Polis Malaysia dilaporkan beberapa kali menolak
bantuan polis antarabangsa Interpol bagi membantu siasatan berhubung
kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Seorang pegawai kanan penguatkuasaan undang-undang Barat dipetik oleh
ABC News yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai berkata, Interpol
menawarkan bantuan beberapa kali tetapi ia ditolak setiap kali oleh
pihak berkuasa Malaysia.
“Ia pendekatan sebelum (tragedi) 9/11: maklumat dipegang erat, tidak berkongsi apa-apa,” pegawai itu dipetik sebagai berkata.
ABC juga menyebut, pegawai penguatkuasaan undang-undang kini bimbang
masa yang kritikal terbuang begitu sahaja dan sumber maklumat mungkin
sudah hilang minggu lepas.
“FBI juga tidak diundang oleh kerajaan Malaysia untuk membantu di lapangan,” kata sumber.
Pesawat MH370 terbang dari Kuala Lumpur pada 128 Mac, jam 12.40 pagi. Ia
sepatutnya sampai di Beijing pada 6.30 pagi tetapi hilang secara
misteri daripada radar awam pada jam 1.21 pagi.