Penaja

26.7.09

Puitis Pawana Pawitera

ARKIB : 26/07/2009

ita, manusia. Memang sukar untuk puas. Apatah lagi berterima kasih." Sinis Rifqi. Kemudian melihat temannya. Asing. Seakan meletakkan diri dalam kuarantin yang panjang. "Tidak cukup dengan apa yang dapat dilihat? Dan berterima kasih dengan setiap nafas itu?" Tanya Rifqi, lembut dalam nada hairan. Melihat temannya yang keras dan tegas menguja.

Dia memalingkan durja, angkuh. Sedikit berbaur angkuh.

"Tidak," dia menjawab dengan mendatar, persis ada sesuatu yang memisahkan. Statik. Seperti ada gaung jurang menghalang. Sambil mengerling. Tajam hujung matanya dihunjam menembus kabus emosi dan perasaan Rifqi.

"Benar, dirimu mahu jawapannya?" Rifqi menyambung dengan pertanyaan yang sopan. Mengetatkan sedikit jaket tebal berbulu, sambil membetulkan kedudukan zip. Suhu sejuk 4 hingga 8 darjah celcius seperti kembali dihangatkan dengan perubahan sikap temannya itu.

Dia mengangguk, pasti. "Tunjukkan buktinya. Saya mahu lihat. Kenapa terlalu sukar mentafsirkan?" Dia seakan belum berpuas hati. Benar, dia masih tidak selesa dengan jawapan(?) Rifqi.

"Kerana jika saya terus membalas dengan keras dan kaku menjelaskan, ini akan membangkitkan kemarahanmu, sahabatku." Tenang Rifqi membalas pertanyaan sahabat akrabnya yang sering membangkitkan pertanyaan beradun kemarahan itu, sejak akhir-akhir ini. Rifqi pula tidak mahu langit biru dan sejuk persahabatan mereka bertukar kepada merah api dan panas petir gejolak hubungan akrab itu. Rifqi tidak sekejam itu.

Tetapi kali ini, entah. Dia seperti sangat mencabar; dalam pencarian yang katanya terlalu benar samar. Mengeraskan suara. Mengangkat kening. Kedua-dua tangannya tidak henti-henti berpropaganda. Riak kata-katanya berprovokasi. Dia benar mengubah sikap, sifat dan perwatakan seorang sahabat yang santun kepada persis seorang seteru yang menyemai benih serta bibit-bibit kesumat. Dia terlalu jauh ke sasar dan berubah. Tidak sepatutnya dia.

Dia memang rapat bersahabat dengan Rifqi. Jarang sekali dalam persahabatan itu, dia dan Rifqi menimbulkan subjek-subjek yang sensitif begitu. Rifqi sendiri tidak mahu menyentuh dan membuka-baca buku-buku aliran serta fahaman hidup masing-masing di kutub khanah jiwa dan roh diri. Kerana Rifqi khuatir ia akan memadam norma-rona sutera berwarna-warni; sebuah hubungan yang terlalu tinggi dan mulia nilainya.

Dan memang itulah yang telah dididik kepada Rifqi sedari kecil lagi. Namun, apakah yang harus dilakukan jika dicabar keras begini? Oleh seorang sahabat yang akrab. Yang sepatutnya lebih memahami garis sempadan. Gadis gebu putih itu; malah kadangkala berlari-lari di halaman hati Rifqi. Gadis gebu putih itu; seringkali berdiri di muka pintu hati Rifqi sambil memegang kunci. Gadis gebu putih itu; anehnya acapkali menukarkan jerebu hitam dan asap kelabu dalam lembar diari Rifqi kepada selaut urna mawar dan wangi lavender! Gadis gebu putih itu; mungkin tidak mengerti sesuatu di sebalik jendela fikiran Rifqi.

Namun, barangkali belum tiba untuk dia mengetuk pintu hati dan membukanya sendiri. Melihat ke dalam rumah hati Rifqi yang kosong dan sunyi itu. Rifqi sepatutnya bercerita panjang lebar kepada dia. Supaya segalanya jelas dan nyata. Bukan lagi absurb atau abstrak. Rifqi benar memilih masa yang sesuai dan jujur ranumnya. Atau tepatnya, Rifqi memang mahu benar agar segala jawapan kepada soalan demi soalan yang ditimbulkan itu terjawab dengan sendiri. Secara alamiah. Secara natural.

"Satu hari saya akan khabarkan kepada pawana. Untuk bercerita kepadamu, sahabat akrabku." Rifqi lambat mencelah. Setelah lelah jeda fikirannya menakluk masa. Rifqi rimas. Mematikan soalan dengan jawapan ringkas.

"Ah, kamu mahu berdalih lagi." Dia seperti tidak percaya. Rifqi tidak mengendahkan. Rifqi senyum sambil melihat cuka durjanya berlalu. Rifqi optimis kepada keajaiban yang akan diutuskan pawana kepada sahabatnya itu. Pawana pawitera.

RANCU.

Untuk seketika mereka membiarkan beberapa detik sunyi menjajah ruang dan celah bicara. Sengaja. Masing-masing menyorot fikiran ke dalam kamar idealisme. Mencari fail-fail pegangan yang perlu untuk dibuka, disusun menjadi bahan-bahan bicara dan hujahan di dalam premis fikiran. Agar masing-masing ditakluk atau menakluk(?).

"Cuba lihat rambut yang terbang menutupi kening dan mata senyummu, sahabat akrabku." Rifqi memecah belon-belon sunyi sambil duduk santai di bibir taman di bawah lengkungan besi hiasan yang sebaris tersusun cantik. Batu-batu kecil tempat pejalan kaki disusun rapi dan sangat teratur seperti sebuah mesin refleksologi. Rifqi duduk di kerusi batu - dan canda bersama dia yang masih meninggalkan baki-baki cuka di durja. Kerana, katanya kepada Rifqi, 'saya masih mahu jawapan jelas'.

Sambil menyelak helaian rambut halusnya yang lurus panjang ke celah telinga kanan, dia pantas berkata, "Ya, mengapa? Rambut saya hitam, lurus dan cantik." Dia cuba untuk tersenyum, tapi sengaja ditahan-tahan menampakkan marah yang tersisa.

"Bagaimana rambutmu yang ringan itu boleh terbang hingga menutupi kening dan matamu?" Rifqi mengukuhkan pasak tanya di premis jiwa dia.

"Soalan mudah begini, masih ditanya? Jawapan kepada soalan saya, masih bermain sorong-tarik. Belum diberi jawapan pasti." Dia mendakap helai gugur tanya dengan pertanyaan juga. "Angin," tegas dia, keras dan sangat statik.

"Kabut. Yang memuput kabut dalam damai dan dingin begini itu, apa sahabatku?" Sambil Rifqi cepat menghala ibu jari kanan ke arah kabut @ kabus yang bergerak perlahan. Menyelimuti sejuk Daerah Linyi yang kaya dengan rencam industri ringan - tekstil, logam, emas dan porselin.

"Angin jua." Dia menjawab; tidak berganjak dengan jawapan pertama. Mata senyumnya sesekali dikerdip; menahan tiupan angin@pawana yang menyapa.

"Dedaun kering itu?"

"Angin juga. Lalu mengapa?" Dia seperti diselimuti dengan satu jawapan yang sama - pawana.

"Mengapa dikatakan angin? Di manakah angin itu?" Rifqi melepaskan busur demi busur anak panah pertanyaan ke dinding resa seorang dia; teman akrabnya yang tampak telah berubah. Zahirnya.

Dia terdiam sebentar. Seolah-olah terperangkap di dalam jaring-jaring perangkap yang samar dan sengaja direka. Gadis bermata senyum dengan kelopak tiram matanya sentiasa mengumpul butir-butir mutiara jernih setiap kali ketawa. Meski tawanya sangat santun, menguja hati menjadi runtun; tutur bicaranya sangat sopan, meletak perasaan dalam harapan. Tetapi, hari ini dia menyimpan segala yang manis itu jauh di Gunung Mengshan. Menyusun segala kata-kata yang indah itu bersembunyi di Tasik Lying Dragon. Dia seperti bukan yang Rifqi kenali pada pertemuan pertama itu.

RENTET.

Melihat gelagatnya melayan kerenah anak-anak beruang panda di Pusat Penyelidikan Beruang Panda Wolong, Sichuan. Dan dia begitu asyik, tekun dan bersungguh-sungguh memastikan anak-anak beruang panda itu sihat, dengan rutin harian seperti seorang kanak-kanak - bergurau, bermain-main dan akhirnya keletihan sambil bersandar di tepi batu dan menghisap botol susu. Rifqi benar teruja melihat situasi dan melalui pengalaman manis itu.

"Saya dari selatan tanah emas, hujung tanah - Malaysia." Sapa Rifqi sejurus selepas gadis bermata senyum dan sepet itu keluar dari papan-papan lembut yang memisahkan anak-anak panda dengan pengunjung.

Dia mengangguk. Kemudian membuka penutup mulut yang berwarna biru cair, menjadi penghadang habuk dan bulu-bulu halus panda. "Saya ada asma. Tapi, sangat berminat dengan kerja-kerja ini."

"Syabas, atas kesungguhan! Luar biasa sekali. Saya Rifqi." Rifqi tunduk sedikit.

"Terima kasih. Oh, ya! Saya Zhi Yang. Bekerja atau melancong di sini?" Dia menyua tanya tanpa cabar curiga atau lapis prasangka.

"Bekerja, sebelum ke Shandong. Sebenarnya saya memang gemar @ pencinta panda. Sehingga sanggup mencuri masa kerja ke mari." Rifqi ketawa pada perkataan 'mencuri'. Dia juga ketawa. Matanya benar memujuk naluri Rifqi. Sungguh. Rifqi tidak percaya pada keajaiban pertemuan pertama. Tapi, kini? Benar, bintik-bintik halus dan jernih seperti renyai di tasik permai - ada di mata senyumnya. Barangkali, begitu juakah emosi yang membuak dalam dasar tasik tenang perasaan Zhi Yang?

"Shandong?" Persis menjungkil destinasi di sebalik kata Shandong.

"Oh, di Linyi." Jawab Rifqi mengerti pertanyaan ringkas Zhi Yang.

"Ah-haa. Seperti dirancang. Linyi, desa damai keluarga saya." Jujur Zhi Yang. Kemudian, menggesekkan kedua-dua tapak tangannya menyingkir debu-debu.

