Penaja

1.4.08

Kreatif: Coretan Tinta Dari Daksina

Oleh Zulfazlan Jumrah




ASSALAMUALAIKUM. Ke pangkuan cikgu Rosmaria yang berada di pantai timur. Barangkali kehadiran warkah bertinta ungu ini memeranjatkan cikgu. Apa tidaknya, dalam kesibukan cikgu menyesuaikan diri sebagai pengetua sekolah yang baharu di sana, barangkali kedatangan warkah ini sedikit mengganggu. Maafkan saya seandainya warkah yang tidak diundang ini mengganggu waktu senggang cikgu.

Cikgu, pada 16 Mei ini, setelah genap setahun cikgu meninggalkan kami di selatan tanah air kerana bertukar sekolah di pantai timur, segala tandangan kenangan kembali mengetuk pintu memori. Saya masih ingat, sebelum cikgu meninggalkan kami dahulu, terlalu banyak pesanan dan nasihat yang telah cikgu berikan kepada kami. Lalu, meski kepiluan merenggut diri, kami cantumkan kesemuanya menjadi azimat di sudut hati.

Cikgu,

Tarikh 16 Mei bertamu lagi pada hari ini, seperti tahun-tahun yang sudah. Cuma bezanya pada 16 Mei kali ini, kami meraikan Hari Guru tanpa cikgu di sisi. Kami masih terkenang saat yang paling bermakna ketika cikgu diminta untuk menyanyikan sebuah lagu untuk kami semua. Itulah persembahan terakhir cikgu atas permintaan kami. Dan apa yang paling menyentuh hati ialah saat cikgu menitiskan air mata meskipun belum selesai menyanyikan sebuah lagu klasik lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar yang berjudul “Gurindam Jiwa”. Kesemua guru termasuk staf sekolah, nyata terharu dengan persembahan seorang pengetua yang akan bakal bertukar ke sekolah yang lain. Persembahan cikgu nyata terlalu istimewa buat kami.

Cikgu,

Setelah ketiadaan cikgu, segala-galanya terlalu sukar buat kami. Kami menjadi pelajar yang terkurung dalam sangkar kehidupan kami sebagai pelajar yang semakin hari semakin pasif di sini. Tidak ada lagi seorang pengetua yang agresif mengajar kami menyanyi, menari atau sesekali melegakan tekanan belajar dengan berseloka dan berpuisi. Semuanya menjadi terlalu asing buat kami, apatah lagi setelah seorang pengetua baharu mengambil alih tugas cikgu kami di sini. Pengganti cikgu pula ialah seorang pengetua muda yang tidak pandai menyanyi, menari, jauh sekali mendeklamasikan sebuah puisi. Kami terdera dengan perasaan kami sendiri. Jiwa kami bergelora lantaran kami kehilangan rutin kehidupan yang terlazim kami jalani.

Kami juga berhadapan dengan masalah pembelajaran, cikgu. Jika dahulu, kami sangat teruja untuk mengetahui sejarah peradaban dunia yang pernah cikgu ajarkan merentasi kegemilangan Andalusia, terbeku jiwa menekuni sepi bumi dingin Alaska, memeta pergolakan perang Dunia Kedua atau terbuai ke taman khayalan dalam mitos keindahan taman inderaloka bernama Shangri La.

Namun, kini segalanya tidak lagi melatari sesi pembelajaran kami. Kami tidak lagi didefinisikan dengan keagungan cinta sejati dan suci dilatari mitos Taj Mahal di Arga, jauh sekali dibuaikan dengan dongeng purba Dinasti Ming si Maharaja China nan perkasa, apatah mendaki pergunungan sejarah Constatinopel oleh Al-Fatih seorang pembuka kota atau sekurang-kurangnya menyoroti empayar semenanjung emas bernama Kesultanan Melayu Melaka. Semua itu tidak lagi kami temui setelah setahun cikgu pergi meninggalkan kami.

