Penaja

24.10.09

Kreatif : Tanah Terpilih

Oleh Zul Fikri Zamir Mohamad Munir

1

WARKAH Ren pagi tadi benar-benar menyesakkan. Sudah banyak peringatan cuba kurasionalkan padanya. Namun keputusannya untuk pulang tidak dapat kutahan lagi. Keperluan mendesak, jawabnya. Dan kini, Ren terperangkap di celah debu tanah liat dan pepohon rendang kampungnya sendiri, Damadola.

2

DAMADOLA. Utara barat Pakistan. Sempadan Afghanistan hanya berjarak dua batu darinya. Perkampungan berteres padang bijirin dan rumah bata tanah liat ini berpenduduk sekitar 2000 orang. Perkampungan sempadan inilah asal usul Ren. Ayahnya, Bakhti Gul di dalam gambar berperawakan tipikal orang kampung Pakistan dengan jambang kelabu. Sempadan yang berjarak dua batu itu tembus dengan Kunar, kononnya daerah dikuasai sepenuhnya oleh puak Osama bin Laden, dikawal ketat melalui laluan gunung-ganang tidak berpolis. Lokasi ini membantu menjelaskan mengapa sejak dari tahun 2006, lebih dari 100 orang penduduk kampung Damadola mati oleh kerana serangan mengejut jet Predator Amerika Syarikat.

“Sheikh Sulaiman al-Jazeeri akan datang hujung minggu ini. Bukan kami yang mengalukannya. Kemungkinan besar akan ada serangan balas dari kem Amerika. Kampung ini dalam bahaya,” Begitu bunyi surat Ren. Dia menambah;

“Al-Jazeeri adalah salah seorang pegawai operasi kewangan al-Qaeda. Kedatangannya padad malam hari memang mencurigakan. Tetapi lebih baik tertutup daripada terbuka. Ayah agak keberatan. Kami tiada pilihan.”

Sambil menghirup kopi nipis yang kedua untuk malam itu, aku memerhati surat Ren untuk kesekian kalinya. Gelagat orang di sekitar restoran mamak Central Market ini tidak kupedulikan. Memang serabut fikiranku, membayangkan kedudukan Ren yang terperangkap di antara perang dunia dan kebodohan umatnya sendiri. Sesekali kuangkat kepala, merenung ke hadapan dan berfikir keras. Bukankah bangsaku ini bangsa yang terpilih? Dijajah beratus tahun untuk kesedaran masa depan dan bangkit kembali sebagai negara berdaulat. Restoran mamak ini masih penuh, walau jam sudah menunjukkan jam 1.00 pagi. Ada yang ralit menonton perlawanan bola di paparan gergasi yang disediakan oleh pihak restoran, ada yang rancak bersembang dan ada yang sedang menikmati hidangan masing-masing. Dan teh tarik. Teh tarik mengingatkan aku kepada satu perkara. Bahawa Indonesia yang melahirkan sosok seagam Buya Hamka sekalipun tidak mempunyai teh tarik. Bukankah semenanjung nikmat ini tanah terpilih?

“Ren, perbalahan politik menghakis kepentingan umat dan mencorak masa depan yang kabur. Confucius dalam pembicaraannya Lun Yu mencatatkan, sewaktu dia duduk di tepi sungai dia menyeru; ‘sekali masa berlalu, tidak akan kembali seperti air sungai yang mengalir, siang dan malam tidak berhenti mengalir’. Ren, kurasai kegusaran dirimu duduk di antara pertelingkahan dan kerugian umatmu sendiri”. Pujukku lembut di dalam lembaran jawapanku. Tangan kananku laju memutar pen yang bermain di celah jemari, tanpa menghiraukan waktu semakin lewat. Selaju putaran itu juga benakku teringatkan Amerika Syarikat, negara berlagak polis dunia yang pangkalan tenteranya bersepah merata di Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Kuwait, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan, Iraq malah di Pakistan sendiri. Manusia sudah menjadi terlalu jahat dan kufur terhadap Alah SWT. Menjelang bulan ini saja, harga soya dunia meningkat sehingga 87%. 31% untuk kenaikan harga jagung. 130% untuk kenaikan harga gandum. Lima saat untuk seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kelaparan. Sembilan perpuluhan tujuh juta kanak-kanak meninggal setiap tahun akibat kelaparan dan kurang zat makanan. Bukankah ini petunjuk bahawa secanggih mana ilmu manusia sekalipun, tidak akan mampu merungkai masalah dunia. Bukankah musibah ini adalah bentuk ujian, teguran dan hukuman Allah SWT terhadap manusia yang kononnya sudah mencapai puncak kecanggihan ilmu?

