Penaja
16.12.10
Wiji Thukul
Berikut bait-bait sajaknya:
PERINGATAN
jika rakyat pergi
ketika penguasa pidato
kita harus hati-hati
barangkali mereka putus asa
kalau rakyat sembunyi
dan berbisik-bisik
ketika membicarakan masalahnya sendiri
penguasa harus waspada dan belajar mendengar
bila rakyat tidak berani mengeluh
itu artinya sudah gawat
dan bila omongan penguasa
tidak boleh dibantah
kebenaran pasti terancam
apabila usul ditolak tanpa ditimbang
suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
dituduh subversif dan mengganggu keamanan
maka hanya ada satu kata: lawan!
Solo, 1986
17.8.10
COKAK
“Tak mahu! Ayu tak mahu pergi tanpa bawa Cokak bersama” Rahayu mengurut bulu Cokak yang baru dimandinya, lembut dan wangi. Belang coklat dan putih nampak berseri.
“Kita balik kampung kejap sahaja, pandai-pandai ibunya di Topeng menjaga anaknya!” ibu mengemas pakaian yang perlu dibawa ke kampung.
“Ibu tak ingatkah nasib Citam, bila kita balik kampung Citam hilang, Citam tak balik rumah lagi. Citam tak tahu mati atau hidup… sampai sekarang Ayu rindukan Citam” Rahayu terus merengek, mahukan Cokak kucing kesayangannya dibawa bersama ke kampung.
Suara Cokak amat lantang suaranya bila dahagakan susu; memekak bingit telinga tapi Cokak amat comel. Maka itu Rahayu berikan namanya Cokak. Asyik memekak tapi comel. Citam yang ghaib entah ke mana adalah kucing rona hitam. Itu yang diberikan nama Citam.
“Ayu, kalau Cokak ini dibawa ke kampung, ibunya Si Topeng itu bagaimana, takkan nak tinggalkan. Macam mana nak beri susu dia, Cokak bukankah masih menyusu lagi!, takkan kita nak bawa dua ekor kucing sekali, kampung apak Kota Bahru Perak itu jauh Ayu!” aku lihat Rahayu mula bermuka monyok, Cokak di ribaannya mula lena dalam belaiannya.
“Ayu tahu mana kedainya yang ada jual susu untuk anak kucing, botol untuk anak kucing pun ada dijual di situ!”
“Mana Ayu tahu, bila pula Ayu pergi ke kedai kucing tu!”
“Kawan Ayu Nora di tadika ada bela kucing juga… ibu!. Ayu dan Nora selalu cerita fasal kucing, dia pun kalau balik kampung bawa anak kucingnya..!”
“Ayu tanyalah dengan apak!…” ibu mula mengalah dan menyerahkan masalah Cokak kepada apaknya. Aku senyum sahaja melihat keletah Ayu.
Baik Topeng, Tuah, Citam mahu pun Cokak yang baru lahir bukannya kucing kami. Tak pasti siapa punyai kucing yang tiba-tiba datang bertandang ke rumah kami. Kucing bila disayangi diberi makan maka akan beralihlah ke tuan lain. Rahayu adik bungsuku memang amat sayangkan kucing; baik Topeng atau Tuah sudah macam bantal peluknya. Hairan pula tidak pernah dia selesema sebab bulu kucing itu. Dia tak risau tentang Topeng atau Tuah sebab telah besar. Pandai cari makan sendiri.
Sering kami balik kampung dua tiga hari tak pernah pun Topeng dan Tuah hilang. Kecuali Citam yang baru pandai makan tiba-tiba tidak balik rumah setelah dua malam kami bercuti ke Cameron Highlands dan tinggalkan dia di halaman rumah. Apak tak benarkan Citam tinggal dalam rumah semasa kami tiada di rumah takut habis rumah dikotorinya.
“Apak telah tenguk harga sangkar di kedai yang Ayu ceritakan, mahal Ayu… RM70 lebih, botol susu semua itu apak telah kira lebih RM100 kita kena sediakan”
“Kalau apak tak ada duit Ayu ada duit simpan sikit dengan ibu, duit raya dulu tak habis lagi!, Along pun kata nak bantu, kami sudah kira ada RM55, selebihnya apak tolonglah tambahkan!”
“Pastikah Ayu rasa dia mahu menyusu susu di kedai itu!”
“Apak belilah sekarang susu tu!, kita cuba kasi Cokak nyusu…!”
“Kita berenamlah Ayu macam mana nak letak sangkar tu, kereta Avanza kita tu kecil! Emm! Kalau Cokak tu berak nanti bagaimana…”
“Ayu boleh riba…!, kalau Cokak berak kita berhentilah kejap buang tahinya… apak ni…! nak beli ke tidak!” aku lihat apak mula garu-garu kepala. Rahayu pula mula merajuk lari-lari anak sambil mendukung Cokak ke ibunya yang telah siap mengemas barangan untuk balik ke kampung.
Pagi Sabtu itu, aku lihat Rahayu tidak riang langsung. Aku faham dia kecewa sebab apak tidak pun belikan sangkar untuk Cokak. Apak Cuma bawa dua buah kotak besar dari ofisnya, malam tadi apak minta tolong aku bantu buatkan rumah Cokak di halaman rumah. Aku ikut sahaja, tak berani nak tanya apatah lagi berani gesa apak belikan sangkar untuk Cokak. Aku sudah masak sangat tentang ketegasan apak, kalau dia kata putih maka putihlah. Jangan memandai nak bantah cakapnya.
Aku lihat Rahayu mencium-cium wajah si Cokak, membelai bulunya & meletakkan Cokak ke dalam kotak di halaman rumahku. Along aku lihat berkata sesuatu kepada Rahayu. Biasanya apa yang Along cakap Rahayu mudah menuruti. Dengan aku pun dia tak berapa nak dengar cakap. Dengan Azim yang hampir sebayanya jangan harap; macam kucing dengan anjing asyik hendak bercakaran. Apak memerhati sahaja dari dalam Avanza.
Cuti tahun Baru Cina, biasalah semua mahu balik kampung. Apak kata di kampung tengah musim buahan. Durian katanya tengah luruh. Opah Bi telah simpan tiap minggu harapkan kami balik, katanya sudah penuh dua balang besar dia buat tempoyak sebab tak siapa lagi larat makan. Simpan-simpan orangnya tak balik lalu buat tempoyak. Rambutan, manggis, cempedak tak siapa nak petik; banyak telah meloloh ke bumi, terbuang begitu sahaja.
Aku terfikir juga mungkin apak tak mahu belikan sangkar sebab Avanza kami tak sebesar mana,. Mana nak letak buah-buahan jika mahu dibawa pulang ke Jenaris.
Mana nak letak barangan pancingnya. Apak kalau mahu balik kampung mesti nak memancing. Along tak rajin temankan apak memancing, dia leka dengan telefon bimbitnya sahaja. Tak lepas main sistem pesanan ringkas (SMS). Aku selalu juga tegur Along kenapa asyik SMS sahaja tak rugi duitkah!.
“Angah tahu tak sekarang ini SMS tu cuma 1 sen, nak habiskan RM1 pun penat nak taip tau tak?” aku manalah tahu kadar telefon bimbit ini. Bila Along telah marah ditegur aku malas nak ikut campur. Aku tahu apak sering marahkan ibu bab SMS ini; ibunya yang memanjakan. Along itu baru hendak habis Diplomanya di Politeknik. Tiap bulan ibu yang kasi duit untuk tambah nilai telefon bimbitnya.
Di kampung aku lihat Azim & Rahayu elok pula bermain, dari main Ketinting, Konda-Kondi, Batu Seremban sampailah main Congkak. Ada sahaja mainan yang mereka lakukan. Azim tidak memilih, mainan kanak-kanak perempuan pun dia layan dengan adiknya itu. Kejap-kejap aku lihat mereka main laga buah getah. Naik merah tangan Along jadi tukang lagakan. Lupa langsung akan Cokak, sementelah di rumah Opah Bi tiada kucing jadi Rahayu nampak gembira sahaja di kampung.
Aku pun tak larat nak makan durian. Menjadi betul durian di Perak tahun ini. Tiga hari dua malam kami di kampung apak; asyik makan gulai tempoyak pun sambal belacan taruh tempoyak. Opah Bi masak jangan ceritalah sedapnya.
Apak biasalah tiap petang sampai Maghrib pasti ke tapak lombong, Azim suka temankan apak, aku ikut angin; aku pergi bukan nak mengail sangat tapi aku tenguk pokok teratai & belibis terbang. Mana ikan puyu yang masih hidup, tak telan umpan ke dalam perutnya apak akan simpan di balang untuk bawa pulang ke Jenaris.
“Ikan puyu ini sepasang RM5 harganya, orang kata elok kita bela di rumah!” apak suka sangat dapat kail banyak ikan puyu.
“Ayu mimpi malam tadi ibu Cokak … si Topeng tu beranak lagi!” tetiba Rahayu memecah kesunyian. Ketika itu Avanza yang apak pandu mendaki gunung di Gua Tempurung. Hujan renyai, cahaya senja nampak cantik biar pun awan pekat hitam bagaikan mahu kiamat. Bunyi enjin Avanza agak kasar melolong; mana tidaknya aku sudah naik lemas mencium bau durian. Apak macam kemaruk durian, melambak dibawanya. Belum lagi, balang ikan puyu, manggis, cempedak & langsat. Hendak kasi kawan makan katanya.
“Macam mana kalau betul-betul si Topeng tu beranak iyer ibu!, nanti berebut neneng pula dengan Cokak!” Rahayu panggil tetek itu neneng.
“Mana ada kucing lepas beranak nak beranak lagi!” ibu mematikan bualan Rahayu.
Kami hanya singgah sekali untuk berehat dan solat di waktu Isyak, menjamakkan sembahyang Maghrib; jamak takdim. Aku menjangkakan sekitar empat atau lima jam sampailah kami di Jenaris. Along & Azim aku lihat sekitar jam 11:00 malam telah lena. Aku kalau berjalan jauh jarang boleh lelap mata. Aku lihat Rahayu di sebelah Azim pun masih tak boleh tidur.
Aku syak dia mesti mula rindukan si Cokak.
Jalan agak sesak maka kami lewat sampai ke Jenaris. Jangkaanku sekitar 11:00 malam kami sampai meleset. Sekarang telah jam 12:15 malam kami baru sampai di Plaza Tol Sungai Besi. Apak suka ikut Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban untuk pulang ke Jenaris. Aku intai ke belakang nampaknya Rahayu pun sudah mengalah.
Sekitar 12:45 malam, baru kami sampai di pintu pagar rumah. Aku turun untuk membuka kunci di pintu pagar. Terkejut aku ada lembaga di belakang menarik bajuku. Rahayu rupa berdiri dibelakangku. Buka sahaja pintu pagar dia berlari ke rumah kotak Cokak. Kosong!. Si Topeng ibunya pun tak ada tidur di dalam kotak. Rahayu mula memanggil Cokak. Apak parkir Avanza; ibu turun memujuk Rahayu masuk rumah. Rahayu masih memanggil Cokak, mencari-cari di sekitar pokok bunga. Memang tiada Cokak. Bila kami masuk ke rumah aku nampak si Topeng di muka pintu. Pulang sendirian. Rahayu tambah cemas, dia mula berbual dengan si Topeng; manalah si Topeng faham cakap Rahayu.
Akhirnya Rahayu menangis dan berlari ke kamarnya. Menyembam muka ke bantal. Aku tenguk ibuku memujuk.
“Esok Cokak pasti balik; entah ibunya hantar tidur di mana!” ibu cuba menyakinkan hati Rahayu.
Aku pun mengantuk sangat lalu tertidur. Pagi buta lagi aku dengar Rahayu mula meragam. Mula tak mahu ke tadika dia kata hendak tunggu si Topeng bawa anaknya Cokak balik. Ibu tak sampai hati melihat Rahayu meragam terpaksa ambil cuti kecemasan.
Hari kedua Cokak tak balik, aku lihat apak telah belikan sangkar yang Rahayu mahukan. Rahayu pandang tidak pandang sahaja.
“Nanti kalau Cokak terus tak balik, bukankah ibunya si Topeng boleh beranak lagi!” apak cuba memujuk Rahayu.
“Ayu tahu, apak sengaja jadikan Cokak itu macam Citam tak balik-balik, Ayu dah agak apak tak sayangkan kucing, nak buat apa beli sangkar untuk Cokak; Cokak takkan balik lagi, apak tak sayang Cokak… mana Cokak Ayu!… ibu semalam pun cakap mana ada kucing sudah beranak nak beranak lagi!… Ayu nak Cokak Ayu juga!”
Apak tidak dapat hendak tangkis lagi pertanyaan Rahayu, ibu cuba memahamkan apa yang dia cakapkan semalam. Si Topeng tidur lena di ruang anjung dengan kekasihnya si Tuah. Air mata Rahayu masih lebat turunnya.
iDANRADZi
Jenaris Kajang
15.8.10
Cerpen : Berikan Aku Laluan
“Mana pula semua orang ini” Lengang amat suasana di Klinik Kordia, Hospital Serdang.
“Semua doktor & sebahagian jururawat ke simposium” Jawab seorang jururawat berumur 30an.
“Saya sekadar nak ambil sampel darah sahaja, bolehlah kot!…”
“Tenguklah nanti, sila encik ke kaunter tingkat bawah buat pendaftaran” Tak tahulah pula kena daftar di kaunter Tingkat 1, ingatkan kalau dah ada temujanji tak payah daftar.
“Daftar nak ambil darah, saya Pesara!” Tiba di kaunter bawah agak banyak kaunter & cepatlah urusan pendaftaran.
“Tiap kali jika encik mahu jumpa doktor encik kena daftar di sini dulu..”
“Okey!” Ini kali ketiga punyai temujanji dengan pakar jantung, tak perasanlah pula prosidur di hospital ini begitu. Harap-harap akan menjadi lebih cekap & sebaik Pusat Kesihatan UPM (Pkupm).
