Penaja

28.3.10

Kucing Berduri Kota & 8 1 0 0

Oleh A Ghani Abdullah

2010/03/27

MALAM makin pekat. Berjalan di antara pokok ke pokok. Merayap ke sungai, ke lautan, ke gunung-ganang. Menyusup ke rumah, ke ladang, ke bendang dan seluruh alam untuknya.

“Akan terlepaskah atau tertangkapkah?” sebuah suara terdengar dalam kegelapan malam itu.

Suara itu seperti seekor kucing berduri kota yang sering membesarkan-besarkan perkara kecil. Tujuan untuk melenyapkan pandangan kucing hutan yang dirinya tidak membunuh anak ayam desa. Malam pekat macam minyak hitam tumpah di tanah. Macam permukaan sungai berbayang. Jalan tidak boleh dijangka bengkang-bengkoknya. Barangkali ada ular. Jangan terpijak!

Jika ada sedikit cahaya malam. Boleh nampak pokok bermacam-macam bentuk. Kucing bunuh tikus mondok. Kepala orang dibelit ular. Kucing ketayap tikus. Macam-macam cerita tanpa suara.



Langit mendung berduka, tetapi tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Ada tiupan angin sombong bagai orang sesat di tengah hutan. Takut ditimpa pokok tumbang. Takut melaung dibaham binatang buas. Takut tergetar hati disambar kilat petir.

Zic 9295 dalam rumah di ruang tetamu. Tubuh putih. Hanya memakai baju singlet tidak berlengan. Pakai seluar panjang merah berpetak kecil putih. Dia pandang tembok.
Tembok kaku bagai marah Zic 9295. Tembok memprotes tindak-tanduknya jahat dan kejam. Dia pembunuh. Mangsanya adalah orang-orang yang tidak berdosa.

“Terlepaskah aku atau tertangkapkah aku? Aku adalah kucing berduri kota yang membunuh anak-anak ayam desa.” Cik-cok gelodak jiwanya.

Tembok batu kelabu berdiri merenung nasib Zic 9295. Dia sepatutnya sudah lama ke penjara atau ke tali gantung. Tetapi serigala gearbok pun menyebelahi kucing berduri. Mereka punyai kuasa. Mereka menyebelahi Zic 9295. Mereka melindunginya.
Mereka suka etnik 8100 musnah. Mereka tidak suka etnik 8100 ada kepala dan agama yang terang. Serigala gearbok lagi zalim.

“Kucing berduri kota tidak suka 8100 membina empayar pendidikan. Bukankah 8100 memahami dan mendekati pencipta alam? Jadi kamu suka roh mereka kosong tentang pegangan agama? Tentang akalnya biar hilang hingga hidup seperti haiwan?” Tanya suara hati Zic 9295, seperti kucing berduri kota. Berkawan serigala gearbok.

“Ya, benarlah! Biar 1800 hapus. Kubunuh anak-anak ayam. Itu sebabnya perlu pembunuhan.” Jawab hati Zic 9295.

“Engkau sungguh kejam!” Zic 9295 menghukum diri. Macam kucing berduri kota puas selepas membunuh anak ayam.

Nasib Zic 9295 kena heret ke mahkamah atau tidak? Masih jadi tanda tanya. Kucing berduri kota bebas sebab keluarga ayam tidak punya senjata panah atau lastik. Apatah lagi peluru berpandu.

Zic 9295 melarikan diri. Dia tidak mahu dituduh membunuh walaupun dia membunuh 1800. Dia cemas dan cemas. Dia dalam ketakutan gelap hatinya.

Kepanasan siang padat mencengkam dan menggigit kalbu malam. Nasib malang anak ayam kampung. Mereka tidak dapat pembelaan. Tidur dalam rumah kotak. Reban dirobohkan orang. Dibunuh!

Di luar bangunan Zic 9295, ada hembusan angin kering lembut dan keras. Antara nyaman dan membosankan.

Zic 9295 membunuh manusia macam kucing membunuh anak ayam. Ribuan terkorban. Ribuan yang terseksa dan menderita. Zic 9295 berharap dia tidak ditangkap. Dia tidak mahu nyawanya diancam seperti serigala gearbok menangkap anak rusa.

Tidak ada hukuman akan dikenakan kepadanya. Bicara boleh. Bawa ke mahkamah boleh. Hukuman tidak akan terjadi. Itu perkiraannya.

Zic 9295 diburu dengan kenyataan putar-belitnya bahawa dia tidak bersalah. Dia tidak akan dikenakan hukuman.

Zic 9295 berambut putih. Hatinya pekat-likat hitam. Dia menipu hati tengkoraknya. Walaupun dia tahu perbuatannya salah tetapi kesalahannya bagai angin panas. Hanya meresahkan.

Zic 9295 membunuh orang. Tetapi dia tidak mengaku membunuh. Dia hanya mengarahkan askarnya membunuh. Manusia hanya anak ayam dan dirinya kucing berduri kota.

Itu fikirnya. Bagai lidah-lidah api membakar hangus manusia seperti seekor naga raksasa yang menyemburkan sungai api.

Sebuah helah meloyakan. Dia seorang pemimpin seperti Hitler suka berperang dan menyaksikan mayat bergelimpangan di sana-sini.

Zic 9295 membayangkan dirinya berada di sebuah mahkamah. Dia memakai cermin mata putih bulat besar berbingkai coklat kejernihan daun teh. Dia memakai tali leher merah limpa dengan baju putih berjalur. Baju kot merengkuh bahunya. Wajahnya wajah tua. Dia dilihat bertaring lekok di bawah bibirnya hingga ke dagu.

Kalau dia berada di mahkamah, dia seperti didatangi oleh etnik 8100. Kepalanya dipenggal dan lehernya dikelar. Dia mengelak dan kemudian ketawa. Dia menghilangkan ketakutan memburu darahnya. Otaknya berputar seperti lari dari muncung meriam yang dihalakan kepadanya.

Mata Zic 9295 menjeling hangus. Dalam hatinya tersimpan kesumat dan dendam jahat. Dia membunuh 8100 yang tidak berdosa. Dia melakukan pembunuhan. Tetapi dia menafikan. Berdolak-dalih.

Dia berlagak tegas. Dia menjulang tangan bahawa perbuatannya betul. Baginya membunuh satu kebaikan untuk keselamatan diri. Dia kucing berduri kota membunuh ribuan anak ayam. Apa salahnya?

