Oleh DilFroz Sayhalz
KAKI Lukman kaku. Selepas sahur malam itu dia terdengar ayah bercakap.
“Lukman duduk percuma sahaja di rumah ini. Bil air, api dan telefon tidak pernah dia tolong bayarkan. Anak tidak boleh diharap. Bini pun aku tanggung makan minumnya.”
Tekak Lukman yang baru dibasahi minuman terasa kering. Dia mengintai dari celah renggangan pintu. Dalam sinar lampu kalimantang di bilik ayah dia melihat Mak Jah memandang Pak Majid. Raut wajahnya murung.
“Ala sesuap nasi berapa sangatlah harganya. Lagipun Marissa buat semua kerja rumah. Kalah orang gaji. Kalau hendak menggaji pembantu bukan sahaja kena bayar, makan pakainya juga kita tanggung.” Suara Mak Jah perlahan.
“Awak tahu apa? Tidak sesen pun keluarkan duit. Saya yang membanting tulang seumur hidup. Perit rasanya. Jika Lukman bijak macam abangnya, tidaklah dia jadi buruh bandaraya. Boleh juga kita tumpang senang. Ini dia pula yang menumpang pada kita.”
“Ha Man, Subuh tadi Taufik telefon. Dia bilang, raya ini dia sekeluarga akan balik. Anak-anaknya ingin merasakan kemeriahan berhari raya di Malaysia. Selama ini cuma lihat siaran berita di sana.” Pak Majid memaklumkan kepada Lukman keesokan harinya. Mak Jah berkelibut di dapur bersama Marissa menyediakan juadah berbuka. Dia tidak hirau apa yang Pak Majid katakan kepada Lukman.
“Ayah hendak kaukosongkan bilik. Taufiq sekeluarga boleh tidur di situ nanti.” Pak Majid tidak memandang Lukman. “Ayah harap kau faham. Abang kau itu jurutera di London. Isterinya pula orang putih. Ayah bimbang keluarganya tidak selesa kalau penghuni rumah ini ramai.” Pak Majid membuka akhbar yang terletak di atas meja.
Selepas menyelak kuras-kuras bersaiz tabloid dan melihat sekilas gambar serta tajuk-tajuk besar sesebuah berita serta rencana Pak Majid bangun. Perlahan dia naik empat anak tangga yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu rumah separuh papan separuh batu di pinggir kota itu. Kediaman yang dibina hasil upah melakukan kerja-kerja tukang kayu dan ubahsuai rumah jiran tetangga dan penduduk di kampung itu.
Lukman tunduk. Tidak sepatah kata ditutur. Hatinya yang hancur bertambah luluh. Ayah sentiasa membandingkan Taufik dengan dirinya. “Sabarlah bang!” Itu yang mampu ditutur Marissa dalam senyap.“Saya akan tanyakan emak ayah jika boleh tumpangkan sementara kita mencari rumah.” Ayat-ayat tenang dilafaz Marissa seperti penawar memujuk jiwa tercalar Lukman.
Pendapatan sebagai buruh menyapu sampah di bandar raya Kuala Lumpur hanya melayakkan dia tinggal di rumah haram yang dibina sendiri atas tanah kerajaan, yang sudah pun dirobohkan oleh pihak berkuasa. Tidak pernah terlintas di atmanya berjauhan daripada kedua-dua orang tuanya yang kerap uzur. Fikirnya, jika tinggal sebumbung, sakit pening ayah dan ibu boleh juga dia dan isteri tengok-tengokkan terutama semasa puasa dan menyambut raya nanti. Tetapi bayangan Taufik abangnya begitu besar dan tebal melindung dia daripada pandangan kasih ayah.
“Sudahkah Lukman kosongkan bilik? Beberapa hari lagi Taufik sampai. Lebih cepat dia keluar, lebih bagus. Boleh dibersihkan bilik itu.” Pak Majid berjeda. “Taufik tidak macam Lukman. Dia bijak dan berpangkat besar. Gaji pun besar. Lukman pemalas. Tidak habis-habis bergantung pada orang tua.” Dari bilik sebelah Lukman dan Marissa menekup telinga mendengar sungutan Pak Majid. Marissa mengurut dada Lukman yang berombak kasar-kasar.
“Kau sudah cari rumah lain? Bila kau nak pindah? Abang kau tu akan sampai beberapa hari lagi. Ayah bukan apa, cuma ayah hendak anak bini Taufik selesa di rumah ini nanti.” Ujar Pak Majid apabila terpandang kelibat Lukman mundar-mandir di dapur. “Belum lagi ayah. Berilah saya sedikit masa.” Tanpa memandang orang tua itu, dia duduk di sudut meja. “Mengapa ayah selalu bandingkan abang dengan Taufik? Hina sangatkah abang di mata ayah?” Luahan hati dituju kepada isterinya. Keningnya berkerut. Hati yang mendongkol cuba dipujuk. ‘Seburuk-buruk ayah, dia tetap ayah aku,’ Bisikan itu menjadi penawar kepada luka di hati Lukman.
