Penaja

1.4.07

Kreatif : Tanpa Gerak Bibir Terakhir

Oleh Zawan Baba




SAMAD mendongak melihat langit gelap yang ditaburi aneka lambang dan diboboti bintang-kemintang, sembari resap rasanya buyar ditiup prahara malam. Ini, hanyalah gesaan naluri dan perlakuan tandus rasa - cuba memimik cara pandang seorang penyair demi melupakan seketika aliterasi kerak-keruk di pojok perutnya.

Buat pertama kali, ya, buat pertama kali dalam tiga bulan ini, dia terpaksa akur dengan kehendak alam. Tidak, tidak, kehendak Tuhan sebenarnya. Kehendak manusia tidak dapat mengubah kehendak Tuhan, seperti para astronomi tidak dapat mengubah garis edar bintang-kemintang yang direnungnya tadi.

Garis-garis temaram cahaya bulan yang menyorot di antara bukaan daun tingkap dan labirin atap itu menyuramkan lagi hatinya. Cahaya dari bulan berbatang-batang menimpa perutnya yang sejak tengah hari tadi tidak diisi apa-apa - tembolok dengan kesonderannya!

Dipejamkan kedua-dua kelopak mata rapat-rapat sambil kerangka fikirannya dibuka seluas-luas pada alam yang selalu bersimpati. Paksi rasionalnya menyemak debar jantung dan tutur hatinya yang menghadapi dua macam hambatan - soal perut sendiri dan perut isterinya. Seperti wap yang bangkit menyatukan dirinya dengan awan dan turun semula sebagai titis-titis hujan, kelopak matanya kini basah mengenangkan belenggu yang merantai nasib keluarga. Nafasnya bergerak turun naik. Samad menekup muka dan wajah menekur ke bumi seperti melindungi mata daripada kenangan silam.

“Zaman mewah memesan makanan segera sudah berlalu,” suara batinnya berbisik sambil kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Samad merenung tajam ke arah gerobok makanan di dapur, seolah-olah gerobok itu sasaran bidikan busur yang direntangnya. Panahan mata melesat jauh, cuba menjejaki ruang masa lalu yang ditimbuni kemewahan. Di mata batin terbayang tika gerobok itu penuh dengan sajian yang melebihi ukuran kewajaran tembolok manusia. Paparan penuh ambisi mata batin dikejutkan lagi dengan suara perutnya yang berkerak-keruk, sayugia menyedarkan Samad dari alam bawah sedar yang dijejaki.

“Esok, 1 Mei. Bagus. Aku nekad ke Dataran Seni bersama kau Layla. Aku sudah jemu dengan rentetan kelaparan dan belenggu undang-undang ciptaan manusia munisipal itu,” ujar Samad sekonyong-konyong memecah kebisuan dinihari. Bola matanya lesu melihat satu susuk kecil di sebalik kegelapan, betul-betul di sebelah gerobok nihil itu. Imbas susuk kecil itu meragukan hati Samad, tetapi amat diyakini matanya. Dikecilkan bukaan sudut mata supaya menumpu pada satu figura berupa seorang hawa dan hatinya kini yakin seperti matanya.

Zawan Baba

Samad menyambung ujaran, “Hai sobat mistik, esok kita berdua akan berdiri laksana mercu suar di sana, vibrasi magis daripada paduan nuansa suara kita tentunya akan memberi imbalan supaya dapur rumahku berasap kembali.” Suara Samad lunak dan sayu, seolah-olah memujuk seorang anak kecil agar jangan menangis. Kebisuan figura itu merimaskan. Dengan perlahan Samad melangkah lemah ke arah figura yang terus membisu tanpa bahasa. Derap kaki ditambah dengan helaan daya seretan ke pusat cakerawala membuatkan lantai papan rumah berkeriut. Tersentak dengan talaan keriutan lantai, langkah dimatikan. Lalu diketap bibir yang kering sambil memandang ke satu lagi susuk yang begitu dicintai - susuk seorang hawa yang dianggapnya mentari jasmani dan sakralnya. Samad membongkok cermat dan mengusap perut isteri yang lena berkerekot di muka lantai.