Kenapa aku katakan sebaik & secekap PKupm. Bagi nan pernah ke sana pasti perasan urusan di sana begiti cepat, sesekali pergilah. Tenguk bagaimana pantas & selesanya urusan di sana. Sampaikan tertulis di pintu setiap bilik doktor; ayat yang lebih kurang begini “Jika 22 minit anda masih tidak ketemu doktor sila buat aduan”. Harapanku satu ketika nanti aku dapat melihat perkembangan akta cekap, cepat & pantas pun tak menyakitkan lagi pesakit ini diharapkan terlaksana Klinik Kardio, Hospital Serdang.
PKupm itu kelebihan yang aku lihat adalah sebab punyai ramai doctor pakar. Hospital Serdang aku memang tidak pasti. Cumanya pengalamanku yang kerap kali berulang alik ke Wad Kecemasan contohnya, teramatlah naif & menginsutnya layanan di sana. Bayangkan aku pernah dibawa naik Ambulan lantaran tekanan darah tinggiku melonjak naik sekitar 180/110 mmHg (milliliter air raksa). Terpaksa menunggu doktor sekitar tujuh ke lapan jam. Sampaikan tekanan darahku jadi normal semula. Perkara ini pernah ku tulis dalam jurnalku.
Memang boleh buat ceritera panjang atau bangsawan; belenggu menunggu & sedih yang amat sukar untuk aku lupakan. Diri aku satu hal, pesakit yang lain yang rasanya amat menderita sakitnya terbiar menunggu. Punca yang dapat aku kesan adalah lantaran tidak cukup doktor yang bertugas.
Mangsa kemalangan yang tetiba ramai terpaksa didahulukan membuatkan orang sakit seperti aku diketepikan. Sampai pihak hospital menampal carta di dinding siapakah yang lebih berhak didahulukan dengan perbagai peringkat kecemasan. Antara paling cemas atau kategori pertama kecemasan ialah pendarahan yang berterusan, pitam atau pengsan tak sedar diri, pesakit jantung yang kronik strok umpamanya, adalah lagi jenis sakit yang dikelaskan sebagai kecemasan. Aku tak ingat semua. Sakit darah tinggi tak termasuk kategori pertama kecemasan sebab tak strok lagi atau sampai kena angin ahma.
Cemas memanglah semuanya cemas, cumanya cemas siapa yang lebih dekat dengan kematian berbanding siapa yang akan lebih bertahan dengan kematian. Seperti kes aku doktor di PKupm telah mengesahkan aku kritikal tetapi tiba di Hospital Serdang katanya tak kronik lagi. Terkadang aku terfikir jikalah aku ini VVIP apakah masih dilayan begini? ayat geramlah ni!… iDAN titik.
“Encik Haridan…”
“Iyer! saya..”
“Jom ikut saya!… puasa tak hari ini? ” Seorang jururawat agak gempal berwajah kampung mengiringi aku ke bilik mengambil sampel darah.
“Haa aah! puasa sejak 11:00 malam tadi..”
Banyak bilik yang terpaksa aku lalui di klinik ini. Bilik ambil sampel darah, nun jauh ke belakang sebelah kiri. Memang tak berpenghuni kebanyakan bilik yang aku lalui.
“Selalu ambil samel darah sebelah tangan mana…” sambil mengambil tiub-tiub untuk diisikan darah. Jarum tentunya. Jarum itu aku lihat macam gigi dracula.
“Sini..!” Aku menunjukkan tangan kananku, telah ada bintik-bintik hitam di dekatan pelipat tangan kananku.
“Isk! berapa tiub nak ambil iyer!” Aku agak panik tenguk ada lima tiub sebesar jari kelingking yang susun terbaring di meja.
“Memang perlukan sebanyak ini!” jawab jururawat; Sudah namanya pun untuk keperluan doktor pakar jantung.
“Pengalaman saya paling banyak dua tiub darah sahaja, biasanya lama tak keputusannya baru tahu!.” Di PKupm kalau ujian terapi untuk kolestrol, glukos & perbagai biasanya pagi diambil sampel darah sebelah petang dapatlah keputusannya.
“Lambat lagi ikut jadual kami itu” aku perasan bulan hadapan baru ketemu mereka lagi. Sebulan lagi. Waduh! lama banget.
“Tentunya ini lebih terperinci & banyak ujian yang akan dikaji kot!..” Aku bercakap sendiri, jururawat diam sahaja.
“Okey! saya cucuk jarum ini ke tangan encik iyer!…. genggam tangan tu! ” Aku menoleh kelain, tenguk gigi dracula tu memang ngeri; Aku menarik nafas dalam
mahu merasa pedihnya jarum menyucuk ke dagingku. Tak dengar suara Bismillah dari mulut jururawat, tentunya dalam hati… bisik hatiku. Jika di PKupm lazimnya
dengar suara jururawatnya berBismillah. Amboi! pandai pula nak beda-bedakan orang ini, cucuk sampai habis jarum ini baru tahu.
Agak mengambil masa juga lantaran banyak sangat darah diperlukan. Hingga bersungut jururawat katanya “Makin perlahan keluarnya darah ini…”
“Lepas ini saya boleh balik tak?” Aku lihat jam tangan replikaku RM25K aku. Tak sampai pun sejam lagi aku berada di klinik ini.
“Ikut jadual kami kena buat Ujian Stres (stress test)…” Apa bendanya pula tu. Tadi pun jururawat ada bertanya tentang entah apa nama ujian; ECG ke apa..adakah aku telah lakukan, aku tak pasti; bila dia tanya aku kata sudah saja. Bukannya apa, malas nak buat ujian pun satu hal. Takutnya nanti bila diuji sahaja bertambah lagi ubat-ubatan yang terpaksa dimakan.
Sekarang pun yang mesti dimakan tak boleh tidak ada enam jenis pil kena ditelan. Setipa hari. Campur ubatan kubeli sendiri, kalau rasa sakit buah pinggang ini dua jenis lagi aku makan ubatan herba dari China. Lapan jenis semuanya. Biar bebetul takkan nak makan sampai berbelas ubat. Hancur, bengkak hatiku nanti.
Kes aku bertindih tiga kelompok doktor. Buah pinggang, batu karang sekitar anggotanya dirawat oleh doktor di Kajang. Darah tinggi kolestrol perbagai di PKupm. Jantung & hati di Hospital Serdang. Dulu kalau sesak sangat aku ke Klinik Husni, doktor panel. Sekarang tak boleh lagi sebab telah bersara. Kalangan doktor memang makin risau tentang kesihatanku.
“Bulan depanlah Encik Haridan datang lagi untuk buat Ujian Stres!” aku lihat ada sepasang pasangan sahaja yang tinggal. Tadinya memang ada dalam empat atau lima kelompok
pesakit.
Semua pesakit berteman kecuali aku sendirian. Aku sempat berbual dengan seorang Apek. Ingatkan dia yang sakit tetapi bila ditanya isterinya di sebelah... memang nampak uzur amat.g sakit. Apek pun amat menyayangi Nyonyanya.
Hakikatnya pesakit di Hospital Serdang ini kebanyakannya adalah setelah disaring yang perlu dibuat rawatan terapi. Kebanyak Hospital di Lembah Klang ini menghantar pesakitnya ke sini. Maka itu jika dilihat pengunjungnya memang padat. Temujanji pun hanya dari pagi ke tengah hari sahaja.
Mila isteriku entah bila mahu menemani aku ke doktor pakar jantung ini. Entah berapa tahun aku akan mengadap doktor pakar di sini. Sendirian dengan 1001 pertanyaan. Apakah tindakan doktor pakar nanti. Jantung berdenyut tak menentu.
2
Awal pagi hari ini Isnin 8 Mac 10; Cuaca suram sesuram hatiku. Aku terpaksa berkejar ke Klinik Kardio pakar jantung di Hospital Serdang lagi.
Temujanji yang bagaikan berlindung dari Malaikat Maut. Takut mati, semua orang takut mati tak terkecuali aku. Maka itu bila sakit aku terpaksa berubat. Ikhtiar. Tak ikhtiar ibarat kita mahu membunuh diri. Maka itu aku sering bilang; ubat yang aku telan ini ubat takut mati.
Ikut catatan di Buku Rawatan ini kali ke tujuh. Dalam tempoh setahun lebih aku berulang alik ke Klinik Kardio. Tak menentu jadual temujanji; ada yang lebih dari dua bulan, ada yang sebulan dua kali yang pasti aku masih buntu; lantaran doktor masih tak dapat pengesahan tentang sakit jantungku.
Aku ingat nak naik kapcai sahaja hari ini, payah nak parkir di sana. Semakin hari nampaknya semakin ramai yang sakit. Parkir semakin sesak.
Keramaian ini sebenarnya lebih kepada pengiringnya. Menemani pesakit samalah seperti memberi dorongan & kekuatan. Tapi bukan aku. Aku meredah kesakitan ini sendirian. Sejak awal aku dikesan bermasalah jantung. Aku tetap sendiri. Aku telah biasa mengekang kesakitan ini sendirian.
Sendirian di wad amat membosankan; biasanya sampai jam 2:00 petang masih di wad, harapanku hari ini cepat sikit lantaran si Anif nak periksa tak pasti dia ke sekolah bagaimana!. Biasanya aku yang menghantar dia ke sekolah, Anif sudah tak reti naik bas ke sekolah lagi. Tak tahu pun jam berapa bas akan datang.
Harapanku degup jantungku okey!, bulan lalu buat ECG di PKupm nampaknya normal sahaja. Sesak nafas ketika dinihari mungkin ada masalah lain harap-harap bukan jantung. Itu harapan & andaian aku.
"Jika aku mahu pergi pun jangan sampai menyusahkan isteri & anak-anakku. Aku mahu pergi dengan senyap & aman." desah hatiku.
Kedatangan hari ini sekadar doktor nak tahu kesan ubat gastrik yang dia kasi. Ceriteranya samalah, telan ubat gastrik pun aku masih sering diserang sesak nafas ketika dinihari.
2104 nombor untuk ambil ubat 12:56 tengah hari. Sekitar 45 minit barulah dapat ubat.
Sore Isnin; Jangkaanku betul, sekitar jam 2:30 petang baru aku sampai di Jenaris. Kasihan Azim adik si Anif berjemur dekat sejam di luar.
Musibah tak bawa kunci. Setiap ahli keluarga aku telah pun menyediakan sejambat kunci rumah. Anif terpaksa naik basikal. Hujan petang ini tak pasti aku bagaimana dia akan pulang ke rumah.
Pada 20 April nanti barulah aku akan buat ujian Dobutamine Stress Echocardiography (DSE) apa bendanya ujian pun aku tak pasti.
Bila aku risik di alam maya; Dobutamine Stress Echocardiography (DSE). Pemeriksaan echocardiography yang menggunakan infus dobutamine. Biasanya dilakukan untuk pesakit yang dicurigai berisiko jantung koroner tapi tidak dapat diperiksa dengan alat Treadmill lain seperti ECG. Selain untuk mendeteksi ada tidaknya penyempitan pembuluh koroner, pemeriksaan DSE juga dapat digunakan untuk mengetahui viabilitas otot jantung dengan memantau gangguan gerakan otot jantung.
Harapanku janganlah sampai aku dibedah. Sakit sebenarnya jika dibelah pun dikopak dada ini. Mungkinkah doktor akan bedahku, rasanya tidak sebab aku telah berusia lagipun aku ada diabetes. Luka yang dalam bolehkah baik. Maka apa ikhtiar pakar!. Emmm! biarkan saja.
3
"Apa kata doktor tentang jantung adik" aku nampak seorang pesakit berusia sekitar 30an.
"Sah ada injap tersumbat, kena dibedah.."
"Bila doktor jadualkan mahu dibedah, mahal tak kosnya dik"
"Ini masalahnya, doktor perlukan sekitar RM22K sedangkan kompeni tempat saya berkerja itu cuma boleh biayai RM15; doktor kata kena segera agar injap ini tidak bertambah mengeras!"
Aku terdiam, aku tak sanggup lihat wajah suram pemuda ini. Jika aku di tempat dia bagaimana. Inilah musibah pekerja swasta; tanpa ada insuran di mana tempat mengadu.
"Kes adik ini banyak berlaku, rasanya KLinik Kardio ini boleh tolong cari mana-mana Badan Kebajikan atau NGO untuk menamping kos pembedahan;
adik berbincanglah dengan doktor... apa nama adik iyer?"
Sedar tak sedar telah lebih setahun setengah aku berulang alik ke wad ini. Memang pelbagai masalah pesakit aku dapat cungkil hasil bualan aku dengan pesakit jantung sepertiku. Bulan lalu ada seorang pesakit bangsa India masalah yang sama; tak cukup duit untuk membuat pembedahan. Tak dapat dibayangkan jika kes jantung ini dibawa ke IJN; pastinya lebih tinggi kosnya.
"Nama saya Hafzan...kawan-kawan panggil Zan sahaja; padanlah saya rasa selalu penat!"
"Berapa kali dah datang ke Klinik Kardio ni?"
"Baru tiga kali sebelum ini saya sering Hospital Sungai Buluh sahaja.."
"Beruntunglah Zan cepat dapat dikesan masalah jantungnya!, kes saya masih tergantung; saya pun tak faham setiap kali datang bertukar doktor kemudian asyik bertukar cadangan, pernah saya mahu dibuat DSE tetiba dibatalkan. Mahu diulang Ujian Stres lagi..!" aku lihat Hafzan macam merewang fikirannya, pasti resah dengan masalah pembedahan yang bakal dilaluinya.
"Zan dah kahwin ke belum, tak adakah pengiring Zan ke mari!"
"Dah kahwin, kejap lagi orang nak datang!" emm! maknanya aku jua yang sendirian.