Pelangi petang melengkung di dada langit. Hujan panas turun merebas. Kedatangan Syawal hanya tinggal tiga hari. Pak Majid menemui Lukman yang terbaring atas katil dalam bilik. “Pindah sekarang juga!” tengkingnya, keras.
“Ayah,” Lukman tidak dapat meneruskan kata. Deraian air mata membasahi pipi. Marissa masuk berkemas. Dia cium tangan Mak Jah yang tidak berdaya melakukan sesuatu. Pak Majid menghilang entah ke mana. Dengan berbekalkan beg kembara digalas dibahu, Marissa bersama Lukman pulang ke rumah orang tuanya.
Seusai solat Tarawih di masjid, Pak Majid membuat pengumuman kepada semua jemaah. “Anak saya Taufik sudah berjaya. Dia menetap di London. Taufik akan pulang Hari Raya ini. Saya buat kenduri kecil-kecilan menyambut menantu. Al maklumlah, Taufik bertemu jodoh dengan orang putih di England. Jemput semua hadir pada malam raya kedua.” Bait-bait kemegahan tidak Pak Majid sembunyikan. “Jemput semua datang ya.” Senyum bangga terukir sentiasa.
Menjelang siang Pak Majid membersih dan membakar daun-daun kering yang gugur ditiup angin. Hatinya girang. Tidak sabar bertemu menantu berkulit putih itu. Sesekali dia terbayang anak-anak Taufik yang gebu, berhidung mancung dan bermata biru. Pasti dia bakal dipuji orang-orang kampung atas kejayaan Taufik menggapai impian dan bergaji besar pula.
Usia yang hampir mencecah tujuh puluh sembilan tahun membataskan segala pergerakan Pak Majid. Dia rebah di rumput berhampiran tangga rumah. Mujur Mak Jah yang berada di anjung terpandang. Bergegas dia turun mendapatkan Pak Majid yang sudah terbaring. Kepala Pak Majid dipangku. Kebetulan anak jiran yang melalui lorong di tepi pagar rumah diminta menelefon Lukman agar datang segera.
Sebaik mendengar nama Lukman, Pak Majid bersuara, “Jangan panggil Lukman. Taufik sampai malam ni. Biar dia uruskan semuanya.”
Namun Mak Jah tetap menelefon Lukman. Kelopak mata separuh tertutup itu tidak juga membenarkan Lukman menghampiri katilnya. Air diminumkan Lukman ke mulut juga ditepis. Melantun berguling-guling gelas plastik jatuh ke lantai.
Ketika takbir bergema Taufik bersama keluarga sampai. “Ayah, ini isteri saya Diya. Ini Dina, anak sulung. Ini pula Danial.” Taufik berdiri di sebelah katil Pak Majid.
Seperti tiupan angin lintang menerjah kencang, kaki tua yang bergegar getar berdiri tadi hampir-hampir rebah. Sempat dia memegang dua-dua tangan kerusi di sisi. Pak Majid terduduk. Mata redupnya tidak lekang merenung raut wajah Diya, Dina dan Danial. Rambut ikal halus lagi hitam serta hidung yang lebih pesek daripada hidung Lukman itu kini menusuk dadanya. Seperti diserang angin ahmar Pak Majid terkaku.
“Mana aku hendak letak muka jika orang kampung tahu nanti. Padanlah dia tidak pernah kirim gambar kahwinnya. Bila aku minta gambar anaknya juga tidak diberi.” Gumam Pak Majid sendirian apabila terbayang reaksi orang kampung ketika melihat menantu serta cucunya tidak seperti yang dihebohkannya.
”Tunjukkan bilik untuk anak cucu kita tidur.” Pak Majid memandang Mak Jah.
Taufik memandang Pak Majid. ”Tidak ayah. Kami sudah menempah hotel. Sekejap lagi kami akan ke sana.”
Mak Jah terkejut. Seakan hilang kesyahduan gema takbir dari masjid. ”Ayah kau sudah jemput jemaah untuk baca doa selamat menyambut kepulangan Taufik anak-beranak, malam esok. Tunggulah selepas selesai majlis.”
”Tak mengapalah mak, ayah, teruskanlah majlis itu. Kami letih. Hendak rehat.”