Cikgu yang kami kasihi,

Bagaimana lagi mahu kami mengadukan semua ini? Sepeninggalan cikgu, kami dihambat dengan ungkal jiwa remaja yang bergolak, krisis identiti serta kebejatan sosial dan tingkah laku. Ada rakan-rakan seperjuangan saya sudah mula menunjukkan sikap protes terhadap pengetua yang baharu. Ya, pengetua yang baharu itu ternyata bukan tandingannya untuk menyamai keprihatinan cikgu sebagai srikandi di sekolah ini. Saya masih ingat lagi ketika Karnival Bahasa Melayu dahulu. Cikgu tidak pernah putus-putus memberikan kata-kata azimat dan pedoman untuk merangsang keutuhan semangat di kalbu. Kata cikgu, selawat boleh melegakan darah gemuruh yang membeku dan hasilnya, daerah kita mendapat nombor satu.

Akan tetapi, berbeza dengan pengetua yang baharu ini, cikgu. Dia selalu marah-marah kami mengikut serakah dan hawa nafsu. Katanya, kalau kalah kami semua akan dipalu. Silap seorang, semuanya akan dibambu. “Kalau tewas siaplah kamu.” Kami tertekan dengan pendekatan begitu. Semangat kami rebah selalu, sebelum melangkah ke tempat pertandingan yang dituju.

Cikgu Rosmaria,

Entah apalah dosa yang telah dilakukan oleh kami. Tidak cukup dengan bebelan, salah sedikit kami semua diperintahkan untuk berdiri. Dimarahinya kami berkali-kali, tanpa mengira kecil atau besar kesalahan kami. Ada pula cerita yang tidak elok didengari, rakan-rakan sudah mula memasang niat untuk membenci. Gemar ponteng kelas dan berkeliaran ke sana ke mari. Apalah yang boleh saya lakukan lagi? Mendiamkan diri atau menyatakan rasa yang terbuku di hati? Tolonglah cikgu, berikan saya nasihat yang paling bestari.

Buat pengetahuan cikgu,

Setelah cikgu bertukar sekolah, prestasi Kelab Bahasa Melayu semakin hari semakin merosot. Di sekolah, pertandingan yang menjadi tradisi seperti Pesta Pantun, Peraduan Mencipta dan Mendeklamasikan Puisi, Pertandingan Debat Ala Parlimen atau Perbahasan sudah tidak lagi diadakan. Saya berasa amat sedih dengan situasi ini. Hal ini barangkali kerana setelah cikgu bertukar ke sekolah lain, dasar panatia di sekolah yang telah pun bertukar nakhodanya, turut berubah.

Untuk pengetahuan cikgu juga, bukan tidak pernah saya bertanyakan kepada pengetua yang baharu tentang masalah ini, tetapi katanya pihak pengurusan lebih mengutamakan Kuiz Biologi, Eureka dan Inovasi serta Minggu Pembudayaan Sains dan Teknologi serta tidak ketinggalan juga pertandingan The Battle Of The Band kerana sekolah kita kini sudah menerima seorang guru sandaran muzik yang tidak mempunyai ijazah, tetapi pernah menyertai sebuah rancangan realiti.

Saya berasa kecewa dengan semua ini cikgu. Kalaulah cikgu masih ada, pasti cikgu mampu berhujah tentang penghapusan tradisi ini. Barangkali fakta saya seperti yang pernah cikgu ajarkan dahulu, tentang kewujudan Kerajaan Melayu Campa pada abad kedua Masihi serta penemuan prasasti di Dong Yen Chau pada abad keempat sebagai lambang keteguhan tradisi bahasa Melayu pratamadun belum cukup kukuh untuk membidas tembok pendirian pengetua yang baharu itu. Namun, apa yang sangat mendukacitakan saya ialah apabila ketika saya ingin menganjurkan Pertandingan Menulis Jawi, hasrat saya itu ditolak mentah-mentah, meski hujah saya selepas itu membangkitkan soal keagungan bahasa Melayu klasik lewat tahun 1750 Masihi dahulu.

Cikgu Rosmaria,

Persoalan tentang bahasa adalah isu sejagat. Ingat lagikah cikgu bahawa cikgu pernah mengatakan bahawa William Marsden berpendapat bahasa Melayu adalah bahasa sejagat melalui bukunya A Grammar of The Malayan Language yang ditulisnya pada tahun 1812? Atau penghujahan di dalam buku On Malayan and Polynesian Languages and Races tulisan John Crawfurd yang tidak sebulu dengan Marsden? Pernah juga saya berhujah tentang perkara ini bersamanya, namun pipit tetap pipit, cikgu. Manakan sama terbang tinggi di awan di sisi sang helang.