“Mariam, sebagaimana panas mentari yang menghidupkan sawah dan dengan panasnya juga ia mematikan, semacam itulah apa yang kau tamsilkan kepada wadah fitri aku,” tutur Samad lembut kepada isteri yang sedang diresapi mimpi indah, seindah roman muka miliknya. Masih segar dalam benak Samad, dua hari lalu ketika dia dan Mariam berkongsi menjamah kepingan-kepingan roti yang direbutinya di bandar. Memang inilah keruwetan dan ciri keasingan yang terpaksa diramahinya. Bersama getaran bibir Mariam yang kelaparan, begitulah hati Samad bergetar apakala Mariam berujar tentang ‘anak di dalam rahimnya’. Seingatnya dia hanya mengangguk-angguk supaya perbualan itu tidak melarat. Dia tidak berselera untuk berbicara soal itu kerana waktu itu seleranya lebih terarah kepada kepingan roti yang membezakan antara orang yang masih mampu bertahan untuk hidup atau mati kebuluran.

“Huuuhhhhh ....” dalam helaan nafas seolah-olah menyesali jungkir reaksi tempoh hari. Kepala digeleng ke kiri dan kanan sebagai gerak tindak mencemuh, serentak mencela diri.

Kerangka sakral terhantar kembali ke lindapan memori. Ya, memang mata rantai sebuah rumah tangga permulaannya hanya daripada sebuah pandangan, lalu akhirnya campuran keharuman itu menciptakan jiwa ketiga. Sekali lagi Samad menekup muka seolah-olah dia malu benar dengan kelakuan keanak-anakkannya dua hari lepas.

Dalam pelat desis yang bertunda-tunda, Samad berbisik, “Esok, aku dan Layla akan kembali melipur dengan kata-kata manis... dengan percakapan tanpa kata... dengan nyanyian kebisuan. Ya, memang hujan tidak akan dapat menakutkan orang yang sudah basah kuyup, kita tidak akan lapar lagi Mariam.”

Dia lantas berdiri tegak dan menyeluk poket kanan seluar denimnya yang lusuh. Sehelai sapu tangan bercorak petak catur dikeluarkan dan dikibas-kibas. Takzim Samad merapati Layla; figura patung hawa yang sudah berhabuk dan sedikit cobak. Ditatapnya roman Layla yang menyalin raut wanita tua yang aneh, hidung mancung kemerahan, berambut kerinting halus, kulit pipi berjeragat dan sedikit kedutan di bawah mata, berkaca mata bingkai bulat serta rahang di bawah pipi yang besar. Layla disarungkan dengan jubah mini sulaman hitam dan merah dengan taburan manik-manik kilat - cukup membuatkan figura itu memancing pandangan sesiapa yang melihat. Samad tersenyum sedikit apabila dia cuba membandingkan susuk tubuh dan roman muka Layla dengan Mariam. Sesungguhnya Layla adalah antonim kepada Mariam. Dia terus berlamun sambil membersihkan habuk pada figura yang sudah tiga bulan dibiarkan tersadai.

“Dunia sekarang ini semua berkehendakkan disertasi dan gulungan sijil, ventriloqouist seperti aku terpaksa berjerih demi mengisi perut,” bebel Samad kepada Layla yang dipangku di atas riba. Tangan kiri pula dipaut pada rongga dalaman figura itu.

Mulut Layla bergerak dan ternganga-nganga, “Hey Samad, kamu fikir semua yang ada disertasi itu bijak? Memang rata-ratanya bijak, namun ada juga yang selalu tenggelam ditimbun buku-buku, kamu tahu? Buku-buku yang tidak pernah selesai ditelaah lembarannya.” Samad terkebil-kebil. Tangan kanan digawang-gawang seperti meminta penjelasan.

“Heh, kamu jangan tak tahu, sarjana-sarjana kita sekarang hanya mengulangi apa yang tidak difahami dari buku-buku, bunyinya seperti burung kakak tua. Cuma mengulang ajuk kata tuannya.”

Kali ini kepala Samad diangguk-angguk. Dia tersenyum buat kali kedua pada dinihari itu. Seni suara dari rongga badannya sendiri yang keluar, tanpa sedikitpun menggerakkan bibir ternyata masih mampu dikawal. Sebentar dia membuat latihan tahan nafas, sebentar dia menyemak tutur dan menghafal bait dialog, sebentar berolok-olokan di hadapan cermin ditemani Layla sehingga fajar pertama menerpa kening tajam atap rumahnya. Kidung pujian burung-burung kepada yang Maha Kuasa dan isapan madu pertama kumbang dari cangkir bunga di laman rumah Samad menghantar isyarat jelas kepadanya - alam sebenarnya terlalu banyak memberi.

