27hb. Feb. 2012
Zahari menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam setengah selepas bercakap dalam telefon dengan aku. Aku menelefonnya petang semalam ketika aku ke rumah Pakcik Khalid (bapa saudara isteri aku) di Taman Padang Tembak, Teluk Intan, Aku beritahu pakcik Khalid; aku ada seorang rakan di Padang Tembak; Zahari Hasib namanya. Selepas pencen dia pindah ke kampung. Pakcik Khalid Nampak kehairanan – sungguh dia baru tersedar nama itu pernah ujud dalam untaian awal kehidupannya. Pakcik Khalid minta penjelasan. “Iya, Zahari Hasib yang menulis cerpen, puisi dan drama radio. Tetapi lebih menyerlah sebagai pemuisi.” aku menerangkan.
Zahari Hasib berasal dari Seleboh, Parit; rakan sekelas Pakcik Khalid semasa di Sekolah Menengah Izzudin Shah di Ipoh tahun-tahun 1963/64. Sudah terlalu lama – 1963/64; dan sekarang 2012. Itulah lamanya. Kini Zahari Hasib tinggal di Taman Intan Mas, taman bersebelahan dengan Taman Padang Tembak. Kedua-dua taman itu dalam lingkungan Padang Tembaklah juga; namun mereka tidak pernah terjembung.
Aku telefon Zahari. Seperti biasa aku melaung namanya – “Zahari Hasib, penyair agung.” Dia menanyai aku – macam biasa. Macam lama dahulu. Macam empat lima hari yang lalu. Dia tidak sukar mengecam suara aku. Tapi itulah cara Zahari – “Iya !! ini Saudara Nahar Rashid, ya. Saudara Nahar Rashid. Apa khabar.”
Aku kenal Zahari sudah lama – dalam 35 tahun begitu. Seawal mengenali Zahari ialah apabila aku pernah ternampak Zahari tatkala aku dalam perjalan balik dari berlatih teater di Taman Budaya – Aswara sekarang. Dia kelihatan sering bersama Tengku Alias Taib bersandar di tiang elektrik di tebing Sungai Gombak menonton Khalid Salleh berjual ubat secara main teater di pentas terbuka Benteng di Belakang Bangkok Bank, Jalan Melaka. Tengku Alias Taib ketika itu sudah terlebih dahulu melakar nama dalam penulisan puisi.
Penyair agung – macam mana mulanya aku menggelar Zahari. Ini gelaran cuma aku seorang sahaja. 1978. Kebetulan aku menziarahi seorang rakan karib aku warded di wad psikiatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (sekarang HKL). Rakan karib aku itu Allahyarham Kamalsyah Kamaluddin – pengarang ruangan Jeritan Batin akhbar Mingguan Malaysia tahun-tahun 1970an. Tekanan kejiwaan menyebabkan dia masuk wad. Di ruang legar wad, Kamalsyah terserempak Zahari Hasib yang menghuni bilik bersebelahan. Zahari dengan rambut ikal yang tak terurus, berjalan terdorong-dorong ke depan dengan memangku topi beretta sambil menggosok-gosok dua biji bola pingpong di dalam lopak topi. Demi terserempak Zahari, Kamalsyah melaungkan : Hallo !! Zahari; penyair agung. Dan Zahari menghampiri kami dengan pandangan kosong. Lakaran watak Zahari itu aku lukiskan dalam cerpen aku yang belum siap-siap lagi – sudah lebih sepuluh tahun.
Kemudian daripada itu sering selepas habis kerja jam 4 petang aku ketemui Zahari di Chow Kit Road. Kami minum teh tarik di gerai mamak berdepan dengan Keramat Super Market. Zahari yang tidak banyak bercakap tapi sering melempar senyum. Habis minum teh Zahari naik bas Serijaya nombor 213 menuju ke Datok Keramat dan aku, menyusuri Raja Muda ke Kampung Bharu. Khabarnya Zahari bekerja di Bank Negara.
Kami bertambah dekat tatkala dua tiga kali hadir bersama program santai baca-baca puisi di Taman Tasik Perdana atau Taman Tasik Titiwangsa. Ada beberapa kali puisi aku tersiar bersama puisi Zahari, Puzi Hadi, Yasin Salleh, Khalid Salleh, Kasajiza AS. Aziz Deraman di akhbar Berita Minggu. Aku sebenarnya berasa terlalu kerdil diganding dengan ungkapan puisi Zahari dan penyair tersohor lain itu.
Lama aku tidak ketemu Zahari. Aku akhirnya mendapat tahu Zahari sudah pindah ke Teluk Intan selepas pencen. Aku mencari di mana Zahari. Seorang rakan memberitahu; untuk ke rumah Zahari tanyakan sahaja pada derebar teksi di pengkalan Teksi Teluk Intan. Namun aku belum mencubanya.
Suatu ketika Radio Klasik FM (sekarang Klasik Nasional) dalam program interaktifnya di sebelah petang menerima permintaan lagu klasik. Zahari ada dua tiga kali menujukan lagu kepada beberapa orang sahabatnya - yang kerap ialah kepada Dr Talib Samat. Suatu ketika DJ bertugas tersalah sebut nama Zahari Hasib (seolah mereka baharu pertama kali itu mendengar nama Zahari Hasib - aku membetulkan nama sebenar Zahari Hasib - seorang penyair rakyat tersohor; kataku.
Klasik FM bertukar menjadi Klasik Nasional. Ada slot ADILA - penceritaan pengalaman sendiri dan diadun dengan lagu yang sesuai. Aku hantar coretan dan aku tujukan lagu untuk Zahari Hasib.
Dan baru dalam dua minggu ini memperoleh nombor telefon Zahari dari Dr Talib Samat. Dr Talib bagi tahu Zahari tidak ada telefon bimbit. Jika mahu menelefon, gunakan talian telefon di rumahnya. Aku mahu mempelawanya hadir ke pelancaran pertandingan mengarang cerpen dan puisi Islam anjuran Pusat Khidmat masyarakat DUN Hulu Bernam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 25hb. Feb. – aku jadi Setiausaha Urusetia pertandingan. Zahari Cuma menyebutkan bagus, bagus, bagus; tidak putus-putus.
Semalam aku bertandang ke rumah bapa saudara isteri aku di Taman Padang Tembak, Teluk Intan. Aku telefon Zahari; beritahunya aku berada di Taman Padang Tembak. Rumah saya di Taman Intan Mas - sebelah ni sahaja – kata Zahari. Zahari mempelawa aku ke rumahnya. Tapi aku beritahunya hari sudah terlalu petang. Percakapan kami terputus-putus dua tiga kali. Line cellcom di Padang Tembak tidak begitu elok ? Aku perkenalkan rakan lama beliau; Pakcik Khalid. Aku hulurkan telefon bimbitku kepada pakcik Khalid dan mereka berbual sekejap di antara putus-putus line dan mendail semula.
Jam 6.30 petang 26hb. Feb.; 2012; aku beredar dari rumah Pakcik Khalid ke Kuala Lumpur. Aku beritahu pada isteri lain kali sajalah ke rumah Zahari. Aku ambil Maghrib di masjid Kg Kelan, Slim River. Waktu mahu berudhu’ aku terasa kesejukan yang sedikit luar biasa. Baru kini aku sahkan itulah ketikanya Zahari menghembuskan nafas terakhirnya.
Dinbatubara