Rifqi menyingkap pertemuan dengan sahabat akrabnya, Zhi Yang. Setelah kembali semula ke kampung halaman, Linyi. Dan kontrak bersama pusat penyelidikan beruang panda itu tamat. Zhi Yang dan Rifqi saling serta sering berkongsi pengalaman dan pandangan.

"Tidak." Jawapan dia - Zhi Yang menyentap lamunan Rifqi.

"Mengapa mengatakan angin yang bertiup? Mengapa mengatakan angin yang menggerakkan?" Rifqi meminta penjelasan daripada Zhi Yang.

Dia lantas meninggalkan Rifqi keseorangan. Menuju ke arah gerai-gerai menjual cenderamata. Di sisi gerai itu, sebuah gerai menilik masa hadapan. Rifqi mengekori dia.

"Mahu menilik masa hadapan?" Rifqi berseloroh, mencelah perlahan ketika dia menghampiri gerai menilik itu, yang jelas terpampang gambar tapak tangan. Zhi Yang menggeleng seperti memikirkan sesuatu yang maha berat.

"Baiklah, kita lupakan sebentar tentang angin@pawana. Nanti, saat sudah reda kita sambung semula bicara." Zhi Yang mencair dalam kata-kata lembut Rifqi yang jelas memujuk itu. Yang meredakan kemarahan kepada jawapan seharusnya Rifqi berikan, bukan dia - Zhi Yang - yang menyatakan.

RINDU.

"Tentang perasaan dan emosi," Zhi Yang bersuara, lembut.

"Saya sudah maklumkan dahulu, bukan?" Rifqi mengukuh-ampuhkan diksi-diksi Zhi Yang dengan pertanyaan kecil.

"Tentang keanehan perasaan." Sambung Zhi Yang, melihat Rifqi dengan hujung mata senyumnya. Seperti menyembunyikan keanehan perasaan yang disebutkan.

"Bukan keanehan. Tapi keindahan dan ketakjuban milik Pencipta, sahabat akrabku. Tidak nampak, tapi dapat dirasakan. Begitukan?" Rifqi mengukuhkan pasak perasaan Zhi Yang yang goyang. Dengan tenang Rifqi menyurutkan gejolak jiwa Zhi Yang yang meninggi dan menghempas pantai perasaannya.

"Saya takut dan khuatir. Kadangkala bimbang, dan sangat resah. Tidak tahu sama ada harus berterus terang tentang perasaan dan ingatan saya terhadap awak." Zhi Yang tunduk. Dia mula membuka jendela emosinya perlahan-lahan. Puitis pawana pawitera di sekililing masih setia berbahasa. Sesekali menembusi jendela emosi dan langsir jiwa Zhi Yang.

"Maksud awak?" Rifqi menguji.

"Saya khuatir dengan perasaan baru saya yang sudah lama ini. Saya perlukan kekuatan daripada awak - sama ada menerima atau menolak." Jelas Zhi Yang. "Saya tidak pernah merasai mengingati seseorang seperti ini sebelum ini. Aneh." Zhi Yang menyusun konkrit kata penuh debar, separa dakar dan bertekad sabar.

"Aneh?" Rifqi sengaja.

"Tentu ada sesuatu di mata awak yang cahayanya seperti di mata saya." Zhi Yang berlapik menyampai maksud. "Saya khuatir." Zhi Yang mengulangi kesangsian yang kian bersarang di rimba jiwa dan belukar perasaannya yang kemarau.

"Masih khuatir? Dan resah? Kerana kita tidak nampak warna, rupa, bentuk atau mungkin aroma perasaan itu." Rifqi mula menyirami gersang padang dan sahara fikiran Zhi Yang dengan salju kata-kata persis seorang pemikir.

"Saya khuatir, awak perlu membantu saya." Telus Zhi Yang mendambakan bantuan seorang Rifqi.

"Sudah lama saya ingin membantumu, sahabatku. Tetapi, api tidak boleh disimbah dengan minyak untuk memadam. Saya menunggu ketika yang sangat sesuai, mencari air." Pantas Rifqi menyambut hemah harapan dalam perasaan Zhi Yang.

"Saya sering memikirkan sama ada semuanya sudah ditentukan, atau bagaimana?" Tanya Zhi Yang. Lembut durja Rifqi melihat temannya dengan penuh simpati. Apatah lagi setelah melihat Zhi Yang mengeluarkan dan menggunakan ventolin evohaler - alat bantu pernafasan untuk pesakit asma - nyatalah, Zhi Yang tidak boleh berhadapan terus-menerus sesuatu stres atau tekanan.

Sebelum membalas, "Di buku takdir - benar. Tapi, kita harus berusaha, berdoa, dan bertawakal. Mencari jawapan kepada segala kesangsian. Seperti yang dirimu lakukan ini."

Zhi Yang menghulurkan plak kaca berbentuk warkah bertulis, 'pawana seperti juga rindu dan perasaan yang tidak nampak kehadirannya tapi kita merasai kewujudannya.' Terima kasih Rifqi, kerana mengajar saya tentang keagungan-Nya.' Dalam bahasa kebanggaan Rifqi; Bahasa Melayu dan dalam warna kekayaan Zhi Yang - merah. "Untuk awak, Rifqi." Mewakili hati dan perasaan Zhi Yang.

28.6.09

Sajak PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT dll

Sajak...

PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT

Letak ubi di atas akhbar
wahai YB apa khabar?

Orang Petani pergi ke JB
pantun ini untuk YB.

Sambil baring pandang awan
YB sering sibuk di dewan.

Ajak kawan naik rakit
kisah di dewan teruk sikit.

Datuk Penghulu beli senangin
mengapa selalu naik angin?

Sakit bahu tenyeh halia
B tahu dewan tu mulia.

Di celah tingkap cicak terbunuh
mengapa bersikap tidak senonoh?

Tuan doktor makan timun
cakap kotor maki hamun!

Anak China pergi ke Taiwan
sampai kena keluar dewan!

Tidak perlukah lobi-melobi?
Tidak malukah wahai YB?

Bakar jerami di Kampung Jabi
takkan kami nak nasihat YB?

Terubatkah sakit menonton TV?
Sedarlah sikit wahai YB!

ISMAIL RESTU
Kg. Bujang, Kedah.


PASAR SYURGA


Jual beli berbeza
tiada serupa
di dunia
tukar barang
nilai harga.

Semua barang
di syurga
dibeli ingin sahaja
ingat waktu dunia
dapat ganti semula
ada di pasar syurga.

JUSOH AHMAD
Darul Aman Utama, Kedah.


SELEPAS HUJAN

Di hujung ranting kering
setitis harap berbaring.

Di pucuk daun kuning
setitik degap hening.

Di puncak gunung kontang
sejalur pelangi petang.

WB RENDRA
Citra Larkin Perdana, Johor Bahru.

MELAYUKU BERANI


i. Tak dinafikan
di ambang kemerdekaan
terakam sejarah tumbang Malayan Union
Melayuku berani lawan.

Di Baling menang rundingan
Chin Peng vs Tunku Abdul Rahman
komunis kecundang
Melayuku berani perang.

Rombongan ke London
tuntut kemerdekaan
diketuai Tunku Abdul Rahman
Melayuku berani berdepan.

ii. Setelah merdeka
Melayu hilang maruah nak cepat kaya
masuk parti siasah
10 peratus agihan diserah.

Tunai haji rukun kelima
sebut Labaiqallah Hummalabaiq
dari Jeddah hingga Arafah
sampai KLIA semua berubah
rezeki di kamar melempah ruah
syukurillah ... Alhamdulillah.

Saban tahun tunai umrah
kucup batu Hajarul Aswad
mohon keampunan di Safa dan Marwa
kaki berlari tangan menadah
berdoa: kurniakan lebih hasil rasuah
nasib: Tuhan takkan ubah
mengucap: syukur kepada Allah
Melayuku: sungguh amat bertuah.

ISMAS SARING
Pekarangan Masjid Nabawi
Madinah - Arab Saudi

BUKAN MEDAN LAGA


Di sini berkumpulnya suara
di sini berkumpulnya harapan
dari lembah dan sungai
dari paya dan pinggiran
dari desa dan kota kemanusiaan.

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara
suara hati rakyat kebanyakan
suara hak dan pembelaan
suara terlaung jerit rintihan.
(Suara tertimbus kerana percakaran!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya harapan
harapan hati rakyat kebanyakan
harapan perjuangan dan pembangunan
harapan terlaung jerit rintihan.
(Harapan terkambus kerana perbalahan!)

Di sini bukan medan laga
di sini berkumpulnya suara dan harapan
kaubawa amanah rakyat kebanyakan
yang pernah kaujanji mahu tunaikan
dalam getir menjelang pengundian.
(Mungkinkah sudah engkau kotakan?)

Di sini satukanlah suara
dalam perjuangan
membela kebenaran
dalam debat melahir keputusan
biar bertingkah berbeza pendapat
hasrat nan satu mencapai matlamat.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol , NS.

MEREKA SEBENARNYA TERLUPA


Mereka sebenarnya terlupa
bahasa Melayu itu ada penuturnya
152 pengukuh susur galurnya
tetapi mereka buat-buat lupa
apa yang kami ada, malah
sebuah keranda telah tersedia.

Sering mereka melupakan
wujudnya diasak kiri dan kanan
seakan kehilangan ketajaman
bila terlalu banyak ragam
dan aturan, bahasa Melayuku
dituturkan oleh si lidah berbelang.

Janganlah mereka terus terlupa
jika suatu ketika nanti
anak-anak muda payah berbahasa
andai semua mahu pantas ke pentas
globalisasi, ilmu dihadam terus
dari sumber aslinya dan sampai bila pun
kita tidak akan membangunkan
ketamadunan ilmunya.

Mereka sebenarnya terlupa
hilang bahasa hilanglah jiwa
tanpa bahasa maruah tiada
kewujudan kita hanya serpihan
semata, kitalah yang harus
mempertahankannya.

KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor.

SETELAH AKALNYA DIKUDUNGKAN


Dia seorang teoritikus
yang bisa bermanis dalam bermadah
dan berdusta dalam menegah.

Dia pengagum kepada intelektual wajar
tetapi pemujuk yang melulu membidas waras
dan pemain retorik yang janggal.