“Pembunuhan itu rekaan? Bagaimana menjadi rekaan sedangkan 8100 benar-benar tidak bernyawa. Terbunuh. Menjadi mayat.” Bagai dia tahu akan pertanyaan hakim jenayah nanti. Dia takut juga.

“Alasan kamu terlalu mudah.” Kalau jawapan itu yang diberikan oleh pihak 8100, maka dia mesti lekas-lekas membantah.

“Aku mesti belajar daripada ular. Ditanya kenapa ular makan katak. Maka aku akan jawab: Memang makanan aku! Ha! Ha!” Ketawa Zic 9295 dengan kuat.

Zic 9295 terdiam seketika.

“Apa lagi yang perlu aku beritahu hakim jenayah perang bagi membohongi segala pertuduhan jenayah yang aku lakukan?” Bisik Zic kepada dirinya. Itu pun jika dia ditangkap.

Zic 9295 mengurut-ngurut dagunya tanpa janggut itu.

Dia hanya mengemutkan daging dalam mulut sebelah bawah dan atas bibirnya seperti orang tidak bergigi.

Zic 9295 membunuh. Dia memberi alasan licik. Dia mahu jadi seekor belut yang mudah melepaskan diri daripada pertuduhan atau tangkapan. Mengapa tidak?
Dirinya seorang ketua pemerintah. Dirinya punyai kuasa dan punyai rakan pembela. Dia kucing berduri kota boleh membunuh ribuan anak ayam desa. Macam serigala gearbok.

Tangan kanan Zic 9295 mendepa jari bagi menafikan pertuduhan. Dia macam peguam bela yang terkenal. Bijak membohongi fakta dan pandai memutarbelitkan hujah dan pertuduhan.

Wajah yang diburu oleh roh 8100.

Zic 9295 berkerut dahinya. Wajahnya bagai dikeringkan oleh bahang api di tugu pemanggang daging panas. Dengan kuasa yang ada padanya, dia pernah berkata, “Etnik 8100 mesti dihapuskan daripada wujud di muka bumi!”

Kaum 8100 mesti diusir keluar dari negerinya.

Zic 9295 takut bayang-bayang sendiri. Dia takut 8100 menelannya. Bagai ular sawa menelan kambing hitam.

Zic 9295 memberontak di tempat tidur. Bayangan mahkamah sentiasa memburunya. Dia mesti belajar bijak memutarbelitkan segala kenyataannya. Dia tidak mahu dirinya ditangkap.

Dia sengaja membuat kenyataan mengelirukan. Dia mahu memperbodohkan semua hakim yang bertanya soalan kepadanya. Apakah hakim bodoh seperti yang disangkakannya? Atau hakim itu adalah orang-orang Zic 9295 yang menyamar sebagai hakim.

Zic 9295 membiarkan rambut putihnya menjadi kusut. Dia bimbang dirinya akan dijatuhi hukuman bunuh oleh rakyat dunia.

Kini dia mesti mencari jalan dan peluang membohongi segala apa yang telah dilakukannya. Dia mencari alasan lagi. Walaupun Zic 9295 tahu bahawa 1800 tidak melakukan kesalahan atau melakukan apa-apa jenayah.

Wajah Zic 9295 tersungkur dalam longgokan tulang-tulang. Dia lemas, tetapi cepat-cepat ditarik wajahnya yang tersungkur. Begitu igauan buruk memburunya.
Kini kelihatan wajah mukanya merah menyala. Kulit merah putih terbakar oleh pemburuan darah naluri kejamnya. Dia menggali dan mengejar ayat-ayat bohong dari lubuk kotor hati.

Dalam bayangan dirinya, roh 1800 datang menikam tubuhnya.

Bagi Zic 9295, pemimpin merupakan orang yang berkuasa besar. Boleh melakukan apa sahaja. Katanya dengan wajah berani, tetapi kecut di perut. Di kucing berduri kota boleh membunuh anak ayam desa. Dia mesti menghebohkan hal remeh yang ditimbulkan oleh etnik 8100.

Lagaknya selamba seperti laku seekor Firaun. Semua orang takut dan tunduk. Dia menjadi batu besar di atas gunung. Rakyat di kaki gunung. Rakyat takut batu menggolek dan membunuh.

Watak seekor Firaun bersalutkan serigala gearbok. Sedangkan dalam dirinya sang anai-anai membina busut tinggi dan keras. Busut ini akan menujah otaknya. Otak itu akan keluar di depan mata.

Apa yang terfikir di kepalanya, dia membunuh 8100. Menjadi kucing berduri kota bersalutkan serigala gearbok bersama-sama membunuh anak ayam desa.

Jika bercanggah pendapat, dia dikeluarkan. Dia lagi lega diasingkan. Dia senang bercakap sesuka hati. Kelompok yang menjadikan dirinya manusia, itu tidak penting lagi. Asalkan dia masih ada kuasa. Dia boleh mencerca siapa yang mengutuknya. Dia masih bebas. Dia belajar dengan kehidupan pokok enau dalam belukar.

Zic 9295 terbayang kucing berduri kota lagi. Selagi bernama kucing, dia boleh mencakar, mengiyau dan membunuh. Kuasanya di misai kucing. Malam hari, lagi mudah membunuh.

Itu yang difikirkan. Itulah dikatakan kepada semua orang. Setiap pertuduhan, dia hanya ketawa dan menafikan yang dirinya kejam atau bersalah. Mengiyau-ngiyaulah dia!

Malam makin menggigit. Tengah malam sudah berlalu lebih dua jam. Bunyi kenderaan tidak kedengaran di jalan raya. Apatah lagi bunyi motosikal. Bunyi kokokan ayam belum lagi. Barangkali sejam lagi adalah kokokan ayam itu. Jam tiga pagi nanti.

Malam di luar ada angin sejuk dan nyaman. Di dalam kamar masih dibelenggu oleh peluh panas dan masam. Kepanasan hati menjadikan semuanya panas walaupun tempat sejuk. Sikap kejamnya menjadinya dirinya diuliti oleh roh jahat.

Pembunuh berbadan besar. Zic 9295 mahu menghapuskan golongan etnik 8100. Itu tekadnya.

Zic 9295 membesarkan sikap bongkak. Dia memelihara katak di bawah terowong tertutup. Dia kucing berduri kota boleh bila-bila menangkap katak. Dia tahu bahawa bila-bila waktu dirinya akan dihentak hanyut oleh empangan air pecah yang tiba-tiba menerjah. Dia bersedia.

