Penaja

16.3.14

'Ya, juruterbang ahli PKR, tapi jangan spekulasi'

PKR mengaku juruterbang MH 370  merupakan ahli parti itu tetapi meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan penerbangan tersebut.

Ketua PKR Cabang Subang Sivarasa Rasiah berkata beliau menang mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah (kiri) sejak beliau menyertai parti tersebut 23 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, tidak adil sekiranya pihak media mengaitkan perkara itu dengan parti kerana ia “tidak relevan”.

Sivarasa merujuk kepada laporan akhbar tabloid Uniter Kingdom Daily Mail semalam yang membuat spekulasi bahawa Zaharie seorang 'fanatik politik' dan 'aktivis sosial yang lantang'

"Media tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi.

"Akhbar Daily Mail ialah sebuah tabloid, mereka langsung tidak merujuk mana-mana sumber," kata beliau dalam sidang media hari ini.


Menurut Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang, akhbar tabloid itu mengaitkan Zaharie dengan mengetengahkan dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta.

Pertama, akhbar itu mendakwa Zaharie hadir ke keputusan kes liwat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan pesawat.

Dan kedua, beliau dilapor lantang bersuara hal-hal sosial walaupun tiada sebarang bukti menunjukkannya.

"Beliau (Zaharie) seperti sejuta ahli parti politik di luar sana.

"Dua fakta itu digunakan untuk panggil beliau 'political fanatic'. Kesimpulan tak boleh dibuat kerana fakta yang tidak terbukti," kata Sivarasa.

Sivarasa turut berkata Zaharie seorang yang disenangi dan baik malah membantu cabang Subang ketika kempen pilihan raya umum dan terlibat dalam acara sosial anjuran cabang berkenaan.

Beliau berkata hanya mengetahui Zaharie merupakan juruterbang pesawat malang itu pada hari Ahad minggu lalu dan ada menghubungi keluarga Zaharie untuk menyampaikan kata-kata semangat.

"Jika pihak polis mahu berjumpa saya untuk bertanya latar belakang beliau (Zaharie) saya sedia membantu tapi ini bukan soal parti," kata beliau.

Tian Chua: Polemik tuding jari

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua berkata PKR tidak mahu parti terheret dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa kes ini ke mana-mana.

Beliau berkata tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu itu.

"Setakat ini kita harapkan semua pihak terutamanya media dan pihak parti-parti dalam parti pemerintah untuk menghormati keluarga dan penumpang MH370.

"Jangan membuat terlalu banyak andaian yang ini akan menjejaskan siasatan dan juga menyinggung perasaan ahli keluarga, bagi kami kita tidak mahu termasuk dalam polemik siapa yang salah dan siapa yang patut bertangggungjawab," kata beliau.