DSE aku dibatalkan lantaran doktor tak berani mahu menyuntik ubat pelali; ketika temujanji DSE darah tinggiku melambung naik; glukos pula sampaikan 15 bacaan. Tak pernah setinggi itu. Dua minggu lalu doktor paksa buat lagi sekali Ujian Stres. Hati aku memang berat nak lakukan sebab aku telah tahu; memang aku takkan mampu melepasi Ujian Stres ini. Faktor berat badan & kekuatan kakiku pastinya menghalang.
Memandangkan nombor giliran aku lambat lagi mahu dipanggil, aku meminta diri pada Hafzan untuk mengalas perut. Dah masakkan sangat dengan temujanji di Klinik Kardio. Jika temujanji jam 9:00 pagi dah pasti sekitar jam 2:00 petang baru dapat ketemu doktor. Jauh amat tersasar dari ISO yang PKump berikan tempoh rawatan 22 minit berbanding lima jam di Klinik Kardio, Hospital Kerajaan. Nak buat macam mana kalau aku mampu ke klinik swasta pastinya aku tak jejak kaki ke sini.
Sekembalinya aku dari kantin aku lihat Hafzan telah ditemani isterinya & anak kecil.
"Sarah perasan abang tu asyik lelah, tak sangka pula kena bedah semahal itu!" senang bila berbual jika seseorang suka membahasakan dirinya ikut
nama panggilan. Aku nampak wajah isteri Hafzan,,, Sarah ikut suram.
"Berdoalah agar ada jalan penyelesaiannya, saya ni tak tahulah Sarah, sudah setahun setengah ke sini doktor masih lagi tak dapat mengesan sakit jantung saya ini."
Selang beberapa ketika nombor Hafzan tertera di skrin. Kami bersalaman & aku sekadar dapat memanjatkan doa! agar Hafzan kembali pulih.
Aku duduk termangu sendirian, majoriti pesakit nampaknya ada pengiring; dengan 1001 wajah kegusaran. Ada yang bersama anak & isteri, tenguk kedut wajah aku telah tahu ayahnya yang sangat. Aura pasakit jantung bagaikan sebati denganku. Ada nyonya bersama amoi seksi, yang lebih gelisah si amoinya hilir mudik menunggu nombor dipanggil; nyonyanya terlena di kerasi roda. Ada minachi dengan anak nakalnya, minachi dah tak larat nak cubit anaknya; ayahnya si Samy buat endah tak endah sahaja. Setahun setengah aku dengan suasana ini tiap kali ke Klinik Kardio Hospital Serdang ini memang tenat. Tenat setenatnya hati & jantungku.
"Encik Haridan, dari data ini saya yakin jantung Encik Haridan nampaknya tak ada masalah kronik, cumanya kami tak dapat kasi ubat-ubatan yang PKupm kasi buat Encik Haridan, Hospital ini tak mampu, semua ubat yang Encik Haridan makan ini memang mahal, tak ada masalah kronik bukan bermaksa semuanya okey; selagi ada sakit diabetes & darah tinggi ianya berkait rapat dengan jantung!; kena terus makan ubat yang PKupm kasi!"
Hanya itu yang aku dapat nasihat dari doktor pakar jantung di Klinik Kardio, Hospital Serdang. Kalimat itu pun aku terima setelah lebih dari setahun setengah berulang alik ke sana. Aku sedih amat akan nasib pesakit jantung yang lain; jika memang Klinik Kardio tak mampu kasi ubatan yang aku terima di PKupm; apakah nasib rakyat marhaen yang senasib denganku. Diberikan ubat yang amat rendah kualitinya.
Sebenarnya ada rahsia ubatan herba lain yang aku yakin telah memecahkan kolestrol di injap aku dari terus tersumbat. Sepanjang tempoh setahun setengah aku terusan mengamal makan seharian herba ini. Biarlah aku rahsiakan nama herbanya, doktor lebih arif nanti bila aku ceritera herba apa yang membantu aku ditertawakan aku pula.
Yang pasti ajal maut itu di tangan Tuhan; kita sekadar berikhtiar mencari penawarnya sakit kronik ini.
iDANRADZi
Jenaris Kajang.
Cerpen ini banyak mendapat kritikan bilamana sebahagian ceriteranya aku hantar ke situs Penulisan2u.my. Mungkin Bahasa Melayu aku tidak difahami!... entahlah!.
Aku hanya dapat mengumpul seorang sahaja peminat dalam tulisanku dari ribuaan yang membaca catatanku ini. Begitu juga Cerpen Topeng Cerpen kedua yang aku hantar ke situs Penulisan2u.my. Hanya peminat aku seorang ini; Siti Soleha Yahaya bertanya penghujungnya Cerpen ini, aku sengaja membiarkan pembaca membuat keputusan sendiri. Di akhir rangkap aku menulis "Si Topeng tidur lena di ruang anjung dengan kekasihnya si Tuah. Air mata Rahayu masih lebat turunnya." Jarang amat kita perhatikan jika kucing beranak kecil akan tidur lena tanpa anaknya. Tapi bukan mustahil ibu kucing menyorokkan anaknya di mana-mana.
Setelah aku amati respon dari pembaca lebih menolak karyaku berbanding yang menerima; maka ada baiknya aku kasi ruang kepada penulis yang lebih muda & berbakat. Penulisan2u.my nampaknya bukan wadah orang seusiaku seperti melayu.com yang pengunjungnya mungkin jauh berbeda. Lagi pun editor di sana nampaknya tak dapat menangkis sebarang komen yang kadangkala boleh menyinggung perasaan penulis sendiri.
28.3.10
Kucing Berduri Kota & 8 1 0 0
2010/03/27
MALAM makin pekat. Berjalan di antara pokok ke pokok. Merayap ke sungai, ke lautan, ke gunung-ganang. Menyusup ke rumah, ke ladang, ke bendang dan seluruh alam untuknya.
“Akan terlepaskah atau tertangkapkah?” sebuah suara terdengar dalam kegelapan malam itu.
Suara itu seperti seekor kucing berduri kota yang sering membesarkan-besarkan perkara kecil. Tujuan untuk melenyapkan pandangan kucing hutan yang dirinya tidak membunuh anak ayam desa. Malam pekat macam minyak hitam tumpah di tanah. Macam permukaan sungai berbayang. Jalan tidak boleh dijangka bengkang-bengkoknya. Barangkali ada ular. Jangan terpijak!
Jika ada sedikit cahaya malam. Boleh nampak pokok bermacam-macam bentuk. Kucing bunuh tikus mondok. Kepala orang dibelit ular. Kucing ketayap tikus. Macam-macam cerita tanpa suara.
Langit mendung berduka, tetapi tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Ada tiupan angin sombong bagai orang sesat di tengah hutan. Takut ditimpa pokok tumbang. Takut melaung dibaham binatang buas. Takut tergetar hati disambar kilat petir.
Zic 9295 dalam rumah di ruang tetamu. Tubuh putih. Hanya memakai baju singlet tidak berlengan. Pakai seluar panjang merah berpetak kecil putih. Dia pandang tembok.
Tembok kaku bagai marah Zic 9295. Tembok memprotes tindak-tanduknya jahat dan kejam. Dia pembunuh. Mangsanya adalah orang-orang yang tidak berdosa.
“Terlepaskah aku atau tertangkapkah aku? Aku adalah kucing berduri kota yang membunuh anak-anak ayam desa.” Cik-cok gelodak jiwanya.
Tembok batu kelabu berdiri merenung nasib Zic 9295. Dia sepatutnya sudah lama ke penjara atau ke tali gantung. Tetapi serigala gearbok pun menyebelahi kucing berduri. Mereka punyai kuasa. Mereka menyebelahi Zic 9295. Mereka melindunginya.
Mereka suka etnik 8100 musnah. Mereka tidak suka etnik 8100 ada kepala dan agama yang terang. Serigala gearbok lagi zalim.
“Kucing berduri kota tidak suka 8100 membina empayar pendidikan. Bukankah 8100 memahami dan mendekati pencipta alam? Jadi kamu suka roh mereka kosong tentang pegangan agama? Tentang akalnya biar hilang hingga hidup seperti haiwan?” Tanya suara hati Zic 9295, seperti kucing berduri kota. Berkawan serigala gearbok.
“Ya, benarlah! Biar 1800 hapus. Kubunuh anak-anak ayam. Itu sebabnya perlu pembunuhan.” Jawab hati Zic 9295.
“Engkau sungguh kejam!” Zic 9295 menghukum diri. Macam kucing berduri kota puas selepas membunuh anak ayam.
Nasib Zic 9295 kena heret ke mahkamah atau tidak? Masih jadi tanda tanya. Kucing berduri kota bebas sebab keluarga ayam tidak punya senjata panah atau lastik. Apatah lagi peluru berpandu.
Zic 9295 melarikan diri. Dia tidak mahu dituduh membunuh walaupun dia membunuh 1800. Dia cemas dan cemas. Dia dalam ketakutan gelap hatinya.
Kepanasan siang padat mencengkam dan menggigit kalbu malam. Nasib malang anak ayam kampung. Mereka tidak dapat pembelaan. Tidur dalam rumah kotak. Reban dirobohkan orang. Dibunuh!
Di luar bangunan Zic 9295, ada hembusan angin kering lembut dan keras. Antara nyaman dan membosankan.
Zic 9295 membunuh manusia macam kucing membunuh anak ayam. Ribuan terkorban. Ribuan yang terseksa dan menderita. Zic 9295 berharap dia tidak ditangkap. Dia tidak mahu nyawanya diancam seperti serigala gearbok menangkap anak rusa.
Tidak ada hukuman akan dikenakan kepadanya. Bicara boleh. Bawa ke mahkamah boleh. Hukuman tidak akan terjadi. Itu perkiraannya.
Zic 9295 diburu dengan kenyataan putar-belitnya bahawa dia tidak bersalah. Dia tidak akan dikenakan hukuman.
Zic 9295 berambut putih. Hatinya pekat-likat hitam. Dia menipu hati tengkoraknya. Walaupun dia tahu perbuatannya salah tetapi kesalahannya bagai angin panas. Hanya meresahkan.
Zic 9295 membunuh orang. Tetapi dia tidak mengaku membunuh. Dia hanya mengarahkan askarnya membunuh. Manusia hanya anak ayam dan dirinya kucing berduri kota.
Itu fikirnya. Bagai lidah-lidah api membakar hangus manusia seperti seekor naga raksasa yang menyemburkan sungai api.
Sebuah helah meloyakan. Dia seorang pemimpin seperti Hitler suka berperang dan menyaksikan mayat bergelimpangan di sana-sini.
Zic 9295 membayangkan dirinya berada di sebuah mahkamah. Dia memakai cermin mata putih bulat besar berbingkai coklat kejernihan daun teh. Dia memakai tali leher merah limpa dengan baju putih berjalur. Baju kot merengkuh bahunya. Wajahnya wajah tua. Dia dilihat bertaring lekok di bawah bibirnya hingga ke dagu.
Kalau dia berada di mahkamah, dia seperti didatangi oleh etnik 8100. Kepalanya dipenggal dan lehernya dikelar. Dia mengelak dan kemudian ketawa. Dia menghilangkan ketakutan memburu darahnya. Otaknya berputar seperti lari dari muncung meriam yang dihalakan kepadanya.
Mata Zic 9295 menjeling hangus. Dalam hatinya tersimpan kesumat dan dendam jahat. Dia membunuh 8100 yang tidak berdosa. Dia melakukan pembunuhan. Tetapi dia menafikan. Berdolak-dalih.
Dia berlagak tegas. Dia menjulang tangan bahawa perbuatannya betul. Baginya membunuh satu kebaikan untuk keselamatan diri. Dia kucing berduri kota membunuh ribuan anak ayam. Apa salahnya?
“Pembunuhan itu rekaan? Bagaimana menjadi rekaan sedangkan 8100 benar-benar tidak bernyawa. Terbunuh. Menjadi mayat.” Bagai dia tahu akan pertanyaan hakim jenayah nanti. Dia takut juga.
“Alasan kamu terlalu mudah.” Kalau jawapan itu yang diberikan oleh pihak 8100, maka dia mesti lekas-lekas membantah.
“Aku mesti belajar daripada ular. Ditanya kenapa ular makan katak. Maka aku akan jawab: Memang makanan aku! Ha! Ha!” Ketawa Zic 9295 dengan kuat.
Zic 9295 terdiam seketika.
“Apa lagi yang perlu aku beritahu hakim jenayah perang bagi membohongi segala pertuduhan jenayah yang aku lakukan?” Bisik Zic kepada dirinya. Itu pun jika dia ditangkap.
Zic 9295 mengurut-ngurut dagunya tanpa janggut itu.
Dia hanya mengemutkan daging dalam mulut sebelah bawah dan atas bibirnya seperti orang tidak bergigi.
Zic 9295 membunuh. Dia memberi alasan licik. Dia mahu jadi seekor belut yang mudah melepaskan diri daripada pertuduhan atau tangkapan. Mengapa tidak?
Dirinya seorang ketua pemerintah. Dirinya punyai kuasa dan punyai rakan pembela. Dia kucing berduri kota boleh membunuh ribuan anak ayam desa. Macam serigala gearbok.
Tangan kanan Zic 9295 mendepa jari bagi menafikan pertuduhan. Dia macam peguam bela yang terkenal. Bijak membohongi fakta dan pandai memutarbelitkan hujah dan pertuduhan.
Wajah yang diburu oleh roh 8100.
Zic 9295 berkerut dahinya. Wajahnya bagai dikeringkan oleh bahang api di tugu pemanggang daging panas. Dengan kuasa yang ada padanya, dia pernah berkata, “Etnik 8100 mesti dihapuskan daripada wujud di muka bumi!”
Kaum 8100 mesti diusir keluar dari negerinya.
Zic 9295 takut bayang-bayang sendiri. Dia takut 8100 menelannya. Bagai ular sawa menelan kambing hitam.
