Oleh Hafizul Bin Osman
CIKGU Bakar memerhatikan wajah seorang demi seorang manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Masing-masing memberikan ekspresi muka yang negatif, muka yang masam mencuka. Dia cuba menguntum senyuman. Cikgu Hanun, salah seorang penghuni dalam bilik pada ketika itu, membalas senyumannya. Namun, tidak pula pada dua orang lagi penghuni yang berada di situ. Puan Badariah dan anaknya, Taufik diam membisu. Muka mereka menampakkan wajah yang tidak puas hati.
"Apa kata cikgu sekarang? Anak saya 'dah didenda teruk oleh cikgu yang perasan bagus ini! Cikgu tak 'nak ambil tindakan ke? Atau saya akan bawa saja perkara ini ke mahkamah! Suami saya, Datuk Kamaruddin boleh saja mencari peguam yang mampu membuktikan kesalahan cikgu ni!" ujar Puan Badariah seakan-akan mengugut. Matanya memandang tajam ke arah Cikgu Hanun, cikgu muda yang berkulit putih. Taufik yang berada di sebelah Puan Badariah, hanya menundukkan muka ke bawah seperti orang bersalah.
Cikgu Bakar hanya tersenyum. Dia tampak tenang. Sebagai seorang pengetua di salah sebuah sekolah menengah yang terkenal di daerah itu, dia perlu mengawal keadaan yang tegang dengan bijak. Kredibilitinya sebagai seorang guru dan juga pemimpin di kalangan guru perlu dijaga agar tidak menimbulkan kontroversi yang merosakkan nama baiknya dan juga profesion guru.
Cikgu Hanun memandang ke arah Cikgu Bakar. Dari wajahnya, dia mengharapkan pembelaan yang sewajar. Dia tidak mahu perkara yang hak ditewaskan oleh kebatilan. Dia tidak mahu profesion gurunya dipalit tompok-tompok hitam yang bakal menghancurkan kerjayanya. Cikgu Bakar mengerti pandangan stafnya itu. Dia memandang ke arah Puan Badariah yang berperhiasan seperti seorang isteri orang kaya. Memakai anting-anting yang mahal, berserta gelang emas yang banyak.
"Sabar, puan! Sabar! Kita boleh selesaikan elok-elok. Tak payah kita panjangkan ke mahkamah! Kalau tak membazirkan masa dan wang saja!" Cikgu Bakar cuba menenangkan Puan Badariah. Dia membetulkan cermin matanya. Puan Badariah mencebik apabila mendengar pujukan Cikgu Bakar itu.
"Sabar memang sabar! Tapi, staf awak ini dah melampau! Kalau ada masalah di rumah pun, janganlah nak lepaskan kepada pelajar-pelajar! Lepaskan kepada anak saya!" ujar Puan Badariah sambil menepuk meja mesyuarat dengan kuat. Seisi bilik tersentak. Taufik turut tergamam. Tidak menjangkakan ibunya bertindak agresif dan terlalu emosi.
"Ibu!" tegur Taufik. Sememangnya dia tidak menyenangi perlakuan ibunya. Mukanya diangkat sedikit. Matanya menatap wajah Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun. Apabila kedua-dua guru itu menoleh ke arahnya, dia cepat-cepat menundukkan kembali kepalanya ke bawah.
Cikgu Hanun memandang kembali ke arah Cikgu Bakar, meminta sesuatu tindakan perlu dilaksanakan. Cikgu Bakar mengangguk-angguk sedikit kepala. Tangan kanannya menyelak sedikit kertas laporan yang berada di hadapannya. Matanya menjeling ke arah Puan Badariah. Dia mengertap bibir.
"Baiklah! Saya akan jalankan tindakan seterusnya! Sebelum itu, saya mahu Cikgu Hanun, Puan Badariah dan Taufik memberi sedikit penjelasan dengan apa yang berlaku. Kita mulakan dengan Cikgu Hanun!" kata Cikgu Bakar laksana seorang hakim yang sedang mengendalikan perbicaraan di mahkamah. Ibu jari kanannya mengunjukkan sedikit ke arah stafnya yang berada di sebelah kanan.
"Terima kasih, cikgu! Anak puan, Mohd Taufik Bin Kamaruddin, pelajar Tingkatan 2A2, tidak melakukan kerja rumah Matematik, subjek yang saya ajar dua minggu lepas! Lantaran itu, saya memberi denda dengan menyuruh anak puan membuat kerja rumah tambahan dan perlu dihantar seminggu kemudian! Namun, anak puan tidak pula menghantar denda yang saya berikan, malahan tidak menyiapkan kerja rumah yang seterusnya! Maka, saya memberi sedikit amaran lisan kepadanya sambil menambah akan melaporkan hal ini kepada puan jikalau masih berkelakuan begitu. Jadi, saya memintanya untuk menyiapkan kerja rumah! Itu saja!" terang Cikgu Hanun panjang lebar.
