Penaja

14.2.10

4 (Cerpen)

Oleh Fudzail




(1)
SEMUANYA bermula dari kemas kini status Dina di Facebook. “Membayangkan saya, 1 isteri dan 4 suami!”

Berderet komen-komen daripada rakan-rakan Facebook Dina yang mencecah dua ribu orang. Ada yang menyokong dan ada yang memperolok-olok Dina sebagai gila. Pelbagai komen mereka yang majoriti berusia 30-an. Variasi yang membayangkan perubahan generasi dengan kepelbagaian pendidikan, pemikiran, pemahaman dan pendirian warga Malaysia setelah 53 tahun merdeka.

Ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Ramai rakan-rakannya tentu mereka yang mengaku sebagai Muslim. Membentuk kumpulan masyarakat majmuk di dalam kepompong jaringan sosial global yang menjadi cerminan kehidupan realiti.

Ada komen-komen yang keras sekali. Menuduh Dina telah murtad kerana menyanggah hukum agama dan tidak sepatutnya menjadi gurauan, walau sekadar bayangan, sekadar imaginasi. Tidak sepatutnya dijadikan bahan humor walau pada kurun ke 21.

Kurun di mana kebebasan bersuara dan hak-hak wanita menjadi sebahagian daripada manifesto asas dalam demokrasi. Kurun yang semakin gila dengan pelbagai isu alam, pemanasan global dan penipisan ozon.

“Kau gila Dina, memang gila!” Itulah kata-kata pertama sebaik saya bertemu Dina kemudiannya. Seperti biasa pertemuan di luar Facebook dan telefon mudah alih. Bersantai di sebuah kafe tempat para profesional melepak dengan alat-alat komunikasi canggih sambil mengulang pelbagai gosip mengenai apa saja yang digosipkan dalam Facebook.

Fudzail

Dina tergelak. Kami telah lama berkawan, lama sebelum Facebook, mahupun Internet menjadi alat perhubungan yang tidak kenal sempadan dan masa. Lama sebelum kami mengenal lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh untuk pelajar perempuan. Intim. Akrab dan saling mempercayai.

Dia Dina yang menjadi rakan paling rapat dalam semua keadaan. Turun naik kehidupan.

“Gila yang dihalalkan!” Jawab Dina sambil matanya mengekori langkah seorang lelaki tampan yang lalu berhampiran. Perangainya yang tidak berubah, apalagi setelah bergelar janda muda yang tidak mempunyai anak. Bercerai hanya selepas dua tahun berkahwin. Bercerai kerana suaminya bermain kayu tiga dengan sekretari sendiri dan kena tangkap basah.

“Susahnya ada yang tidak dapat membezakan antara humor dan serius! Aku pun hanya mengutip apa yang ditulis oleh penulis wanita Saudi, Nadine al-Bedair ... kau tahu bukan?”

Saya mengangguk. Tulisan Nadine mengenai saranan membolehkan wanita berkahwin empat, seperti lelaki mengamalkan poligami mencetuskan polemik di Saudi dan beberapa negara Arab. Dengan Facebook dan Internet, Nadine menjadi wira baru di kalangan wanita Muslim lain yang sekian lama menentang poligami. Malah pendapat songsang Nadine turut diterima beberapa ulama yang menyatakan tulisan Nadine sekadar mengutarakan masalah kaum wanita yang hidup berpoligami. Ketidakadilan suami dalam memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri-isterinya.

Sesuatu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan saya ketika ini. Sesuatu yang sensitif, tabu dan penuh kelukaan dalam diri. Sesuatu yang membakar dalam bara-bara keredaan. Melakonkan kebahagiaan untuk para penonton yang mengikuti drama rumah tangga kami.

Hidup sebagai isteri pertama, dengan dua anak membesar. Tentunya sudah tidak lagi muda dan menawan. Siapa yang lebih memahami daripada hati yang menanggung semuanya.

(2)
“Kau ni macam sudah sama masuk aliran Wahabi sahaja!” Selamba Dina berkata kepada Aida, seorang lagi rakan Facebook yang kami terserempak pada sebuah seminar hak-hak wanita dalam perundangan syariah. Sama-sama mahu mendalami bidang yang selama ini diambil ringan. Tidak tahu hak-hak sendiri dalam keadaan yang tidak menyebelahi dan penuh hipokrasi.

Kami tergelak. Lucu sekali mendengar ungkapan sebegitu, terutama daripada Dina yang kadang-kadang kelihatan sebagai Islam liberal, walau definisi itu dia sendiri tidak dapat menjelaskan secara tepat. Sekadar kononnya dia tidak termasuk golongan kolot dan jumud.

