Penaja

14.2.10

Dia, seorang geisha (Cerpen)

Oleh Hafizul Osman

DIA, seorang geisha. Pelayan wanita yang melayan lelaki di Gaikan, sebuah pusat layanan di Jepun. Dia sering memakai kimono sambil obi dijadikan bekung yang meliliti pinggang. Sesekali mengindahkannya dengan nape, seperti sebuah reben yang dikembarkan dengan obi yang melilit pinggangnya.

Dia adalah ratu di Gion, perdaerahan kecil di dalam Kyoto Prefektur, bandaraya penuh tradisi di negara Matahari Terbit. Dia adalah seorang geisha terulung yang masih belum dicabar mana-mana geisha mahupun geiko, geisha remaja yang dalam proses pembikinan. Dia menjadi legenda di daerah Bunga, nama timangan daerah Gion.

Tetapi sekarang, dia lebih selesa mengenakan baju kurung putih, lengkap dengan tudung dibaluti kemas pada wajahnya. Menutupi apa yang perlu dilakukan sebagai seorang Muslimah. Dia benar-benar berubah.

“Nama saya Moriyama Aishah!”

Dengan penuh tertib, dia membongkokkan badannya ke bawah. Pengaruh budaya Jepun masih belum lekang daripada jiwanya. Hanya hati dan fizikalnya sudah bertaut pada kemanisan Islam. Dia tidak lagi penganut agama Kristian mahupun agama Buddha-Shinto yang menjadi ikutan daripada nenek moyang di negara asalnya. Dia hanya menyembah Yang Maha Esa.

Simposium Wanita Islam Sedunia sesak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Saudara dijemput sebagai tetamu, lewat tugas saudara sebagai Presiden Bekas Mahasiswa Islam Malaysia. Sekadar memeriahkan acara yang julung-julung kali diadakan di Malaysia. Setiap negara menghantar wakil. Dan tidak disangka, wanita ini mewakili suara wanita Islam di Jepun yang rata-rata adalah golongan minoriti. Kehadirannya memeriahkan hati saudara yang ketandusan melihat wajahnya dalam sanggar waktu yang panjang. Saudara dalam kebalauan.

“Wanita Jepun terikat dengan budaya dan tradisi nenek moyang kami. Mereka hilang hak untuk bersuara sekalipun mereka adalah penduduk majoriti di negara itu. Apabila sudah berkahwin, mereka rela membiarkan sang suami bersuka-sukaan dengan perempuan lain atas dasar kesetiaan. Isteri hanya menjadi tempat menghasilkan anak, tetapi bukan tempat untuk menjadikan suami sejahtera. Remaja Jepun pula berpaksikan pada kebaratan. Seks bebas rancak berjalan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Ini membuatkan masalah sosial semakin meruncing dengan perempuan mengandung anak luar nikah. Jangan terkejut apabila mendengar cerita seorang wanita berumur 14 tahun telah melahirkan anak.”

“Kerana itu, kehadiran saya dalam dunia Islam adalah dengan tekad untuk mengubah fenomena ini, selagi saya masih bernyawa di atas muka bumi Allah ini!”

Ucapannya menerima tepukan yang gemuruh daripada semua perwakilan, walaupun Bahasa Inggerisnya sedikit pelat. Namun, itu bukan ukuran tetapi yang penting adalah intinya. Dia mahukan kesejahteraan. Dia mahukan perubahan.

Michiko. Ah, sebetulnya Aishah. Dia adalah bunga sakura yang sedang berkembang mekar. Yang menjadi peneman di hati pasangan kekasih, hati sang tua yang lara ketika menikmati pesta Hanami, langsung setiap penghujung Mac dan awal April. Sakura yang berkelopak lima cantik dengan warna merah hatinya. Indah nian.

“Tetapi sakura hanya bertahan beberapa hari. Hidupnya bermusim. Saya tidak mahu begitu. Menjadi Islam bukanlah mengikut musim. Islam mesti istiqamah.”

Begitulah kata-katanya sewaktu saudara dan dia leka berbual di salah sebuah restoran di Hotel Nikko, lokasi penginapannya. Dia menerima pelawaan saudara untuk bergebang sebentar cuma untuk bertanya khabar malahan melepaskan rindu di hati.

Dia comel dengan bersarungkan pakaian serba putih sebegitu. Tampak suci dan bersih seperti bayi yang baru dilahirkan. Wajahnya sentiasa berseri disulam lesung pipitnya ketika menguntum senyuman. Dia indah serba-serbi pada fizikalnya. Moga-moga dalamannya begitu.

