Penaja

4.3.12

Cerpen: Lamunan Ramadan


Oleh Mohd Fadzil Yusoff

2010/08/29

"AHLAN wasahlan ya Ramadan!".

Dia memangkin penuh harapan pada tiap baris doa yang diujarkan. Dalam sedar, dia sering tersilap dari jalan yang tenang, kemudian segera berpatah balik apabila teringat. Ingatan itu mustahak.

Lewat relung waktu, Zikri larut dalam arus kesibukan kerjaya. Jarang sekali untuk berehat dari semua desakan jadual rutin, yang kian dirasakan menyeksa. Kes-kes dan fail-fail profil perbicaraan yang menempel di kepala, memandunya lebih waspada menetapkan gerak tindakan. Esok, di mana lokasi kamar bicara yang dihadirinya ?. Vakum. Namun, tiap prosedur mesti diturutkan setepatnya. Banyak kes klien yang tercabang sana sini harus diketengahkan. Menyusup keluar dari putaran kesibukan pada masa ini, bagi meraih masa istirahat, masih belum nampak dorongan dan ruangnya. Bundar ralat inilah yang sedikit berbekas di lohong hati kecilnya, membuatnya membebel sendiri,

“Apa jenis kerja yang tidak mengenal hari dan rumah, seminimumnya untuk rehat tanpa mengira lelah atau sepenat ini.” Bukan tanda penyesalan, tapi sebetulnya sebahagian daripadanya.

Memang usia semudanya, juga angkatan rakan lain dalam bidang guaman ini, rata-ratanya, membocah sana sini. Segala keruwatan yang menyinggung pada ketika tertentu, harus disimpan dahulu. Ditampung pula dengan kata-kata rangsang pegangan seorang profesional, ‘Perkhidmatan adalah terbaik – adalah yang kualiti. Itu jaminan kami’.

Pongah pendirian yang meluru lalu membersit, mengatakan; demi masa hadapan, inilah masanya untuk membayar semua hutang-piutang masa belajar. Nanar, lalu dia menyedar, pendirian semacam itu terlalu dangkal untuk menyanggah jurus falsafah insan yang tinggi karamahnya; iaitu semua manusia seharusnya menikmati rasa tenang, harmoni dan gembira melalui kehidupannya yang sementara ini. Dunia bukan pencanang kesenangan untuk segala-galanya dan selama-lamanya. Apa yang dicari bukan dapat dihantar untuk kehidupan selepas mati, kecuali dengan amal kebaikan yang dikerjakan. Kehidupan yang sedang menunggu adalah alam akhirat. Ia mempertanyakan ke mana dirimu dilorongkan? Waktumu yang 24 jam sehari itu, apa yang kaukerjakan? Wang dan harta yang dikumpulkan itu ke mana dilaburkan ? Usia yang muda dan waktu ketika segar-bugar, di mana doronganmu untuk menaburkan bakti dan amal kebaikan?. Semua itu dihitungkan semula. Zikri nyaris terlupa .…

Antara harapan dalam tiap baris doa itu, dia mengharapkan Ramadan yang mendatang sempat menyapanya dan mengucapkan selamat datang. Alhamdulillah, tercapai. Ramadan yang difahaminya, persis pesta cinta daripada hamba-Nya kepada Allah. Cinta serta taa’bud yang menyengat isi hatinya untuk lebih bertakwa kepada-Nya. Ia merenjat dirinya untuk taqarrub lewat imannya yang mudah sangat berbolak-balik mengikut penataran situasi. Malah dengan datangnya Ramadan, seperti selalu dia kembali merapatkan pintu-pintu cubaan, untuk menyendirikan muhasabah diri dalam kamar hatinya. Di sana dia menghancurkan pagan cintanya yang deras menghanyut ke lautan material, ke istana keindahan duniawi, ke lahar ego diri yang mengocak nafsu senantiasa. Semua itu harus dikejapkan dengan satu revolusi imaniah yang jitu yang dibebat dengan ibadah dan ilmu yang kian menajam. Supaya jalan itu betul melurus dan berdaya untuk beristiqomah.
Rohnya seakan menari girang apabila mengetahui kalendar yang menunjukkan tarikh Hijri yang makin merapati Ramadan. Zikri menemui Ramadan lagi. Alhamdulillah. Waktu teramat pantas meralitkannya daripada semua aktiviti duniawi. Dia bersyukur dalam syahdu yang berbaur lelah. Bagaimana persiapan diri untuk Ramadan kali ini. Dia belum pasti. Masih sendirian. Belum banyak perkembangan soal rumah tangga? Bocah sahaja untuk memikirkannya. Mengapa? Muizzah masih memberikan jawapan. Dia fikir, jodoh itu ketetapan-Nya. Tidak akan ke mana gunung dikejar. Cuma kerana kesibukan selalu menyebabkan kemesraan terkadang berjarak. Ada hikmah mungkin.