Mak Jah merenung Pak Majid. Dia mengharap suaminya berkata sesuatu. Namun Pak Majid memejamkan mata. Taufik merapati ayahanya. ”Kami pergi dulu ayah.” Dia menghulur tangan untuk bersalam.
Pak Majid tidak menjawab. Huluran tangan juga tidak disambut. Dia berpaling membelakangi Taufik. Diri yang selalu ceria berganti murung. Kejutan yang diberi Taufik benar-benar melemahkan semangat Pak Majid. Sepanjang hari dihabiskan dengan duduk di satu pojok tepi jendela. Pandangan dilemparkan ke jalan raya. Menunggu jika ada motosikal yang singgah. Sesekali pandangan dilesatkan pada kamar sepi yang sebelumnya didiami Lukman. Wajah Taufik kian temaram di mata tua Pak Majid.
“Man, ayah sakit! Dia tak lalu makan. Bawalah dia ke hospital.” Tersekat-sekat nada suara Mak Jah. Dia bimbang jika Lukman merajuk dengan sikap Pak Majid menghalaunya dari rumah. Jika Lukman merajuk memang munasabah. Namun Mak Jah seberapa boleh mahu Lukman kembali seperti biasa.
“Ayah sakit? Taufik kan ada? Ada masa nanti Man datang jenguk ayah.” Gagang telefon diletak. Lukman keberatan pulang. Hatinya pilu. Rasa kesal menebal dijiwa. Dia tidak wajar berasa hati atas segala tindakan ayahnya meminta dia mengosongkan bilik. Sepatutnya dia bersama-sama Marissa tidak menyusahkan ayah ibu buat selamanya.
”Tapi ayah kau perlu dibawa ke hospital. Tolonglah! Taufik datang jenguk sekejap sahaja. Tidak sampai sejam pun. Air pun tidak sempat minum. Anak isterinya mendesak supaya cepat pergi ke hotel. Mak tidak faham cakap orang putih. Kata Taufik anak isteri penat, hendak berehat. Lagipun rumah ini panas katanya, tidak ada penyaman udara.” Sedu-sedan Mak Jah menangkap pendengaran Taufik.
Lukman singgah sebentar petang itu untuk melihat keadaan ayahnya. Kehadirannya disambut Mak Jah dengan genang di tubir mata. Lukman terus masuk ke bilik menjenguk ayahnya yang enggan makan dan minum.
Gagang telefon diangkat. Lukman mendail nombor Taufik. “Abang, ayah sakit. Baliklah jenguk ayah buat seketika. Mana tahu abang tidak akan jumpa ...” Lembut nada Lukman tatkala mengkhabarkan keadaan Pak Majid yang seperti tiada harapan lagi.
“Perlukah abang pulang? Abang sekeluarga baru saja balik dari menziarahi ayah. Man, perbelanjaannya banyak jika balik lagi. Tolonglah faham! Kau buatlah apa yang patut. Hendak balik lagi, rasanya mungkin tidak. Sekarang di Malaysia wabak H1N1. Panas pula tu. Anak isteri abang tidak tahan. Bilik di rumah ayah pun kecil dan berbahang, tidak sesuai buat kami sekeluarga tinggal. Anak-anak abang biasa duduk seorang satu bilik dilengkapi alat pendingin udara.” Suara keras di hujung gagang menerjah gegendang Lukman. Telefon di genggaman Lukman hampir terjatuh.
Muram wajah Lukman seperti awan mengendung hujan. Pak Majid dan Mak Jah mendengar setiap butir percakapan Lukman dan Taufik.
“Lukman,” Pak Majid menggagahi diri bangun. Tangannya dihulur. “Minta Marissa masakkan bubur.” Dalam sebak dia merangkul Lukman seeratnya. Lukman membalas pelukan Pak Majid itu.
Ramai tetamu datang beraya sambil menziarahi Pak Majid. Lukman berdiri di jendela memandang suasana Lebaran di luar. Burung-burung terbang pulang ke sarang. Sepasang juga berkawan. Lukman rasa dialah burung-burung itu.
INFO:
DILFROZ Sayhals, nama pena bagi Dil Froz binti Sayed Halem Shah. Dilahirkan di Kepong Selangor. Pemegang Sarjana Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini berminat dalam penulisan cerpen, novel, puisi serta haiku. Bertugas sebagai pengurus pentadbiran di syarikat yang mengusahakan alat pemancar televisyen, di samping menjadi tutor di UiTM. Penulisan ilmiahnya pernah beberapa kali disiarkan dalam majalah kampus UiTM dan akhbar Kosmo. Cerpennya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana serta majalah. Dil Froz sedang menanti kelahiran novel sulungnya. Calon doktor falsafah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam, cergas dalam kerja kebajikan di sekitar Bandar Baru Bangi.