Penaja

21.7.13

Wasiat I

Sutung Umar Rs
Wasiat I

Wasiat? Apakah wasiat?
Tuhan berwasiat, nabi berwasiat
Tidak ada jalan terbaik
daripada meneladani mereka itu: Sesungguhnya!.

Jika tanpa wasiat ke manakah arah yang hendak dituju
angin akan berputar-putar tanpa arah
hujan tidak turun
panas matahari akan sentiasa membakar
jika awan tidak beredar
tanpa wasiat akan
bagaimanakah bulan dan bintang akan bersinar
waktu malam
bagaimana alir sungai akan mengalir

Wasiat menentukan kiblat
hukum tuhan semenjak azali
Dialah yang menentukan
manakah satu yang benar
dan manakah pula yang batil: Dialah!

Agama itu adalah wasiat yang nyata
Dia menentukan jalan lurus
tidak menyilaukan pandangan
tidak menghalang langkah kaki
dan gerakan tangan

Sumbernya jelas
ambillah yang nyata dan terang
tidak ada satu pun yang khilaf dan palsu
sekali-kali jangan berhenti
pada jalan separuh tuju.

Capai dan gapailah tabiat diri dan suci akal
yang terbelenggu aradh dan illah dalam ikatan.

Lihatlah gunung ganang menjulang ke awan
langit yang terbentang dan matahari

Wajah-wajah yang sombong riak
janganlah mencari pujian
kerana akhirnya semuanya sujud pada-Nya

Inilah wasiatku
demi kebenaran yang terpencar
dari sumber yang nyata dan benar

Lihatlah dirimu yang berdiri
atau yang sujud dan duduk
renungkanlah dengan akal sihat

Jika muncul sebuah seruan
untuk berada di jalan yang engkar penuh duri
jangan engkau sekali-kali ikut katanya
kerana sekali terjerumus ke dalam kegelapan
bilakah waktunya yang terlewat
untuk kau kembali kepada kebenaran.

Hidup umpama cermin
jika terlalu kotor tidak ada lagi yang bersih
dan tidak kelihatanlah
wajah sebenar
sebagaimana yang dijadikan awal
suci dan bersih.

Tangan kaulah yang menentukan
bukan tangan yang lain
sehingga tidak ada alasan untuk menutup diri
apapun keadaan kau.
15hb Julai pukul 2.35 pagi