“Abang, tolong jangan pergi lagi ke Dataran Seni. Bukankah Datuk Bandar sudah mengharamkan permainan ventriloqouist? Kalau tertangkap munisipal, tentu abang akan dihumban ke penjara,” Mariam merayu dalam bauran emosi resah-gelisah dan buyar kerisauan. Namun Samad hanya mengambil jalan diam sebagai jawapan.

“Kononnya mahu memperbaiki masyarakat, tapi Abang sendiri menipu penonton, terutama anak-anak kecil itu. Abang seolah-seolah memberi nyawa kepada patung sehingga lupa kepada batas-batas agama.” Suara Mariam sedikit tergetar apakala menyebut perkataan ‘agama’ itu dan jawapan Samad hanyalah berupa tarikan nafas yang dalam. Dia dan Mariam terpisah oleh pegangan berbeza, tetapi disatukan pula dengan denyut baka di dalam rahim Mariam. Ternyata percakapan bukan satu-satunya cara untuk saling mengerti antara dua jiwa.

“Mariam, jangan biar haluan kita dituntun orang buta. Itu semua sangkaan karut marut yang mereka anut. Ini soal perut, soal kelangsungan hidup!” Samad merengus kuat sambil menyelak helaian akhbar kelmarin dan menunjal-nunjal paparan gambar di segmen Jendela Dunia.

“Cuba kaulihat, tiga bilion rakyat tidak cukup makanan. Di Haiti lima orang mati kerana mogok lapar. Di Cameroon 40 warganya yang kelaparan mati sebab berebut roti. Ini pula, di Mesir, keganasan memuncak kerana manusia sudah mula menyalin sifat haiwan, siapa yang kuat akan dapat mengisi tembolok. Kebuluran di mana-mana, di Bolivia, di Mexico, di Bangladesh dan kini di negara kita sendiri. Mengerti?” nyala rasa Samad meluap-luap, semacam ada dandang api membakar dada. Linangan air mata Mariam seolah-olah menjadi bibir yang menjawab pertanyaan suaminya itu. Dia hanya bungkam dan diam, seperti kakunya figura Layla. Dengan berhati-hati Samad merapati Mariam dan memegang pundak isterinya.

“Kelaparan akan membuatkan moral insan susut dan dacing diri luput sehingga lupa cara menyantuni insan lain. Hari ini getar suara dan peran Layla akan aku tukar ganti dengan semangkuk nasi.”

Kata-kata Samad cuba ditelan resap sakral Mariam, tetapi termengkelan di batin kerongkongnya. Dicuba pula meludah kata-kata tersebut, namun tidak berupaya untuk keluar. Ujaran Samad itu seumpama sungai yang terlupa jalan atau liku, dan secara tiba-tiba pula ia sampai di lautan sehingga Mariam terkapai-kapai lemas di situ. Mariam hanya mampu menghantar Samad dan Layla ke Dataran Seni dengan pandangan lesu seorang hawa, seperti Ratu yang lesu berteleku di atas puing-puing kota dan runtuhan istana kemahsyurannya.

Hati Samad mulanya agak ragu dengan tindak daripada gesaan naluri. Naluri yang penuh dengan ambiguiti. Kesamaran memungkinkan dua atau tiga imbalan, mendesaknya menyemak debar jantung sendiri berkali-kali. Dalam keraguan batin hati itu, kaki tetap patuh melangkah ke Dataran Seni. Layla yang dikepit di celah ketiak terkadang-kadang meliuk terkejut-kejut mengikut rentak lenggang dan kaki Samad. Keringat bermanik-manik di serata tubuh ketika dia terhendap-hendap di satu pojok Dataran Seni, “Kalau-kalau ada penguat kuasa munisipal mencari mangsa di Hari Buruh ini,” getus batin hatinya. Seperti kapal saudagar penuh muatan, hanya menunggu air pasang untuk mengembangkan layar ke dada lautan, Samad menyeluruhi ruang pentas menanti tika yang sesuai. Di sekitar pentas itu dilihat hanya dua tiga kelompok rakyat jembel mundar-mandir menanti sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti.