“Harga minyak naik sehingga 75 sen di sini. Ujian di mana-mana Ren. Tahun ini genap 60 tahun Israel didirikan di atas bumi al-Aqsa. Malapetaka ini menghantui dan memburu kita yang lalai mengenainya. Sebutkan padaku negara mana yang lantang mempersoalkannya. Sehingga pertubuhan Islam sebesar OIC sekalipun gagal menyelesaikan masalah umat yang besar ini. Ren, tujuh daripada 11 negara pengeluar minyak dunia adalah negara Islam. Pun gagal mengekang kenaikan harga minyak global. Bukankah ini musibah terhadap kita akibat melarikan diri daripada tanggungjawab sesama Muslim?”

Kubaca lagi warkah dari Damadola itu. Kertasnya semakin ronyok, akibat genggaman yang sesekali keras. “Sudah menjadi adat di sini, sukar untuk kami menolak tetamu terutamanya yang bersenjata. Lebih lagi kadangkala ia jiran ataupun teman rapat. Adat lama Pashtun, setiap tetamu harus dilayan dengan baik. Dan malang, ayah tidak dapat mengelak menerima al-Jazeeri sebagai tetamu. Jiran sebelah rumah, Obaidullah sudah mengosongkan rumahnya sejak menerima berita ini.”

“Tetapi berita baiknya, ada seorang jurnalis yang sudah menetap di rumah ini sejak empat hari yang lalu. Tidak faham bagaimana ayah boleh membenarkannya tinggal lama di rumah kami. Ibu dan adik sihat semuanya, tetapi agak kekok dengan kehadiran Akhondaza.”

“Mencurigakan apabila mengetahui kehadiran Akhondaza. Tetapi kelihatannya seperti orang baik-baik saja. Warga Pakistan, katanya.”

“Kesihatan ayah juga bertambah baik, semenjak kepulanganku. Sudah boleh bangun, walau tidak dapat melakukan aktiviti harian. Dan yang lebih mengharukan, ibu mengalu-alukan kepulanganku dan menganggap tepat pada masanya. Cuma yang merisaukan kami adalah kedatangan puak al-Qaeda hujung minggu ini. Sin, aku benar-benar memerlukan kehadiranmu di sisiku ketika ini.”

Kupejam mata mengenang Ren ketika ini. Hajatku untuk menyuntingnya sebagai suri hati belum kesampaian, berikutan hal pembelajaran kami yang belum usai. Kukenang kembali, hujung minggu lalu Ren tergesa-gesa pulang apabila mendapat berita ayahnya yang sakit di kampung. Dan di dalam talian telefon, Ren teresak mengadu bagaimana seharusnya dia pulang dalam keadaan yang tidak menentu di kawasan sempadan berikutan pembebasan lebih daripada 800 banduan al-Qaeda oleh letupan yang dilakukan oleh militan mereka di penjara yang menempatkan tahanan. Tindak balas oleh Amerika dan tentera bersekutu semestinya lebih agresif, dan tidak selamat untuk Ren pulang dalam keadaan yang genting sebegini. Aku menasihatkannya untuk menunda perjalanan pulangnya sehingga keadaan lebih selamat. Namun Ren yang kukenal cekal hatinya. Dengan tidak bertangguh, Ren membulatkan tekadnya untuk berbakti kepada kedua orang tuanya.