Itu komplot fikirannya. Kacau.

Bagi Zic 9295 bahawa etnik 8100 jelek. Zic mengejar nama tumpang serigala gearbok. Dapat publisiti murah dan mudah. Tak perlu berdiri lama sebagai pemimpin. Dia perlu naik macam serigala gearbok. Heboh orang kata dia berani tetapi poyo, maknanya tak guna.

Etnik 8100 mesti dihapuskan. Mereka perlu dibunuh. Biar roh pegangan agama 8100 merayap ke tempat gelap. Biar akal etnik 8100 hilang. Biar 8100 jadi katak bawah tempurung kaca tanpa pendidikan.

Sikapnya melampau dan hilang pertimbangan.

Etnik 8100 beragama Islam. Mereka mengagungkan kebaikan dan melarang permusuhan. Mereka bersolat berzakat. Mereka percaya Nabi Muhammad saw itu Rasul utusan Allah.

“Kepungan menjadi punca!” antara kata-kata Zic 9295 kepada orang yang mahu mengheretnya kena hukum, dipenjarakan.

“Kenapa kepungan?” Tanya Hakim Jenayah. Barangkali itu pertanyaan hakim.

“Apabila mereka terkepung mudah membunuh. Bukankah saya kucing berduri kota? Mudah seperti membunuh anak-anak ayam desa. Membunuh tidak salah. Itu hukum alam!,” tegas Zic 9295 meninggi. Perkiraannya menyeleweng. Undang-undang ciptaan diri.

“Apa dosa 8100?” Zic 9295 mencongak soalan hakim.

“8100 mahu merdeka.” Zic 9295 menghentak kaki. Dia menyembunyikan sebab utama yang terbuku hitam di hatinya.

“Apa salahkah merdeka untuk 8100?” kalau itu disoal hakim.

“8100 tak perlu merdeka. Kami perlu perkosa merdeka mereka.” Alasan Zic 9295 yang mahu merosakkan roh pegangan etnik 8100.

“Merdeka ketakutan kamu?” tanya hakim. Kira-kira begitu.

“Jika kaum 8100 merdeka, maka kami akan lelah dan gelisah.” Zic 9295 tahu etnik 8100 sedang berlumba maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan.
“Lelah! Gelisah?” Tanya hakim semula.

“Saya tak mahu etnik 8100 merdeka. Nanti aku tak muncul menjadi hero. Aku tak dapat liputan dunia. Aku baru dalam dunia ini. Aku perlukan orang selalu menyebut namaku dengan kukuh!” Zic 9295 mahu terkenal dan berkuasa seperti Firaun.

“Apakah suara orang lain tidak perlu ?”

“Suara 8100 hanya perlu di depan senapang dan dimuntahkan peluru kepada mereka semua.”

Dialog Zic 9295 yang sentiasa mengancam kemunculan etnik 8100 di muka bumi. Suara Zic 9295 yang telah membunuh 8100.

“Yang Arif jangan salahkan saya kerana membunuh 8100.” Dia cuba menjawab soalan hakim jika benar-benar dia ditangkap.

Dia bercakap seperti dirinya didatangi ribuan wartawan dan pemimpin dunia. Dirinya diangkat sebagai tokoh paling terkemuka. Pemimpin dunia akan hormat dan tunduk kepadanya. Pemberita akan berebut-rebut datang menemuramahnya. Itu rancangannya.

Ketika itulah datang polis antarabangsa menangkapnya. Dia perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Dia perlu ke mahkamah Jenayah Antarabangsa. Hari sudah subuh.
Dia hendaknya dikenakan hukuman bagi setiap perbuatan kejamnya membunuh 8100 yang tidak berdosa. Ini satu pengajaran kepada setiap pemimpin dunia lain.
Kuasa tidak boleh disalahgunakan. Termasuklah Perdana Menteri Israel itu!



Profil

A GHANI Abdullah, anak kelahiran Kampung Ramuan Cina Kecil, Melaka, pernah menjawat beberapa jawatan seperti Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena); Setiausaha Barisan Bertindak Bosnia (BBB); Penyelaras Kelab Sastera DBP; Pengarah/ Pengurus Pentas/ Pelakon Drama Pentas; Penyelaras Pertandingan Drama Sekolah Menengah Malaysia; Fasilitator PPSB/PLKN Selangor; Penilai Manuskrip Sastera; Hakim /Penilaian Hasil karya Kreatif; Penulis novel, cerpen, drama, puisi dan esei; Editor Urusan Jalur Sejahtera Sdn.Bhd. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah AFP Sdn Bhd ; Konsultan Kreatif dan Strategi; Perunding Kreatif Wajah Masih Terpaut (BAJAP-JPM); Sidang Editor Dewan Sastera; Sidang Editor Dewan Budaya; Pengarang/Penyelaras Dewan Perintis (Sabah); AJK/SU Cempaka Berbunga (Zaman Usman Awang); Presiden KPPDBP; Ahli Majlis Bersama Jabatan Badan Berkanun Malaysia; Lawatan sambil belajar ke Maghribi, Sepanyol, Turki, Jordan, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Palestin dan Mesir.

Pernah memenangi pelbagai hadiah penulisan kreatif. Antara novel beliau ialah Camar Putih di Awan Biru (DBP); Permaisuri (CESB); Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan (PKS); Harimau Oh Harimau (PKS). Lebih 50 bukunya diterbitkan dalam pelbagai genre novel, cerpen, cerita kanak-kanak dan lain-lain. Kini penulis bebas.

19.3.10

Dunia Buku: Aduhai menyengat dalam beringat

Oleh Salbiah Ani dahiya@nstp.com.my

Kumpulan cerpen ditulis berdasarkan isu semasa bagi menyedarkan Melayu

ADUHAI, kumpulan cerpen Dr Fatimah Busu pasti memberi kepuasan kepada pembaca yang dahagakan bahan bacaan kritis dengan sebahagian besar kisah berdasarkan kepada peristiwa semasa yang berlaku di negara ini, tetapi digarap dalam bentuk kreatif dari sudut pandangan pengarang ini.

Bukan saja pembaca dapat meneka siapa yang ditujukan pengarang ini melalui sesetengah cerpennya kerana sebahagian sindirannya langsung sehingga bukan saja menusuk kalbu pelaku, tetapi berkemungkinan juga menyebabkan degupan jantung mereka terhenti kerana bisa tersentap.