Apalah lagi yang mampu saya dan rakan-rakan lakukan kini cikgu? Kami seperti sang pidana yang terpasung kerana tidak mempunyai upaya untuk berhujah dan berjuang. Yang mampu kami lakukan ialah berdoa dan terus berdoa agar segala-galanya kembali seperti sedia kala. Saya mengharapkan perubahan yang lebih baik atau setidak-tidaknya keadaan kembali sama seperti mana ketika cikgu menakhodai sekolah ini dahulu. Namun saya akur dan faham, semua ini sangat mustahil berlaku pada kadar sekelip mata. Saya dan rakan-rakan akan terus menanti keajaiban berlaku buat kami semua.

Cikgu yang dihormati,

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada cikgu. Percayalah, meski jasad kita terpisah jauh beribu batu jaraknya, namun di hati kami azimat dan pedoman cikgu sentiasa dekat dan kami suburkan ia di sudut sanubari. Kami akan sentiasa mendoakan agar cikgu diberikan kesihatan yang sempurna, semangat yang berkobar dan menyala-nyala serta iltizam yang kukuh pasak pendiriannya demi memartabatkan khazanah dan tradisi buat anak bangsa, agama dan negara. Doakan juga agar keadaan lebih baik di sini, kerana kami khuatir tentang nasib bahasa yang tercinta ini.

Rasa-rasanya sekian sahaja coretan tinta ungu daripada saya mewakili bekas pelajar cikgu di bumi daksina. Moga-moga dengan kiriman warkah ini, akan dapat mengeratkan lagi hubungan kita semua. Akhir kata, semoga kita berkongsi wacana lagi pada lain warkah. Sambutlah salam sejahtera daripada kami semua yang sangat merindui cikgu di sana. Sekian, wassalam.

Yang Sentiasa Menyanjungimu,
Husna Adilah Mohd Sidek,
SMK Bandar Pertiwi.

Biodata penulis

ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit dalam genre cerpen, puisi dan novel. Karya penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti Putra Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis diterbitkan Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.

1.3.08

Puisi Umar Khayyam

Petikan Rubaiyat Umar Khayyam

Jun 20, 2007

Mari kita ikuti kisah seorang anak manusia
dan kita lupakan usia
dengan keindahan bintang di malam hari
tidur tak mampu memperpanjang usia manusia
berjaga malam
juga tidak mengurangi umur manusia sedikit pun

~Rubaiyat Umar Khayyam


Petikan Rubaiyat Umar Khayyam

April 22, 2007

Sekeping roti untuk sehari atau dua penghabisan
Setitis air di kendi yang pecah berkeping
Dengan ini, apa perlunya aku tunduk kepada kepala orang lain
Apa sebab aku harus merangkak kepada pegawai bawahan?

~Rubaiyat Umar Khayyam


Petikan Rubaiyat Umar Khayyam

April 12, 2007

Lawanku keliru menyebutku ahli falsafah
Tuhan tahu aku bukan yang mereka katakan
kerana terlanjur lahir di tempat yang menyedihkan ini
tak perlu aku tahu siapa aku sebenarnya

~Rubaiyat Umar Khayyam


Mata ~ Umar Khayyam

Mac 26, 2007

Oh mata, kau tak buta, lihat liang lahad itu
dan lihat dunia yang penuh kekacauan dan sengsara
raja, kadi dan putera, semua terkubur di dalam tanah
lihat si wajah cantik di rahang-rahang semut

~Rubaiyat Umar Khayyam


Petikan Rubaiyyat Umar Khayyam

Mac 21, 2007

Camar cukup bahagia dengan tulang belulang
mengapa harus mencuri dari meja si kaya?
aku telah punya sekeping roti besar
tak perlu menghamba kepada sesiapa pun buat mendapat makanan

~Umar Khayyam

(Rauzat ash-Shafa, Mir Kand)


Kehormatan ~ Umar Khayyam

Mac 12, 2007

Bukan kemiskinan yang mendorongku datang kepadamu
Aku tak miskin, sebab keinginanku bersahaja
Yang kucari darimu hanyalah kehormatan
Kehormatan seorang yang bebas dan berdiri tegak

~Umar Khayyam

(Dari Rubaiyat Umar Khayyam)


Inilah Aku ~ Umar Khayyam

Mac 9, 2007

Masa kini dan di masa depan orang akan datang dan berkata, “Inilah aku!”
Hadiah emas atau perak ia berikan, sambil berkata, “Inilah aku!”
Namun ketika suatu masa dalam hidupnya ia jatuh sakit
Maut memerangkap dan berkata, “Inilah aku!”