“Kebarangkalian keinginan mengisi perut dan kecelaruan fikiran membuatkan manusia yang nasibnya tidak ubah seperti aku menjadi gelandangan di sini.” Riak batinnya itu seolah-olah memberi keyakinan kepada Samad untuk memulakan persembahan. Persembahan berupa paparan suara penuh tamsilan, tetapi menghiburkan - demi mencari sedikit wang untuk mengisi keperluan.

Kolam hati yang tenang tiba-tiba berkocak kuat. Terpaan gelendangan yang disangkanya ‘rakyat jembel’ - rupa-rupanya penguat kuasa munisipal yang berbusana preman. Saraf yang membawa darah dan pesan isyarat ke paksi rasionalnya mengucur laju. Layla yang dipangku terhenyak ke lantai pentas. Samad terkepung. Dia tidak mampu lolos. Kenyataan bahawa ‘dibicarakan di mahkamah’ dan ‘dihumban ke penjara’ terngiang-ngiang di resap rasanya. Telinga batin cepat dijelang kudus hantaran pesan isterinya tadi.

“Aku tak bersalah! Aku tak bersalah! Lepaskan aku!” pekik Samad. Rontaan kasarnya menyebabkan penguat kuasa munisipal terus membelenggu pergelangan tangannya. Dia sempat menoleh. Pandangannya dibidik ke lantai pentas di belakangnya. Di antara ambang cemas dan rasa radang, Samad melihat bola mata Layla sayup menatap langit. Tangan kanan figura itu terkulai ke arah mentari terbenam. Dan Samad pitam di situ!

Biodata penulis:

ZAWAN Baba atau nama sebenarnya Mohd Nazwan Hafeez Hashim dilahirkan pada 4 April 1981 mula berkarya sejak 2008. Cerpennya pernah mendapat tempat dalam akhbar dan media arus perdana. Mengikuti beberapa bengkel penulisan cerpen pada tahun lalu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Marin), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini, kini berkhidmat sebagai jurutera di laut.

Glosari
Sonder -
tiada, tanpa.
Ventriloqouist -
orang yang pandai bercakap tanpa gerak bibir
Sakral - rohani, suci, kudus.

1.3.07

Puisi Zurinah Hassan i

Laut Membiru Bagai Surat Rindu ~ Zurinah Hassan

November 2, 2007

Laut adalah suara rindu yang biru
awan yang jauh membawa resahku
ombak di pasir mengukir namamu
tapi angin lalu menyapu

Kapal pun telah berangkat
bersama arus kehidupan
yang mempertemu dan memisahkan kita
rinduku pun jatuh
pada pulau yang jauh

Ombak yang tidak putus bersuara
dan pantai yang menanti sentiasa
seperti aku yang terus membaca
puisi-puisi setia

~ Zurinah Hassan


Satu Percakapan Singkat ~ Zurinah Hassan

Oktober 3, 2007

(dengan teman seniman)

Temanku,
tentang cinta kita pada hidup
mungkin tak banyak perbezaan
tentang cinta kita pada puisi
itupun tak ada perbezaan
tetapi kau lelaki
dan aku perempuan
di situlah letaknya perbezaan

Seorang lelaki
Membebaskan diri untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan
membataskan pilihan untuk membebaskan diri

~ Zurinah Hassan


Ingatan Pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi ~ Zurinah Hassan

September 5, 2007

Kesilapannya
kau tak berdaya berterus-terang
dan aku tak berdaya mentafsir

Kesilapannya
kau mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang aku tidak pernah melihat gambar-gambar itu

Kesilapannya
kita telah bertemu
dalam sebuah mimpi yang menggembirakan
tetapi aku lebih gembira
bila terjaga dari mimpi itu.

Zurinah Hassan


Satu Cerita Cinta ~ Zurinah Hassan

Ogos 23, 2007

Di hari ia melahirkan cintanya
Ia berkata kepada kekasihnya
“Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari perkahwinannya
Ia berkata kepada isterinya
“Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari-hari kemudiannya
Ia berkata kepada dirinya
“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

~ Zurinah Hassan


Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja ~ Zurinah Hassan

Ogos 19, 2007

Anakku
maafkanlah ibu
meninggalkamu setiap pagi
melepaskan pelukanmu
ketika kau ingin bermanja

di meja ini mengadap kertas-kertas
di meja ini mengadap tugas-tugas
sesekali terganggu oleh matamu yang redup
sesekali terpanggil oleh suaramu yang sayup

Sekecil itu
aku sudah meminta pengertianmu
yang kita tidak dapat bermanja dengan hidup.