Petang itu dia mengemas rumah setelah dua bulan berada dalam kekalutan.
Nostalgia mengubati ruang separa sedarnya. Dia menemukan dirinya, lebih sepuluh tahun yang lampau. Dia tersenyum menatap sekeping gambar lama. Mungkin ada gambar-gambar lain untuk ingatan? Ya, bersama teman-teman yang sekarang ini entah di mana. Putus hubungan. Dia sendiri menyesal atas ketidakperihatinannya dengan perkembangan teman-teman lamanya. Sekeping gambar yang lain, ada menunjukkan kelas Empat Thanawi yang diambil bersama ustaz-ustaz veteran. Salah seorang wajah yang cukup mengesankan, sehingga pandangan itu tertumpu pada seorang lelaki yang duduk berada di tengah-tengah barisan pertama – di situlah dia makin yakin, bahawa Ustazlah yang paling banyak memberikannya peluang dan dorongan untuk berjaya ke tahap hari ini.

Ramadan itu kenangan yang kejap hadir dan sekejap hilang. Suatu penziarahan diri ke suatu batas waktu yang memiliki tanda, seolah membunyikan loceng, barangkali seolah menyatakan ulang tahun untuk memperingati seseorang yang teristimewa. Kembali ke pangkuan pengalaman, tidak sepenuh untuk berlangsung kembali seperti mana waktu asal. Dia percaya, walau telah lama memori indah itu berlalu, sesekali ia kembali pada takah putarannya secara perlahan.

Gemulah Ustaz membayang antara terang dan kabur. Seolah-olah gemulah Ustaz sedang berbicara dengannya, masih mahu menuturkan pesan dan nasihat. Kini, dia terasa amat kehilangan sesuatu yang amat berharga buat dirinya iaitu pesan Ustaz yang sentiasa memugar damirnya. Dia rindukan nasihat Ustaz yang selalunya mendakap langsung ke kalbunya. Barangkali keikhlasan yang menyerlah pada tiap nasihatnya, membuatkan dia amat menghargai malah masih segar dalam ingatannya pada butir-butir nasihat Ustaz, malah menghargai tiap kebaikan Ustaz kepadanya.

Dia sedang meneropong jauh ke sudut sepi itu. Suatu gambaran yang jelas menayangkan dirinya kembali, usia yang masih hijau dan serba-serbi ketaktahuan.
Bersekolah asrama agama rakyat, tentunya meruangkan masa untuk berdikari, membentuk diri dengan bimbingan Ustaz. Entah mengapa, dia membahasakan dirinya terlalu kosong dan mengaku lemah untuk menguasai itu dan ini. Banyak pelajaran yang sukar, terpaksa dicicipnya perlahan-lahan. Kesabaran memudahkan perjalanan pencarian ilmu, begitulah kata Ustaz selalu. “Tanpa kesabaran, semua yang sulit akan bertambah sulit. Apatah lagi perkara yang mudah.”