“Bila Aishah mengucapkan kalimah syahadah?” tanya saudara setelah lama berbasa-basi. Dia yang sedang mencicip secawan kopi susu pantas mengembalikan cawan ke atas piring. Matanya beralih kepada mata saudara.

Dia membalas, “Lama setelah awak menemui saya di tengah landasan kereta api itu. Hari yang sering kali membuatkan saya berfikir, apa yang saya dapat jikalau saya menamatkan riwayat dengan membiarkan diri digelek kereta api? Tetapi, awak hadir tepat pada waktunya sambil menitipkan pesanan bahawa hidup kita di dunia ini ada matlamat. Islam tidak menggalakkan umatnya berputus asa. Sejak dari itu, saya mula tertarik dengan agama yang suci ini.”

Saudara diam sahaja. Panorama petang itu sedikit mendung. Kemalapan cuaca diatasi dengan suasana segar di dalam restoran itu. Lagu-lagu tiupan seksofon Kenny G menjadi halwa telinga yang mengasyikkan dengan aroma Lavender yang dipakai gadis Jepun depan saudara membuatkan fikiran terlayang.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya, Michiko! Allah tidak akan menguji umat-Nya melainkan atas kemampuannya sendiri.”

Inti pati surah al-Baqarah ayat 286 saudara sisipkan sedikit untuk memberikan motivasi kepada Michiko. Ah, sekali lagi saudara tersasul. Aishah! Ayat itu jualah yang terkeluar dari mulut saudara ketika saudara menemui dia buat kali pertama, ketika dia masih belum mengenal siapakah yang menciptakan dirinya. Kisah lampau melatari perbualan saudara dan dia buat seketika. Dan saudara lihat dia termenung panjang.

“Tapi, agak sayang. Saya lambat mengenali Islam. Hanya apabila saya telah dipergunakan oleh seorang lelaki Jepun, melebihi tugas saya sebagai seorang geisha, saya hilang arah. Memang benar, lelaki Jepun hanya tahu bersuka-sukaan di luar lingkungan ikatan yang sah. Saya kehamilan. Lelaki itu tidak mahu bertanggungjawab lantaran statusnya sebagai suami kepada wanita yang lain. Malangnya nasib saya dan nasib wanita itu. Ketika itu, saya memilih mati kerana saya fikir itulah jalan penyelesaiannya. Ditambah dengan status saya sebagai seorang geisha yang hilang dek perut yang semakin membesar, saya kehilangan punca rezeki. Saya mula berfikir, apa yang ingin disuapkan pada anak ini setelah ‘dia’ melihat dunia nanti? Saya dilanda kerunsingan. Saya benar-benar kerugian,” ucap Aishah dengan sedu-sedan. Air matanya murah sekali pada petang itu. Saudara membungkam diri. Sapu tangan saudara hulur. Lembut sekali dia menyambutnya.

“Memang benar, Aishah! Manusia itu benar-benar dalam kerugian kerana masa. Tapi, tiada apa yang hendak dirugikan apabila ada orang menyampaikan kebenaran dan erti kesabaran. Sabar pada segala musibah yang berlaku, besar hikmahnya.”

Saudara panjangkan surah al-Asr dalam ucapan. Sekadar memberi peringatan untuk saudara baru ini yang barangkali telah mendengar bacaan ayat ini beberapa kali. Dia terus menangis. Di luar hujan turut menangis. Dunia menjadi basah lagi untuk hari ini.

“Saya tiada siapa lagi di dunia ini. Ibu bapa saya meninggal ketika usia masih mentah lagi. Mak cik saya yang membawa saya ke dalam dunia geisha, sudah membuang saya dari jiwanya, dari fikirannya sebaik sahaja saya ketahuan memilih kebenaran. Dia mencerca dan menggelarkan saya anak sial. Saya tahu bukan sebab itu dia mencerca saya. Anak di dalam inilah yang menjadi puncanya. Saya membawa anak sial. Mak cik saya pasti tidak sukakannya.”

Air matanya tidak mahu kering. Sedu-sedannya mengganggu rentak percakapannya. Dia berhenti seketika untuk menarik nafas.

“Saya tiada saudara lagi. Hanya kepada-Nya saya pertaruhkan nasib. Hari-hari saya selepas itu banyak yang dihabiskan di Pusat Perkembangan Islam di Tokyo. Syukur, anak saya selamat dilahirkan sepeninggalan saya di situ. Hati saya yang luka dirawat di situ,” dia menyambung ceritanya dengan saki-baki kekuatan yang masih ada.

