasit (1979). Kedua-dua karya ini memperlihatkan pemerhatian Sasterawan Negara ini terhadap gejolak sosial di lingkungannya. Beliau tidak saja terpasung pada gaya bahasa yang baik tetapi isi pemikiran yang sangat kritis tentang pergolakan di sekitar.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman adalah bingkisan tentang hujungnya dunia tukang penglipurlara dengan kehadiran alat berteknologi tinggi, radio. Novel ini tentang kehidupan seorang seniman rakyat yang berada di hujung jalan apabila tewas kepada ledakan modenisasi.

Karya ini terus melekat di ingatan apabila diadaptasi ke teater dengan judul yang sama oleh Datuk Johan Jaaffar tahun 1984.

Sementara novel Arus (1985) mengenai skandal penyelewengan di bank-bank dan juga isu politik kafir mengkafir yang berlaku dalam masyarakat Islam negara ini. Beliau memperlihatkan pendirian dan kritik sosial kepada penyakit yang berlaku di sekitar kehidupannya. Arus juga diadaptasi menjadi drama televisyen oleh TV3 dan diarahkan oleh Adman Salleh.

Walaupun hanya menghasilkan empat novel, empat antologi cerpen, tiga naskhah teater serta tiga buku kajian sastera, Anwar Ridhwan memperlihatkan kualiti mengatasi kuantiti. Barangkali ada sasterawan lain yang menghasilkan lebih banyak karya tetapi Anwar Ridhwan membuktikan jumlah yang sedikit bukanlah kualiti juga kecil.

Menerusi karya-karyanya terutama novel Naratif Ogonshoto yang paling banyak diperkatakan, Anwar Ridhwan memperlihatkan karya yang dihasilkan adalah adunan daripada bakat, kemahiran seni penulisan, pemikiran dan pandangan dunianya.

Dalam kesusasteraan dan juga lain-lain bidang, kuantiti bukanlah menjadi penanda aras kualiti. Maka yang diperlukan adalah kemampuan menghasilkan karya yang mengungkapkan pemikiran dan membawa perubahan.

Selain dipilih sebagai Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan sebelum ini pernah beberapa kali Hadiah Sastera Perdana Melaysia dalam kategori cerpen dan novel, Hadiah Drama Esso - Gapena (1990), Hadiah Utama Yayasan Seni (1990), Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) (2002), Hadiah Sastera Perdana (2002) dan Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara menerusi novel Naratif Ogonshoto.

- KU SEMAN

15.8.09

Sajak KUNTUM KEMBOJA BUAT WS RENDRA Dll

KUNTUM KEMBOJA BUAT WS RENDRA

1
Ayah menamakan saya
ketika usianya muda - melihat
kaumenggengam bara
di dalam penjara
jalur-jalur juang
jalan-jalan ruang
alur-alur jurang
suara yang kaulontar -
nyata genderang perang
kemiskinan
kemalasan
korupsi, dan
kesusahan.

2
Kini, yang terus hidup
karya-karya, nama
dan sejuta nostalgia.
WB RENDRA
PPJ, Johor Bahru.

MEREKA ITU (KATANYA )

i)
Mereka itu sering mendongak ke atas;
Katanya, pandangan itu takkan mudah terlepas
dengan niat yang tak pernah terbatas
dengan hajat yang di atas itu perlu dicantas
selagi tak tertunai selagi itu tak puas ....

Di atas itu mahkota bertatah permata;
Katanya, penjaganya mengada-ngada dan terleka;
di situlah juga ular dan jengking bermaharajalela
serta lubuk segala petaka dan durja
sering meniti kata di puncak kuasa ....

ii)
Kini mereka tak mendongak lagi;
Katanya, yang di atas itu sudah mereka jajahi
dengan segala keyakinan dan kepercayaan yang diberi
segala dihajati sudah dimiliki
atas nama demokrasi sebuah realiti.

Maka mahkota di atas sudah berpindah kuasa;
Katanya, merekalah yang layak seadanya
yang dulu di atas sudah tidak berdaya
kini pilihan sebenar yang semua orang suka
maka mereka pun mula bermaharajalela.

iii)
Ternyata cakap mereka tak serupa bikin;
Mereka ternyata tak mampu menjadi lilin
sekadar manis di mulut tapi di hati lain
rupa-rupanya merekalah sebenar-benar ular dan jengking
di mata mereka dipenuhi remutan cecacing ...!