Zic 9295 memberontak di tempat tidur. Bayangan mahkamah sentiasa memburunya. Dia mesti belajar bijak memutarbelitkan segala kenyataannya. Dia tidak mahu dirinya ditangkap.
Dia sengaja membuat kenyataan mengelirukan. Dia mahu memperbodohkan semua hakim yang bertanya soalan kepadanya. Apakah hakim bodoh seperti yang disangkakannya? Atau hakim itu adalah orang-orang Zic 9295 yang menyamar sebagai hakim.
Zic 9295 membiarkan rambut putihnya menjadi kusut. Dia bimbang dirinya akan dijatuhi hukuman bunuh oleh rakyat dunia.
Kini dia mesti mencari jalan dan peluang membohongi segala apa yang telah dilakukannya. Dia mencari alasan lagi. Walaupun Zic 9295 tahu bahawa 1800 tidak melakukan kesalahan atau melakukan apa-apa jenayah.
Wajah Zic 9295 tersungkur dalam longgokan tulang-tulang. Dia lemas, tetapi cepat-cepat ditarik wajahnya yang tersungkur. Begitu igauan buruk memburunya.
Kini kelihatan wajah mukanya merah menyala. Kulit merah putih terbakar oleh pemburuan darah naluri kejamnya. Dia menggali dan mengejar ayat-ayat bohong dari lubuk kotor hati.
Dalam bayangan dirinya, roh 1800 datang menikam tubuhnya.
Bagi Zic 9295, pemimpin merupakan orang yang berkuasa besar. Boleh melakukan apa sahaja. Katanya dengan wajah berani, tetapi kecut di perut. Di kucing berduri kota boleh membunuh anak ayam desa. Dia mesti menghebohkan hal remeh yang ditimbulkan oleh etnik 8100.
Lagaknya selamba seperti laku seekor Firaun. Semua orang takut dan tunduk. Dia menjadi batu besar di atas gunung. Rakyat di kaki gunung. Rakyat takut batu menggolek dan membunuh.
Watak seekor Firaun bersalutkan serigala gearbok. Sedangkan dalam dirinya sang anai-anai membina busut tinggi dan keras. Busut ini akan menujah otaknya. Otak itu akan keluar di depan mata.
Apa yang terfikir di kepalanya, dia membunuh 8100. Menjadi kucing berduri kota bersalutkan serigala gearbok bersama-sama membunuh anak ayam desa.
Jika bercanggah pendapat, dia dikeluarkan. Dia lagi lega diasingkan. Dia senang bercakap sesuka hati. Kelompok yang menjadikan dirinya manusia, itu tidak penting lagi. Asalkan dia masih ada kuasa. Dia boleh mencerca siapa yang mengutuknya. Dia masih bebas. Dia belajar dengan kehidupan pokok enau dalam belukar.
Zic 9295 terbayang kucing berduri kota lagi. Selagi bernama kucing, dia boleh mencakar, mengiyau dan membunuh. Kuasanya di misai kucing. Malam hari, lagi mudah membunuh.
Itu yang difikirkan. Itulah dikatakan kepada semua orang. Setiap pertuduhan, dia hanya ketawa dan menafikan yang dirinya kejam atau bersalah. Mengiyau-ngiyaulah dia!
Malam makin menggigit. Tengah malam sudah berlalu lebih dua jam. Bunyi kenderaan tidak kedengaran di jalan raya. Apatah lagi bunyi motosikal. Bunyi kokokan ayam belum lagi. Barangkali sejam lagi adalah kokokan ayam itu. Jam tiga pagi nanti.
Malam di luar ada angin sejuk dan nyaman. Di dalam kamar masih dibelenggu oleh peluh panas dan masam. Kepanasan hati menjadikan semuanya panas walaupun tempat sejuk. Sikap kejamnya menjadinya dirinya diuliti oleh roh jahat.
Pembunuh berbadan besar. Zic 9295 mahu menghapuskan golongan etnik 8100. Itu tekadnya.
Zic 9295 membesarkan sikap bongkak. Dia memelihara katak di bawah terowong tertutup. Dia kucing berduri kota boleh bila-bila menangkap katak. Dia tahu bahawa bila-bila waktu dirinya akan dihentak hanyut oleh empangan air pecah yang tiba-tiba menerjah. Dia bersedia.
Itu komplot fikirannya. Kacau.
Bagi Zic 9295 bahawa etnik 8100 jelek. Zic mengejar nama tumpang serigala gearbok. Dapat publisiti murah dan mudah. Tak perlu berdiri lama sebagai pemimpin. Dia perlu naik macam serigala gearbok. Heboh orang kata dia berani tetapi poyo, maknanya tak guna.
Etnik 8100 mesti dihapuskan. Mereka perlu dibunuh. Biar roh pegangan agama 8100 merayap ke tempat gelap. Biar akal etnik 8100 hilang. Biar 8100 jadi katak bawah tempurung kaca tanpa pendidikan.
Sikapnya melampau dan hilang pertimbangan.
Etnik 8100 beragama Islam. Mereka mengagungkan kebaikan dan melarang permusuhan. Mereka bersolat berzakat. Mereka percaya Nabi Muhammad saw itu Rasul utusan Allah.
“Kepungan menjadi punca!” antara kata-kata Zic 9295 kepada orang yang mahu mengheretnya kena hukum, dipenjarakan.
“Kenapa kepungan?” Tanya Hakim Jenayah. Barangkali itu pertanyaan hakim.
“Apabila mereka terkepung mudah membunuh. Bukankah saya kucing berduri kota? Mudah seperti membunuh anak-anak ayam desa. Membunuh tidak salah. Itu hukum alam!,” tegas Zic 9295 meninggi. Perkiraannya menyeleweng. Undang-undang ciptaan diri.
“Apa dosa 8100?” Zic 9295 mencongak soalan hakim.
“8100 mahu merdeka.” Zic 9295 menghentak kaki. Dia menyembunyikan sebab utama yang terbuku hitam di hatinya.
“Apa salahkah merdeka untuk 8100?” kalau itu disoal hakim.
“8100 tak perlu merdeka. Kami perlu perkosa merdeka mereka.” Alasan Zic 9295 yang mahu merosakkan roh pegangan etnik 8100.
“Merdeka ketakutan kamu?” tanya hakim. Kira-kira begitu.
“Jika kaum 8100 merdeka, maka kami akan lelah dan gelisah.” Zic 9295 tahu etnik 8100 sedang berlumba maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan.
“Lelah! Gelisah?” Tanya hakim semula.
“Saya tak mahu etnik 8100 merdeka. Nanti aku tak muncul menjadi hero. Aku tak dapat liputan dunia. Aku baru dalam dunia ini. Aku perlukan orang selalu menyebut namaku dengan kukuh!” Zic 9295 mahu terkenal dan berkuasa seperti Firaun.
“Apakah suara orang lain tidak perlu ?”
“Suara 8100 hanya perlu di depan senapang dan dimuntahkan peluru kepada mereka semua.”
Dialog Zic 9295 yang sentiasa mengancam kemunculan etnik 8100 di muka bumi. Suara Zic 9295 yang telah membunuh 8100.
“Yang Arif jangan salahkan saya kerana membunuh 8100.” Dia cuba menjawab soalan hakim jika benar-benar dia ditangkap.
Dia bercakap seperti dirinya didatangi ribuan wartawan dan pemimpin dunia. Dirinya diangkat sebagai tokoh paling terkemuka. Pemimpin dunia akan hormat dan tunduk kepadanya. Pemberita akan berebut-rebut datang menemuramahnya. Itu rancangannya.
Ketika itulah datang polis antarabangsa menangkapnya. Dia perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Dia perlu ke mahkamah Jenayah Antarabangsa. Hari sudah subuh.
Dia hendaknya dikenakan hukuman bagi setiap perbuatan kejamnya membunuh 8100 yang tidak berdosa. Ini satu pengajaran kepada setiap pemimpin dunia lain.
Kuasa tidak boleh disalahgunakan. Termasuklah Perdana Menteri Israel itu!
Profil
A GHANI Abdullah, anak kelahiran Kampung Ramuan Cina Kecil, Melaka, pernah menjawat beberapa jawatan seperti Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena); Setiausaha Barisan Bertindak Bosnia (BBB); Penyelaras Kelab Sastera DBP; Pengarah/ Pengurus Pentas/ Pelakon Drama Pentas; Penyelaras Pertandingan Drama Sekolah Menengah Malaysia; Fasilitator PPSB/PLKN Selangor; Penilai Manuskrip Sastera; Hakim /Penilaian Hasil karya Kreatif; Penulis novel, cerpen, drama, puisi dan esei; Editor Urusan Jalur Sejahtera Sdn.Bhd. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah AFP Sdn Bhd ; Konsultan Kreatif dan Strategi; Perunding Kreatif Wajah Masih Terpaut (BAJAP-JPM); Sidang Editor Dewan Sastera; Sidang Editor Dewan Budaya; Pengarang/Penyelaras Dewan Perintis (Sabah); AJK/SU Cempaka Berbunga (Zaman Usman Awang); Presiden KPPDBP; Ahli Majlis Bersama Jabatan Badan Berkanun Malaysia; Lawatan sambil belajar ke Maghribi, Sepanyol, Turki, Jordan, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Palestin dan Mesir.
Pernah memenangi pelbagai hadiah penulisan kreatif. Antara novel beliau ialah Camar Putih di Awan Biru (DBP); Permaisuri (CESB); Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan (PKS); Harimau Oh Harimau (PKS). Lebih 50 bukunya diterbitkan dalam pelbagai genre novel, cerpen, cerita kanak-kanak dan lain-lain. Kini penulis bebas.
19.3.10
Dunia Buku: Aduhai menyengat dalam beringat
Kumpulan cerpen ditulis berdasarkan isu semasa bagi menyedarkan Melayu
ADUHAI, kumpulan cerpen Dr Fatimah Busu pasti memberi kepuasan kepada pembaca yang dahagakan bahan bacaan kritis dengan sebahagian besar kisah berdasarkan kepada peristiwa semasa yang berlaku di negara ini, tetapi digarap dalam bentuk kreatif dari sudut pandangan pengarang ini.
Bukan saja pembaca dapat meneka siapa yang ditujukan pengarang ini melalui sesetengah cerpennya kerana sebahagian sindirannya langsung sehingga bukan saja menusuk kalbu pelaku, tetapi berkemungkinan juga menyebabkan degupan jantung mereka terhenti kerana bisa tersentap.
Itulah Fatimah dalam Aduhai yang boleh diterjemah juga sebagai perjuangan pengarang itu dalam menerjah kejelekan, kebejatan dan kebobrokan masyarakat apalagi bangsanya yang bukan saja parah, malahan nazak serta menanti masa untuk dikebumikan tanpa perlu ditalkinkan! Fatimah seolah-olah tidak takut akan kemungkinan yang akan berlaku terhadap dirinya sebagai pengkarya ekoran kelantangan cerpennya dalam bersuara sehingga ada kalanya pembaca berasa ngeri melihat keberaniannya mengkritik termasuk di kalangan pemimpin politik negara ini.
Antara cerpen berbau politik yang bergerak atas dasar ‘berani kerana benar’ ialah Aduhai Si Luncai, Aduhai Pak Pandir, Aduhai Pak Kadok, Aduhai Pak Belalang, Malangnya Si Lebai Malang, Tanah Segara Bukit Itu, Alahai Manisnya Aduh Pahitnya dan Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka.
Aduhai Si Luncai yang mengangkat watak lurus bendul daripada sastera rakyat itu mempamerkan kemuliaan hati pemuda itu dalam memartabatkan ibunya selain menjunjung perintah dengan penuh taat setia, tetapi akhirnya dibalas dengan tuba apabila raja memerintahkan pemuda itu dibunuh!
Cerpen Aduhai Pak Pandir memanfaatkan dunia kesarjanaan bagi menyindir kelompok politik yang kemaruk dan taksub dengan bahasa Inggeris sebagai lambang kemajuan diri dan negara sehingga bukan saja bahasa Melayu dipinggirkan, tetapi bangsa juga malu mengaku dirinya Melayu!
Jika dalam sastera rakyat, pembaca dihidangkan dengan kekalahan Pak Kaduk ketika menyabung ayam dengan raja, begitu juga dalam Aduhai Pak Kadok, tetapi citranya sebagai insan malang dimuliakan sedikit apabila diberi tempat untuk membina pondok pisang sesikat oleh Tok Guru Silat Pulut.
Kesungguhan dan kejujuran Pak Kadok membina hidup baru selepas kematian isteri dan si Kunani, ayam sabung kesayangan, akhirnya tampil sebagai usahawan berjaya dan penyelamat kepada rakannya yang teraniaya seperti Lebai Malang, Pak Belalang, Mat Jenin, Sang Kelembai, Pak Pandir dan Mak Andeh.
Betapa sinisnya sindiran Dr Fatimah kepada raja dalam Aduhai Pak Belalang, perpecahan ekoran perbezaan fahaman politik sehingga sanggup membunuh (Aduhai Lebai Malang) dan penghinaan terhadap bahasa Melayu di Pulau Pinang sambil memanfaatkan Sejarah Melayu dalam penulisan berbentuk intertekstualiti (Tanah Segara Bukit Itu).
Watak Pak Dogol dalam wayang kulit dihadirkan dalam Alahai Manisnya Aduhai Pahitnya mengambil Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai latar kisah dalam usaha pengarang menyengat tokoh politik semua parti tanpa mengira pangkat mereka dan pastinya bangsa Melayu tidak terlepas daripada sasaran!
Isu pendatang haram dan sikap orang Melayu yang terlalu bertolak ansur dalam apa juga perkara dikisahkan dalam nada sindiran, tetapi bersahaja lewat Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka, sambil memanfaatkan gaya berkisah Sejarah Melayu.
Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II memberi ruang kepada pembaca yang tidak mengenali Dr Fatimah untuk mendekati peribadinya secara sepintas lalu dan pastinya akan mendorong mereka untuk menggali karya lain pengarang ini.
