Penaja

6.3.10

Kreatif: Ketika Sampai Seru

Oleh Maria Kajiwa

DIBELEK, cantik. Direnung, geram. Dari atas hingga ke bawah, tidak ada satu pun yang kurang. Hidungnya mancung bak seludang, pipi pula bak pauh dilayang. Bagaimana lagi Mak Mah hendak memuji ? Segalanya cukup. Mak Mah puas hati.

“Boleh?”

Suara yang bertanya mati di situ. Tiada pula suara yang bersetuju. Hanya dengusan nafas yang keluar dari lubang hidung. Menolak segala udara dari dalam paru-paru sekuat-kuatnya. Menolak juga segala kepayahan untuk membantah.

Mak Mah faham serta-merta. “Habis, kau nak yang macam mana lagi?” Yang itu Mak Mah belum faham-faham. Gambar yang ditunjukkan tadi kini terletak elok di atas meja seolah menjadi saksi hujah di antara dua pihak. Seorang menolak, seorang menarik.

Yang ditanya hanya diam, matanya merenung dinding rumah tidak berkelip. Seolah-olah di sebalik dinding itu ada jawapan atau terus tembus, hilang entah ke mana di celah kegelapan malam. Dia sendiri sesat di dalam fikirannya. Bagaimana mahu pulang mempersembahkan satu jawapan?

“Mak dah siasat habis-habis, tak ada yang kurang lagi.” Mak Mah masih cuba memasukkan jarum. Walau peluangnya sangat nipis namun Mak Mah mesti terus mencuba. Sebelum diisytiharkan kalah, Mak Mah tidak akan angkat bendera putih!

Matanya kembali terarah kepada gambar yang dibeleknya tadi. Puas sudah dibelek dan dikaji gadis di dalam gambar itu. Tiadalah lagi cacat cela susur galurnya. Tiadalah mana-mana keturunan gadis itu mempunyai darah kaki judi, kaki perempuan, kaki ekor, kaki lepak hatta kaki dadah. Cukup pula sifatnya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kalau ilmu jangan dicakap. Cekap menanak, cekap menyiang dan memotong. Itu, Mak Mah yang lihat sendiri. Rumah gadis itu bukannya jauh sangat, cuma berselang dua rumah sahaja.

Habis apa lagi yang kurangnya gadis itu? Pelajaran? Gadis itu baru sahaja menyandang jawatan sebagai guru sekolah menengah. Pekerjaan yang mulia, penuh ilmu di dada untuk anak bangsa. Mana hendak dapat pakej yang selengkap itu lagi pada zaman ini? Rata-rata yang berpelajaran tinggi sekarang, tidak usahkan memasak lauk, nasi pun belum tentu rajin menanak. Itulah sebabnya Mak Mah pasti benar, pilihannya kali ini tepat.

“Along cuba cakap, Along nak yang macam mana? Yang gemuk? Yang kurus? Yang lulusan luar negara? Yang anak orang putih atau macam hindustan? Mak cari. Cakap sahaja.” Mak Mah mula berbasa-basi. Berundur bukan bererti kalah.

Tiada jawapan! Mak Mah mencerlung ke wajah Along yang hanya membisu. Itulah anak lelakinya seorang, anak daranya sudah lama dipinang orang. Cuma yang ini lelaki, sebab itu tiada yang meminang. Kena meminang pula. Tetapi kalau semuanya tidak mahu, siapa yang mahu dipinang? Mak Mah pening.

“Along tak tahu mak,” jawab Along perlahan. Masih termenung dan merenung. Lepas dinding, meja pula jadi mangsa. Mungkin lepas ini cawan, karpet atau pensil yang ada di atas meja. Itulah perangai Along bila Mak Mah buka cerita tentang kahwin.

“Apa yang Along susah sangat? Kahwin saja dengan sesiapa yang Along suka.” Mak Mah cuba berdiplomasi pula. Mana tahu entah-entah Along sudah ada pilihan sendiri. Anak muda zaman sekarang lebih bijak daripada orang tua. Syarat-syaratnya mungkin tidak serupa langsung dengan mereka. Mungkin mahu yang rambutnya tercacak bagai duri landak. Siapa tahu?

Along tersengih sedikit. Mak Mah mula lega. “Masalahnya, tidak ada siapa yang Along suka, mak.”

Senyuman Mak Mah mati. Ish! Jangan-jangan anak aku ni tak suka perempuan! Mak Mah berdebar-debar sendiri. Zaman sekarang ini, lelaki perempuan sudah tidak dapat dibeza lagi. Tidak sedar tangannya mengurut-ngurut dada. Atau mata Along sudah kabur?

Mak Mah terjenguk-jenguk melihat mata Along. “Sini ! Mak nak tengok mata Along.”

