Penaja

24.10.09

Sajak... MERAWAT PERAHU SUKMA dll

MERAWAT PERAHU SUKMA

Perahu sukma mudik dari hulu
akhirnya menghilir jauh
mengidam mengecap masin lautan.

Jeram kelahiran telah lama ditinggalkan
kejernihan, keladak, buih dan oleng
adalah rakaman sepanjang perjalanan
menjadi koleksi abadi perahu sukma
di balik lumut dan lumpur
tersimpan album kenangan kian menebal.

Semestinya setelah lama dalam air
ada rekah lara pada perahu sukma
pecah teradak hadang dan tebing.

Singgahlah perahu sukma
sebaik tiba di pangkalan muhasabah
merawat setiap rekah lara
getir dari sepanjang lurah hijrah
sambil menimba gerah yang melimpah.

Lautan idaman masih jauh di hadapan
ruangnya bakal diisi sejuta cabaran
moga tak karam di pertengahan jalan.

Perahu sukma
bila tiba di lautan idaman
sedia berdepan hempasan gelombang
dan deras taufan.

M ARIF
Padang Mokan, Kelantan

DUNIA BENDERA


Bendera mendera bendera
bendera berbilur benci
benci menjadi api
api pentas api saksi
api kertas api besi
daerah-daerah yang kaudera
moyang menanam nyawa
poyang mandi air mata darah
darah sumber sakitnya
sakitnya menjadi benci
benci menjadi api
api was-was api berani.

ABDUL HADI YUSOFF
Kelantan Darul Naim

SAJAK UNTUK SEORANG PEJUANG


Aku selami dirimu
benarlah kau seorang pejuang sejati
semata-mata kerana sebuah negara bangsa
tidak punya kepentingan diri.

Aku dalami hatimu
perjuanganmu lurus suci
untuk mengejar impian
bagi mendaulatkan negara tercinta
kau warnai dirimu dengan seribu keikhlasan
kau sebenarnya adalah mangsa
dalam perlumbaan merebut kuasa
masih kau tidak punya apa-apa.

Aku sentuhi jiwamu
putih bersih
lurus tidak berliku
mengagungkan kebesaran Ilahi
harum mewangi
kau pasti damai
di syurga Allah.

OSMAN DOL
Durian Tunggal, Melaka.

KATAKAN PADAKU, JUWITA


Katakan padaku Juwita
resah apa yang menggigit
rusuh apa yang menggugah.

Musuh yang hadir di luar kudrat
pesona yang hadir di luar faham
membuka kota segala peristiwa.

Sepasang mata kita tidak sama, Juwita
sekujur jasad dan seurat benang hayat kita jua berbeza
kau negeri yang ditindan matahari sejarah
aku warga dengan hari depan yang berdarah.

Juwita
dalam derasnya waktu
kau tidak menungguku.

Perhitungan bagaimana lagi?
Janji demi janji di hujung tinta
mencalarkan pintu nuraga bangsa
menikam jua rumpun setia

Juwita
luka aku, luka.

Mimpi ngeriku, Juwita
kaumenangis di suatu Subuh berdarah
zat setia jadi cair
lalu alah benteng terakhir.

RAIHANI MOHD. SAAID
Kuala Lumpur 2009.

KELAWAR KESIANGAN (4)


Masih kauterbang berlegar di sini
biarpun malam bertambah larut
dan pucuk pagi mulai berpucuk.

Enggan kaupulang
walaupun sayap upayamu semakin lenguh
mesti pun warna mindamu bertambah lusuh.

Masih kauangkat dirimu setinggi langit
tiada bandingan meskipun sedikit
kicau teguran kauanggap ancaman
kausenyapkan dengan kuasa dan alasan.

Pulanglah
wahai kelawar kesiangan
ke gua istirahat secara hormat.

ABIZAI
Miri, Sarawak

MENDANDAN WAJAH MASA DEPAN


Kelihatan muda dan cantik
adalah impian semua orang
bak mawar sedang bermain-main dengan bayu pagi
atau suria di ufuk timur
sungguh telah memberiku kekuatan
untuk lebih giat bekerja
menjahit nasib diri
mendandan wajah masa depan
yang lebih gemilang; malam
terhias cemerlang 1000 bintang.

Namun waktu bagai ombak
selalu menghempas pantai
sehingga kecantikan dan kemudaan
semakin terhakis dan terkikis
akhirnya terpaksa bernaung rela
di bawah pokok tua.

MOHD ADID ABD RAHMAN
Selandar, Melaka

( iDAN: Sdr Adid Dulunya pernah bersapa di Melayu.com)


MAKNA KEBEBASAN


Mari kita rungkai
siratan benang-benang kepalsuan
yang menyimpul hati dan perasaan
kita tenun permaidani kemanusiaan
menghampari laman kehidupan.

Mentari yang melorekkan sinar
mencambah pelangi keakuan
kita saringkan dengan kanta perpaduan
kita biaskan satu harapan
pada layar kebanggaan.

Lakarkan warna-warna bangsa
dalam satu kanvas kemenangan
lestarikan permai nusa.

Air mata yang pernah menenggelami maruah
darah yang pernah menghanyuti pusaka
usah dibiarkan terus tumpah
membocori minda bangsa
yang terbukti bijaksana langkahnya.

Padamkan coretan keangkuhan
cairkan dendam kebendaan
kalungkan manik-manik kesedaran
ungkapkan makna kebebasan.

NORDIN SAAD
Sri Tunjong, Perlis.

PULANG KE TANAH MAKNAWI


Saat kaki bertandang pulang ke rumah maknawi
menatap sejalur taman tradisi yang menghijau cinta
melebat buah berkat di serambi syahadah
kulakar peta iktikaf menelaah kitab peribadi
yang lama berkuping sesat dan khurafat
seorang lelaki musafir yang lama menjejak
laman rohani
mengutip pasir-pasir manusiawi.

Saat derap langkah kembali ke daerah mahmudah
mencari telaga taubah
yang kubasahi dengan titis cinta
di bawah lembayung siang dan purnama malam
yang kuhiasi gemerlap kesyukuran
sesudah Kaukirimkan aku sebening cahaya
menakluk mata dan indera
menyuci nafas hayatku dengan segunung nasuha
di hujung perjalanan emas ini.

HUSNA NAZRI
Kemaman

LORONG YANG MEMESONG


Kerana dipimpin perasaan
mereka bergelap di lorong ini
seperti pejalan kehilangan sinar
seperti pengembara kehilangan peta
mereka membiarkan
fikiran dan kewarasan diinjak-injak.

Kerana dipandu nafsu
mereka kedunguan di lorong ini
umpama pelayar tanpa desar angin
umpama musafir tanpa titis air
mereka tersisih dan terhina
apabila meninggalkan perbatasan iman.

NAZIM MOHD. SUBARI
Endau, Johor.