Penaja

17.7.11

Babi Buto Bo Kaap

Oleh Fudzail

2011/06/12

(1)
“ADA baiknya, kita belajar daripada nenek moyang!”
Abdul Wahid melontar suara ke bandar raya Kaapstad. Dari kawasan Bukit Signal, Kuarter Melayu Tanjung (Cape). Di Tana Baru yang menempatkan tanah perkuburan sejak ratusan tahun lalu. “Saya belajar daripada Tuan, daripada sejarah, falsafah kepada Yakjuj Makjuj dan konspirasi Dajjal!”

Firdaus, datang dari Moscow menjawab sambil meninjau dua makam ‘keramat’. Makam Tuan Guru atau Imam Abdullah Kadi Abdus Salaam, seorang pengiran Kerajaan Tidore, Maluku, yang dibuang oleh kolonial Belanda ke Ceylon. Beliau kemudian dipindahkan ke Kaapstad dari 1780 hingga 1807. Yang kedua adalah makam Sayed Mogammad Darwis Alawie berasal dari Yaman.

Abdul Wahid tersenyum. Wajahnya tidak ubah seperti seorang pak cik Melayu di kampung Nusantara. Bersih menampakkan keikhlasan. Sejemput janggut yang manis.

Terlalu banyak bagi Firdaus, mahasiswa perubatan itu pelajari daripada lelaki separuh abad yang sentiasa berjenaka dalam menyampaikan cerita. Baharu dua hari bersama. Kata-kata penuh kebijaksanaan. Sesekali mengulang bahawa walaupun dalam kad pengenalan zaman Aparteid tertera bangsanya sebagai ‘Melayu’, dia tidak diterima sebagai orang Melayu oleh orang Melayu Malaysia. Membayangkan kesalan kerana katanya, apakah dosa mereka yang dibuang negeri oleh penjajah untuk tidak diterima lagi sebagai bangsa serumpun?
“Orang Melayu Malaysia anggap kami bukan Orang Melayu, kalau datang buat bisnes di sini pun tidak langsung memberi peluang kepada kami. Mungkin mereka sangka kami semua ini penipu, akhirnya ramai yang tertipu dengan Orang Putih, Orang India atau Orang Hitam!”

“Mungkin juga kerana Orang Melayu Malaysia tidak mengetahui tentang kewujudan peniaga daripada kalangan Orang Melayu Tanjung!”

“Itulah, kena belajar daripada nenek moyang, kalau datang kampung orang, ada caranya, bukan semberono!”
Firdaus mengangguk. Walau hati tidak begitu bersetuju kerana nenek moyang tidak semestinya betul dan orang muda seperti dia kekadang jauh lebih berpengalaman dalam bidang tertentu. Banyak bangsa dan negara terjual oleh nenek moyang yang rakus dan haloba.

“Memang ramai nenek moyang kami datang dari kepulauan yang dipanggil Indonesia ketika ini, tetapi tiga ratus tahun lalu, mana ada Malaysia atau Indonesia? Bahkan ramai nenek moyang warga Malaysia juga berasal dari kawasan-kawasan seperti Sulawesi, Sumatera dan Maluku!”

Firdaus yang berasal dari Sabah mendengar bersama fikiran jauh melayang kepada kepulauan Sulu. Pernah satu masa kesultanan Sulu atau Sulug atau juga Tausug menguasai keseluruhan kepulauan yang kini dipanggil Filipina. Nenek moyangnya berasal dari sana, semuanya sekadar sejarah masa silam.

“Kau lihat di bawah itu, kawasan De Waterkant!”

Firdaus menjenguk. Terasa syahdu dibuai bayu berpuput lalu. Perjalanan jauh dari Moscow ke Kaapstad menjadi satu kembara untuk menyertai kem para pemuda ‘Al Kahf’

“Kawasan elit untuk golongan gay yang berkembang di Kuarter Melayu kerana Orang Melayu Tanjung mahu keuntungan, menggadai warisan dan lebih malang, menggadai kepada golongan gay!”

Wajah Abdul Wahid cukup serius. Dan Firdaus merasakan bahang dari suara yang bernada kesalan bercampur marah.

(2)
DI kem pengakap Simonstad, kawasan penempatan lama Orang Melayu , Ryan Abdul Malik Fantuzi menghembus nafas. Jantung mengepam udara segar musim luruh, memberi kenikmatan. Bintang-bintang di langit memancarkan kelipan ke serata pandangan. Pemuda Amerika berusia 25 tahun yang datang bertandang sebagai peserta kem pemuda ‘Al Kahf’ itu merasakan ada sesuatu yang mengulit perasaan.

Dalam bangsal tempat makan, tidak begitu ramai yang masih berbual. Ramai sudah kembali ke dormitori.

