Oleh Malim Ghozali PK
AKU tidak mengerti kenapa harus lagi berada di desa terpencil ini. Seolah-olah aku dipertanggungjawabkan mengawal selia segala sisa-sisa kenangan yang masih tertinggal di sini. Sebenarnya aku tidak perlu menjadi penunggu semua itu. Kenangan telah senam di segenap tempat: terpahat di batu-batan, terukir di setiap pepohonan, di lurah dan bukit, tersangkut di suara unggas dan mergastua, terperangkap bersama rimbun aur di tebing kali, dijinjing semilir angin pagi dan petang dan terlukis di mega jauh di kaki langit. Aku sepatutnya sudah terbang lama dulu, mencari kehidupan baru, kalau tidak pun cinta baru. Melupakan semua kesayuan dan kepedihan. Sesungguhnya desa ini adalah lambang sebuah kesepian yang teramat sangat!
Dan kesepian amat menyakitkan.
Ketika bulan empat belas bersimpuh di permukaan danau di hujung desa, ia seperti mahu mengintip rahsia masa silamku. Sang pungguk di pinggir danau pula tak lepas-lepas menyanyikan lagu pilunya. Cepat-cepat kutinggalkan danau. Aku tidak mahu berkongsi wajah bulan di danau serta keindahan masa silam dengan sesiapapun, kecuali Alang.
"Pergilah, cari kehidupan baru ada padang yang lebih hijau dari yang terdapat di desa ini ...." Ayah Alang yang pragmatik selalu saja mengacum fikiranku. Dia tahu penantian adalah petanda paling kejam. "Hatimu sudah tidak di desa ini lagi," ayah Alang membuat prognosisnya.
"Tapi ayah salah ..." mahu saja kata-kata itu kulucutkan kepada ayah Alang. Tapi aku tidak sampai hati. Ayah Alang orang baik. Aku sendiri pun bukanlah dari jenis yang suka membentak-bentak. Jauh sekali berlaku kurang sopan terhadap orang tua.
- Di luar sana dunia menantimu, Merah.
- Tapi ayah, aku seorang perempuan dan aku masih isteri yang sah kepada Alang.
Alang juga bukan orang jahat. Aku menyayangi seluruh desa ini: warganya, keindahannya, dan sudah tentulah teruna kebanggaan desa - Alang. Aku dan Alang dilahir dan dibesarkan di sini. Kami bersekolah di sini, kami bercinta di sini. Bukankah kami telah berjanji mahu berakhir di sini? Ah, kesepian boleh membangkitkan rindu dari laut dan membuatkan dedaunan menggetarkan lagu-lagu rawan.
- Cukuplah, kalian telah lama mahu menafikan cintaku terhadap Alang! Dengar sini, aku cintakan Alang, selamanya .
Walaupun ada kata-kata Alang yang tidak kusenangi, namun aku sudah mencintai lelaki itu sejak pertemuan kali pertama. Ketika hitam anak mata Alang menyikat tangkai jantungku ketika berselisih di titi berhampiran sawah, aku telah serta merta menjadi milik lelaki itu. Dan pada saat itu juga Alang telah menjadi kepunyaanku. Alang menyambung pelajaran di bandar, aku menantinya dengan tabah. Dia tidak pernah mengecilkan hatiku lagi. Alang bekerja di bandar sementara menantikan tawaran yang lebih lumayan. Aku menantinya kerana tidak pernah meragukan kesetiaannya padaku. Alam dan burung-burunglah yang mengisi kekosonganku ketika menanti kepulangan Alang pada hujung minggu. Sebagai seorang kekasih pluit Senandung Malam dari balik bukit menuju ke arah selatan di puncak-puncak malam sering saja menambah kerinduanku.
- Cinta terhebat bukan untuk pelaminan!