Banyak perkara yang menguatkan peribadinya lewat saranan Ustaz yang halus pengamatannya itu. Di bulan tarbiah ini terutamanya, ingatan kepada gemulah bergetar kuat. Dia tidak mungkin lupa dengan waktu berbuka puasa, makan setalam dengan Ustaz beberapa kali. Suatu yang dipelajarinya bahawa bagaimana caranya untuk mendekati dengan Allah adalah dengan menahan nafsu makan ketika berbuka. Mengerjakan solat Maghrib pada awal waktu adalah aula daripada melengah-lengahkannya, hanya kerana kekenyangan ketika berbuka.

Pernah juga Ustaz menegurnya ketika melaungkan azan, qamat dan mengimamkan solat berjemaah. Katanya, seseorang itu tidak seharusnya tergesa-gesa untuk melakukan ibadah, kata Ustaz. “Ia boleh menjejaskan kesempurnaannya. Bukankah ibadah ini suatu cara membalas budi kepada Rabb”. Dia merasakan teguran Ustaz itu tertuju kepada dirinya, yang berlaku agak selalu dan spontan, membekaskan rasa bersalah kepada diri.

Ustaz pernah menegurnya secara peribadi ketika dia menunaikan solat Asar, ketika itu Ustaz menganggap solat Zikri tidak sempurna dengan empat rakaat apabila memasuki saf, lalu mengangkat takbir ketika iktidal. Ustaz bangun menerangkan sesuatu selepas solat Asar di hadapan jemaah, berkenaan beberapa kesilapan yang harus difahami bagi memastikan sahnya solat yang didirikan.

“Tentu kamu tidak perasan, tapi itulah kesilapan yang ramai orang lakukan. Nanti jangan lakukan sekali lagi. Belajarlah daripada kesilapan kita,” terang Ustaz selepas penjelasannya yang agak panjang lebar.

Penjelasan Ustaz kadang-kadang sulit difahami, kerana perkara-perkara hukum ibadat yang diterangkannya, berpecah kepada masalah-masalah yang lain. Tidak lain, ia untuk memudahkan dan menambah pengetahuan pelajar tentang masalah yang timbul dan yang seumpamanya. Paling manis bagi Zikri, tatkala mengenangkan wajah gemulah Ustaz adalah ketika bersama Ustaz bertadarus dalam bulan Ramadan bersama-sama dengan ahli jemaah masjid kampung. Masjid Al-Mansur itu luar biasa sambutannya terhadap Ramadan kerana tadarus al-Qurannya dilakukan pada lewat malam iaitu jam 10.00 malam. Kerana Ustaz telah memilih beberapa wakil daripada muridnya untuk turut sama bertadarus dan Zikri juga tidak menyangka dirinya dipilih. Kala itu semacam ada konflik diri yang timbul. Permintaan Ustaz ini penting malah dinantikan ramai murid lain, tetapi mengapa dirinya? Zikri mengakui bahawa dirinya bukanlah yang terbaik untuk bertadarus dalam halaqah jemaah masjid, yang terdirikan orang-orang lama.

Timbul rasa bimbang kerana memandangkan bacaan al-Qurannya agak kurang baik, jika dibandingkan dengan Nasir yang memang mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya, seorang ustaz yang memang mengajar ilmu tajwid. Ditambah lagi, ‘kelas persendirian’ sesudah Subuh dengan Wak Mansor memang menunjukkan terlalu banyak kesilapan bacaan dilakukannya, dan hampir setiap pagi di bawah tunjuk ajar Wak Mansor, dia lemah segi tajwid malah bacaan.

Pada malam awal Ramadan selepas usai Tarawih, Zikri akan naik ke asrama seperti biasa. Sementara menunggu masa tadarus di masjid bersama-sama orang kampung, dia merehatkan diri sebentar dan berbicara dengan teman-teman. Pada awalnya, dia sering terlewat ke masjid. Rupa-rupanya sudah ramai yang menunggu. Sebelum bermulanya tadarus yang, biasa usai pada 12.00 malam itu, Ustaz akan memilih pasangan bertadarus. Dimulakan dengan sedikit bacaan ayat-ayat surah lazim, sebelum membaca senarai nama yang panjang yang dihantar waris mereka yang berhajat.

