zaenkasturi

hazwansiap

.

Oleh Hazwan Arif Haqimi

http://darmaseni.blogspot.com.

.

Entah mengapa saya sangat bernafsu apabila menatap foto di atas, yang diambil semasa Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2007. Bernafsu untuk berkarya dengan lebih gigih. Bagaimana tidaknya? Penerima hadiah di atas bukan sahaja menang berganda melalui karya-karya beliau, beliau juga merupakan penulis yang banyak mempengaruhi penulisan puisi-puisi saya. Seorang inspirasi. Penulis yang saya maksudkan tentulah Zaen Kasturi.

Antara hadiah yang diterima beliau pada malam tersebut:

* Hadiah Utama Kategori Cerpen – Dari Suatu Tikungan Lorong (juga dijadikan judul buku antologi pemenang)
* Hadiah Utama Kategori Puisi – Denyut Murba
* Hadiah Penghargaan Kategori Puisi – Ingatan kepada Kawan XX

Memetik biodata beliau pada kulit belakang buku kumpulan puisi Iga, “Zaen Kasturi atau nama sebenarnya Zainal Palit dilahirkan pada 16 Oktober 1964 di Kuala Sungai Baru, Melaka. Menerima pendidikan rendah dan menengah di negeri kelahirannya, manakala pendidikan tinggi diperolehnya daripada Universiti Malaya dan University of London.

Selain puisi, Zaen turut menulis dalam genre cerpen, novel, esei sastera, rencana umum dan skrip drama televisyen. Pernah memenangi beberapa hadiah penulisan peringkat kebangsaan, antaranya Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Puisi DBP-KL, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena dan Hadiah Sastera Perdana.

Antara karya Zaen dalam bentuk buku termasuklah Yuda (kumpulan cerpen), Katarsis (kumpulan puisi), Rapsodi (kumpulan cerpen), Idola (kumpulan cerpen) dan Angin Belantara (novel).”

Antara ulasan penulis mapan tanah air mengenai karya-karya beliau:

“Sajak-sajak Zaen Kasturi tidak menyamai sajak-sajak penyair lain. Hampir keseluruhannya sukar difahami kerana Zaen menggunakan simbol-simbol yang amat peribadi. Walau bagaimanapun, Zaen amat yakin dengan kaedah persajakannya. Ini menyebabkan sajak-sajaknya konsisten dari segi pengucapan.”
Ulasan Rahman Shaari mengenai kumpulan puisi Katarsis

“Cerpen-cerpen dalam antologi Rapsodi ini pada keseluruhannya agak berbeza daripada cerpen-cerpen konvensional jika dibandingkan aspek komposisinya, ungkapan serta cara penulisnya melihat dan mengolah persoalan. Pembaca tidak mungkin menyusuri hukum sebab-akibat dengan jelas kerana ia tidak mengikut skema yang lazim. Cerita diungkapkan sebagai ‘percikan-percikan’ kehidupan yang berpencar-pencar, agak abstrak dan dalam jalinan bahasa yang ambiguiti.”
Ulasan S.N. Anwar Ridhwan mengenai kumpulan cerpen Rapsodi

Antara sebab mengapa karya-karya beliau sangat memikat saya lantas mempengaruhi penulisan puisi-puisi saya:

* Teknik naratif milik fisyen dikahwinkan dengan kata-kata puitis yang konsisten dan meyakinkan
* Teknik kurungan dan dialog digunakan untuk beberapa untaian kata (motifnya masih menjadi rahsia kepada saya)
* Teknik tanda dua sempang (–) digunakan sebagai penerangan menonjolkan kelainan
* Kebijaksanaan memilih kata-kata yang puitis dan tepat serta mempunyai maksud yang amat mendalam
* Keupayaan menggunakan simbol-simbol alam semula jadi dengan sempurna dan berkesan (kadangkala perlu dirungkai dengan teliti bagi menerbitkan makna yang ingin disampaikan)

Karya-karya penulis yang sentiasa merendah diri ini sudah berada dalam dua dimensi – dimensi zikir dan fikir; sepasang dimensi yang sukar untuk dipertemukan, apatah lagi untuk dikahwinkan.

(Zaen Kasturi … di medan yuda, akankah waktu mempertemukan kita?)