Aku semakin hampir dengan penemuanku bahawa tanah di bawah tapak kakiku kini adalah tanah terpilih. Bahawa semenanjung nikmat ini adalah tempat di mana umat lain cemburu akannya. Akan tetapi jangan kerana nikmat maka bangsa terpilih ini kufur terhadap pencipta-Nya. Percaya atau tidak, semenanjung nikmat ini penting kepada umat Islam seluruhnya, tetapi tidak signifikan. Bukankah nikmat itu untuk dikongsi bersama? Bukan untuk direngkuh dan dihayati oleh puak tertentu? Bahawa bagaimana dengan kedudukan negara Islam lain yang miskin material? Miskin ilmu? Miskin budaya dan pupus akhlak?

“Musibah ini adalah untuk dihayati, Ren. Tidak lain dan tidak bukan untuk mengingati manusia agar kembali memproses diri, pulang ke pangkal jalan, kembali kepada aturan Allah SWT dan Rasulnya.”

“Umat Islam harus bersatu untuk menghayati musibah ini secara bersama untuk berjuang dalam erti kata yang sebenar melawan musuh yang nyata seperti Amerika dan Israel. Ketepikan taklid sempit kemazhaban atau sekali lagi kita akan terjerumus ke dalam lubang biawak!” seruku kepada Ren dalam upaya untuk memotivasikannya kembali, mengakhiri jawapanku terhadap warkahnya. Dan jawapan ini harus kuposkan pagi esok juga!

3

DUA minggu kemudian.

“Dengan sedih ingin kunyatakan, bahawa ayah, ibu dan adik sudah meninggal dalam serangan awal pagi ke atas rumah kami pada malam kedatangan al-Jazeeri. Yang tinggal dek serangan misil Hellfire itu hanyalah dua buah dinding rumah kami, tempat aku berselindung dan terselamat. Masjid di sebelah tidak terusik, tetapi rumah kami dan penghuninya malam itu, tujuh orang ranap semuanya, kecuali aku dan si jurnalis, Akhondaza yang kebetulan terselamat. Luluh hatiku tidak terperi Husain, merangkak keluar dari runtuhan blok tanah liat dan debu misil, memerhati keluargaku menjadi mangsa keadaan di depan mata.”

“Aku dan Akhondaza kini sedang berselindung di sebuah rumah penduduk kampung dan sedang mencari masa yang sesuai untuk keluar dari kampung ini. Keadaan masih gawat, ramai orang masih tidak berani keluar dari rumah. Memang diriku ini tiada arah tujuan lagi, kecuali pulang ke Malaysia dan menyambung pelajaran. Doakan aku selamat mencari jalan pulang, di sebalik perangkap maut yang sudah disediakan dek kebodohan umatku sendiri.”

Aku menarik nafas panjang di samping berdoa agar Ren selamat pulang ke semenanjung nikmat, tanah terpilih ini.

BIODATA

ZUL Fikri Zamir Mohamad Munir @ zf_zamir, pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif dan cerpennya, Amaliyyah Istisyhadiyyah mendapat tempat dalam Tunas Cipta Ogos 2007 dan Gerabak Ketujuh memenangi hadiah sagu hati Sayembara Mengarang Sempena Kemerdekaan ke-50 anjuran Dewan Bahasa & Pustaka serta diterbitkan dalam antologi cerpen Istana Cinta Ayah. Terbaru, Nuha Imani disiarkan dalam Tunas Cipta edisi November 2008 dan novelnya, Warkah Terakhir Buat Abang disenarai pendek sebagai empat karya terbaik untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 (berdasarkan laporan panel yang termuat di dalam antologi Batu-batu di Jalanan).