BENGKEL PENULISAN KREATIF DAN DISKRIPTIF
``UTUSAN , SASTERA DAN SASTERAWAN’’
Pembentang: Ku Seman Ku Hussain
(Penolong Editor Mingguan Malaysia)
Pendahuluan:
Saya
sebenarnya tidak tahu apakah relevannya saya berada di depan
saudara-saudara dalam majlis sastera seperti ini. Saya bukanlah
aktivis sastera, bukan sasterawan atau bukan orang yang pernah
menghasilkan karya-karya sastera. Saudara-saudara adalah orang yang
berada ``di tengah padang’’ dan saudara-saudara adalah ``players’’
atau pemain yang mahir liuk lintuk dunia kesusasteraan. Katakan
siapa lagi yang berhak mengaku menghidupkan, memasyarakatkan atau
menyambung lidah sasterawan terdahulu? Kalau bukan saudara-saudara,
siapa lagi?
Bukan saya sebenarnya yang menghidupkan dan
menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air kita ini. Maka saya
tertanya-tanya apakah yang sewajarnya saya perkatakan kepada
pemain-pemain yang berada ``di tengah padang’’ ? Saya hanya
orang di persisir yang tidak terlibat secara langsung. Tapi
kerana saya diberi peluang untuk berdiri di depan saudara-saudara ,
saya cuba meletakkan diri dan posisi saya supaya ada relevan
dengan majlis kesusasteraan ini.
Penganjur meminta saya
bercakap perkara yang sesuai dengan posisi saya di akhbar saya
Mingguan Malaysia, berkaitan dengan karya-karya sastera yang dipilih
untuk disiarkan. Saya bukanlah Editor Sastera di Mingguan
Malaysia. Jawatan Editor Sastera di Utusan telah ditiadakan sejak
dua tahun lalu. Saya adalah Penolong pengarang Mingguan Malaysia.
Cuma antara tugas saya ialah memilih karya-karya (cerpen , puisi
dan esei) yang sesuai untuk disiarkan di Mingguan Malaysia.
Saya
fikir adalah sedikit relevannya saya apabila diminta bercakap
mengenai kriteria pemilihan karya-karya. Malah saya juga ada
beberapa perkara yang mahu dipanjangkan kepada saudara-saudara.
Kumpulan Utusan sebenarnya sangat signifikan dengan kesusasteraan.
Ini bukan saja kerana penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan
yang akan masuk tahun ke 20 tahun depan.
Itu hanya salah
satu. Yang lebih penting penyiaran hasil karya sastera sejak
zaman awal yang berteraskan
perjuangan kemerdekaan atau nasionalisme.
Di Utusan, perjuangan ini didukung oleh golongan wartawan dan
sasterawan. Akhbar Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939
didukung oleh golongan ini; wartawan dan sasterawan. Mereka menjadi
wartawan dan pada masa yang sama menjadi sasterawan.
Nama-nama
besar yang signifikan dengan perjuangan menuntut kemerdekaan antaranya
Allahyarham Datuk Ishak Mohamad (Pak Sako), Allahyarham Datuk Usman
Awang atau dikenali dengan nama Tongkat Warrant, Datuk A. Samad Said
dan Tan Sri Samad Ismail. Memang benar antara kewartawanan dan
kesusasteraan adalah dunia yang berbeza.
Wartawan bertolak
daripada fakta sementara sasterawan bertolak daripada imaginasi
kreatif. Tetapi kedua-dua bidang ini telah memberikan sumbangan yang
besar kepada bangsa dan negara. Sasterawan dan wartawan meniupkan
semangat perjuangan di kalangan rakyat.
Utusan wadah berkarya:
Sekali
lagi saya bagi pihak Kumpulan Utusan mengucapkan terima kasih kepada
saudara-saudara kerana mengisi halaman sastera yang diwujudkan di
penerbitan Kumpulan Utusan. Tanpa komitmen, kesungguhan dan tidak
rasa bosan saudara-saudara, sudah pasti saya ketandusan karya
sastera untuk dimuatkan.
Saudara berhak untuk merasa bosan
atau marah apabila karya-karya saudara tidak mendapat tempat.
Saya tidak dapat membayangkan kalau saudara-saudara yang ada di
sini bosan dan tidak mahu manulis lagi. Siapa yang akan
melangsungkan tradisi Kumpulan Utusan sebagai syarikat akhbar yang
turut sama membuka laluan kepada golongan sasterawan.