Entah mengapa malam itu, Zikri terasa seperti kurang selesa pada dirinya. Terlewat sekali lagi ke masjid, malahan dipanggil pula oleh abang Hafiz, menyatakan segera ke masjid kerana Ustaz panggil. Seolah-olah dalam serba-serbi kekalutan, dia berwuduk dan langsung masuk ke dalam masjid tanpa menunaikan tahiyyatul masjid. Barangkali dia tersilap melihat jam dinding. Zikri berdebar seketika memandang Ustaz sedang membacakan senarai nama-nama sebagaimana malam-malam Ramadan yang lalu.

Dia terkulat-kulat mengenyihkan matanya, ada rasa sejemput malu di hulu hatinya. Serasa beberapa pandangan luar menujah ke dirinya. Dia cuba mengabaikan sebarang gangguan dalam dirinya. Dia mengambil al-Quran yang berdekatan di raknya, lalu duduk bersila dekat Wak Naim. Pasangan tadarus Zikri ialah Wak Naim. Tapi hari ini seusai Ustaz membaca nama-nama tersebut, sebagai tanda bermulanya tadarus, Ustaz memanggil Zikri mendekatinya. Sambil berkata perlahan kepada Najib, lantas Najib beralih ke tempat Wak Naim. Manakala Zikri digamit Ustaz supaya duduk di sebelahnya. Yang lain telah memulakan menyelak muka surat dan bacaan.

Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Wajah Ustaz sedikit mencuka. Maklum sahaja, Ustaz turut menanggung malu terhadap para jemaah masjid kerana tiap kesalahan yang dilakukan muridnya.

“Mengapa lewat turun ke mari?”. Zikri diam dan belum sempat memberi jawapan, Ustaz memintanya membuka surah al-Kahfi. Setiap lazimnya, bagi tiap pasangan akan membaca sekurang-kurang dua juzuk. Semasa bertadarus masing-masing bertanggungjawab membetulkan bacaan pasangan, tajwid malah makhrajnya juga.

Entah berapa kali Zikri melakukan kesilapan bacaan pada awal surah itu. Ustaz sering menegurnya, namun kesilapan masih berlaku malah berulangan. Ustaz kadang mengambil alih pula bacaan. Lalu meminta Zikri membaca muka surat seterusnya. Namun, akhirnya Zikri diminta untuk membasuh muka. “Kamu mengantuk agaknya,” kata Ustaz.

Kesilapan masih berlaku, lantaran itu Ustaz meminta Zikri menyemak beberapa bacaan Ustaz beberapa muka surat sebelum menyuruhnya balik ke asrama. Kenangan itu berharga buat dirinya. Sedikit membuat dirinya tersenyum selain bercampur juga rasa kesal. Keesokannya, abang Yazid bertanya dirinya, “Kenapa cepat sangat balik asrama. Kesian Ustaz baca al-Quran, sendirian”. Zikri menyatakan, itu yang Ustaz arahkan kerana Ustaz rasa saya mengantuk. Malam berikutnya, Zikri berhati-hati untuk tidak lewat dan melakukan banyak kesilapan di masjid. Zikri tahu, cara itulah dia dididik untuk mengorbankan nafsu beristirehat dan tidur di atas tilam yang menyelesakan untuk meraih malam-malam berkat di sepanjang Ramadan.

PROFIL

MOHD Fadzil Yusof, penulis bebas yang menulis dalam genre puisi, rencana dan cerpen. Karya penulis pernah disiarkan dalam Berita Harian, Mingguan Wasilah, Siasah, Dewan Budaya dan Tunas Cipta. Pernah mengikuti Perkampungan Penulis Muda DBP Wilayah Utara pada Disember 2007 bertempat di Lenggong, Perak. Lulusan Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Arab dan Kesusasteraan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Pendidikan, Institut Pendidikan Sultan Abdul Halim, Sg Petani, kini bertugas di Sk ST Anthony, Teluk Intan, Perak.