Dia juga juragan dalam kapal revolusi

merentas lautan dangkal
tetapi bukan dengan tenaga radikal.

Kini, setelah akalnya dikudungkan
parang teorinya kian berkarat
dan dia pemuja intelektual di kebunan lalang.

MJ
Saratok, Sarawak

SIRNA KELAHIRANMU


Terpercik dari kejoraku di tengah lautan rahmat
sirnamu terpancut menikam jiwa-jiwa
alam terbentang menjadi saksi pasti
menyelinap wajah-wajah buram
cahayanya tumpah ke datar sepi
yang kosong dan tak berpenghuni.

Laut tenang dan tak berolak
seakan sirnamu melayar bahtera zaman
angin mati tiba-tiba seakan pelayaran terhenti
tak berhaluan
pohon tunduk dan terdiam lesu
seakan redup menyelubung alam
sirna kelahiranmu adalah rahmat melimpah
mengisi kontang doa mustajab para ambia.

Kita laungkan azan membelah benua
ratib dan selawat memunggah sirna
kelahiranmu adalah permulaan zaman
ya Rasulullah al-Amin segala jiwa
sirna kelahiranmu yang utuh dan waja.

EZANI DAUD
Kota Bharu

Sajak PADAMNYA, HIKARI SEBUAH LENTERA dll

Sajak...

PADAMNYA, HIKARI SEBUAH LENTERA
(Balasungkawa buat SN Syed Alwi)


Tirai dibuka
permulaan sebuah sketsa
hiraki lenteramu
menerangi pentas dunia
di situlah
segalanya bermula
dalam sebuah stigma
masih kebal dalam ingatan
'Sepetang Bersama Syed Alwi'
di Dewan Raja Lumu Shah Alam
meja bulat menjadi saksi
kaubernostalgia mengiringi waktu
kaca duri meniti hari
dayungmu patah, kemudimu rekah
kauteruskan
jlayar robekmu ke pentas amanah
membuka tirai sejarah
Melayu yang bermaruah di atas pentas
lenteramu terus menyala
ketika dewan diulit gelita sendirian
terkilan Tun Perak
berdatang sembah di Shah Alam
lampu lempah telah dibuka
dan tirai dilabuhkan
buat selamanya.

ii.
Dialog akhir tirai dilabuh
"al-Fateha" semoga rohmu

ISMAS SARING
Cedi Karya,
Kapar - Selangor D.E.


TAMAN SUNYI

Bulan adalah rama-rama
yang meremang
antara
kuntum Isyak yang berkembang.

Sekali ini, Kekasih
izinkan kupanjat pagar pasrah
mencium harum
kelopak tafakurnya
yang bercambah.

FAHD RAZY
11 November 2008
Upper Rathmines Road, Dublin


ANTARA SAFA, MARWAH DAN BAITULLAH
(Sempena Umrahku di Makkah Pada Jun 2008)


Dari penjuru Yamani ke penjuru Hajar
pada pagi yang paling syahdu dalam hidup ini
saat kuangkat tangan kananku dan melambai
hajaratul aswad di sebelah kiriku
ketika kuucapkan salam perpisahan
dengan Kaabah yang barakah
tak kurelakan perpisahan ini.

Entah bila dan bagaimana aku pun tak pasti
air mataku membening turut mengucapkan
salam terakhir salam widaa itu
terlalu sayu perasaan ini bagai dihiris
terlalu sedih untuk berpisah dengan baitullah
setelah kuserahkan seluruh jiwa raga ini
mengabdi hanya pada-Mu yang esa.

Semakin hampir pusingan ketujuh
semakin esak tangisku tertahan-tahan
kerana kutahu entah bila dapat bertemu lagi
dengan-Mu di kota suci ini.

Lalu dalam hati aku mengaku
terlalu banyak dosa dan lalaiku
terlalu besar pengorbanan bapa kami nabi Ibrahim
dan betapa sabarnya Siti Hajar berlari ulangalik
mencari sedikit air buat anaknya Ismail yang kehausan
antara Safa dan Marwah kujejaki peristiwa bersejarah itu
namun pasti tak serupa jejakku dengan jejak mereka
biarlah tiga helai rambutku ini menjadi saksi
antara jejakku dan jejak-jejak mereka.

Ya Rabubul Jalil
moga Engkau memberi kesempatan kali kedua
buat kami merebut ganjaran-Mu lagi
di kota suci Makkah mengabdi diri
walaupun kami mungkin tidak pasti harinya
namun anak cucu kami pasti akan kembali ke sini jua.

Masjidil Haram
cahayamu bersinar terang hingga ke langit dunia
namamu gemilang di seluruh benua.

KAMAL MD
Klang, Julai 2008

LAYANLAH AIR

Air datang lagi
bertemu rakan-rakan, sungai, bukit, sawah
dan tanah luas
bagi membuktikan
kekuatan ingatan keikraban sesama hamba-Nya
yang sering berinteraksi di dada dunia.

Air berkunjung lagi
meredah tanah-tanah gersang
bukit-bukit yang parah ditarah
longkang-longkang yang tersekat aliran
anak-anak sungai yang perlukan tambahan air.

Air bertamu lagi
membasuh dan membilas kotoran dosa
hasil kerja tangan manusia
hanyir, bernanah, menjijikkan.

Layanlah air
ketika hadirnya dengan ketentuan-Nya
ketika perginya dengan keizinan-Nya
usah hamburkan ungkapan benci
kerana kita semua adalah hamba
yang sama meminjam bumi-Nya.

A SAMAD HAKIM
SMKAPD, Pendang, Kedah

SIRNA CINTA ABADI

Barangkali tiada perlu
kita renangi gelombang rindu
kerana arus kesetiaan kian ganas
diserang badai cemburu
deras berpusar di samudera nafsu.

Barangkali tiada perlu
kita lakar lukisan gemilang
kerana indah panorama ketulusan
menghias seri kanvas perpaduan
dicalit tinta bianglala noda.

Barangkali tiada perlu
kita agungkan istana kasih
kerana bahang neraka buana
membakar galak kamar keikhlasan
meranap musnah dinding keimanan.

Barangkali perlu kita
menapak insaf ke laman takwa
menziarah khilaf di pusara doa.

Barangkali
saat pawana mencumbu senja
dedaun cinta marak menyala
luruh hangus
di ambang syurga .

ALIZARINAH ALI
SMK Taman Indah, Tampin

ZULHIJJAH, KEBERKATANMU MENYERLAH
Bumi Mina dibanjiri lautan ihram yang memutih.
Khemah menyusuri dari bawah hingga ke atas bukit nun tinggi.
Kagumku penghuninya mendaki bukit batu yang penuh liku itu.

Dan aku bertanya, martabat aku di samping Allah
dibandingi tetamu Allah itu?

Wukuf di Makkah, kita di sini enak menikmati juadah
tetamu Allah mula membanjiri bumi Arafah.
Sepanjang perjalanan dari Makkah ke Arafah,
pasti mengalir air mata melihatkan mereka berjalan kaki,
menggendung anak dan memikul barangan keperluan,
mengharungi samudera manusiawi.

Terbayang apakah nanti aku dibangkitkan nanti di Padang Masyar,
yang cuma sejengkal sahaja dari terik matahari dengan bertatih,
merangkak atau berlari lajukah aku ketika itu?

Bertanya lagi kedudukanku di sisi Allah,
dibandingi pengorbanan mereka di bumi Rasullulah itu.

ZULKIFLI B MOHD TOP
SBP Integrasi Gombak

Sajak SEPOTONG SAJAK DARI LIDAH LUKA dll

Sajak...

SEPOTONG SAJAK DARI LIDAH LUKA

Kerana gusar yang terbukti tersasar
lahirlah sepotong sajak dari lidah luka
yang kalian sedang tatap sekarang ini.

Masih kuingat, juga pastinya kau
kerana gusar yang terbukti tersasar
perlahan-lahan bahasa ibuku diusir
dari kamar ilmu dan lembar buku
anak-anakku dan anak-anakmu jua
kekok menyebut angka satu
lantas menjumpai formula baru
yang pasti bukan lagi dari lidah ibuku.

Telingaku terus disumbatkan helah
saat gema suara-suara lunak
menjadi saksi betapa bahasa ibuku
masih bernyawa!

Sahrunizam Abdul Talib
Angsana Puisi Bera

POTRET DISEMBER (ii)

Tiba-tiba ribut dan kabut bersatu
menyihir pesisir
angin garang mengaum di hujung lidah

desir
ombak pun menggila
dalam hujan petaka
sayap-sayap tengkujuh berdengkur
menidurkan budak di muara.

Di serambi kefakiran
ada jari-jemari kebuluran
menahan duka pada penghujung
Disember.

Yusmie YS
Kemaman 2008

AIDILADHA

Aidiladha pun bermusim kembali
menggamit rindu umat muhammad
menyahut seruan Ilahi
di pintu Kaabah.

Aidiladha
dengan limpah takwa
jutaan umat mengabdikan diri
mengenang sejarah sebuah pengorbanan
seorang ayah.

Menjejaki kecekalan seorang ibu
mencari seteguk air
buat anak yang kehausan.

Itulah pengajaran
menuntut pengorbanan
menguji kekuatan Iman. hamba-Nya.

Lalu menjelang hari kemenangan
Aidiladha pun penamat segala
perjuangan.

Am Rai
Sri Aman,
Pasir Puteh
Kelantan


GURINDAM MALANGNYA BAHASAKU

Bahasa orang dipuja dipuji
bahasa sendiri dicerca dikeji.


dihormati
bahasa sendiri dibiar mati.

Bahasa orang dinilai dihargai
bahasa sendiri diabai dibenci.

Bahasa orang diyakini
bahasa sendiri disangsi.

Bahasa orang dianggap berguna
bahasa sendiri dipandang hina.

Bahasa orang dinobat dipelihara
bahasa sendiri disekat didera.

Bahasa orang dijunjung dijulang

bahasa sendiri dirundung
malang.

Bahasa orang digilap gemilang
bahasa sendiri malap dan
hilang.

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru
Melaka


HARI LAHIR

Ia mengingatkan pelayar kapal
kian merapat ke pelabuhan.

Sudahkah dipersiapkan
segala keperluan?

Untuk nanti berangkat
ke pelabuhan lain?

Renungkan sementara
ruang kesempatan masih ternganga.

