Penaja

17.2.12

Haiwan

Kamu. Kalau mati tak seorang pun kan peduli. Kerana kau sang haiwan mencicip rezeki di pinggan kasihan. Ketika – aku dan lain-lain haiwan kau binatang terus menerkam kerana aku adalah makanan. Kalau mati tak seekor pun ambil peduli. Kau, haiwan Terus juga haiwan. Dan terus juga menerkam! Nimoiz T.Y, 1 April 2010 Pasir Gudang, Johor

Ahad, 25hb Dis 2011, 01:18 AM Ditulis oleh nimoizty
e-sastera

"IMMORTAL"


/i/

karya hidup bernyawa
aksara berkata-kata
kredo. individualiti.
nyala semangat,
nuansa zaman,
tinggal legasi
pabila pergi,
kekal hijau
dan puitis.

/ii/
melihat
karya (penyair)
aku menjadi yakin
puisi tersurat di batu sastera masyarakat!

Ibnu Din Assingkiri
©Sanusi Din 2011, All Rights Reserved
e-sastera.com/sajak/2012

Ahad, 08hb Jan 2012, 08:33 AM Ditulis oleh ibnu din assingkiri

15.2.12

LANGKAH LESTARI



Sejak subuh ini resah mendera qalbuku
mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara,
mewarasi setiap suara derita atau rianya.
Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu
kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi
taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni,
setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?
Di sini—dedaun bersyair kepada leluhurnya,
bunga rimba cuba menari depan keluarganya.

Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir,
kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.
Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu,
menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.
Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba
memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.

Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.

A. Samad Said

4.2.12

Pemergian S Othman Kelantan satu kehilangan besar

31/07/2008

Intan Abdullah

Difahamkan arwah mengalami sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika dihubungi Harakahdaily merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai arwah.

"Ia merupakan suatu kehilangan besar kepada dunia penulisan dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu," ujarnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, usaha tersebut perlu diteruskan oleh generasi muda yang menjadi pelapis.

Beliau turut mengkagumi semangat dan sikap arwah yang tidak gentar dalam menyuarakan pandangan dan kritikan kepada kerajaan mengenai pendirian terhadap pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

sementara itu, Pengerusi Badan seniman Paksi Rakyat (Paksi) Che Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman turut melahirkan dukacita atas kehilangan Arwah S Othman Kelantan.

Beliau menyatakan bahawa kali terakhir menemui arwah ialah ketika seminar badan tersebut pada 19 Julai lalu, yang pada peringkat awalnya arwah telah bersetuju memberikan komitmen sebagai pembentang kertas kerja pertama.

"Namun, sehari sebelum program dijalankan, kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital dan kertas kerja beliau dibacakan oleh pembentang lain.

"Mungkin itu merupakan karya beliau yang terakhir," katanya.

Dinsman menyifatkan pemergian S Othman Kelantan sebagai suatu kehilangan yang besar kepada sastera.

Arwah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu penulis muda yang aktif dengan dunia penulisan dan sastera, Faisal Tehrani pula tidak dapat melupakan karektor arwah yang sangat mesra dengan penulis muda.

"Arwah seorang yang sangat lucu, bahkan ucapan beliau sering menyebabkan kita tidak kering gusi. Beliau juga gemar melayan penulis-penulis muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan," ujarnya.

Menurutnya, ketika menerima anugerah sasterawan negara dari Yang di-Pertuan Agong, Arwah S Othman Kelantan juga telah mengkritik keras pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada ketika itu.

"Beliau seorang yang tidak pernah merahsiakan pandangan beliau mengenai sikap kerajaan terhadapa bahasa Melayu dan sastera," katanya.

Tambahnya, selain Shahnon Ahmad, arwah adalah penulis yang terawal terlibat dengan penulisan novel yang menonjolkan imej keislaman menerusi novel beliau berjudul 'ustaz'.

Menurut anak arwah, S M Zakir, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pagi ini.

"Jenazah berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor," katanya.

Berikut adalah serba ringkas biodata Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan.

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). - mns

Sasterawan Negara S. Othman Kelantan meninggal dunia
31/07/2008 10:09am

KUALA LUMPUR 31 Julai - Sasterawan Negara Dr. S. Othman Kelantan meninggal dunia tengah malam tadi akibat daripada sakit jantung.

Menurut anaknya, S. M. Zahid berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi ini.

``Jenazah berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor,'' katanya. - Utusan

S Othman Kelantan selamat disemadi

SEDIH: Ranolfla Dianti dan anak menyiram air mawar ke atas pusara suami, Othman (gambar kecil) di Sungai Tangkas, semalam.

