Penaja

27.7.11

Dakwah puisi Yadim




Wacana Pemikiran Zaen Kasturi yang berlangsung pada 7 Januari 2011 baru-baru ini, diadakan bagi merai dan menghargai sumbangan Zaen Kasturi kepada dunia kesusasteraan dan penulisan di Malaysia apabila beliau dinobat sebagai pemenang S.E.A Write Award 2010 oleh kerajaan Thailand.

Usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuahkan kejayaan apabila ia berlangsung dalam suasana meriah dan diraikan ramai pihak.

S.E.A Write Award adalah akronim untuk The Southeast Asia Write Award atau Anugerah Penulisan Asia Tenggara yang diwujudkan oleh kerajaan Thailand sejak tahun 1979.

Ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada para penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara-negara Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.

Zaen Kasturi adalah pemenang ke-32 dari Malaysia, dinilai secara telus dan profesional melalui penghasilan karya-karyanya yang prolifik dan bermakna dalam dunia penulisan tanah air.

Beliau juga berkarya dalam hampir semua genre penulisan dan konsisten dalam setiap pemikiran yang dilontarkan terutama dalam bentuk cerpen dan puisi yang turut memenangi beberapa anugerah berprestij di Malaysia.

Beliau dilihat mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dikongsi dengan masyarakat dan peminat dunia kesusasteraan. Merujuk laporan Panel Penilai Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2010 ini, penulisan Zaen Kasturi dikatakan mampu meninggalkan kesan yang kuat dalam mempertingkatkan kedudukan dan martabat kesusasteraan Melayu.

Ini mengingatkan kembali kepada ucapan beliau sewaktu acara 'Baca Cerpen Zaen Kasturi' yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada 26 Februari 2005. Zaen menjelaskan, penulis generasi baharu harus berani menghasilkan karya sastera yang tidak terikat pada gaya dan teknik konvensional.

Sebaliknya, mereka amat wajar cuba melakukan pembaharuan agar karya yang terhasil nanti membantu memperkaya khazanah sastera. Zaen juga menyebut bahawa sebuah karya yang bermutu biasanya tidak dibaca oleh khalayak yang ramai, namun karya bermutu akan tetap kekal tanpa ditelan zaman. Malah ia mungkin menjadi karya agung pada masa akan datang.

Dalam ucapannya di malam Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2010, di Thailand, Zaen berkata, tanggungjawab seniman atau sasterawan pada zaman yang serba laju dan mencabar ini semakin berat.

"Namun, saya selalu percaya bahawa sastera mempunya peranan yang tersendiri dalam usaha melembutkan dan melunakkan keinginan-keinginan keras dan sumbang akibat percaturan hidup yang pada dasarnya dicipta oleh manusia itu sendiri.

"Inilah antara tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh penulis atau sasterawan untuk menyimpulkan kembali tali persaudaraan yang kian genting, meratakan semula jurang pemikiran di antara kelompok yang kian dalam dan merapatkan kerenggangan batasan manusia yang dipisahkan oleh sempadan geografi," katanya.

Zaen Kasturi atau nama sebenarnya, Zainal Palit yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Strategik di Yadim, dilihat sebagai satu aset yang amat bernilai buat Yadim.

Kehadiran beliau dalam organisasi ini mencetuskan banyak idea yang berkaitan dengan kemampuan beliau melontar pemikiran melalui penulisan dan sastera. Yadim melihat, dunia penulisan begitu besar dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aspek. Terutamanya dalam bidang dakwah.

Fungsi sastera dan penulisan ialah menyampaikan amanat dan pemikiran untuk mengubah masyarakat ke arah lebih baik.

Sementara itu, Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir dalam ucapan perasmian Wacana Pemikiran Zaen Kasturi menyatakan kekaguman beliau terhadap pemikiran Zaen Kasturi yang ditumpahkan melalui bidang sastera dan penulisan.

Beliau juga menyatakan kesinambungan kerja-kerja dakwah yang boleh diselarikan dengan bidang sastera dengan cadangan mewujudkan Anugerah Tokoh Sasterawan Muslim bagi rantau Asia Tenggara. Ia bagi mengiktiraf karya sastera Islam sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Penganugerahan ini juga, pada masa yang sama mampu melebarkan jaringan ke serata dunia.

Wacana Pemikiran Zaen Kasturi itu turut memuatkan sesi Dialog S.E.A Write Award 2010 oleh Zaen Kasturi dan juga pemenang dari Thailand, Zakariya Amataya yang menceritakan situasi anugerah itu dan karya mereka yang dinilai. Dua panel yang membicarakan pemikiran Zaen Kasturi ialah Dr. Arbak Othman yang memperkatakan tentang 'Anjakan Paradigmatik Puisi Zaen Kasturi' sementara Dr. Mawar Safei pula membicarakan Pencarian: Antara Ambiguiti dengan Anti-Narasi dalam Taman Uzlah Zaen Kasturi.

Pada sebelah malamnya, hadirin dipersembahkan dengan majlis Malam Baca Puisi Zaen Kasturi. Seramai hampir 30 orang termasuk rakan pemuisi, rakan penulis, orang perseorangan serta kakitangan Yadim dan DBP mendeklamasikan puisi Zaen Kasturi.

Antaranya, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang membicarakan tentang situasi Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A) pada zaman kemenangannya pada tahun 1979. Samad Said adalah pemenang pertama anugerah ini.

Selain Samad Said, beberapa rakan penulis dan pemuisi turut menyumbangkan puisi pada malam itu seperti Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Zakaria Ariffin, Siti Zaleha Hashim, S.M Zakir, Rahimidin Zahari, serta pemuisi generasi muda.

Malam itu juga menyaksikan Yadim 'diserapi' sastera secara sepenuhnya apabila beberapa kakitangan Yadim turut mempersembahkan bacaan puisi untuk Zaen Kasturi. Antara yang mendeklamasikan puisi pada malam itu ialah Timbalan Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsudin; Pengurus Besar Operasi, Dr. Shamsudin Moner dan Noraini Yahaya dari Bahagian Perhubungan.