Penaja

16.3.14

'Bomoh bubu' mahu tampar, saman KJ


Seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain mengancam untuk menampar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana menggesa agar beliau ditangkap.

Ibrahim, yang mencetus kontroversi susulan upacara perbomohan yang dijalankannya di lapangan terbang KLIA bagi mengesan pesawat MH370, mengancam demikian kerana marah dengan kenyataan menteri tersebut di Twitter.

"Biar saya cakap terang-terang pada Khairy Jamaluddin hari ini. Saya cabar dia.

"Letak jawatan jadi menteri dan saya letak jawatan sebagai mahaguru. Kita berlawan.

"Saya tampar dia macam (semudah menampar) buaya nanti, baru dia tahu," katanya.

Katanya, beliau juga akan mengemukakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya ketua Pemuda Umno itu mengulangi kenyataan tersebut.

Ancaman tersebut disiarkan melalui dalam satu rakaman video di satu blog dinamakan suara.tv.

"Saya bagitahu Khairy, kalau dia buat lagi saya nak saman dia RM100 juta. Menjatuhkan imej Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zain.

"Anak murid saya seramai beberapa juta orang akan sanggup ke depan ke mahkamah," katanya lagi.

Menteri itu pada 12 Mac lalu menulis, "bomoh permaidani sakti" itu perlu ditangkap kerana "memalukan" negara.

Ibrahim pada hari Isnin lalu mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas KLIA dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka melaungkah takbir beberapa kali.