Penaja

5.8.13

Editor Puan Salbiah Ani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Elok dikaji semula peranan Editor yang mengamalkan sikap 'Kronisme' atau menyekat perkembangan Sastera Melayu Tanah Air. Sebagai contoh terbaik; masalah ini amat ketara dengan sikap bermuka-muka Editor Puan Salbiah Ani setiap kali soalan yang sama dikemukakan terhadap beliau.

2. Dalam banyak ruangan Forum para Penulis dan Penyair Tanah Air ramai berasa kecewa dengan sikap beliau yang amat nyata sepanjang tempoh beliau bertugas hanya mementing kelompok dan citarasa beliau dalam memilih karya yang bermutu untuk diterbitkan di BH (puisi/sajak terutamanya)

3. Sebagai contoh jawapan beliau ketika diajukan sampai bila beliau mahu bersikap 'Kronisme' terhadap penggiat Sastera Melayu Tanah Air. Cer lihat jawapan beliau yang berulang kali dalam banyak Seminar dan Diskusi Sastera dan Media baru-baru ini. Dengan ego beliau menjawab.

"Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.

Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,? katanya. (Dari Petikan Akhbar BH)

4. "Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak."   Ayat/jawapan ini menampakkan keegoan beliau terhadap Penulis Mapan apatah lagi Penulis Picisan yang lain. Sebagai bukti yang nyata sejak saya sakit kronik terpaksa bersara dan menjadi Penyair Sepenuh Masa; setiapn minggu saya terusan menghantar karya puisi ke meja beliau sejak lebih dari 4 (empat) tahun lalu hingga kini; tak satu pun karya saya terpilih untuk disiarkan. Yang menjadi tanda tanya bila telah setahun lebih karya tersebut tersimpan di meja beliau; saya tarik hak penerbitan dan menghantar ke penerbitan yang lain; ianya diterima dengan baik malahan Majalah Dewan Sastera (DS) juga dapat menerima serta menerbitkan karya saya yang dihantar ke editor BH ini.

5. Saya tidak pernah mahu memusuhi beliau dan BH tetapi jika kita perhatikan karya Sasterawan Negara pun tak ada "ruangan khas" di BH ini apatah lagi ruangan untuk Penulis Picisan. Sebaiknya bidang sastera ini mendapat tempat di hati semua masyarakat atas sokongan semua Media Massa Arus Perdana. Berilah ruangan khas untuk Penulis Mapan (tak mestinya di hari minggu) pun sediakan jua ruangan penulis pelapis mendapat tempat. Puan Salbiah Ani tidak baik berbangga menolak karya Puan Fatimah Busu pengarang yang saya hormati; jika ianya memang karya tidak sesuai tak perlulah diuar-uarkan. Ini mengaibkan kerja seni Puan Fatimah Busu. Status beliau sebagai penilai sastera Tanah Air atau Editor Sastera sebaiknya pihak BH elok kaji semula.

6. Sebagai pencinta Sastera Melayu; sebelum saya mati saya ingin melihat perkara sebegini tidak sampai mencantas karyawan pelapis untuk berkarya di BH.  Tak apalah saya akan berputih mata tak dapat melihat karya saya terbit di BH sebab bagaikan digam sampai ke akhir hayat tetapi berilah penilaian saksama terhadap semua karya penulis Tanah Air.  Saya ingin melihat ruangan sastera di BH berkembang baik bagai yang diamalkan oleh DS juga Mingguan Malaysia, Harian Metro malahan akhbar tabloid yang lain yang lebih beragam karya yang diterbitkan. Agar Sastera Melayu dapat memertabatkan bangsa kita Melayu.

Sila uar-uarkan kepada pencinta Sastera Melayu yang lain. Wassalam.

'Moh hantar karya'

Oleh Nazmi Yaakub 
Editor sastera akhbar dan majalah beri petua serta berkongsi pengalaman

KESUKARAN mendapatkan cerpen dan puisi bermutu dengan larik bahasa indah baik daripada pendatang baru, penulis muda mahupun veteran bukan saja dihadapi akhbar, tetapi juga majalah yang mempunyai halaman kreatif dibangkitkan pada Sesi Bersama Editor pada Dialog Penulis Muda.
Dialog di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, baru-baru ini, turut mendedahkan tindakan sesetengah pengarang muda dan veteran yang menghantar belasan karya serentak untuk dinilai dalam kerakusan melihat karya disiarkan.

Dialog Penulis Muda anjuran Pelajar Kursus Reka Bentuk Pengajaran Bahasa Melayu (BMP 3063) dan Persatuan Penulis Budiman (Budiman) itu, turut menjadi medan berkongsi pengalaman dua editor sastera tanah air dalam menangani asam garam berurusan dengan pengarang kreatif, sambil menurunkan ‘petua’ dan cara menghantar karya.

Secara tidak langsung, kira-kira 50 peserta sesi itu, dapat belajar daripada kesilapan pengarang sebelum mereka dan mengetahui batas sempadan dalam proses penghantaran karya, selain dapat menghilangkan keraguan terhadap isu ‘belakang tabir’ berkaitan penyiaran karya terbabit.

Editor Sastera Berita Harian,

Salbiah Ani, menekankan peluang dan ruang penyiaran karya di halaman Kreatif Sabtu dan Sanggar Kreatif Ahad adalah sama baik kepada pengarang mapan dan baru selagi mutu karya dijaga.