Itulah Fatimah dalam Aduhai yang boleh diterjemah juga sebagai perjuangan pengarang itu dalam menerjah kejelekan, kebejatan dan kebobrokan masyarakat apalagi bangsanya yang bukan saja parah, malahan nazak serta menanti masa untuk dikebumikan tanpa perlu ditalkinkan! Fatimah seolah-olah tidak takut akan kemungkinan yang akan berlaku terhadap dirinya sebagai pengkarya ekoran kelantangan cerpennya dalam bersuara sehingga ada kalanya pembaca berasa ngeri melihat keberaniannya mengkritik termasuk di kalangan pemimpin politik negara ini.

Antara cerpen berbau politik yang bergerak atas dasar ‘berani kerana benar’ ialah Aduhai Si Luncai, Aduhai Pak Pandir, Aduhai Pak Kadok, Aduhai Pak Belalang, Malangnya Si Lebai Malang, Tanah Segara Bukit Itu, Alahai Manisnya Aduh Pahitnya dan Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka.

Aduhai Si Luncai yang mengangkat watak lurus bendul daripada sastera rakyat itu mempamerkan kemuliaan hati pemuda itu dalam memartabatkan ibunya selain menjunjung perintah dengan penuh taat setia, tetapi akhirnya dibalas dengan tuba apabila raja memerintahkan pemuda itu dibunuh!

Cerpen Aduhai Pak Pandir memanfaatkan dunia kesarjanaan bagi menyindir kelompok politik yang kemaruk dan taksub dengan bahasa Inggeris sebagai lambang kemajuan diri dan negara sehingga bukan saja bahasa Melayu dipinggirkan, tetapi bangsa juga malu mengaku dirinya Melayu!

Jika dalam sastera rakyat, pembaca dihidangkan dengan kekalahan Pak Kaduk ketika menyabung ayam dengan raja, begitu juga dalam Aduhai Pak Kadok, tetapi citranya sebagai insan malang dimuliakan sedikit apabila diberi tempat untuk membina pondok pisang sesikat oleh Tok Guru Silat Pulut.

Kesungguhan dan kejujuran Pak Kadok membina hidup baru selepas kematian isteri dan si Kunani, ayam sabung kesayangan, akhirnya tampil sebagai usahawan berjaya dan penyelamat kepada rakannya yang teraniaya seperti Lebai Malang, Pak Belalang, Mat Jenin, Sang Kelembai, Pak Pandir dan Mak Andeh.

Betapa sinisnya sindiran Dr Fatimah kepada raja dalam Aduhai Pak Belalang, perpecahan ekoran perbezaan fahaman politik sehingga sanggup membunuh (Aduhai Lebai Malang) dan penghinaan terhadap bahasa Melayu di Pulau Pinang sambil memanfaatkan Sejarah Melayu dalam penulisan berbentuk intertekstualiti (Tanah Segara Bukit Itu).

Watak Pak Dogol dalam wayang kulit dihadirkan dalam Alahai Manisnya Aduhai Pahitnya mengambil Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai latar kisah dalam usaha pengarang menyengat tokoh politik semua parti tanpa mengira pangkat mereka dan pastinya bangsa Melayu tidak terlepas daripada sasaran!

Isu pendatang haram dan sikap orang Melayu yang terlalu bertolak ansur dalam apa juga perkara dikisahkan dalam nada sindiran, tetapi bersahaja lewat Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka, sambil memanfaatkan gaya berkisah Sejarah Melayu.

Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II memberi ruang kepada pembaca yang tidak mengenali Dr Fatimah untuk mendekati peribadinya secara sepintas lalu dan pastinya akan mendorong mereka untuk menggali karya lain pengarang ini.

Gejala sosial remaja perempuan Melayu dikongsi dengan pembaca dalam 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan, manakala remaja lelaki Melayu (10 Budak Hitam) dengan gaya penceritaan yang dipinjam daripada cerita lisan sastera Melayu, tampil menarik dan mempamerkan kelainan.

Sesungguhnya Aduhai tampil sebagai kumpulan cerpen ‘wajib’ dimiliki khususnya pembaca Melayu jika sayangkan bangsa dan negaranya kerana ia merakam sejarah mereka dalam bentuk penceritaan kreatif yang pedas lagi menyengat, dalam usaha pengarang mengingatkan Melayu jangan sampai lenyap!

Jejak kreatif Fatimah Busu

FATIMAH Busu dilahirkan di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan pada Januari 1943 dan mendapat pendidikan di Maktab Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1970.

Mendapat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang sastera di USM dan berkhidmat di universiti terbabit sebagai tutor, pensyarah serta bersara sebagai prof madya pada 1998.

Dalam jagat kesusasteraan tanah air, beliau menghasilkan pelbagai karya dalam genre cerpen dan novel selain bakatnya mendapat perhatian apabila 10 cerpennya memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Antara cerpennya yang berjaya ialah Mawar Yang Belum Gugur (1971); Nasinya Tumpah (1972); Freshie dan Lambaian Tanah Hijau (1973); Bunga-bunga Pulau dan Sampah Yang Hanyut (1974); Anak Bumi Tercinta dan Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan (1975); Mahar Asmara (1983/1984) dan Al-Amin (1984/1985).

Karya pertamanya, Saat Terakhir (sajak), akhbar Mingguan Negara (1957); cerpen pertamanya, Kerana Adik (Majalah Asmara - 1959); skrip drama pentasnya, Puteri Sa’dong (1960); Gerimis Pagi (1961 - dipentaskan di Maktab Perguruan (P) Melayu Melaka), Megat Terawis (adaptasi - 1963), Cik Siti Wan Kembang 1964, Biduan Dari Neraka 1964-1965 (dipentaskan di Kelantan) dan Jahanam (dipentaskan di USM - 1973).

Novel pertamanya, Ombak Bukan Biru (1977) ditulis ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece I (2005) dan The Missing Piece II (2006).

Koleksi cerpennya Yang Abadi (1980), Lambaian Tanah hijau (1980), Al-Isra’ (1984), Keajaiban Alam (2004) , Bunga-bunga Pulau (2005) dan Aduhai (2009).