~Umar Khayyam

(Dari Rubaiyat Umar Khayyam)


Catatan Tuhan

Februari 3, 2007

Kalam Loh Mahfuz mencatat…
Dan sesudah mencatat…
Lagi mencatat…
Segala doa dan ikhtiar…
Tidak dapat memadamkan catatan Ilahi….
Biarpun hanya sekerat baris……..
Pun seberapa banyak air mata….
Sepatah pun tidak akan terhakis…..
Catatan Tuhan Yang Maha Menyayangi.

~ Umar Khayyam ~

1.2.08

Puisi Latiff Mohidin Songsang dll

Puisi Songsang – Latiff Mohidin

Oktober 6, 2009

Songsang
(buat tok awang)

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan tahun
seperti hari ini

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur

Apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

Orang lain
telah merdeka
aku belum

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Aku hanya
ingin
mengingatkan

Latiff Mohidin
Kota Bharu, Nov 1976.


Sajak Di Sudut Dusun – Latiff Mohidin

Februari 24, 2009

Kumasuki kembali dusun yang hening itu
bau kumbang pandan berlegar di tikungan

Angin dingin menjalar dari titian buluh
sarang serangga berpaut di hujung ranting

Semarak hutan meriak direndam kabus pagi
segala yang redup menjadi tunas tumbuhan

Kunaiki kembali rumah sisipan atap itu
binaan: setengah papan setengah ruang

Cahaya hijau mendekat ke anak tangga
benih keras di tangán kulepaskan perlahan

Labah-labah mengaitkan benang suteranya
Geluk berkocak seketika di mulut tempayan

Pada lantai serambi debu kental berkumpul
tikar mengkuang masih mengarang fajar

Langsir dapur menyala menerangi tingkap
Sumbu pelita mengumpul karat di atas para

Dari anjung kini bergantungan warisan sinar
Berbintik kerawangpadat menyentuh tubuh

Seakan tidak ada yang mereput di pelantar ini
Mata kembaraku berhenti sejenak di sudut dusun

Latiff Mohidin,
1992


Tarian Lalang ~ Latiff Mohidin

Ogos 12, 2008

Pada tanah gersang
tiba-tiba datang bermukim
semua belalang
dari semua ladang
tanpa musim

Sebelum lompatan terakhir
sebelum degupan terakhir
dari batu ke batu
dari debu ke debu
semua belalang
dari semua ladang
tiba-tiba menari
tarian lalang
tanpa sangsi

~ Latiff Mohidin


Perpisahan ~ Latiff Mohiddin

Jun 17, 2008

Perpisahan
adalah jarimu
yang merentak
bersama ombak
ke lautan
tiba-tiba membiru

Perpisahan
adalah suaramu
yang merangkak
bersama ombak
ke daratan
tiba-tiba membisu

~ Latiff Mohiddin


Guli-Guli Berkilat ~ Latiff Mohiddin

Mac 18, 2008

Aku tidak kenal pada mereka
setiap pagi minggu mereka datang
ke pondokku bertanyakan cara
menanam sayuran itu dan ini
tentang menternak binatang itu dan ini
atau mereka berdiri di bendang sana
membelek-belek benih itu dan ini

Setiap pagi minggu mereka datang
mengambil gambar warna ulat-ulat kecil
segenggam tanah atau sekepal lumpur
kemudian mereka duduk-duduk mencatatkan
memilih membanding membincangkan
garis-garis merah dan biru di sana sini

Aku tidak kenal pada mereka
aku harap mudah-mudahan mereka menemui
apa yang merka cari selama ini
hanya aku tidak tahu apakah
yang harus kuperbuat
pada ratusan guli-guli berkilat
yang mereka tinggalkan di depan pondokku
setiap kali mereka datang ke mari

~ Latiff Mohiddin