Penaja

13.3.10

Lombong Emas di Kaki Bukit (Cerpen)

Oleh Abdullah Awang
2010/03/13

DIA sudah buat keputusan yang muktamad. Setelah berhari-hari dia membolak-balikkan keinginannya. Setelah berjam-jam dia memikirkan tentang tindakan itu. Setelah kepalanya menjadi semakin bengang, dikacau oleh khayalan yang entah mengapa menjengah lubuk fikirnya semenjak dia sampai ke situ. Maka, kini dia perlu melakukan sesuatu sebelum orang lain sampai!

Di kaki sebuah bukit, terletak di kawasan pedalaman jauh ke Hulu Peralla, dalam negeri Cik Siti Wan Kembang. Dilitupi oleh pokok-pokok hutan yang merimbun. Berbentuk lurah menghala ke sebuah anak sungai yang airnya jernih, mengalir dengan lembut sambil mengeluarkan bunyi arus berjatuhan di atas bebatu kecil. Suasana itu cukup menarik perhatiannya.

Kemudian, di bawah rimbunan itu, dia terpandang sebuah dinding batu ‘ikat sembilan’ yang tersembunyi dalam timbunan dedaunan buruk serta tanah-tanih yang runtuh akibat gelinciran dan hakisan. Kedudukan dinding berbentuk seperti sebuah mesin ringkas untuk sesuatu aktiviti, telah menyimpan seribu rahsia yang belum diketahui oleh sesiapa. Itulah tempatnya yang menghantui kepala otak setiap malam, setiap pagi, setiap petang. Dia tidak lena tidur semenjak terpandang kawasan yang amat strategik itu, seolah-olah ada sesuatu yang sedang menarik seluruh kekuatan dirinya hingga dirasakan amat lemah dan guntai. Memerangkap kerajinannya bekerja sebagai kuli lori balak yang hanya pulang ke rumah sebulan sekali untuk menemui anak-anak, terutamanya isteri kesayangannya.

Gaji sebagai atendan atau kelindan lori balak memang cukup lumayan. Sebulan dia akan dapat sampai dua ribu ringgit. Sudah cukup untuk dia anak-beranak membiayai hidup mewah sesuai dengan taraf pendidikannya hanya setakat Sijil Rendah Pelajaran, kemudian dikenali dengan nama Penilaian Menengah Rendah.

Dia tidak mahu memikirkan tentang alam pendidikan lagi. Biar anak-anaknya seramai tujuh orang itu sahaja meneruskan cita-cita hidupnya. Dahulu pernah dia menaruh harapan untuk menjadi guru, tetapi disebabkan oleh kemiskinan keluarga, hasrat dan angan-angan hampa. Tidak mengapa, anak-anaknya akan membawa harapan yang kosong itu ke menara gading.

Sekarang, dia mahu mengumpul kekayaan sebanyak-banyaknya. Dia mahu menebus kekalahan itu dengan tulang empat keratnya. Hutan kampung Peralla yang masih sunti dan dara akan diterokai oleh taukeh-taukeh balak. Kesemua bulldozer, lori-lori balak, case caterpillar, rumah-rumah kongsi untuk pekerja dan tukang masak sudah siap dibawa masuk dan dibina.
Sebelum ini, kawasan itu sunyi dan sepi. Yang kedengaran hanya katak-katak kuong hutan yang suaranya melepasi puncak bukit bergema dari lereng ke lereng. Kakah dan lotong menggoyang-goyangkan dahan, ranting, sambil menepuk-nepuk batang kayu hutan. Mereka kelihatan marah, menunjukkan protes yang habitatnya sedang dinodai oleh haiwan bernama manusia.

Suara-suara unggas itu gegak-gempita dan boleh didengar di kawasan itu semenjak kerja-kerja membina jalan kayu balak diuruskan oleh syarikat berkenaan. Sehinggalah sampai kepada ban balak yang mendapat kelulusan, baharu persiapan untuk menebang dimulakan.

Ajaibnya, dia sebagai pekerja kelindan melakukan kerja sambilan merintis denai dan jalan seluas dua ribu hektar. Mungkin disebabkan dia memiliki sedikit kepakaran menyelusuri pinggir bukit dan memahami rentak makhluk halus dalam hutan, maka dibayar gaji khusus, malah lebih tinggi.

Ketika dia sampai di anak sungai yang membunyikan suara alam yang amat mengasyikkan di kaki bukit itu, dia berhenti sebentar, sementara tangannya mencebuk air yang jernih untuk merasa nikmat kedinginan. Dia menunggang botol mineral tinggi hingga kepalanya mendongak, dan tiba-tiba pandangannya singgah pada suatu binaan yang hamper terkambus .…

“Wah, siapa yang membina segalanya ini? Di dalam hutan tebal ini sudah ada manusia yang menerokainya, tetapi bila? Kalau dilihat pada binaan ini tentu sudah lebih lima puluh tahun.” Bisik hatinya sendirian. Dengan tangkas, kakinya melangkah ke situ, manakala dua orang kawannya belum sampai ke situ.

Dia berdiri di atas batu besar yang tersembul keluar dari lereng bukit seperti perut wanita yang sedang mengandung. Manakala di bawahnya terdapat suatu lekukan persis sebuah kolam akibat ditarah oleh seseorang. Di hadapan bungkah batu itu, terletak binaan konkrit simen menggunakan batu-batu.

“Hairan, bagaimana mereka membina benteng ini lima puluh tahun dahulu? Ini tentu tempat palong emas! Kedudukannya yang agak condong menghala ke anak sungai membuktikan arah untuk menyalurkan air yang disembur ke pipi bukit.” Getus hatinya lagi.