Sebagai ahli akademik beliau pernah melaksanakan penelitian ilmiah dengan menghasilkan buku Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan (DBP, 1992), kajiannya bagi mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) yang kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993; Penulisan Kreatif, Teori dan Proses (2003); Nyanyi Sunyi Salam Maria Vvs Sarjana Nasi Dingin (2007), Persamaan dan Perbezaan Dalam Perkembangan Novel-Novel Melayu dan Indonesia (2009), manakala koleksi puisinya, Apa Ada di Sana Versi Dunia (2004).

Cerpen dan novel Dr Fatimah diterjemahkan ke bahasa Belanda, Perancis, Jerman, Denmark, Vietnam, Mandrin, Tamil dan Inggeris termasuk Salam Maria.

13.3.10

Lombong Emas di Kaki Bukit (Cerpen)

Oleh Abdullah Awang
2010/03/13

DIA sudah buat keputusan yang muktamad. Setelah berhari-hari dia membolak-balikkan keinginannya. Setelah berjam-jam dia memikirkan tentang tindakan itu. Setelah kepalanya menjadi semakin bengang, dikacau oleh khayalan yang entah mengapa menjengah lubuk fikirnya semenjak dia sampai ke situ. Maka, kini dia perlu melakukan sesuatu sebelum orang lain sampai!

Di kaki sebuah bukit, terletak di kawasan pedalaman jauh ke Hulu Peralla, dalam negeri Cik Siti Wan Kembang. Dilitupi oleh pokok-pokok hutan yang merimbun. Berbentuk lurah menghala ke sebuah anak sungai yang airnya jernih, mengalir dengan lembut sambil mengeluarkan bunyi arus berjatuhan di atas bebatu kecil. Suasana itu cukup menarik perhatiannya.

Kemudian, di bawah rimbunan itu, dia terpandang sebuah dinding batu ‘ikat sembilan’ yang tersembunyi dalam timbunan dedaunan buruk serta tanah-tanih yang runtuh akibat gelinciran dan hakisan. Kedudukan dinding berbentuk seperti sebuah mesin ringkas untuk sesuatu aktiviti, telah menyimpan seribu rahsia yang belum diketahui oleh sesiapa. Itulah tempatnya yang menghantui kepala otak setiap malam, setiap pagi, setiap petang. Dia tidak lena tidur semenjak terpandang kawasan yang amat strategik itu, seolah-olah ada sesuatu yang sedang menarik seluruh kekuatan dirinya hingga dirasakan amat lemah dan guntai. Memerangkap kerajinannya bekerja sebagai kuli lori balak yang hanya pulang ke rumah sebulan sekali untuk menemui anak-anak, terutamanya isteri kesayangannya.

Gaji sebagai atendan atau kelindan lori balak memang cukup lumayan. Sebulan dia akan dapat sampai dua ribu ringgit. Sudah cukup untuk dia anak-beranak membiayai hidup mewah sesuai dengan taraf pendidikannya hanya setakat Sijil Rendah Pelajaran, kemudian dikenali dengan nama Penilaian Menengah Rendah.

Dia tidak mahu memikirkan tentang alam pendidikan lagi. Biar anak-anaknya seramai tujuh orang itu sahaja meneruskan cita-cita hidupnya. Dahulu pernah dia menaruh harapan untuk menjadi guru, tetapi disebabkan oleh kemiskinan keluarga, hasrat dan angan-angan hampa. Tidak mengapa, anak-anaknya akan membawa harapan yang kosong itu ke menara gading.

Sekarang, dia mahu mengumpul kekayaan sebanyak-banyaknya. Dia mahu menebus kekalahan itu dengan tulang empat keratnya. Hutan kampung Peralla yang masih sunti dan dara akan diterokai oleh taukeh-taukeh balak. Kesemua bulldozer, lori-lori balak, case caterpillar, rumah-rumah kongsi untuk pekerja dan tukang masak sudah siap dibawa masuk dan dibina.
Sebelum ini, kawasan itu sunyi dan sepi. Yang kedengaran hanya katak-katak kuong hutan yang suaranya melepasi puncak bukit bergema dari lereng ke lereng. Kakah dan lotong menggoyang-goyangkan dahan, ranting, sambil menepuk-nepuk batang kayu hutan. Mereka kelihatan marah, menunjukkan protes yang habitatnya sedang dinodai oleh haiwan bernama manusia.

Suara-suara unggas itu gegak-gempita dan boleh didengar di kawasan itu semenjak kerja-kerja membina jalan kayu balak diuruskan oleh syarikat berkenaan. Sehinggalah sampai kepada ban balak yang mendapat kelulusan, baharu persiapan untuk menebang dimulakan.

Ajaibnya, dia sebagai pekerja kelindan melakukan kerja sambilan merintis denai dan jalan seluas dua ribu hektar. Mungkin disebabkan dia memiliki sedikit kepakaran menyelusuri pinggir bukit dan memahami rentak makhluk halus dalam hutan, maka dibayar gaji khusus, malah lebih tinggi.

Ketika dia sampai di anak sungai yang membunyikan suara alam yang amat mengasyikkan di kaki bukit itu, dia berhenti sebentar, sementara tangannya mencebuk air yang jernih untuk merasa nikmat kedinginan. Dia menunggang botol mineral tinggi hingga kepalanya mendongak, dan tiba-tiba pandangannya singgah pada suatu binaan yang hamper terkambus .…

“Wah, siapa yang membina segalanya ini? Di dalam hutan tebal ini sudah ada manusia yang menerokainya, tetapi bila? Kalau dilihat pada binaan ini tentu sudah lebih lima puluh tahun.” Bisik hatinya sendirian. Dengan tangkas, kakinya melangkah ke situ, manakala dua orang kawannya belum sampai ke situ.

Dia berdiri di atas batu besar yang tersembul keluar dari lereng bukit seperti perut wanita yang sedang mengandung. Manakala di bawahnya terdapat suatu lekukan persis sebuah kolam akibat ditarah oleh seseorang. Di hadapan bungkah batu itu, terletak binaan konkrit simen menggunakan batu-batu.

“Hairan, bagaimana mereka membina benteng ini lima puluh tahun dahulu? Ini tentu tempat palong emas! Kedudukannya yang agak condong menghala ke anak sungai membuktikan arah untuk menyalurkan air yang disembur ke pipi bukit.” Getus hatinya lagi.

‘Kaya aku pada kali ini. Orang tentu tidak tahu aku datang ke sini untuk memunggah tanah-tanah ke dalam kongsi untuk diayak, ditapis, dan disedut oleh buli-buli raksa. Aku mesti pulang petang khamis ini untuk mendapatkan ibu emas di Bandar.’ Kepalanya dihanyut oleh mimpi-mimpi indah yang bakal dilaluinya.