"Penipu!"
Jeritan daripada Puan Badariah menggegarkan keadaan bilik mesyuarat itu. Sekali lagi, Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun tersentak. Kedua-dua mereka terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh Puan Badariah. Wanita itu yang sebentar tadi duduk, terus berdiri. Rasa tidak puas hati benar-benar terserlah di raut wajahnya.
" Hei, cikgu muda! Jangan awak 'nak tipu saya! Anak saya cakap awak denda dia berdiri di atas kerusi sehingga habis waktu kelas! Selepas itu, awak cubit anak saya sampai lebam-lebam di badan. Tak cukup dengan itu, awak paksa anak saya dengan kawan-kawannya beli buku tambahan Matematik yang mahal! Entah-entah, awak memang ada deal dengan mana-mana syarikat penerbitan untuk dapatkan komisyen! Maklumlah, cikgu sekarangkan pandai bisnes!" lantang sekali Puan Badariah bercakap. Matanya terbeliak menahan geram.
"Masya-Allah, puan! Saya tak pernah denda anak puan sampai begitu sekali! Dan, tak pernah pula saya paksa anak murid saya beli buku tambahan. Memadai dengan latihan yang saya berikan di kelas!" Cikgu Hanun cuba membela diri. Ada perasaan sedih dalam nada suaranya. Sedikit bergetar.
"Wah, pandainya awak membela diri! Saya ada laporan doktor menyatakan badan anak saya lebam-lebam hasil cubitan orang. Selepas itu, kakinya pula disahkan menghidap penyakit saraf kerana berdiri terlalu lama. Anak saya mudah lenguh sejak akhir-akhir ini!"
Cikgu Hanun menutup mulut. Air matanya mula bercucuran turun. Bahunya terhinjut-hinjut menahan sedu-sedan. Cikgu Bakar menyandarkan tubuhnya ke penyandar kerusi. Ada tekanan yang menjalar di jiwanya. Dia harus berfikir dengan pantas. Dia tidak boleh membiarkan penguasaan Puan Badariah dalam bilik itu berlarutan.
" Hah, tahu pula nak menangis! Dah mendenda anak aku sampai sakit-sakit, baru nak menyesal! Cikgu, saya cadangkan awak buang saja guru yang tak bermoral ni dari sekolah! Saya tak nak guru sebegini menghancurkan masa depan anak saya dan juga pelajar-pelajar lain! Jika cikgu tak nak buang juga, terpaksalah kita berjumpa di mahkamah! Saya boleh cari peguam yang handal untuk memenangi kes ini!" Puan Badariah terus mengherdik. Egonya semakin membuak. Kesombongannya bertambah tinggi.
"Cukup, puan! Cukup! Saya tahu pihak sekolah bersalah! Saya tahu Cikgu Hanun bersalah! Namun begitu, eloklah benar jikalau kami mendengar sendiri dari mulut Taufik. Betul ke tak apa yang puan cakapkan! Sekadar pengesahan. Bolehkan, Taufik?" ujar Cikgu Bakar cuba menutup kata-kata berunsur herdikan daripada Puan Badariah. Lelaki itu memandang ke arah Taufik yang sepi di sebelah ibunya. Pelajar itu mengangkat kepala. Dari wajahnya, terkesan rasa ketakutan yang amat sangat. Dia melihat wajah Cikgu Bakar yang tersenyum. Puan Badariah terdiam.
"Taufik! Cuba ceritakan kepada cikgu! Betul tak Cikgu Hanun denda awak berdiri di atas kerusi!? Pernah tak Cikgu Hanun cubit awak? Ada tak Cikgu Hanun paksa awak beli buku tambahan Matematik? Cuba berterus-terang dengan cikgu! Jangan takut, kami cuma mahukan kebenaran!" soal Cikgu Bakar. Pertanyaannya seolah-olah mengharapkan Taufik menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh ibunya. Lagipun, dia tidak mahu merencana tindakan susulan tanpa usul periksa.
Taufik memandang ke arah Cikgu Hanun. Gurunya masih menangis. Masih lagi dalam keadaan kecewa setelah dicerca teruk oleh ibunya. Taufik mengetap bibir. Dia memandang ke arah ibunya. Ibunya itu tidak memalingkan muka. Matanya tajam benar memerhatikan wajah Cikgu Hanun. Taufik membisu seketika.
