Penaja

10.10.09

Kreatif: Pelukis melukis syaitan (Sastera)

Oleh daengramliakil@yahoo.com

ENTAH mengapa, syaitan semakin manja dengan kebanyakan manusia - pelbagai jenis manusia, tanpa mengira gengsi, tidak terkecuali diriku, bisik hati Si Pelukis.

Dia termanggu-manggu.

Pagi itu, Si Pelukis yang dipelawa ke banglo seorang jutawan berkereta tua. Lebih kurang 30 minit, dia tiba ke pekarangan. Seperti mengantuk disorong bantal, seorang perempuan 30-an tampil di celah-celah pintu pagar elektronik.

“Assalamualaikum WTH.”

Dia tidak menjawab. Si Pelukis ulang. Dia tidak menjawab lagi. Si Pelukis mengulangi. Balasan juga berperulangan.

Jika tadi, Si Pelukis itu menyebut salam sambil mengambil peralatan seni lukis, termasuk beg galas, sudah masuk kali yang ketiga puluh tiga, hingga siap peralatan berada di tangan, termasuk kereta turut siap dikunci, kali ini Si Pelukis berdiri macam rakyat Malaysia berdiri apabila terdengar lagu Negaraku - tanpa mengira rentaknya - rap, rock, mambo, jazz dan sebagainya.

Dalam hatinya, Si Pelukis menyebut, aku akan ulang hingga seribu kali salamku ini, jika tidak menjawabnya, tidak kulangkah kakiku ke lokasi.

Matanya merenung mata perempuan yang tersenyum girang. Wajahnya amat manis.

Baharu sahaja Si Pelukis mahu mengujarkan salam, deria telinganya dimasuki jawapan salam. Sekali, dua kali, tiga kali, empat kali dan apabila Si Pelukis mengiranya, perempuan itu mengujarkan jawapan sebanyak 99 kali.

“Saya menjawab salam saudara sebanyak 90 kali dalam bahasa Cina sebab pada abad yang ke-22 nanti, bahasa itu menjadi bahasa perdagangan dunia, menenggelamkan mana-mana bahasa, kecuali bahasa Arab. Selebihnya, saya belajar menyebut kosa kata Sepanyol, Jerman, Perancis, Melayu, Bugis, Jawa, Minang dan Tagalog.”

Si Pelukis kalah. Jadi, dia menjimatkan masa. Sesi melukis dimulakan - di bawah pohon bo atau beringin yang rendang.

Pada mulanya, Si Pelukis menegakkan easel. Kemudian, kanvas 3’ x 4’ disandarkan. Berikut, dia menggunakan pensil untuk sketsa bentuk mata, mencongak bentuk muka, kepala, hidung dan sebagainya.

Kemudian, dia membuka tutup tiub warna akrilik, memicit tiub dan mengeluarkan warna ke atas papan campuran warna. Dengan segera Si Pelukis mengecat latar, meninggalkan objek model dengan putih kanvas.

Cepat jari-jemarinya bekerja macam lipas kudung.

Dan, cepat pula dia mengecat bahagian pipi, dahi, dagu, mata dan tepi muka.

Lebih kurang 10 minit, rupa wajah model timbul.

Sepuluh minit kemudian, Si Pelukis memberi isyarat meminta perempuan yang menjadi model itu mara ke arahnya. Maksudnya untuk melihat lukisan itu.

“Aduhai, cepatnya siap!,” kata perempuan itu dalam bahasa Cina. “Cantik pulak tu,” tambahnya dalam bahasa Arab. “Bagaimana begitu pantas?” Tanyanya dalam bahasa Urdu.

Si Pelukis pening tiba-tiba. Dia cuma fasih bahasa Cina dan Arab. Bahasa Melayu pun tidak fasih sesudah terlalu ramai Melayu yang tidak bersekolah [istilah P Ramlee] memilih bahasa Antaberanta untuk mempelajari Ilmu Lesap dan Ilmu Manusia @ Haiwan.