Dalam sejumlah tiga puluh orang staf pembalakan itu, tiada seorang pun yang mahir tentang sumber kekayaan itu, kecuali dia.

Ketika itu, fikirannya sudah melayang jauh ke Kota Bharu. Tujuh orang anak-anaknya yang sedang bersekolah tidak akan tersisih lagi dari kawan-kawannya. Ibunya yang sedang belajar memandu, tidak lama lagi pandai membawa kereta sendiri. Dia akan membeli sebuah kereta mewah untuk isterinya. Tidak cukup dengan itu, dia akan membina sebuah banglo dua tingkat bernilai ratusan ribu.

“Emas! Siapa yang tidak mahu mendapatkan emas? Sama ada halal atau haram, masing-masing gila dan kemarut menggali emas. Aku hanya mendulang emas secara haram, tidak membahayakan orang lain, sedangkan perompak-perompak di kotaraya mendapatkan emas dengan menggunakan senjata, itu lagi kriminal.” Bentak hatinya.

Dia menarik nafas lega. Menghembusnya perlahan-lahan. Dia memastikan, tiada sesiapapun mengetahui tempat itu. Kalau mereka tahu sekalipun, apakah tindakan yang boleh mereka lakukan? Mereka tidak ada kepakaran. Tetapi dia sudah ada pengalaman mendulang emas di Lubuk Mandi pada suatu masa dahulu.

Masa itu, dia bekerja sebagai kuli tukang rumah. Pada masa orang Terengganu gempar menemui emas di Lubuk Mandi, dia tinggal tidak jauh dari situ. Pada sebelah petang, malam dan hari-hari minggu, dia ikut sama dengan penduduk tempatan mendulang emas. Hingga ada yang mati terkambus oleh runtuhan tanah akibat ketamakan mereka.

Ngauman harimau tenggelam oleh suara mesin menebang pokok balak untuk merintis laluan dan sebagai sempadan dengan kawasan-kawasan yang masih belum diserahkan kepada kontraktor pembalakan. Suara kakah dan lutong kedengaran jauh dan sayup-sayup. Mergastua hutan terkejut bila mergastua bandar datang merosakkan rumah mereka. Seperti juga kita, bila datang musuh menyerang penginapan, kehidupan dan kesejahteraan manusia hanya ingin menunjukkan kekuatan, kuasa dan kehebatan, tentunya sebagai golongan marhain, tersusup-sasap melarikan diri ke dalam kubu yang di bina di bawah rumah. Atau berhijrah melepasi sempadan, ke Negara jiran untuk hidup sebagai pelarian.

Kadang-kadang dia terasa sebu dibuai kesedihan bila teringatkan keanggunan alam yang dimusnahkan oleh kerakusan manusia. Tidak sampai hati dia hendak membunuh unggas-unggas yang sedang tidur dan hinggap di dahan pokok hutan itu. Lambat-laun, manusia akan menerima kesan dari perbuatan ini. Bentak hati kecilnya diam-diam.

Ada baiknya jika kawasan emas itu dibiarkan berada dalam rimbunan hutan, dengan hiasan mergastua hidup kegirangan sambil melompat-lompat kesukaan. Memakan pucuk muda, daun-daun, umbuk, akar, dan meminum air jernih bersih kedinginan.
Bila pokok balak ditebang, akan berlaku hakisan yang meruntuhkan bukit-bukau dan gunung-ganang. Bila tanah terhakis, di mana lagi emas hendak hidup berkembang, membiak, membesar dan menjadi tua? Inilah persoalannya. Balak juga umpama emas yang tersimpan, tetapi kayu balak lebih lagi daripada itu, kerana menjadi paku kepada kekuatan alam. Menjadi tangki penyimpan kepada air untuk kegunaan hidupan termasuk manusia.

Dia mula mengorek menggunakan muncung parang, di kawasan yang mengikut perkiraannya bekas lombong emas di dalam hutan. Dihunjamkan mata parang dengan kuat ke celah benteng palong itu. Dikupilkan tanah-tanah yang hampir menenggelamkan dinding konkrit itu.

“Betul, emas! Aku kaya! Aku kaya!” Dia menjerit kesukaan. Hilang segala kesusahan dan kepenatan. Dia lupa di situ masih ada dua lagi rakannya sedang memotong batang balak untuk dijadikan sempadan kawasan.
“Prappp, prappp, brummmm!” Pokok balak sebesar tayar bulldozer itu tumbang. Betul-betul jatuh menghempas ke atas dirinya. Dia tidak sempat berkata apa-apa kecuali terus menjadi lumat seperti sehelai kertas yang ditenyeh di permukaan jalan.

Profil

ABDULLAH Awang atau nama sebenarnya Abdullah Awang Kechik terbabit dalam penulisan puisi dan cerpen sejak 1972. Nama penanya yang lain adalah Aduka Putra dan Atma Rindu. Karyanya mendapat tempat di Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Berita Harian dan Berita Minggu. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004 dan baru saja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Bahasa Melayu di universiti sama. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, Pasir Mas, Kelantan.

6.3.10

Kreatif: Ketika Sampai Seru

Oleh Maria Kajiwa

DIBELEK, cantik. Direnung, geram. Dari atas hingga ke bawah, tidak ada satu pun yang kurang. Hidungnya mancung bak seludang, pipi pula bak pauh dilayang. Bagaimana lagi Mak Mah hendak memuji ? Segalanya cukup. Mak Mah puas hati.

“Boleh?”

Suara yang bertanya mati di situ. Tiada pula suara yang bersetuju. Hanya dengusan nafas yang keluar dari lubang hidung. Menolak segala udara dari dalam paru-paru sekuat-kuatnya. Menolak juga segala kepayahan untuk membantah.

Mak Mah faham serta-merta. “Habis, kau nak yang macam mana lagi?” Yang itu Mak Mah belum faham-faham. Gambar yang ditunjukkan tadi kini terletak elok di atas meja seolah menjadi saksi hujah di antara dua pihak. Seorang menolak, seorang menarik.

Yang ditanya hanya diam, matanya merenung dinding rumah tidak berkelip. Seolah-olah di sebalik dinding itu ada jawapan atau terus tembus, hilang entah ke mana di celah kegelapan malam. Dia sendiri sesat di dalam fikirannya. Bagaimana mahu pulang mempersembahkan satu jawapan?