Sebenarnya
berbanding karya-karya yang diterima saban hari, peluang pada
relatifnya kecil. Di Mingguan Malaysia misalnya hanya memerlukan
empat cerpen sebulan dan enam puisi seminggu.
Untuk setahun,
paling banyak 52 cerpen dan 120 puisi mendapat tempat.
Di
Utusan Melayu Mingguan (Jawi) memerlukan hanya 52 cerpen
setahun. Majalah URTV 100 cerpen dan lebih kurang 72 puisi
setahun. Majalah Wanita 12 cerpen setahun. Untuk semua penerbitan
Kumpulan Utusan lebih kurang 215 cerpen saja yang mendapat
tempat. Bayangkan untuk Mingguan Malaysia saja saya menerima
tidak kurang
lima cerpen seminggu. Perangkaan ini barangkali boleh
mengecewakan saudara-saudara. Tapi itulah kenyataannya yang saya
dan saudara-saudara terpaksa terima.
Maka apabila
karya-karya tidak disiarkan, tidak kiralah di penerbitan mana sekali
pun, ia sama sekali bukan semata-mata kerana mutu karya saudara
yang tidak mencapai tahap. Kerana itu jangan sama sekali merasa
kecewa dan menganggap karya yang tidak disiarkan sebagai sub
standard bagi editor yang membuat pemilihan. Memanglah dalam
jumlah yang banyak itu, banyak juga yang sub standard dan tidak
layak disiarkan. Ini bukanlah kenyataan yang luar biasa.
Penting
juga saudara tahu di mana karya saudara hendak dihantar?
Setiap penerbitan mempunyai kriteria tidak rasmi yang berbeza. Ini
bukanlah garis panduan. Sebaliknya semuanya bertolak daripada
siapakah khalayak penerbitan berkenaan. Ini juga ada kaitan dengan
consumer cultural atau budaya kepenggunaan.
Pengguna
Mingguan Malaysia tentu saja berbeza dengan majalah URTV yang
berorientasi hiburan dan khalayaknya remaja. Ini bukan kerana
karya yang baik atau tidak baik. Tapi yang sesuai dan tidak sesuai.
Pengguna (pembaca) Mingguan Malaysia pula tentu berbeza dengan
Dewan Sastera. Saya dan juga saudara wajar realistik dengan
keadaan ini. Saya kena kenal siapa pembaca akhbar saya. Saudara
juga kena kenal siapa khalayak saudara.
Karya bagaimana di Mingguan Malaysia:
Saya ingin memetik tulisan Datuk Johan Jaaffar (bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan) yang berbunyi;
``Cerpen yang saya tulis tidak berjudul Feminis, Tun Sri Tamlekha,
Istidroj atau Penghulu Bulan. Judul yang saya berikan ialah Tiga
Sahabat yang tentunya berbunyi konvensional, biasa dan tidak
kontemporari. ‘’
``Cerpen-cerpen ini (Warkah Dari Kampung,
Laluba Street Tokyo atau Di Sebuah Stesen Di Suatu Senja) saya akui
tidaklah bertaraf Hadiah Sastera. Tapi cerpen-cerpen ini dekat dengan
saya dan saya menganggap suara rasa kesenimanan saya yang sebenar.
Penulis kalau tidak jujur pada dirinya, tidak seharusnya mendakwa
dirinya penulis.’’
Datuk Johan menghantar secara pos cerpen
Tiga Sahabat ke Mingguan Malaysia tahun 1996. Setahun kemudian
Datuk Johan menulis catatan di atas selepas cerpen itu tidak
disiarkan di Mingguan Malaysia yang beliau menjadi Ketua Pengarangnya.
Tulisan
beliau sangat menyedarkan saya. Biar pun waktu itu saya tidak ada
kena mengena dengan pemilihan cerpen di Mingguan Malaysia, tapi
ia semacam satu panduan tentang siapakah khalayak Mingguan
Malaysia. Apabila dua tahun lalu saya dipertanggungjawab untuk
memilih karya, saya cuba memasyarakatkan cerpen Mingguan
Malaysia. Saya cuba menjadikan cerpen Mingguan Malaysia dibaca
oleh sejuta pembaca, kalau pun tidak tiga juta yang membaca Mingguan
Malaysia.
