KALAM TIMUR
Agama di kepala
bangsa di dada
tanah air di rasa
geletar dalam petaka
sakit teriak tangis di panggung tragis
pentas makin terbuka
di tangan onar petualang
wayang seancak berpesta
dalang bertukar pendusta
geger di bendul demokrasi
cendekia hilang peri.
Di manakah kalam timur?
unjuk muka keluar bertempur
buka mulut khabarkan warta
kebenaran luka duka bangsa
durjana kian berani memusnah
makmur nusa akan punah ranah
baca, baca, tulis hakikat sejarah
pegang kitab suci fahami sirah.
Kuala Terengganu
DOA SUCI
(Mengenang Dr Anuar Nor Arai)
Dan, sejak Adam, mati dan hilang diri,
kata-kata suci mengiringi
diri yang membatu
melihat kesepian
memautnya jadi kawanan.
Siapa pun, nabi, atau wali Allah
saat mati hadir diri jadi makhluk insani
yang nyata, tugasan penyempurnaan
fardu itu kifayah, urusan itu kesucian
beza, Islam dengan apa saja kepercayaan
kerana kematian adalah penyerahan penuh
dan yang melihat, penuh, Allah.
Bumi Malaysia kita masih setia
pabila ada jenazah, ada liangnya
hadir imam, jua pengurus menyuci jasad
aduhai bumi-bumi Iraq, Afghan, Palestin
yang dulunya, Bosnia, Somalia
kalian selalu alpa, cuai dan rajuk diri
kulihat, ada juga jenazah reput
dibalut sang sepi.
Dan, Anuar, sahabat yang kembaranya sayu
lautan pelayaran varsiti ke varsiti
dengan matanya yang pilu
kata-katanya kepadaku, dengan wajah tandus
“O, tahu jua, ya, saya di Nilai.”
Seorang Anuar sedang belayar
menuju destinasi baru dengan suci hatinya
siapa antara kita mengekori
waspada, rezeki, usah dibiar mengotori.
DAENGRAMLIAKIL@Yahoo.com
Akademi Pengajian Melayu, UM
MENJARING MATAHARI
Apa yang tergenggam kini cuma harapan
sedang engkau masih di situ
terbuai irama mengasyikkan
dari rahang
kemunafikan
perlahan-lahan membunuhmu saat mentari
rakus membakar keazaman.
Waktu luntur di pegun jiwa
adalah angka yang berhenti memandangmu
kerana mereka telah lama menghilang
menjadi bintang menyeri malam
engkau masih terpaku di situ
di kamar pengabdian, menggigil,
memanggil-manggil nama yang enggan
menyapamu.
Hari ini, pada saat ini
kau harus bangun dengan kudratmu
pasti kau mampu menjaring matahari
atau membekukan kilau bintang
andai itu yang kau inginkan.
KAMAL SUJAK
SG. KAPAR INDAH, KLANG.
API YANG MULA MENYALA
usah dibiar membesar
merebak dan menjalar.
Kelak kerananya hanguslah jua
rumah milik bersama
dan anak-anak akhirnya
mahu tinggal di mana?
Tidak belajarkah daripada sejarah
pengalaman sudah
sehingga kini
masih mengulangi bermain api.
Padamlah segera
sebelum menyala
membakar segala
kelak yang untung siapa
yang rugi kita
orang hanya mentertawa
kita yang bercucuran air mata.
EHSAN JAMILY
Melaka
KEPADA INGATAN
Tidak ingin aku bermusuh denganmu
walau berkali kau datangkan marah
dan dendam yang meredam
mengajak aku kembali menjadi keliru
digoda cemburu yang menderu.
Kerana aku hanya ingin menjadi diriku
marah sekadar tatkala perlu
di luar cemburu atau hasad yang kelabu
walau bertalu diriku
dilempari kaca dan paku.
aku akan tetap juga di situ
dengan tekad dan yakin yang padu
menuju hasrat dan kiblat yang satu.
MARSLI NO
Kuantan
SUKAR UNTUK MENEKA
Sukar untuk meneka atas sifat kita
yang lemah segala
musim yang tiba sudah tidak berjangka
teori akal kita sering hilang punca
manakala musim dan suasana
sering bertukar rupasering bertukar warna
durian dan mangga musimnya telah tiada
hadirnya sepanjang masa
kenduri kendara juga
tidak menunggu musimnya
berlaku sepanjang masa
sewaktu musim terik melanda
banjir pula yang tiba
jangkaan kita tersasar dimuara
kita sering pening kepala
siapalah kita untuk menjangka
kuasa allah melebihi segalanya.
AMRAN ZAKARIA
Damai, Kuala Lumpur