Zurinah Hassan


Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Kepadamu

Julai 10, 2007

Aku sepatutnya malu menulis surat cinta pada
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkari-Mu
Kau mungkin tidak sedia menerima.

Mengapa harus aku tiba pada-Mu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
“tidak kuberi ilmu
melainkan sedikit sahaja”
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kaki-Mu
apakah kau sedia memaafkan
carik-carik di kepakku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jari-Mu?

Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan bebanan
sehingga tiba ada keluasan lautmu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan matamu?

Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih pada-Mu?

~ Zurinah Hassan

1.2.07

Puisi Masuri S.N. Larilah Jika Boleh Dll

Larilah Jika Boleh ~ Masuri S.N.

Julai 17, 2008

Kau sekarang sudah dihujungkan
Semua sudut sudah mengepungmu
Semua jalan sudah melurumu.

Kau sekarang sudah terdorong
Semua pintu sudah menutupmu
Semua langkah sudah menguncimu.

Apakah kau memencak kegilaan
Apakah kau menggeram kegigilan
Apakah kau meraung kehibaan!

Jantanmu sekarang di mana?
Kelmarin bicaramu yang mengaung benua
Didihkan sendiri api yang kau bara.

Larilah jika boleh
Hendak kulihat jantan sikapmu
Segala tembok telah kualih.
Masuri S.N.


Buat Sementara ~ Masuri S.N.

April 29, 2008

Nantikanlah dengan hati-hati
Sesuatu yang diharap
Membawa kepastian
Melangkah kejayaan.

Begini mudah
Kata-kata jadi penguat jiwa
Yang sanggup nanti menentang segala rupa
Dugaan dalam pergolakan.

Meniti sekarang di atas jambatan seni
Di bawah-sudah menanti jurang dalam,
Pelan-pelan, hati-hati satu-satu langkah mara
Mahu sampai selamat biar lambat?

Meniti-niti perlahan
Pakai seribu kata-kata jampi;
Seperti menarah kelapa, supaya
Tempurung tanggal dan kepala bulat tiada cacat;
Nyata ini sia-sia- titi patah sederap
Bum! Teriak melengking tubuh hancur lumat
Jadi mainan bati keras berat.

Kenapa begini nasib melontarkan
Orang-orang yang hati-hati bersih suci
Selalu beringat, dan jalan cermat
Juga hasilnya kecewa.

Dan orang-orang yang dadak mengganas
Geraknya semberono,
Macam kilat melangkah itu jambatan
Sekarang berdiri bangga di seberang selamat.

~ Masuri S.N.


Syukur ~ Masuri S.N.

April 21, 2008

Kelambatanmu berjalan
Dalam kelam
Menangkap, mengikat segala hati
Keras beku jadi cair.

Dalam panas mengganggang
Menghisap segala jadi kering,
Engkau air basah
Menyejuk kalbu yang runsing.

Kerana dari mula jadi
Engkau ubat penawar.
Sampai di mana kesulitan
Engkau ubat penyenang.

Kalau aku engkau
Kalau engkau aku
Pertentangan menjadi;
Aku syukur sekarang kita begini.

~ Masuri S.N.


Mengenali-Mu, Ya Allah ~ Masuri S.N.