Marhan SR
Taman Seri Duyung 2, Melaka

Sajak MERDEKAKAH BAHASAKU dll

Sajak...

MERDEKAKAH BAHASAKU

Di lidah bangsaku
gema keramat laungan itu
aksara lima puluh satu
merdekalah bahasaku
perkasakan kuasa pada akal jiwa.

Biar bertakhta
selamanya bahasa
tanda terpateri 152
teguh cekal cerdik akal
meletak bijak bestari jauhari.

Merdekalah bahasaku
usah gundah pada jerit politik
angkat martabat darjatmu
memperkasa bangsa menyatu nusa
buangkan segala nestapa ragu
cinta rasa perpaduan padu.

Ami Masra
UKM, Bangi, Selangor.

RESEPI AKAR UMBI?

Dengan lahap direnungnya hidangan
yang direkaciptakan oleh tukang-tukang
dari akar umbi?

Berselera tekaknya menjamah suara-suara
yang terbit membuak-buak
bersama cita-cita untuk memajak nafsu
untuk mencuba resepi akar umbi?

Lazatnya resepi akar umbi?
Boleh dijaja ke seluruh persada
yang bercawangan dan berbahagianbahagian.

Atau resepi akar sahaja?
Tanpa umbinya yang tidak tahu menahu
akar dari jenis yang mana pula
tunjang atau serabut
kalau hasrat tunjang mungkin ada
kekuatan
tapi kalau serabut
pastinya berserabut dan berbelitbelit.

Yang pasti
akar umbi tidak ada pembesar suara
akar umbi bukan tempat rujukan
akar umbi tidak diendahkan hasratnya.

Mengaku sajalah
ini kehendak yang dicita-citakan
yang sudah menggunung kukuh
dan yang pasti
sudah berakar umbi
di danau hati besar.

Abdul Samad Abdul Hakim
SMKAPD, Pendang, Kedah.

ALAHAI PPSMI

Darah dan air mata pejuang
yang sekian lama memanaskan
semangat
mengibarkan bendera perwira
yang diusung ke pelosok dunia
tiba-tiba mengalir ke lembah terbuang
bersama landskap penjajah ciptaan sendiri.

Kita menggelapkan suasana dalam benderang
cahaya
mematikan suis ilmu yang menerangi minda
menutupi buku berjuta fakta
menggali sungai berliku melencongi lebuh
raya terbina.

Kita tersasul langkah
memijak maruah sendiri
meruntuhkan gunung bahasa berdiri
merobek Fasal 153 yang membangga
meluluhkan jati diri puncak bangsa.

Suara-suara berkemundang
menyakat langkah kolot
yang menoleh ke zaman batu
dan dibebatkan boneka maju
bagai menabur garam ke lautan dahaga.

Mari kita bahangkan semangat Za'ba
kita jeritkan amanah Tun Razak
kita tiupkan keyakinan jiwa
bahasa kita usah dipersenda.

Nordin Saad
Sri Tunjong, Perlis.

PESANAN MURNI

Memang mudah menurut gejolak rasa
memutar bicara bersalut nista
menuding jari kepada semua
membakar emosi berapi-api
merungkai semangat setia kawan
menebar jala curiga tidak bernoktah
mencemuh kesatuan terjalin teguh
melutut kepada kuasa di luar garis sempadan
atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara.

Pastinya jauh lebih sukar
memahat janji kepada ibu pertiwi
mengotakan amanat pejuang bangsa
mempertahankan pusaka warisan moyang
membutir kewarasan ketulusan
memateri ukhuwah dan kerukunan
membangun gapura ketamadunan.

Jangan sampai disumpah anak cucu
jangan sampai nasi menjadi bubur
jangan sampai bumi menjadi padang jarak
bersihkan lumpur yang terpalit
dendangkan lagu persefahaman
alunkan irama perpaduan hakiki
segalanya untukmu Malaysia.

Mustaffa Hj Siraj
SMKP Saad Batu Pahat

TIRAI PERPADUAN

Kita mesti jalin tirai perpaduan
yang kasih terpahat di hati
yang cantik bertakhta di mata
yang benar kita benarkan
yang dusta simpan di lidah
sayang ditimang-timang
benci dipandang
merajuk dipujuk
malu dijeling
marah diguraukan
salah dimaafkan
yang jauh dekatkan
yang dekat rapatkan
yang berpisah disatukan
janji dikotakan
atas semangat satu bangsa
kita tidak wajar salah menyalah
atas ikatan satu akidah
kita tidak wajar tuduh menuduh.

Ini maruah bangsa
tidak manis ternoda di ranjang prasangka
jangan tergoda pada janji pendusta
saban hari bertentang mata
apakah wajar berpaling muka
acap kali berkirim salam
apakah wajar menyimpan dendam
jangan bangsa mencatat dosa
syurga belum tentu milik kita.

Ahmad Nazri Mohd Sham
Bukit Kening, Chenor


SENGKETA

Langit sedih merintih
menjeling pilu menyaksi bisu
letusan demi letusan
kata-kata mahupun senjata
mainan kuasa manusia durjana
angkara derhaka mencipta sengketa.

Bumi merekah memuntahkan darah
sungai bertuah mengalirkan musibah
gunung gagah banjaran pemisah
kemanusiaan rebah tampungan
lidah.

Mohd Fakaruddin Yaakob

Sajak WAKTU; MEMPERTEMU AKU - HANGZHOU dll

Sajak...

WAKTU; MEMPERTEMU AKU - HANGZHOU
(Menelusuri Sungai Sanubari Di Sini)


I
Ketika janji takdir mempertemu
aku; Teman berteman hadir ziarah ke situ....
Menyapa alir mengalir lesu sungai bondamu
yang membelah Sukma "Hangzhou"
menjadi puisi, kanan dan kiriku.
Di sini: Di mana anjing-anjing menjadi bisu
tidak berani salak menyalak melulu
makhluknya manat marhaen akur menyatu
di bawah langit merah yang satu.

II
Dalam derai gerimis pagi
November seawal musim salji,
menelusuri nurani "West Lake" yang sunyi
menerawang abad silam pada generasi masa kini
rumah bertingkat tiga dihuni para petani....
Mewah menuai; Ladang yang bukan milik sendiri
bagai kepompong sutera yang mengurung diri
bias menyekat zuriat lahir ke muka bumi
bagai doa para pendeta yang tak lagi sidi.


III
Bagai musafir dilamar lapar....
ataukah sidasida yang terdampar,
bila babak ilusi kembali membuka mimbar
"Song Dynasty" legenda yang telah dihantar
Ke alam masa kini untuk berkata benar
Setelah abad 1127 dulu luluh terbakar.
"General Yue Fei"; Menggamit aku di negeri
timur yang duka 1511, takhta moyangku hancur
Kini ketuanan bangsaku pula semakin kabur.


IV
Sesungguhnya aku nyatakan kata hati
sejujur bagai tersuratnya bait-bait puisi
terasa kekok; Mentafsir engkaukah itu "Jin Army".

V
Masih adakah lagi keberanian....
mencermin sekujur diri sendiri yang urian
seperti "Yihang" melukis hitam-putih kehidupan.

IBRAHIM GHAFFAR
Hangzhou, China
1 Nov 2008


OH MATEMATIK & SAINS OH SI PEMUSNAH
(Reaksi kritikan sosial Salbiah Ani)


Jelas: kawan-kawanku si dungu itu
jadi Bush, Bush yang begitu-begitu
di negaraku menamakan
Bahasa Melayu itu senjata gergasi pemusnah
kerana itu Iraq, Sadam digantung mati patah leher
tiap hari hingga kini beratus marhaen dan borjuis mati
kedendaman. Di negaraku kini dan nanti
beratus ribu rakyat patah lidah Melayu
singkat akal dan paling menggerunkan: kelunturan iman
dimamah kosa kata Inggeris yang menghalimunankan
kerohanian jua makrifatullah
kerana matematik dan sains Inggeris itu
menolak Allah jua Rasulullah
tapi kosa kata sains matematik Melayu
menajamkan ingatan keimanan.

[Alahai siang ini, ratusan profesor
kedunguan memanasi kerusi-kerusi universiti
dan malam, memanasi isteri/suami.]

Kerana bush-bush di negaraku sonder iman
cepat-cepat hebah, daftar syarikat
hambat guru desak pelajar
"ganti-ganti, cepat!" kata kawan-kawanku
"sebelum Melayu terhina, gagap lidah letak kosa kata Inggeris"
sebalik tabir, laba berjuta kerana komputer riba,
kursus jua program, alahai bush politik yang ...

Aduhai, bush-bush, busuk sungguh bau di sekeliling
banyak hati yang bernanah punah
anak-anak sekolah yang diserang soalan
ratusan ribu terpanggang. Ingat, Obama terjulang
di tangan ilmu dan kebenaran "we can"
terbuanglah "I can" bushbush
ke tong sampah sejarah.

DAENG RAMLIAKIL
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

MAAFKAN AKU BU

Bu
maafkan aku
andai dagingku adalah
sabit yang menyabit rohmu
andai darahku adalah pedang
yang mencantas temali uratmu.

Bu
hari ini aku ke mari lagi
membilang renyai
menghitung gerimis
yang tetap menitis
dalam lubuk hatiku yang paling kelam.

Bu
aku memeluk nisan cepermu
untuk menyatakan cinta.
aku menanam sepohon kemboja
untuk menyatakan cinta.

ODE
Bangi Lama

ANGKARA KITA

Apabila ada ketakutan
yang menyentap hati rakanrakan luar
untuk menabur benihbenih
kebangkitan dan kemakmuran.

Puncanya angkara rakanrakan kita
yang seperti kekalutan memburu benih kuasa.

Apabila ada kegusaran
di kalangan temanteman luar
untuk menjejakkan kaki di bumi subur hijau ini.

Puncanya angkara rakanrakan kita juga
yang seperti kehausan untuk meneguk cecair
bagi menyuburkan hasrat mereka
yang tidak ketentuan
apa lagi kepastian.

ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM
SMKAPD,Pendang,Kedah.

DI PONDOK USANG ITU

Aku melabuhkan diri
di pondok usang itu
merenung seribu kisah silam
mesra segar dalam ingatan
sarat di lubuk kenangan.

Di situ aku melihat tawa bonda
tanpa jemu melayan kerenahku
yang nakal dan manja
tubuh bonda kupaut mesra
wajah bonda memancar ceria.