Matanya sesekali pada gadis Orang Hitam daripada bangsa Khoisan yang sedang membasuh pinggan mangkuk. Berbadan kecil dan tekun dengan kerjanya. Sesekali bernyanyi sendiri.

Apabila gadis Orang Hitam Khoisan itu tersenyum memandangnya, Ryan sama tersenyum. Itu saja. Walau dalam minda Ryan tersambar pelbagai persoalan. Antaranya itulah kali pertama dia bertemu Orang Hitam Khoisan, pribumi asal Afrika dan tidak seperti Orang Hitam lain yang menghuni bumi Amerika, ada kelainan ketara. Benarlah Tuhan telah menjadikan manusia pelbagai bangsa untuk saling mengenal sesama sendiri. Bayangkan semua manusia hanya berkulit putih atau hanya berkulit hitam.

Ryan terus menyambung sembang dengan Mogamat, pemuda Melayu Tanjung yang menjadi koordinator kem. Mengenali tanah Afrika Selatan dari dekat, terutama setelah dimerdekakan daripada sistem aparteid.

“Ekonomi masih terus dikuasai oleh Orang Putih, manakala Orang India terus menguasai peringkat pertengahan, manakala Orang Hitam dari segi politik dan pemerintahan negara. Kami Orang Melayu Tanjung yang termasuk dalam Orang Kulit Berwarna, semakin terpinggir!”

Hembusan angin mendesah. Ryan menjeling ke arah gadis Khoisan.

Semenjak datang di Kaapstad, perbualan di kem berkisar kepada rasisme dalam pasca-Aparteid di bumi yang pernah bergolak. Di bumi yang pernah meriah sebagai tuan rumah peringkat akhir Piala Dunia 2010. Di bumi yang kaya dengan sumber alam.

“Tetapi Orang Cina yang sewaktu Aparteid tidak diklasifikasikan dalam mana-mana kategori, Orang Hitam, Orang India, Orang Putih atau Orang Berwarna menuntut di mahkamah untuk diklasifikasikan sebagai Orang Hitam!”

Terkejut Firdaus yang kebetulan mendengar curi perbualan Ryan dan Mogamad sambil cuba melayari Internet dari telefon bimbitnya.

“Apakah mereka menang tuntutan itu?” Firdaus menyampuk.

“Ya! Orang Cina Afrika Selatan adalah secara rasminya Orang Hitam! Mereka mendapat keistimewaan seperti mana pribumi Orang Hitam dan majoriti mereka menghuni kawasan elit Orang Putih! Mendapat yang terbaik di dua dunia, satu strategi bijak dan kini mereka kembali kepada identiti dengan belajar kembali bahasa Cina!”

Ryan tidak terkejut mendengar pendedahan Mogamad dan matanya menjeling ke arah gadis Orang Hitam Khoisan, bangkit dan menghantar pinggan.

Setibanya di tempat membasuh pinggan, Ryan mengucapkan salam. Tersenyum manis menyapa.

Terkejut gadis Orang Hitam Khoisan yang terasa tiba-tiba dihargai kerana yang lain sekadar meletakkan pinggan dan berlalu. Tiada yang lain menegur. Apalagi berbual.

(3)
DR Amira mengambil gambar sekitar perbukitan Faure, manakala Firdaus melihat jauh ke arah kawasan pertanian Macassar, yang asalnya bernama Zandvliet. Makam keramat Sheikh Yusuf Abul Mahasin Al-Taj Al-Khalwati Al-Makassari Al-Banteni yang berasal dari Kepulauan Sulawesi dan orang yang membawa agama Islam ke Afrika Selatan. Dibuang negeri ke Kaapstad pada 1693 bersama-sama 49 pengikut dengan kapal Voetboeg kerana menentang kezaliman Belanda. Ada tugu yang didirikan penjajah Inggeris mengenang jasa beliau. Mula-mula dibuang ke situ untuk mengelakkan Islam tersebar, akhirnya Zandvliet menjadi pusat dakwah pertama di Afrika Selatan.

“Orang yang tidak kenal sejarah, tidak kenal dirinya sendiri!”

Dr Amira, pelajar graduan perubatan dari New York bercakap dengan penuh semangat.

“Kalau saya tidak datang ke kem pemuda Al Kahf ini, saya tidak tahu yang Islam dibawa ke sini oleh Orang Melayu!”
“Orang Melayu Indonesia!” Sampuk Abdul Wahid, sedikit mengejek.

Firdaus ketawa, sudah tahu Abdul Wahid pastinya cuba menekankan isu yang sama.

Mereka beredar dan Abdul Wahid membawa kedua tetamu dari Malaysia itu kembali ke rumahnya di Simonstad.
“Inilah Khayelitsha!”