“Peluang adalah sama kerana kayu ukur penyiaran adalah mutu karya tanpa mengira sama ada pengarang itu veteran atau muda, pernah memenangi pelbagai hadiah sastera atau pendatang baru dalam dunia penulisan tanah air.

“Ini kerana ada sebahagian pengarang yang pernah memenangi hadiah sastera, tetapi disebabkan faktor usia dan hal tertentu, gagal memperlihatkan kehebatan yang pernah dipamerkan sebelum ini sehingga karya mereka apabila dibaca dapat dirasakan hambar dan ‘mengejutkan’,” katanya pada sesi yang dipengerusikan penyair, Ghazali Din atau lebih dikenali sebagai Ihsan Noorzali.

Salbiah turut mendedahkan ada Penerima Anugerah Penulisan Sea yang menghantarkan cerpen kepada Berita Harian dan Berita Minggu, tetapi terpaksa ditolak kerana isu semasa dalam karya gagal diadun dengan baik sehingga karya menjadi hambar dan tidak mencerminkan wibawa pengarang.

“Saya berharap penulis dapat bersabar untuk melihat karya disiarkan dan tidak boleh mengharapkan penyiaran pada kadar segera kerana terlalu ramai pengkarya menghantar nukilan masing-masing selain masa standard penyiaran untuk akhbar dan majalah ialah enam bulan.

“Jika penulis berasa karya itu wajar disiarkan secepat mungkin, mereka boleh menghantar e-mel untuk menarik balik. Kami bersikap profesional dalam hal ini memandangkan ruang yang ada memang terbatas, tetapi jumlah yang menghantar karya terlalu ramai,” katanya pada sesi yang turut dihadiri Penasihat Program yang juga Pensyarah Upsi, Arif Mohamad.

Ketika menjawab pertanyaan tema karya yang menjadi pilihan, Salbiah menjelaskan Kreatif Sabtu dan Sanggar Sastera mencadangkan penulis agar menampilkan karya yang berlegar kepada isu semasa, tetapi perlu diadun dengan baik agar tampak menarik untuk dibaca.

“Tema sedemikian menjadi keutamaan bagi membuktikan bahawa pengarang kreatif hidup di alam realiti dan bukan di awang-awangan seperti yang sering dilabelkan masyarakat sejak sekian lama, selain tema agama boleh diketengahkan, tetapi bukan dalam gaya khutbah.

“Saya banyak menerima cerpen bertema cinta dan saya berharap ia diadun dengan perkara lain seperti yang pernah dilakukan Amiza Khusyri Yusof lewat Salju Jabal Musa dan disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 25 April 2004 sehingga tampil luar biasa dan saya akan mengingati cerpen terbabit sehingga ke akhir hayat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan penulis baru untuk tidak terlalu gopoh melihat karya mereka tersiar di media sehingga mengambil tindakan melanggar etika penulisan dengan melakukan pencerobohan karya sehingga ada yang sanggup memplagiat karya pengarang lain.

“Penulis yang ‘tertangkap’ menciplak karya pengarang lain, pintu media akan tertutup rapat. Penulis juga jangan sesekali mengugut editor kerana hakikatnya mereka menjalankan tugas secara profesional. Jangan sesekali melobi agar karya disiarkan kerana silap hari bulan perkara sebaliknya berlaku,” katanya.

Salbiah turut berkongsi pengalamannya apabila ada penulis yang mengadu dengan pihak atasan kerana karya tidak disiarkan dan pengalaman sama turut dilontarkan Editor Kanan Unit Sastera, Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rozninah Abd Azib.

“Penulis terbabit menghantar surat kepada Pengarah Penerbitan menyebabkan saya dipanggil ke bilik ketua dan apabila beliau melihat sendiri sejumlah karya penulis terbabit, penolakan saya dipersetujui.

“Moral daripada pengalaman ini adalah seandainya sesebuah karya itu bagus, pihak kami akan menerbitkannya tanpa perlu menunggu penulis terbabit menghantar surat aduan atau mengambil langkah mengugut,” katanya yang juga Editor Dewan Sastera.

Rozninah turut mengingatkan penulis baru untuk menjaga ketertiban dalam surat penyerahan karya dan tidak menggunakan ayat berbentuk ugutan kepada editor untuk melihat karya mereka mendapat tempatan dalam majalah dan akhbar.

“Ada penulis muda yang menghantar karya dengan menyelitkan amaran bahawa sekiranya karya tidak diterbitkan dalam tiga bulan, ia akan dihantar ke penerbitan lain dan kami tidak kisah sekiranya penulis mahu berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut mendedahkan masalah yang selalu dicetuskan oleh penulis muda, iaitu mabuk dengan bahasa puitis sehingga apabila menghasilkan karya yang sepatutnya puitis, tetapi menampilkan perlambangan yang tersasar.

“Sajak yang baik mestilah yang boleh difahami, ada kekuatan tersendiri dan falsafah. Dalam konteks karya kreatif berunsurkan agama pula, jangan menggunakan terlalu banyak istilah bahasa Arab sehingga editor terpaksa membuka kamus setiap perkataan dan pembaca juga tidak memahaminya,” jelasnya.

Seperti Salbiah, Rozninah juga berharap mereka yang berhasrat menghantar karya agar membeli majalah atau akhbar sasaran mereka bagi mendapatkan gambaran karya pilihan editor dan mematuhi segala syarat penerbit selain tidak sesekali menghantar karya yang sama ke penerbitan berlainan. 
- Kenapa mahu mengaitkan dengan Puan Rozninah, setahu kami beliau amat berwibawa dalam menjalankan tugasan.