Aku tidak tahu kenapa Alang membuat pengumuman sebegitu sekembali dari bandar pada rembang suatu petang. Kalau kau sudah tidak lagi menyintaiku, katakanlah Alang, aku boleh menerimanya, walaupun aku akan merana seumur hidup. Ternyata kata-kata Alang melukakanku, sementelahan dia baru saja ditawarkan jawatan yang lebih lumayan jauh di ibu kota. Katanya dia sedang memikirkan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak.
Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. Aku tidak dapat menerima kata-kata itu. Aku fikir dia sengaja mahu menguji kesetiaanku. Memang, aku merajuk beberapa hari lantaran kenyataan Alang. Tapi lelaki itu juga pandai memujuk, dan segala kebekuanku cair juga akhirnya.
Alang bercerita tentang ciak jantan saban hari tekun mengutip jerami padi untuk dijadikan sarang kerana pasangannya akan bertelur tak lama lagi.
Menurut nenek Alang, dulu-dulu pesawah tidak menganggap ciak, pipit tuli, dan pipit uban sebagai musuh. Mereka saling tolong-menolong. Burung-burung itu membantu pesawah dengan menghapuskan ulat dan benah berang. Upahnya mereka boleh ambil sebanyak mana padi yang diidamkan. Lagipun pada waktu itu sawah yang sesayup mata memandang luasnya itu belum lagi diganggu-gugat oleh estet kelapa sawit dan tapak industri.
- Ooo sekarang?
- Racun serangga meracun setiakawan yang sudah wujud sejak lama. Selebihnya orang sudah berajakan duit tanah sawah pun dah semakin susut.
- Kesian, lepas tu .
- Sambil menggonggong jerami ciak jantan tak henti-henti menyanyi . Ciak! Ciak! Ciak!
- Kau tahu maksud nyanyian itu, Alang?
Alang mengalihkan pandangan ke arahku dan dengan legun merenung ke dalam anak mataku. "Maksud ciak jantan tu: kau cantik, kau cantik, kau cantik !" Dan Alang ketawa.
- Kau miang, Alang!
Aku menduga sepasang mata hitam Alang menyembunyikan kesungguhan dan cita-cita yang tinggi.
Alang menyambung ceritanya; sebaik saja sarang itu terbangun, ciak jantan tidak kembali menemui pasangannya lagi. Hilang lesap entah ke mana. Aku merasakan aneh benar cerita itu.
- Ke mana hilangnya si ciak jantan?
- Entah.
- Apa kesudahan cerita tu?
- Entah.
- Kenapa entah? Kaubuat cerita sendiri ya?
- Aku belum terfikir bagaimana mahu mengakhirkannya.
- Hmm geramnya aku .
Alang ketawa lagi. Tapi dia kurang bernasib baik. Dia terlepas umbang dan terjatuh dari titi batang mahang ke dalam tali air di pinggir sawah.
Lelaki yang diimpikan oleh semua gadis di desaku mengotakan janjinya. Alang naik pelamin bersamaku. Pak cik mengadakan kenduri ala kadar. Tak mengapalah, Almarhum ayah dan ibu tidak meninggalkan banyak harta, selain kebun getah sekangkang kera berhampiran sungai dan serelung sawah yang bersempadan dengan sawah milik ayah Alang.
"Yang lebih penting, kau bahagia," kata pak cik. "Nanti bila sudah ada anak sebagai penambat kasih sayang, tentu kalian akan mengecapi nikmat kebahagiaan berumahtangga." Kata-kata pak cik meniupkan semangat kepadaku. Lebih-lebih lagi sejak malam pertama Alang sudah membayangkan kemungkinan dia menerima tawaran kerja di ibu kota. Lebih memeranjatkanku Alang ingin mengembara dan belajar hingga ke luar negara!
"Tapi kebun getah, tanah sawah dan sedikit dusun peninggalan ayahku boleh kita majukan. Hasilnya tentu lumayan, bang ."
Alang tidak menjawab sarananku.
