Penaja

16.8.09

Tingkat penghayatan sastera

SASTERA

ARKIB : 16/08/2009

idang kesusasteraan di negara ini belum berada di tahap yang selayaknya dalam senarai keutamaan masyarakat. Kedudukan kesusasteraan masih jauh dari memuaskan walaupun di negara maju sastera berada di tahap tinggi," demikian tegas Sasterawan Negara Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan (Anwar Ridhwan).

Beliau membandingkan kedudukan kesusasteraan dan kesenian rakyat di negara-negara maju seperti Jepun yang membuktikan sastera menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara.

Anwar Ridhwan percaya bahawa keupayaan memberikan penghayatan yang tinggi kepada bidang kesusasteraan akan melahirkan warga yang berfikiran kritis dan mempunyai nilai peradaban yang tinggi.

"Secara peribadi, apabila anugerah Sasterawan Negara diadakan tahun ini selepas enam tahun, ini memberikan keyakinan kepada rakan-rakan dalam bidang ini bahawa sastera masih ada tempat dalam masyarakat," kata Anwar Ridhwan ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara) Khamis lalu. Beliau yang telah merentasi 40 tahun pengalaman dalam kesusasteraan menganggap kegembiraannya bukan kerana dipilih sebagai Sasterawan Negara tetapi anugerah itu masih wujud.

Anwar Ridhwan kini adalah Dekan Fakulti Penulisan Aswara yang sebelum ini adalah Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Baginya, gerakan untuk meletakkan bidang kesusasteraan di tempat yang penting dalam masyarakat wajar dilangsungkan walaupun negara ini menjadi sebuah negara maju.

Pengalaman tiga tahun menjadi Profesor pelawat di Jabatan Kajian Malaysia, Tokyo University of Foreign Studies di Jepun membuktikan masyarakat moden dan maju di negara itu tetap mempunyai penghayatan yang tinggi terhadap kesusasteraan.

"Saya melihat penghayatan terhadap kesusasteraan di Jepun digerakkan sejak kanak-kanak lagi. Buktinya kesenian kabuki tetap diminati walaupun ada banyak alat hiburan moden," kata Anwar Ridhwan yang menghasilkan novel Naratif Ogonshoto (2001) yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Rusia.

Dalam konteks tempatan, beliau mengesyorkan pengajian sastera di peringkat rendah dan menengah di sekolah-sekolah perlu ditambah dan dimantapkan. Walaupun dalam sistem pendidikan tempatan sudah diwujudkan subjek sastera tetapi untuk meletakkan sastera sebagai di tempat yang selayaknya sastera perlu diberi penekanan yang lebih khusus.

Anwar Ridhwan memulakan langkah dalam kesusasteraan menerusi novel pertamanya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan antologi cerpen pertama, Parasit (1979). Kedua-dua karya ini memperlihatkan pemerhatian Sasterawan Negara ini terhadap gejolak sosial di lingkungannya. Beliau tidak saja terpasung pada gaya bahasa yang baik tetapi isi pemikiran yang sangat kritis tentang pergolakan di sekitar.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman adalah bingkisan tentang hujungnya dunia tukang penglipurlara dengan kehadiran alat berteknologi tinggi, radio. Novel ini tentang kehidupan seorang seniman rakyat yang berada di hujung jalan apabila tewas kepada ledakan modenisasi.

Karya ini terus melekat di ingatan apabila diadaptasi ke teater dengan judul yang sama oleh Datuk Johan Jaaffar tahun 1984.

Sementara novel Arus (1985) mengenai skandal penyelewengan di bank-bank dan juga isu politik kafir mengkafir yang berlaku dalam masyarakat Islam negara ini. Beliau memperlihatkan pendirian dan kritik sosial kepada penyakit yang berlaku di sekitar kehidupannya. Arus juga diadaptasi menjadi drama televisyen oleh TV3 dan diarahkan oleh Adman Salleh.

Walaupun hanya menghasilkan empat novel, empat antologi cerpen, tiga naskhah teater serta tiga buku kajian sastera, Anwar Ridhwan memperlihatkan kualiti mengatasi kuantiti. Barangkali ada sasterawan lain yang menghasilkan lebih banyak karya tetapi Anwar Ridhwan membuktikan jumlah yang sedikit bukanlah kualiti juga kecil.

Menerusi karya-karyanya terutama novel Naratif Ogonshoto yang paling banyak diperkatakan, Anwar Ridhwan memperlihatkan karya yang dihasilkan adalah adunan daripada bakat, kemahiran seni penulisan, pemikiran dan pandangan dunianya.

Dalam kesusasteraan dan juga lain-lain bidang, kuantiti bukanlah menjadi penanda aras kualiti. Maka yang diperlukan adalah kemampuan menghasilkan karya yang mengungkapkan pemikiran dan membawa perubahan.

Selain dipilih sebagai Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan sebelum ini pernah beberapa kali Hadiah Sastera Perdana Melaysia dalam kategori cerpen dan novel, Hadiah Drama Esso - Gapena (1990), Hadiah Utama Yayasan Seni (1990), Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) (2002), Hadiah Sastera Perdana (2002) dan Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara menerusi novel Naratif Ogonshoto.

- KU SEMAN