‘Kaya aku pada kali ini. Orang tentu tidak tahu aku datang ke sini untuk memunggah tanah-tanah ke dalam kongsi untuk diayak, ditapis, dan disedut oleh buli-buli raksa. Aku mesti pulang petang khamis ini untuk mendapatkan ibu emas di Bandar.’ Kepalanya dihanyut oleh mimpi-mimpi indah yang bakal dilaluinya.

Dalam sejumlah tiga puluh orang staf pembalakan itu, tiada seorang pun yang mahir tentang sumber kekayaan itu, kecuali dia.

Ketika itu, fikirannya sudah melayang jauh ke Kota Bharu. Tujuh orang anak-anaknya yang sedang bersekolah tidak akan tersisih lagi dari kawan-kawannya. Ibunya yang sedang belajar memandu, tidak lama lagi pandai membawa kereta sendiri. Dia akan membeli sebuah kereta mewah untuk isterinya. Tidak cukup dengan itu, dia akan membina sebuah banglo dua tingkat bernilai ratusan ribu.

“Emas! Siapa yang tidak mahu mendapatkan emas? Sama ada halal atau haram, masing-masing gila dan kemarut menggali emas. Aku hanya mendulang emas secara haram, tidak membahayakan orang lain, sedangkan perompak-perompak di kotaraya mendapatkan emas dengan menggunakan senjata, itu lagi kriminal.” Bentak hatinya.

Dia menarik nafas lega. Menghembusnya perlahan-lahan. Dia memastikan, tiada sesiapapun mengetahui tempat itu. Kalau mereka tahu sekalipun, apakah tindakan yang boleh mereka lakukan? Mereka tidak ada kepakaran. Tetapi dia sudah ada pengalaman mendulang emas di Lubuk Mandi pada suatu masa dahulu.

Masa itu, dia bekerja sebagai kuli tukang rumah. Pada masa orang Terengganu gempar menemui emas di Lubuk Mandi, dia tinggal tidak jauh dari situ. Pada sebelah petang, malam dan hari-hari minggu, dia ikut sama dengan penduduk tempatan mendulang emas. Hingga ada yang mati terkambus oleh runtuhan tanah akibat ketamakan mereka.

Ngauman harimau tenggelam oleh suara mesin menebang pokok balak untuk merintis laluan dan sebagai sempadan dengan kawasan-kawasan yang masih belum diserahkan kepada kontraktor pembalakan. Suara kakah dan lutong kedengaran jauh dan sayup-sayup. Mergastua hutan terkejut bila mergastua bandar datang merosakkan rumah mereka. Seperti juga kita, bila datang musuh menyerang penginapan, kehidupan dan kesejahteraan manusia hanya ingin menunjukkan kekuatan, kuasa dan kehebatan, tentunya sebagai golongan marhain, tersusup-sasap melarikan diri ke dalam kubu yang di bina di bawah rumah. Atau berhijrah melepasi sempadan, ke Negara jiran untuk hidup sebagai pelarian.

Kadang-kadang dia terasa sebu dibuai kesedihan bila teringatkan keanggunan alam yang dimusnahkan oleh kerakusan manusia. Tidak sampai hati dia hendak membunuh unggas-unggas yang sedang tidur dan hinggap di dahan pokok hutan itu. Lambat-laun, manusia akan menerima kesan dari perbuatan ini. Bentak hati kecilnya diam-diam.

Ada baiknya jika kawasan emas itu dibiarkan berada dalam rimbunan hutan, dengan hiasan mergastua hidup kegirangan sambil melompat-lompat kesukaan. Memakan pucuk muda, daun-daun, umbuk, akar, dan meminum air jernih bersih kedinginan.
Bila pokok balak ditebang, akan berlaku hakisan yang meruntuhkan bukit-bukau dan gunung-ganang. Bila tanah terhakis, di mana lagi emas hendak hidup berkembang, membiak, membesar dan menjadi tua? Inilah persoalannya. Balak juga umpama emas yang tersimpan, tetapi kayu balak lebih lagi daripada itu, kerana menjadi paku kepada kekuatan alam. Menjadi tangki penyimpan kepada air untuk kegunaan hidupan termasuk manusia.

Dia mula mengorek menggunakan muncung parang, di kawasan yang mengikut perkiraannya bekas lombong emas di dalam hutan. Dihunjamkan mata parang dengan kuat ke celah benteng palong itu. Dikupilkan tanah-tanah yang hampir menenggelamkan dinding konkrit itu.

“Betul, emas! Aku kaya! Aku kaya!” Dia menjerit kesukaan. Hilang segala kesusahan dan kepenatan. Dia lupa di situ masih ada dua lagi rakannya sedang memotong batang balak untuk dijadikan sempadan kawasan.
“Prappp, prappp, brummmm!” Pokok balak sebesar tayar bulldozer itu tumbang. Betul-betul jatuh menghempas ke atas dirinya. Dia tidak sempat berkata apa-apa kecuali terus menjadi lumat seperti sehelai kertas yang ditenyeh di permukaan jalan.

Profil

ABDULLAH Awang atau nama sebenarnya Abdullah Awang Kechik terbabit dalam penulisan puisi dan cerpen sejak 1972. Nama penanya yang lain adalah Aduka Putra dan Atma Rindu. Karyanya mendapat tempat di Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Berita Harian dan Berita Minggu. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004 dan baru saja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Bahasa Melayu di universiti sama. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, Pasir Mas, Kelantan.