Penaja

22.8.09

Sajak... LIDAH DAN HATI dll

LIDAH DAN HATI

Lidah di sebalik hati
faham dan mengerti
tingkah manusiawi
tidak bertutur jujur.

Hati di sebalik lidah
mengalir ibadah
pada kata dan tingkah
terngadah mujahadah.

Tika kata-kata
menjadi panah fitnah
lidah selalu berhelah
meletak alasan.

Tika fitnah
menjadi busung nanah
masyarakat punah
tanpa akal hemah.

Bersatulah lidah
dan hati penuh ibadah
di padang
istiqamah.

AMI MASRA
UKM, Bangi, Selangor

SETERU@TETAMU


Barangkali mereka mahukan seteru durjana
menjadi tetamu paling istimewa
di rumah sejarah merdeka?

Barangkali kad undangan sudah diutuskan
kiriman e-mel sudah disusulkan
jemputan khas ke rumah perpaduan?

Barangkali mereka sudah mengaturkan
majlis sambutan besar-besaran
kepulangan kemarahan?

Barangkali silam noda dan dosa
bertukar menjadi pahala
dek kerana agenda sengaja?

RIDZUAN KAMIS
Sanggar Kayangan, Perlis

PETUALANG


DIA tetamu musim silam
dari tanah besar Assuwa
merentasi samudera masa
dihanyut arus takdir
tersanggat di Tanah Rumbia
kubelai seperti saudara
teman sepanjang usia.

Dia sahabat akrabku
bersama membangun mandala
disapa panas mentari
katanya, "lebih baik begini
bertualang di hujung bumi
dari dibunuh saudara sendiri."

Seabad berbeza tara
terukir arca pesona
serigala, durja barunya
fana makna setia
lidahnya api bernyala
membara unggun sengketa
atas nama merdeka.

Dia tetamu musim lalu
berkubu di rimba hana
mencari kebenaran
atau ghairah kuasa?
Mandala terbakar
aku terluka
dibunuhnya saksama
demi dogma sirenta
dari utara Assuwa
berlindung di sebalik puri purba.

Sedekad penuh larat
episod malang perjuangan
temanku tersesat di rimba anarki
menuruti falsafah pemuda
dari lembah sungai warna
harmoni lemas di laut curiga
merdeka ingin diperkosa.

Lalu kusimpul dosa teman
kulontar jauh di rimba gelora
kubawa teman bertualang
menyusur sungai kesepakatan
untuk sampai ke tebing merdeka.

Hari ini sejarah telah ditulis semula
tapi aku tidak lupa
menilai makna setia
dan sukarnya mentafsir erti merdeka.

PHARO ABDUL HAKIM
20 Mac 2009

SEBUAH LUKISAN KEMEGAHAN


Sebuah lukisan kemegahan
semakin pudar warnanya dalam lipatan,
parut luka dihiris belati curang petualang
dan gambar kelam kenangan
tersimpan dalam kotak hati tidak berkunci,
ada waktunya terusik bayangan kejam

semalam
ketika petualang membakar sejarah wangi
bakti
dengan api khianat yang marak menyala
sambil menghirup darah merah dari luka
terkelar
lalu menyembur hampas duka
ke dada damai yang lesu.

Sebuah lukisan kemegahan
adalah lorek warna gusar
dari percikan darah luka benteng maruah,
menutup gambaran hati budi petualang
yang bijak menutur kata
sewaktu meninggalkan kawan menahan
seksa
dihambat musuh dari semua arah -
Harapkan pagar menjaga padi
belum pun sempat hasil berbudi
kepuk segudang dibawa lari.

Sebuah lukisan kemegahan
adalah corak kemarahan
dari muntah peluru dan ikrar pembela -
Melanggar sumpah jangan diajar
biar melelas tumit mengejar
tak dapat tengkuk, telinga dilelar.

Sebuah lukisan kemegahan

adalah potret keasyikan
dan kelu lidah selepas sengsara.

BAHA WAHAB
Kulai Jaya, Johor.

DI SEBALIK AIR MATA


Teriakan garang meresah
melihat si bapa tidak endah
kapar-kapar tangan
kasar menghempas ke bumi
perhatian untuk disentuh
kelabu langit kian keluh.

Dentuman menggegar sejenak
teriakan sama
terpancar di wajah tirai kaca
segugus tanah hancur berselerak
bom, darah, raungan
punca angkara
malapetaka yang diendah bapa
langitnya cerah
namun buminya resah.

Kaulihat anakku
bumi di seberang sana
sedang jenuh teriakan harapan
kau di sini tangiskan keadilan
carilah kau wahai anakku
segulung ilmu kekuatan
jangan kaukejar nafsumu
ada resah di sebalik air matamu.

Lirih mengesat air mata
si anak kian lembut
esakan penuh keinsafan
dunia kian keras
ketawa tidak lagi berasas
langit malap menghujah
seribu kerakusan.

AMNI JAGAT
Tampoi Johor Bahru Johor

SERUMPUN


Tanah subur
mengubukah takbur
langit Khatulistiwa
hujan lejang
sesekali merimaskan
antara pohon
pohon pelbagai rupa
merendang sembunyi walang
menyusur beradab akar
tebing bertaut kukuh
zikir mawar mewangi seluruh
kehijauan daun
kesamarataan
nikmat buah rasa bersama
kicauan burung kesyukuran
bulan bintang berdoa
alam kemanisan
manisnya berpanjangan
telah tertanam
pohon-pohon akrab
merentasi sempadan curiga
kerana selama berkebun di sini
semua bangga
berpadu tenaga
membara cinta
julang setia
tak ternilai harga

DZULKIFLI DZIN
SK Pak Badol, Bachok