MAZEMIE MAZ,
Taman Selasih, Sikamat,
Seremban.

DENGARKAN: YANG BELUM TERLEWAT


Di sisi malam nan setia menawan
mampir si kunang-kunang - makna cahaya
bayu yang berbahasa jadi semilir
lewat malam sejuta rahsia
terdengar suaranya.

Lihat
betapa lembut tutur nafasnya dia
- tidak setegar bicaranya
di atas kasur lusuh beradu lena
betapa rautnya menggamit atma
diruahkan segala cinta
teruntuk keluarga

Di mana dia tanpa seorang srikandi
yang mana jua wanita luluh
tanpa pangerannya

Di mana dia tanpa seorang waris
yang mana jua anakanda tunduk
tanpa pewarisnya
"Dengarkan
bagai embun menitis jernih
bagai kelopak memekar megar
ada harap yang sedang terungkap
ada cita yang masih menanti
biar kalam berbicara cinta
membisikkan dalam diam
kekal yang belum terlewat
pasti."

Dia yang kunanti saban hari
membuka mata untukku.

RAEHAN INTISOR
Skudai, Johor.

RAMADAN YANG DIRINDU


Ramadan yang dirindu
menjadi tamu hamparan baldu
setelah sekian lama menunggu
merimbun doa dipacar waktu
kusambut mesra wajah ceria
menjadi kekasihku sebulan rasa
nikmatnya bercambah di dada.

AMRAN ZAKARIA
Damai, Kuala Lumpur

SETIAP KALI RAMADAN BERTANDANG


(Telah pulang Syaaban ke sarang
andai nafas hidup masih bertiup
bisakah lagi melihatnya terbang
sesudah dua belas pusingan bulan itu berulang.)

Di ambang pintu barakah
Ramadan mengetuk bertalu-talu
beribu rahmat Tuhan sedang menunggu
bergerak mengiringi Ramadan al-Mubarak
berarak masuk ke teratak syarak
dengan rembesan kasih jernih
beribu magfirah Tuhan ditagih
berdaki dosa mahu di bersih.

Pada setiap kali Ramadan bertandang
pada dinding kenangan
aku teringat kampung halaman
begitu ramah tetangga sebelah-menyebelah
bertukar aneka juadah dan sedekah
menyemai erat ikatan ukhuwah.

Menjelang sungkai di tabir senja
berderai azan Maghrib sayup berkumandang
berkumpul keluarga menjamu selera
mesra riuh bukan kepalang
memecah hening lembayung petang
ibu dan kakak sibuk menghidang
ayah meneguk air secawan
kadang selasih selalunya sirap pisang
kemudian menyala rokok sebatang
buat mengisi perut tak kenyang
ibu memerhati marah di hati
seiring leteran tali-temali
ayah berpura tidak peduli
aku memerhati tidak mengerti.

Menjelang malam di masjid dan musala
saf jemaah penuh luar biasa
mengimarahkan Tarawih dan tadarus bergenta
pulangnya nanti di tepian jalan
singgah di gerai dan warung berjualan
harumnya bau ikan selar dibakar
dan udang sotong cecah cili merah
perut petang tadinya kenyang
kosong semula membuka ruang
untuk diisi dengan makanan
udang sotong itulah bekalan bertahan
untuk puasa esoknya sepanjang siang.

Seperti selalu Ramadan bertandang dan berlalu
berlalu jua kenangan Ramadanku
pada kampung halaman yang kutinggalkan
kini aku kembara di hutan batu
Ramadanku sepi bagaikan bisu
tiada lagi seindah dulu
tiada lagi leteran ibu
tiada lagi kepuraan ayahku
tiada tetangga bertolong-bantu
tetangga bagaikan sembunyi
tak kenal rupa tak kenal pekerti
jauh sekali bertukar juadah dan rezeki
aku tambah tidak mengerti.