Mac 28, 2008

Mengenali-Mu, ya Allah
Rasa-rasanya makin merindu
Yakin-itu sudah tidak pernah
Aku tanyakan pada diriku
Kepada kalbuku
Kerana sejak aku tahu
Mengenal kehidupan
Ketika masih belum mengaji
Mukadam dan al-Quran
Aku sudah diberi kenal
Ada bintang
Ada bulan
Ada matahari
Dan awan
Ada yang menjadikan;
Begitu aku terasa
Tanpa bertanya
Aku ingin makin mendalam
Sudah kuterima kenyataan
Bahawa alam jagat dan
Seluruh mahluk ini
Ada yang menjadikan
Ciptaan-Mu, Tuhan
Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Berulang-ulang
Dalam hidupku diberi nafas
Berterusan menghayati nikmat
Makan minum dan tidur berehat
Maka dadaku penuh mengingati
Nama-Mu sentiasa
Di bibir
Dan degup jantungku
Sentiasa mengigati-Mu
Adalah tandaku
Dalam ikatan-Mu
Maka apabila aku diberi hayat
Di alam jagat-Mu
Bergerak, berkerja
Mencari makan dan
Bergaul dengan insan
Insan dan umat-Mu
Nama-Mu terasa terus
Menjadi sebutan
Degup hatiku;
Dan apa
Dan bagaimana
Dan di mana
Aku berada
Aku sentiasa dikurniai
Inayah-Mu, ya Allah
Maka aku sentiasa mengigati-Mu
Maka dalam bersorak
Bergerak dan berteriak
Untuk apa
Untuk bagaimana
Aku tiba-tiba saja
Seperti digerak
Oleh satu kuasa
Menyentuh dalam kalbuku:
Maka aku menjadi terkelu
Mati teriak sorakku
Kerana nafasku
Terasa tinggal satu, satu.
Maka tahu aku, ya Allah
Lonjak dan sorak
Gelak dan teriak
Bisa sekali lenyap
Dalam satu helaan nafas:
Ketika dalam kealpaan
Menghayati dalam kefanaan.

Masuri S.N.
( Mimpi Panjang Seorang Penyair )


Tinggal MerinduiMu ~ Masuri S.N.

Mac 24, 2008

Bagaimana
bernafaskan
waktu yang diberi
beruangkan
lapang yang dianugerahi
seorang insan mensyukuri
menyedari hidupnya
bukan sekadar mengisi bumi
tapi berperanan
mengikut ketetapan
yang telah diwajibkan
apakah dia seorang bapa
yang berwibawa
mendidik anak-anak
isteri yang tercinta
apakah dia seorang ibu
yang bertakwa
mengasuh anak-anak
suami yang utama
apakah dia seorang pemimpin
memilih tugas
dan kerja keras
apakah dia pendakwah
memikul beban
memberikan penerangan
menerangi alam
terus gemerlapan
segalanya ini
tercabar
dalam kehidupan
setiap yang menghayati
sekadar contoh
untuk tidak berfikir
hidup ini
selesai sampai sini

~ Masuri S.N.


Puas-puas

Oktober 26, 2007

Puas-puas bercakap
hati pun tergerak
untuk memerhatikan sikap
yang memihak

ke mana perkara akan dibawa
soal manusia soal dunia

puas-puas berfikir
begini jadinya
untuk bermenung menaksir
setiap yang terhasil:
masih tetap tertangkap
nada nafas yang tercunggap.

kemanusiaan, keduniaan
menjadi hukum percaturan;
rundingan dan kekuasaan
melihat berat pada kepalsuan

Masuri S.N.
Dewan Sastera, April 1990


Cerita Wak Tua ~ Masuri S.N

Oktober 9, 2007

Tang…
berdentang jam dua belas kali
dibawah lampu berdiri
Wak Tua sendiri
kerut-kerut muka penat sehari.

debu siang menyelubungi bumi
dingin mula menggigit kaki, jari
Wak Tua dengan bebanan di pundak
terletak-mencari sesuap nasi.

dari pagi lekuat nafsu penuh
memburu sedkt untung di antara gunung
umur enam puluh tujuh
belum pernah lagi hidup bingung.

siang
mentari membakar muka, hidung
jualan diteriak dilorong
di kampung mengejar sedikit untung.

sekali-sekali
ada orang memanggil makan
muka sedikit cerah kena api merah
bau segar terhirup darah.

jika ada orang bertanya:
“Wak sudah tua
kenapa masih kerja-kerja
apa tidak punya penyambung baka!”

Wak menjawab hanya:
“ada aku anak lapan orang
semua dewasa
punya isteri suami terang
tapi aku bisa memikul beban
bukan membebanii siiapa yang terbeban.

Masuri S.N.


Ini Nasi Yang Kusuap ~ Masuri S.N

April 30, 2007

Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertaut
ini nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima

Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

~ Masuri S.N

Dipetik dari Puisi Baharu Melayu