Gejala sosial remaja perempuan Melayu dikongsi dengan pembaca dalam 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan, manakala remaja lelaki Melayu (10 Budak Hitam) dengan gaya penceritaan yang dipinjam daripada cerita lisan sastera Melayu, tampil menarik dan mempamerkan kelainan.
Sesungguhnya Aduhai tampil sebagai kumpulan cerpen ‘wajib’ dimiliki khususnya pembaca Melayu jika sayangkan bangsa dan negaranya kerana ia merakam sejarah mereka dalam bentuk penceritaan kreatif yang pedas lagi menyengat, dalam usaha pengarang mengingatkan Melayu jangan sampai lenyap!
Jejak kreatif Fatimah Busu
FATIMAH Busu dilahirkan di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan pada Januari 1943 dan mendapat pendidikan di Maktab Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1970.
Mendapat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang sastera di USM dan berkhidmat di universiti terbabit sebagai tutor, pensyarah serta bersara sebagai prof madya pada 1998.
Dalam jagat kesusasteraan tanah air, beliau menghasilkan pelbagai karya dalam genre cerpen dan novel selain bakatnya mendapat perhatian apabila 10 cerpennya memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Antara cerpennya yang berjaya ialah Mawar Yang Belum Gugur (1971); Nasinya Tumpah (1972); Freshie dan Lambaian Tanah Hijau (1973); Bunga-bunga Pulau dan Sampah Yang Hanyut (1974); Anak Bumi Tercinta dan Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan (1975); Mahar Asmara (1983/1984) dan Al-Amin (1984/1985).
Karya pertamanya, Saat Terakhir (sajak), akhbar Mingguan Negara (1957); cerpen pertamanya, Kerana Adik (Majalah Asmara - 1959); skrip drama pentasnya, Puteri Sa’dong (1960); Gerimis Pagi (1961 - dipentaskan di Maktab Perguruan (P) Melayu Melaka), Megat Terawis (adaptasi - 1963), Cik Siti Wan Kembang 1964, Biduan Dari Neraka 1964-1965 (dipentaskan di Kelantan) dan Jahanam (dipentaskan di USM - 1973).
Novel pertamanya, Ombak Bukan Biru (1977) ditulis ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece I (2005) dan The Missing Piece II (2006).
Koleksi cerpennya Yang Abadi (1980), Lambaian Tanah hijau (1980), Al-Isra’ (1984), Keajaiban Alam (2004) , Bunga-bunga Pulau (2005) dan Aduhai (2009).
Sebagai ahli akademik beliau pernah melaksanakan penelitian ilmiah dengan menghasilkan buku Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan (DBP, 1992), kajiannya bagi mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) yang kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993; Penulisan Kreatif, Teori dan Proses (2003); Nyanyi Sunyi Salam Maria Vvs Sarjana Nasi Dingin (2007), Persamaan dan Perbezaan Dalam Perkembangan Novel-Novel Melayu dan Indonesia (2009), manakala koleksi puisinya, Apa Ada di Sana Versi Dunia (2004).
Cerpen dan novel Dr Fatimah diterjemahkan ke bahasa Belanda, Perancis, Jerman, Denmark, Vietnam, Mandrin, Tamil dan Inggeris termasuk Salam Maria.
13.3.10
Lombong Emas di Kaki Bukit (Cerpen)
2010/03/13
DIA sudah buat keputusan yang muktamad. Setelah berhari-hari dia membolak-balikkan keinginannya. Setelah berjam-jam dia memikirkan tentang tindakan itu. Setelah kepalanya menjadi semakin bengang, dikacau oleh khayalan yang entah mengapa menjengah lubuk fikirnya semenjak dia sampai ke situ. Maka, kini dia perlu melakukan sesuatu sebelum orang lain sampai!
Di kaki sebuah bukit, terletak di kawasan pedalaman jauh ke Hulu Peralla, dalam negeri Cik Siti Wan Kembang. Dilitupi oleh pokok-pokok hutan yang merimbun. Berbentuk lurah menghala ke sebuah anak sungai yang airnya jernih, mengalir dengan lembut sambil mengeluarkan bunyi arus berjatuhan di atas bebatu kecil. Suasana itu cukup menarik perhatiannya.
Kemudian, di bawah rimbunan itu, dia terpandang sebuah dinding batu ‘ikat sembilan’ yang tersembunyi dalam timbunan dedaunan buruk serta tanah-tanih yang runtuh akibat gelinciran dan hakisan. Kedudukan dinding berbentuk seperti sebuah mesin ringkas untuk sesuatu aktiviti, telah menyimpan seribu rahsia yang belum diketahui oleh sesiapa. Itulah tempatnya yang menghantui kepala otak setiap malam, setiap pagi, setiap petang. Dia tidak lena tidur semenjak terpandang kawasan yang amat strategik itu, seolah-olah ada sesuatu yang sedang menarik seluruh kekuatan dirinya hingga dirasakan amat lemah dan guntai. Memerangkap kerajinannya bekerja sebagai kuli lori balak yang hanya pulang ke rumah sebulan sekali untuk menemui anak-anak, terutamanya isteri kesayangannya.
Gaji sebagai atendan atau kelindan lori balak memang cukup lumayan. Sebulan dia akan dapat sampai dua ribu ringgit. Sudah cukup untuk dia anak-beranak membiayai hidup mewah sesuai dengan taraf pendidikannya hanya setakat Sijil Rendah Pelajaran, kemudian dikenali dengan nama Penilaian Menengah Rendah.
Dia tidak mahu memikirkan tentang alam pendidikan lagi. Biar anak-anaknya seramai tujuh orang itu sahaja meneruskan cita-cita hidupnya. Dahulu pernah dia menaruh harapan untuk menjadi guru, tetapi disebabkan oleh kemiskinan keluarga, hasrat dan angan-angan hampa. Tidak mengapa, anak-anaknya akan membawa harapan yang kosong itu ke menara gading.
Sekarang, dia mahu mengumpul kekayaan sebanyak-banyaknya. Dia mahu menebus kekalahan itu dengan tulang empat keratnya. Hutan kampung Peralla yang masih sunti dan dara akan diterokai oleh taukeh-taukeh balak. Kesemua bulldozer, lori-lori balak, case caterpillar, rumah-rumah kongsi untuk pekerja dan tukang masak sudah siap dibawa masuk dan dibina.
Sebelum ini, kawasan itu sunyi dan sepi. Yang kedengaran hanya katak-katak kuong hutan yang suaranya melepasi puncak bukit bergema dari lereng ke lereng. Kakah dan lotong menggoyang-goyangkan dahan, ranting, sambil menepuk-nepuk batang kayu hutan. Mereka kelihatan marah, menunjukkan protes yang habitatnya sedang dinodai oleh haiwan bernama manusia.
Suara-suara unggas itu gegak-gempita dan boleh didengar di kawasan itu semenjak kerja-kerja membina jalan kayu balak diuruskan oleh syarikat berkenaan. Sehinggalah sampai kepada ban balak yang mendapat kelulusan, baharu persiapan untuk menebang dimulakan.
Ajaibnya, dia sebagai pekerja kelindan melakukan kerja sambilan merintis denai dan jalan seluas dua ribu hektar. Mungkin disebabkan dia memiliki sedikit kepakaran menyelusuri pinggir bukit dan memahami rentak makhluk halus dalam hutan, maka dibayar gaji khusus, malah lebih tinggi.
Ketika dia sampai di anak sungai yang membunyikan suara alam yang amat mengasyikkan di kaki bukit itu, dia berhenti sebentar, sementara tangannya mencebuk air yang jernih untuk merasa nikmat kedinginan. Dia menunggang botol mineral tinggi hingga kepalanya mendongak, dan tiba-tiba pandangannya singgah pada suatu binaan yang hamper terkambus .…
“Wah, siapa yang membina segalanya ini? Di dalam hutan tebal ini sudah ada manusia yang menerokainya, tetapi bila? Kalau dilihat pada binaan ini tentu sudah lebih lima puluh tahun.” Bisik hatinya sendirian. Dengan tangkas, kakinya melangkah ke situ, manakala dua orang kawannya belum sampai ke situ.
Dia berdiri di atas batu besar yang tersembul keluar dari lereng bukit seperti perut wanita yang sedang mengandung. Manakala di bawahnya terdapat suatu lekukan persis sebuah kolam akibat ditarah oleh seseorang. Di hadapan bungkah batu itu, terletak binaan konkrit simen menggunakan batu-batu.
“Hairan, bagaimana mereka membina benteng ini lima puluh tahun dahulu? Ini tentu tempat palong emas! Kedudukannya yang agak condong menghala ke anak sungai membuktikan arah untuk menyalurkan air yang disembur ke pipi bukit.” Getus hatinya lagi.
‘Kaya aku pada kali ini. Orang tentu tidak tahu aku datang ke sini untuk memunggah tanah-tanah ke dalam kongsi untuk diayak, ditapis, dan disedut oleh buli-buli raksa. Aku mesti pulang petang khamis ini untuk mendapatkan ibu emas di Bandar.’ Kepalanya dihanyut oleh mimpi-mimpi indah yang bakal dilaluinya.
Dalam sejumlah tiga puluh orang staf pembalakan itu, tiada seorang pun yang mahir tentang sumber kekayaan itu, kecuali dia.
Ketika itu, fikirannya sudah melayang jauh ke Kota Bharu. Tujuh orang anak-anaknya yang sedang bersekolah tidak akan tersisih lagi dari kawan-kawannya. Ibunya yang sedang belajar memandu, tidak lama lagi pandai membawa kereta sendiri. Dia akan membeli sebuah kereta mewah untuk isterinya. Tidak cukup dengan itu, dia akan membina sebuah banglo dua tingkat bernilai ratusan ribu.
“Emas! Siapa yang tidak mahu mendapatkan emas? Sama ada halal atau haram, masing-masing gila dan kemarut menggali emas. Aku hanya mendulang emas secara haram, tidak membahayakan orang lain, sedangkan perompak-perompak di kotaraya mendapatkan emas dengan menggunakan senjata, itu lagi kriminal.” Bentak hatinya.
Dia menarik nafas lega. Menghembusnya perlahan-lahan. Dia memastikan, tiada sesiapapun mengetahui tempat itu. Kalau mereka tahu sekalipun, apakah tindakan yang boleh mereka lakukan? Mereka tidak ada kepakaran. Tetapi dia sudah ada pengalaman mendulang emas di Lubuk Mandi pada suatu masa dahulu.
Masa itu, dia bekerja sebagai kuli tukang rumah. Pada masa orang Terengganu gempar menemui emas di Lubuk Mandi, dia tinggal tidak jauh dari situ. Pada sebelah petang, malam dan hari-hari minggu, dia ikut sama dengan penduduk tempatan mendulang emas. Hingga ada yang mati terkambus oleh runtuhan tanah akibat ketamakan mereka.
Ngauman harimau tenggelam oleh suara mesin menebang pokok balak untuk merintis laluan dan sebagai sempadan dengan kawasan-kawasan yang masih belum diserahkan kepada kontraktor pembalakan. Suara kakah dan lutong kedengaran jauh dan sayup-sayup. Mergastua hutan terkejut bila mergastua bandar datang merosakkan rumah mereka. Seperti juga kita, bila datang musuh menyerang penginapan, kehidupan dan kesejahteraan manusia hanya ingin menunjukkan kekuatan, kuasa dan kehebatan, tentunya sebagai golongan marhain, tersusup-sasap melarikan diri ke dalam kubu yang di bina di bawah rumah. Atau berhijrah melepasi sempadan, ke Negara jiran untuk hidup sebagai pelarian.
Kadang-kadang dia terasa sebu dibuai kesedihan bila teringatkan keanggunan alam yang dimusnahkan oleh kerakusan manusia. Tidak sampai hati dia hendak membunuh unggas-unggas yang sedang tidur dan hinggap di dahan pokok hutan itu. Lambat-laun, manusia akan menerima kesan dari perbuatan ini. Bentak hati kecilnya diam-diam.
Ada baiknya jika kawasan emas itu dibiarkan berada dalam rimbunan hutan, dengan hiasan mergastua hidup kegirangan sambil melompat-lompat kesukaan. Memakan pucuk muda, daun-daun, umbuk, akar, dan meminum air jernih bersih kedinginan.
Bila pokok balak ditebang, akan berlaku hakisan yang meruntuhkan bukit-bukau dan gunung-ganang. Bila tanah terhakis, di mana lagi emas hendak hidup berkembang, membiak, membesar dan menjadi tua? Inilah persoalannya. Balak juga umpama emas yang tersimpan, tetapi kayu balak lebih lagi daripada itu, kerana menjadi paku kepada kekuatan alam. Menjadi tangki penyimpan kepada air untuk kegunaan hidupan termasuk manusia.
Dia mula mengorek menggunakan muncung parang, di kawasan yang mengikut perkiraannya bekas lombong emas di dalam hutan. Dihunjamkan mata parang dengan kuat ke celah benteng palong itu. Dikupilkan tanah-tanah yang hampir menenggelamkan dinding konkrit itu.
“Betul, emas! Aku kaya! Aku kaya!” Dia menjerit kesukaan. Hilang segala kesusahan dan kepenatan. Dia lupa di situ masih ada dua lagi rakannya sedang memotong batang balak untuk dijadikan sempadan kawasan.
“Prappp, prappp, brummmm!” Pokok balak sebesar tayar bulldozer itu tumbang. Betul-betul jatuh menghempas ke atas dirinya. Dia tidak sempat berkata apa-apa kecuali terus menjadi lumat seperti sehelai kertas yang ditenyeh di permukaan jalan.
Profil
ABDULLAH Awang atau nama sebenarnya Abdullah Awang Kechik terbabit dalam penulisan puisi dan cerpen sejak 1972. Nama penanya yang lain adalah Aduka Putra dan Atma Rindu. Karyanya mendapat tempat di Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Berita Harian dan Berita Minggu. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004 dan baru saja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Bahasa Melayu di universiti sama. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, Pasir Mas, Kelantan.