(Akan berangkat pulanglah Ramadan ke sarang
andai nafas hidup masih bertiup
bisakah lagi melihatnya terbang
sesudah dua belas pusingan bulan itu berulang.)

BASRI ABDILLAH
DBP, Kuala Lumpur

SETELAH IBARAT BURUNG


Mendepani laluan hayat
gerak lahiri siapa insan
tidak lebih tamsil ibarat;
- pagi sementara petang
siang sementara malam
terang sementara kelam
pergi sementara sampai
kenyang sementara lapar.

Arah gerak tidak ke mana
melainkan sut kepada-Nya.

Tiada bermakna duniawi
melainkan diisi bekal ukhrawi
memaknakan perjalanan pergi.

Ibarat burung-burung petang
sejauh mana tinggi terbang
ke sarang juga akhir pulang.

NAWAWEE MOHAMMAD
Sabak Bernam, Selangor


DIA BUKAN KELKATU

Aku lihat seekor kelkatu
terjunam dalam hatinya
setelah ditewaskan neon malam
yang lama bertapa di jalan hitam
tempat berkumpulnya kesepian
direndam kegelapan.

Seekor kelkatu tua datang
membawa sebilah perasaan
terselit di celah pemikiran
yang kelabu nan usang.

Bila lampu padam siang kembali
bersama sekuntum sayang
yang dihadiahkan oleh semalam
masih segar dan wangi
diri dan hatinya.

Aku lihat diriku menjadi kelkatu
yang pernah dikalahkan oleh cahaya
tapi masih kembali
untuk bersembang dengan malam.

Aku lihat dirinya menjadi lampu
yang kuat menawan kelam
termasuk membunuh kelkatu
cuma ia bukannya aku.

SOLIHIN OSMAN
MSU, Shah Alam.


DI SEBALIK AIR MATA

Teriakan garang meresah
melihat si bapa tidak endah
kapar-kapar tangan
kasar menghempas ke bumi
perhatian untuk disentuh
kelabu langit kian keluh.

Dentuman menggegar sejenak
teriakan sama
terpancar di wajah tirai kaca
segugus tanah hancur berselerak
bom, darah, raungan
punca angkara
malapetaka yang diendah bapa
langitnya cerah
namun buminya resah.

Kaulihat anakku
bumi di seberang sana
sedang jenuh teriakan harapan
kau di sini tangiskan keadilan
carilah kau wahai anakku
segulung ilmu kekuatan
jangan kaukejar nafsumu
ada resah di sebalik air matamu.

Lirih mengesat air mata
si anak kian lembut
esakan penuh keinsafan
dunia kian keras
ketawa tidak lagi berasas
langit malap menghujah
seribu kerakusan.

AMNI JAGAT
Tampoi Johor Bahru Johor

11.8.09

Perang Nafsu

PERANG NAFSU

Ada harapan yang masih gusar
berbaur impian menatang minda
tindakan mengusung angkuh
akan kunyahkan tembuk jajahanmu
dalam perang nafsu tanpa penjuru.

Diasak tanpa arah dicerca tanpa punca
dibungkami tak terperi diladeni hamba diri
kendati racau igauanku semakin ngeri
lenaku bagaikan tugu tersilap jerami
terkapar di arus empangan maknawi.

Takdir akan menyingkap kudrat hayat
doa akan memintas pintalan suratan
kesabaran akan bermukim kebenaran
turapan ego belum pasti mengekang erti
ketentuan ilmu belum pun jitu & pasti.

Sedarlah kita sekadar singgah bermalam
di aura dunia yang berhias tirai terlerai
suri gerbang teladan kian rambang relai
tindakan kejam akan bungkam & padam.

- Aku sujud syukur dengan janji-Mu Ilahi.

iDANRADZi
Jenaris Kajang

8.8.09

Sajak...BEGITU dll

BEGITU

Begitu tekun
sabar bernaung di rumah tabah
ia menyemaikan benih
di kebun bangsa
di dusun nusa
agar tumbuh nanti
pepohon hidup yang rendang
memberikan teduh bahagia
pepohon hidup yang subur
meranumkan buah nikmat
waktu lapar
meranumkan buah berkat
waktu sukar.