Diskusi kami menyentuh mengenai isu semasa antara seorang mantan mufti dan jabatan agama negeri. Ditangkap kerana berceramah tanpa kebenaran. Juga mengenai pelbagai amalan orang-orang Melayu yang diperkatakan oleh mantan mufti sebagai tidak termasuk dari sunnah.

Aida, seperti saya juga mengakui tertarik dengan apa yang dibaca di laman web mantan mufti muda itu. Apa yang dilontarkan sesuai dengan apa yang ada dalam pemikiran. Ada logik dan rasionalnya. Dengan kupasan dari al-Quran dan hadis-hadis.

“Kau tahu puak Wahabi ini cukup fundamental, bidaah sana, bidaah sini, semua bidaah!”

Dina membuat ulasan selari. Kata Dina dia banyak membaca maklumat dari laman web pertubuhan wanita Islam Kosmopolitan (PWIK) yang diikutinya, belum lagi menjadi ahli, sekadar penyokong, termasuk dalam Facebook.

Pemikiran Dina agak selari, malah zahirnya sama seperti pendukung PWIK yang tidak bertudung. Antara rakan-rakan daripada alumni, hanya beberapa orang sahaja yang masih tidak bertudung dalam usia senja sebegini. Walau hampir semua kami siswazah universiti Barat, sebaik bersuami dan mempunyai anak, perlahan-lahan bertudung.

“Banyak perkara yang kita tidak tahu, kena belajar lagi walau tua-tua begini, urusan dunia berkait dengan urusan akhirat. Kena faham betul-betul, jangan sekadar ikut-ikutan, nanti apa yang dikerjakan sekadar perbuatan sia-sia!” Sambung Aida yang semakin banyak mendalami ilmu agama, semuanya daripada pembacaan. Tiada ustazah antara kami untuk merujuk.

Mungkin kami bertiga seperti tiga orang buta yang masih dalam perjalanan ke satu destinasi. Mencari kebenaran dalam kekeliruan dari pelbagai asakan yang datang menerojah pemikiran. Mencari berpandukan maklumat yang bertindih-tindih.

Mengharapkan suami sendiri, seperti saya dan Aida, jauh sekali. Mereka masih dalam dunia perlumbaan. Dengan golf, kerjaya dan tentunya isteri-isteri kedua yang lebih muda. Seperti saya, Aida juga bermadu dalam kelab isteri pertama yang belum didaftarkan seperti kelab poligami yang khabarnya mendapat sambutan ramai.

Bezanya, Aida tidak mampu mempunyai zuriat atas sebab-sebab kesihatan. Dia merelakan takdir kehidupannya. Membenarkan suaminya berkahwin lagi atas pilihannya sendiri.

Tiba-tiba Aida ditegur oleh seorang wanita.

“Ini rakan Facebook saya, Naseem, pelajar sarjana Iran di universiti sini!”

Kami berpelukan.

“Inikah Dina yang hangat dengan empat suami dalam Facebook?”

Tanya Naseem sebaik diperkenalkan pada Dina. Kami ketawa. Nampaknya Dina kian dikenali dengan kenakalannya mengusik minda. Cepat merebak ke rangkaian rakan-rakan lain dalam Facebook.

“Itu imaginasi sahaja, tidak kena-mengena dengan yang hidup atau mati!” Jawab Dina mengenyit mata.

Sambil mengerling ke arah beberapa kumpulan bersembang lain, perlahan Naseem berbisik.

“Jangan terkejut, saya sudah ada tujuh suami!”

Kami memandang Naseem dari atas ke bawah. Memang terkejut. Tidak percaya wanita semuda itu sudah berkahwin tujuh kali! Cantik dan anggun. Sama pula dengan Elizabeth Taylor. Tujuh suami, masya-Allah.

“Saya kan Shiah.....itu semua boleh dalam nikah muta’ah!”

(3)
Sekali lagi, suami sekadar menghantar SMS memberitahu yang dia tidak dapat pulang. Sudah biasa dengan kiriman SMS begitu. Sekali lagi saya sendiri menyambut ulang tahun perkahwinan. Kali ini ulang tahun kali ke-15. Kali ini juga alasannya yang isteri kedua mengadu sakit, mungkin berbadan dua. Sesuatu yang dinanti-nantikan mereka berdua. Sesuatu yang saya harapkan juga.

Anak-anak sudah mengerti dengan apa yang terjadi. Mereka dilahirkan sebagai perempuan yang mempunyai ayah berpoligami. Bukan sahaja biasa dengan seorang ayah yang selalu kesibukan dengan urusan kerja. Ayah yang pulang ke rumah mengikut hari-hari tertentu.

