Penaja

2.5.09

Sajak MEKAR SUAKA BAHASA dll

Sajak...

MEKAR SUAKA BAHASA

Tasik ilmu menakung warisan
tersasar ke muara percaturan
mencalar nobat maruah
bahasa sarat pekerti
terlerai secebis kerakusan.

Betapa malang generasi
yang dahagakan seteguk jati diri
disajikan selautan budaya mendatang
yang menyembunyikan tembelang
tapi disanjung petualang.

Mari kita melakar suaka bahasa
menagih cinta yang semakin terhimpit
setelah berabad dipusakai
sekelip mata terpalit noda.

Sayu dan sendu
melagukan irama pilu
yang semakin layu
di minda dan dada Melayu.

Benar pesanan Tuah
Melayu tak akan hilang
tapi tuturnya putar belakang
lancarnya tunggang-langgang.

NORDIN SAAD
Sri Tunjong, Perlis.

SAYANG DAN HORMAT


Sayangi dan hormatilah pada guru
kerana mereka mengajar kita
menjadi seorang pelajar
yang berilmu dan berwawasan.

Sayangi dan hormatilah pada ibu dan bapa
kerana mereka mengajar kita
menjadi seorang anak
yang patuh dan taat pada Allah SWT.

Sayangi dan hormatilah pada kawan
kerana mereka mengajar kita
menjadi seorang sahabat
yang rapat dan setia.

Sayangi dan hormatilah pada Allah SWT
kerana Dia mengajar kita
menjadi seorang insan
yang beriman dan bertakwa.

WADIASSOFI BIN JAAFAR
Kampung Matang Kong
KERAMAT PEJUANG


Belum terbayang lagi
gambaran samar kemajuan
terselimut hamparan muslihat
sandiwara bungkam dalam cengkam rela.

Agar matinya seorang srikandi
di hujung keris tak berbisa
para pendekar duduk bersilang damai
khusyuk dalam pertapaan.

Bertaburan bunga tujuh warna
atas pusara tidak bernisan
haruman pacai menggantikan atar
asalkan terselubung hamisnya bangkai.

Perajurit tersenyum tanpa kenal hala tuju
menggamat keramat tanpa petanda
menyusul mega mendung dalam gerimis darah
tanda terkuburnya insan yang hidup menyerah.

MUHAMMAD JAILANI ABU TAIB
Kolej Kediaman ke-11, Universiti Malaya


AKSARA

Jika aku hanya aksara
yang tidak mengisi akalmu
maafkan aku.

Jika aku hanya lembaran
yang membuang waktumu
maafkan aku.

Jika aku hanya paparan
yang menyakitkan matamu
maafkan aku.

Jika aku mesti ditegur
tegurlah aku.

Moga aku sebagai aksara
dapat diterima akalmu
moga aku sebagai lembaran
dapat dihargai waktumu
moga aku sebagai paparan
dapat disenangi matamu.

ARANAM
Tashkent
KEMENANGAN


Kusujud kepada-Mu
atas kemenangan ini
bukan milikku sendiri.

Satukan janji ini
usah lagi berkelahi
ibarat jari-jemari
meskipun antaranya tidak sama
genggaman itu membuktikan segala.

Jalannya masih jauh
walau jenuh, pastikan kita kukuh.

ZULKIFLI MOHD TOP
SBPI GOMBAK

SALAM PERSAUDARAAN


Huluran mesra salam persaudaraan
ikatan penyatuan kurniaan kasih tuhan
tali teguh utuh perhubungan
perpaduan tersimpul sesama insan.

Hanyir hembusan nafas pergolakan
mencemar murni tali ikatan
percikan baraan api persengketaan
membakar mulia tali perhubungan.

Jalinan erat ikatan persaudaraan
fitrah azali lambang keagungan
kesucian hati peribadi kemanusiaan
takkan goyah ditekan ancaman
sempit akal kejahilan pemikiran
dalam pertimbangan menilai harga
tali ikatan kurniaan kasih tuhan.

MOHD FAKARUDDIN YAAKOB
Jerantut

SAMPAH SIAPA DI BAWAH KARPET


i.
Kerana engkau tetamu
jemputlah bertamu
ini rumah kecilku
biar aku bersangka baik
tentang hasrat kunjunganmu.

Hidup ini perkongsian cantik
sudilah
meneguk secawan damai
mengunyah sesuap tenang
dan kita berbicara
tentang bahagia dan duka.