“Apa maksud Puan?” Tanya Si Pelukis dalam bahasa Melayu.

“Lupakanlah,” katanya dalam bahasa Sepanyol.

Dua puluh minit kemudian, semua kerja siap.

Dahi Si Pelukis kedut seribu. Hatinya dipanahi sejuta anak panah macam watak lakonan Jet Li dalam filem Hero pada akhir cerita, sesudah dia tidak mahu membunuh Shih Huang Ti.

Setelah Si Pelukis termanggu-manggu selama beberapa minit, perempuan yang menjadi model itu mara dan melihat lukisan wajahnya.

Dia terlompat kegembiraan. Dia mencapai lukisan itu dengan kedua-dua belah tangannya sambil menari-nari, menyanyi dan berlari masuk ke dalam ruang tamu banglo istananya.

“Saya hairan,” kata Si Pelukis kepadaku sewaktu bercerita. “Potret itu sebenarnya tidak menjadi. Usianya kukira 30-an, tapi katanya usia sebenarnya ialah 70-an. Tapi, lukisan itu menggambarkan wajahnya memang 70-an. Saya hairan, jari-jemari saya tidak melukis apa yang mata saya nampak. Tapi, apa yang hati saya nampak. Anehnya, wajah tua itu berlaku dalam sekelip mata. Sewaktu lukisan itu siap, wajah yang muncul ialah muda.”

Si Pelukis pulang. Dengan meninggalkan lukisannya itu, dia dibayar USD2,500 tunai.

Ketika memandu kereta, akalnya terus-menerus berfikir.

Aneh benar kali ini. Inilah pertama kali saya melukis potret perempuan cantik. Jadi, memang jadi. Setengah jam sahaja. Tapi, apabila siap, lukisan yang menggambarkan perempuan muda seusia 30-an, bertukar sekelip mata menjadi tua. Lebih aneh lagi, model amat gembira. Gaya kegembiraannya itu, lukisan itu memang menggambarkan wajah mudanya.

Pada hari kedua, Si Pelukis mendapat undangan untuk melukis di sebuah rumah orang tua. Kata si pengundang, dia memerlukan potret seorang tua yang fotonya diberikan. Upahnya pun diberikan juga tunai. Juga USD2,500.

“Saya ke rumah orang tua di Kuantan seperti yang dimaksudkan,” katanya kepada saya. “Sesudah meminta keizinan penguasa, juga orang tua yang saya panggil Pak Cik Chin, saya melukis. Kami berada di suatu sudut yang damai. Saya menggunakan masa kira-kira 30 minit juga. Siap sahaja lukisan itu, saya meminta Pak Cik Chin mara dan melihat lukisan itu. Bukan sahaja dia amat gembira, malah kawan-kawannya, penghuni di situ, Tun Mai Ulat Bulu, Mat Tahir, Mata Air dan apa nama … apa nama …”

“Saya terkejut. Sewaktu mereka sibuk bercakap tentang keindahan potret itu, kononnya, keadaan ganjil terjadi lagi. Wajah Pak Cik Chin bertukar menjadi muda, dalam usia awal 20-an. Saya teringat akan filem lakonan Brad Pitt yang filem itu dihasilkan daripada sebuah cerpen, tentang manusia lelaki yang berubah mengundur - tua dan akhirnya menjadi kanak-kanak.”

Si Pelukis terus mencari rezeki dengan melukis.

Hari ketiga dalam tahun 2009 bulan Oktober itu, Si Pelukis mendapat undangan daripada seekor serigala jadian yang boleh berkata-kata. Menerusi telefon bimbitnya, Si Pelukis mendengar suara si pemanggil.

“D si pelukis?”

“Ya.”

“Betul nombor 016-9324001 ini milik tuan?”

“Dan tuan bernama Daeng?”

“Ya. Nama samaran.”

