Oleh Izuan Rahman
2010/09/05
ABDUL Karim mendongak ke langit. Langit cerah kebiruan yang kekontangan awan. Cuma ada secebis dua gumpalan awan kecil yang berarak ke utara ditiup angin bulan Zulhijjah. Hawa lembut menerpa mukanya dan rambutnya menampar-nampar dahi yang kecil itu. Dia menoleh ke kiri dan mengharapkan kemunculan sesusuk tubuh yang dikenalinya kerana dia sudah duduk termanggu di bawah pokok itu selama sepuluh minit dan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Dia tentu tidak mahu melihat wajah Cikgu Salma yang manis itu menjadi masam kerana marah, namun dia masih menanti kedatangan Hadi yang akan lalu di hadapan pokok tempat dia duduk sekarang lantas berjalan ke sekolah bersama-samanya pada pagi itu seperti biasa.
Sakit perut agaknya si Hadi itu, getus hati kecilnya. Itulah, sudah kupesan jangan mencuba-cuba makan buah yang dijumpainya semalam sewaktu berjalan pulang dari sekolah beriringan. Degil sungguh si Hadi itu. Nanti kita semua juga yang terlewat ke sekolah pada pagi ini, rungut suara kecil Abdul Karim. Sekali lagi dia mendongak langit. Segugus awan berat perlahan-lahan merangkak bagai dipaksa oleh bayu kering yang dahagakan hujan sepetang. Mungkin akan hujan tengahari kelak, bisik Abdul Karim keseorangan. Bagus juga, sudah lama bumi Palestin ini tidak dibasuhi daripada darah-darah penduduknya yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Lantas Abdul Karim mendengus sejurus, seraya bola matanya menangkap imej sesusuk jasad sedang berlari-lari anak ke arahnya. Dikelek bersamanya dua tiga buah buku sambil berlari lantas akhirnya jasad anak kecil itu tiba di hujung kaki Abdul Karim.
“Engkau ke mana Hadi? Mengapa engkau lewat? Nanti Cikgu Salma marah tahu,” Abdul Karim menyambut Hadi dengan rungutan yang terpendam.
Hadi tercungap-cungap mencari nafas. Dia membongkok seperti orang rukuk lagaknya sambil memandang ke arah Abdul Karim. Sedikit peluh kelihatan di garisan dahinya yang putih lagi luas itu. Sebutir tahi lalat menghiasi di sempadan dahi serta rambutnya memaniskan lagi wajah anak kecil seusia 10 tahun tersebut.
“Maaflah Abdul Karim, maaflah. Janganlah marah. Aku ada sedikit hal di rumah tadi,” ujar Hadi yang mula menemui rentak nafas. Lantas dia membetuli pegangan buku-bukunya itu dan berdiri tegak menghadap Abdul Karim. Abdul Karim pun ikut berdiri dan menepuk-nepuk punggungnya membuang habuk yang terlekat pada seluarnya itu.
“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.
“Hal abangku. Kau tahu sahajalah yang ibuku tidak menyukai abangku turut serta dalam gerakan menentang Israel itu. Pagi ini sepatutnya dia menyertai kumpulannya ke bandar. Entah ke mana, pejabat apa entah aku pun tak ingat,” jelas Hadi kapada kawannya itu.
Sambil berjalan pantas, kelihatan Abdul Karim mengangguk-angguk kecil. Mengerti. Abangnya juga yang berusia 17 tahun telah menyertai gerakan itu. Begitu juga dengan abang Ahmad, abang Ismail serta abang Soleh. Namun abangnya telah menemui ajal di hujung senjata yang dihunus oleh askar durjana Israel. Dan abang-abang yang lain tidak pulang langsung ke rumah. Tiada khabar berita menjenguk tiba.
“Lantas, adakah ibumu membenarkannya pergi?” soal Abdul Karim.
“Tidak. Mana mungkin,” Hadi membalas.
“Jadi?”
“Jadi apa?”
“Jadi dia tidak pergi?”
“Pergi juga.” Abdul Karim hanya mampu mendengus. Mereka meneruskan langkah beriringan tanpa ada sebarang bicara lagi. Hanya derap langkah mereka di atas tanah kuning berdebu yang kedengaran.
Abdul Karim berjalan pantas sambil kepalanya menunduk ke tanah. Melihat kakinya melangkah deras, bergilir kanan dan kiri. Menyepak debu melekat ke celah jari yang beralas selipar lusuh. Kotak fikirannya melayang. Jauh ke dalam destinasi masa sewaktu kecilnya. Masih terakam segar dalam mindanya bagaimana pada suatu pagi yang dingin itu, Umminya teresak-esak. Esakan Umminya mengejutkannya daripada tidur yang lena. Kelihatan Ummi mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju merahnya.
