Penaja
20.8.11
Sajak Pembeli Masa Sudah
Penyair ialah pengunjung pasar kisah
peraih pengalaman
dan pembeli masa sudah.
Kerana aku penyair kupenuhi hidupku
dengan kembara dan deria
yang kian memberat di pundakku.
Kulalui lorong-lorong hari sepiku
dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih.
Di pasar yang dihingari kisah ini
aku dipanggil peraih cerewet
pemilih yang sukar membuat pilihan
pembeli yang keliru dengan tawaran.
Kerana aku pemilih ruwet
akur harus hati-hati
pilihan menonjolkan mutu
dan mutu memantulkan peribadi.
Aku pembeli masalah orang
menyusunnya menjadi kata-kata
dan menjualnya kepada pemikir.
Aku juga kadang-kadang pembeli
masalah dan masa sudah sendiri.
Tidak seperti ikan dan sayuran
masa sudahku lebih mahal
sesudah senja dan murah
di sebelah pagi.
Karya T. Alias Taib
Utusan Zaman, 28 November 1993.
Dari Antologi Anak Laut
DBP 2000