“Ish, mak. Mengapa tengok mata Along?” Along makin beranjak jauh.

“Semua perempuan yang mak pilih Along tak suka. Mak ingat, mata Along dah kena katarak macam mata mak,” jawab Mak Mah selamba.

Along terbahak-bahak ketawa. Mungkin tidak menyangka sama sekali, ibunya pandai berlawak. “Bukan salah matalah, mak.” Along cuba menenangkan keadaan. Tangan ibunya ditolak lembut.

“Habis salah apa Along?” Tanya Mak Mah sambil terkebil-kebil. Ingin benar dia mendengar curahan hati anak bujangnya yang pendiam itu. Sesaat, dua saat, Mak Mah terus menunggu.

“Hati, mak.”

“Kan mak dah kata, bawa balik mana-mana perempuan yang Along berkenan. Mak akan pinang secepat mungkin. Kali ini mak tak ada banyak soal, mana Along suka itulah yang mak pinang,” jawab Mak Mah tegas. Tangan Along digenggamnya erat-erat. Tangan kecil itu sudah lama menjadi besar. Lebih besar dari tapak tangannya sendiri. Dia cuma mahu Along percaya, yakin pada kata-katanya. Along tersenyum. Mak Mah tersenyum lega sekali lagi.

“Masalahnya hati Along belum jumpa yang berkenan.” Meluncur sahaja ayat itu keluar dari bibir Along.

Senyuman Mak Mah mati buat kali kedua. Perlahan-lahan dilepaskan nafasnya. Dah umur 42 tahun, belum jumpa yang berkenan? Dipilih tidak mahu, suruh memilih pun tidak tahu. Mak Mah garu kepala. Rambut yang beruban itu dirasakan semakin gatal.

Mesyuarat dua beranak malam itu ditamatkan sampai di situ. Misi Mak Mah gagal untuk kali yang ke-21. Orang kata, nombor 21 itu nombor yang baik. Mak Mah sudah berangan-angan hendak buat kenduri besar, tetapi nampaknya kenduri kecil pun dia tidak merasa. Gagal !

Setiap hujung tahun, Mak Mah sibuk penuhi undangan orang berkenduri-kendara. Tidak lekang juga bibir orang bertanyakan Si Along bila nak berkenduri pula. Jenuh juga mulutnya berdalih macam-macam. Kali ini Mak Mah sudah bertekad. Kalau tidak cuti sekolah di pertengahan tahun, pasti cuti sekolah di hujung tahun nanti , dia hendak berkenduri kendara juga. Along mesti kahwin!

***

TETAPI Along tidak banyak berubah. Semakin disuruh, semakin jauh. Semakin dipujuk, semakin merajuk. Lama-lama hati Mak Mah menjadi sedih. Mak Mah merajuk ! Kalaulah Along mendengar cakapkan senang. Terima sahaja sesiapa yang Mak Mah pilihkan. Mak Mah sudah memilih yang terbaik mengikut firasatnya sebagai seorang ibu. Takkanlah dia mahu memilih yang tidak baik untuk anak bujangnya sendiri. Tetapi Along degil! Degil dan keras kepala!

Akhirnya, Mak Mah tidak mahu bercakap soal itu lagi. Duduk di rumah pun Mak Mah tidak mahu. Mak Mah lari duduk rumah Yuna, anak gadisnya yang dipinang Datuk Johar. Biar bila Along balik hujung minggu, tidak dapat jumpa dia. Huh! Mak Mah merajuk sungguh. Biar padan muka Along !

“Assalamualaikum, mak.” Suara Along tertib di hujung talian.

Mak Mah cemberut. “Waalaikumusalam.” Itu sahaja yang Mak Mah jawab. ‘Tak jumpa aku, telefon pula. Kenapalah telefon ini dicipta?’ Mak Mah bersungut-sungut di dalam hati. Yuna anak kesayangannya hanya mengangkat kening dari jauh.

“Mak, Along di kampung ni tapi mak tak ada. Mak di mana?”

“Di rumah Yuna.” Sehabis ringkas dia menjawab. Yuna berkerut di hadapan ibunya.

“Mak, Along balik bawa seseorang untuk jumpa mak, tapi mak tak ada pula.”

“Ha? Siapa?” Jantung Mak Mah berdegup kencang, hampir terhenti. Terbang sudah rajuknya.

“Dulu mak cakap, bawa balik sesiapa yang Along suka, Along bawalah ni.”

“Kenapa tak cakap awal-awal, boleh mak tunggu. Baliklah lagi minggu depan.” Mak Mah menjawab sambil berkerut dahi. Bimbang ayam di tangan terbang pula. Yuna yang memandang dari jauh mula menggaru kepala.