“Usahlah engkau pergi wahai Ali. Bahaya,” bujuk Ummi sambil memandang sayu kepada abangnya. Abangnya hanya mendiamkan diri seribu bahasa memerhatikan lantai rumah yang kosong tanpa lapik permaidani. Entah menerawang ke mana.
“Dengar tak Ali? Ummi cakap ni,” Ummi bersuara lagi. Berselang sendu.
“Ummi. Ummi lebih mengetahui akan tujuan Ali. Ummi kenal Ali kan,” Ali seboleh-boleh enggan menyakitkan hati ibunya. Dia mengerti perasaan ibunya tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk turut serta dalam gerakan menentang rejim zionis itu. Manusia-manusia keparat lagi durjana itulah yang telah meragut nyawa bapanya dua tahun yang lampau. Masih dia tidak dapat lupakan peristiwa berdarah yang meragut nyawa 13 orang awam termasuk bapanya yang berlaku di pasar sewaktu dia dan bapanya menjaja buah-buahan.
“Mengapa Ali? Tidak semua orang pergi kan. Lihat si Kamil anak mak cik Saadi. Dia duduk elok di rumah sahaja,” ujar Ummi lagi. Dia juga enggan melihat anaknya membahayakan diri untuk suatu penghujung yang pasti.
“Kamil itu pengecut, Ummi. Saya tidak. Saya tidak takut. Saya berani, Ummi. Saya anak Ibrahim yang tidak takut dengan musuh agama. Saya tidak takut. Ini Ali, anak Ummi takkan duduk berdiam diri sahaja. Berpeluk tubuh. Ummi patut bangga dengan saya. Saya sanggup pertaruhkan nyawa demi kebebasan, keselamatan kita. Demi agama, Ummi. Walau saya terkorban, insya-Allah syahid ganjaran saya, Ummi. Ummi, Ummi lebih mengetahui semua ini kan.”
Ali memandang ke luar tingkap. Dia tidak sanggup melihat air muka ibunya yang mulia itu bersedih, ibu yang telah membesarkannya selama 17 tahun ini.
Abdul Karim hanya mampu melihat di sebalik muka pintu biliknya. Digosok-gosok matanya sambil menggigit jari telunjuk kanannya. Senyap. Dia tidak mampu untu menafsir kejadian yang dia lihat di hadapan matanya itu. Dia masih kecil. Baru seusia tiga tahun yang serba mentah.
Selepas peristiwa umminya teresak-esak pada pagi itu, Abdul Karim melihat pula abangnya bersolat di dalam bilik sambil diintai sekali-sekala oleh Ummi. Ummi masih bergenang air mata dan matanya semakin merah dan membengkak. Ummi datang merapati Abdul Karim lantas memautnya ke dada. Diusap-usap rambut Abdul Karim. Abdul Karim hanya mendiamkan diri, mengikut rentak Ummi. Tapi Abdul Karim juga dapat rasakan getaran sendu dan syahdu dari ibunya menusuk ke jiwanya.
Seusai memberi salam terakhir dalam solatnya, Abdul Karim melihat abangnya sujud semula untuk satu jangka masa yang lama. Sujud yang betul-betul lama. Suasana bening kosong tanpa pergerakan kecuali kumat-kamit kecil sesekali daripada bibirnya abangnya yang merah. Dapat dilihat setitis dua air mata yang suci itu menitik di atas sejadah pusaka keluarganya. Pandangan yang menikam ketenangan Ummi, lantas meluahkan esakan kembali yang tidak tertahan. Abdul Karim yang pada ketika itu tidak mengetahui butir bicara bagai disuruh turut menangis bersama lalu merangkul erat pinggang Ummi.
Abang Abdul Karim bingkas bangun dari sujudnya. Segera berlari anak menuju Ummi. Segera digapai kaki Ummi. Segera dicium dan dikucupnya kaki mulia itu.
“Ampunkan saya Ummi. Maafkan segala kesalahan Ali selama ini. Doakan kejayaan kita bersama, demi negara, maruah dan agama kita Ummi. Ali tidak pernah berniat nak melukakan hati Ummi. Tidak pernah terlintas pun walau sedetik Ummiku tercinta, akan niat untuk melukaimu. Ali berserah segalanya kepada Allah.”
Ummi makin sebak. Tertahan-tahan esakannya sambil mengelap air matanya yang tidak berpenghujung. Abdul Karim hanya melihat abangnya di kaki Ummi sambil menangis bersama. Walau tidak mengerti, namun kesedihan Ummi dan Ali menyelebungi segenap ruang anggotanya.