“Mak dah siasat habis-habis, tak ada yang kurang lagi.” Mak Mah masih cuba memasukkan jarum. Walau peluangnya sangat nipis namun Mak Mah mesti terus mencuba. Sebelum diisytiharkan kalah, Mak Mah tidak akan angkat bendera putih!

Matanya kembali terarah kepada gambar yang dibeleknya tadi. Puas sudah dibelek dan dikaji gadis di dalam gambar itu. Tiadalah lagi cacat cela susur galurnya. Tiadalah mana-mana keturunan gadis itu mempunyai darah kaki judi, kaki perempuan, kaki ekor, kaki lepak hatta kaki dadah. Cukup pula sifatnya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kalau ilmu jangan dicakap. Cekap menanak, cekap menyiang dan memotong. Itu, Mak Mah yang lihat sendiri. Rumah gadis itu bukannya jauh sangat, cuma berselang dua rumah sahaja.

Habis apa lagi yang kurangnya gadis itu? Pelajaran? Gadis itu baru sahaja menyandang jawatan sebagai guru sekolah menengah. Pekerjaan yang mulia, penuh ilmu di dada untuk anak bangsa. Mana hendak dapat pakej yang selengkap itu lagi pada zaman ini? Rata-rata yang berpelajaran tinggi sekarang, tidak usahkan memasak lauk, nasi pun belum tentu rajin menanak. Itulah sebabnya Mak Mah pasti benar, pilihannya kali ini tepat.

“Along cuba cakap, Along nak yang macam mana? Yang gemuk? Yang kurus? Yang lulusan luar negara? Yang anak orang putih atau macam hindustan? Mak cari. Cakap sahaja.” Mak Mah mula berbasa-basi. Berundur bukan bererti kalah.

Tiada jawapan! Mak Mah mencerlung ke wajah Along yang hanya membisu. Itulah anak lelakinya seorang, anak daranya sudah lama dipinang orang. Cuma yang ini lelaki, sebab itu tiada yang meminang. Kena meminang pula. Tetapi kalau semuanya tidak mahu, siapa yang mahu dipinang? Mak Mah pening.

“Along tak tahu mak,” jawab Along perlahan. Masih termenung dan merenung. Lepas dinding, meja pula jadi mangsa. Mungkin lepas ini cawan, karpet atau pensil yang ada di atas meja. Itulah perangai Along bila Mak Mah buka cerita tentang kahwin.

“Apa yang Along susah sangat? Kahwin saja dengan sesiapa yang Along suka.” Mak Mah cuba berdiplomasi pula. Mana tahu entah-entah Along sudah ada pilihan sendiri. Anak muda zaman sekarang lebih bijak daripada orang tua. Syarat-syaratnya mungkin tidak serupa langsung dengan mereka. Mungkin mahu yang rambutnya tercacak bagai duri landak. Siapa tahu?

Along tersengih sedikit. Mak Mah mula lega. “Masalahnya, tidak ada siapa yang Along suka, mak.”

Senyuman Mak Mah mati. Ish! Jangan-jangan anak aku ni tak suka perempuan! Mak Mah berdebar-debar sendiri. Zaman sekarang ini, lelaki perempuan sudah tidak dapat dibeza lagi. Tidak sedar tangannya mengurut-ngurut dada. Atau mata Along sudah kabur?

Mak Mah terjenguk-jenguk melihat mata Along. “Sini ! Mak nak tengok mata Along.”

“Ish, mak. Mengapa tengok mata Along?” Along makin beranjak jauh.

“Semua perempuan yang mak pilih Along tak suka. Mak ingat, mata Along dah kena katarak macam mata mak,” jawab Mak Mah selamba.

Along terbahak-bahak ketawa. Mungkin tidak menyangka sama sekali, ibunya pandai berlawak. “Bukan salah matalah, mak.” Along cuba menenangkan keadaan. Tangan ibunya ditolak lembut.

“Habis salah apa Along?” Tanya Mak Mah sambil terkebil-kebil. Ingin benar dia mendengar curahan hati anak bujangnya yang pendiam itu. Sesaat, dua saat, Mak Mah terus menunggu.

“Hati, mak.”

“Kan mak dah kata, bawa balik mana-mana perempuan yang Along berkenan. Mak akan pinang secepat mungkin. Kali ini mak tak ada banyak soal, mana Along suka itulah yang mak pinang,” jawab Mak Mah tegas. Tangan Along digenggamnya erat-erat. Tangan kecil itu sudah lama menjadi besar. Lebih besar dari tapak tangannya sendiri. Dia cuma mahu Along percaya, yakin pada kata-katanya. Along tersenyum. Mak Mah tersenyum lega sekali lagi.

“Masalahnya hati Along belum jumpa yang berkenan.” Meluncur sahaja ayat itu keluar dari bibir Along.

Senyuman Mak Mah mati buat kali kedua. Perlahan-lahan dilepaskan nafasnya. Dah umur 42 tahun, belum jumpa yang berkenan? Dipilih tidak mahu, suruh memilih pun tidak tahu. Mak Mah garu kepala. Rambut yang beruban itu dirasakan semakin gatal.

Mesyuarat dua beranak malam itu ditamatkan sampai di situ. Misi Mak Mah gagal untuk kali yang ke-21. Orang kata, nombor 21 itu nombor yang baik. Mak Mah sudah berangan-angan hendak buat kenduri besar, tetapi nampaknya kenduri kecil pun dia tidak merasa. Gagal !

Setiap hujung tahun, Mak Mah sibuk penuhi undangan orang berkenduri-kendara. Tidak lekang juga bibir orang bertanyakan Si Along bila nak berkenduri pula. Jenuh juga mulutnya berdalih macam-macam. Kali ini Mak Mah sudah bertekad. Kalau tidak cuti sekolah di pertengahan tahun, pasti cuti sekolah di hujung tahun nanti , dia hendak berkenduri kendara juga. Along mesti kahwin!

***

TETAPI Along tidak banyak berubah. Semakin disuruh, semakin jauh. Semakin dipujuk, semakin merajuk. Lama-lama hati Mak Mah menjadi sedih. Mak Mah merajuk ! Kalaulah Along mendengar cakapkan senang. Terima sahaja sesiapa yang Mak Mah pilihkan. Mak Mah sudah memilih yang terbaik mengikut firasatnya sebagai seorang ibu. Takkanlah dia mahu memilih yang tidak baik untuk anak bujangnya sendiri. Tetapi Along degil! Degil dan keras kepala!