Kami berterus-terang dengan perkahwinan kedua ayah mereka dua tahun lalu. Kejutan yang hampir membinasakan perkahwinan. Demi anak-anak, akhirnya saya reda. Apa lagi datang daripada keluarga yang mengamalkan poligami. Semuanya adalah suratan yang memerlukan pengorbanan.

Mulanya janggal dan keliru, tetapi untuk apa dirahsiakan dan merasa malu dengan keadaan. Dunia sudah berubah dengan keterbukaan. Maklumat bukan lagi komoditi. Biar mereka membesar dengan suasana yang terbuka. Di bawah perlindungan seorang lelaki bergelar ayah.

Cuma lelaki tetap lelaki. Walau berjanji akan adil dan sama rata, tentunya nafsu melebihi kewarasan. Poligami dihalalkan sekiranya menepati syariat. Sekiranya dapat berlaku adil. Alasan mahu berkahwin lagi kerana mahukan anak lelaki. Katanya tertekan dengan perasaannya tanpa zuriat lelaki.

Bukan kami tidak mencuba dengan pelbagai ikhtiar. Begitulah ketentuan yang diterima sebagai dugaan. Tetapi bukan kebetulan yang isteri keduanya jauh lebih muda dan cantik!

Sekali lagi juga, Dina menjadi teman pada hari ulang tahun. Dina yang menjanda sejak 10 tahun lalu. Bukan dia tidak mempunyai perhubungan lain, tetapi jodohnya masih belum tiba. Dan hampir kesemua lelaki yang mendekati adalah suami orang. Sesuatu yang tidak akan menjadi pilihan Dina untuk bermadu. Pantang buat Dina yang kuat dengan pegangan, menentang poligami. Baginya, poligami adalah kekejaman terhadap wanita. Biarpun mungkin dia tidak melihat dari perspektif wanita yang memerlukan suami apabila lebih ramai wanita daripada lelaki, sesuatu yang menjadikan saya lebih insaf.

Sehingga idea gilanya mengenai polyandry menjadi polemik hebat dalam Facebook. Menambahkan bilangan ‘rakan-rakannya’ hampir ke empat ribu.

Dina datang dengan komputer mudah-alih, segera menulis kemas kini status di Facebook.

“Pada malam ulang tahun seorang rakan tanpa suami poligaminya, bayangkan ada suami pertama untuk cinta, suami ke-2 untuk wang & kemewahan, suami ke-3 untuk seks & suami ke-4 untuk perbualan intelektual yang santai, apakah itu syurga?”

Sebaik Dina mencatat, kami ketawa. Memecah malam yang dipenuhi berita mengenai lontaran bom di sebuah gereja. Berkaitan daripada isu kalimah ‘Allah’ yang menjadi polemik besar. Berita sensasi yang menenggelamkan kemelut pelbagai isu semasa politik. Dunia realiti yang tidak habis dengan prasangka, prejudis dan dendam. Kehidupan di luar Facebook yang sama dipenuhi paradoks dan antiklimaks.

Kami ketawa bukan sahaja kelucuan. Ketawa yang meraikan kebebasan bersuara dalam Facebook yang kalau sebuah negara adalah negara yang ke empat terbesar di dunia.

Ketawa untuk melupakan sebentar keresahan yang mengulit hati-hati wanita dalam pelbagai situasi berbeza. Mencari sesuatu yang lebih bermakna daripada kegelisahan meniti hari-hari tua yang semakin mencabar. Sesuatu yang bernama hidayah dan tentunya berada di mana-mana kalau mencari dengan ketulusan.

Kami terus ketawa dengan pelbagai komen yang mencurah. Membiarkan para ‘rakan-rakan’ bergelumang dengan emosi, bertekak dengan kata-kata kesat, selain merapu dengan pendapat yang songsang, tanpa rujukan sahih. Mereka meraikan kebebasan bersuara yang mungkin boleh menikam diri. Yang boleh membawa ke penjara, kalau tidak ke balai polis.

Tiba-tiba anak sulung saya muncul dari biliknya. Dengan wajah yang terpinga-pinga. Sesuatu yang tidak lucu lagi buat dua rakan yang terlupa mengenai cepatnya spekulasi dan gosip merebak melalui elektronik. Melalui Internet. Terlupa yang maklumat merebak secepat kilat. Maklumat yang kekadang di sebalik humor, membawa bencana daripada kekeliruan.

Pertanyaan yang menenggelamkan ketawa kami. Sepi suasana seketika. Kami berpandangan.

“Betulkah mak cik Dina berkahwin 4?”

Biodata: Penulis

Fudzail berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000. Terlibat dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah.

Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi "Waikato' diterbitkan oleh DBP dalam tahun 2001 dan antologi cerpen 'Dotkomania' diterbitkan oleh DBP dalam tahun 2009. Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com