“Tak mengapa. Asalkan nama manusia. Saya pun memakai nama manusia. Begini tuan. Saya merujuk persetujuan yang kita capai menerusi e-mel tempoh hari. Jadi, saya mahu menguatkan lagi persetujuan.”

“Ya. Jadi ….”

“Saya ingatkan, pagi esok. Saya tunggu di rumah yang beralamat seperti yang tertera dalam e-mel tuan itu. Harap tuan tidak hampakan saya.”

“Mohon jangan panggil saya tuan. Saya tidak bercakap dengan kawan saya yang menjadi naib canselor itu, iaitu pencipta lagu Anak Kecil Main Api.”

“Habis?”

“Panggil saya pak cik atau paman, sudah. Atau, embah. Asal jangan embah jamrong sudah, nanti jadi seperti watak-watak dalam novel karya Achdiat k.Mihardja, iaitu Atheis, novel berbahasa Melayu terbaik sejak dekad 1940-an hingga kini.”

Si Pelukis itu terus bercerita kepada saya.

“Sampai sahaja di banglo itu, loceng dipicit,” katanya. “Tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba, seekor serigala jadian keluar dari ruang tamu dan menuju saya. Saya tercari-cari. Serigala jadian itu mendekati saya.”

“Paman Daeng,” kata anjing itu. Saya terkejut dan terjelepuk di atas rumput permaidani. Saya amati serigala jadian yang berbulu lebat itu. Dia bersuara lagi, saya yang bercakap menerusi telefon itu. Saya mula akur apabila yakin suara itu keluar dari mulut atau alat artikulasinya, bukan daripada kaset yang terakam dan diikat tersembunyi pada tubuh serigala jadian itu.

“Kerja-kerja melukis dilakukan,” katanya kepada saya selamba. “Bayangkan, manusia pelukis sepertiku jadi pekerja dan ikut kata serigala jadian. Anehnya, serigala jadian itu tidak boleh bercakap bahasaku, tapi bercakap bahasa Antaberanta. Tidaklah fasih, macam Bangla. Beratus perkataan diujarkannya, kita hanya faham 10%. Selebihnya, Allah sahaja yang faham. Yang mengujarkannya pun tidak faham.”

“Saya melukis. Dan, serigala jadian itu akur. Berdisiplin.

“Seperti biasa, selepas setengah jam, dia meminta untuk melihat potretnya. Saya membenarkannya. Siap. Memang siap. Seekor serigala jadian. Syukur kepada Allah SWT. Lukisan itu menjadi.

“Lihat sahaja gambarnya siap, serigala jadian itu menjerit keseronokan. Hurey, hurey, lukisan saya cantik, katanya berulang kali.

“Setelah puas terkinja-kinja, dia meminta saya menunggu. Katanya, dia mahu menyediakan minuman, tetapi orang gajinya, bibi Indon bercuti ke London. Mahu disediakannya, tapi tidak disudikan. Jadi, dia mengambil bayaran.

Saya dibayar tunai USD2,500.

Saya bertanyakan kerjayanya. Katanya, dia sudah jutawan. Tidak perlu bekerja, sebaliknya hidup atas faedah wang simpanan di Bank Swiss. Dahulu katanya, dia seorang daripada beberapa penghulu di negara Antaberanta.”

Si Pelukis ke Makkah pada bulan Januari 2010. Di hadapan Kaabah, dia berdoa. Antara doanya, ada kaitan dengan syafaat Rasulullah SWT. Disebut hatinya, ya Allah, ya Rasulullah, berikanlah umat Muhammad rahmat dan nikmat pada setiap malam dan jauhilah bala pada setiap malam itu.

INFO:DAENG Ramli Muhammad Akil atau lebih dikenali sebagai Daeng Ramliakil adalah seorang penulis, pelukis, pelajar sambilan Sarjana Sastera di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dan pernah berkhidmat sebagai pengkaji@penulis teks ucapan menteri. Beliau boleh dicapai di http//radenmasyahid.blogspot.com dan http://daengramliakil.blogspot.com.