Akhirnya, Mak Mah tidak mahu bercakap soal itu lagi. Duduk di rumah pun Mak Mah tidak mahu. Mak Mah lari duduk rumah Yuna, anak gadisnya yang dipinang Datuk Johar. Biar bila Along balik hujung minggu, tidak dapat jumpa dia. Huh! Mak Mah merajuk sungguh. Biar padan muka Along !

“Assalamualaikum, mak.” Suara Along tertib di hujung talian.

Mak Mah cemberut. “Waalaikumusalam.” Itu sahaja yang Mak Mah jawab. ‘Tak jumpa aku, telefon pula. Kenapalah telefon ini dicipta?’ Mak Mah bersungut-sungut di dalam hati. Yuna anak kesayangannya hanya mengangkat kening dari jauh.

“Mak, Along di kampung ni tapi mak tak ada. Mak di mana?”

“Di rumah Yuna.” Sehabis ringkas dia menjawab. Yuna berkerut di hadapan ibunya.

“Mak, Along balik bawa seseorang untuk jumpa mak, tapi mak tak ada pula.”

“Ha? Siapa?” Jantung Mak Mah berdegup kencang, hampir terhenti. Terbang sudah rajuknya.

“Dulu mak cakap, bawa balik sesiapa yang Along suka, Along bawalah ni.”

“Kenapa tak cakap awal-awal, boleh mak tunggu. Baliklah lagi minggu depan.” Mak Mah menjawab sambil berkerut dahi. Bimbang ayam di tangan terbang pula. Yuna yang memandang dari jauh mula menggaru kepala.

“Baiklah, mak. Minggu depan Along balik semula. Mak tunggu.” Panggilan ditamatkan. Mak Mah tergamam. Terpempan. Terkaku. Matanya tidak berkelip memandang dinding rumah Yuna.

“Mak! Mak!” panggil Yuna berkali-kali. Mak Mah terlompat bila tangannya digoyang Yuna.

“Mengapa, mak?”

“Along nak balik.”

“Along nak balik? Memang Along balik tiap-tiap minggu tengok mak.”

“Ya, tapi kali ni Along nak balik bawa menantu mak,” terang Mak Mah sambil tersengih.

Yuna turut tersenyum. Tidak tahu hendak senyum bagaimana. Hendak suka atau hendak menangis sebab ibunya sedang menitiskan air mata. Keduanya berpelukan. Yuna usap belakang ibunya dengan penuh kasih. Yuna faham perasaan ibunya. Teramat faham.

Dua hari selepas itu Mak Mah berkeras mahu balik ke kampung. Hendak kemas rumah, hendak cari lauk untuk bakal menantu, katanya. Yuna dan suaminya tidak mampu lagi menahan keinginan Mak Mah. Mak Mah dihantar pulang. Demi kasih, Yuna ikutkan sahaja. Yuna turut mengemas mana yang perlu. Ke hulu ke hilir, ibunya bercerita. Yuna semakin pening kepala.

Hari Ahad yang dinanti tiba juga. Pagi-pagi lagi Mak Mah bangun berkemas. Menyiang ikan dan memotong ayam. Mak Mah masak gulai ayam kampung hari ini. Yuna layankan sahaja. Yuna dapat merasakan kegembiraan di hati ibunya. Yuna sebak.

Bila pagi berlalu, petang pula mendatang. Bayang kereta Along pun tidak ada. Dengan muka yang cemberut, Mak Mah duduk di atas tangga sambil memegang sebatang ranting sepanjang dua depa. Pantang ada ayam yang melintas, semua kena libas.

Yuna hanya memandang dari ruang tamu. Sudah tidak terkata apa. Petang dengan perlahan berlenggang ke senja. Sayup-sayup sudah kedengaran Azan Maghrib dari masjid kampung di hujung simpang. Yuna mula hilang sabar. “Mak, marilah masuk. Dah senja. Along tak balik, mak.” Yuna memujuk di atas tangga. Bahu Mak Mah dipautnya perlahan.

Mak Mah menoleh. “Along tak balik?”

“Tak, mak.”

Mak Mah kembali cemberut, kayu yang dipegangnya tadi dilempar ke depan tangga. Berkeok-keok ayam di atas dahan pokok rambutan kerana terkejut.

Perlahan-lahan Yuna memimpin ibunya ke bilik tidur. Menutup pintu dan semua tingkap yang berlangsir warna merah muda. Langsir baru yang dijahit ibunya dua hari yang lalu.

Melihatkan wajah Mak Mah yang kembali murung, perasaan Yuna mula bertambah sayu. Bagaimana lagi harus dia memberitahu ibunya, bahawa Along tidak akan pulang? Along kemalangan dua tahun yang lalu semasa pulang ke situ bersama bakal tunangnya. Bukan Along sahaja yang maut, bahkan bakal tunangnya juga. Sebaik berita itu diterima, ibunya pengsan selama dua hari.

Sejak itu Along terus hidup dalam fikiran ibunya. Seolah masa tidak pernah berlalu. Setiap kali ibunya teringat saat itu, pasti dia akan berkemas dan memasak untuk Along. Dia akan menukar langsir dan menyapu laman. Semuanya untuk Along dan bakal tunangnya. Yuna layankan sahaja. Dia sudah malas bertengkar. Dia hanya mahu ibunya hidup aman dan gembira walau di dalam dunianya sendiri. Ibunya sudah terlalu tua untuk menerima tamparan sehebat itu.

“Mak, mari kita solat Maghrib dulu,” pujuk Yuna.

“Apa? Along dah sampai?”

“Belum, kita solat Maghrib dulu ya, mak. Mungkin Along singgah solat di masjid.” Mak Mah segera bangkit. Yuna memimpin ibunya ke bilik air dengan berhati-hati.

"Jangan lupa pasang lampu luar, nanti senang Along cari simpang rumah kita."

"Baik, mak. Nanti Yuna pasangkan," jawab Yuna perlahan. Mak Mah terus dipimpin ke atas sejadah. Yuna turut sama bersolat.

Tatkala dia mengangkat tangan berdoa, air matanya tumpah ke pipi. 'Ya Tuhan, tunjukkan ibuku jalan pulang.' Mak Mah terus memasang telinga. “Along dah sampai?”