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN), Dr Syed Othman Kelantan atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan, 60, meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 11.45 tengah malam kelmarin kerana komplikasi serangan jantung selepas menjalani rawatan lebih dua minggu di Hospital Serdang.

Beliau yang disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi tengah hari semalam, meninggalkan seorang isteri, Ranolfla Dianti Irwan, 30, dan anak berusia 6 tahun serta enam orang anaknya dengan bekas isteri pertamanya, Sharifah Rodziah Al Idrus.

Anak lelakinya, Syed Mohd Zakir yang ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, berkata bapanya mengadu sakit dada dan beliau menghantarnya ke Hospital al-Zahra, Bangi, sebelum menjalani rawatan penyakit itu di Hospital Serdang dua minggu lalu.

“Kami begitu tersentuh apabila Allahyarham masih mahu berkarya dan menyiapkan beberapa tugasan yang belum disiapkan, meskipun tahu dirinya berjuang dengan maut,” katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang menziarahi jenazah Allahyarham berkata, kehilangan beliau dalam arena sastera negara memberi kesan mendalam khususnya pencinta karya sastera Melayu kerana tidak banyak sasterawan yang berani dan selantang beliau dalam mengkritik.

“Walaupun Allahyarham seorang yang lantang mengkritik, tetapi beliau sebenarnya mudah didekati dan gemar berjenaka dengan rakan seperjuangan,” katanya.

al-Fatihah...

iDAN;

Aku jua dirawat di Klinik Kardio pakar jantung Hospital Serdang selama lebih setahun setengah lantaran komplikasi serangan jantung yang amat menakutkan. Payah bernafas di waktu dinihari. Doktor mengatakan aku sekadar punyai masalah angin atau gastrik dalam badan...

Empat Puluh Tahun Bersama Ayah


oleh Dato' Profesor Dr. Hashim Yaacob

Empat puluh tahun bersama dulu
aku terlahir
ke dalam keluarga daif
yang terwaris turun temurun.
Ayah sering memikir
apakah anaknya itu
akan terus mewarisi
kejerihan hidup sepertinya juga?

Tiga puluh tahun dulu
usiaku baru sepuluh
dan ayah masih muda belia,
berkata ayah
di kebun getah Bukit Kepat:
jika ingin hidup sempurna
dan menjadi manusia berguna,
tidak menoreh getah sepertinya
dan seluruh keluarganya sepanjang masa,
kau harus tekun belajar
hingga sampau ke Universiti.

Budak kampung di usia itu seperti aku
mengerti apa hal universiti?
Ayah hanya tahu
Universiti itu adalah tempat berkumpul
cerdik pandai dan manusia berguna

Dua puluh tahun dulu
aku pun menjejak kaki di kampus Universiti
sebagai pelajar
yang kononnya cerdik lagi pandai.
Ayah yang masih menoreh getah
lapang hatinya tiada terkira.
Tertepa di kepalanya satu harapan.
Katanya ia selalu mengirim doa
agar kulekas jadi orang berguna.

Lima belas tahun dulu
sampailah berita pada ayah
yang aku sudah lulus jadi doktor.
Ayah yang masih lagi menoreh getah
sujud syukur pada Ilahi.
Tahulah ayah
yang anaknya tidak perlu lagi
ikut jejaknya menorah getah.
Nampaknya ayahnya sungguh bangga
kerana pandai mendidik anak.

Lima tahun dulu
ketika aku diangkat menjadi profesor
ayahpun membungkus mata pisau torehnya
dengan secebis kain semutar.
Lalu disangkutnya pisau
pada paku di dinding dapur.

Ayah mengucap selamat tinggal
pada kebun getah
mungkin untuk selamanya.

Kelmarin
aku ziarahi ayah yang sudah tua.
Di dapur
kami menatap bersama
pisau toreh di dinding yang kaya jasa
yang masih berkelubung mata
dengan kain semutar ayah.

Kucium tangan ayah
dengan hujan
yang turun dari kelopak mataku.

Air Penawar Sekacang Kelat Furada Publishing House 1993.

Aku cemburu pada Mujahidin Palestin


Bau syurga dapat kau rasai
Kamu mati tapi sebenarnya kamu masih hidup
Mati syahid cita-cita tertinggi kamu

Apakan daya aku hanya mampu berdoa
Aku hanya mampu menghulurkan derma
Aku sekadar mampu memboikot

Jika kamu di ambang syurga
Doakan kami dapat bersamamu

Islam akan tetap terpelihara
ALLAH akan memelihara Islam dan al-Quran
Tapi diri kita, kita sendiri yang menentukan
Baik atau buruk, syurga atau neraka.

Rozmal Malakan
Harakah