6.3.10
Kreatif: Ketika Sampai Seru
DIBELEK, cantik. Direnung, geram. Dari atas hingga ke bawah, tidak ada satu pun yang kurang. Hidungnya mancung bak seludang, pipi pula bak pauh dilayang. Bagaimana lagi Mak Mah hendak memuji ? Segalanya cukup. Mak Mah puas hati.
“Boleh?”
Suara yang bertanya mati di situ. Tiada pula suara yang bersetuju. Hanya dengusan nafas yang keluar dari lubang hidung. Menolak segala udara dari dalam paru-paru sekuat-kuatnya. Menolak juga segala kepayahan untuk membantah.
Yang ditanya hanya diam, matanya merenung dinding rumah tidak berkelip. Seolah-olah di sebalik dinding itu ada jawapan atau terus tembus, hilang entah ke mana di celah kegelapan malam. Dia sendiri sesat di dalam fikirannya. Bagaimana mahu pulang mempersembahkan satu jawapan?
“Mak dah siasat habis-habis, tak ada yang kurang lagi.” Mak Mah masih cuba memasukkan jarum. Walau peluangnya sangat nipis namun Mak Mah mesti terus mencuba. Sebelum diisytiharkan kalah, Mak Mah tidak akan angkat bendera putih!
Matanya kembali terarah kepada gambar yang dibeleknya tadi. Puas sudah dibelek dan dikaji gadis di dalam gambar itu. Tiadalah lagi cacat cela susur galurnya. Tiadalah mana-mana keturunan gadis itu mempunyai darah kaki judi, kaki perempuan, kaki ekor, kaki lepak hatta kaki dadah. Cukup pula sifatnya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kalau ilmu jangan dicakap. Cekap menanak, cekap menyiang dan memotong. Itu, Mak Mah yang lihat sendiri. Rumah gadis itu bukannya jauh sangat, cuma berselang dua rumah sahaja.
Habis apa lagi yang kurangnya gadis itu? Pelajaran? Gadis itu baru sahaja menyandang jawatan sebagai guru sekolah menengah. Pekerjaan yang mulia, penuh ilmu di dada untuk anak bangsa. Mana hendak dapat pakej yang selengkap itu lagi pada zaman ini? Rata-rata yang berpelajaran tinggi sekarang, tidak usahkan memasak lauk, nasi pun belum tentu rajin menanak. Itulah sebabnya Mak Mah pasti benar, pilihannya kali ini tepat.
“Along cuba cakap, Along nak yang macam mana? Yang gemuk? Yang kurus? Yang lulusan luar negara? Yang anak orang putih atau macam hindustan? Mak cari. Cakap sahaja.” Mak Mah mula berbasa-basi. Berundur bukan bererti kalah.
Tiada jawapan! Mak Mah mencerlung ke wajah Along yang hanya membisu. Itulah anak lelakinya seorang, anak daranya sudah lama dipinang orang. Cuma yang ini lelaki, sebab itu tiada yang meminang. Kena meminang pula. Tetapi kalau semuanya tidak mahu, siapa yang mahu dipinang? Mak Mah pening.
“Along tak tahu mak,” jawab Along perlahan. Masih termenung dan merenung. Lepas dinding, meja pula jadi mangsa. Mungkin lepas ini cawan, karpet atau pensil yang ada di atas meja. Itulah perangai Along bila Mak Mah buka cerita tentang kahwin.
“Apa yang Along susah sangat? Kahwin saja dengan sesiapa yang Along suka.” Mak Mah cuba berdiplomasi pula. Mana tahu entah-entah Along sudah ada pilihan sendiri. Anak muda zaman sekarang lebih bijak daripada orang tua. Syarat-syaratnya mungkin tidak serupa langsung dengan mereka. Mungkin mahu yang rambutnya tercacak bagai duri landak. Siapa tahu?
Along tersengih sedikit. Mak Mah mula lega. “Masalahnya, tidak ada siapa yang Along suka, mak.”
Senyuman Mak Mah mati. Ish! Jangan-jangan anak aku ni tak suka perempuan! Mak Mah berdebar-debar sendiri. Zaman sekarang ini, lelaki perempuan sudah tidak dapat dibeza lagi. Tidak sedar tangannya mengurut-ngurut dada. Atau mata Along sudah kabur?
Mak Mah terjenguk-jenguk melihat mata Along. “Sini ! Mak nak tengok mata Along.”
“Ish, mak. Mengapa tengok mata Along?” Along makin beranjak jauh.
“Semua perempuan yang mak pilih Along tak suka. Mak ingat, mata Along dah kena katarak macam mata mak,” jawab Mak Mah selamba.
Along terbahak-bahak ketawa. Mungkin tidak menyangka sama sekali, ibunya pandai berlawak. “Bukan salah matalah, mak.” Along cuba menenangkan keadaan. Tangan ibunya ditolak lembut.
“Habis salah apa Along?” Tanya Mak Mah sambil terkebil-kebil. Ingin benar dia mendengar curahan hati anak bujangnya yang pendiam itu. Sesaat, dua saat, Mak Mah terus menunggu.
“Hati, mak.”
“Kan mak dah kata, bawa balik mana-mana perempuan yang Along berkenan. Mak akan pinang secepat mungkin. Kali ini mak tak ada banyak soal, mana Along suka itulah yang mak pinang,” jawab Mak Mah tegas. Tangan Along digenggamnya erat-erat. Tangan kecil itu sudah lama menjadi besar. Lebih besar dari tapak tangannya sendiri. Dia cuma mahu Along percaya, yakin pada kata-katanya. Along tersenyum. Mak Mah tersenyum lega sekali lagi.
“Masalahnya hati Along belum jumpa yang berkenan.” Meluncur sahaja ayat itu keluar dari bibir Along.
Senyuman Mak Mah mati buat kali kedua. Perlahan-lahan dilepaskan nafasnya. Dah umur 42 tahun, belum jumpa yang berkenan? Dipilih tidak mahu, suruh memilih pun tidak tahu. Mak Mah garu kepala. Rambut yang beruban itu dirasakan semakin gatal.
Mesyuarat dua beranak malam itu ditamatkan sampai di situ. Misi Mak Mah gagal untuk kali yang ke-21. Orang kata, nombor 21 itu nombor yang baik. Mak Mah sudah berangan-angan hendak buat kenduri besar, tetapi nampaknya kenduri kecil pun dia tidak merasa. Gagal !
Setiap hujung tahun, Mak Mah sibuk penuhi undangan orang berkenduri-kendara. Tidak lekang juga bibir orang bertanyakan Si Along bila nak berkenduri pula. Jenuh juga mulutnya berdalih macam-macam. Kali ini Mak Mah sudah bertekad. Kalau tidak cuti sekolah di pertengahan tahun, pasti cuti sekolah di hujung tahun nanti , dia hendak berkenduri kendara juga. Along mesti kahwin!
***
TETAPI Along tidak banyak berubah. Semakin disuruh, semakin jauh. Semakin dipujuk, semakin merajuk. Lama-lama hati Mak Mah menjadi sedih. Mak Mah merajuk ! Kalaulah Along mendengar cakapkan senang. Terima sahaja sesiapa yang Mak Mah pilihkan. Mak Mah sudah memilih yang terbaik mengikut firasatnya sebagai seorang ibu. Takkanlah dia mahu memilih yang tidak baik untuk anak bujangnya sendiri. Tetapi Along degil! Degil dan keras kepala!
Akhirnya, Mak Mah tidak mahu bercakap soal itu lagi. Duduk di rumah pun Mak Mah tidak mahu. Mak Mah lari duduk rumah Yuna, anak gadisnya yang dipinang Datuk Johar. Biar bila Along balik hujung minggu, tidak dapat jumpa dia. Huh! Mak Mah merajuk sungguh. Biar padan muka Along !
“Assalamualaikum, mak.” Suara Along tertib di hujung talian.
Mak Mah cemberut. “Waalaikumusalam.” Itu sahaja yang Mak Mah jawab. ‘Tak jumpa aku, telefon pula. Kenapalah telefon ini dicipta?’ Mak Mah bersungut-sungut di dalam hati. Yuna anak kesayangannya hanya mengangkat kening dari jauh.
“Mak, Along di kampung ni tapi mak tak ada. Mak di mana?”
“Di rumah Yuna.” Sehabis ringkas dia menjawab. Yuna berkerut di hadapan ibunya.
“Mak, Along balik bawa seseorang untuk jumpa mak, tapi mak tak ada pula.”
“Ha? Siapa?” Jantung Mak Mah berdegup kencang, hampir terhenti. Terbang sudah rajuknya.
“Dulu mak cakap, bawa balik sesiapa yang Along suka, Along bawalah ni.”
“Kenapa tak cakap awal-awal, boleh mak tunggu. Baliklah lagi minggu depan.” Mak Mah menjawab sambil berkerut dahi. Bimbang ayam di tangan terbang pula. Yuna yang memandang dari jauh mula menggaru kepala.
“Baiklah, mak. Minggu depan Along balik semula. Mak tunggu.” Panggilan ditamatkan. Mak Mah tergamam. Terpempan. Terkaku. Matanya tidak berkelip memandang dinding rumah Yuna.
“Mak! Mak!” panggil Yuna berkali-kali. Mak Mah terlompat bila tangannya digoyang Yuna.
“Mengapa, mak?”
“Along nak balik.”
“Along nak balik? Memang Along balik tiap-tiap minggu tengok mak.”
“Ya, tapi kali ni Along nak balik bawa menantu mak,” terang Mak Mah sambil tersengih.
Yuna turut tersenyum. Tidak tahu hendak senyum bagaimana. Hendak suka atau hendak menangis sebab ibunya sedang menitiskan air mata. Keduanya berpelukan. Yuna usap belakang ibunya dengan penuh kasih. Yuna faham perasaan ibunya. Teramat faham.
Dua hari selepas itu Mak Mah berkeras mahu balik ke kampung. Hendak kemas rumah, hendak cari lauk untuk bakal menantu, katanya. Yuna dan suaminya tidak mampu lagi menahan keinginan Mak Mah. Mak Mah dihantar pulang. Demi kasih, Yuna ikutkan sahaja. Yuna turut mengemas mana yang perlu. Ke hulu ke hilir, ibunya bercerita. Yuna semakin pening kepala.
Hari Ahad yang dinanti tiba juga. Pagi-pagi lagi Mak Mah bangun berkemas. Menyiang ikan dan memotong ayam. Mak Mah masak gulai ayam kampung hari ini. Yuna layankan sahaja. Yuna dapat merasakan kegembiraan di hati ibunya. Yuna sebak.
Bila pagi berlalu, petang pula mendatang. Bayang kereta Along pun tidak ada. Dengan muka yang cemberut, Mak Mah duduk di atas tangga sambil memegang sebatang ranting sepanjang dua depa. Pantang ada ayam yang melintas, semua kena libas.
Yuna hanya memandang dari ruang tamu. Sudah tidak terkata apa. Petang dengan perlahan berlenggang ke senja. Sayup-sayup sudah kedengaran Azan Maghrib dari masjid kampung di hujung simpang. Yuna mula hilang sabar. “Mak, marilah masuk. Dah senja. Along tak balik, mak.” Yuna memujuk di atas tangga. Bahu Mak Mah dipautnya perlahan.
Mak Mah menoleh. “Along tak balik?”
“Tak, mak.”
Mak Mah kembali cemberut, kayu yang dipegangnya tadi dilempar ke depan tangga. Berkeok-keok ayam di atas dahan pokok rambutan kerana terkejut.
Perlahan-lahan Yuna memimpin ibunya ke bilik tidur. Menutup pintu dan semua tingkap yang berlangsir warna merah muda. Langsir baru yang dijahit ibunya dua hari yang lalu.
Melihatkan wajah Mak Mah yang kembali murung, perasaan Yuna mula bertambah sayu. Bagaimana lagi harus dia memberitahu ibunya, bahawa Along tidak akan pulang? Along kemalangan dua tahun yang lalu semasa pulang ke situ bersama bakal tunangnya. Bukan Along sahaja yang maut, bahkan bakal tunangnya juga. Sebaik berita itu diterima, ibunya pengsan selama dua hari.
Sejak itu Along terus hidup dalam fikiran ibunya. Seolah masa tidak pernah berlalu. Setiap kali ibunya teringat saat itu, pasti dia akan berkemas dan memasak untuk Along. Dia akan menukar langsir dan menyapu laman. Semuanya untuk Along dan bakal tunangnya. Yuna layankan sahaja. Dia sudah malas bertengkar. Dia hanya mahu ibunya hidup aman dan gembira walau di dalam dunianya sendiri. Ibunya sudah terlalu tua untuk menerima tamparan sehebat itu.
“Mak, mari kita solat Maghrib dulu,” pujuk Yuna.
“Apa? Along dah sampai?”
“Belum, kita solat Maghrib dulu ya, mak. Mungkin Along singgah solat di masjid.” Mak Mah segera bangkit. Yuna memimpin ibunya ke bilik air dengan berhati-hati.
"Jangan lupa pasang lampu luar, nanti senang Along cari simpang rumah kita."
"Baik, mak. Nanti Yuna pasangkan," jawab Yuna perlahan. Mak Mah terus dipimpin ke atas sejadah. Yuna turut sama bersolat.
Tatkala dia mengangkat tangan berdoa, air matanya tumpah ke pipi. 'Ya Tuhan, tunjukkan ibuku jalan pulang.' Mak Mah terus memasang telinga. “Along dah sampai?”
14.2.10
Senja Sudah berlalu (Cerpen)
PINGGAN yang berisi nasi, sedikit sayur kubis dan sepotong ikan kayu yang digoreng garing dipandang tanpa nafsu. Hanya sirap dingin yang menerobos masuk ke kerongkongnya. Sepotong tembikai kuning dicucuk-cucuk menggunakan garpu. Hatinya terasa pedih. Ironinya di hadapan dia saat ini hanya sepotong tembikai; bukan hatinya.