“Baiklah, mak. Minggu depan Along balik semula. Mak tunggu.” Panggilan ditamatkan. Mak Mah tergamam. Terpempan. Terkaku. Matanya tidak berkelip memandang dinding rumah Yuna.

“Mak! Mak!” panggil Yuna berkali-kali. Mak Mah terlompat bila tangannya digoyang Yuna.

“Mengapa, mak?”

“Along nak balik.”

“Along nak balik? Memang Along balik tiap-tiap minggu tengok mak.”

“Ya, tapi kali ni Along nak balik bawa menantu mak,” terang Mak Mah sambil tersengih.

Yuna turut tersenyum. Tidak tahu hendak senyum bagaimana. Hendak suka atau hendak menangis sebab ibunya sedang menitiskan air mata. Keduanya berpelukan. Yuna usap belakang ibunya dengan penuh kasih. Yuna faham perasaan ibunya. Teramat faham.

Dua hari selepas itu Mak Mah berkeras mahu balik ke kampung. Hendak kemas rumah, hendak cari lauk untuk bakal menantu, katanya. Yuna dan suaminya tidak mampu lagi menahan keinginan Mak Mah. Mak Mah dihantar pulang. Demi kasih, Yuna ikutkan sahaja. Yuna turut mengemas mana yang perlu. Ke hulu ke hilir, ibunya bercerita. Yuna semakin pening kepala.

Hari Ahad yang dinanti tiba juga. Pagi-pagi lagi Mak Mah bangun berkemas. Menyiang ikan dan memotong ayam. Mak Mah masak gulai ayam kampung hari ini. Yuna layankan sahaja. Yuna dapat merasakan kegembiraan di hati ibunya. Yuna sebak.

Bila pagi berlalu, petang pula mendatang. Bayang kereta Along pun tidak ada. Dengan muka yang cemberut, Mak Mah duduk di atas tangga sambil memegang sebatang ranting sepanjang dua depa. Pantang ada ayam yang melintas, semua kena libas.

Yuna hanya memandang dari ruang tamu. Sudah tidak terkata apa. Petang dengan perlahan berlenggang ke senja. Sayup-sayup sudah kedengaran Azan Maghrib dari masjid kampung di hujung simpang. Yuna mula hilang sabar. “Mak, marilah masuk. Dah senja. Along tak balik, mak.” Yuna memujuk di atas tangga. Bahu Mak Mah dipautnya perlahan.

Mak Mah menoleh. “Along tak balik?”

“Tak, mak.”

Mak Mah kembali cemberut, kayu yang dipegangnya tadi dilempar ke depan tangga. Berkeok-keok ayam di atas dahan pokok rambutan kerana terkejut.

Perlahan-lahan Yuna memimpin ibunya ke bilik tidur. Menutup pintu dan semua tingkap yang berlangsir warna merah muda. Langsir baru yang dijahit ibunya dua hari yang lalu.

Melihatkan wajah Mak Mah yang kembali murung, perasaan Yuna mula bertambah sayu. Bagaimana lagi harus dia memberitahu ibunya, bahawa Along tidak akan pulang? Along kemalangan dua tahun yang lalu semasa pulang ke situ bersama bakal tunangnya. Bukan Along sahaja yang maut, bahkan bakal tunangnya juga. Sebaik berita itu diterima, ibunya pengsan selama dua hari.

Sejak itu Along terus hidup dalam fikiran ibunya. Seolah masa tidak pernah berlalu. Setiap kali ibunya teringat saat itu, pasti dia akan berkemas dan memasak untuk Along. Dia akan menukar langsir dan menyapu laman. Semuanya untuk Along dan bakal tunangnya. Yuna layankan sahaja. Dia sudah malas bertengkar. Dia hanya mahu ibunya hidup aman dan gembira walau di dalam dunianya sendiri. Ibunya sudah terlalu tua untuk menerima tamparan sehebat itu.

“Mak, mari kita solat Maghrib dulu,” pujuk Yuna.

“Apa? Along dah sampai?”

“Belum, kita solat Maghrib dulu ya, mak. Mungkin Along singgah solat di masjid.” Mak Mah segera bangkit. Yuna memimpin ibunya ke bilik air dengan berhati-hati.

"Jangan lupa pasang lampu luar, nanti senang Along cari simpang rumah kita."

"Baik, mak. Nanti Yuna pasangkan," jawab Yuna perlahan. Mak Mah terus dipimpin ke atas sejadah. Yuna turut sama bersolat.

Tatkala dia mengangkat tangan berdoa, air matanya tumpah ke pipi. 'Ya Tuhan, tunjukkan ibuku jalan pulang.' Mak Mah terus memasang telinga. “Along dah sampai?”