Dr Amira dan Firdaus terdiam menatap ke arah saujana kawasan yang dipenuhi oleh bangsal-bangsal. Seakan kandang kambing. Dengan zink saja. Ada yang tidak bertingkap, hanya pintu. Sampah merata-rata. Sukar untuk membayangkan yang mereka berada di kawasan yang sebegitu teruk keadaan fizikal dan prasarana. Kata Abdul Wahid, bancian terakhir lebih daripada satu juta manusia Orang Hitam menghuni di situ.

“Dalam bahasa Xhosa, Khayelitsha bermaksud Rumah Baru. Tujuh puluh peratus tinggal dalam bangsal, satu pertiga tiada air, tandas semua di luar. Kawasan lama sewaktu era Aparteid jauh lebih baik daripada selepas Orang Hitam memerintah. Lihatlah, pemimpin Orang Hitam lebih teruk dalam kebajikan Orang Hitam!”

Suasana nampak sibuk dengan ramai manusia di mana-mana.

“Kawasan ini tidak selamat, tiada orang berani buka kedai. Bila-bila masa saja boleh kena rompak! Selepas aparteid, standard kehidupan semakin menurun dan jurang kaya dan miskin terus besar apabila kekayaan negara terus berada di tangan minoriti, terutama Orang Putih!”

“Apakah struktur Aparteid masih tidak dirombak?”

“Bukan mudah untuk dirombak setelah hampir 50 tahun. Sekurang-kurangnya dua generasi dan hampir semua telah di brainwashed. Sehingga ramai Orang Hitam masih belum dapat menerima yang presiden Afrika Selatan adalah Orang Hitam, mereka masih bersedia menerima Orang Putih sebagai ketua. Bahkan untuk kami yang buat bisnes, Orang Hitam atau Orang Melayu Tanjung sukar untuk bekerja dengan mereka yang bukan Orang Putih!”

Firdaus tergelak. Tidak melucukan, tetapi realiti yang seakan memutarkan sejarah ke masa kini. Mereka yang menjajah berjaya membasuh otak orang tempatan mengenai keunggulan Orang Putih. Sesuatu yang sama berlaku di tanah air.

“Zaman Aparteid dulu, penekanan kepada segregasi fizikal mengikut warna kulit. Pendidikan umpamanya percuma kepada semua ke peringkat universiti, perumahan diberikan sewajarnya kepada setiap orang, malahan jauh lebih baik dan murah. Dibeli dari kerajaan tanpa faedah. Yang kejamnya kerana adanya segregasi. Lihatlah mutu dan saiz rumah kami semasa dan selepas aparteid!”

Sambung Abdul Wahid sebaik tiba di perkarangan rumahnya.

“Hari ini selepas habis Piala Dunia, kami penghuni Kaapstad terpaksa membayar bil lebih tinggi untuk air dan api kerana kerajaan menanggung hutang daripada pembaziran menjadi hos. Stadium-stadium yang dibina berharga berbilion Rand sekarang semuanya menjadi gajah putih dan pengangguran terus meningkat, maka jenayah juga meningkat!”

Melihat keadaan sekeliling kawasan rumah Abdul Wahid, kedua anak muda itu seakan berada di salah sebuah kawasan luar bandar di mana-mana nusantara.

(4)
Ryan dapat mengagak yang Goitsemedime, gadis Orang Hitam Khoisan itu mula menunjukkan sedikit perubahan, sudah mesra.
“Apakah ada makna nama Goitsemedime itu?”

“Hanya Tuhan yang tahu!”

Ryan tergelak sambil berlalu kembali ke arah meja makan, menyambung perbualan berkaitan Yakjuk Makjuk. Tema kem pemuda Al-Kahf, satu kumpulan anak-anak muda daripada pelbagai negara yang membicarakan persoalan realiti dunia.
Berkaitan dengan tafsiran surah Al-Kahf dalam kehidupan terutama buat para pemuda bagi menangani kemelut dan krisis dunia. Baik dari segi politik, kewangan yang dipenuhi riba, bencana yang semakin mengorbankan nyawa dan juga kedatangan Imam Mahadi.

Dari perbincangan dengan maulana Imran yang pernah menjadi Mufti Trinidad itu, mereka bersetuju yang ada keperluan untuk keluar dari suasana kehidupan masa kini, dan mencari tempat perlindungan, seperti cerita pemuda dalam surah Al-Kahf. Pada era fasad dan Dajjak, pemuda sebagai penggerak revolusi mesti melihat keadaan semasa daripada perspektif yang berteraskan al-Quran dan hadis.

“Gadis itu bercakap mengenai Tuhan!”

Bisik Abdul Majid, pemuda dari Kongo.

“Itulah, bayangkan yang kita berkumpul bercakap mengenai dakwah dan sebagainya, kenapa tidak cuba menghampiri mereka yang berada di keliling kita?” Ujar Ryan, pemuda Detroit yang baharu setahun memeluk agama Islam, walau sebelum itu pernah menjadi seorang yang cukup anti dengan orang Islam selepas September 11. Mahu membakar Quran sehingga hidayah dari seorang yang menyampaikan salam kepadanya, menyebabkan dia mula mencari makna salam secara lateral.

