Penaja

25.8.11

Puisi: Seorang Merdeka


Yang merintih di denai derita
ialah merdeka yang luka.

Dalam terang semesta
Dia mengadu gelap dunia -
warga dari rahim leluhurnya
kian lupa pada warisan
kerna mendakap Barat pujaan.

Dalam hiruk manusia
Dia mencicip bicara -
si muda nan kontang jiwa
pada galur asalnya
adalah akar rapuh
menanti diserkup nestapa.


Dalam agam malam
Dia menangis di bahu bulan -
mengenang mata rantai pejuang
berhenti berputar
Kerana leka rakyatnya.

Seorang Merdeka
sudah renta melihat kita -
bercakaran merebut sebidang kuasa.

Syukri Sapuan
15 Ogos 2011

(Tempat pertama, Pertandingan Mengarang Puisi,
Anjuran Jabatan Pengajian Melayu,
Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn,
Batu Pahat, Johor. Ogos 2011)