Saya sama sekali tidak menolak bahawa genre cerpen
yang khabarnya bermula sejak 30-an di negara ini telah melalui
pelbagai proses perubahan. Tentulah cerpen zaman Rahim Kajai, Pak
Sako atau A. Samad Ahmad berbeza dengan zaman ini.
Cerpen harus
berkembang walau dalam apa bentuk dan kecenderungannya. Tapi jangan
lupa bahawa cerpen juga harus relevan sekurang-kurangnya bagi penulis
dan masyarakat yang menghasilkannya. Bukankah cerpen itu cerminan
masyarakatnya?
Maka kelihatan cerpen-cerpen di Mingguan
Malaysia tidak sekontemporari sebelumnya. Lebih konvensional dan
tidak terlalu berselirat dengan falsafah seperti cerpen di Dewan
Sastera. Ada yang berkata selera saya ketinggalan zaman apabila
menyiarkan cerpen-cerpen yang senada dengan Tiga Sahabat karya
Datuk Johan.
Barangkali juga ada kalangan saudara yang
kurang selesa dengan pendekatan saya. Tapi saya percaya saudara
menulis cerpen untuk dibaca. Selepas dibaca difahami kemudian
pembaca dapat menangkap pemikiran saudara yang dituangkan dalam
cerpen berkenaan. Inilah yang mendukung dan menjadi tunjang
karya-karya saudara.
Ada penulis bertanya kepada saya adakah
Mingguan Malaysia tidak menerima cerpen-cerpen kabur atau absurd?
Saya berkata kepada penulis berkenaan kabur atau tidak bukan
masalah bagi saya. Sama ada cerpen yang eksperimental atau
konvensional, saya tetap percaya kepada seni bercerita. Buatlah
eksperimental yang melanggar semua hukum hakam cerpen
konvensional asalkan ada
seni bercerita.
Tapi wajar diingat,
menjadi sasterawan escapist tidak banyak faedahnya kepada masyarakat.
Menjadi sasterawan
sinis dan defeatist juga tidak menguntungkan diri
sendiri. Ini kerana sastera hanya boleh difahami oleh segelintir
khalayak akan menjadikan sastera itu elitis dan tanpa tunjang.
Selebihnya
masalah saya adalah cerpen eksperimental yang sebenar-benarnya
eksperimen. Baru cuba-cuba. Ada sesetengah cerpen yang sampai ke
tangan saya sangat eksperimental tapi saya dapat mengagak bahawa
penulis itu tidak terlebih dahulu menguasai seni bercerita
konvensional.
Kesukaran memahami bukanlah ukuran tinggi
atau rendahnya sesebuah karya eksperimental. Kalau saya menyiarkan
juga karya begini, bukanlah bermakna saya orang yang berselera
tinggi.
Nasihat saya yang dianggap berselera rendah ini,
kalau mahu terlalu eksperimental saudara boleh memilih penerbitan
yang mempunyai khalayak sastera yang khusus. Maknanya mereka yang
mengeluarkan duit membeli penerbitan berkenaan memang telah
menyiapkan minda untuk dicabar atau dikacau dengan karya-karya di
luar daripada biasa. Tetapi untuk khalayak Mingguan Malaysia
mungkin juga Berita Minggu, cerpen demikian adalah tidak adil
kepada majoriti khalayak yang mungkin baru berjinak-jinak mahu
menikmati karya sastera.
Suatu yang tidak kurang menganggu
saya adalah karya sastera yang bertema musim tertentu. Kalau
hampir ulang tahun kemerdekaan negara, bertimbunlah cerpen dan
puisi mengenai kemerdekaan. Pendekatannya sangat retorik dan
klise. Bagi saya kalau tema kemerdekaan tidak ada salahnya tapi
biarlah diolah supaya tidak menjadi esei kemerdekaan. Kalau
hampir hari raya, banyaklah cerpen yang kisahnya hari raya.
Tulislah karya yang sesuai dan tidak ada sempadan masa tertentu.
Semasa
meletusnya perang Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq, saya banyak
menerima cerpen dan puisi mengenai peperangan di Iraq.
Sememangnya isu perang wajar membenihkan karya. Apa lagi konflik
kemanusiaanmnya yang sangat kompleks. Malangnya tidak banyak yang
menggembirakan saya. Isi karya sangat stereotaip. Marahnya kepada
AS berapi-api tapi selebihnya saya tidak menemui apa-apa. Kalau
saudara mengulangi apa yang ditulis dalam artikel atau analisis,
untuk apa saya membaca karya-karya saudara sebagai karya kreatif?