Pemuda lain terdiam. Ramai yang lahir sebagai orang Islam yang tidak pernah pula mahu menjadi pendakwah. Ramai yang perasan mereka pandai dan tidak perlu belajar lagi.

“Malah di Detroit, ramai orang Islam masih dalam assabiyah. Mementingkan bangsa dan komuniti sendiri. Semua mahu membina masjid sendiri!”

“Sama seperti di Kaapstad, masjid dibina bukan kerana takwa, tetapi kerana pergaduhan dalam perkara remeh seperti mazhab dan untuk dana!”

Mogamad menyampuk.

Masing-masing terus berhujah dalam lingkaran assabiyah, sesuatu yang menarik kerana ada 32 bangsa berkumpul di kem itu dan sudah menunjukkan perselisihan daripada segi fahaman fikah.

Ryan menjeling ke arah Goitsemedime.

Goitsemedime tersenyum. Sudah habis mencuci pinggan.

Ryan bangkit dan mendekati.

“Benarkah Goitsemedime bermakna hanya Tuhan yang tahu dalam bahasa Xhosa?”
Goitsemedime mengangguk.

“Nama yang baik!”

“Dalam ramai-ramai yang berada di kem ini, hanya kamu saja yang memberi salam dan menegur saya!”
Ryan tersenyum. Misinya sudah hampir ke matlamat. Sampaikan walau satu ayat dan dia telah bermula dengan salam.

(5)
“KAMI memang sudah kehilangan jatidiri kerana kehilangan bahasa, betullah bahasa jiwa bangsa!”

Terdengar suara Abdul Wahid sebaik keluar dari muzium kecil Bo Kaap. Muzium yang mempamerkan khazanah tinggalan Orang Melayu yang dibawa ke Afrika Selatan sebagai hamba abdi dan tahanan politik.

“Hanya beberapa perkataan yang tinggal, ada yang berlainan maksud!”

Dr Amira dan Firdaus mendengar sambil melihat-lihat ayam panggang di jalan Dorp, berhampiran masjid Al awal, masjid pertama Kaapstad. Dengan latar belakang Gunung Table.

“Bukan kami mahu melupakan bahasa sendiri, cuma kami dipaksa kerana Orang Putih menyangka yang kalau bahasa Melayu dihapuskan, agama Islam boleh juga dihapuskan. Sebab itu penting untuk belajar daripada nenek moyang, kenapa Melayu itu dikatakan Islam, jangan kata bangsa tidak penting dalam Islam!”

Abdul Wahid tahu yang Firdaus masih tidak begitu bersetuju kerana nenek moyang bangsa Sulu yang menyebabkan kejatuhan bangsanya sendiri. Menyebabkan generasi bangsa Sulu bukan saja kehilangan sejarah, malahan identiti. Walau ada yang mengatakan bangsa Sulu sudah Islam sebelum Nabi Muhammad SAW lagi.

“Saya sudah beritahu yang perkataan seperti babi dan buta mempunyai maksud yang berlainan setelah ratusan tahun, bukan?”

Dr Amira tidak dapat menahan gelak apabila mendengar Abdul Wahid berkata, “Perkataan Kafir yang digunakan beratus tahun untuk Orang Hitam oleh Orang Melayu Tanjung sudah menjadi perkataan menghina oleh perundangan selepas aparteid berakhir dan siapa yang memanggil Orang Hitam sebagai Kafir, boleh didakwa di mahkamah!”

Firdaus cuba memahami kerana pertama kali mendengar.

“Orang tua seperti saya, yang makan riba kerana menipu pelanggan kalau menjual di Bo Kaap ini dipanggil apa?”

Sebenarnya Abdul Wahid mempunyai makna tersirat dari perkataan yang sudah bertukar makna. Dia maksudkan secara literal. Sesuatu yang Dr Amira sendiri terperangkap.

“Babi buta di Bo Kaap!”

Glosari

Kaapstad – Cape town
Simonstad – Simon’s Town
Mogamad – Mohamad
Babi – Peniaga kurang jujur di belakang kaunter
Buta – Orang tua


INFO

FUDZAIL, nama pena bagi Mohd Fudzail Mohd Nor, berkelulusan Sains Komputer dan Matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus Teknologi Maklumat (IT) di TV3, juga ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini pengarah beberapa syarikat antarabangsa dan pengurus Yusuf Islam, selain sukarelawan yang pernah ke Gaza, Palestin. Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP 2001), Kumpulan Cerpen Dotkomania (DBP 2009) dan Trilogi Aotearoa (Karangkraf 2010). Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.Blogspot.com.