“Makan cepat, masa makan sudah hampir tamat.” Seorang lelaki separuh umur menegur sambil menepuk perlahan bahunya.
Dia mengangkat wajah. Lelaki itu diamati lama. Berkaca mata seperti bingkai gambar di kedai foto, lebih banyak kulit kepala kelihatan berbanding helaian rambutnya, perutnya seperti wanita mengandung lima bulan, atau tujuh bulan agaknya (dia sendiri kurang pasti), berbaju dan berseluar putih, namun dia tertarik dengan gigi lelaki tersebut; putih dan tersusun cantik.
“Pergi masuk ke bilik, jangan merayau. ” Suara lelaki tadi agak lantang. Dia hanya mengangguk. Saat ini dia terbayangkan katilnya yang bercadar putih bersih. Dia mahu berehat. Langit mendung seolah-olah memahami derita hatinya. Guruh berdentum, kilat sabung-menyabung. Titik-titik hujan mula membasahi bumi. Bertempiaran lari semuanya. Dia kehairanan. Bukankah hujan satu rahmat? Bukankah hujan satu keindahan? Pohon dan alam akan bertasbih memuji kebesaran Pencipta. Hujan juga lambang kesenian; bagi pencinta seni.
Dia masih di situ. Tubuhnya kian lencun dek deraian hujan yang kian menggila. Titik-titik hujan ini mengingatkan dia tentang dosa semalam. Biarlah air suci ini membasuh noda di tubuhnya. Irama yang lahir daripada dentuman guruh dan rintik yang menimpa bumi membuai jiwanya. Damai dan mengasyikkan.
“Kamu ini manusia hipokrit! Berpura-pura di balik topeng kemanusiaan!” Suaranya keras. Namun tiada sesiapa yang mendengar. Masing-masing sibuk mencari tempat untuk berlindung.
“Cuba kamu tanya pada diri. Kehadiran kamu di atas muka bumi ini untuk apa? Adakah kamu boleh merubah sebuah kesengsaraan? Boleh memberi harapan pada sebuah kehidupan? Bolehkah? Manusia bodoh!” Herdiknya lagi.
Guruh berdentum lagi bagai mengiringi kata-katanya. Umpama sebuah pentas opera yang lengkap dengan simfoni orkestranya. Ironinya saat ini dia sedang melakonkan watak dari pentas kehidupan yang nyata. Bukan ilusi fatamorgana. Matanya dikerdipkan. Jemarinya meraup wajah yang kebasahan. Bukan kerana deraian hujan. Namun dek air mata yang laju menuruni pipi. Sesekali tersekat dek jerawat batu yang meliar di wajahnya. Titis-titis kemudian berakhir di hujung janggutnya yang separas dada.
“Manusia macam kamu semua ni ibarat enau dalam belukar! Memijak dan menindas. Kamu tidak fikir nasib orang-orang yang kamu dagangkan. Pergi jahanam dengan manusia yang berakarumbikan haloba. Kamu umpama mengunyah daging saudaramu sendiri! Manusia keparat! ” Bibirnya dijuihkan. Tanda kebencian yang amat sangat. Matanya dicerlangkan. Bagai harimau mahu membaham mangsa.
Digagahinya menghayun langkah yang kian tidak bermaya. Bibirnya kebiruan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Kakinya yang telanjang tanpa disalut secebis apapun sesekali terdengkot-dengkot. Kepedihan dek kerikil tajam yang tanpa simpati merobek kulitnya. Sedikit pincang caranya melangkah.
Dia menyanyi lagi. Kali ini lebih nyaring, lebih lantang. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kehadirannya tidak diendahkan. Dunia ini bukan milik sesiapa. Dia anak merdeka. Bukan lagi hidup dalam belenggu angkara. Mereka itu yang sebenarnya masih terjajah hati dan minda. Terkurung di bawah kaca, nampak di mata, namun tidak tercapai dek tangan. Sanggup bertopeng untuk mencapai maksud dan cita. Sering terpesona dengan ilusi fatamorgana. Sedang realiti tidak seindah yang disangka.
‘Aku juga pernah seperti kamu’ Dia bermonolog sendiri.
Hujan mula teduh. Manusia yang tadinya bagai takut-takut untuk melata di bumi, kini kembali memenuhi ruang. Ada yang menekup hidung dan ada yang berjalan terjengket-jengket. Yang menekup hidung; Loya dengan haruman ‘asli’ yang terbit dari longkang-longkang tersumbat. Yang terjengket-jengket; bimbang andai kasut atau pakaian berjenama mahal terkena kotoran dek limpahan air longkang.
Sampah sarap yang berbagai rupa tenggelam timbul menunjuk diri. Bukti pada kedangkalan dan kedaifan insan yang bernama manusia. Semua membutakan mata dengan apa yang terhidang. Ada yang berbisik-bisik. Tidak kurang yang menggeleng. Konon suci. Tidak terlibat langsung dengan apa yang terjadi. Manusia hipokrit! Bentaknya.
Bukankah manusia yang terbenih daripada generasi yang kononnya berilmu, berkualiti, berwawasan dan bakal menjadi peneraju negara sepatutnya boleh membuat keputusan tentang ‘baik’ dan ‘buruk’? Membuang sampah merata-rata; baikkah itu? Hujan yang menyimbah disalahkan bila banjir besar berlaku. Tunding-menunding mula berlaku. Tidak sedar yang satu jari ke arah orang lain, empat lagi jari menunding ke arah diri sendiri. Lagak seperti meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Dasar manusia hidung tinggi. Bangga dengan kebodohan sendiri. Bolehkah mereka ini bersatu? Bolehkah?
Dia berjalan ke arah pondok menunggu bas yang kosong. Dia melabuhkan duduk. Tapak kakinya terasa pedih. Bekas luka dek tujahan botol kaca kembali berdarah. “Kerana terpijak kerikil tadi agaknya.” dia mengeluh sendiri. Dia menyumpah manusia yang sembarangan membuang botol kaca yang pecah.
Terpandang longkang yang membuak busuk membuatkan jiwanya makin sakit. Semalam dia terbaca tentang pembinaan terowong untuk mengelak banjir. Dia hanya tersenyum sumbing. Walau berjuta terowong atau tangki tadahan yang dibina, jika pemikiran dan jiwa manusia masih berada di takat lama, semuanya tidak bererti. Bukit ditarah, hutan digondol, kononnya membina pembangunan. Namun hasilnya tetap kemusnahan. Dia bukan antikerajaan. Bukan juga pembenci kemasyhuran. Dia hanya pemerhati. Entah esok atau lusa dia akan kembali ke alam yang sebenar. Alam yang tiada wasangka.
Dia benci dengan manusia yang berbolak-balik. Dia muak dengan manusia yang tidak mahu mengakui kesalahan diri. Things do not happen. Things are made to happen: Kata-kata John F Kennedy ada benarnya.
Dia ingin memberontak. Dia mahu menentang. Bila difikirkan kembali; Apa yang diperjuangkannya? Apa yang dituntutnya? Dia menekur. Lama. Berfikir sebenarnya. Mencari jawapan pada persoalan yang dia sendiri masih kabur untuk memahami. Dia bingung. Diramas rambut yang kebasahan. Perit dirasakan hingga ke kulit kepala. Dia ingin melempar jauh perasaan gundah yang bertandang. Namun terselit satu rasa di benaknya; untuk apa ketidakpuasan hati ini andai tidak dilontarkan?
Dikeluarkan buku nota kecil berwarna hitam dari bundutan yang berwarna biru tua (sehelai kot lama yang diikat menjadi bundut) hampir lunyai kerana kebasahan. Tekun dia menyelak satu persatu helaian yang kelusuhan. Dia bukan pendeta. Jauh sekali seorang ahli falsafah atau pujangga. Dia tidak mampu membuai perasaan bagi yang membaca baitannya. Dia hanya seorang pemuja. Dia mencari pedoman buat mengharungi badai kehidupan.
Hidup ini satu perjuangan. Kalau tidak berjuang menggunakan senjata, berjuanglah menggunakan akal atau pena : Amir Shakib Arselan.
Dia berpegang pada kata-kata itu. Kerana itu dia suka menulis. Meluahkan apa yang dirasakan. Baginya cinta tidak semestinya bersatu. Namun dia tetap mengagungkan kalimah keramat itu. Hidup tanpa cinta seperti unggun api yang tidak pernah menyala; entah di mana dia pernah mendengar kata-kata ini.
Retinanya memerhati seekor katak hitam yang terlompat-lompat tanpa arah. Sesekali menguak. Tidak puas agaknya bermandi hujan. Nasib dia dan nasib si katak serupa. Tiada teman, tiada haluan, tempat mereka bukan di sini. Bukan di tengah kota raya ini. Bas berbelang biru yang datang laju tanpa kasihan menggelek si katak yang hampir menjadi temannya. Dia bangun. “Hei! kenapa kaulanggar kawan aku ha? Manusia keparat! ” Pekiknya.
Dia sedar yang dia menjadi perhatian. Manusia memang begitu. Kain orang dijaga, kain sendiri berlubang seolah dibangga. Dia mencebik. Si katak sudah tiada. Perutnya pecah. Kuakannya juga sudah tidak kedengaran. Dia sendiri lagi. Manusia di sekeliling hanya menggeleng. Mungkin kehairanan. Mungkin kasihan. Mungkin kebencian. Ah! persetankan itu semua! Dia membentak.
Tekaknya sedikit perit. Dahaga. Dari celahan bundut dia menarik botol plastik yang berisi air kosong. Tidak sampai suku botol. Dia meneguk rakus. Cukup sekadar membasahkan tekak. Cebisan karipap yang berbungkus plastik dicapai. Lahap kunyahannya. Masih belum hilang dahaganya. Perutnya mula berkeroncong. Dia meraba saku bajunya. Hanya dentingan syiling yang kedengaran. Dia mendengus kuat. Seingatnya dia masih punya wang. Hampir tiga puluh ringgit. Namun kerana panas hati, dia telah melempar kesemua duitnya ke muka peniaga gerai. Marah kerana layanan buruk yang diterimanya. ‘Mereka sangka aku tidak punya duit agaknya’ bentaknya kasar. Mereka menilai dia hanya kerana wajahnya hodoh dan pakaiannya compang-camping. Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia di hadapan : Kong Hu Chu. Hari ini dia terlupa pada falsafah yang selalu dibacanya. Dia menggeleng. Mudah benar dia dibuai bisikan iblis. Amarah mengatasi kewarasan akal. Dia tewas hari ini. Raqib dan Atid sudah menuliskah agaknya?
Di hadapannya tersergam rangka bangunan yang masih dalam pembinaan. Manusia yang lain benar bahasa pertuturannya mula mengerumuni pondok bas. Ini pun salah satu daripada kebanjiran. Dia mencebik lagi. Bukan membenci. Namun jelak dengan segelintir yang tidak tahu menghargai budi. Mengambil kesempatan di atas kebaikan kerajaan. Bunuh, rogol, rompak dan peras ugut terlalu banyak membabitkan pendatang seperti mereka. Mungkin tidak semua. Dia bangun. Tidak betah dia berlama-lama di situ.
Matanya meliar mencari pili air. Tekaknya masih dahaga. Dia menyeberang ke kiri jalan. Mencari tandas awam. Tekaknya makin mual dengan bau yang mencemar rongga. Manusia bodoh! Bentaknya. Tandas yang sepatutnya dijaga, sebaliknya dirosakkan. Memang manusia tidak bertamadun! Sumpahnya lagi. Pintu yang terkopak, sinki dan cermin yang dipecahkan, dinding penuh dengan luahan perasaan dan yang paling jijik; najis yang dibiar tanpa dicuci. Memang manusia keparat! Hinanya lagi. Niatnya mahu mengambil air untuk diisi ke dalam botol dibatalkan. Kembang tekaknya.
Harga setiap manusia adalah kebaikan yang dilakukannya: Saidina Ali
Manusia yang tidak punya iman tidak akan pernah memahami kata-kata hikmah sahabat Rasulullah. Walau agama apa pun yang dianuti, kebersihan adalah tunggak utama. Tidak ada agama yang suka kepada kekotoran dan kemusnahan. Memang manusia zaman ini sudah tidak lagi mampu berfikir dengan baik. Manusia bodoh! Ulangnya lagi.
Dia melangkah keluar menuju ke paip di depan surau. Botol yang kosong diisi penuh. Warna air yang kekeruhan tidak menghalangnya daripada meneguk rakus. Menyeringai apabila kepayauan mula bersatu dengan rongga rasanya. Dicepakkan mulutnya. Serasa mahu dimuntahkan kembali.
Masih ada mata-mata yang memandang. Seolah jijik dengan keadaan dirinya. Dia menekur. Kaki yang tidak bersepatu. Penuh dengan kudis dan kuku yang panjang kehitaman. Seluar yang compang-camping, baju kemeja yang dulunya putih bertukar kehitaman, rambut yang berombak kasar tidak bersikat; penuh dengan kutu, wajah yang berjerawat batu, jambang yang meliar, tubuh yang hanya terbonjol tulang berbanding isi. Dia senyum. Terlihat tunggul gigi yang kekuningan. Masih ada lendir saki-baki karipap yang tidak terhadam oleh giginya. Memualkan sesiapa yang terpandang.
Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan bentuk tubuh kamu, tetapi dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu: Sabda Rasulullah saw.
Mereka kata dia gila. Sebab itu dia tidak mementingkan kebersihan diri. Gilakah dia? Tubuhnya tiba-tiba bergoyang (lebih tepat seperti digoyangkan).