Terdengardengar
suara ayahanda
lembut berbisik dalam tegas mendidik
menitipkan butir bicara penuh pedoman
mengajariku tunjuk teladan.

Dalam sarat mengimbau kenangan
tanpa sedar air mata kutitiskan
merenung sunyi yang bertandang
memenuhi ruang pondok usang
yang kini sepi ditinggalkan.

Kukutip kembali memori silam
di pondok usang bisu dingin
kuhimpunkan segala kenangan
kusulam rindu dan kasih di jiwa.

Di pondok usang itu
kutitipkan setulus doa
buat ayahanda dan bonda
di situ kenangan mengelus rasa
memahat kasih untukmu berdua.

ANIS MH (MY)

29 Oktober 2008
Kodiang, Kedah.

Sajak TANGISAN DUNIA KEPADA LELAKI PENGUBAT LUKA dll

Sajak...

TANGISAN DUNIA KEPADA LELAKI PENGUBAT LUKA

Hari ini dunia melihatmu
dengan tangisan dan terharu
selepas bertahun-tahun menanti
seorang lelaki yang perkasa jiwa
memeluk anak-anak Afrika
mencium anak-anak derita
Iraq dan Palestin
yang tidak berdosa.

Doa dunia padamu, Obama
usah membina lagi sejarah
bagaimana menguasai keganasan
tetapi binalah empayar dirimu
bagaimana memanjai wajah sayu

mereka yang sengsara derita
kaubebaskan burung kemanusiaan
menginjak bumi Amerikamu
yang lama mencakar kedamaian
benua-benua indah.

Obama
kauubatilah maruah bumimu yang hancur
bahawa warna kulit
bukan penjara pemisah
terimalah tangisan dunia padamu
mendengar suara-suara harap
lesu dan daif
dalam kasih sayangmu
agar kau menjadi lelaki pengubat luka
melakar wajah jagat
berdaulat di pangkuan rakyat.

IHSAN NOORZALI
Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.

SELENDANG PAGI ii

1.
Bangunlah dari ranjang lena panjang
yang penuh jutaan angan mimpi
lalu segeralah membasahi diri
sambut selendang pagi dengan tawakal
rahmat dan berkat daripada Pencipta
dalam pengabdian seorang abid.

2.
Sukar amatkah seorang kita
untuk bangun pada dingin pagi
hindari geletek tidur lena
pada dada waktu paling singkat
sebelum suria menjengok diri
campakkan cebisan salam benci
pada para warga yang alpa
menyirat selendang pagi yang cerlang?

3.Wahai yang empunya diri
sedarlah dalam iman
selendang pagi akan pergi
bersama ngilu angin kesal
jika kita tidak menghadirkan
untuk menjahit ropol-ropol yang koyak
pada musim asin atau manis
sebuah monokrom hayat!

RIA ASMIRAPinggiran TBNP, Ipoh
21 Oktober 2008.

PERJALANAN DARI SEBUAH KANCIL

Perjalanan dari sebuah kancil
yang bergerak dan meluncur
bersimpang-siur
ayam, itik, kijang, rimau, gajah
memburu dan diburu waktu
mengulang saujana perjalanan
dalam sebuah kancil
destinasi semakin jauh
walau terasa sama laju
menjejak setiap lorong
di rimba konkrit yang kelabu
dibalik topeng kemanusiaan
berasap oleh kapitalis jalang.

Kerdil berlari di tengah medan
ada gajah tidak kenal isyarat
ada rimau ganas menciluk
ada kijang tak henti menyibuk
ada ayam melintas terbang
ada itik terhegeh-hegeh merewang
tidak sedar diburu dan memburu
terlontar atau terpenyek
sama sahaja status
apabila tersadai
sebagai mangsa keadaan
pada kemelut kitar semula peradaban

korban yang tidak ditangisi
sekadar mati katak.

Biarkan sahaja persaingan
dalam sebuah perlumbaan
di lebuh raya kehidupan
mengganas mencekik emosi
selagi kancil bukan kehinaan
imej dari kebendaan
walau sekadar penonton
dan tertinggal di belakang
sebagai penumpang yang asyik
memintas perjalanan turun naik
warna-warna dunia tanpa sempadan
berebut menuju ke satu noktah!

FUDZAIL
Dubai, UAE

CERITA BELANTARA 1

Belantara terbakar lagi
tatkala pepohon kebenaran
rebah menyembah kepalsuan
akar-akar ketulusan
terbongkah dari bumi keaiban.

Gajah-gajah berderum
memecah keheningan
belantara
najisnya berserakan
dijilat kerdil pelanduk.

Mengangkat belalai kuasa
gading keakuan mencengkam
menusuk keangkuhan.

Bertempur gajah
mati pelanduk tanpa pembelaan.

Maruah warga belantara terbakar
lagi.

ZULKIFLI MOHD TOP
SBPI Gombak

Sajak PENITIR DUKA dll

Sajak...

PENITIR DUKA
(Buat mereka yang bergelar guru)

Dalam menyusun menjadi perkasa
mengenal huruf dan angka
mengenal warna dan bangsa
mengenal indah dan budi
agar dirimu terarah
teguh dan agam
menjadi pendeta.

Dalam memugar ilmu di jiwa
kaunyalakan lilin
mewitirkan doa
mewarna dan menggarap cita
mengisi dan mencerna peradaban.

Dalam rebah membenih rasa
kausirami penawar
dari pohon kasih bertunjangkan iman
mencoretkan makna dan ketulusan
erti sebuah kehidupan.

Dalam sukar membina warga
kausemai peribadi bangsa
cermin luhur budaya diri
memintal rasa cinta
menjunjung kemuliaan
mendaulat roh bahasamu.
Namun
dalam leka mencipta gemilang
kauterduduk terdiam
walau air mata pedih mengalir
anak didikmu lupa janji
mengikut serakah berahi
bersalut nafsu
di pentas keintelektualan
yang kauajari.

Muhfad Yusoff
Pengkalan Chepa, Kelantan.

ORANG LAIN BIJAK MENYEMAI

Padi ditanam
atas namamu
sang peribumi
yang dikurniakan baja subsidi
dan keistimewaan yang
termateri.

Di tanah yang permai
orang lain bijak menyemai
di sawah yang terbentang
orang lain membanting tulang.

Saat musim menuai tiba
kau hanya bangga pada nama
dan sedikit upah cuma
sedangkan padi yang menguning
bukan milikmu yang nyata.

Yang tergadai
bukan sekadar nama
tapi juga maruahmu yang murah.

Abizai
Miri, Sarawak,
Februari 2009.

MELAYUKU REMPIT, MELAYUKU SEMPIT


Melayuku rempit
kerana yang merempit itu
sawo matang kulitnya
namanya bangsa Melayu.

Melayuku sempit
kerana menyabung nyawa di jalan raya
bukankah sempit otaknya
tapi bangsanya Melayu.

Melayuku sempit
yang mungkin dara mungkin tiada
rela dizina beramai-ramai
digilir-gilir buat habuan teruna rempit
bukankah sempit akalnya
tapi juga bangsanya Melayu.

Melayuku rempit
pantang ditegur pantang diajar
pantang ditunjuk mana hak mana batil
terimalah padah tangan si rempit
bukankah itu sempit mindanya
tapi sekali lagi bangsanya Melayu.

Melayuku sempit
ramai yang sempit rumahnya
ramai yang sempit kantungnya
ramai yang sempit akalnya
ramai yang sempit kuasa politiknya
ramai yang sempit agamanya
tapi mengaku kami Melayu
tuan punya tanah air ini
benarkah, benarkah, benarkah
patut kutanya pada Ah Chong
patut kutanya pada Raju
belum ketemu jawabnya
mungkin juga diketawa jawabnya
oh Melayuku rempit, Melayuku sempit.

Akhirul Zaman
Seksyen 8, Shah Alam

TERIMA KASIH GURU
(Sempena Hari Guru 2009)


Terima kasih guru
yang mengajarku dulu
membawaku ke ladang-ladang
ilmu
dengan sabar tak kenal jemu
kini kupetik buah kejayaan itu
dari pohon jasa seharum narwastu.

Terima kasih guru budiman
yang merungkai erti kehidupan
menanam benih-benih kemanusiaan
memadam puntung-puntung
kesombongan
bagai bintang di kegelapan malam
di tengah lautan jadi pedoman.

Terima kasih guru jauhari
yang membugar perkebunan budi
lembut menyiram akal pekerti
tekun menyemai mulia peribadi
jasa baktimu terhampar pasti
moga Tuhan sentiasa memberkati.

Terima kasih guru tercinta
menyahut cabaran semangat perkasa
memperkukuh iltizam membina bangsa
gelanggang pendidikan diri diperhamba
modal insan dijana dipelihara
melahirkan pemimpin memacu negara.

Zolkifli Alib
SMK Bandar Kota Tinggi, Johor.

LIDAH BANGSA


Lidah bangsa makin berani
memperkatakan maruah dan jati diri
membicarakan ketuanan yang menipis
menyuarakan kepincangan tergaris
menzahirkan asa yang terhiris
tanpa sebarang bibit prejudis.

Lidah bangsa makin menggertak
dibakar oleh lahar yang memberontak
sesekali ingin berlaku waras
dalam nada tegas dan keras.

Lidah ini lidah pusaka
ingin melihat ketuanannya merdeka
walau getar dan debar ini disanggah
tetap mengalir di urat darah
bangsa ini bangsa bermaruah.

Lidah bangsa ini
ingin berkata benar dan jujur
walau mungkin langkahnya terlanjur
tidak salah andai fikir terundur
kembalikan semangat yang makin
luntur
cekangkan semula muafakat yang
kendur.

Lidah bangsa ini
berbicaralah dengan hemah
kutiplah gugusan hikmah
setelah kali ini terduga
satukan segera suara pusaka.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

SEKALI-KALI TIDAK


Kita tak pernah sekali-kali
melihat mata kita sendiri
kerana itu kita mudah menyaksi
pandangan hati yang penuh iri.

Kita tak pernah sekali-kali
melihat hidung kita sendiri
kerana itu kita beri ciuman
berduri
bukan kesturi.

Kita tak pernah sekali-kali
melihat telinga kita sendiri
kerana itu kita selesa mendengari
sumpah seranah fitnah yang keji.