Dan kerana engkau punya rencana
selamatlah berangkat
moga-moga langkahmu direnda sejahtera
tetapi berhati-hatilah tajam duri di jalanan.

ii.
Eh!
Kenapa kausorok sampah di bawah karpet?
sudahnya seribu semut
menghimpun jelek.

BRIRASA
Taman Aman, Sungai Petani.

SESAT DALAM HAKIKAT


Sesat tidak manusia itu
disukat dalam cetek ilmu
menjadi neraca hayat
menimbang kebenaran hakikat.

Akan sentiasa dalam sesat
jika kering ilmu makrifat.

Jika kosong dada, kosong jiwa
sekalipun kaya sihat, kaya harta
masih juga menjunjung sesat
kerana hidup dunia untuk akhirat.

Hanya dengan makrifatullah
benar-benar menunjukkan
mana duniawi mana ukhrawi
membenar lagi menyelamatkan
hakikat kebahagiaan hayat
berawal dunia mengekal akhirat.

NAWAWEE MOHAMMAD
Jertih, Terengganu
PULANGLAH


Kalau boleh kau ingin kelihatan selalu manis
seperti tembang burung-burung tak berubah
walaupun sudah hinggap di dahan tua
di dalam buku catatan orang lain
tanpa menghitung diri sendiri
sedang terjepit di antara peradaban yang buruk
senja berlangit murung; kisah seorang rakan
yang tetap menyusup di lidahku.

Pulanglah ke pangkal jalan bersama air mata penyesalan
kerana waktu masih mahu menyambutmu
ingatlah nasib tak akan berubah warna menjadi biru
doa pun sia-sia saja
sekiranya usahamu masih dingin
tersimpan dalam saku baju.

MOHD ADID AB RAHMAN
Taman Jus Perdana, Melaka

BERJUANG UNTUK SYAHID


Sekali berpencak
langkah diatur
kuda-kuda disusun
keris telanjang terhunus
menikam musuh
menepis serangan.

Setelah keris ditarik sarung
pencak menyerang dan mengelak
andai ajalku sampai
keris lawan memamah isi perutku
lok tujuhnya menghirup manis darahku
aku reda nafasku putus begini
kerana aku berjuang untuk syahid.

AS-SYRAMY
Bendang Pauh, 15 2042H Apr 2009

MENCARI SYURGA SEORANG IBU


Andainya dapat kuungkapkan
rimbunan bahasa kesyukuran
akan aku persembahkan seluruh taat setia
kerana betapa dari berjuta benih
aku telah dipilih-Nya
menuai tangkai hayat
di rimba rahim seorang ibu.

Andainya dapat kusimpul
aura bahasa pengorbanan
akan aku perhambakan seluruh kudrat
kerana betapa dari degup nadi persenyawaan
aku telah dilimpahi-Nya segala keberkatan
pada takhta hati seorang ibu
meletakkan aku di daerah hijau kehidupan.

Andainya dapat kutenun
fajar musim yang berlalu
akan aku pohonkan takzim
flora bahasa keampunan
kerana walau seluruh perkebunan nurani
mengalir zikrullah dan mujahadah
namun lazatnya syurga
hanya pada ladang bakti
untuk seorang ibu.

ABD RAHIM OMAR
Angkatan Sasterawan Nasional Kedah.
MIMPI YANG TEWAS


Malam ini nasibnya terbang
menjadi asap sesat
dihanyutkan
sebuah kekalahan di tangan takdir
bahawa semalam yang pelangi
terbit dari sebuah mimpi
kelam yang dilukis bebintang
tidak abadi.

Kelmarin yang melimpah
oleh banjir anugerah
adalah hadiah untuk esok yang resah.

Malam ini takdir dituang
disedut pasir imaginasi
lakaran di potret pantai terpadam
ditewaskan janji alam.
SOLIHIN OSMAN
MSU Shah Alam.
LANGIT BERWARNA BIRU


Langit berwarna biru
tenang, redup memikat kalbu
selimuti diriku dengan pakaian ketenanganmu.

Langit berwarna biru
harum, mekar mewangi perdu
laksana mekarnya bunga nian di gerimis salju.

Langit berwarna biru
lingkari daku cahaya Rabbmu
agar bahagia mengitari liang sarafku.

Langit berwarna biru
tetaplah dikau di situ
agar terhapus gelodak rindu
yang hanya mencantas waktu.

KARTINI KASSIM
Universitas Sumatera Utara, Meda