"Saya... saya... maafkan saya, ibu! Saya menipu selama ini! Cikgu Hanun tak bersalah!" Spontan ayat itu keluar dari mulut Taufik. Cikgu Bakar terkejut. Cikgu Hanun terhenti tangisannya. Puan Badariah mengalihkan pandangan ke arah anaknya.
"Taufik!" jerit Puan Badariah.
"Maafkan saya, cikgu! Saya ... saya diugut oleh budak-budak nakal kelas saya! Mereka membuli saya! Mencubit perut saya dan mendera saya berdiri tegak selama sejam! Mereka mengambil duit saya! Mereka ugut jangan beritahu kepada ibu ataupun guru! Kalau tak, saya akan terima padah!" terang Taufik. Kolam matanya mula berair. Dia menundukkan muka ke bawah, merenung hambal di lantai.
Puan Badariah terduduk. Dia menutup mukanya dengan tangan kanannya. Cikgu Bakar menggeleng-gelengkan kepala. Cikgu Hanun memandang pelajarnya dengan perasaan kasihan. Masing-masing diam. Bilik sunyi. Hanya bunyi penyaman udara yang menghiasi bunyi persekitaran bilik itu.
"Dah berapa lama kamu dibuli, Taufik?" tanya Cikgu Bakar memecahkan kesunyian.
"Dua minggu, cikgu!" jawab Taufik dalam esakan.
"Kenapa kamu masih nak mendiamkan diri? Kenapa kamu takutkan sangat dengan mereka? Ramai guru yang ada di sini. Cikgu sendiri pun boleh membantu!" Cikgu Hanun tiba-tiba mencelah sebelum berhenti sambil memandang ke luar jendela. Matanya masih berair. Dia cuba mengawal emosinya sehabis baik. Puan Badariah membisu. Sepatah perkataan pun tidak diluahkannya. Cikgu Bakar menghela nafas panjang.
"Beginilah, puan! Kita tak payahlah panjangkan lagi kes ini ke pihak luar! Taufik pun dah mengaku! Biar pihak sekolah menyiasat dan mencari pelajar-pelajar yang membuli anak puan! Kami akan kenakan hukuman ke atas mereka!" kata Cikgu Bakar.
Puan Badariah masih lagi diam. Tangannya diturunkan menampakkan wajahnya. Ada tanda bersalah di raut wajahnya.
" Buatlah apa cikgu nak buat! Nanti, kita bincang semula! Taufik, mari balik!" balas Puan Badariah. Lengan Taufik dipegangnya. Mereka segera beredar, tanpa sebarang ucapan. Pintu bilik ditutup dengan kuat sebaik sahaja mereka keluar. Cikgu Bakar dan Cikgu Hanun terdiam. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Cikgu Bakar menyandarkan kembali tubuhnya ke penyandar. Ada perasaan lega menerpa di jiwa.
"Cikgu? Bagaimana sekarang?" Cikgu Hanun bersuara. Cikgu Bakar hanya diam. Dia memandang wajah stafnya itu.
"Kita biarkan dulu! Nanti kita usulkan di mesyuarat antara guru! Kita laksanakan tindakan selepas ini!" balas Cikgu Bakar setelah lama membisu.
"Sekurang-kurangnya kita telah berjaya mengalahkan ego seorang waris! Kita tidak boleh dipersalahkan selamanya! Tugas kita mendidik! Pelajar sekarang terlalu dimanjakan. Jika tidak dibendung, mereka akan menjadi lemah pada masa hadapan! Tidak mampu berdikari tanpa bantuan orang tua mereka," sambung Cikgu Bakar, spontan. Cikgu Hanun mengangguk-angguk. Kemudian, masing-masing terdiam. Sunyi membelenggu semula bilik itu. Sunyi yang membawa kepada kemenangan.
Biodata penulis:
Hafizul Osman yang dilahirkan di Kampung Tebu, Hutan Kampung, Alor Star, Kedah, ialah pelajar Jurusan Kejuruteraan, Universiti Malaya dan peserta Minggu Penulis Remaja 2008. Beliau pernah memenangi hadiah Sayembara Cerpen Remaja Perpaduan 2000 dan 2001. Karyanya mendapat tempat dalam Majalah Tunas Cipta dan Dewan Kosmik. Boleh dihubungi di mat_gempak01@yahoo.comhafizul_osman@yahoo.com.
Berita Harian