Kita tak pernah sekali-kali
melihat mulut kita sendiri
kerana itu kita mudah mencaci
segalanya salah dan kodi.

Kita tak pernah sekali-kali
melihat wajah kita sendiri
teraba-raba rupa muka sendiri
kecuali tika mencermini
barulah sedar cacat cela diri.

SHUKRAN OTHMAN
Chini

MENTAFSIR MIMPI


Harus bagaimana mentafsir
mimpi
yang sering menjengah lena
bila gelap malam seribu rahsia
mengirai gelita di mana-mana.

Tentang sawah dan bendang
kontang bagai padang jarak
saujana, sayang tiada indah

Tentang kocak di muara
membuak resah
bertempiar mempinang dan tetanda
ke celah jangkar yang tidak lagi mesra
menyambut
lesu di baran.

Tentang kemarau dan tengkujuh
tidak lagi akur dengan giliran
mengikut musimnya seperti dulu.

Ah! Sukarnya mentafsir mimpi ini
tanpa kitab lama warisan nusa
yang telah tertanam bersama
dendam.

Samsul A Wahab
Kg Tanjung Serindit

Sajak SEJARAH HITAM dll

Sajak...

SEJARAH HITAM

Sejarah
tak pernah berkisah
tentang luka derita
jerih dan payah
empat belas hari
penuh ngeri.

Sejarah
tak pernah lupa
dendam kejam
manusia durja
membunuh membakar
kedamaian desa
hidup tergelepar.

Demikian ingatan
kepada si buta sejarah
kenanglah kembali
kekejaman ngeri berdarah
kudung di kaki
angkara onar jerangkap samar
deritanya sampai kini.

Kita sewajarnya belajar
tentang makna iktibar
sejarah hitam tak pernah terpadam.

AMI MASRA
Kerdau, Temerloh

PUJI DAN GAJI

Sepanjang jalan kehidupan
terlalu ramai yang kutemui
pemimpin ego ketua kaya janji
hingga terlupa nama
di mana kita bersua
berat mulut bertanya
sandiwara pun bermula
pura-pura kenal lalu berbual mesra
hingga aku disuruh memuji
pada sesuatu yang jelas keji
kupamer senyum kusorok benci
biarlah aku tak naik gaji!

Khadijah Hashim
TTDI, Kuala Lumpur
MANTERA TERCICIR SEORANG PENYAIR MEMBENTUK JALAN


Kukutip kisah-kisah semalam
yang tercicir di serata alam
yang ada padamu
yang ada padaku
dan yang pada-Nya.

Di jalan-jalan
di dinding-dinding
kuhimpun daripada ceritera silam
kukumpul daripada cahaya berbalam
supaya hari esok ada harapan
dan kaki ini sentiasa ke depan.
Di lorong-lorong
di tembok-tembok
memaknakan kata dalam setiap maksud
setiap hari
mencari diri
hingga terlupa dua dekad pergi
masa yang misteri kurempuh
walau seluruh tubuh kan lumpuh
berbekalkan kisah yang tercicir
kukumpul dan kusulamkan mimpi
untuk menjadi seorang laki-laki
yang benar-benar lelaki.

Amerzaman
Puncak Perdana-Segamat

KERINGAT


Hargailah keringat
para buruh
yang menakung peluh
di dahinya terpercik hangat
namun hidupnya
tak terasa penat
mentari yang menjilat
memijar semangat !

Razali Mohamad
Air Molek,Melaka 2009

BICARA BUAT RATU NUBARI


Pedang waktu memenggalku
saat mencari pelangi
yang hanya berbaki satu warna.

Detik bersamamu ialah saat emas
antara kaca yang menyilau pandangan
ialah ruang menyalin peribadi.

Saat aku ialah salinan wajah
kau ibu jua guru
merintis jalan damai
saat syurga berteleku di bawah telapak kakimu.

Kebaikanmu menunda usia ke pelabuhan tua
diintai takdir mencengkam, kau tabah
membangun diri antara keringat dan mimpi.

Dunia sepi dengan rindu makin mekar
dan aku terus bernafas dalam rohmu
dalam cinta yang maha.

Merentas sempadan masa
antara tiada sesudah ada
membeli waktu dengan ingatan mencengkam
kaulah ratu yang tiada tandingan.

Sapiah Derrahman
UIAM, Kuantan

MALAM INI PUN BELUM TENTU LAGI


Malam yang panjang ini
belum tentu dapat menyelesaikan
dendam-dendam yang terpendam.

Malam yang sepi ini
belum tentu dapat membangkitkan
nafsu daripada intuisi kelam.

Malam yang hangat ini
belum tentu dapat memanaskan
jiwa jihad yang kedinginan.

Selagi fajar belum menjelma
malam akan terus menari
mencari lenggok tersorok
di balik kebenaran hakiki.

A Hamid Halim
Bandar Baru Bangi

SUNYI SIANG ZULHIJAH


[1]
Bangku membisu
dan secangkir jus kiwi
gula sejarah.
Sunyi menjadi cair
sampai ke hulu hati.

[2]
Siang Zulhijah
menggapai Jabal Rahmah
kasih berliku.
Bayang Adam dan Hawa
berbanjar kaki Kaabah.

DARMA MOHAMMAD.
Makkah-Pasir Mas, 2008/09.

HANYA SULAP


Tiada upayaku membina mahligai
bertembok bergapura berbalai-balai
atau sebuah portal citra ilmu
seperti varsiti terbuka sifumu.

Tiada upayaku melukis cinta
bernama novel penimba air mata
atau hanya kisah kasih bersiri
seperti karya sang puteri.

Tiada upayaku menintakan dakwah
dengan wacana utuh bernama khutbah
atau hanya menyalin sabda Nabi
seperti catatan jauhari.

Tiada upayaku melagukan nyanyian
mendalang wira dengan puteri bunian
apalagi bergurindam berseloka
seperti lirik iman mutiara.

Aku membina sulap di rimba
bertonggak tempoyan beratap rumbia
aku menghidangkan sayur pahit
dari kebun kecil di lereng bukit
aku menuangkan air suam
daripada telaga hati yang suram.

Aku belum mampu menitiskan madu
daripada sulapku ini, ya aki.

Mohd Isa Abd Razak
Seremban

KAMPUNG BARU
(Sewaktu melintasi denyut ibu kota)

Aku singgah di tengah pikuk ibu kota
menjejak kembali warisan Melayu
yang kian terhakis
di tengah jelaga pembangunan yang menghimpit
dihurung kemodenan abad baru
kian terpencil wajahmu
di tengah denyut bandar raya perkasa.

Kujejaki nilai tradisi sebuah kampungan
warisan semalam
terkujur luhur adab kesopanan
yang hanyut bersama kemajuan material
diterjah angin kuning berdesir sumbang
anak-anak bangsa yang tenggelam
oleh budaya songsang
dalam celaru akal budi dan harga diri
di tengah kota kaca ini.

HUSNA NAZRI
Kampung Baru, Kuala Lumpur.

GURINDAM MEMPERKASA BAHASA


Bahasa ditutur semua peringkat
tandanya padu ikatan muafakat.

Bahasa diungkap seluhur hati
cerminan peribadi menyerlah pekerti.

Bahasa diucap sopan berhemah
di sungai ukhuwah mengalir hikmah.

Bahasa dipelihara cemar dihalang
prihatin warga mengusir walang.

Bahasa diangkat tempatnya di atas
gelora menguji ditentang pantas.

Bahasa dinobat seteguh martabat
gusar ibunda pastikan terubat.

Bahasa didaulat berkembang mantap
sederap perjuangan bermatlamat tetap.

Bahasa diperkasa rakyat dan penguasa
tegak pada mercu peradaban bangsa.

NAZIM MOHD SUBARI Endau, Johor.

20.6.09

Sajak...PATAH TIDAK TUMBUH HILANG TIADA PENGGANTI Dll

PATAH TIDAK TUMBUH HILANG TIADA PENGGANTI

(Dedikasi Buat Ayahanda)

Kala rindu bertamu
lirik mata merenung
sebuah potret berbingkai terukir
menatap indahnya seraut wajah
padanya garis kedut menjalar
menyimpan nostalgia semalam
suka duka sejarah pengorbanan
dari sebuah diari kehidupan.

Memori lalu mengimbau lagi
saat bening pagi membisu
garau suaramu
mengalun syahdu kalimah suci
membangkit sedar dari mimpi
untuk menyahut seruan Ilahi.


Bising koleh dikacau
bersama cebis rezeki semalam
mengisi lapar yang mencengkam
sebelum langkah diteruskan
sekadar kudrat diizinkan tuhan
demi kecukupan sebuah kehidupan
buat insan penyeri harapan.

Lirik senyumnya tiada hilang
walau payah hukuman alam
senandung cintanya tiada pudar
walau nakal menilai sifat
ungkapan nasihat menjadi tabiat
resmi padi sebagai syafaat.

Walau diri jauh di mana
walau setinggi darjat dunia
tanpa jemu
akan kukalung cinta ini
mengabdi diri seikhlas budi
buat insan yang kusayangi
bila patah tidak tumbuh
hilang pasti tiada pengganti.

Mohd Zamri Abdul Hamid
15 Jun 2009, Chuping.

KITA MESTI MEMILIH


Dalam memilih kita menyaring
batu butir pasir di dalam beras
gunakan dulang tampilah perlahan
dibantu angin yang sederhana
dalam memilih kita menarik
rambut di dalam tepung
telunjuk ditemukan ke ibu jari
dikapit rapat ditarik cermat.

Jaga usah berselerak
butir beras debu tepung
ada kala terpaksa dibuang semua
apabila ada bangkai cicak
kita mesti memilih sekalipun kejam
pada nafsu sendiri bagai
mencari wanita sebagai isteri
bukan wanita misteri
yang mengandar api.

Muhammad Ali Atan
Seri Sentosa, KL

KEKASIH BAHARU


Saat sahaya ditinggalkan
sahaya teresak-esak, sendirian
tanpa ada yang sudi beri ihsan.

Sepurnama kemudian
saya ketemu kekasih baharu
dari celah-celah aturan buku
pada helai-helai halaman ilmu
serta pada jalin-jalin kisah berpadu.

Lalu sahaya pun mafhum
puisi titipan Sang Kekasih
yang benar-benar pengasih itu
yang katanya, "Iqra'!"