“Bangun. Pergi mandi. Dah petang ni.” Matanya masih berat untuk dibuka. Seorang lelaki berjambang nipis memandangnya tajam. Dia tersentak. Bingkas dia terduduk. Dia meraba wajahnya. Tidak ada lagi janggut dan jambang meliar, rambutnya tidak lagi berombak; dicukur botak, kukunya juga telah dipotong bersih. Pakaiannya juga putih bersih. Matanya melingas memerhati sekeliling. Yang ada hanya katil yang tersusun kemas. Dia bingung. Lama dia diam. Dia baru tersedar; semalam adalah senja terakhir dia sebagai pengembara. Masih terbayang wajah bengis abang-abang berbaju biru yang memaksanya menaiki trak hitam gelap. Kerana itu dia di sini. Dia bukan lagi seorang pengembara. Tidak ada lagi suara sumbang yang akan mengganggu keheningan senja, tidak akan ada lagi suara sayu yang melagukan senandung kehidupan, tidak akan ada lagi. Yang ada hanya kebisuan. Yang tinggal hanya sebuah penyesalan. Senja yang dulu sudah berlalu.
Profil Penulis:
JULIA Nazri yang dilahirkan pada 2 Julai 1982 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Beliau pernah mengikuti bengkel kursus penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah bimbingan Saudara Zaharah Nawawi. Juga pernah mengikuti bengkel Penulisan Skrin anjuran Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah bimbingan Saudara Martias Ali. Berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Tenaga Nasional Berhad Petaling Jaya. Anak jati perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.
Mimbar (Cerpen)
ANGIN Subuh yang berpuput masuk melalui jendela masjid seperti bahang bara menerpa batang tubuhku. Bunyi kicauan burung semacam memerli-merli dan damai pagiku seperti dihempap gelisah yang berbongkah-bongkah.
Aku tidak tahu kenapa. Sejak naik ke mimbar tempoh hari, aku seperti tidak dihiraukan oleh Haji Salleh dan dia sentiasa mengelak daripada bertembung mata. Bukan tidak pernah dia tersenyum menyalamiku sebelum ini, malah dia selalu bertanya khabar dan memandangku dengan tunak mata kasih.
Puas aku mengesyaki diri. Acap kali melihat tampang di hadapan cermin, takut-takut ada yang tidak bagus pada penglihatannya. Kadang-kadang asyik menghidu sana sini, bimbang sekiranya ada bau kurang menyenangkan. Ataupun, meneliti susuk tubuh dan bahasa badan, risau sekiranya ada perilaku yang menyinggung.
Aku sebenarnya sudah terdengar kasak-kisik yang Haji Salleh ingin meletakkan jawatan sebagai imam masjid. Aku juga ada mendengar cakap-cakap atas angin yang ahli jawatankuasa masjid sedang menimbang-nimbang untuk memilih imam baharu. Dan baru saja dua hari lalu, pihak masjid mengumumkan Haji Salleh tidak sihat. Dek sebab itulah beliau tidak dapat mengimami solat beberapa hari ini.
Barangkali kerumitan tentang imam masjid sudah terungkai, tapi bagaimana pula masalahku dengan Haji Salleh?
"Barangkali dia terasa hati dengan kau." Komen Bidin, kawan sekolahku yang sejak dulu buncit perutnya.
"Mungkin dia ada masalah." Kata Ngah Leman, penoreh getah yang matanya selalu terkedip-kedip bila bercakap.
"Agaknya imam tak sihat." Tebak Hashim, guru bahasa Inggeris berhidung mancung yang selalu menang pertandingan puisi Melayu.
Dan sesungguhnya hatiku kini begitu dilambung walang. Ada gempa dalam jiwa yang tidak mahu surut. Apakah kehadiranku kembali ke kampung beberapa bulan ini mengganggu Haji Salleh, guru mengaji Quran yang begitu kuhormati dan segani itu? Apakah dia merasakan kehadiranku ini menggugat kedudukannya sebagai imam masjid?
Tidak. Tidak sama sekali. Tiada meski sebesar zarah dalam hatiku untuk memegang jawatan yang maha berat itu. Menjadi imam bukan sahaja memimpin jemaah dalam sembahyang, tapi memimpin masyarakat supaya mengenali Islam sebagai manhaj kehidupan melalui akidah yang sahih, ibadah yang betul dan muamalah yang sebenar.
Aku mula memuhasabah diri. Apakah aku ada melakukan kesalahan yang meski sebesar biji sawi kepadanya sejak pulang ke kampung? Apakah terdapat kekhilafan ketika aku berkhutbah tempoh hari?
Rasanya peluang berkhutbah itu telah aku gunakan sebaik mungkin. Lima rukun khutbah seperti memuji Allah, membaca selawat ke atas nabi, wasiat bertakwa, membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dan membaca doa untuk kaum Muslimin telah aku laksanakan dengan baik. Sekiranya tidak, pasti ada jemaah yang telah datang menegur kesalahan itu dan ini. Aku meyakini itu.
Bezanya barangkali ialah aku bukan membaca khutbah, tetapi berkhutbah. Aku tidak menggunakan teks, hanya mencatat beberapa isi penting sebagai panduan untuk mencapai objektif khutbah pada hari itu.
"Bagus ustaz, berkhutbah tanpa teks. Pembaharuan yang baik. Dan cara ustaz menyampaikan pun kena nada turun rendahnya." Komen Sulaiman, cikgu bahasa Melayu yang hidungnya tercatuk itu.
"Berkhutbah tanpa teks bukan pembaharuan cikgu, Rasulullah dan para sahabat dah lama buat, malah di negara-negara Arab pun kebanyakan khatibnya tidak menggunakan teks." Aku melempar senyum kepadanya.
"Seronok dengar khutbah ustaz, semua orang boleh tumpu dan dapat maklumat-maklumat baru." Kata Midun, pengembala lembu yang memiliki banglo besar dua tingkat itu.
"Alhamdulillah. Itulah yang kita harapkan daripada perkumpulan seminggu sekali seluruh kaum Muslimin." Nada suaraku lembut dalam harap.
Dan orang yang bernama Haji Salleh itulah yang sedang berada di hadapanku kini. Dia sedang duduk bersila di saf pertama mengadap mimbar berzikir dan memetik tasbih. Tidak lama kemudian aku perasan dia bangun dan kelihatan ingin keluar masjid. Aku yang sedang duduk di saf keempat segera bingkas dan terus menuju kepadanya dan bertembung di pintu sambil memberi salam dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Haji Salleh kelihatan seperti rusa masuk kampung dan aku lekas-lekas menggenggam tangannya. Dia tidak mengangkat pandangannya menatap wajahku seperti dulu, bahkan kemudian menarik tangannya daripada genggaman sambil buat-buat tersenyum dan terus berlalu menuruni tangga masjid.
Aku di ambang pintu bagai kucing kehilangan anak sejeda dan kembali duduk beriktikaf lalu memandang mimbar. Mimbar itulah yang menjadi permulaan segalanya ini. Mimbar yang diperbuat daripada kayu jati dan kelihatan seperti gapura berkaligrafi itu barangkali menjadi sebab utama Haji Salleh menjauhkan diri.
"Imam tak sihat hari ni. Boleh ustaz naik jadi khatib?" Wajah Haji Muluk bersinar harap di hadapanku.
Pagi Jumaat. Kipas berputar laju di ruang tamu. Ayam itik bising-bising di luar.
"Tak apakah saya jadi khatib? Apa kata Haji Salleh?" Wajah Haji Muluk kutatap tunak.
"Haji Salleh ke hospital. Kami tak sempat berjumpanya untuk bertanya. Tapi nazir masjid dan semua jawatankuasa dah setuju. Lagipun bila lagi kita nak beri peluang kepada orang muda." Haji Muluk tersenyum manis di hadapanku, lalu mengurut-urut janggutnya yang santak ke pangkal dada.
Dan pada waktu itu perasaanku begitu berbelah bagi dan dalam masa yang sama berat rasa ingin menolak.
Aku menggunakan peluang itu sebaik mungkin menyampaikan khutbah. Sebelum Jumaat, sempat aku melakar beberapa isi penting untuk disampaikan, dan rukun-rukun khutbah kusemat kemas dalam kepala. Aku memilih untuk mengajak jemaah jumaat bermuhasabah dengan mengenal diri sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi. Agar mereka mengetahui bahawa semua manusia adalah sama, tidak kira tua atau muda, berpangkat atau tidak, yang dinilai di sisi Allah hanya takwa dan amal soleh. Bagiku, perkumpulan seminggu sekali inilah peluang dan ruang untuk mengajak seluruh kaum Muslimin membuat koreksi terhadap Islam, tentang diri dan amalan masing-masing.
Pagi itu juga selepas dhuha, dengan dipacu semangat yang menjulang-julang, aku terus menonong ke rumah Haji Salleh. Salam sekali dua tidak berjawab. Masuk kali ketiga memberi salam, dan ketika aku sudah mula berpaling ingin pulang, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Namun, tidak kedengaran apa-apa pula daripada Haji Salleh yang terus masuk membiarkan pintu terbuka luas. Jawapan salam pun tidak kedengaran, menjemput masuk pun tidak.
Aku yang terpinga-pinga berjalan perlahan dan memberanikan diri melangkah masuk ke dalam rumah itu. Di depan pintu rumah aku berdiri seperti tiang telefon, tegak dan hilang punca. Kemudian aku terdengar suara berdengung dari dalam rumah. Entah dari jihat mana, aku pun tak pasti.
"Duduklah."
Dada yang sudah mula berombak, terasa semakin kencang. Kaki melangkah dan punggung dihenyak di sofa. Mata memandang meja. Ada timbunan akhbar di atasnya. Hati semakin tidak selesa. Juga, sudah mula mengutuk keberanian yang datang entah dari mana selepas Subuh tadi.
Ada bunyi sudu berlaga dengan kaca. Dan tidak lama selepas itu, Haji Salleh keluar dari dapur menatang dulang dengan jag kaca dan dua cawan beralas.
Haji Salleh duduk di posisi hadapanku. Dia menuang teh. Kemudian bersandar dan tidak memandang langsung tampangku. Tidak lama selepas itu dia menjemput kuminum.
Aku agak terkejut juga dengan layanannya yang sebegitu. Hatiku kini dilanda taufan persoalan. Kencang.
"Pak cik, saya cuma nak tahu, pak cik marah dengan saya?" Akhirnya aku bertanya setelah melalui tempoh jeda yang agak lama. Taufan di hati sedikit reda.
Haji Salleh tidak menjawab. Hanya bunyi kipas berpusing perlahan. Angin menderu masuk melalui jendela yang terbuka.
"Adakah sebab saya berkhutbah? Pak cik tak setuju dengan cara saya itu?"
Bungkam.
"Khilaf itu rahmah pak cik. Bukankah bila berlaku khilaf kita kena elakkan dikuasai hawa nafsu dan berlapang dada dengan kritikan?"
Aku memanggung kepala memandang wajahnya yang putih bersih. Ada janggut putih melebat di dagu. Dan aku ketika itu begitu gentar, tapi menguatkan hati demi menjulang kebenaran. Pantang datuk nenek aku berkata-kata di belakang. Apatah mengutuk-ngutuk dan mencerca tanpa hujah, itu bukan sifat seorang Muslim.
"Jika tak sependapat, kita mesti memilih diksi terbaik apabila berkata-kata dan tidak boleh menuduh-nuduh apatah menyakiti orang. Kita juga tidak boleh memaksa orang menerima pendapat kita dan hendaklah kita menghormati pandangan orang lain. Kita perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh ulama terdahulu, pak cik." Saya bersuara penuh yakin.
Tiba-tiba aku melihat Haji Salleh mengangguk. Sungguh, reaksinya itu membuatkan hatiku kini kembali dihempuk pertanyaan.
"Aku menghormati pandanganmu, ustaz muda. Sebenarnya ...." Tiba-tiba aku terlihat tenggoroknya turun naik menelan liur.
"Aku malu denganmu. Aku rasakan, sudah tiba masanya untuk aku memberi ruang kepada orang muda sepertimu. Masjid perlukan tenaga orang muda dan pembaharuan yang baik." Dan terungkaplah nada sebak dalam kata-katanya itu.
Ya Tuhan, hatiku diserkup haru yang bukan kepalang. Sungguh, aku belum cukup mengenali orang tua ini. Dan sesungguhnya kini aku mengetahui, betapa mulia hatinya, begitu lapang jiwanya.
Aku bingkas dan mencapai tangan Haji Salleh. Kukucup tangan guru Quranku itu lalu memeluknya erat. Betapa hatiku kini terasa amat akrab dengannya.
"Pak cik, ayuh, kita lakukan tugas ini bersama-sama!" Kataku rapat di telinganya dalam keharuan dan manik-manik air mata yang sukar dibendung.
Biodata:
AMIZA Khusyri Yusof, dilahirkan di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan, pada 30 Ogos 1981, mula berkarya secara serius pada 2003 ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dan pernah mengemudi Kem Latihan Penulis (Kelap) di sana. Pernah memenangi kategori karya eceran melalui cerpen Salju Jabal Musa pada Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 (ASNS) dan dua karya eceran ASNS 2007 melalui cerpen, Ibtisam Syawal dan Salehuddin 21. Terkini memenangi hadiah ketiga kategori cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui cerpen, Kasad. Cerpennya dipilih sebagai judul antologi Salju Jabal Musa yang turut memuatkan karya Ghafirah Idris, Nimoiz TY, Ida Munira Abu Bakar dan Fahd Razy yang dilancarkan di Kelantan Darul Naim dengan kerjasama DBP dan e-Sastera, pada 10 Jun 2005 . Novel sulungnya, Menjadi Bintang, diterbitkan DBP pada 2008. Graduan Universiti al-Azhar, Mesir, yang mendapat ijazah kepujian dalam Jurusan Tafsir al-Quran, kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh. Aktif mengadakan motivasi remaja dan ibu bapa dengan Imtiyaz Training dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen). Ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) boleh dicapai di http://amizakhusyri.blogspot.com.
Berita Harian