“Seandainya pemergian Ali ini adalah yang kali terakhirnya, andai kepulangan Ali tidak kunjung tiba, maka Ummi halalkanlah segala pengorbanan Ummi sejak kecilnya Ali sehingga Ali besar sebegini. Ya Ummi? Ummi dengar tak? Ummi dengar kan,” Ali bersuara sambil mengesat-ngesat air matanya yang membasahi kaki ibunya.
Umminya hanya mampu mengangguk-angguk perlahan sambil mengumam, tiada suara yang mampu keluara daripada mulutnya. Dan sejak hari itu Abdul Karim tidak pernah melihat abangya pulang ke rumah sehingga sekarang dia sudah berusia 10 tahun. Itulah kali terakhirnya mereka bersama dalam pagi yang penuh tangisan.
Tanpa disedari Abdul Karim serta Hadi sudah semakin merapati bangunan satu tingkat sepanjang 15 meter yang dinamakan sekolah. Bangunan usang itu adalah satu bangunan bekas Pejabat Lembaga Daerah kawasan itu yang ditinggalkan pada 1998. Kemudian dijadikan sebagai sekolah sementara oleh kerajaan Palestin melalui Lembaga Daerah untuk memenuhi tuntutan pendidikan yang acapkali tertangguh. Di situlah ditempatkan seramai 54 orang murid-murid lelaki dan perempuan dari peringkat umur 8 hingga 13 tahun untuk belajar bersama-sama beberapa orang guru yang taat dan ikhlas mengajar.
“Hadi, pukul berapa sekarang?”
“Kenapa Karim?” soal Hadi semula.
“Eh, aku tanya dia tanya balik.” Abdul Karim merenung Hadi.
“Janganlah marah, Abdul Karim. Em, sekarang baru sahaja pukul 8.15 pagi. Terlewat sikit saja, janganlah risau. Cikgu Salma takkan marah,” ujar Hadi sambil mengerling jam besar di tangan kecilnya. Jam besi besar yang diberikan oleh arwah datuknya.
“Hari ini sekolah kan?”
“Mestilah. Kalau tidak, aku takkan tergesa-gesa pagi tadi.”
“Tapi mengapa senyap sahaja sekolah kita?”
Hadi pun memandang ke sekolah yang terletak hanya 10 meter daripada mereka. Langkah mereka agak perlahan kali ini. Memang benar. Sekolah itu agak sunyi. Tiada hiruk-pikuk suara kawan-kawan mereka berebut-rebut hendak menjawab soalan. Tiada suara Cikgu Salma memarahi murid-murid atau suara Cikgu Shukur yang lantang itu bercerita di hadapan kelas.
Abdul Karim sangat pasti hari ini ialah hari persekolahan. Tiada cuti umum atau pun perintah darurat yang dikeluarkan dalam masa terdekat yang menyebabkan persekolahan pada hari itu dibatalkan.
Abdul Karim dan Hadi pun berpandangan sesama sendiri. Mereka kemudian mempercepatkan langkah menuju ke bangunan sekolah yang telah tertanggal catnya itu. Setelah mampir, mereka mendapati bahawa pintu hadapan sekolah itu yang berwarna biru cair tertutup, namun tidaklah berkunci. Tiada satu bunyi pun yang kedengaran daripada dalam sekolah tersebut. Abdul Karim pun perlahan-lahan menolak daun pintu tersebut sambil melangkahkan kakinya ke dalam.
Bamm! Abdul Karim tercampak ke dinding kiri. Kepalanya seperti dihenyak dengan sesuatu yang keras. Dia jatuh terjelepuk di lantai sekolah yang tidak beralas itu. Sakitnya badan kecil itu tidak terperi. Terasa hangat di dahi serta di bibirnya. Air matanya berjuraian jatuh, namun tiada esak yang mampu keluar lagi. Tiada kelibat Hadi kelihatan di matanya yang berpinar-pinar. Dia cuba mengelip-ngelipkan mata, namun ada cecair merah yang hangat dan likat yang mengalir dari ubun-ubun masuk ke mata kirinya. Bibirnya terketar-ketar tanpa sebarang kata. Kemudian terasa kakinya dipijak oleh satu sepatu yang keras, seperti mahu melumatkan betisnya yang kurus. Terasa jolokan sebatang besi hangat yang besar dan berbau terbakar di pipinya diikuti dengan bunyi besi ditarik-klik! Sejurus matanya menangkap pemandangan yang menakutkan. Cikgu Salma sedang menangis, tudungnya terbuka, mulutnya disumbat, pergelangan tangannya diikat dan dia sedang berlutut sambil kepalanya diacukan muncung raifal yang berkilat oleh seorang lelaki berpakaian tentera. Di lengan lelaki itu terdapat lilitan kain putih yang tertera bintang segi enam berwarna biru. Abdul Karim kenal benar tanda itu. Syaitan!