Aidil Khalid
Sunway � Shah Alam, Selangor

USAH PERCAYA


Usah percaya riuhnya ayam
lalu menyangka bertelur ia
usah percaya guruh menderam
lalu menyangka hujan nak tiba.

Usah percaya gemuruhnya kompang
lalu menyangka dah tiba mempelai
usah percaya hebohnya orang
lalu menyangka YB yang sampai.

Usah percaya si jalak berkokok
lalu menyangka hari nak siang
usah percaya teriak si pungguk
lalu menyangka bulan mengambang.

Usah percaya buah di pokok
lalu menyangka dapat dimakan
usah percaya gahnya tepuk
lalu menyangka hebatnya sokongan.

Usah percaya padanya orang
kerana manusia zaman sekarang
yang jujur terlalu kurang
yang banyak kaki temberang.

Aliff Mustakim
Permatang Rambai, Penaga

ORANG-ORANG DI BENDANG


Orang-orang di bendang
tidak lagi menggenggam renggam
tidak lagi memukul-mukul padi
tidak lagi menampi-nampi rezeki
tidak lagi tercari-cari tuahnya
tidak lagi menangguk sukar.

Orang-orang di bendang semakin bijak
menajak kemiskinan membajak keyakinan
membuang batas-batas percaya
menanam padi politik
menabur beras saham.

Orang-orang di bendang
tidak lagi menabur benih malang
mereka menambat kerbau keluhan
melepaskan ikatan tradisi
ada padi ada pilihan pada hujung musim.

Orang-orang di bendang
mula bersuara lantang.

Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.

MENGINGATIMU MUALIM


Gelambir wajahmu kulihat mekar
meski pikunmu mula menyapa
dan usiamu mengorak di tubir senja
selaut keringat tabahmu
masih kurasa basah lenjunnya
detak suaramu mengeja kata
masih geming bergema setia
setitis tintamu melakar rindu
terpalit siaga di catatan dewasaku.

Kala lingkaran subuh
segeluk doa kuhampar di sejadah fajar
dari kelopak hati ini namamu bergetar
dirimu adalah mualim segenap manusia
dalam denyut bangsa dirimu bernyawa
bersama deraman nafas perjuangan agama.

Shahkang
Banting, Selangor

KERAMAT PERPADUAN


Setiap kali melangkah membawa perpaduan
ada jambatan terbakar di hadapan
di kiri ada iri, di kanan ada igauan
dan kumulus retorika menyungkup pandang
pepohon ego bergelimpangan menghalang
ditumbangkan ribut paranoid dan taufan bimbang
dibersit deru ragu dan kabus kelabu
destinasi perjuangan.

Kerana perpaduan itu
seperti sejenis syahdu yang bertiup lalu
tak tergapai oleh tangan-tangan tergenggam
daripada hati yang tak sanggup memberi
atau oleh tangan-tangan yang terbuka seluas-luasnya
untuk gelojoh menerima.

Seperti sejenis persahabatan yang tak terungkapkan
dengan perkataan, senyuman, lambaian dan kunjungan
tetapi bercambah di dalam kalbu
membesar menjadi rimbun, berbunga, berbuah
bukan untuk satu, tetapi buat semua merasa
redup kesejahteraan, meriah keamanan
dan manis kehidupan.

Kerana perpaduan itu
seperti sejenis ikatan dengan tali pengorbanan
tak teruraikan oleh jari-jari haloba
dan adu domba
tak terungkaikan dengan runtunan dan gigitan
luaran, kecuali digunting oleh pengkhianatan
dan oleh dendam dari dalam.

Seperti sejenis kekuatan yang tertanam di jantung
kudratnya mengalir bersama darah dan limfa
keramatnya tertancap di tulang-temulang
kuasanya bersemarak di perdu hati
yang setia dan berani.

Kerana perpaduan itu kelangsungan
dan perjuangan
sepanjang zaman.

Ramlan Abd Wahab
Kg Rantau Panjang, Klang,

LELAKI DI PENJURU MATAHARI


Lelaki di penjuru matahari
sentiasa menerkam
bersama perginya bebayang sunyi.

Di lantai impian yang semakin runtuh
di papak harapan yang semakin rapuh
di mozek wawasan yang semakin ampuh
lelaki di penjuru matahari
adalah lelaki yang telah lama mati.

Lelaki di penjuru matahari
adalah lelaki yang telah lama mati
kerana dia lelaki
adalah egois yang tidak pernah mengakui
kelemahan sebatang peribadi.

Di haraf diri
mencari manusia dan manusiawi
dia lelaki telah lama mati
nurani dan emosi terpotong
di penjuru matahari
kerana janji dan bakti
telah lama songlap
ditelan kepentingan diri.

Nimoiz TY
Gual Ipoh, Tanah Merah

SALING BELUM MENGERTI


Setiap halaman hubungan menjadi taman rama-rama
kerana telah lama membaca kitab akrab bersama;
di dalam bab beza, susun diksi aksara pandangan -
antara gerobok pengalaman dan almari usia
antara muram kecewa dan ledak ketawa
sering mentafsir manuskrip khuatir
di atas helai-helai kertas perjuangan, atau
di sisi renda-renda pentas yang sama - meski -
telah lama membaca kitab akrab bersama
kita saling belum mengerti, sejujurnya.

WB Rendra
Johor Bahru

4.6.09

Cerpen: Sakura Itu Pemberian Mama




Oleh Ilham Hamdani

KAU tahu, Jepun sudah diserbu sakura!

Sepasang Somei Yoshino yang ditanam gemulah Papa megahnya, aduhai!

Bukankah dulu aku pernah ceritakan?

“Kata Papa, sepasang Somei Yoshino itu adalah zahir cintanya pada aku dan Mama!”

Ya, mengenangkan Somei Yoshino yang apakala dipanah matahari pagi terlihat bak mutiara itu ingatkan aku pada gemulah Papa. Lantas aku sedar mimpi aku masih tetap di awan, Mas, tidak menjejak ke tanah jadi nyata. Bulan ini bulan kelahiran aku, sepertinya kata Papa dulu - kau lahir di tengah musim emas sakura, anakku! - maka, aku mahu mimpi aku menjadi ke lebih dekat kepada nyata, Mas.

Kata Obaasan dulu, “Hati Mama kau tu keras.”

Kemudian Obaasan tertawa sinis, “Sesuailah jiwanya sebagai Itagaki Taisuke.”

Hey, dulu aku pernah ceritakan kau, bukan? Ya, saat kau datang kali pertama ke daerah kami, musim sakura bersemi enam tahun dulu. Ya, aku ingat betul, sudah aku ceritakan! Kami, dari sebelah Obaasan adalah daripada keturunan Itagaki Taisuke, samurai wanita yang hidup pada era Heian itu, yang punya tidak kurang 3000 orang pengikut yang terkenal dengan naginata, pedang memakan mangsa dalam diam. Dan itulah kebanggaan Obaasan!

Kau lupa, terlupa, atau buat-buat lupa? Kau memang lupa aku, sepertinya kau lupakan Mama, lupakan daerah laut pencil ini, Masrina. Kau di mana sekarang? Kali terakhir, lewat surat bersampul kuning, kau berada di Manama. Kata kau, rezeki Ayah jadi Duta. Tapi, surat itu tiga tahun dulu. Aku pasti kau tak di sana lagi. Kalau di sana, masakan tiga pucuk surat aku tak kaubalas? Atau kau memang lupakan kami, lupakan musim-musim hanami di bawah lembayung sakura redup dan angin laut Kawarago itu meniupkan butir-butir sakura, kautertawa senang tatkala bunga halus-mulus itu singgah ke tudung polosmu, kau terus tertawa. Kemudian senang mencicipi onigiri sambil merenung bandar Hitachi ke bawah dan kata kau lagi - di sinilah syurga!

Kata Obaasan lagi, dulu, “Papa kau tu jiwanya halus sekali. Sakura-sakura ini bukankah halus lembut sifatnya?”

“Kerna kecintaan itu Papa sanggup mati di sini?”

“Merajuk.”

“Kenapa?”

“Perkahwinan tak disenangi.”

“Boleh Obaasan lanjutkan cerita tentang Papa.”

Kemudian Obaasan diam, melantunkan anak mata tuanya dari batang, cabang, kemudian ranting-ranting bunga raja Jepun itu. Ah, betapalah akal Obaasan itu juga bercabang-cabang, sepertinya.

Aku mendesak, tetapi dengan lembut penuh diplomasi, “Nenekku yang mulia.”

Lensanya singgah berlaga dengan lensa aku. Kerna laut hanya puluhan langkah daripada sepasang Somei Yoshino, sedang kami bertompok atas sepasang kerusi batu dibina comel oleh Papa, maka guntur suara ombak sampai ke telinga, dan dada aku sakit oleh angin yang bertampar.

“Sepertinya Obaasan bangga menjadi generasi Itagaki Taisuke ....”

Obaasan lantas senyum, “Oh, bahkan! Moyang aku itu bukan sahaja hebat dengan naginata dan tanto, berperang dengan 10,000 askar Heiki dan kemudiannya menang, tetapi juga Itagaki Taisuke itulah yang akan mempertahankan keluarga dan anak-anak, termasuk juga mendidik anak-anak menjadi celik ilmu.”

Pada saat aku lihat Obaasan dengan uban putihnya yang diterpa angin laut itu diam, matanya lip-lap-lip-lap, aku memintas kata, “Bahagialah Obaasan kerana mengetahui susur-galur kehebatan moyang Obaasan itu dan menderitalah saya kerana tak tahu siapa keturunan saya.”

“Bukankah kau juga generasi pewarisnya Itagaki!”

“Itu saya tahu! Tetapi, bagaimana dengan jalur daripada sebelah Papa?”

Masrina, kemudiannya Obaasan terdiam. Dan diamnya hinggalah dia menutupkan mata, rapat, mati, dan pergi membawa rahsia aku ke dalam kuburnya.

Kini tinggal Mama saja yang bisa merungkai darah keturunan aku, Nur Sakura Ahmad Yunus, yang seperti kata Papa yang aku ingat dalam bayang-bayang yang serba kelabu: anakku, anak emas sakura, keturunanmu dari Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong. Tidak utara, tidak selatan, sebaliknya yang timur yang berlawanan dengan barat. Yang tidak rendah, tetapi tinggi pada Chintawangsa. Masrina, benar kata Obaasan: jiwa Papa yang halus mulus itu terpancar oleh bicaranya penuh seni. Apalah daya aku saat berusia lebih sedikit dari tujuh tahun itu mentahkik kata-kata Papa yang penuh liku menyimpan seribu makna itu.