Begitu iltizam
gigih memperkukuh buana azam
ia menaburkan usaha budi
saujana luas terbentang
sawah ladang
membekalkan padi iman
membekalkan buah kemahiran
buat anak-anak watan.
Tekun sabar
tabah iltizam, ia
guruku yang cemerlang
guruku yang terbilang
di kota pedalaman
di desa pembangunan
Mencemerlang wangikan buana anak-anak warisan

Chai Loon Guan,
PKG Bota, Bota Kanan.

SANG PENARI II


Tika lagu ini dimainkan
melagukan rentak; tersenyum manis
hipokrit semata
menutup angin ammarah.

Jari-jemari mengalun lembut
menyusun lenggok-lenggok tarian
tarian ditari penuh berambi
mengatur kecekapan diri walau dihambat kepiluan.

Begitulah langkah sang penari
tiada mengadun emosi
saat lagu didendangkan.

Nur Asilah Jamil,
SMK Sultan Ismail, Kemaman,
Terengganu.


BEBURUNG SENJA

Ke mana beburung senja
berterbangan bebas
melewati mentari bersaga.

Beburung senja
usah tergoda
pada purnama palsu
usah terbuai
pada bintang-bintang kepuraan.

Beburung senja
pulanglah ke sarangnya
sebelum malam menjamah segalanya.

Yusdi Md Yusoff
SMK Seri Perak,
Parit Buntar.

RUMPUN FAMILI, AKAR REMAJA


i
Di rumpun rebung
miang melapis buluh
lentur remaja
tanggal kelubung bisa
memulusi rohani.

ii
Rumpun lembayung
melawan arus sungai
akar famili
serapkan kasih-sayang
menahan pancaroba.

Aliff Mustakim
Pulau Pinang KEMATIAN


Pandanganku gelap gelita
hatiku tidak berkata
otakku tertanya-tanya
apa yang terjadi pada jiwa yang lara
jiwaku melayang di awang-awangan
melayang ke langit ketujuh tanpa sempadan
sehinggalah tiba hari perbicaraan
menyingkap hasil usaha dan amalan
bertawakallah kepada Ilahi
agar aku ditempatkan bersama orang yang dikasihi.

MERKIA
3 Ogos 2009

BILAKAH AKUKAN SAMPAI

Bilakah akukan sampai di padang berasa ketenangan
membisukan pencarian ini
sudah sekian musim cerita duka bertiup mengirimkan sejuta tikam
ke jantung; segumpal kemiskinan bersuara
memperjorok corak nasib di langit yang memberi isyarat hujan
resah membuncah di kolam yang tak menemukan ke mana jalan keluar!

Oh siapakah yang ingin dan menyebut-nyebut nama hidup begini
tidak ada sama sekali, melainkan semuanya pada berlari
ke hujung bukit terhindar.

Ketika membaca surat-surat-Mu yang menawan
yang tampil selalu muda dan bertenaga
(ampunkanlah aku, Tuhan
kerana lama sudah kutinggalkan)
tiba-tiba angin berhembus lembut sekali
seribu ketenangan paling dalam tak terkata
saling berebut-rebut mengisi ranjang di hati.

MOHD ADID AB RAHMAN
SMK Selandar, Melaka

SI BURUNG BERKUMANDANG DI RANGGAS TINGGI


Baharulah boleh kaupandang
si burung nyaring berkumandang
bertengger di senja terang
ranggas pepohonan tinggi.

Leo AWS
Pustaka Dewan Puisi

ISTERI


Tanpa dompet tanpa wang
bukan sayang bukan malang
seorang isteri bukan kepalang
tanpa wang tanpa walang
ragu ragam bimbang
segala terasa sempit
sakit
perit.

Tanpa sayang tanpa wang
bukan
seorang isteri segala-galanya
harapan
bukan kepalang!

Marzuki Ali
Cendering

MENAFSIR DIRI


Jika diri
mampu keluar dari
sarung peribadi
dengarkan
mersik-jelik
suara sendiri.

Jika kita
mampu keluarkan mata
yang terlekat pada muka
lihatlah
senyum-masam
ekspresi duka.

Sayangnya,
kita enggan
menafsir diri
daripada pandangan
peribadi.

Huzaifah Zulfakar
Seremban Parade