Sebetulnya saudara tersentuh. Tapi ego saudara mengekang daripada merembeskan air mata. Saudara tidak mahu tenggelam dan karam bersama-sama dengan derita yang dihadapi wanita tabah ini. Pipinya yang selama ini ditempek dengan bedak tebal dengan bibir comelnya merah digincu bulat, basah disirami air mata.

Sore itu benar-benar suram. Dia hanya menangis dan menangis. Ibarat menyesali membunuh 1000 orang Islam di muka bumi ini. Saudara hanya terpaku dan terpaku kerana saudara adalah lelaki! Menyentuhnya bagaikan menyentuh api neraka di akhirat kelak.

“Sudahlah, Aishah! Perkara yang lepas jangan dikenang lagi. Kita ada masa hadapan yang harus dituju. Mungkin cabarannya lebih besar yang kita perlu lebih tabah menghadapinya. Semua yang berlaku atas kehendak-Nya. Qada dan qadar!”

Ucapan saudara yang lembut itu seperti ubat tangisannya. Walaupun masih bersedu-sedan, tetapi air matanya mulai kering. Saudara menguntum senyum paling manis untuk dirinya. Perlahan-lahan senyumannya pecah. Manis sekali.

“Terima kasih! Moga-moga pertemuan kita tidak terhenti di sini. Semenjak awak pulang setelah pelajaran tamat di Jepun, saya sentiasa teringatkan awak. Rindukan suara awak. Saya tidak tahu kenapa. Diri awak bagaikan jiwa saya yang baru. Diri awak seperti awan yang sentiasa memayungi seorang wanita yang amat memerlukan perlindungan daripada sinaran mentari yang tidak pernah hilang. Saya harap awak sudi untuk bersama dengan saya mengharungi cabaran mendatang.”

Saudara termanggu seketika mendengar kata-kata itu. Lamban-lamban, senyuman saudara tadi merekah. Ada kegalauan yang dapat saudara rasakan di hati. Lama saudara berteleku. Sehingga pertemuan itu usai, saudara hanya termenung panjang di tempat duduk. Bibir saudara bagaikan terkunci. Rapat sekali.

Esoknya, saudara ke simposium itu lagi. Hari ini adalah peluang terakhir untuk menatap wajahnya. Dia berdiri lagi di hadapan pentas. Dia berpidato penuh bersemangat. Entah apa yang merasuk dirinya tapi ucapannya bagaikan ada roh.

“Saya terkesan dengan Surah an-Nisa dan surah Maryam di dalam kitab suci al-Quran. Lama saya membaca kedua-dua surah suci itu sewaktu saya mula merapatkan diri dengan nur Islam. An-Nisa mengangkat martabat wanita di mata Islam. Surah Maryam menceritakan ketabahan seorang ibu membesarkan seorang anak tanpa ayahnya. Kedua-duanya berkenaan wanita. Kisah seorang ibu. Nabi Muhammad saw menyebut ibu sebanyak tiga kali apabila ditanya oleh sahabat siapa yang harus diberi bakti dahulu. Wanita Jepun tidak begitu. Maruah dicalar oleh keegoan seorang lelaki. Lelaki ada hak yang total kepada wanita di sana. Kami wanita bagaikan dihina meskipun dilakukan secara halus oleh adat yang tidak sepatutnya wujud pada zaman dahulu!”

Roh ucapannya meresap kepada setiap hadirin termasuk diri saudara sendiri.

Sebelum dia meninggalkan kota ini, saudara sudah nekad. Bulat. Kata-katanya yang penuh tersirat semalam telah saudara rungkaikan siratannya. Saudara akan menyambut permintaannya.

Dia bakal menjadi suri hidupku, bisik saudara. Dan anaknya itu bakal berayah.

Suasana pecah dengan gemuruhnya tepukan. Dia tersenyum di atas pentas. Senyuman yang paling manis pernah saudara lihat.

Biodata:

HAFIZUL Osman yang dilahirkan di Sungai Buluh, Selangor, pada 21 April 1986, adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Karya penuntut Jurusan Kejuruteraan Mekanik, Universiti Malaya (UM), ini mendapat empat dalam majalah Tunas Cipta, Dewan kosmik, E@Siswa dan Berita Harian. Pernah memenangi hadiah dalam Sayembara Cerpen Remaja 2000 dan 2001. Beliau yang menjadikan karya Faisal Tehrani, Nisah Haron, Dr Rahmat Haroun Hashim dan Azizi Abdullah sebagai bahan bacaan wajib boleh dihubungi di e-mel pjun06@gmail.com ATAU hafizul_osman@yahoo.com.