Kini aku akan terus mendesak Mama, seperti yang aku telah buat pada Obaasan; dengan lembut dan diplomasi. Mama adalah segala-galanya. Pada saat kunci almari kecil dalam bilik Mama itu aku peroleh, pada saat cap mohor berlambang kijang yang aku pernah diperlihatkan sekali oleh gemulah Papa dulu itu aku genggam di tangan, maka aku tahu mimpi-mimpi aku mendarat pada tanah ampuh dan rahsia lama itupun akan terserlahlah daripada balik hijabnya.

Masrina temanku yang kala tertawa senang akan terlihatlah sepasang lesung pipit yang memaniskan wajah, kata Mama sore tadi saat kami mencicipi senbei rangup dan secawan ocha, ya di bawah sepasang Somei Yoshino, “Kau akan genap 21 tahun April ini. Mama akan tempahkan sepasang furisode kimono untuk kau. Tentu kau akan menjadi gadis paling ayu pada seijin shiki Januari nanti, Sakura!”

Aku ingat lagi, Masrina, dulu kita pernah ikut kakak kau, Maisarah untuk meraikan seijin shikinnya di Dewan Bandaran Shibuya, tak jauh dari pejabat kedutaan Malaysia. Sepasang furidose kuning emas dan bengkung nagoya obi berwarna oren pekat yang dipakai Maisarah, sungguh-sungguh menjadikannya sang bidadari pada pagi 15 Januari itu. Tak sia-sia Maisarah berpeluh-peluh saat dikerjakan kimono kitsuke, sang pemasang kimono itu, rupa-rupanya Maisarah jadi tumpuan lensa pagi itu.

Tapi, aku tetap yakin, Masrina, Maisarah tetap tidak merokok, bukan? Tidak minum, bukan? Maksud aku minum arak, seperti orang muda Jepun lain sebaik saja meraikan usia 21 tahun. Masakan Maisarah yang kuat agama itu akan buat semua itu. Hei, sudah berapa anak Maisarah sekarang?

Eh, kau tahu bukan, selain dibenarkan merokok dan minum arak kami juga sudah boleh mengundi. Maknanya, tahun depan, kalau ada pilihan raya aku sudah layak mengundi, Masrina. Aku akan undi pemimpin yang mampu membawa Jepun keluar daripada kemelut ekonomi. Kau agak Taro Aso sekarang ini boleh selesaikan masalah pengangguran yang makin meruncing? Sekarang ini sudah hampir 400, 000 orang hilang pekerjaan - antara terburuk dalam sejarah Jepun moden. Aku tak pasti sama ada 10 trilion yen yang disuntik dalam pakej stimulasi baru-baru ini akan mampu untuk membantu mereka yang menganggur ini, aduhai! Alangkah bagusnya kalau ada pemimpin hebat seperti Junichiro Koizumi dulu. Aku pasti seluruh rakyat Jepun akan memilih orang seperti itu untuk menjadi Perdana Menteri.

“Minggu lepas Mama sudah ke kedai kimono, berkenan sungguh dengan chu-furisode yang berwarna biru lembut. Kalau dipasangkan dengan nagoya obi berwarna oren, aduhai anak Mama ini, pasti manis ... seperti Mama muda-muda.”

Kemudian Mama tertawa.

“Mama harap Sakura akan selalu memakai kimono ini sebagai lambang wanita asli Jepun. Apalagi kita ini warisnya Itagaki Taisuke. Kamu jangan menjadi seperti anak gadis hari ini yang lebih senang dengan pakaian barat. Ada yang pakainya seperti orang miskin, tak cukup kain. Paling Mama tak berkenan!”

Mas, dulu, saat kita merayau di kota fesyen Harujuku itu, kau juga merungut benda yang sama. Aku ingat lagi, kata kau: gadis Jepun ini macam orang sasau! Aku juga malu, sebetulnya. Mana tidaknya, rambut dilumur warna oren, baju tampak pusat yang dipasangkan anting-anting, berkasut tumit tinggi dengan stoking bagai kuda belang yang sampai ke pangkal lutut. Ada pula yang tengah panas menggila itu mengenakan sehelai jaket bulu di atasnya. Aduh! Fesyen apakah yang serba celaru ini?

“Mama tak kisah untuk membuang 300,000 yen pun untuk anak Mama!”

Mama meraba pangkal bahu aku sebelum memeluknya. Aku hiba menahan sebak. Ada hujan sakura atas kepala kami tatkala semilir menggoncang hujung reranting bunga putih suci itu.

Setelah mengumpul seluruh roh kekuatan daripada segenap hujung saraf darah, aku pun bersuara penuh hormat, “Mama, Sakura bahagia mempunyai seorang ibu yang baik seperti Mama.”

Kata aku tersangkak, Mas, seketika.

Sambung lagi, meski deru sebak makin berombak-ombak, sedang butir-butir bunga makin jujuh seperti air dititis dari langit, “Sakura akan menjadi teramat bahagia kalau Mama memberi satu lagi hadiah ....”

“Apa?”

Bulat mata Mama, Masrina!

“Sakura mahu tahu tentang keturunan Sakura daripada sebelah Papa! Tolonglah Mama ....”

Ya, seperti sering kali aku adukan pada kau dulu, setiap kali datangnya April yang bererti datangnya bulan kelahiran aku, satu benda yang tak pernah lupa aku pinta daripada Mama adalah beritahu tentang keturunan aku. Dan, tak terkecuali untuk kali ini, Mas! Aku harap Mama tidak mengulang jawapan yang sama - anak Mama, kau masih muda, sayang.

Mama bersuara, lemah, “Apa tak cukupkah kasih sayang Mama?”

Air mata aku sudah melimpahi sempadannya, “Tidak, bahkan melimpah ruah.”

“Lalu untuk apa lagi mahu dicari susur-galur Papa?”

“Salahkah Sakura untuk mencarinya dan berbangga dengannya, seperti Mama yang berbangga dengan Itagaki Taisuke? Mama, bahawa dalam salur darah Nur Sakura Ahmad Yunus ini adalah cantuman daripada dua gugus darah, antara titis darah srikandi jalur Itagaki dan satu lagi ... mungkin daripada jalur Puteri Saadong!”

Masrina, aku rasa aku ini daripada jaluran Puteri Saadong, anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang yang memerintah Kelantan pada tahun 1610. Ini kalau aku sandarkan pada kata-kata arwah Papa. Daripada pembacaan aku, telah aku tahu yang Puteri Saadong ini telah berkahwin dengan Raja Abdullah yang kemudian memerintah di Bukit Marak. Tetapi, anehnya, Masrina, kata sejarawan: perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah tidak memberikan zuriat. Bagaimana? Ah, bingungnya aku. Apapun, dengan hanya sebatang anak kunci yang bisa membuka almari rahsia saja yang akan menentukan sejauh mana telahan aku ini. Aku kira, setelah aku peroleh sebentuk cap mohor dengan wajah kijang berwarna emas itu, akan segera aku ke Malaysia. Aku harap kau akan sudi membantu aku. Itupun kalau sungguh kau berada di Malaysia. Tetapi, kalau kau terus mengikut keluarga kau yang berpindah-randah dari satu kedutaan ke satu kedutaan lain, bagaimana?

“Hati kau keras, Sakura!” Kata Mama.

“Hati kita sama-sama keras, sebenarnya. Bukankah kita ini daripada keturunan Itagaki Taisuke yang tangkas dalam lembut wanitanya.”

Mama bingkas bangun, Masrina.

Aku melongo, rajukkah Mama, Mas?

Aku terbenam lama pada bangku batu, dingin telah menjajah hingga ke daerah tulang yang terpencil, Mas. Di Hitachi ini, seperti kata kau dulu: meski dekat dengan laut, sejuk tetap saja bermaharajalela. Bukankah dulu, beberapa kali ini kita bermain hujan salji dan apabila penat kita berhenti untuk membuat yuki-daroma. Orang salji itu kemudiannya menjadi peluru untuk kita berperang. Aku kira petang ini, meski masih jauh daripada musim salju itu, meski kuntum-kuntum sakura masih saja meriah, dinginnya turun hingga angka sepuluh atau lebih rendah lagi.

Masrina, Masrina, Mama keluar semula!

Pada tangan Mama ada sebakul sakura, penuh!

Untuk apakah? Hati aku dig-dag-dug!

“Sakura, permata hati Mama. Hanya satu perkara yang Mama bimbang ....”

“Apa Mama?”

“Mahukah Sakura berjanji dengan Mama?”

“Apa?”

“Setelah bertemu dengan jalur keturunan daripada sebelah Papamu, jalur keturunan Itagaki Taisuke ini tidak kamu lupakan.”

Masrina, aku rasa mimpi-mimpi makin turun mendarat, menjejak untuk menjadi nyata.

“Nah.”

Sebakul sakura, untuk apa?

Bunga-bunganya bergaul-gaul antara yang layu kering hinggalah pada beberapa kuntum yang segar cantik. Sebahagiannya masih putih segar, sedang sebahagian lagi sudah kuning usang.

“Bunga-bunga pertama pada setiap musim semai telah Mama kumpul di sini, kerana sakura putih adalah lambang kebahagiaan Papamu dan hari ini, Mama rasa kau sudah cukup dewasa untuk menjadi pewaris sakura putih. Pergilah! Carilah akar keturunanmu, Sakura. Mama doakan Sakura kelak akan jadi sebatang pohon yang punya jati kebanggaan.”

Dari balik sakura-sakura putih itu, tatkala ditiupi angin terserlahlah sebentuk kunci yang berwarna kusam. Mas, aku akan segera ke Tanah Serendah Sekebun Tanah!

Biodata

Ilham Hamdani nama pena bagi Mohd Izuddin Mahamad Nazir yang turut dikenali sebagai Addeen Bandarsepi. Beliau dilahirkan di Kangar, Perlis dan sangat meminati penulisan kreatif meskipun terdidik dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Ibaraki, Jepun. Beberapa karyanya pernah mendapat tempat dalam media arus perdana. Pernah berkhidmat sebagai jurutera di Sato Barcode, Shah Alam dan kini menetap di Australia.