Penaja

5.9.09

Sajak LIDAH BANGSA dll

LIDAH BANGSA

Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.

A AZIZ DERAMAN
Kuala Lumpur

AKU INGIN BERBEKA-BEKA DENGAN-MU

Basah aku
dalam sumur kasih-Mu.

Berpeluh aku
dalam sahara kekuasaan-Mu.

Tersihir aku
dalam samudera wilayah-Mu.

Terlempar aku
dalam cakrawala semesta-Mu.

Aku malu
bermuka-muka dengan-Mu.

Aku rindu
bantal peraduan hidayah-Mu.

Tuhan
Aku ingin berbeka-beka dengan-Mu.

SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Batu Pahat, Johor

RAMADAN GURU KITA

Saban Ramadan menggurui kita
antara aksara ukhrawi
dan abjad duniawi
antara resam haiwani
dan resmi insani.

Ramadan telah menggurui kita
bagaimana mempelajari nikmat
iman itu manis cinta
tapisan ujian dan duga
hamba menyaring hikmah
di celah himpitan mazmumah
dan kekangan mahmudah.

Tanda murid yang cintakan guru
ketika menghadap wajahnya
kita merendah dan hormat
tetapi seriau malu
jauh di belakang matanya.

Ramadan adalah kiai
yang setia menggurui kita
padanya wibawa
padanya pemurah
tidak hormati kemuliaannya
ertinya kita memilih derhaka
tidak pedulikan tawarannya
ertinya kita memilih papa.

ABD RAZAK @ REZEKI OTHMAN
SMKTIP 1, Gua Musang

GERIMIS SUBUH

Jangan lepaskan jemarimu
daripada merindukan takdir
usaplah rerambut usia dengan
manis senyuman
kala jasad itu berada di kaki langit kesal
pada suatu Subuh gerimis itu
yang menyembunyikan rahsia.

Pagi itu semuanya beku
laksana air di kutub hidup
mengatur nafas dengan lidah kelu
hanya bayangan puisi Ramadan
akhir untukku
dengan suara lunak merdu.

Pagi itu semua kelu
akar tidak lagi merindu butiran baja biru
Zamzam di alir ke jalur mulut membisu
untuk dikejut daripada lamunan itu.

Bertanya lagi dengan soalan-soalan
menjawab lagi dengan jawapan jawapan
agar pagi itu tidak sejuk membeku
matahari itu tidak mahu lagi muncul di situ.

Sejenak mengingat
mari melihat dengan fikiran jernih
Kuasa-Mu yang boleh meruntuh
gunung dan bukit
ini insan kerdil yang mudah reput
cuma menjadi gila di dunia fana ini.

MOHAMED TAHIR SHAHDAN
Persiaran Citra Delima, Kluang

KANVAS RAMADAN

Melukis di kanvas Ramadan-Mu
ikhlas putih mewarnai ketenangan
lorekan pelangi keredaan
syahdu memercik di serata
kelembutan atma.

Dan bingkai takwa itu
teguh memenuhi iman.

ZULKIFLI MOHD TOP
SBP Integrasi Gombak

PADAMKAN API ITU (4)

Aduh, panasnya api ini
membakar ke segenap tangkai hati
bagai virus membara kanser
menanti saat perpisahan
antara kita yang bersaudara
satu bangsa nasional
satu bicara bahasa.

Tolong, mari selamatkan diri
usahlah berlengah lagi
membiarkan api ngeri itu
kian marak di hati kita
padamlah dengan air iltizam
siramlah dengan nur iman
biar baranya semua hilang.

Ingat, janganlah bermain lagi
api ini sengketanya berbisa
syaitan tercipta daripadanya
adalah lebih baik kita berbicara
bagaimana membina memacu negara
bagaimana berusaha menjadi kaya
inilah sebenarnya mencari bahagia!

D J DOLASOH
Batu 19, Badak, Bachok

MENCABAR KEPAYAHAN

Krisis ekonomi baru virus baru
muncul pantas tanpa diduga
itu tembok berduri minta disapa
rugi jika tidak berani mencuba
malu jika tidak bereksperimen
mencabar akal mencari yang murni
di alam semesta diatur selesa
sedangkan langit belum runtuh
matahari masih terbit di Timur
murai merbah terus bernyanyi
rambutan pulasan ranum di dusun
setiap yang wujud berfungsi
sederap langkah akan ditanya
kenapa murung berputus asa?

Mari mendaki si Gunung Tahan
gunung yang hendak ditakluki
juga semangat diri sendiri
sama sukarnya menakluki Everest
tiada emas di puncak sana
pulangnya tanpa janji duit seguni
cuma emas lain dimiliki
lulus ujian mencabar kepayahan.

KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur

Berita Harian.