Malam itu buat kesekian kali tidurku menghidangkan mimpi ngeri yang benar-benar terjadi. Alang meninggalkanku, tanpa sebarang pesan, tanpa sepatah kata. Suatu petang minggu, Alang tidak pulang dari kerja. Aku tidak mengesyaki apa-apa. Hingga larut malam kutunggu, tapi dia tidak juga menjelma. Keesokannya aku dan ayah Alang menjejakinya di tempat kerja. Ternyata Alang tidak datang bertugas pada hari dia tidak pulang ke rumah. Alangkah hampanya kami. Lama aku berkurung di bilik hingga merisaukan pak cik dan ayah mentuaku. Mataku bengkak dan tubuhku tidak lagi terurus. Aku cuba mewaraskan apa yang terjadi.
Sekiranya cinta boleh muncul dengan tiba-tiba, tentulah cinta boleh hilang bila-bila masa!
"Jangan sampai merosakkan kesihatan, nanti boleh keguguran," kata teman karibku, yang kebetulan adik Alang.
"Aku tidak bunting," kataku.
Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada pasangan ciak betina yang dikisahkan Alang lama dulu. Hanya Alang yang mampu menyudahkannya, kerana itu adalah cerita bikinannya. Kata adik Alang dia dan ayahnya juga tidak pernah dihubungi.
Agaknya Alang sudah terbang bersama ciaknya, sebaris ayat nakal melintasi fikiranku.
"Kenapa tak kahwin, kau cantik, usia dah semakin lanjut," pernah kutanyakan kepada adik Alang.
"Entah," jawabnya, lalu mengangkat kedua-dua bahunya. "Saya takut jadi macam Kak Merah."
Apakah dunia ini penuh dengan 'entah' dan semua manusia menggunakan kata itu untuk mewaraskan semua fenomena?
"Entahlah kak agaknya belum jodoh," jawab adik Alang pada ketika yang lain.
"Destini kita tak serupa " nasihatku kepadanya. Spontan kudongak ke angkasa apabila terdengar siulan burung. Seekor balam terbang sendirian menuju entah ke mana.
Hingga suatu petang yang lanjut ketika berbasikal melintasi halaman rumah ayah mentuaku, kemunculan sebuah kereta mewah cukup mendebarkan hati kecilku. Hingga tersirap darah gemuruhku.
Tentulah bukan kereta Alang?
Ayah Alang tidak pernah memberitahu tentang kepulangan anak lelakinya. Tapi aku harus bergegas ke pasar tani yang terletak berhampiran jalan besar. Di kejauhan bunga senja yang kuning kemerah-merahan sudah mula mendandan kaki langit. Adik Alang memintaku datang lebih awal untuk mengambil hasil jualan buah-buahanku di gerainya. Dia mahu terus ke bandar, katanya. Begitulah yang kulakukan sejak beberapa tahun kebelakangan. Semua buah-buahan itu adalah hasil tanamanku di pinggir sawah, tak jauh dari ladang kelapa sawit dan kebun getah; kebanyakannya jambu madu, rambutan, nangka dan mata kucing. Beberapa biji mata kucing yang dibawa Alang dari bandar suatu waktu dulu kusemaikan. Sehingga ke hari ini pohonnya tidak putus-putus mengeluarkan buah yang lebat dan manis saban musim.
Aku tersentak sebaik tiba di gerai adik Alang. Seorang gadis Inggeris berambut perang tercegat di situ. Aku tambah gemuruh apabila gadis itu menghulurkan tangannya yang lembut kepadaku.
"Assalamualaikum Mak Cik Merah ."
"Walaikumussalam ." jantungku semakin berdebar. Ada bayangan wajah seseorang yang sangat kukenali di tampang gadis sunti.
Dugaanku tepat sekali apabila adik Alang berbisik ke telingaku. "Anak tiri kakak ibunya orang putih, baru meninggal. Khabarnya abang Alang selalu sakit-sakit sekarang."