Saya
juga menjadi keliru dengan cerpen-cerpen bertemakan Islam. Asal
saja tema Islam, latarnya pasti di Asia Barat. Perkembangan ini
semakin menjadi-jadi. Apakah Islam hanya di Asia Barat? Apakah
cerpen yang ada nilai keislamannya mesti ada nama-nama Arab atau
istilah-istilah Arab? Betulkan kalau saya tersalah. Apakah untuk
menceritakan tentang Islam, kita tidak boleh mengambil latar yang
dekat dengan kita? Apakah sebenarnya kita masih dalam kepompong
dan mengajak khalayak sependapat dengan kita?
Saudara-saudara yang saya hormati.
Sebenarnya
semua ini terletak di tangan saudara. Kalau saudara tidak
mengubahnya, siapa lagi? Kalau saudara tidak mengajak khalayak
melihat hidup dari galur-galur yang wajar, siapa lagi?
Karya
sastera penting kepada pembinaan manusia. Sekali pun kita sudah
mencapai kemerdekaan tetapi ini tidak bermakna kita tidak memerlukan
lagi karya sastera. Tamadun kesusasteraan perlu terus dimantapkan dengan
karya-karya yang bukan saja menongkah zaman.
Tetapi yang lebih
penting dapat dimanfaatkan sebagai wadah yang menjulang nilai manusia.
Kata orang bijak pandai, kalau mahu mengenali sesuatu bangsa, hayatilah
karya-karya sastera mereka. Dengan sastera kita boleh melihat tinggi
atau rendahnya tamadun sesuatu bangsa. Inilah tanggungjawab
saudara-saudara yang ada di sini.
Sastera menjadi medium
perjuangan nasionalisme dan sastera banyak menyumbang kepada perjuangan
kita menuntut kemerdekaan. Dalam Anugerah Pulitzer yang diadakan tahun
lalu misalnya , novel fiksyen The Know World karya Edward P. Jones
telah dipilih memenangi anugerah berprestij itu. Sebuah lagi adalah
karya non fiksyen Gulag: The History yang ditulis oleh Anne Applebaum.
Apabila
bercakap mengenai sumbangan sasterawan dan karya kesusasteraan, saya
melihat Anugerah Pulitzer tahun lalu suatu yang ada signifikan. Saya
menyarankan supaya saudara juga melihat dan menghayati karya
kesusasteraan dalam konteks yang lebih luas.
Saya sarankan
kepada saudara-saudara mengambil iktibar daripada sasterawan besar
dunia, Ernest Miller Hemingway. Beliau pernah memenangi Hadiah Nobel
kategori sastera pada tahun 1954. Kawan saya pernah berkata, kalau mahu
menjadi penulis yang hebat, ambillah Hemingway sebagai idola. Kita
mungkin akan mengalami kegagalan tetapi tidak mengalami kekecewaan.
Antara
novel Hemingway yang terkenal ialah Old Man and the Sea. Novel ini
pernah memenangi Anugerah Pulitzer 1953. Tetapi banyak yang tidak tahu
cabaran dan kegagalan sebelum beliau jadi terkenal. Semasa kanak-kanak
Hemingway dalam markah D dalam pelajaran bahasa.
Sebabnya tulisan
Hemingway terlalu buruk hingga gurunya tidak dapat membaca. Hingga
dewasa tulisan tangannya buruk. Ada kalanya menghabiskan tujuh batang
pensel sehari.
Sebelum kejayaan besar Old Man and the Sea,
Hemingway pernah gagal dengan novelnya Across the River and into the
Trees. Tetapi kejayaan dalam kesusasteraan bukan secara mutlaknya
diukur pada kemenangan, kelarisan jualan dan populariti. Kejayaan
sesebuah karya sastera akan kembali kepada sejauh mana ia mampu
dimanfaatkan dan mampu mengubah sikap khalayak. Akhir sekali sama ada
pupus atau tidaknya sastera Malaysia, saudara-saudaralah yang
menentukan.
(Kertas kerja ini dibentangkan di Bengkel Kreatif dan Diskriptif
di Kota Bharu, Kelantan pada 30 Julai 2005)