"Haa?"
"Hmm, nampaknya penantian Kak Merah dah berakhir. Kata anaknya, Alang ada di rumah. Dia tentu rindukan kak Merah. Saya tak jadi ke bandar kak, sekejap lagi pulang."
Kukayuh basikal laju-laju ketika melintasi halaman rumah ayah mentuaku. Kulihat seperti ada seseorang terdiri di beranda. Aku tidak menoleh tapi terus pulang ke rumah kecil yang kubina di pinggir sawah. Aku sudah lama tidak tinggal di rumah ayah mentuaku. Biarlah aku tinggal sendirian di rumah kecilku. Di situ aku tidak jauh dari kenangan. Sejak di atas basikal, air mataku sudah mula merembas.
Sesampai di rumah kulihat ayah mentuaku mengelamun di atas tangga.
"Kau tentu sudah tahu, Alang sudah pulang. Katanya dia datang untuk meminta maaf. Dia nak bawa Merah bersamanya ke ibu kota. Ayah tak boleh memaksa ayah tahu perasaan Merah. Sekejap lagi suamimu akan ke sini. Katanya dia mahu berlutut dan mencium tanganmu," kata ayah mentuaku sebelum dia beredar.
Aku tidak mampu bersuara lagi. Kurasa air mataku tak dapat ditahan-tahan lagi. Sejak di gerai buah adik Alang aku sudah kehilangan suara. Benakku berkecamuk dan tubuhku bagaikan terapung. Ada adik Alang menyebutkan nama anak gadis abangnya, tapi aku tidak ingat. Semua itu sudah tidak penting.
Air mata: kau mengalir kerana gembira dengan kepulangan abang Alang?
Kenapa sekarang Alang? Kenapa? Kenapa harus begini?
Aku tidak marah sekiranya Alang berterus terang. Tapi kini hatiku benar-benar luluh.
Sebentar lagi adik Alang akan sampai. Dia sudah berjanji menghantarku ke stesen kereta api dan merahsiakannya. Kuhantar pandangan ke arah tali air buat kali terakhir. Walaupun titi batang mahang sudah digantikan dengan titi kayu yang lebih cantik, namun kenangan-kenangan masih terkunci di situ buat selamanya. Tali air kelihatan sebu dan sepasang burung ciak bertenggek di ranting aur. Tak lama lagi pesawah akan turun menyemai pada musim yang baru. Kulihat kaki langit masih seperti tadi. Walau sebak di dadaku semakin menjadi-jadi, namun terasa ada semangat baru yang menyala-nyala - semerah senja itu.
INFO:
MALIM Ghozali PK, nama pena bagi Mohd Ghozali Abdul Rashid yang dilahirkan di Malim Nawar, Perak, pada 1949. Terbabit dalam genre puisi, cerpen, novel dan karya bukan fiksyen. Lulusan Antropologi Sosial (Universiti Malaya) dan Undang-undang Perkapalan (Universiti Wales, UK) serta Pentadbiran Tanah (NIPA) ini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 21 tahun sebelum bersara pilihan pada 1994. Kumpulan puisi, Gemaruang (1987) dan Hujan Di Limun Pagi (2008); kumpulan cerpen Usia (2006) dan Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! (2008) serta novel, Redang (1988), Janji Paramaribo (1991) dan Daun (2008). Karya bukan fiksyen, Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan dan The Profound Truth Understanding Perfection (2006), selain turut menterjemah karya cereka dan bukan cereka Melayu-Inggeris-Melayu. Pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984 - 1987 (puisi dan cerpen) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Sayembara Esso-Gapena. Menghadiri program Felo Virginia Centre for Creative Artists (1989) dan felo penulisan Program Penulisan Iowa (2007) di Amerika Syarikat, selain pernah mewakili negara ke Bengkel Mastera di Bogor, Indonesia (2008) sebagai pembimbing genre cerpen.